Sabtu, 21 September 2013

KORBAN DAN AQIQAH



 Qurban & Aqiqah in Cambodia 2013
Posted on Saturday, September 21 @ 20:31:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering

Oleh: ramlisdar

"


Mohon rakan2 maklumkan dan war war kan pada rakan2, termasuk yang berada diluar negara akan usaha Qurban dan Aqiqah di Cambodia untok tahun 2013


di bawah adalah message yang saya hantar pada beberapa rakan2 di luar negara, yang berminat untok turot serta dalam ibadah Qurban dan Aqiqah. Ini juga message yang sama yang pernah saya hantar di masa lalu.


Saya mohon pada rakan2 yang mempunyai kawan2 di luar negara agar dapat forward kan message ini pada mereka, mungkin mereka juga berminat 





Assalamualaikum, 

In the name of Allah the Most Gracious and Most Merciful. 
I ramlisdar on behalf of my colleagues, am very pleased to inform that, as in previous years, we shall be carrying out ibadah of Qurban and Aqiqah in Cambodia for year 2013


We shall carry this out, in areas where this is most needed. And when I said most needed, I literally mean every single word I said. At certain areas these are where, people only have the luxury of eating meat once a year. This is only possible when people from outside Cambodia, come to do ibadah of qurban and aqiqah. 


I am pleased to enclosed links, where those who are interested may browse through and see our past efforts that we have carried out in Cambodia 


Pictures of Qurban and Aqiqah: 

1. http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=23064 

We also distribute rice, which is the staple food of the people in Cambodia. You may see some of the pictures, where we have distributed the rice in our previous expedition to remote villages in Cambodia 


2. 
http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=23064&postdays=0&postorder=asc&start=45 


3. 
http://www.facebook.com/groups/163607870342391/ 




Costs based on rate of changes as of 21th September 2013, are as given below . However you are advised to check for the latest and current rates. 


1 portion of cattle =RM250 = approx US$ 80 = EURO 60 = £50

7 portions (one whole cattle) = RM 1750 = US$560 = EURO 420 = £350

1 goat =RM550.00 = US$176 = EURO132 = £110

10 Kg of rice = RM18.00 = US$5.76 = EURO 4.32 = £3.60



You may bankin your payment into the bank as mentioned below 

Name of the bank: MAYBANK of Malaysia 
SWIFT code or IBAN : MBBEMYKL 
Bank account number: 5620-8552-5170 

After you have bankin the payment either for 
1. Qurban 
2. Aqiqah 
3. Sadaqah of rice 


Kindly SMS to this telephone number, to confirm the purpose of the payment ie whether for Qurban, Aqiqah or for sadaqah of rice 

HP number 0060174960269 (name : Abdul Razak) 
Or email to :ramlisdar@yahoo.com 

Your participation is much appreciated and may Allah bless you. 

Wassalam 

ramlisdar

Kitab bab Korban,aqiqah (part 1)
ALIH TULISAN DARIPADA KITAB KIFAYAH AL-MUHTADIY KARANGAN SHEIKH MUHAMMAD NOOR BIN MUHAMMAD ISMAIL AL FATANI.
Kitab (BAB) : Al-Adhhiyyah wal ‘Aqiqah wal Zabaih (Kitab Korban, Aqiqah dan Sembelihan)
Bahagian Pertama 

                                
Ini suatu kitab pada menyatakan hukum korban[1] iaitu yang disembelihkan daripada segala bagi na’am (binatang ternakan yang boleh dimakan) kerana mendapatkan pahala daripada Allah Ta’ala pada hari raya atau pada hari tasyrik dan ‘aqiqah iaitu yang disembelihkan daripada bagi an’am bagi Allah Taala kerana anak yang baharu didapatkan dan bagi sembelih yang sunat. Bermula menyembelihkan korban itu sunat muakkad orang yang kuasa lagi bukannya sahaya(bukan seorang hamba) ia korban bagi dirinya dan anaknya yang kecil dan bagi tiap-tiap orang yang ia jadi wali baginya pada hari ‘eid (hari raya korban) atau hari tasyrik sekurang-kurang yang memadai pada korban seekor kambing[2] yang sudah berumur 2 tahun masuk kepada yang ketiganya atau seekor kibash yang berumur setahun cukup atau sesudah bersalin dan giginya yang hadapan dan jika tiada sampai umurnya setahun sekalipun. Dan aulanya yakni aula (prioriti) korban daripadanya daripada kambing dan kibash itu seekor lembu atau kerbau yang berumur 2 tahun masuk kepada yang ketiganya. Dan yang afdhal daripada yang tersebut itu seekor unta yang berumur 5 tahun masuk kepada 6 nya. Dan dan disyaratkan pada segala na’am yang dijadikan korban tiada padanya ‘aib yang mengurangkan suatu yang dimakan daripadanya maka tiada memadai yang terjadi ia tiada bertelinga dan yang terpotong telinganya jika sedikit sekalipun dan yang terpotong ekornya dan yang bekudis badannya jika sedikit sekalipun kerana dagingnya sudah binasa dan yang baharu beranak kerana jahat dagingnya dan yang sangat kurus dan yang buta sebelah matanya dan yang buta  keduanya dan yang sangat tepaknya (aibnya). Maka segala ‘aib[3] ini apabila adalah salah suatu daripadanya pada an’am tiadalah memadai dijadikan dia adhhiyyah (pengorbanan). Dan masuk waktunya (waktu Korban) apabila keluar matahari dan lalu masa dapat sembahyang 2 rakaat hari raya serta lalu masa membaca 2 khutbah yang pendek-pendek maka kemudian daripada lalu masa itu sah lah berkorban tetapi yang afdhalnya ditakkhirkan (dilewatkan) hingga naik matahari kadar segalah dan berkekalan waktunya hingga jatuh matahari akhir hari tasyrik. Dan tiada harus dimakan suatu daripada korban jika korban itu adalah nazar demikian lagi segala orang yang wajib atasnya nafkahnya bahkan wajib ia sedekahkan lagi mentah dengan sekaliannya hingga kulitnya dan tanduknya maka jika ia makan suatu daripadanya wajib digantikan dia. Dan harus lagi sunat dimakan daripada korban yang sunat dan wajib disedekahkan daging yang mentah[4] namanya sedekah yakni jika sedikit sekalipun seumpama setengah kati lebih kurang tetapi sunat ia makan daripada hatinya maka disedekahkan yang lainnya sekaliannya kepada fuqara’ dan masakin[5] (golongan faqir dan miskin). Dan jika tiada diperbuat seperti yang tersebut itu,(jika ia hendak bahagiannya agak banyak) maka hendaklah ia makan satu pertiga dan dihadiahkan satu pertiga kepada orang yang bukannya faqir atau miskin dan disedekahkan satu pertiga kepada fuqara’ dan masakin, itu pun hasillah dapatlah pahalanya jika korban itu korban yang sunat[6] adapun yang wajib dengan nazarkan dia maka wajib disedekahkan sekaliannya seperti yang disebutkan dia dahulu itu. Dan wajib berniat tatkala sembelihnya seperti ia berniat dengan hatinya akan makna katanya "ini korbanku" jika ia korbankan sunat sendirinya atau ia wakilkan seorang gantinya pada menyembelih maka hendaklah ia berniat[7] tatkala ia beri kepada wakilnya barang yang hendak dikorbankan dia dan jikalau tiada ketahui oleh wakil keadaannya korban sekalipun dan harus bagi seorang ia serahkan niat bagi Muslim yang mumayyiz sama ada ia wakil pada menyembelih atau lainnya (wajib disedekahkan mentahnya. Dan haram ia pindahkan korban daripada negerinya yang disembelihkan padanya kepada negeri yang lain dan tiada mengapa jika dipindahkan harganya daripada satu negeri kepada negeri supaya dibelikan dan disembelihkan di sana maka adalah sah korban itu jika ia daripada salah suatu daripada na’am yang tersebut itu iaitu unta, lembu, kerbau, kambing dan kibash yang memadai daripada na’am itu jika sudah sampai umurnya seperti yang terdahulu sebutnya lagi jangan ada cela yang menegahkan sah korban iaitu seperti yang lalu sebutannya. Dan memadai seekor kambing atau kibash bagi seorang jua dan pada lembu atau kerbau atau unta memadai bersekutu pada seekor daripadanya 7 orang dan jika ada berhimpun pada 7 itu dam[8] dan korban sekalipun.  Adapun ‘aqiqah sunat muakkad bagi walinya[9] yang wajib di atasnya nafkah korbannya itu menyembelih daripadanya harta wlinya dan masuk waktunya daripada waktu bercerai (putus tali pusat) kanak-kanak[10] itu hingga baliqhnya dan afdhalnya pada hari ke-7 daripada hari diperanak dan hari yang diperanakkan padanya dan yang afdhalnya jika anak lelaki[11] atau khunsa disembelihkan 2 ekor kambing bersama-sama keduanya pada rupanya atau dua pertujuh daripada unta dan jikalau perempuan disembelihkan seekor kambing atau satu pertujuh daripada umpama unta dan syarat yang sah yang dijadikan ‘aqiqah itu yang ada umurnya setahun masuk pada yang keduanya pada kibash itu atau sudah bersalin dua giginya yang di hadapan dan pada kambing betul umurnya 2 tahun masuk ketiganya dan hendaklah yang disembelihkan itu sejahtera ia daripada segala ‘aib yang disebutkan dia pada korban dan hukum ‘aqiqah seperti hukum korban melainkan pada ‘aqiqah yang afdhalnya disedekahkan kemudian daripada dimasukkan dia dan tiada dipatah-patah akan tulangnya. Dan sunat di azankan pada telinga yang kananya bagi kanak-kanak dan iqamat pada telinganya yang kiri kemudian daripada diperanakkan dia dan sunat dibacakan ‘inna anzalna hu’ pada telinga yang kanannya dan sunat dicukurkan kepalanya samada ia lelaki atau perempuan pada hari yang ke-7 kemudian daripada disembelihkan ‘aqiqahnya dan sunat dikatakan ketika disembelihnya ‘Bismillah Allahumma laka wa ilaika ‘aqiqatun fulan’ dan sedekah seberat rambutnya daripada emas atau perak kepada faqir dan miskin dan sunat dinamakan dia dengan yang baik[12] seperti Abdullah atau Abdul Rahman kemudian Muhammad atau Ahmad dan haram dinamakan dengan seumpama Abdul Ka’bah, Abdul Nabi, Abdul Rasul, Adul Manaf atau Abdul Manaf dan sunat dimasukkan daging ‘aqiqah dan sunat diberi sebelah kakinya yang kanan daripada ‘aqiqah itu diberi mentah kepada bidannya dan daging yang hendak disedekahkan dimasukkan gula dan dibahagikan kepada fuqara’ dan masakin dan sunat digosokkan pada langit-langit kanak-kanak dengan umpama tamar atau zabib (kismis) atau barang yang manis[13] yang tiada dilintangkan atas api yang sudah dimamah oleh orang yang ahlu as solah (orang baik-baik) kemudian dimasukkan pada mulut kanak-kanak itu kemudian digosokkan langit-langitnya dengan umpama tamar itu.

Nota Tambahan:
a) Korban itu adalah sunat kifayah bagi satu rumah. Jika tiada yang mengorbankan sesuatu maka ia menjadi sunat ain.
b) Korban itu adalah sunat pada hak umat dan wajib pada Nabi saw.
c) Sunat bagi lelaki itu sembelih sendiri dan jangan wakilkan kepada orang lain jika beliua mengetahui cara menyembelih.
d) Tukang sembelih haruslah faqih dan jika safih (agak cacat otak) juga dibenarkan.
Makruh korban disembelihkan oleh Kafir ahli kitab. Tidak makruh jika perempuan menyembelih (jika faqih)
e)     Beza Aqiqah dan Korban :
·         Daging Aqiqah sunat dimasak manis manakala korban disedekah mentah.
·         Tulang Aqiqah jangan dipatahkan dan hanya dipotong sendinya sahaja (jika mampu).
·         Fatimah RA telah menghadiahkan bahagian kaki Aqiqah kepada bidan anaknya atas perintah Rasulullah SAW.

Disediakan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
                          Universiti Malaya
                           2006
(Semoga kita menyelami ilmu-ilmu fiqh Islam yang digali semula daripada khazanah konvensional-tradisional Ulama' Melayu yang sebenarnya masih baru tetapi terpinggir oleh arus pengajia Islam secara moden dan saintifik. Moga paduan pengajian moden dan tradisional akan menghasilkan jiwa yang matang serta berjati diri tinggi.)


[1]  Pengorban haram menjual daging korbannya. Orang kaya yang dihibah/diberikan daging korban, haram menjualnya kembali. Orang miskin yang menerima sedekah daging korban itu.
[2]  Terdapat pendapat sahabat Nabi yang mengatakan boleh untuk kita mengorbankan ayam dan itik jika terlalu tidak mampu. Akan tetapi pendapat ini tidak popular.
[3] Jika cacat asli sejak lahir dan cacat itu tidak jejaskan daging, tidak mengapa untuk dikorbankan serta dibuat aqiqah.
[4]  Daging Dam tidak termasuk dalam bab korban dan aqiqah. Bahagian yang diniat korban tak boleh diniat sebagai bayar dam haji.
[5]  Haram menjamu orang bukan Islam daging korban. Hari ini kita melihat ramai golongan yang cuba membuat helah iaitu dengan mencampurkan daging yang dibeli dengan daging korban semata-mata untuk memberi sedikit kepada orang bukan Islam. Hal ini tidak dibenarkan.
[6]  Jika korban wajib atau nazar, wajib disedekahkan semuanya. Jika tidak sunat menjamah hati dan mensedekahkan selebihnya
[7]  Satu ekor lembu boleh diniatkan untuk jual, aqiqah, korban, nazar mengikut bahagian-bahagian lembu bermaksud lembu itu perlu dibahagikan mengikut tujuan.
[8] Maksud disini adalah dalam seekor lembu sebagai contoh dibahagikan kepada 7 bahagian. Salah satu bahagian diniat Dam dibenarkan. Jangan seekor lembu diniat korban serentak dengan niat Dam. Boleh juga diniat untuyk dijual, untuk dihibah, untuk dihadiah, Dam dan dan korban secara berlainan dalam 7 bahagian itu. (rujuk Kitab Majmu')
[9]  Maksud wali di sini ialah seseorang yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak itu. Daripada Salman Bin Amir Ad Dhobbi RA, kata Rasulullah " bersama bayi itu aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan" (iiatu kekotoran dan najis) (Riwayat Imam Bukhari)
[10]  Jika anak luar nikah, dibenarkan membuat aqiqah secara rahsia demi menjaga maruah. Hal ini adalah kerana, Imam Hanbali pernah berkata bahawa seseorang itu tidak akan mendapat syafaat anaknya jika tidak membuat aqiqah untuk anaknya.
[11] Daripada Aisyah RA katanya Rasulullah memerintahkan agar mengaqiqahkan anak lelaki dengan 2 ekor kambing yang sepadan dan mengaqiqah anak perempuan dengan seekor kambing. (riwayat  Imam At Tarmizi)
[12]  Sunat kita menamakan anak walaupun mati semasa kecil supaya anak itu mempunyai nama di akhirat kelak.
[13]  Sunat mensedekahkan daging aqiqah dalam bentuk masakan yang manis bukannya seperti daging korban yang diberikan secara mentah.
 
 


Ibadah Aqiqah


PENGENALAN AQIQAH
Pengertian Aqiqah dari segi bahasa:
Aqiqah menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari.
Antara definisi lain;
Aqiqah menurut bahasa ertinya `memotong’ . Pada asalnya ialah rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan dengan aqiqah kerana ianya harus dipotong ( dicukur ).
Menurut Istilah pula aqiqah ialah Haiwan yang disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut kepala bayi itu.
Pengertian Aqiqah Menurut Syara`:
Menurut istilah hukum syara’, aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”
Antara pengertian lain;
Aqiqah dalam pengertian syara` ialah binatang ternakan yang berkaki empat (bahimatul an`am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.
Dalam bahasa Arab, kata bahimatul an’aam (binatang ternakan) adalah termasuk unta, lembu, kerbau,biri-biri,kibas dan kambing, bukan yang lain. [Al Jabari, 1994]
SEJARAH ASAL-USUL IBADAH AQIQAH
Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa ” Pada zaman Jahiliyyah, apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.Menurut riwayat Ibnu Sakan pula ” Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu.
Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah s.a.w. Baginda saw menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
HUKUM AQIQAH
Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad saw ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hassan dan Hussain alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam, lalu Baginda saw bersabda yang maksudnya :
“Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.”
[HR. Abu Daud]
Maksud hadis daripada perkataan (“suka atau ingin” menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan barulah ianya dipanggil aqiqah wajib.
Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” [HR. Tirmizi]
“Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi]
Rasulullah s.a.w. bersabda : ” Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” [HR. Riwayat Tirmizi]
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
JENIS HAIWAN DAN KADAR AQIQAH
Haiwan yang digunakan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.
1. Kambing, biri-biri dan kibas – melebihi satu tahun
2. Lembu dan Kerbau- melebihi dua tahun
3. Unta- melebihi lima tahun
Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak(Bahimatul An’aam)-yang mempunyai empat kaki- dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Menurut Imam Malik,Asy-Syafi’e,Ahmad dan jumhur ulama’ , bahawa aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki(Bahimatul An-`aam) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dan kibas (sama seperti ibadah korban). Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;
1. Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
2. Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
3. Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
4. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
5. Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.
Manakala,rusa, kijang dan kancil tidak termasuk dalam kategori Bahimatul An’aam.Maka ketiga-tiga haiwan tersebut(rusa,kijang dan kancil) tidak dibolehkan untuk dijadikan sebagai haiwan aqiqah.
Yang lebih utama(Afdhal) untuk kadar aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah 2 ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, kerana ada hadis riwayat Aisyah yang maksudnya:
“Rasullulah s.a.w. memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”
Perlaksanaan ibadah aqiqah dianjurkan baik untuk anak lelaki mahupun anak perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bemaksud;
” Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” [HR. Ahmad & Tirmizi].
Rasulullah bersabda; ” Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.” [HR. Ibnu Abi Syaiban].
Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara;
Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama syariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.
Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan 2 ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.
Walaubagaimanapun,anak lelaki sebaik-baiknya(afdhal) diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing,manakala anak perempuan pula seekor kambing. Akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut, ini kerana Rasulullah s.a.w. sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan; ” Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengaqiqah Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” [HR. Abu Daud].
Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah s.a.w telah membuat aqiqah Hasan dan Husin, masing-masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).
Dalam menentukan waktu yang terbaik untuk seseorang itu melaksanakan aqiqah, kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyatakan bahawa penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh, jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Adapun jika pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah tersebut.
Rasulullah s.a.w bersabda; ” Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi].
Apabila anak sudah dewasa, maka sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.
Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah dirinya sendiri.


Ibadah Korban

IBADAT KORBAN


Definisi
Apa yang disembelih daripada unta, lembu, kambing atau kibas semata-mata menghampirkan diri kepada Allah pada hari raya. Asal disyarakkan ibadat korban ini melalui firman Allah dalam ayat 2 surah al-Kauthar yang bermaksud : Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Maksud "nahr" dalam ayat ini mengikut pandangan yang paling ramai dan sohih adalah membawa maksud korban binatang-binatang korban.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud bahawa nabi S.A.W telah mengorbankan dua kibas yang mempunyai tanduk yang besar. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri. Baginda menyebut nama(Allah) dan bertakbir. Baginda meletakkan kedua luntut baginda di atas bahagian (berhampiran) tengkok keduanya.

Hikmat daripada pensyariatan ibadat korban

1.Ibadat korban sama sebagaimana ibadat yang lain adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
2. Menghidup dan mengingatkan semula pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail.
3. Menghidupkan suasana bantu-membantu antara yang kaya dan miskin dengan ketibaan hari raya dengan sedikit bantuan daripada daginmg-daging korban yang disedekah.
4. Mengeratkan lagi ukhwah Islamiah yang terbina dan menyiramkan ruh bermasyarakat.

Hukum ibadat korban

Hukumnya adalah sunat muakkad(digalakkan) tetapi ia akan menjadi wajib dengan 2 sebab iaitu :

Pertama : Dia mengisyaratkan kepada binatang yang berada di bawah peliharaannya yang baik untuk dikorbankan maka dia berkata : "Ini adalah binatang korbanku" atau "Aku akan berkorban dengan kambing ini" sebagai misalnya. Jika dia berkata sebagaimana tersebut maka dia diwajibkan berkorban.

Kedua : Dia mewajibkan dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan korbannya seperti katanya : "Untuk Allah atasku untuk berkorban". Maka dengan ini maka dia diwajibkan berkorban yang mana ia menjadi hukum sebagaimana orang bernazar.

Mereka yang disuruh untuk melakukan ibadat korban

Disunatkan melakukan ibadat korban ini kepada mereka yang mempunyai syarat-syarat berikut :
1. Islam dan tidak diminta kepada orang kafir
2. Telah baligh dan berakal yang mana tidak dituntut kepada yang belum baligh atau pun gila
3. Mempunyai kemampuan yang mana mempunyai kewangan yang berlebihan daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungannya samada makanan, tempat tinggal dan pakaian sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Binatang yang disyarakkan untuk dijadikan korban

Tidak sah untuk dijadikan binatang korban selain daripada unta, lembu(termasuk kerbau), kambing(termasuk biri-biri dan kibas dan seumpamanya). Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah dalam ayat 34 surah al-Haj : Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka. Maka Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa kerana itu berserahlah dirimu kepadaNya. Dan berilah khabar gembira kepada mereka yang tunduk dan patuh(kepada Allah). Binatang ternakan(al-An'am) tidak terkeluar daripada maksud jenis binatang yang tiga tadi. Ini kerana tidak pernah diriwayatkan samada daripada nabi S.A.w sendiri atau pun sahabat tentang binatang korban yang selain daripada tiga jenis tadi.
Mengenai binatang yang paling utama dari segi kelebihannya ada ulama' yang mengatakan unta kemudian lembu dan seterusnya kambing dan ada pula yang berpendapat kambing yang lebih afdhal.
Dibolehkan melakukan ibadat korban dengan berkongsi tujuh bahagian daripada seekor unta atau pun lembu tetapi bagi kambing hanya untuk seorang sahaja.Ini adalah mengikut kepada perbuatan Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Jabir telah berkata : Kami telah melakukan ibadat korban bersama Rasulullah S.A.W pada tahun Hudaibiah seekor unta daripada tujuh bahagian dan lembu daripada tujuh bahagian.
Kita juga diharuskan berkongsi satu daripada tujuh bahagian samada daripada seekor unta atau lembu walau pun dengan niat yang berbeza seperti ada yang berniat korban, ada yang berniat aqiqah, ada untuk dijual dan ada untuk nazar dan sebagainya. Cuma hukum untuk daging tersebut mengikut apa yang diniatkan oleh seseorang.

Syarat binatang korban

Pertama : Umur
-Bagi unta mesti genap enam tahun dan setengah berpendapat sudah cukup hanyan lima tahun.Manakala lembu atau kerbau apabila berumur tiga tahun dan setengah berpendapat cukup dua tahun. Sementara kambing dan seumpamanya telah genap dua tahun atau pun bersalin gigi iaitu gugur gigi depannya walaupun belum cukup dua tahun iaitu biasanya enam bulan.
Dalilnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh oleh imam Ahmad daripada Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik binatang korban itu ialah kambing yang telah bersalin(gigi).

Kedua : Selamat daripada sebarang penyakit
- Iaitu mesti selamat daripada sebarang aib yang boleh menyebabkan kurangnya daging. Tidak sah korban kambing yang gila, tempang yang jelas, mempunyai kecacatan atau penyakit dan terpotong sebahagian daripada badannya.
Imam Tarmizi dan Abu Daud telah meriwayatkan daripada al-Barra' bin 'Azib daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Empat perkara yang tidak dikira pada binatang korban : keaiban yang jelas keaibannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas ketempangannya dan sakit gila.
Diqiaskan daripada empat kecacatan atau keaiban tadi maka dikira apa yang seumpamanya merupakan perkara yang boleh menyebabkan korban tidak dikira.

Waktu korban

Bermula daripada selepas terbitnya matahari hari raya eidil Adha dengan kadar cukup untuk menunaikan dua rakaat hari raya dan dua khutbah hari raya. Waktu ini berterusan sehinggalah terbenam matahari hari tasyriq iaitu hari 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu yang paling afdhal (lebih baik) untuk melakukan penyembelihan binatang korban adalah sebaik selesai menunaikan solat sunat hari raya eidil Adha sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim: Permulaan apa yang kami mulakan dengannya hari ini adalah solat, kemudian kami pulang maka kami sembelih korban. Maka sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menurut sunnah kami. Dan sesiapa yang sembelih sebelum itu maka sesungguhnya ia merupakan daging yang diberikan kepada ahlinya bukannya daripada ibadat pada sesuatu....Makna khabar ini ialah sesiapa yang sembelih binatang korban sebelum masuk waktu solat hari raya eidil Adha dan berlalunya masa yang memungkinkan dia melakukan solat padanya maka sembelihannya tidak dikira ibadat korban tetapi menjadi sembelihan biasa sahaja.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Habban daripada Jubir bin Mut'im telah berkata : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dan setiap hari-hari tasyriq merupakan hari sembelih...

Apa yang perlu dilakukan dengan daging korban

Pertama : Sekiranya korban itu wajib seperti nazar maka daging korban itu tidak boleh dimakan oleh oarng yang melakukan korban itu dan juga semua ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Sekiranya ada dikalangan mereka tersebut makan daripada daging korban itu maka dia wajib menggantikannya samada dengan daging lain atau pun harga daging dengan kadar yang telah dimakan.

Kedua : Sekiranya korban sunat maka dia boleh memakan daging korbannya lebihan daripada apa yang telah disedekah.Yang lebih afdhal dia makan sedikit daripada daging korban itu sebagai mengambil berkat dan disedekahkan yang selebihnya. Untuk makan satu pertiga, satu pertiga untuk disedekah kepada orang miskin dan satu pertiga selebihnya untuk dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran-jirannya walaupun mereka kaya.Tetapi pemberian kepada mereka yang kaya untuk dimakan bukannya untuk jualan berlainan dengan pemberian kepada orang miskin adalah sebagai pemilikan samada untuk dia makan atau dibuat apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
Asal daripada hukum tersebut menurut kepada maksud ayat 36 surah al-Haj : Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri , Kemudian apabila telah roboh (mati) maka makanlah sebahagiannya dan berikanlah makan oarng yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.
Bagi mereka yanmg melakukan korban juga diminta memberi sedekah kulit binatang korbannya atau pun dia sendiri yang menggunanya. Dia dilarang menjualnya atau pun memberinya kepada penyembelih sebagai upah bukannya sedekah. Ini adalah kerana perkara itu boleh menyebabkan berlakunya kekurangan daripada binatang korban dengan merosakkannya pada perkara yang dilarang. Apa yang diriwayatkan oleh imam al-Baihaqi daripada nabi S.AW telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang menjual kulit sembelihan maka tidak dikira korban baginya.



Biografi
1. Al-Quranul karim
2. Feqhul Minhaji karangan Doktor Mustafa Khan dan sahabat, Darul Qalam
 

Persoalan

Saya ingin melakukan ibadah aqiqah untuk anak lelaki saya. Umum mengetahui bahawa ibadah aqiqah untuk anak lelaki adalah afdal baginya 2 ekor kambing.

Soalan;

1) Bagaimana jika saya melakukannya dengan seekor kambing, adakah aqiqah itu menjadi tidak sempurna?
2) Abang saya telah menghadiri ceramah agama yang berkaitan dan mengatakan ibadah aqiqah ini ibarat setem.
Umpama surat tanpa setem. Doa anak tidak akan sampai kepada orang tuanya jika anak itu tidak diaqiqahkan.

wa`alaikumus salam.

1. kalau tidak mampu boleh ber`aqiqah untuk anaklelaki seekor kambing.
2. Doa anak tetap sampai kepada orang tuanya jika anakitu tidak diaqiqahkan, cuma di akhirat nanti anak itu tidak dapat memberi shafaat kepada ibu bapanya.

Ada orang aqiqahkan 7 orang anak dengan seekor lembu kerana di kiaskan dengan qurban. Apabila saya teliti hujah-hujah ulama yang qiaskan aqiqah dengan qurban ini nampaknya amat lemah sekali. Sebab itu ramai juga ulama yang berpendapat tidak sah aqiqah dengan lembu
kerana dzahir hadith dengan kambing. Mengkiaskan aqiqah dengan kurban adalah satu kesilapan keranaqurban pada hakikatnya tak sama denagn aqiqah.

Namun begitu dalam kitab Tarbiyatul Aulad, kalau tak silap saya Sheikh Nasih Ulwan ada bawa hadith Ibnu`Abbas pernah mengaqiqahkan anaknya dengan seekor unta. Anaknya ini seorang ,bukan 7 orang.Kerana itu ada juga ulama yang berpendapat bahawa boleh aqiqah dengan lembu tetapi mestilah seorang anak dengan seekor lembu, bukan 7 orang seekor lembu sebagaimana
qurban. WALLAAHU `AA`LAM.

sumber: ustaz zaharuddin

Aqiqah :Bagaimana dan bilakah masa yang paling digalakkan untuk melaksanakannya?
Melaksanakan ibadah aqiqah ialah dengan melakukan sembelihan pada hari ketujuh kelahiran anak sehinggalah akil baligh anak tersebut.

Apakah hukum melaksanakan ibadah aqiqah?


Hukum – Sunat yang dituntut ( muakad )

Berapa bilangan (ekor) haiwan ibadah aqiqah yang di galakkan?
Menurut hadis yang telah di sebutkan diatas, sekurang-kurangnya bagi seorang anak perempuan adalah seekor kambing dan bagi anak lelaki pula di galakkan dengan dua ekor kambing.

Bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya sendiri jika belum diaqiqahkan sewaktu kecil dahulu?
Boleh melakukan aqiqah tersebut dan hukumnya harus.
Jika saya tidak mempunyai masa dan sring sibuk, bolehkah saya mewakilkan pelaksanaan aqiqah kepada pihak ketiga?

Boleh dan hukumnya harus bagi kita untuk mewakilkan ibadah qurban mahupun aqiqah kepada pihak lain.

Apakah hukum melaksanakan ibadah qurban?

Hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkad. Ini bermakan ia adalah ibadah sunat yang sangat-sangat di tuntut oleh Islam keatas umatnya untuk di lakukan jika berkemampuan.

Berapa bilangan (ekor/bahagian) haiwan ibadah qurban yang di galakkan?

Bagi setiap seekor lembu, unta atau kerbau itu boleh dibahagi kepada 7 bahagian. Bahgian paling sedikit yang harus dilakukan oleh seseorang itu adalah satu bahagian dan tiada batasan untuk bilangan paling banyak. Seseorang muslim itu boleh melaksanakan ibadah qurban ini sebanyak mungkin mengikut kemampuannya. Adapun bagi kambing pula, bagi seekor kambing tidak boleh dibahagi mengikut bahagian seperti lembu. Maka bagi setiap kambing itu adalah untuk seorang muslim sahaja.
sumber ezqurban.com

FATWA MENGENAI BAB KORBAN

Bolehkah Haiwan Unta Dikongsi Oleh Sepuluh Orang Bagi Tujuan Korban Atau Dam Haji?

Melalui penyemakan dan penelitian terhadap hadis-hadis yang berkaitan ibadah korban, didapati bahawa hadis yang mengharuskan perkongsian sepuluh orang untuk tujuan korban dan dam bagi haiwan unta adalah hadis hasan gharib.

Sehubungan dengan itu, sukacita abis kaola mendapatkan fatwa dan ketentuan hukum berhubung ibadah korban bagi haiwan unta untuk dijadikan pegangan oleh masyarakat di Negara ini.

Answer :

الحمدلله الفتاح الوهاب الهادى الى الحق والصواب ، والصلاة والسلام على رسوله خاتم الأنبياء والرسل ، واله وصحبه اجمعين .

Dalam mazhab Syafi’e harus berkongsi seekor unta untuk tujuh orang dengan dibahagi kepada tujuh bahagian. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Jabir :

نحرنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عام الحديبية البدنة عن سبعة والبقرة عن سبعة
(رواه مسلم )

Maksudnya : “Kami berkorban bersama Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam pada tahun (ditandatangani) perjanjian Hudaibiah seekor unta bagi tujuh orang, dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat Muslim yang lain menyebutkan :

خَرجْنَا مَعَ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم مُهِلّينَ بِالحَجّ ، فَأَمَرنَا رسول الله صلى الله عليه وسلم أَن نَشْتَرِكَ فِي الإِبل وَالبَقْرِ ، كل سبعة مِنّا في بَدَنَةِ
(رواه مسلم)

Maksudnya : “Kami keluar bersama rasulullah Shallallahu alaihi wassalam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam telah memerintahklan kami supaya berkongsi mengorbankan unta dan lembu. Setiap tujuh orang daripada kami berkongsi seekor unta.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi unta, lembu atau kerbau yang dikongsi seramai tujuh orang itu tidak disyaratkan ketujuh-tujuh orang itu melakukan korban, bahkan jika berlainan tujuan(qashd) merka, seperti sesetenaghnya mahu berkorban, sesetenaghnya pula mahu aqiqah, setengahnya hendak makan daging atau menjualnya, maka sah korban tersebut dan sah juga aqiqah. Hukum ini ada tersebut dalam kitab Majmu’.

Ulama member ulasan mengenai hadis riwayat Jabir di atas bahawa hads ini menunjukkan keharusan perkongsian bagi binetang unta dan lembu di mana kedua-dua binatang itu – bagi tiap satunya – harus dikongsi oleh tujuh orang. Ini dalam perkara dam , oleh itu diqiaskan keharusan itu dalam perkara korban ( Subul As-Salam 4/ 538)

Persoalan yang dimusykilkan ialah bolehkan haiwan unta dikongsi oleh 10 orang? Memang ada hadis yang membolehkan deikian seperti hadis riwayat Ibnu Abbas:

كنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم فى سفر فحضر الأضحى فاشتركنا فى البقرة سبعة وفى البعير عشرة
( رواه الترمذي)

Maksudnya: “Adalah kami dalam permusafiran bersama Nabi Shallahu alaihi wassalam, lalu tiba Hari Raya Korban, kemudian kami berkongsi menyembelih seekor lembu untuk tujuh ornag dan seekor unta utuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Perawi, iaitu At-Tirmidzi berkata: “ Hadis ini Hassan Gharib. Mak zahirlah pada hadis di atas ini boleh satu unta itu berkongsi harganya sepuluh orang dan seekor lembu berkongsi harganya dengan tujuh orang.” ( Bahr Al- Mazi 11/19)

Manakala pensyarah Jami’ At-Tirmizi, imam Al-Mubarak pula berkata : “ padanya adalah dalil tentang bolehnya berkongsi sepuluh orang pada unta dan inilah pendapat Ishak bin Rahawaih.” (At-Tuhfah Al-Ahwadzi 5/52)

Bagaimanapun, menurut pendapat jumhur termasuk ulama-ulama Syafie, seekor unta adalah harus dikongsi oleh tujuh orang sahaja, bukan oleh sepuluh orang. Adapun yang berpendapat seekor unta boleh dikongsi oleh sepuluh orang itu, bukan pendapat jumhur, tetapi hanyalah pendapat segelintir ulama, seperti Al-itrah, Ishak bin Rahawaih dan Said binAl-Musayyib. Imam Asy-Syaukani pula berpendapat: “perkongsian sepuluh orang bagi seekor unta itu hanyalah dalam perkara korban, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas di atas. Adapun seekor unta dikongsi untuk tujuh orang itu ialah dalam perkara dam haji seperti hadis Jabir. Manakala lembu hanya boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada dalam perkara korban atau dam haji, dengan kesepakatan ulama (Lihat TUhfah Al- Ahwdzi 5/53)

Negara asal : Brunei darussalam
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned
Tarikh Diisu : 2000

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000
 
 

Ibadah qurban menurut pandangan Islam

IBADAH KORBAN MENURUT PANDANGAN ISLAM

SEJARAH ASAL USUL KORBAN

1. Korban Zaman Nabi Adam A.S (Rujuk Surah Al-Maidah : 27- 31)

2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S

3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S

4. Korban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S

5. Korban Zaman Nabi Musa A.S

6. Korban Bangsa Yunani dan Rom

7. Korban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W

PENGERTIAN KORBAN

Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.

Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.

Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.

DALIL-DALIL MENGENAI KORBAN

i. DALIL AL-QURAN

Firman allah;

Maksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Maksudnya ;

“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)

ii. DALIL HADIS MENGENAI KELEBIHAN KORBAN

Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;

Maksudnya;

“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”

Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”

Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”

Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

(Lihat nas al-Quran Surah al-Haj : 36-37)

iii. DALIL IJMA’ ULAMAK

Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)

HUKUM IBADAH KORBAN

Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.

Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan korban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;

Maksudnya;

“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;

Maksudnya;

“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)

Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.

Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).

Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;

“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)

Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.

Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.

Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi terlah berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.

HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN IBADAH KORBAN

1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa Jalla.

2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang ytercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.

3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.

4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;

Maksudnya;

“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa yang mengagongkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari ketaqwaan hati.”

(Surah al-Haj : ayat 32)

5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan kita.

6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau mengabaikan suruhan Allah.

7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan, mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa yang lama.

8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.

SYARAT KORBAN DAN BINATANG YANG DIKORBANKAN

1. Binatang yang hendak dijadikan qurban itu, hendaklah dari binatang yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan bagi binatang yang akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;

i. Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi

ii. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih.

iii. Unta yang telah berumur lima tahun lebih.

iv. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih.

v. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati  haiwan ternakan itu sedang bunting.

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW bersabda;

“ Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan qurban, yang rosak matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai isi.” (Hadis riwayat Muslim)

Seekor kambing hanya untuk korban satu orang diqiaskan dengan denda meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu, kerbau  boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah.  Sabda Rasulullah SAW;

Daripada Jabir , beliau berkata :

“Kami telah menyembelih korban bersama dengan Rasulullah SAW, pada Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maksudnya;

Daripada Abbbas, kami pernah bersama-sama dengan Rasululah SAW dalam satu perjalanan, ketika itu masuk hari raya qurban, maka kami bersama-sama menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

2. Korban dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan.

Dalam Mazhab al-Maliki ditambah dua syarat lagi, iaitu;

1. Penyembelih mestilah terdiri dari seorang muslim, oleh yang demikian tidak sah sembelihan seorang kafir yang telah diwakilkan oleh tuan korban kepadanya. sekiranya dia ahli kitab, maka harus memakan daging sembelihannya.

2. Tidak boleh berkongsi beberapa orang dalam membayar harga binatang korban, kecuali mereka terdiri daripada kaum kerabatnya yang terdiri daripada anak-anak, adik-beradik dan anak bapa saudaranya dan termasuk juga isteri atau suami dan ke semua mereka tinggal serumah dengannya.

WAKTU MELAKUKAN QURBAN

Waktu menyembelih qurban adalah bermula daripada matahari setinggi tombak, pada hari Raya Haji sehingga terbenam matahari pada 13 bulan Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW;

“Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum solat Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa menyembelih korban sesudah solah Hari Raya dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati sunnah atau aturan umat Islam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Maksud ‘Solat Hari Raya Haji’ dalam hadis di atas adalah waktunya, bukannya solatnya, kerana mengerjakan solat tidak menjadi syarat kepada sembelihan korban.

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

“Semua hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah), adalah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih qurban.” (Hadis riwayat Ahmad)

PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA MENYEMBELIH KORBAN

1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berkorban mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari sebelum hari korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan sebagainya.

2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.

3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat, sepertiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.

4. Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:

Maksudnya;

Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;

“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)

1. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan baginda membaca;

Maksudnya;

“ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berkorban dari kalangan umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

2. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)
4. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)
5. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu dan kambing.Sabda Nabi SAW;

Maksudnya;

Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah melakukan korban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir.” (Hadis riwayat Bukhari danMuslim)

Ketika melakukan korban Rasululah membaca;

Maksudnya;

“Ya Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

1. Memastikan bahawa binatang yang akan dikorbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.

2. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.

3. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.

4. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.” (Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)

PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN
1. Terdapat dua pandangan

i . Jumhur Fuqahak (Mazhab Hanafi, Malikiy dan Hambali)

Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging korban yang disunatkan, manakala korban nazar atau korban wajib diharamkan untuk memakannya.

Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan daging korban nazar dibolehkan sama seperti korban sunnah dan disunatkan supaya mencampurkan kedua-dua korban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh sekiranya kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi tiga hari.

1.
1. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab Hanafi dan Hambali) dalam pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka terdiri daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin.  Kenyataan ini berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lain) berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi fakir.” (Surah Al-Haj : Ayat 28)

FirmanNya lagi;

Maksudnya;

Dan berilah makan kepada orang yang redha dengan apa yang ada pada dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta.” (Surah Al-Haj: ayat 36)

Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke semuanya kepada orang lain, terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan sempurna. Walau bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarganya sebagai ‘Tabarruk’ (mengambil bekat dari ibadah korban tersebut).

Tambahan : Menurut Mazhab daging korban juga boleh diberikan kepada orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang diharapkan akan memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk menunjukkan kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.

BEBERAPA KESILAPAN DALAM IBADAH KORBAN

1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.

2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.

3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT;

Maksudnya;

“Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

(Surah al-Haj : ayat 37)

4. Pembaziran daging korban. Di mana terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita bawa pulang.

5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.

6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke suarau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.

SILA RUJUK :

1. Al-Quran dan terjemahannya

2. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuha : Dr. Wahbah Az-Zuhailiy

3. Fiq As-Sunnah : Syeikh Sabiq

4. Tarbiyatul Aulad : Dr. Abdullah Nasih Ulwan

5. Al-Fiqh al-Islamiy : Haji Sulaiman Rasyid

6. Tuntutan Qurban : Prof. Dr. T.M Hasbi As-Siddiqiy

7. Hukum Qurban dan Sembelihan : Kiyai Haji Abdurrahman

Disediakan oleh:
Ustaz Shahrom Abu Hassan
Penasihat Syariah Qurban Aqiqah JIM 1431H


HUKUM KORBAN UNTUK ORANG YG DAH MATI
ULama berselisih pendapat terhadap masalah ini kepada tiga pendapat:
PERTAMA: Tidak sah korban untuk orang yang mati melainkan dia telah mewasiatkannya sebelum mati.
Ini mazhab Syafie. Imam Ramli berkata dalam Nihayatul Muhtaj:
ولا تجوز ولا تقع أضحية عن ميت إذا لم يوص بها
Tidak boleh dan tidak sah korban untuk orang mati sekiranya dia tidak mewasiatkannya.
KEDUA: mAkruh jika tidak ada wasiat dr si mati.
Ini mazhab Maliki. Imam Malik berkata:
ولا يعجبني أن يضحي عن أبويه الميتين، قال: وإنما كره أن يضحى عن الميت لأنه لم يرد عن
النبي صلى الله عليه وسلم ولا عن أحد من السلف، وأيضاً فإن المقصود بذلك غالباً المباهاة والمفاخرة.
“Aku tidak suka korban untuk ibu bapa yg sudah mati. Ianya makruh kerana tiada dalil dari Nabi saw dan juga para salafus soleh. Ia juga kerana tujuannya ialah untuk berbangga-bangga.”
KETIGA: hARus.
InI Adalah pendapat mazhab Hambali dan Hanafi. Dalil mereka:
عن عائشة رضي الله عنها: أنّ امْرَأةً قَالَتْ: يَا رَسُولَ الله إنّ أُمّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَلَمْ تُوصِ وأراها لو تَكَلَّمَتْ تصَدَّقَتْ، أفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ فَتَصَدّقِي عَنْهَا.
Daripada Aisyah ra beliau berkata: Seorang wanita bertanya “ Ya rasulullah sesungguhnya ibuku terbunuh dan tidak mewasiatkan apa2. Aku rasa kalau dia boleh berkata dia akan bersedekah. Adakah aku boleh bersedekah bagi pihaknya? Nabi saw menjawab “ Ya, sedekahlah untuknya.”
Hadis sahih Bukhari dan Muslim.
Ini dalil umum dimana diqiaskan korban dengan ibadah sedekah .
KESIMPULAN
Ini adalah masalah khilafiyah furu’. Mana2 pendapat pun kuat dengan dalil masing2. Ulama yg menegah berkata tidak ada dalil khusus dan ulama yg membenarkan qias dgn amalan sedekah.


Hukum Hakam Kurban

October 22, 2012 by admin

Korban (قربان) atau Udhiah (أضحية) merupakan syiar (lambang) agama Islam selaku agama Tauhid yang diturunkan Allah subhanahu wata’ala sebagai pedoman hidup manusia. Ibadat ini termasuk ibadat maliah (ibadat harta) dan terikat dengan waktu tertentu iaitu dalam bulan Zul Hijjah sahaja. Oleh itu, eloklah kita memberi perhatian berkenaan hukum ibadat yang besar ini.

Takrif Udhiah:
Maksud Udhiah (أضحية) dalam bahasa adalah:
شَاةٌ نَحَرَهَا تُذْبَحُ في يَوْمِ الْأُضْحِيَّةِ
Maksudnya: “Biri-biri yang disembelih pada hari raya Adha”.[al-Bahr al-Raiq, 8/197].
Adapun dalam takrif istilah adalah:
اسم لما يذبح أو ينحر من النَّعم تقرباً للّه تعالى في أيام النحر
Maksudnya: “nama bagi haiwan ternakan yang disembelih sebagai amalan mendekatkan diri kepada Allah yang dilaksanakan pada hari-hari Nahar (hari raya Adha)”[Fiqhul Ibadat 'ala al-Mazhab al-Hanafi, 1/538].
Maksud Na’am adalah haiwan ternakan dan ia hanya menunjukkan pada empat jenis haiwan iaitu : Kambing, Lembu, Unta, dan Biri-biri.
Hari Nahar adalah 10 Zul Hijjah sehingga 13 Zul Hijjah.
Hukum Udhiah
Para ulama sepakat udhiah disyariatkan tetapi mereka berikhtilaf sama ada disyariatkan udhiah itu secara ‘wajib’ atau ‘mandub’ sahaja.
Imam Abu Hanifah r.h dan Imam Malik r.h berpendapat Udhiah adalah Wajib bagi mereka yang berkemampuan pada hari-hari nahar.
Berkata Ibn Najim al-Hanafi:
تَجِبُ على حُرٍّ مُسْلِمٍ مُوسِرٍ مُقِيمٍ على نَفْسِهِ لَا عن طِفْلِهِ شَاةٌ أو سُبُعُ بَدَنَةٍ فَجْرَ يَوْمِ النَّحْرِ إلَى آخِرِ أَيَّامِهِ
Maksudnya: “Wajib (udhiah) atas orang merdeka, Islam, berkemampuan, dan menetap (bukan musafir) atas dirinya sendiri dan tidak wajib (bagi bapa) melakukan udhiah untuk anaknya dengan seekor bebiri atau 1/7 unta bermula fajar hari Nahar (10 Zul Hijjah) sehingga akhri hari-harinya (11, 12, dan 13 Zul Hijjah)”.[al-Bahr al-Raiq, 8/197].
Berkata Ibn Abdil Barr r.h.:
الأضحية عند مالك سنة تجب على كل من وجد سعة من الرجال والنساء الأحرار
Maksudnya: “Udhiah di sisi Malik adalah sunnah yang diwajibkan ke atas sesiapa yang mempunyai kemampuan sama ada lelaki atau wanita yang merdeheka”[al-Kafi fi Fiqh Ahli al-Madinah, 1/173].
Dalil mereka adalah firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah al-Kausar ayat 2:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
Maka, menurut kaedah; Asal setiap perintah adalah wajib. Mereka juga berdalil dengan hadis:
من وَجَدَ سَعَةً ولم يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا
Maksudnya: “Sesiapa yang mampu tetapi tidak berkorban maka janganlah dia dekati tempat solat kami”[Ahmad, Ibn Majah].[1]
Imam Abu Yusuf r.h dan al-Qadi Muhammad bin al-Hasan r.h, Imam al-Syafii, dan Imam Ahmad berpendapat hukum Udhiah adalah sunat muakkad (tidak wajib) berdalilkan hadis berikut:
إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا
Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari awal Zul Hijjah dan salah seorang kamu hendak melaksanakan udhiah maka janganlah dia menyentuh (membuang) rambutnya dan kulitnya sesuatu pun”[Muslim].
Syahid daripada hadis ini adalah perkataan baginda: وأراد (dan salah seorang kamu hendak) menunjukkan baginda s ‘alaihi wa  sallam tidak mewajibkan korban.
Adapun hadis yang menjadi dalil bagi Hanafiah dan Malikiah, golongan jumhur mendaifkan hadis tersebut dan jika ia sahih sekalipun di bawa maknanya kepada sunat muakkad kerana warid daripada Rasulullah shallalllahu ‘alaihi wa sallam penggunaan kalimah ‘wajib’ untuk menunjukkan sunat muakkad.
Maka pendapat ini adalah lebih kuat pada pandangan penulis kerana bersesuaian dengan hadis sahih diriwayatkan Muslim. Namun, para ulama yang berpendapat tidak wajib udhiah juga telah bersepakat adalah tidak disukai bagi mereka yang mampu meninggalkannya kerana ia adalah syiar, apabila sebuah qaryah tidak melaksanakan udhiah maka hukum itu bertukar menjadi fardu kifayah.
Oleh itu, kaum muslimin janganlah memandang remeh hukum udhiah ini bahkan hendaklah sentiasa berusaha untuk melaksanakannya.
Syarat-syarat Udhiah (haiwan kurban)
1- Hendaklah haiwan yang hendak dikorbankan terdiri daripada al-An’am (Haiwan Ternak) iaitulah : Unta, Lembu[2], Bebiri, dan Kambing. Ini berdalilkan firman Allah subhanahu wata’ala
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin”-[al-Haj: 28].
Berkata Imam al-Syafii r.h:
الضَّحَايَا الْجَذَعُ من الضَّأْنِ والثنى من الْمَعْزِ وَالْإِبِلِ وَالْبَقَرِ وَلَا يَكُونُ شَيْءٌ دُونَ هذا ضَحِيَّةً
Maksudnya: “haiwan udhiah itu adalah: kambing biri-biri jaza’, dan al-Sani daripada kambing biasa, unta dan lembu dan selain daripada ini tidak boleh menjadi haiwan korban”-[al-Umm, 2/223].
Oleh itu, kefahaman sebahagian masyarakat Melayu bolehnya berkorban dengan semua haiwan berkaki empat seperti kuda, kijang, dan rusa adalah salah sama sekali. Ini kerana dalam bahasa Arab, al-An’am tidak termasuk kuda, rusa, kijang, dan seumpamanya. Hanya haiwan yang empat kita sebutkan sahaja dinamakan al-An’am.
2- Hendaklah al-An’am ini mencapai umur yang diiktiraf syarak iaitu al-Jaza’ untuk bebiri dan al-Sani bagi unta,lembu, dan kambing. Dalilnya adalah hadis Riwayat Muslim:
لا تذبحوا إلا مسنة إلا أن يعسر عليكم فتذبحوا جذعة من الضأن
Maksudnya: “Janganlah kamu sembelih kecuali musinnah melainkan kamu sukar mendapatnya maka sembelihlah anak bebiri jaza’ (berumur 8 atau 9 bulan)”.
Al-Musinnah adalah haiwan yang telah bersalin gigi iaitulah:
Unta berumur 5 tahun masuk 6
Lembu berumur 2 tahun masuk 3
Kambing Biasa berumur 2 tahun
Al-Jaza’ pula adalah anak kambing bebiri yang berumur setahun di sisi Syafiiah. Menurut Hanabilah berumur 6 bulan masuk 7 bulan. Menurut ulama Lughah al-Jaza’ adalah berumur antara 8 atau 9 bulan. Ibn Abdil Barr r.h menetapkan al-jaza’ itu berumur antara 6 bulan sehingga setahun semuanya terpakai.
Terdapat pendapat yang mengahruskan berudhiah dengan haiwan al-Jaza’ bagi kesemua jenisnya sama ada unta, lembu, dan kambing berdalilkan hadis :
عن عقبة بن عامر الجهني قال : قسم رسول الله صلى الله عليه و سلم فينا ضحايا فأصابني بني جذع فقلت يا رسول الله إنه أصابني بنى جذع فقال ( ضح به )
Maksudnya: “Daripada Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya: Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan antara kami haiwan korban lalu aku mendapat anak-anak jaza’ lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, saya mendapat anak-anak jaza’ sahaja! Maka baginda bersabda: “Berkorbanlah kamu akannya”.[Muslim].
Dalam lafaz yang lain riwayat Muslim juga dinyatakan:
فبقي عتود
Maksudnya: “maka yang tinggal (bagiku) hanyalah ‘atud..”
Atud adalah jaza’ daripada kambing biasa. Maka berdalilkan hadis ini mereka membolehkan berkorban dengan aljaza’ secara mutlak.
Namun, jika diperhatikan, hadis ini pada zahir siaqnya membawa makna hukum asal adalah tidak boleh menyembelih al-jaza’ pada selain bebiri oleh sebab itu Uqbah mengadu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan keizinan baginda kepada Uqbah membawa makna rukhsah khusus bagi beliau sahaja. Ini sama halnya dengan Abu Burdah r.a bapa saudara al-Bara’ bin ‘Azib r.a :
عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَال َضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ
Maksudnya: “Daripada al-Bara bin Azib r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah ibu) yang dipanggil Abu Burdah melakukan korban sebelum solat lalu Rasulullah s.a.w menyatakan: Bebiri yang kamu sembelih itu hanyalah daging sahaja (tidak sah korban). Maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku (hanya ada) anak kambing jaza’ . Lalu sabda Nabi s.a.w: Sembelihlah ia dan tidak boleh bagi selain kamu selepas ini…”-[al-Bukhari].
Hadis ini menyatakan Abu Burdah telah tersalah berkorban sebelum solat. Lalu Nabi s.a.w menyuruhnya mengulang korbannya tetapi dia tiada lagi bebiri hanya ada anak kambing jaza’. Lalu Nabi s.a.w membenarkan khusus baginya sahaja. Maka, pendapat yang membolehkan korban dengan al-jaza’ secara mutlak adalah pendapat syaz dan tidak patut diikuti.
3- Hendaklah Haiwan Korban itu Tidak mempunyai cacat yang nyata. Dalinya adalah sabda Nabi s.a.w:
أَرْبَعٌ لاَ يَجُزْنَ : الْعَوْرَاءُ الْبَيِّنُ عَوَرُهَا ، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا ، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ ظَلَعُهَا ، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تُنْقِي
Maksudnya: “empat jenis haiwan yang tidak sah korban dengannya: Buat sebelah matanya dan jelas pula buta itu, yang sakit dan jelas kelihatan ia sakit, yang tempang dan jelas ketempangannya, dan yang tiada dagingnya kerana terlalu kurus”-[Abu Daud, at-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ahmad, Malik].
4- Disembelih dalam waktu yang dibenarkan syarak. Waktu itu bermula selepas solat hari raya Idul Adha sehingga terbenam matahari akhir hari tasyriq 13 Zul Hijjah. Berkata Imam al-Syafii r.h:
وَوَقْتُ الضَّحَايَا انْصِرَافُ الْإِمَامِ من الصَّلَاةِ فإذا إبطأ الْإِمَامُ أو كان الْأَضْحَى بِبَلَدٍ لَا إمَامَ بِهِ فَقَدْرُ ما تَحِلُّ الصَّلَاةُ ثُمَّ يقضى صَلَاتَهُ رَكْعَتَيْنِ وَلَيْسَ على الْإِمَامِ إنْ أَبْطَأَ بِالصَّلَاةِ عن وَقْتِهَا لِأَنَّ الْوَقْتَ إنَّمَا هو وَقْتُ رسول اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم لَا ما أُحْدِثَ بَعْدَهُ
Maksudnya: “dan waktu menyembelih korban itu adalah selesainya imam daripada solat, jika imam terlewat memulakan solat atau dia berada di tempat yang tiada imam maka masanya adalah setelah berlalu sekadar masa selesai dilaksankan solat dan tidak perlu menunggu Imam jika dia terlewat solat kerana waktu solat yang diiktiraf adalah waktu solat Rasulullah s.a.w bukan waktu yang diada-adakan (bidaah) selepas baginda”-[al-Umm, 2/221].
Dalilnya adalah hadis berikut:
عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَال َضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ
Maksudnya: “Daripada al-Bara bin Azib r.a katanya: Bapa saudaraku (sebelah ibu) yang dipanggil Abu Burdah melakukan korban sebelum solat lalu Rasulullah s.a.w menyatakan: Bebiri yang kamu sembelih itu hanyalah daging sahaja (tidak sah korban). Maka dia berkata: Wahai Rasulullah, aku (hanya ada) anak kambing jaza’ . Lalu sabda Nabi s.a.w: Sembelihlah ia dan tidak boleh bagi selain kamu selepas ini…”-[al-Bukhari].
Hadis ini menunjukkan korban sebelum solat eid tidak sah. Demikian lagi sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:
من كان ذبح قبل الصلاة فليعد
Maksudnya: “Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat (eid) maka hendaklah dia mengulang semula korbannya”-[Muttafaq 'alaih].
Termasuk dalam solat juga adalah selesainya khutbah kerana Rasulullah s.a.w menyembelih korban setelah selesai solat dan berkhutbah. Kadar panjang solat adalah dibaca selepas al-Fatihah rakaat pertama surah Qaaf dan pada rakaat kedua surah al-Qamar diikuti khutbah yang sederhana. Waktu mula solat adalah waktu dhuha[3].
Akhir waktu menyembelih adalah hari ketiga belas Zul Hijjah. Apabila masuknya waktu maghrib pada 13 Zul Hijjah maka tamatlah waktu korban. Adapun menyembelih waktu malam adalah makruh di sisi Jumhur ulama kerana menyukarkan kerja-kerja penyembelihan dan menyukarkan orang untuk mengambil daging.
Dalilnya adalah firman Allah s.w.t:
وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ
Maksudnya: “memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)..”
Maksud (أيام معلومات) adalah hari raya eidul adha dan 3 hari tasyriq selepasnya sebagaimana tafsiran Ibn Abbas r.a yang dikeluarkan Abdun bin Humaid[4]. Begitu juga hadis Rasulullah s.a.w:
وكل فجاج منى منحر وكل أيام التشريق ذبح
Maksudnya: “dan seluruh pelusuk bumi Mina adalah tempat menyembelih dan seluruh hari-hari tasyriq adalah hari menyembelih”-[Ahmad, berkata al-Arnauth: Sahih li ghairih].
Masalah
Harus berkongsi tujuh orang bagi seekor unta atau lembu dalam berkorban berdasarkan hadis daripada Jabir r.a:
نَحَرْنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Maksudnya: “Kami melakukan nahar (korban) bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Hudaibiah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu juga untuk tujuh orang”-[Muslim].
Ini adalah pendapat jumhur, tetapi hadis di atas adalah berkenaan dengan al-Hadyu[5] bukan udhiah, adapun hadis udhiah adalah sebagaimana diriwayatkan at-Tarmizi dan lain-lain daripada Ibn Abbas r.a katanya:
كنا مع رسول الله صلى الله عليه و سلم في سفر فحضر الأضحى فاشتركنا في البقرة سبعة وفي البعير عشرة
Maksudnya: “Kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu safar lalu sampai masanya udhiah (raya korban) maka kami berkongsi untuk seekor lembu tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang”[6].
Dan inilah pendapat yang sahih, insya Allah iaitu dalam udhiah seekor unta menyamai 10 orang dan pendapat ini dikemukakan oleh Ishaq bin Rahuwaih r.h dan daripada al-Syafiiah dikemukakan oleh Ibn Khuzaimah r.h.
Seekor kambing atau bebiri cukup untuk seorang dan dari segi pahala pula, cukup bagi seorang lelaki dan seluruh ahli rumahnya. Maknanya, jika seorang lelaki malakukan korban dengan seekor kambing maka pahala itu diperoleh juga anak-anak dan isterinya berdalilkan hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a:
كنا نضحي بالشاة الواحدة يذبحها الرجل عنه وعن اهل بيته ثم تباهى الناس بعد فصارت مباهاة
Maksudnya: “Kami menyembelih korban dengan seekor bebiri untuk seorang lelaki dan ahli keluarganya kemudian manusia berbangga dengannya dan jadilah korban itu satu kebanggaan”-[Malik, disahihkan oleh al-Nawawi].
Demikian juga sabda Nabi s.a.w ketika menyembelih korban baginda:
بِسْمِ اللَّهِ ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “dengan nama Allah, Ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan Umat Muhammad”-[Muslim].
Berdasarkan hadis ini, para ulama berpandangan harus seseorang yang berkorban meniatkan perkongsian pahala korban bagi ahli keluarganya dan sesiapa yang dia kehendaki sama ada hidup atau mati.
Adapun melakukan korban bagi pihak si mati secara mutlak, berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha’. Golongan Syafiiah berpendapat tidak boleh melakukan korban bagi pihak si mati kecuali korban wajib iaitu korban nazar atau diwasiatkan.
Fuqaha’ yang lain pula berpandangan harus melakukannya kerana korban adalah termasuk jenis sedekah dan telah ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah harusnya bersedekah bagi pihak mayat. Ini adalah pendapat Hanabilah, Hanafiah, dan Malikiah serta disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h.
Pada pandangan kami, yang rajih adalah dilaksanakan korban untuk si mati secara musytarak (berkongsi) pahala dan tidak dilaksanakan secara istiqlal (berasingan) kerana tiada nas untuk melaksanakannya berasingan. Wallahua’lam.
Adab-adab dan Sunnah Korban
1) Dilarang kepada mereka yang hendak melakukan korban memotong kuku dan membuang bulu badan dan rambut sama ada dengan mencukur atau menggunting sehingga dia berkorban kerana hadis Nabi s.a.w:
إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا
Maksudnya: “Apabila masuk sepuluh hari awal Zul Hijjah dan salah seorang kamu hendak melaksanakan udhiah maka janganlah dia menyentuh (membuang) rambutnya dan kulitnya sesuatu pun”[Muslim].
Larangan ini dibawa kepada haram di sisi Jumhur Ulama dan Makruh di sisi al-Syafii r.h.
2) Hendaklah orang yang melakukan korban menyembelih sendiri jika dia mampu malakukannya dan boleh mewakilkan pada orang lain. Jika dia mewakilkan maka disukai supaya dia menyaksikan sembelihan itu.
3) Menyebut (بسم الله)[7] dan bertakbir kemudian berdoa seperti katanya: ‘Ya Allah terimalah korban daripada hamba-Mu ini fulan (menyebut namanya)’.[8]
Dalil bagi perkara-perkara ini ( adab ke-2 dan 3) berdalilkan hadis riwayat Muslim:
عن أنس قال ضحى النبي صلى الله عليه و سلم بكبشين أملحين أقرنين ذبحهما بيده وسمى وكبر ووضع رجله على صفاحهما
Maksudnya: Daripada Anas katanya: “Nabi s.a.w menyembelih korban dua ekor kibasy (bebiri) yang berwarna putih dan bertanduk, baginda menyembelih dengan tangan baginda sendiri dan baginda bertasmiah (membaca bismillah), bertakbir, dan meletakkan kaki baginda atas tengkuk dua ekor bebiri itu”.
4) Berdasarkan hadis di atas juga, sunat menyembelih lembu dan kambing secara membaringkannya di atas rusuk. Adapun unta hendaklah disembelih secara berdiri dan diikat kakinya sebelah kiri. Dalilnya firman Allah s.w.t:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.-[al-Hajj:36]
5) Haiwan yang afdal dijadikan korban adalah unta, kemudian lembu, kemudian kambing berdalilkan sabda Nabi s.a.w:
إذا كان يوم الجمعة كان على كل باب من أبواب المسجد ملائكة يكتبون الأول فالأول فإذا جلس الإمام طووا الصحف وجاؤوا يستمعون الذكر ومثل المهجر الذي يهدي البدنة ثم كالذي يهدي بقرة ثم كالذي يهدي الكبش ثم كالذى يهدي الدجاجة ثم كالذي يهدي البيضة
Maksudnya: “Apabila tiba hari Jumaat maka di setiap pintu masjid akan ada malaikat yang mencatat (pahala kedatangan solat Jumaat), yang awal akan mendapat pahala yang berganda, apabila Imam telah duduk (atas minbar) mereka menutup buku catatan dan mendengar khutbah; dan perumpamaan mereka yang paling awal datang seperti dia menghadiahkan (menyembelih) seekor unta, yang datang kemudian dari itu seumpama dia mengahadiahkan lembu, yang kemudian dari itu seumpama dia menghadiahkan bebiri, yang datang kemudian dari itu seumpama mengahadiahkan ayam, dan yang datang terkemudian lagi seumpama menghadiahkan telur”-[al-Bukhari dan Muslim].
Namun, pada pandangan kami, yang afdal dalam udhiah adalah kambing bebiri. Dalilnya firman Allah s.w.t:
وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ
Maksudnya: “dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;”-[al-Saaffat : 107].
Para Ahli Tafsir menyatakan maksud ‘sembelihan yang besar’ itu adalah Kibasy (Bebiri) yang besar dibawa daripada syurga. Perbuatan Nabi s.a.w menyembelih korban baginda dengan bebiri juga menunjukkan keutamaan bebiri. Adapun hadis yang kami sebutkan berkenaan keutamaan unta adalah dalam masalah al-Hadyu, begitu juga ayat al-Qur’an memerintah menyembelih unta adalah berkenaan al-Hadyu [merujuk kepada ayat 36 surah al-Haj]. Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Ahli Madinah, Malik bin Anas r.h.
6) Sunat digemukkan haiwan korban supaya bertambah dagingnya berdasarkan firman Allah s.w.t:
ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. -[al-Haj: 32]
Berkata Ibn Abbas r.a dalam mentafsirkan ayat ini: “menggemukkan, memperelokkan, dan membesarkan (haiwan sembelihan)” -[al-Sayuti, al-Durrul Mansur, 7/150].
7) Warna Udhiah yang afdal adalah putih bersih seperti dua ekor kibasy yang Nabi s.a.w korbankan kemudian kuning, kemudian kelabu, kemudian hitam bercampur putih, dan kemudian hitam.
8 ) Hendaklah dijauhi haiwan yang ada kecacatan berikut walaupun sah udhiah dengannya tetapi makruh:
i- Terpotong telinga
ii- Patah Tanduknya
iii- Kecacatan yang tidak menjejaskan daging seperti tiada gigi, pendek ekor, tiada alat sulit dan seumpamanya.
Hukum-Hakam Berkenaan Daging Udhiah[9]
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Haj ayat 28:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan kepada golongan fakir”.
Dalam ayat ini, Allah menjelaskan haiwan yang disembelih untuk bertaqarrub kepadanya hendaklah dimakan dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Dalam sebuah hadis sabda Nabi s.a.w:
كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا
Maksudnya: “makanlah dan berilah makan serta simpanlah” -[al-Bukhari & Muslim].
Hukum menyimpan daging udhiah adalah harus kerana perintah ini datang setelah larangan kerana Rasulullah s.a.w pada mulanya melarang mereka menyimpan daging udhiah melebihi tiga hari kerana keadaan mendesak kepada daging lalu tahun berikutnya Nabi s.a.w membenarkan. Hukum memakan dagingnya adalah sunat kerana firman Allah s.w.t:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ
Maksudnya: “dan unta Kami jadikan bagi kamu sebagai sebahagian Syiar (Agama) Allah padanya untuk kamu kebaikan..”
Penggunaan huruf ta’addi لـِ (untuk) menunjukkan hukumnya sunat sahaja. Adapun mensedekahkan sebahagian daging tersebut jumhur ulama Syafiiah dan Hanabilah mewajibkannya kerana asal perintah itu wajib sehingga ada dalil yang mengubahnya. Perintah makan terdapat dalil yang mengubahnya kepada sunat, perintah menyimpan terdapat qarinah menunjukkan harus, adapun sedekah tiada qarinah lain yang mengubah daripada asalnya iaitu “al-Amru lil Wujub” (Perintah menunjukkan hukum wajib). Dalil berikut menunjukkan wajibnya bersedekah daging udhiah:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ { : دَفَّ أَهْلُ أَبْيَاتٍ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ حَضْرَةَ الْأَضْحَى زَمَانَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : ادَّخِرُوا ثَلَاثًا ثُمَّ تَصَدَّقُوا بِمَا بَقِيَ فَلَمَّا كَانَ بَعْدَ ذَلِكَ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ : إنَّ النَّاسَ يَتَّخِذُونَ الْأَسْقِيَةَ مِنْ ضَحَايَاهُمْ ، وَيُجْمِلُونَ فِيهَا الْوَدَكَ ، فَقَالَ : وَمَا ذَاكَ ؟ قَالُوا : نَهَيْت أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ بَعْدَ ثَلَاثٍ ، فَقَالَ : إنَّمَا نَهَيْتُكُمْ مِنْ أَجْلِ الدَّافَّةِ فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا } .
Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya: Berbondong-bondong penduduk badwi datang pada hari raya Adha di zaman Rasulullah s.a.w (untuk mendapatkan daging) lalu baginda bersabda: “Simpanlah (daging udhiah) selama tiga hari kemudian sedekahkan selebihnya”. Kemudian apabila tahun selepas itu para sahabat mengadu: Wahai Rasulullah, sesungguhnya manusia menjadikan daripada udhiah mereka bekas minuman dan membuat minyak (daripada lemak), lalu baginda berkata: Kenapa mereka berbuat begitu? Mereka menjawab: Kamu telah melarang daging korban dimakan setelah tiga hari. Maka baginda berkata: Aku melarangnya kerana gerombolan manusia yang memerlukan daging (pada tahun lepas) maka (tahun ini) makanlah dan simpanlah dan sedekahlah” -[Muttafaq 'alaih].
Ini menunjukkan tujuan korban itu adalah untuk membantu mereka yang memerlukan dan bersedekah. Maka jika dibolehkan seorang yang berkorban memakan kesemua daging korbannya maka ini menafikan maqasid ibadat ini. Oleh itu, kami merajihkan mazhab al-Syafii dalam masalah ini iaitu wajib bersedekah sebahagian daging korban dan sedekah itu hendaklah dalam bentuk daging yang mentah[10].
Sebahagian Ulama berpandangan elok daging udhiah itu dijadikan tiga bahagian, 1/3 dimakan, 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin, dan 1/3 dihadiahkan kepada mereka yang kaya.
Tidak boleh dijual daging udhiah atau dijadikan upah kepada tukang sembelih berdalilkan :
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ : أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلُحُومِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَازِرَ مِنْهَا شَيْئًا ، وَقَالَ : نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا
Maksudnya: Daripada Ali bin Abi Talib r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan aku menguruskan korbannya iaitu supaya aku mensedekahkan dagingnya dan kulitnya dan penutupnya dan melarang aku memberi kepada penyembelih suatu pun daripadanya (sebagai upah) dan baginda bersabda: “Kita membayar upah daripada hasil kita sendiri (bukan dengan daging korban)” -[Muttafaq 'alaih].
Dalam hadis ini Nabi s.a.w memerintahkan supaya disedekahkan daging dan kulit dan apa-apa yang berkaitan dengan haiwan udhiah. Demikian juga upah penyembelih dan pelapah daging tidak boleh diambil daripada daging udhiah tetapi hendaklah datang daripada harta mudohhi sendiri.
Boleh memindahkan daging udhiah ke tempat selain negeri mudahhi (orang yang berkorban) atas keperluan dan masalahat yang rajih[11].
Daging Udhiah Nazar dan Nazar Ta’yin
Apabila seseorang bernazar untuk membuat udhiah maka udhiahnya menjadi wajib. Nazar itu pula terdapat tiga jenis:
1- Nazar Mutlak: Iaitu dia berkata : “Pada tahun ini aku berkewajipan di sisi Allah untuk berkorban”.
2- Nazar Mujazah : Iaitu seperti dia berkata : “Jika aku disembuhkan penyakit aku akan melaksanakan korban”.
3- Nazar Ta’yin : Iaitulah dia menentukan haiwan tersebut sebagai haiwan korban seperti dia mempunyai dua ekor lembu, seekor berwarna putih dan seekor lagi berwarna hitam lalu dia berkata: “Lembuku yang putih ini adalah untuk dikorbankan”.
Ketiga-tiga jenis nazar ini mewajibkan udhiah dan menyebabkan wajibnya keseluruhan daging, kulit dan apa-apa yang berkaitan dengan udhiah disedekahkan dan tidak boleh bagi mudohhi memakan udhiah tersebut demikian juga ahli rumahnya berdalilkan riwayat al-Bukhari daripada Ibn Umar r.a:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا لَا يُؤْكَلُ مِنْ جَزَاءِ الصَّيْدِ وَالنَّذْرِ وَيُؤْكَلُ مِمَّا سِوَى ذَلِكَ
Maksudnya : Daripada ibn Umar r.a katanya: “Tidak dimakan sembelihan daripada dam kerana berburu dan nazar, adapun selainnya maka boleh dimakan”.
Ini adalah Mazhab al-Syafii, Malik, dan satu riwayat daripada Ahmad[12]. Pada kami pendapat ini adalah rajih berdasarkan asar daripada Ibn Umar ini.
Pemberian Udhiah Kepada Orang Kafir
Ulama sepakat tidak diberi udhiah kepada kafir harbi (kafir yang memerangi Islam atau menzahirkan kebenciannya pada Islam). Adapun kafir zimmi, muahid, dan musta’man, Jumhur ulama tetap melarangnya kerana udhiah adalah harta qurbah (harta yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah), maka sebagaimana zakat tidak diberi kepada kafir maka demikian juga udhiah. Ulama Hanabilah dan sebahagian Syafiiah berpendapat jika udhiah itu adalah udhiah sunat maka harus diberi kepada kafir sebagaimana sedekah sunat lainnya, tetapi jika udhiah itu wajib (nazar atau nazar ta’yin) maka terlarang diberi kepada kafir kerana ia menyamai zakat. Dalil dalam hal ini adalah qias sahaja.
Tarjih: Ulama sepakat bahawa boleh memberi sedekah sunat kepada kafir bukan harbi, dan tidak boleh memberi sedekah wajib (zakat) kepada mereka. Adapun daging udhiah, wajib disedekahkan sebahagiannya. Maka apabila mudohhi[13] telah bersedekah sebahagian daging udhiahnya, baki daging itu sunat sahaja untuk disedekahkan maka dalam bahagian baki ini harus baginya untuk memberi kepada kafir bukan harbi. Adapun daging udhiah nazar, haram diberi kepada kafir secara mutlak kerana ia wajib disedekah keseluruhannya. Wallahua’lam.
[1] Hadis ini sanadnya daif sebagaiman takhrij al-Arnauth dalam Musnad Ahmad. Al-Albani menilainya hasan. Ibn Majah sendiri menilainya sebagai daif.
[2] Termasuk dinamakan lembu adalah kerbau. Adapun lembu liar tidak sah korban dengannya.
[3] Waktu dhuha adalah matahari terbit sekadar tinggi tombak jika dikira dengan masa setengan jam setelah waktu syuruq. Bagi Pulau Pinang misalnya pada 8 Disember 2008 waktu syuruq 7.12 A.M maka waktu solat eid adalah 7.42 A.M.
[4] Al-Sayuti, al-Durrul Mansur fi al-Tafsir bil Ma’sur, 7/143.
[5] Al-Hadyu adalah haiwan yang disembelih oleh mereka yang melaksanakan haji setelah tahallul awal. Al-Hadyu wajib bagi haji tamattu’ dan qiran, sunat bagi haji ifrad.
[6] Hadis Sahih, al-Tarmizi (1501), al-Nasai (4392) dan Ibn Majah (3131).
[7] Menambah : الرحمن الرحيم tidak digalakkan kerana tidak warid nas berkenaannya dan menyembelih bukanlah tempat untuk berasa kasihan.
[8] Adapun membaca selawat ke atas Nabi s.a.w, Imam al-Syafii berpendapat disunatkan juga berdasarkan qias tetapi perkara semacam ini memerlukan nas dan jelas Nabi s.a.w tidak berselawat ke atas dirinya demikian juga para sahabat tidak berselawat semasa menyembelih maka pada kami yang rajihnya makruh berselawat ketika menyembelih.
[9] Hukum-hakam ini berkaitan dengan mudohhi (orang yang berkorban), adapun seseorang yang diberi daging udhiah sama ada sebagai sedekah atau hadiah, maka dia boleh memanfaatkan daging tersebut seperti daging-daging biasa seperti menjual, membuat kenduri, dan memberi hadiah kepada sesiapa sahaja.
[10] Ini kerana tujuan sedekah adalah menjadikan daging itu hak milik fakir maka diberi secara mentah untuk dia boleh bertasaruf sesuai dengan kehendaknya seperti dijual untuk mendapat duit. Lihat: I’anah al-Tolibin, Abu Bakar al-Dimyati, 2/333.
[11] Pendapat ini yang muktamad dalam mazhab Syafii sebagaimana dikemukakan oleh pengarang Kifayatul Akhyar.
[12] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fathul Bari, 5/406.
[13] Yakni yang melakukan Udhiah.

Tiada ulasan: