Bumbung masjid di Terengganu runtuh lagi
Khairul Azlam Mohamad, | 29 Sep 2013 |
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diibaratkan 'termakan sumpah hukum karma' apabila satu demi satu binaan bangunan termasuk masjid runtuh.
Hal ini berlaku, selepas Masjid Bujal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal di Kemaman dirobohkan oleh kerajaan BN ketika itu diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh pada 26 Mei 2005 lalu.
Selepas itu, pelbagai kejadian bangunan runtuh dan tumbang seperti dewan komputer, dewan sekolah, stesen bas, menara telekomunikasi, masjid serta bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak yang berharga hampir RM300 juta.
Hari ini, sebuah lagi struktur bumbung anjung Masjid Kampung Tebauk Bukit Tunggal, runtuh selepas Masjid Kampung Baru Kertih di Kemaman dan Masjid Binjai Kertas Kuala Berang di Hulu Terengganu pada 20 Mei lalu.
Harakahdaily dimaklumkan, kejadian anjung masjid itu runtuh berlaku kira-kira jam 4.00 pagi tadi serta disedari oleh penduduk di Taman Perumahan Kampung Tebauk setelah terdengar bunyi yang kuat.
Seorang bilal masjid, Jaafar Ismail berkata masjid tersebut baru digunakan hampir dua tahun iaitu pada akhir tahun 2011.
"Saya sedar anjung masjid ini runtuh ketika datang untuk bertugas waktu subuh pagi tadi sekitar jam 5.00 pagi dan melihat lampu yang biasa dipasang di masjid terpadam.
"Saya diberitahu oleh penduduk berhampiran masjid bahawa kejadian runtuh ini berlaku kira-kira jam 4.00 pagi. Ini amat mendukacitakan tetapi bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa," jelasnya ketika ditemui di masjid tersebut.
Menurutnya, sebelum ini telah berlaku sedikit kebocoran tetapi pihak kontraktor ada melakukan kerja-kerja membaikpulih.
Kata beliau, bayangkan jika kejadian runtuh tersebut berlaku ketika hari Jumaat waktu solat yang melibatkan orang ramai.
Harakahdaily difahamkan, masjid yang bernilai lebih RM2 juta itu baru digunakan hampir dua tahun lalu dan masih belum dirasmikan.
Berikut dilampirkan senarai binaan atau bangunan yang runtuh sejak tahun 2008:
1. Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai, Marang
Tarikh: 12 April 2008
Harga: RM2 juta
2. Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak
Tarikh: 2 Jun 2008
Harga: RM292 juta
Punca: “Semua buat silap” – Ahmad Said
3. Kolam Renang Batu Burok bocor
Tarikh: 5 Jun 2008
Harga: RM18 juta
4. Siling bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tanggal
Tarikh: 29 Jun 2008
Harga: (terminal ) RM123 juta
5. Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman
Maklumat – runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan.
Tarikh: 15 Mac 2009
6. Menara komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut.
Maklumat – tumbang.
Tarikh: 6 Ogos 2009
Harga: RM15 juta
7. Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman
Tarikh: 3 Oktober 2009
Harga: RM2.1 juta
8. Bumbung kaca Terminal Bas Kuala Berang
Tarikh : 21 Disember 2009
Harga : sekitar RM700,000 (RM4.2 juta kos keseluruhan projek)
Punca : Tiada pemantauan semasa
9. Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu
Maklumat – runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan.
Tarikh: 29 Mac 2010
10. Pondok rehat di kawasan lanskap Pasar Besar Kedai Payang
Tarikh: 9 Januari 2011
Rekod bangunan paling cepat runtuh setelah siap dibina.
10. Astaka dalam pembinaan di Besut
Tarikh: 21 Jun 2012
11. Papan tanda atau sign board gergasi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang
Tarikh: 19 Julai 2012
12.Tangki air Sekolah Menengah Paka
Tarikh: 24 Julai 2012
13. Sengkuap bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai
Tarikh: 30 Disember 2012
14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa dibaik pulih
Tarikh: 20 Februari 2013
14. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang
Tarikh: 20 Mei, 2013
Harga: RM1.4 juta
Lain-lain senarai binaan yang rosak adalah:
1. Binjai Souq
2. Bazaar Warisan
2. Masjid Kristal (22 November 2008)
3. Masjid Kampung Lingai (4 November 2009 - harga RM3 juta)
4. Taman Tamadun Islam – stor dewan runtuh pada Julai 2010
5. Masjid An Naim, Dungun
6. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat, siap dibina pada 2010, harga RM19 juta. Di Parlimen Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi mengesahkan, sebanyak RM15 juta diperlukan untuk membaik pulihnya.
7. Masjid al-Redha, Kampung Manir, seluruh binaan mendap, harga RM1.2 juta
7. Pasar baru Kedai Buluh
8. Pasar baru Manir
9. Dewan serbaguna dan masjid di Ketengah
10. Taman Panorama Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu
DAP sedia heret ROS ke mahkamah - Karpal
Anis Nazri, | 29 Sep 2013 |
PETALING JAYA: DAP mengingatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar tidak melakukan cubaan bagi menggagalkan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti itu yang diadakan hari ini.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata sekiranya badan itu cuba mencari jalan menggagalkan pemilihan dan ia dilakukan dengan melanggar undang-undang, pihaknya akan mengheret ROS ke mahkamah.
"Saya bagi amaran kepada ROS, jangan cuba main-main dengan parti ini yang begitu kuat. Saya sudah mula memperhatikan ROS ini sejak Disember lalu dan saya akan terus memerhatikannya. Ini amaran terakhir saya kepada ROS," tegas beliau ketika berucap di Kongres Khas DAP, di sebuah hotel di sini, pagi ini.
Menyifatkan kongres hari ini sebagai satu sejarah kerana diadakan dua kali, Karpal berkata kongres yang mencatatkan kehadiran kira-kira 85 peratus hari ini menunjukkan parti itu sebagai sebuah parti yang kuat.
Pemilihan PRU14
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut mengingatkan para perwakilan agar memilih satu jawatankuasa yang kuat bagi persiapan parti itu dan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak.
Saranan tersebut, katanya bukan menganggap kepimpinan yang dipilih sebelum ini tidak kuat, sebaliknya memperkuatkan lagi kepimpinan agar DAP bersama Pakatan Rakyat menawan Malaysia pada pru-14.
Karpal dalam masa yang sama turut memuji semangat yang ditunjukkan pimpinan muda dan mahu agar mereka menjadi pelapis yang kuat pada masa akan dating.
“Orang muda ini, anda adalah pelapis untuk menubuhkan kerajaan masa depan. Untuk Malaysia yang lebih baik.
“Apa yang saya lihat, kita jangan putus asa kerana kita ada peluang dalam pilihan raya akan datang. Kita dan Pakatan Rakyat (PR) akan berjuang merebut kuasa dari Barisan Nasional,” katanya.
Pada pemilihan hari ini, semua senarai calon yang bertanding untuk 20 jawatan tertinggi parti kekal seperti mana pemilihan pada Disember 2012 yang lalu.
Bagaimanapun, terdapat 17 orang calon menarik diri dan dua meletak jawatan menjadikan bilangan yang calon yang bakal dipilih perwakilan berjumlah 47 orang berbanding 66 calon tahun lalu.
Pemilihan semula hari ini diadakan berikutan ROS mengumumkan pemilihan sebelum ini tidak sah ekoran terdapat dakwaan kononnya terdapat perwakilan yang tidak diberikan notis untuk menghadiri kongres sebelum ini.
Pelaksanaan TPPA boleh gadaikan negara
Harakahdaily, | 29 Sep 2013 |
BACHOK: Ceramah penerangan isu kenaikan harga minyak Dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) menarik ribuan pengunjung di perkarangan Pusat Khidmat masyarakat Ahli Parlimen Bachok.
Ceramah anjuran Urusetia penerangan kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) serta SAMM itu telah menampilkan tokoh seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai YB Nurul Izzah Anwar, YB Ahmad Marzuk yang juga merupakan ahli parlimen Bachok, Che Bard Pengerusi SAMM, Dato Omar Mohamad YDP Pas Bachok, Encik Azlan Ibrahim Pengerusi MTEM (Gambar atas)
Isi utama ceramah yang berkisar kepada kenaikan harga minyak dan bahaya kesan buruk sekiranya kerajaan melaksanakan TPPA, telah menarik minat hadirin terutamanya penduduk kawasan Bachok walaupun topik membicarakan tajuk berkaitan ekonomi yang biasanya kurang diminati rakyat marhaen.
Sementara itu ahli parlimen Bachok ketika dihubungi menyatakan puas hati atas kehadiran yg ramai pada ceramah tersebut. Ini menandakan tahap intelektual rakyat makin tinggi dan bukan mudah untuk diperbodohkan oleh pemimpin Umno dan BN, sesuatu yang sangat menarik pada malam ini Kita lihat rakyat terkesan dengan penjelasan penceramah dan tidak berganjak sehinggalah ceramah tamat.
Apabila mengulas isu TPPA beliau menyimpulkan bahawa kalau kerajaan meneruskan juga TPPA ini maka negara dan rakyat akan berada dalam keadaan yang sangat bahaya kerana negara kita belum sampai tahap yang mampu untuk bersaing dengan 12 negara lain yang ada dalam kumpulan TPPA, sebab itu banyak negara membantah TPPA ini termasuklah negara Jepun yang kalau dikira jauh lebih bersedia daripada Kita Malaysia .
Beliau juga membuat kesimpulan dan sangat bersetuju dengan pandangan tokoh veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang yang mengatakan bahawa rakyat terpaksa menanggung harga dan kos kenaikan harga minyak dan pengurangan subsidi minyak adalah kerana gejala rasuah dan penyelewangan yang di lakukan oleh pemimpin negara, maka rakyat yang terpaksa menanggung semua kos itu.
Terdahulu, dalam ucapan beliau menyatakan bahawa parlimen sedang bersidang dan akan meluluskan bajet tambahan untuk tahun 2013 berjumlah 14 bilion lebih yang sepatutnya rakyat mendapat nikmat dan manfaat daripadanya namun apa yang menyedihkan rakyat terpaksa tanggung kenaikan harga minyak dan barangan.
Mengulas lanjut tentang TPPA beliau mengatakan bahawa ada lima perkara asas mengapa rakyat perlu Tolak TPPA
Perkara pertama berkaitan dengan soal KESELAMATAN MAKANAN NEGARA yang mana bila perjanjian ini ditandatangani maka tiada lagi kawalan terhadap produk pertanian yang masuk dari luar. Dalam masa lima tahun, memang seronok ada banyak jenis bahan pertanian luar. Negara besar seperti US dan Jepun ada modal yang lebih besar untuk hasilkan makanan dengan murah, exsport ke Malaysia. Lama kelamaan petani kita tidak ada kerja, semua kerja kilang. Makanan tidak lagi di hasilkan dalam negara tapi di import dari luar dan kita bergantung pada makanan ini. Apa akan jadi jika nanti US dan Jepun buat hal, halang bekalan makanan. Petani-petani kita pula semakin berkurang. Kebuluran boleh berlaku seperti di Colombia dan Mexico dalam perjanjian NAFTA.
PIAWAIAN HALAL untuk umat Islam sekarang ini pengeluar makanan, pengeluar barangan penguna atau restoran tidak boleh suka-suka hati meletakkan logo Halal pada produk mereka. Di Malaysia semua logo Halal mesti standard dan mendapat pengiktirafan JAKIM setelah diperiksa dan di kaji. Jika TPPA ditandatangani, standard JAKIM ini bakal dilongarkan kerana mengikut standard US, tempat operasi makanan Halal dan tidak Halal boleh bercampur. Ikut standard Malaysia tidak boleh. Maka sesukalah sesebuah Syarikat itu mahu letak tanda Halal sendiri atau tidak. JAKIM tidak boleh memeriksa kandungan bahan sebab rahsia Syarikat. Dalam perjanjian ini, kandungan bahan adalah rahsia walaupun untuk kepentingan umat.
KESAN ALAM SEKITAR dan saman-menyaman. Contohnya, ada sebuah kilang yang telah di benarkan beroperasi di Malaysia. Ikut perjanjian, kilang tersebut boleh beroperasi selama 20 tahun. Tapi selepas beroperasi, didapati kilang tersebut mengeluarkan sejenis bahan yang merosakan alam sekitara, masyarakat marah dan bawa ke Wakil Rakyat. Setelah dibuat kajian terperinci, pengunaan bahan tersebut diharamkan menurut undang-undang. Kilang terbabit tidak boleh lagi beroperasi. Maka dengan perjanjian TPPA kilang ini boleh menyaman kembali Kerajaan Tempatan atau Kerajaan Pusat kerana mereka telah mengalami kerugian akibat undang-undang yang baru ini. Mereka bukan saja boleh saman kepada kerugian mereka alami tapi termasuk keuntungan yang mereka tidak pasti akan dapat untuk masa depan pun mereka boleh tuntut, Mereka boleh minta pampasan kerugian untuk 20 tahun. Contoh sebelum ini dalam Perjanjian FTA-FTA terdahulu antara lain Chevron lawan masyarakat tempatan Ecuador. Dalam kes ini, hutan amazon telah dicemari oleh sisa minyak Chevron. Walaupun Chevron telah di denda oleh Mahkamah dalam Negara, mereka tidak mahu bayar dan bawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa. Di Mahkamah Antarabangsa Perjanjian ini adalah lebih tinggi tarafnya daripada Mahkamah Ecuador Dan Ecuador didapati bersalah menyebabkan kerugian kepada Chevron dan perlu membayar kembali RM80 Juta kepada Chevron.
UBATAN MAHAL apabila telaksananya perjanjian ini. Tahu kah anda mengapa kita pelu membayar RM1 jika ke Hospital Kerajaan walaupun mendapat pelbagai ubatan (bukan ubatan khas). Hal ini kerana ubat tersebut dihasilkan di dalam negara dan di negara-negara membangun secara murah melalui ramuan generik. Ramuan generik adalah ubat yang menggunapakai ramuan asal atau hampir sama dengan ubat asal tetapi tidak ada kos-kos lain seperti kos jenama syarikat, kos penyelidikan dan sebagainya atau dengan kata lain tiada lagi hak paten (hak monopoli) oleh Syarikat pengeluar. Jadi ubat ini di hasilkan oleh kilang-kilang lain dengan murah. Ubat adalah bahan penting kepada manusia, maka mengikut undang-undang sekarang, monopoli pengeluar ubat oleh syarikat-syarikat tertentu hanya di benarkan selama 20 tahun (sudah cukup untuk mendapat untung yang besar). TPPA mencadangkan tempoh paten ini dilanjutkan kepada 25 tahun. Hal ini bermakna harga-ubatan untuk penyakit kronik akan naik kerana dimonopoli oleh syarikat tertentu sahaja selama lima tahun lagi. Pesakit barah (kanser) yang tidak mampu membeli ubatan mahal dan bergantung hanya kepada ubat generik perlu menunggu 5 tahun lagi, jika mereka masih hidup.
NASIB GOLONGAN PEKERJA. Golongan ini merupakan golongan yang paling ramai di Malaysia. Mereka adalah nadi ekonomi. Menurut perundangan sekarang, latihan/per pindahkan kemahiran dan teknologi, piawaian kesihatan, piawaian keselamatan dan kebajikan pekerja perlu di jaga oleh majikan dan dipantau oleh perundangan negara. Menurut perjanjian TPPA, kerajaan perlu memberi lebih kebebasan kepada syarikat untuk menetapkan standard mereka sendiri. Kita juga tidak boleh memperkenalkan undang-undang pekerja baru termasuk undang-undang untuk menjaga kebajikan pekerja, menaikkan gaji minima dan sebagainya. Hal ini boleh menyebabkan eksplotasi pekerja berlaku. Gaji yang diterima tidak setimpal, kerja banyak, Keselamatan dan kesihatan terabai. Pekerja juga akan menerima kesan-kesan lain daripada pelbagai bab dalam TPPA termasuk Kehilangan perkerjaan jika syarikat Malaysia terpaksa di tutup kerana tidak mampu bersaing dengan syarikat luar, apabila cukai eksport Malaysia dihapuskan dan barang kita jadi lebih mahal daripada syarikat asing, harga ubat dan pendidikan naik dan banyak lagi. TPPA tidak benarkan kita letak syarat pekerja tempatan untuk jadi pekerja. Jadi selepas ini semua pekerja boleh diambil dari luar. Pekerja peringkat bawahan dibawa masuk dari Bangladesh, Vietnam, Nepal sementara pekerja atasan diambil dari negara kaya TPP seperti US, Singapora dan lain-lain.
Kesimpulannya, TPPA lebih banyak mendatangkan keburukan kepada negara dan rakyatlah yang bakal menerima akibatnya.
Q&A: Mati semasa ihram
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 29 Sep 2013 |
Adakah orang yang mati semasa ihram perlu disempurnakan hajinya?
Jawapan:
Ibnu 'Abbas RA menceritakan; "Seorang lelaki sedang wukuf di Arafah. Tiba-tiba ia terjatuh dari kudanya, lalu patah lehernya dan mati. Maka Nabi SAW bersabda, maksudnya;
"Mandikanlah ia dengan air dan sidr, kafankanlah ia dengan dua kain ihramnya, janganlah disapu/dipakaikan wangian kepadanya dan janganlah menutup wajah dan juga kepalanya. Sesungguhnya ia akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah".
Dari hadis ini diambil kesimpulan;
1. Hadis ini menunjukkan ihram tidak terputus dengan berlakunya kematian. Maka kesan ihram berkekalan sekalipun selepas mati. Oleh itu, mayatnya tidak dikenakan wangian dan kepalanya tidak ditutup. Inilah yang menjadi pegangan mazhab as-Sauri, Syafi'ie, Ahmad dan Ishaq. Namun Ibnu Umar berpandangan; ihramnya terputus dengan kematian. Oleh itu ia diperlakukan sebagaimana mayat-mayat yang lain. Pandangan ini juga dipegang oleh mazhab Malik dan ashab ar-Rakyi (yakni Abu Hanifah dan sebagainya).
2. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seorang yang dalam ihram jika mati, tidak perlu disempurnakan baki hajinya kerana Nabi tidak menyuruhnya. Inilah yang disebut oleh Imam al-Baghawi dalam Syarah as-Sunnahnya. (jil. 5, hlm. 322-323). Rujukan; Dalail al-Ahkam, Ibnu Syadda, jil. 1, hlm. 501-502.
Namun menurut keterangan Imam Ibnu Qudamah di dalam al-Mughni; "Jika seseorang itu telah berihram haji, kemudian ia meninggal, adalah sah orang lain menggantikannya untuk melakukan kerja-kerja ibadah haji yang masih berbaki sama ada ia berniat ihram untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain. Dalilnya ialah; ibadah haji adalah ibadah yang harus berlaku niabah (gentian) di dalamnya, maka jika seseorang mati selepas mengerjakan sebahagiannya, maka untuk sebahagian lagi haruslah diqadha/diganti oleh orang lain bagi pihaknya, iaitu sama seperti zakat. (al-Mugni, juz. 3, hlm. 173).
http://ilmudanulamak.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan