Sabtu, 14 September 2013

SEJAHAT MANA KITA PUN...BALASAN DARI ALLAH AKAN SAMPAI DIDUNIA ATAU DIAKHIRAT.....JAHAT KITA TETAP ALLAH HUKUM KECUALI TAUBAT KITA DITERIMA DAN TAK BUAT LAGI

Nasib dialami Papagomo diharap tamatkan politik lucah

Harakahdaily, 14 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 13 September lalu yang memerintahkan blogger pro-Umno, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar) membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah diharap dapat menamatkan budaya politik fitnah dan lucah dalam arena politik negara.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, sudah sekian lama blogger pro-Umno terutama Papagomo secara berleluasa dan sembrono memfitnah para pemimpin Pakatan Rakyat dengan tuduhan palsu dan berunsur lucah namun jenayah siber ini tidak mendapat perhatian langsung pihak berwajib khususnya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Ada banyak lagi blogger pro-Umno yang tindak tanduknya  sama seperti Papagomo kerana dipercayai diupah dan diarahkan pihak tertentu. Mengapa polis dan SKMM hanya memerhati tetapi tidak bertindak?” soal beliau.

Selain diperintah membayar ganti rugi kepada plaintif, Wan Muhammad Azri turut berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung tulisannya yang mendakwa hakim yang mendengar kes itu sebagai “memudaratkan badan kehakiman”.

Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri  membayar ganti rugi RM500,000 kepada ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blognya.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam membuat keputusan itu selepas mendapati Abdul Razak berjaya membuktikan perkataan-perkataan fitnah dalam artikel yang ditulis oleh Wan Muhammad Azri itu merujuk kepadanya, dan sebenarnya memfitnah beliau.

Vazeer Alam memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar gantirugi am sebanyak RM200,000 dan gantirugi teladan RM300,000 kepada Abdul Razak, serta menetapkan kos guaman sebanyak RM50,000, selain membenarkan permohonan injunksi supaya Wan Muhammad Azri dihalang daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah itu.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata Abdul Razak selaku plaintif berjaya membuktikan Wan Muhammad Azri yang menerbitkan artikel itu, meskipun defendan dalam keterangannya menafikan beliau adalah pemilik blog yang dikenali sebagai 'Papa Gomo'.

Beliau berkata dalam kes ini, plaintif telah memanggil saksi pertamanya iaitu Mohd Fauzi Mohd Azmi yang mempunyai blog dikenali sebagai 'Perisik Rakyat' dan dalam keterangan saksi itu menyatakan beliau dapat mengecam defendan setelah defendan sendiri memperkenalkan dirinya sebagai 'Papa Gomo' ketika menghadiri satu persidangan bloggers di Lake View Garden, Subang Jaya pada 16 Mei 2009.  

Wan Muhammad Azri sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah penulis blog kontroversi itu.

Abdul Razak, 59, memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri, 30, pada 26 Januari tahun lalu  berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blog 'Papa Gomo' pada 11 Disember 2011.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Abdul Razak mendakwa Wan Muhammad Azri telah mengeluarkan kenyataan fitnah bahawa beliau merupakan seorang penipu yang telah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setelah mendapat kontrak semasa Sukan Komanwel yang berlangsung di negara ini yang menyebabkan reputasinya terjejas.

Selain Abdul Razak, Papagomo juga bakal menghadapi saman fitnah yang difailkan beberapa pemimpin politik antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pemuda MCA juga pernah membuat laporan polis terhadap Papagomo kerana didakwa membuat kenyataan rasis.

Pesta budaya asing cemari sambutan Hari Malaysia?

Jofri Jaraiee PAS Sarawak, 14 Sep 2013
MIRI: Hari Malaysia tahun ini akan menjadi lebih besar dan meriah dengan adanya pesta hiburan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri bersama-sama dengan Shin Yang Group dan Kelab Selebriti, parti jalanan akan diadakan di hadapan Imperial Palace Hotel pada 15 Sept dari pukul 6 petang sehingga 2 pagi. Acara lapan jam itu akan dihoskan oleh Jin dan Ryan dari hitz.fm menampilkan Mizz Nina, Madu DJ G dan Mocha Girls.

Sarawak bergabung dengan Malaya pada 16 September 1963 maka dengan itu terbentuklah sebuah Negara Malaysia.  Walaupun pada hakikatnya negara kita belum merdeka sepenuhnya kerana sistem perundangan negara kita masih mengamalkan dan dipengaruhi oleh sistem koloni British. Sepatutnya Malaysia bebas mengamalkan undang-undang sendiri tanpa perlu terikat dengan sistem penjajahan British.

Acara sambutan Hari Malaysia di Sarawak khususnya Miri amat tidak bersesuaian dengan adat resam dan budaya tempatan. Para penganjur lebih memberi tumpuan kepada ‘Street Party’ hiburan yang melalaikan serta mengalakkan gelaja sosial berlaku di kalangan remaja yang berlepak sehingga larut malam.

Sepatutnya pihak yang berkenaan lebih memberi tumpuan dengan mempromosi kebudayaan tempatan bukannya bangga dengan hiburan asing yang melalaikan rakyat tempatan.

Masalah sosial yang banyak melibatkan remaja-remaja Muslim semasa perayaan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa seperti Jakim, Jais dan sebagainya.  Mereka harus dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan iman dan akhlak terutama remaja Muslim yang mudah terpengaruh dengan budaya asing sebagai cara hidup.

Bagi yang bukan Muslim terserah dengan budi bicara mereka sendiri untuk menasihat penganut agama mereka masing-masing. Sekiranya agama mereka tidak melarang penganut mereka melibat diri dengan program hiburan yang melampau, itu adalah hak mereka tetapi yang jelas Islam melarang keras penganutnya terlibat dengan sebarang hiburan yang melampau dan berbentuk maksiat.

Kita sedia bekerjasama dengan pihak Jakim, Jais dan pihak keselamatan untuk membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan umat Muslim dalam negara ini terutama golongan remaja. Mereka yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ini boleh merosakkan masa depan negara, agama dan bangsa. Negara boleh terjajah semula sekiranya golongan remaja tidak menghargai kemerdekaan yang dikecapi masakini.

Kita menyeru agar umat Muslim terutama golongan remaja, jangan melibatkan diri dengan sebarang kegiatan atau program  hiburan yang melampau dan melalaikan seperti ‘Street Party’. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar agar kita dapat mencapai kemerdekaan yang sebenarnya menurut ajaran Islam.

Penduduk terharu dapat TOL selepas 40 tahun

Selangorku, 14 Sep 2013
SHAH ALAM: Penantian 67 penduduk Kampung Jalan Kenangan, Kapar lebih 40 tahun yang tinggal berstatuskan setinggan berakhir apabila Kerajaan Negeri Selangor meluluskan Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Kegembiraan penduduk terbabit bertambah manis apabila mereka dijangka bakal memperolehi Borang 5A dalam jangkamasa tiga tahun sebaik tamat tempoh TOL pada 2016 nanti.

Menurut penduduk, Hamdan Bakri, 43, kejayaan itu berhasil usaha Penyelaras Adun Bukit Melawati, S.Manikavasagam ketika itu masih Ahli Parlimen Kapar, Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Pegawai Daerah Kapar memperjuangkan isu itu bagi mendapatkan status TOL tanah kediaman penduduk kampung.

“Mujur Kerajaan Negeri sekarang prihatin bantu kami, terima kasih juga kepada (Penyelaras Adun Bukit Melawati) S. Manikavasagam, (Exco Kesihatan) YB Dr Daroyah (Alwi) dan Pegawai Daerah yang bersusah payah berusaha hingga kami memperolehi TOL,” ujar Hamdan kepada TV Selangor.

Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi memberitahu, usaha mendapatkan TOL untuk penduduk Kampung Kenangan sudah dimulakan sejak beliau memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kapar pada 2008.

Bagaimanapun usaha itu menghadapi kesukaran apabila pihak Pejabat Daerah Klang meletakkan kawasan tersebut sebagai kawasan pemantauan banjir.

“Selepas kira-kira lima hingga enam tahun, didapati rumah-rumah di Kampung Kenangan tidak dinaiki banjir kecuali dua, tiga buah rumah sahaja, barulah permohonan itu berjaya baru-baru ini.

“Dr Daroyah juga memaklumkan pihak beliau akan mengusahakan geran bagi tanah kediaman penduduk terbabit selepas TOL tamat tempoh tiga tahun akan datang melalui skim pemberian geran kerajaan negeri.

“Kesemua mereka dah tinggal atas tanah itu sudah lebih 10 tahun, jadi mereka memang layak sebab ada yang dah tinggal situ hingga 43 tahun,” kata Manikavasagam.

Tolak motor bantah harga minyak

Basiron Abdul Wahab, 14 Sep 2013


TEMERLOH: Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi turut bersama ratusan pemuda mengheret motosikal masing-masing sebagai simbolik membantah kenaikan harga minyak.

Nasruddin yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat berkata, sebelum ini berbagai bentuk bantahan telah dibuat tetapi kerajaan hanya memekakkan telinga enggan menerima pandangan rakyat.

“Hantar memorandum sudah, ‘flashmob’ sudah, demonstrasi sudah, semua bentuk bantahan sudah kita buat namun kerajaan tidak memperdulikannya.

“Heret motosikal ini adalah simbolik daripada anak muda yang turut merasai keperitan akibat kenaikan harga minyak,” katanya yang juga pengerusi Gerakan Selamatkan Ekonomi Negara.

Pada program anjuran Pemuda PAS Temerloh dan Jabatan Amal itu, mereka menolak  motorsikal masing-masing dari Taman Kubang Gajah ke Bandar Temerloh sejauh kira-kira lima kilometer sambil mengecam langkah kerajaan menaikkan harga minyak.

Menurut Nasruddin lagi, kerajaan sewajarnya tidak menarik balik subsidi yang menjadi sebab harga runcit Ron95 dan diesel naik 20 sen sebaliknya mengekalkanya dengan mencari alternatif lain.

Turut hadir Adun Mentakab Tengku Zulfuri Raja Puji.

OKU nyaris digilis Star-LRT

Harakahdaily, 14 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Seorang OKU (orang kurang upaya) penglihatan, Wan Mohd Suhaimi Wan Mohd Zawil Abidin nyaris digilis tren sistem transit aliran ringan (Star-LRT) ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, 3 September lalu.

Menceritakan pengalaman ngeri yang dialaminya dalam laman Facebook, Mohd Suhaimi (gambar) menaiki Putra-LRT dari stesen Taman Melati ke Masjid Jamek pada  jam 6.23 pagi dan tiba di Masjid Jamek pada jam 6.46 pagi.


Beliau kemudian berjalan menyelusuri terowong pejalan kaki menuju ke stesen Star-LRT untuk ke tempat kerja.

“Hasrat saya untuk turun di stesen Star-LRT Sultan Ismail, dari Masjid Jamek. Saya berjalan seperti biasa, menaiki tangga yang entah berapa meter tingginya dan masuk keluar lif, terus ke platform stesen tersebut.

“Setelah tiba di platform, train baru sahaja berlepas. Ini bermakna, tren jam 6.53 pagi sudah terlepas dan saya perlu menunggu tren yang berikutnya. Jam 6.56 pagi, tren berikutnya tiba, dan setelah pintu dibuka, saya seperti biasa, melangkah dengan berhati-hati untuk memasuki tren tersebut,” jelas beliau.

Bagaimanapun tanpa disedari, Mohd Suhaimi tidak melangkah ke pintu tren sebaliknya menapak di tengah-tengah penyambung antara dua gerabak.

“Akibatnya  saya terjatuh ke dalam platform (landasan) dan berada di bawah tren. Jatuh sahaja saya di bawah tren tersebut, dua sahaja yang saya terfikir, hidup atau mati. Ini kerana jika tidak betul gayanya, saya akan dipijak oleh tayar tren yang bakal bergerak,” jelasnya mengimbau insiden menakutkan itu.

Bagaimanapun beliau dengan pantas merapatkan diri ke tembok platform landasan bagi mengelakkan diri daripada digilis tren.

Menurutnya, selepas lebih tiga minit tren berlepas beliau mendengar perbualan walkie-talkie petugas Stesen Star-LRT Masjid Jamek yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Saya dibantu dengan seorang pegawai turun ke bawah platform untuk menaikkan saya dan dibantu oleh dua pegawai di atas untuk menyambut saya. Berasa diri saya tidak mengalami sebarang kecederaan, saya berasa amat bersyukur sekali,” ujar beliau.

Mohd Shuhaimi kemudian dibawa ke sebuah bilik oleh petugas Star-LRT untuk pemeriksaan lanjut.

Setelah memberikan nombor telefon, beliau akhirnya dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

“Akibat daripada peristiwa itu, saya berasa berdebar setiap kali melangkahkan kaki memasuki train terutamanya Star-LRT. Fobia akan peristiwa itu masih saya rasai hinggakan sehingga coretan ini diterbitkan, isteri saya  masih lagi menghantar dan mengambil saya pergi dan balik dari kerja,” ujarnya.

Mohd Shuhaimi berharap agar peristiwa yang menimpa beliau  tidak berulang terutamanya kepada golongan OKU penglihatan.

“ Jika menaiki kenderaan awam yang dikatakan selamat ini pun boleh mengundang bahaya kepada kami, apakah alternatif lain yang perlu kami gunakan? Ataupun, apakah tindakan wajar yang perlu diberi perhatian agar peristiwa ini tidak berulang lagi?

“Pada saat peristiwa yang amat berbahaya itu berlaku kepada diri saya, ketika itu saya sedang melangkah untuk memasuki pintu tren dengan penuh berhati-hati. Namun, sekelip mata sahaja ianya berlaku dan tidak dapat saya berbuat apa-apa. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua,” ujarnya mengakhiri tulisan.

Mengulas kejadian tersebut, Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar) berharap dialog langsung kerap diadakan antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pertubuhan-pertubuhan mewakili OKU penglihatan.

Menurutnya, dua pertubuhan yang secara terus mewakili OKU penglihatan boleh dibawa berdialog iaitu Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Faizal juga berharap anggota masyarakat bersikap prihatin dengan kehadiran OKU termasuklah OKU penglihatan di tempat awam.

“Secara umumnya kebanyakan tempat-tempat awam boleh saja mendatangkan bahaya kepada pengguna-pengguna OKU termasuklah OKU penglihatan disebabkan masih kurang sistem sokongan kepada OKU di kebanyakan tempat,” ujar pengamal undang-undang yang juga seorang OKU penglihatan.

Tiada ulasan: