Isnin, 16 September 2013

DAKWAH ADALAH USAHA YANG BERTERUSAN....PERLU MENGORBANAN MASA SERTA HARTA...DISAMPINGAN SEKURANG2NYA ILMU FARDU AIN DAH ADA DIDADA

Komedi Ekonomi Bumiputera

Shirzad Lifeboat, 16 Sep 2013
MEMPERKASAKAN ekonomi bukanlah macam memperkasakan seseorang dalam ilmu silat - lebih banyak berlatih, lebih mahir dalam pelbagai teknik.  Malah dalam bidang ekonomi perkataan ‘pemerkasaan’ atau apa juga perkataan terbitan daripada perkataan ‘perkasa’ adalah sama sekali tidak relevan.
Begitupun, mengambil makna istilah ‘pemerkasaan ekonomi’ dalam semangat sebagaimana yang ditaksubkan oleh pemimpin Umno (agar setidak-tidaknya perihal tersebut berbunyi serius dan betapa sesungguhnya Perdana Menteri dan para menteri kabinet Melayu lain bertungkus-lumus siang malam bagi memastikan hasrat dan inspirasi orang Melayu dan kaum bumiputera lain tercapai dalam menemui apa juga sasaran tahap ekonomi yang telah ditetapkan),  ramai yakin ia lebih merupakan strategi politik berbanding langkah afirmatif.

Bukan lagi satu fakta terselindung betapa perbincangan mengenai ekonomi bumiputera, setidak-tidaknya di peringkat kerajaan adalah sesuatu yang dalam bahasa pasarnya sudah boleh dianggap ‘basi’.

Sejak topik ini mula diperkenalkan di zaman Tun Razak pada awal 1970-an, semangat penglibatan orang Melayu dalam bidang ekonomi mengalami pelbagai ‘jump start’ dan ‘false start’.

Bagaikan komidi tragik, meminjam  dalam konteks hampir serupa dengan novel klasik Shakespeare, Comedy of Errors,  hampir setiap permulaan, sama ada secara lompat atau tersalah,  apa juga permulaan ekonomi bumiputera tidak beranjak begitu jauh dari garisan permulaan.  Semuanya kerana ada sahaja kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan sama ada di peringkat dasar dan lebih-lebih lagi di peringkat pelaksanaan.

Kita akui pernah wujud segelintir tokoh korporat Melayu di zaman Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan buat pertama kalinya pada 1980-an.  Namun generasi tokoh korporat melayu berkot designer jenama Ermenegildo Zegna dan menghisap cerut jenama Ashton buatan Republik Dominika berharga RM2000 sebatang sudah pupus ibarat pupusnya burung dodo atau harimau Java.

Sebenarnya agak kurang pasti apakah takrif sebenar ‘ekonomi bumiputera’.  Kian ramai orang Melayu merasakan ia tidak lebih daripada perasa Ajinomoto politik yang digunakan oleh pemimpin Umno untuk menagih sokongan pengundi Melayu yang memanjang merosot sejak PRU12.

Namun bagi penyokong tegar Umno-BN, usaha mempertingkatkan ekonomi bumiputera adalah ‘benar’.  Benar ikut mana tak tahulah.  Tentu sekali ada sahaja pihak menawarkan pelbagai carta dan perangkaan bagi membuktikan betapa berjayanya ekonomi bumiputera sejak istilah itu dilancarkan lebih 40 tahun lalu.

Begitupun, realitinya ekonomi bumiputera hanyalah diwakili oleh peniaga pasar malam, warung gerai pihak berkuasa tempatan,  dan segelintir orang Melayu yang membuka restoran, kilang pembikinan barangan makanan dan sebagainya.
Bagi mereka yang melangkau batasan ini, pasti sebahagian besarnya mempunyai kaitan dengan Umno atau malahan pemimpin dan ahli Umno sendiri.

Justeru apa yang dimaksudkan dengan ekonomi bumiputera sebenarnya adalah ekonomi pemimpin dan ahli Umno sebagaimana yang diperhatikan oleh seorang penulis ekonomi sebuah portal berita tatkala mengulas ucapan Najib pada Pelancaran Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Walaupun pemerhatian seperti itu masih berstatus tunggu dan lihat, namun kesudahannya sudah boleh diramalkan.

Menurut Najib dalam ucapannya pada majlis tersebut,  fokus pemerkasaan pertama, kedua dan ketiga adalah masing-masing: Mendaya modal insan bumiputera antaranya meningkatkan kemahiran golongan muda dengan memberikan peruntukan tambahan  kepada Mara;
memantap pemilihan ekuiti bumiputera dalam sektor swasta, dan memperkukuhkan pemilihan aset bukan kewangan bumiputera.

Semua ini memang sedap untuk didengar.  Tetapi persoalannya bagaimanakah Najib mahu melaksanakannya? Apakah pelaksanaan itu nanti dapat disempurnakan oleh kakitangan kerajaan menurut kehendak Najib dan apakah program pemerkasaan ini akan kekal walaupun terdapat perubahan dalam pucuk pimpinan?

Lebih lazim dari tidak, kita sudah tahu akan jawapannya.  Justeru, ramai merasakan sementara DEB yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Razak adalah usaha ikhlas kerajaan (tetapi dicemari oleh pemimpin Umno generasi selepas beliau), Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak lebih dari satu strategi politik yang tidak semestinya mempunyai kaitan dengan kemajuan orang Melayu dan kaum bumiputera lain di bidang ekonomi.

Fenomena kahwin lambat dalam seminar PUM

Harakahdaily, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Fenomena kahwin lambat di kalangan generasi muda Islam negara ini akan turut dibincangkan dalam Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah anjuran Persatuan Ulama Malaysia, pada 21 dan 22 September ini.

Seminar dua hari yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam itu bertujuan memberi kefahaman tentang isu-isu semasa berkaitan kepenggunaan, pemilikan rumah, kebangkrapan dan kahwin lambat serta mencadangkan resolusi kepada isu-isu tersebut.

Seminar ini juga diadakan bertujuan menghimpunkan intelektual, pengamal perbankan, pendakwah-pendakwah tanah air untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan.

Dalam satu kenyataan media, Sekretariat Seminar menjelaskan, perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang.

Situasi ini juga menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.

“Masalah kahwin lambat disebabkan oleh perkembangan dan perubahan sosiobudaya yang begitu pesat sekali. Perubahan ini adalah akibat kepesatan pembangunan, khususnya dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.

“Begitu juga harga rumah yang melambung tinggi merupakan satu masalah yang tidak boleh dipandang ringan. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan Program Pemilikan Rumah Mampu Milik dan Skim Rumah Mesra Rakyat, namun hakikatnya masih ramai yang tidak mampu membeli rumah,” kenyataan media itu dipetik.

Seminar ini terbuka kepada umum dan orang ramai yang ingin mendaftar diminta menghubungi  013-384 0710 (Azmi),  013-403 8507 (Suraya),  03-5512 4300 / 03-5511 4301 (Pejabat),  03-5511 4302 (Faks) dan emel:  pumpusat@yahoo.com

Yang Dipertua PUM, Dato’ Sheik Abdul halim Abd Kadir dijadual memberikan ucaptama berkisar topik Maqasid Syariah pada 21 September.

Antara pembentang kertas kerja ialah Pengarah Eksekutif,  Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin; Pengarah Urusan, Syarikat Perumahan Negara Bhd, Dato' Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh; Pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Bank Negara Malaysia, Muhamad Rapidi Mohd Darus; dan Pengerusi Pembangunan Sosial IKRAM & Naib Ketua Wanita IKRAM, Prof. Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Turut membentangkan kertas kerja ialah  Ketua Unit Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Nazri Chik;  Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim; dan  CEO, Perbadanan Wakaf Selangor, Abu Bakar Yang.

Yuran penyertaan RM150 bagi wakil agensi kerajaan dan swasta, RM100 (individu, perseorangan dan wakil NGO) serta RM50 bagi pelajar.

AES: Sebelum ini JPJ, sekarang PDRM pula

Muhammad Faizal, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menyerahkan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menimbulkan tanda tanya apatah lagi tidak ada sebarang laporan daripada Jawatankuasa Pemandu sepertimana yang diumumkan sebelum ini.

Penasihat Undang-undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff mempersoalkan keputusan mengejut apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa AES telah diserahkan PDRM.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada 10 September memaklumkan bahawa keputusan sama ada perlaksanaan AES akan diambil alih oleh kerajaan atau sebaliknya hanya akan diumumkan minggu depan.

"Terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Zahid bahawa PDRM telah mengambil alih AES dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedangkan Hishammuddin mengatakan akan mengumumkan minggu hadapan.

"Selain itu juga sehingga sekarang kita tidak mengetahui apa keputusan dan kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemandu, tiada laporan didedahkan dan tiba-tiba AES diserahkan kepada PDRM.

"Sesuatu yang di luar jangka berlaku, persoalannya kenapa PDRM ambil alih," jelas beliau.

Katanya lagi, penyerahan AES kepada PDRM tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan lebih menimbulkan kekeliruan.

"Isunya sekarang apakah Pemandu menasihati kerajaan dan apa khidmat nasihat itu, kita nak juga tahu sebab sebelum ini terlalu banyak kepincangan berlaku.

"Sejak sebelum dikuatkuasakan AES, Kase berulang kali sebutkan bahawa masalah utama AES ialah penswastaan penguatkuasaan undang-undang. Tetapi kerajaan mempertahankan bahawa tindakan outsource kepada swasta adalah yang terbaik bagi mengelakkan kerajaan menanggung kerugian.

"Sekarang apabila AES diambil alih daripada swasta dan diserahkan kepada PDRM, adakah kerajaan tidak rugi? Berapa nilai pampasan dibayar kepada dua syarikat swasta ini. Berapa pula kos yang akan ditanggung oleh PDRM untuk mengendalikan AES ini nanti? Adakah kajian terperinci telah dilakukan?" soal beliau.

Tambah beliau, apabila pengambil alihan adakah anggota PDRM telah dilatih untuk mengendalikan AES yang mana selama ini dikendalikan oleh anggota JPJ.

Malah katanya, sudah pasti PDRM akan mengeluarkan kos tambahan bagi tujuan melatih anggota PDRM untuk mengendalikan sistem tersebut.

"Pusat operasi dan kelengkapan AES termasuk kenderaan-kenderaan bagi unit bergerak (mobile) yang sebelum ini diuruskan oleh JPJ semestinya juga diserahkan kepada PDRM.

"Maka PDRM terpaksa memperuntukkan sejumlah anggota pula untuk mengendalikan pusat operasi tersebut sedangkan kita maklum bahawa PDRM juga mengalami kekurangan anggota untuk menjalankan tugas mereka," sambung beliau.

Beliau yang turut mempersoalkan kecekapan PDRM apabila mempunyai lebih kurang 17 juta saman tertunggak dan bagaimana polis akan melaksanakan operasi AES, sedangkan saman di bawah kendalian mereka selama ini gagal diuruskan dengan baik.

Dakwah PAS mesti ‘masuk’ rumah Melayu tradisi

Harakahdaily, 16 Sep 2013
BINTULU: Dakwah PAS mestilah ‘menerobos’ rumah pengundi tradisi Melayu untuk menarik sokongan mereka, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ini kerana sifat golongan tradisi Melayu itu sukar untuk mengubah sokongan mereka daripada parti kerajaan kepada pembangkang.

Justeru, katanya PAS yang sentiasa berdepan dengan mereka pada pilihan raya seharusnya memastikan dakwah yang dijalankan dapat memasuki rumah golongan itu.

“Siasah kita bermula dengan dakwah, kita bukan siasah sahaja, siasah dan berdakwah,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja ‘Pengalaman Kekalahan’ pada Ijtimak PAS Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Tambahnya, di samping melaksanakan aktiviti dakwah, PAS perlu mengatur strategi siasah kepada mereka.

Beliau menambah, PAS perlu melaksanakannya serentak kerana PAS adalah parti siasah dan dakwah.

Berkongsi pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor sebelum ini, katanya walau bagaimana pun perkhidmatan yang diberikan kepada mereka, belum tentu dapat menarik sokongan Melayu tradisi pada pilihan raya berikutnya.

Ini, ujarnya kerana sebahagian besar Melayu tradisi mudah dibeli oleh Umno apabila menjelang pilihan raya sehingga mereka takut untuk memberikan sokongan kepada PAS.

Bahkan, jelasnya pengundi muda juga bersikap demikian sedangkan sebelum itu mereka banyak terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PAS seperti pertandingan futsal, motocross dan lain-lain.

Justeru, katanya pendekatan dakwah dan siasah yang dilaksanakan oleh PAS di kawasan tradisi Melayu bukan sahaja sekadar dapat ‘memasuki’ rumah tetapi memenangi hati budi mereka.

“Yang terbaik selagi kita tak dapat menang hati budi, sehingga tak sedia nak jadi ahli, tiada jaminan mereka nak undi kita,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dalam pengamatan dan pengalaman pada Pilihan raya Umum lalu, aspek khidmat dan kebajikan, bersama dalam suka duka hidup rakyat itu penting sehingga menatijahkan mereka tertarik dan mendukung perjuangan yang murni ini.

Ini, jelas beliau berbeza dengan golongan Melayu bandar dan pertengahan yang sedia berdiskusi, berdebat, berseminar dan lain-lain sebagai pengisian dan pendekatan PAS kepada mereka.

Selain beliau, lima kertas kerja lain turut dibentangkan pada ijtimak yang bertemakan ‘Iltizam Unutuk Sarawak’ itu ialah ‘Perkongsian Pengalaman di Sabah’ oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Mohd Anwar, ‘Perkongsian Pengalaman dari DAP’ oleh Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, ‘Post Mortem Pasca PRU13 Fokus Kepada Borneo oleh Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, ‘Senario Belia Masakini – Ruang & Peluang’ oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar dan ‘Pengalaman Kemenangan’ oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Selamat Hari Malaysia

Harakahdaily, 16 Sep 2013
TANGGAL 16 September adalah catatan sejarah untuk Malaysia iaitu tarikh keramat untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di mana 14 negeri ditadbir dibawah satu kerajaan persekutuan yang berpegang kepada prinsip dan system demokrasi berparlimen.

Setelah 50 tahun , sudah pasti kita semua punyai impian untuk melihat negara yang kita cintai ini diterajui oleh kepimpinan yang benar-benar memartabatkan kehidupan dan hak rakyat.

KEADILAN mengimpikan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang membuka ruang kepada setiap individu warganya menikmati pendidikan percuma, kesihatan, keselamatan dan pengurusan yang ikhlas dan membela rakyat.

Sejajar dengan apa yang telah dideklarasikan di Permatang Pauh pada 12 September 1998 bahawa “Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang”.

Selamat Hari Malaysia.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
16 September 2013

Peserta ‘Malaysia Ride’ nyaris maut digilis

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 16 Sep 2013

Monday, September 16, 2013

Lima Parah, Dua peserta konvoi ‘Malaysia Ride’ nyaris maut digilis tayar.. (gambar dari tempat kejadian)

“Hati saya berdegup kencang melihat dua rakan saya sudah berada di bawah kenderaan itu dengan kepala seorang daripadanya berada betul-betul bersebelahan roda belakang kenderaan pacuan empat roda itu. “Saya cuba memanggil dan bersyukur kerana nyawa mereka masih panjang apabila memberi respons selepas nama dipanggil,” kata peserta konvoi ‘Malaysia Ride’, Mohd Rizal Ismail, 38. Pasangan suami isteri itu yang hanya dikenali sebagai Mizi dan Zuraidah berusia 30-an antara lima peserta konvoi yang cedera akibat dirempuh Toyota Hilux di Kilometer 43, Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Cherating, di sini, jam 12.30 tengah hari semalam. Katanya, pasangan itu dikatakan tercampak ke bawah kenderaan berkenaan sejurus dirempuh dan si suami mengalami patah kaki kanan manakala isterinya hanya cedera ringan.
Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Rizal berkata, 60 motosikal membabitkan 80 penunggang dan pembonceng berkonvoi dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Melaka dan merancang singgah di bandar ini untuk makan tengah hari ~ myMetro

Sebelum itu ABN News telah melaporkan.. KUANTAN – Lima orang penunggang motosikal cedera parah apabila motosikal yang mereka tunggangi terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM 47 jalan Kemaman-Kuantan petang tadi berhampiran simpang Suria Beach Resort. Kejadian dilaporkan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu membuat pusingan U sebelum dilanggar empat buah motosikal yang berkonvoi bersama lebih 45 buah motosikal yang lain. Lima orang yang cedera parah telah dihantar ke hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera setelah dipukul oleh peserta konvoi yang lain.

Sumber gambar dari SINI





# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Tiada ulasan: