Projek IC, Anwar jawab minggu depan
Muhammad Faizal, | 13 Sep 2013 |
Dr Mahathir ketika memberi keterangan pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pemberian kerakyatan kepada warga asing di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, 11 September lalu mendakwa tidak tahu menahu mengenai 'Projek IC' dan menyalahkan pegawai kerajaan kerana mengeluarkan dokuman kerakyatan kepada warga asing yang tidak layak.
Mengulas tindak-tanduk bekas Perdana Menteri itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, sebagai seorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan Dr Mahathir perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dalam pentadbirannya.
Katanya, tindakan Dr Mahathir menyalahkan orang lain dalam skandal projek IC itu membuktikan terlalu banyak kelemahan dalam pentadbiran beliau sebelum ini dan menjadikan orang lain sebagai mangsa untuk menutup kesalahan.
"Mahathir sewaktu itu sebagai Perdana Menteri, jawatan tertinggi dalam kerajaan. Beliau sepatutnya tahu apa yang berlaku dan bertindak menghalangnya.
"Sebagai bekas pemimpin negara, beliau sepatutnya bertindak adil serta bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dan bukannya menyalahkan orang lain.
"Projek IC kita tidak tahu siapa dalang, kenapa beliau tidak mengambil tindakan jika mengetahui dan kenapa perlu meletakkan atas bahu orang lain sedangkan beliau berkuasa pada waktu itu," soal beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar (gambar) akan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan bekas majikannya, Dr Mahathir dalam sidang RCI di Kota Kinabalu minggu hadapan.
Dalam satu kiriman pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh pejabatnya kepada The Malaysian Insider hari ini, Anwar memaklumkan beliau akan membuat kenyataan di RCI.
"Datuk Seri akan beri statement beliau depan RCI minggu depan," kata SMS itu.
Dr Mahathir mendakwa kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam, bekas timbalannya itu pasti tahu jika pengeluaran kad pengenalan palsu di Sabah dibuat secara rasmi oleh kerajaan.
Ops Bubar: PAS Perak harap tiada provokasi
Harakahdaily, | 13 Sep 2013 |
“Kami, PAS Perak dan juga Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak akan berusaha membantu semua yang kena tuduh dan tindakan selanjutnya telah diambil oleh pasukan peguam bagi memohon rayuan di atas hukuman yang telah dikenakan oleh mahkamah.
“Saya tekankan, kami menghormati keputusan mahkamah tersebut dan dalam masa yang sama mengharapkan tiada sebarang tindakan berbentuk provokasi yang akan diadakan,” ujar Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussien.
Justeru, katanya berikan kepercayaan kepada pasukan peguam bagi mendapatkan keadilan bagi mereka yang terlibat.
“Saya menyeru agar semua pihak memanjatkan doa agar keputusan kelak yang akan berpihak kepada kita semua,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong dalam satu kenyataan.
Beliau juga sarankan agar diadakan solat-solat hajat dan munajat bagi mendapatkan kebaikan kepada mereka yang terlibat.
Ustaz Abu Bakar mengharapkan semua ahli keluarga mereka yang terlibat agar bersabar dan sentiasa berdoakan agar 13 orang kena tuduh tersebut diberikan kekuatan sebelum proses rayuan yang akan dikemukakan kelak.
“Saya juga telah mengarahkan PAS awasan yang terlibat dimana jika terdapat orang yang kena tuduh di tempat mereka agar membantu ahli keluarga mereka bagi meringgankan beban.
“Ini kerana kami dimaklumkan bahawa kebanyakkan mereka yang terlibat menghadapi masalah kewangan yang amat diperlukan bantuan setelah mereka kini dipenjarakan,” ujarnya lagi.
PAS Perak juga, jelasnya telah mengarahkan semua PAS kawasan agar melancarkan tabung khas bagi tujuan membantu ahli keluarga mereka yang terlibat.
Bagi tujuan yang sama juga untuk memudahkan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Berhad atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – 558453100225.
Untuk keterangan lanjut boleh berkunjung ke Pejabat PAS Perak, No. 13, Medan Istana 3, Bandar Ipoh Raya, Ipoh atau hubungi talian 05-2557231.
Siapa ulama ganti Mat Sabu?
Subky Latif, | 13 Sep 2013 |
Mungkin daripada kalangan PAS sendiri yang terdiri mereka yang berpendirian bahawa Timbalan Presiden mesti ulama juga mencari orang yang boleh menang menggantikan Mat Sabu. Apakah perwakilan PAS di era kepimpinan ulama bersedia menggantikan pimpinan tertingginya dengan seorang yang lain tidak dipastikan.
Bagaimana pun perwakilan PAS pernah menggantikan Timbalan Presidennya Ustaz Hassan Shukri dengan seorang yang lain, tetapi ada kalangan yang mengira keputusan itu tidak bijak kerana ganti Ustaz Hassan itu gagal memenuhi piawan yang diperlukan. Ketiadaan Ustaz Hassan dirasakan satu kehilangan.
Ketahanan berpolitik, keupayaan pimpinan dan wibawanya tidaklah kurang dibandngkan dengan rakan-rakannya yang lain. Jika orang kata dia banyak merugikan PAS, belum ada hal-hal memungkinkan dia dikenakan tindakan disiplin atau tidak diingini berada dalam pimpinan seperti yang pernah berlaku kepada satu dua pimpinan sebelum ini.
Jika dia kalah dalam pillihan raya baru-baru ini bukan disebabkan dia ditolak oleh pengundi PAS, tetapi mungkin dia tidak dapat sokongan undi atas pagar yang menjadi penentu dalam kawasan seperti itu.
Jika kalah itu dikira dia ditolak, Tok Guru Nik Aziz pernah kalah di Bachok dalam PRU 1982, Ustaz Hadi pernah kalah di Marang dan Ustaz Fadzil Noor hanya sekali menang di Pendang. Kalau kerana kalah piliihan raya, maka Mat Sabu mesti digantikan, maka Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man juga kalah dalam PRU lalu.
Mengapa masing-masing mencari tokoh ulama bagi menyaingi Mat Sasbu bukan kerana keupayaan berpolitik dan kepimpinan Mat SAbu, tetapi dia bukan dari golongan ulama.
Biasanya selepas PAS mengatasi krisis kepimpinannya dalam awal tahun 1980-an jawatan nombor satu dan nombor dua itu disandang oleh ulama. Konsep kepimpinan ulama yang diketengahkan PAS tahun 1982 ditafsirkan oleh setengah kalangan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden mesti dari ulama.
Kerana itulah Dato Mustafa Ali, seorang yang disegani dalam PAS tidak berjaya menyaingi Ustaz Hassan Shukri untuk menjadi Timbalan Presiden. Tidak ada apa-apa masalah pada Mustapa tetapi perwakilan PAS masa itu mengira jawatan itu untuk ulama.
Tetapi antara yang mentafsirkan jawatan parti itu tidak semestinya ulama walaupun PAS berpegang kepada konsep kepimpinan ulama ialah Mustafa Ali sendiri kerana itulah dia pernah bertanding untuk jawatan itu. Mustafa adalah Ketua Dewan Pemuda yang bertanggungajwab mengemukan usul konsep kepimpinan ulama itu tahun 1982 dulu.
Mat Sabu dan Husam Musa adalah antara yang sependapat dengan Mustafa Ali. Mat Sabu adalah Eksko Dewan Pemuda PAS Pusat ketika usul itu dibentangkan dulu.
Sekalipun kebanyakan orang PAS mengira jawatan Timbalan Presiden itu adalah untuk ulama, tetapi mereka juga memerhatikan wibawa politik tokoh ulama itu apakah kepimpinannya meyakinkan atau sebaliknya. Majoriti memberikan undi kepada Mat Sabu kerana mereka yakin Mat Sabu lebih berwibawa.
Walaupun ulama masih relevan untuk memimpin PAS, tetapi wibawa dan keyakinan tetap menjadi perhatian PAS.
Tokoh ulama yang berwibawa itu dipercayai ada dan ramai, buat masa ini belum ada yang menyerlah seperti golongan ulama yang mengambil alih pimpinan dari zaman Dato Asri dulu.
Ustaz Nik Aziz sudah lama berada dalam pimpinan Dato Asri, tetapi beliau hanya menyerlah selepas pucuk pimpinan bertukar. Apakah suasana seperti itu berulang?
Yang bersih dan kuat lebih disukai
Imam Muda Asyraf, | 13 Sep 2013 |
Antara perkara penting yang kadang-kala dilupai oleh seseorang muslim adalah dalam aspek penjagaan fizikalnya. Perlulah diigati bahawa penampilan fizikal adalah dituntut dalam Islam sepertimana perlunya memelihara kesempurnaan akal dan hati. Antara perkara yang perlu diambil perhatian berkaitan kesihatan fizikal ini ialah tentang aspek kebersihan dan penampilan diri.
Sesungguhnya Islam ialah suatu agama yang mementingkan aspek kebersihan hati dan fizikal umatnya. Malah Islam merupakan agama yang meletakkan aspek kebersihan sebagai antara perkara asas dan terpenting dalam penerimaan sesuatu ibadah. Perkara ini dapat dilihat melalui pembelajaran-pembelajaran ilmu fiqh dan hadith yang acap kali dimulai dengan bab penyucian atau taharah. Malah kebersihan fizikal ini merupakan lambang keimanan bagi seseorang muslim. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah SWT menyukai mereka yang selalu bertaubat dan mereka yang selalu bersuci” (Surah al-Baqarah: 222).
Dalam sebuah hadith Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya kebersihan itu sebahagian daripada iman”. (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya).
Apabila membincangkan aspek kebersihan fizikal maka kita dapat melihat bahawa Islam amat mengambil berat tentang hal ini. Contohnya Islam mensyariatkan ibadah wudhuk sebelum daripada menunaikan solat sama ada solat wajib mahupun sunat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu semua menunaikan solat maka basuhlah muka kamu, kedua tanganmu hingga ke siku, sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sehingga ke buku lali.” (Surah al-Maidah: 6).
Di samping itu Islam juga mensyariatkan beberapa ibadah lain dalam memastikan umatnya berada dalam keadaan bersih seperti bersiwak (berus gigi), mandi hadas, memotong kuku dan bulu, menyucikan kemaluan setelah membuang air, memastikan pakaian dalam keadaan bersih daripada najis, berkhatan dan sebagainya lagi. Kesemua ini diterangkan oleh Islam secara jelas melalui nas-nas al-Quran mahupun hadith-hadith Nabi SAW. Malah segala penerangan ini tidak sama sekali diterangkan oleh agama-agama lain. Perkara ini menunjukkan bahawa Islam adalah suatu agama fitrah yang memelihara fitrah asal manusia yang menyukai kesucian dan kebersihan.
Di samping memastikan fizikal seseorang muslim itu berada dalam keadaan yang bersih, Islam juga menggalakkan umatnya untuk menjaga kesihatan fizikal.
Dalam sebuah hadith Nabi SAW telah bersabda: “Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara (antaranya) gunakanlah masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit.” (Hadith direkodkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani).
Dalam hadith ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan kesihatan umatnya sebagai antara perkara penting yang perlu dijaga dan dipelihara. Sesungguhnya muslim yang sihat itu mampu melakukan amalan-amalan soleh yang sama sekali tidak mampu dilakukan oleh muslim yang berada dalam keadaan sakit. Malah apabila seseorang muslim itu sakit maka beliau tidak mampu melaksanakan ibadah-ibadah seperti solat, puasa, haji dan sebagainya secara sempurna. Lantaran itu setiap umat Islam perlu memastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat dan jika diserang penyakit maka berubatlah scepat mungkin supaya ianya tidak menjadi semakin parah.
Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah dan pada setiap seorangnya terdapat kebaikan.” (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya).
Hadith ini membawa maksud seseorang muslim yang kuat imannya lebih baik dan dicintai oleh Allah swt berbanding muslim yang lemah imannya. Namun hadith ini juga boleh difahami secara zahirnya bahawa setiap mukmin yang kuat dalam segala perkara sama ada dalam aspek fizikal, akal dan rohani itu lebih disukai Allah swt berbanding seseorang mukmin yang lemah fizikal, akal dan juga rohaninya. Oleh demikian seseorang muslim itu perlulah memastikan bahawa tubuh badannya itu kuat dan sihat dan pada masa yang sama tidak menafikan keperluan kekuatan akal dan rohani dalam kehidupan.
Dalam sebuah hadith Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya bagi jasad kamu itu keperluannya.” (Hadith direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahinya).
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa Nabi saw menyuruh umatnya supaya memberikan hak-hak yang sepatutnya kepada tubuh badan. Hal ini termasuklah dari aspek pemakanan dan juga rehat yang mencukupi. Namun perkara ini kadang kala dipandang remeh oleh umat Islam masa kini. Jika dilihat kepada aspek pemakanan maka boleh dibuat kesimpulan bahawa kita dilimpahkan rezeki oleh Allah SWT dengan pemberian nikmat makanan yang cukup lazat dan melimpah ruah. Namun pada masa yang sama apabila tabiat pemakanan ini tidak dijaga maka ianya boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.
Di samping itu bagi memastikan kesihatan badan terjaga maka seseorang muslim itu perlulah memastikan stamina dan tubuh badannya berada dalam keadaan yang baik. Stamina yang tinggi akan melahirkan kekuatan pada tubuh badan manusia. Firman Allah SWT:
“Dan bersedialah kamu semua dengan apa yang kamu mampu dari segi kekuatan” (Surah al-Anfal: 60).
Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya mengumpul kekuatan dan antara kekuatan utama ialah kekuatan fizikal yang boleh dimanfaatkan untuk agama.
Di samping menjaga pemakanan dan bersukan umat Islam juga diwajibkan untuk meninggalkan segala bentuk amalan buruk yang boleh memberi kemudharat kepada tubuh badan. Sesungguhnya setiap perkara yang membawa kepada kemudharatan hukumnya adalah haram di dalam Islam. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu semua mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah menyukai mereka yang membuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 195).
Dalam ayat ini Allah melarang hamba-hamba-Nya daripada menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan. Hal ini termasuklah melakukan sesuatu perkara yang boleh menghasilkan kemudharatan kepada tubuh badan seperti berzina, minum arak, makan daging khinzir, menagih dadah dan sebagainya lagi.
Antara perkara yang boleh memudharatkan tubuh badan manusia ialah merokok. Sepertimana yang kita ketahui bahawa merokok telah difatwakan haram oleh majlis fatwa kebangsaan dan juga majlis fatwa di setiap negeri. Pengharaman rokok ini disebabkan ia memberi kemudharatan kepada penghisapnya di samping membawa kepada pembaziran yang sia-sia. Malah kajian perubatan telah menunjukkan bahawa asap rokok yang disedut dan dilepaskan boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan merupakan penyebab utama kepada penyakit kanser. Justeru sewajarnya setiap umat Islam sedar akan bahayanya merokok malah seseorang yang merokok itu telah dianggap berdosa di hadapan Allah SWT kerana mencampakkan dirinya dan masyarakat sekitarnya kepada kemudharatan.
Kesimpulannya Islam menuntut umatnya untuk menjaga kesihatan diri sama ada dalam aspek kebersihan mahupun penjagaan tubuh badan daripada serangan penyakit. Di samping itu umat Islam diwajibkan untuk meninggalkan segala perkara yang membawa kepada kemudharatan tubuh badan. Sesungguhnya tubuh badan yang sihat menggambarkan kehidupan seorang muslim yang ideal dan pada masa yang sama disayangi oleh Allah SWT.
http://imamudasyraf.com
PR Perak bersolidariti buat keluarga Ops Bubar
Harakahdaily, | 13 Sep 2013 |
Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, beliau bersama-sama pemimpin lain akan hadir bersolidariti pada malam ini.
"PAS Perak dan Pakatan rakyat akan ke penjara Tapah malam ini untuk menyatakan sokongan kita kepada mereka semua," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.
Mengulas keputusan hari ini, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menyifatkan ianya satu lagi episod hitam dalam sistem keadilan negara ini.
Menurutnya, PAS akan cuba membantu mangsa yang ditahan dan meminta ahli keluarga bersabar dengan ujian yang menimpa.
"Para paguam kita akan segera mengemukakan permohonan Selasa ini untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman sementara rayuan dikemukakan," katanya lagi.
Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pagi tadi menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada 13 peserta demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009 lalu.
Hakim, Norsalha Hamzah memutuskan kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun dan didenda sebanyak RM5,000.
Allah yang naikkan harga barang?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, | 13 Sep 2013 |
Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.
Akidah
Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.
Nabi SAW mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izin-Nya. Namun, apa yang Dia izinkan, bukan semestinya Dia redha. Demikian, apa yang Dia redha bukan semestinya Dia izinkan. Dia tidak redha kezaliman Firaun, tetapi Dia mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang dicipta-Nya. Dia redha hamba-hamba-Nya bersedekah, tapi bukan semua mereka Dia izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaan-Nya. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, Dia juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.
Usaha
Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. Dia boleh memenangkan para nabi-Nya dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa AS, Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).
Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah Dia gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.
Takdir
Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi SAW menyebut:
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:
Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya)
“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.
Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masya-Allah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.
Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.
Maksud Hadis
Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata:
“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah SAW. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.
Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:
“Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi SAW) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).
Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.
Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:
“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.
http://drmaza.com
Ternyata benar, Filter Rokok memang mengandung darah Babi
Ternyata benar, Filter Rokok memang mengandung darah Babi
Ketua Komisi Nasional Pengendalian Tembakau (Komnas PT), DR Hakim Sarimuda Pohan, mengungkapkan bahwa dalam filter rokok yang banyak digunakan di Indonesia terkandung bahan yang berasal dari darah babi.
Hemoglobin atau protein darah babi digunakan dalam filter rokok untuk menyaring racun kimia agar tidak masuk ke dalam paru-paru perokok, kata Hakim saat menjadi pembicara dalam dialog bahaya merokok bagi kehidupan berbangsa di Balaikota Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Rabu.
Ia meyakini bahwa filter yang digunakan untuk rokok yang beredar di Indonesia merupakan filter impor yang mengandung komponen dari darah babi. Menurutnya, semua itu diketahui setelah adanya pernyataan yang diungkapkan ahli dari Australia atau Profesor Kesehatan Masyarakat dari Universitas Sydney, Simon Chapman.
Profesor di Australia memperingatkan kelompok agama tertentu terkait dugaan adanya kandungan sel darah babi pada filter rokok. Profesor Simon Chapman menyatakan itu merujuk pada penelitian di Belanda yang mengungkap bahwa 185 perusahaan berbeda menggunakan hemoglobin babi sebagai bahan pembuat filter rokok.
Menurut Hakim, sudah selayaknya umat Muslim yang mayoritas di Indonesia ini menjauhi barang yang nyata-nyata dilarang agama tersebut. Bukan hanya kaum Muslim, tetapi kaum Yahudi juga melarang pemanfaatan babi untuk keperluan seperti itu, tambahnya dalam dialog dalam rangkaian sosialisasi peraturan daerah (Perda) yang melarang merokok di tempat tertentu.
Dalam dialog yang dihadiri ratusan peserta dari kalangan PNS, pengelola hotel, restoran, dan pengelola tempat-tempat umum tersebut juga dihadiri Wali Kota Banjarmasin Haji Muhidin dengan moderator Kepala Dinas Kesehatan setempat, drg Diah R Praswasti.
Dalam dialog tersebut dilangsungkan dengan tanya jawab yang antara lain disarankan perlunya Fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan merokok.
jika di anggap berguna mohon sebarkan articel ini jazakallahukhair
Tiada ulasan:
Catat Ulasan