Rabu, 25 September 2013

MANUSIA BUAT UNDANG2 UNTUK MENJAGA KEPENTINGAN DIRI ....TETAPI ALLAH MEMBUAT UNDANG2 UNTUK KESEJAHTERAAN MANUSIA ITU SENDIRI

Sejarah pemilihan dan status quo Umno

A Kadir Jasin, 24 Sep 2013
SEDIKIT mengenai sejarah. Kali terakhir Presiden Umno dicabar dalam pemilihan parti adalah pada tahun 1987. Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad. Tengku Razaleigh kalah. Umno berpecah.

Kali terakhir Timbalan Presiden Umno dicabar adalah pada tahun 1993 apabila Anwar Ibrahim mencabar Abdul Ghafar Baba. Abdul Ghafar menarik diri daripada bertanding. Anwar menang tanpa bertanding. Sebulan kemudian Abdul Ghafar meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Anwar menggantikan beliau.

Sejak itu, atas alasan perpaduan, dua jawatan teratas Umno itu tidak ditandingi lagi. Apabila Dr Mahathir bersara pada bulan Oktober 2003 dan digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi beliau juga mengambil alih sebagai Presiden Umno.

Apabila Abdullah dipaksa meletakkan jawatan pada bulan April 2009, Mohd Najib Abdul Razak menggantikan beliau dan dalam pemilihan Umno berikutnya disahkan sebagai Presiden dan Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Selain Dr Mahathir, hanya Tunku Abdul Rahman Putra dan Hussein Onn pernah dicabar sebagai Presiden. Tunku dicabar oleh Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang ulama dan Pengerusi Badan Agama Umno, pada pemilihan tahun 1951.

Ahmad Fuad adalah sahabat akrab Onn Jaafar. Beliau keluar Umno, mengasaskan PAS dan menjadi Yang DiPertuanya yang pertama pada tahun 1951. Pada tahun 1953 beliau keluar PAS setelah cadangannya menggabungkan PAS dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Onn gagal. Beliau  kemudian menyertai IMP dan selepas itu Parti Negara yang menggantikan IMP.

Hussein menghadapi cabaran kamikaze oleh Haji Sulaiman Palestin dalam pemilihan 1978. Beliau menang dengan mudah dengan memperoleh 898 undi berbanding Sulaiman sebanyak 250.

Kita lihat bagaimana, sejak pemilihan 1987, Umno begitu takut mempertandingkan jawatan Presiden dan sejak itu. Jawatan Perdana Menteri seolah-olah penentu kepada jawatan Presiden Umno.

Serentak itu juga, garis pemisahan antara Umno dan kerajaan menjadi semakin kabur. Maka tidak hairanlah apabila kerajaan tidak popular Umno turut tidak popular sebab orang ramai keliru antara Umno dan kerajaan, kerajaan dan Umno.

Pemilihan agung tidak lagi instrumental dalam menentukan siapa menjadi Presiden dan nasib Presiden sebagai Perdana Menteri.

Nasib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh pendapat umum dan oleh kebangkitan ahli seperti yang berlaku ke atas Abdullah pada tahun 2009. Hal yang sama akan menentukan kekal atau tidak Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden tumpuan 2013

MEMANDANGKAN jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, aksi pemilihan pucuk pimpinan Umno kali ini tertumpu kepada tiga jawatan Naib Presiden.

Penyandang - Ahmad Zahid Hamidi (berusia 60 tahun), Hishammuddin Hussein (52) dan Shafie Apdal (55) - ditentang oleh Mohd Ali Rustam (64), Mohamed Isa Abdul Samad (63) dan Mukhriz Mahathir (48 tahun).

Dalam pertandingan jawatan nombor tiga ini, apa sahaja boleh berlaku. Daripada tiga penyandang, Ahmad Zahid nampak kukuh, tetapi Hishammuddin dan Shafie boleh dicabar.

Kalau pemilih tahu dan masih ingat, Mohd Ali dan Isa pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dalam pemilihan parti sebelum ini.

Dalam pemilihan 2008, Mohd Ali cuba mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya pada tahun 2004, tetapi dihalang setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau melanggar peraturan pemilihan berkaitan tuduhan politik wang.

Mohd Isa memenangi kerusi Naib Presiden dalam pemilihan 2004 dengan undi terbanyak tetapi dibatalkan setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau terbabit dengan politik wang dan digantung keahlian selama tiga tahun hingga 2008.

Satu-satunya muka baru dan termuda dalam barisan calon Naib Presiden adalah Mukhriz. Selain usia, kelebihan Mukhriz adalah beliau berjaya memimpin Umno merampas balik Kedah daripada PAS dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu.

Namun pengaruh Mohd Ali and Mohd Isa tidak boleh dipandang remeh. Kedua mereka mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan pemilihan kali ini, dengan bilangan pemilih kira-kira 150,000 orang, unsur akar umbi adalah kuat.
Khairy mempunyai jalan mudah

KETUA Pemuda, Khairi Jamaluddin, dicabar oleh empat orang iaitu Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak, Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,  Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali.

Walaupun beliau dibebani oleh tuduhan menjadi sebahagian daripada Budak Tingkat Empat era Abdullah, beliau berjaya mengalahkan Dr Khir Toyo dan Mukhriz dalam pemilihan 2008.

Beliau baru berusia 37 tahun dan telah menjadi menteri penuh. Apa pun persepsi umum terhadapnya, prestasi beliau sebagai Ketua Pemuda, pemimpin generasi pasca-DEB dan pemikir semasa adalah memberangsangkan.

Pencabar beliau, termasuk Akhramsyah, adalah pemimpin akar umbi. Tiga persoalan timbul.

Pertama, apakah kepemimpinan Pemuda yang ada sekarang sepakat bahawa Khairy adalah ketua yang baik justeru itu tidak perlu diubah?

Kedua, adakah penyertaan ramai pemimpin akar umbi dalam percubaan merebut jawatan Ketua Pemuda mencerminkan kebangkitan generasi muda Umno?

Ketiga, adakah Khairy tidak popular dengan kepemimpinan ajar umbi?

Apa pun, kecenderungan dan keberanian mereka menawarkan diri adalah dialu-alukan.

Ketua Wanita penuh kontroversi

SHAHRIZAT Abdul Jalil (60 tahun) menghadapi cabaran yang tidak diduga daripada bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Pahang. Turut mengemukakan pencalonan adalah Raihan Sulaiman, anak Allahyarham Sulaiman Pelestin.

Dengan beberapa kontroversi di sekelilingnya, kedudukan Shahrizat boleh disifatkan sebagai “goyah” tetapi masih sukar dijatuhkan.

Beliau seorang yang diplomatik dan pandai mengambil hati. Hati terakhir yang dipikatnya ialah hati Perdana Menteri yang baru saja melantiknya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita bertaraf menteri, walaupun Mohd Najib sudah ada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Rohani Abdul Karim).

Jawatan Ketua Puteri yang ditandingi oleh Ahli Parlimen muda Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ketua Puteri Umno Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman, berupa persaingan sama rata.

Dengan bilangan calon yang mendaftar sebanyak 261 orang bagi jawatan Majlis Tertinggi dan tiga sayap parti, pemilihan kali ini menjanjikan persaingan yang hebat dan terbuka.

Ia boleh menjadi permulaan kepada berakhirnya politik wang atau memburukkannya lagi gejala itu. Tugas Lembaga Disiplin menjadi bertambah berat. Kewibawaan pemilihan bergantung kepadanya.

Wallahualam. - http://kadirjasin.blogspot.com/

Bayangkan perasaan anak kecil ini

https://www.facebook.com/MesirKini, 24 Sep 2013
Saudara saudari,

Tiada siapa yang mampu lupakan tragedi seorang kanak kanak yang ibunya syahid di Medan Rabaah dan beliau dengan wajahnya yang sangat sedih merintih dan memanggil ‘Mama, Mama’.

Hari ini adalah hari pertama persekolahan per tama bagi kanak kanak di Mesir. Bayangkan saudara dan saudari sekalian. Siapa yang akan menemani si anak kecil ini berpimpin tangan ke sekolah? Siapa yang akan menyediakan sandwich sarapan baginya? Siapa yang akan berinya wang belanja? Siapa yang akan balut buku teksnya?

Siapa yang akan menghantarnya ke sekolah pada hari pertamanya yang mana ia adalah hari yang istimewa bagi setiap kanak kanak? Siapa yang akan menyambutnya tika sekolah sudah tamat? Siapa yang akan menyediakan makan tengah harinya? Siapa yang akan mengejutnya untuk ulangkaji? Siapa yang akan hadir ke sekolah melihat perkembangan pelajarannya?

Allahu Akbar! Allahu Akbar...

Terdetik di hati aku, apa anak kecil ini bapanya masih hidup atau sudah syahid? Siapa yang menjaga anak kecil ini sekarang?

Dan kalau anak kecil ini sudah redha dengan segala apa yang berlaku kemudian anak kecil ini pergi ke sekolah dan mendapati salah seorang dari gurunya menyokong kudeta kemudian mencela ibubapanya di hadapannya atau mendapati ketika perhimpunan, askar-askar menangkap mereka yang mengangkat simbol r4bia.

Bayangkan perasaan anak kecil ini.

Anak kecil ini bagai bom jangka (time-bomb) yang boleh memberontak bila-bila masa akibat tekanan dari kekejaman dan penyalahgunaan kuasa di kawasannya.

Maafkan aku hai anak kecil. Ibumu syahid dan sehingga kini kami masih belum lagi mampu mengambil haknya kembali meski segala demonstrasi. Tetapi percayalah, sesungguhnya Allah swt sama sekali tidak akan mensia-siakan hak ibumu.

Yang benar,
Rakyat Mesir.

Sumber: egyptwindows.net
#mesirkini
#R4BIA
See More

Pemilihan di Kedah: PAS tenang, Umno tegang

Zulkifli Yahya, 24 Sep 2013
ALOR SETAR: Sembilan dari 15 kawasan PAS di Kedah yang selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan setakat ini memutuskan tiada pertandingan untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan.

Hanya satu kawasan memilih Yang Dipertua baharu, selainnya mengekalkan muka lama. Sementara hanya terdapat dua pertandingan Timbalan Yang Dipertua dan satu pertandingan untuk Naib Yang Dipertua.

Di kalangan yang belum mengadakan mesyuarat agung, kemungkinan hanya terdapat satu sahaja kawasan yang memutuskan jawatan Yang Dipertua melalui pertandingan, sementara lima lagi dijangka tiada pertandingan.

Senario ini membayangkan bahawa isu perpecahan yang dikatakan melanda akar umbi PAS Kedah sebelum dan semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kini tidak berbangkit lagi selepas Pakatan Rakyat hilang kerajaan di negeri ini.

Sementara itu di pihak lawan, Umno Kedah menghadapi ketegangan dalam pemilihan apabila 11 dari 15 bahagian berlaku perebutan untuk jawatan ketua. Begitu juga untuk pelbagai jawatan yang terdapat di semua entiti, hampir kesemuanya terdapat perebutan dan persaingan sengit.

Kawasan PAS yang telah selesai mengadakan mesyuarat agung dan keputusan untuk empat jawatan tertinggi adalah seperti berikut:
Jerai - Tan Sri  Ust Azizan Abd Razak (Yang Dipertua),  Ust.  Azizan Talib (Timbalan Yang Dipertua),  Ismail @ Che Mei Ahmad (Naib Yang Dipertua), Ust. Madzlan Mansor (Ketua Urusan Ulamak).

Pokok Sena -  Dato’ Mahfuz Omar (YDP), Wan Romaini Wan Salim (TYDP),  Omar Awang (NYDP), Ustaz Daud Ahmad (KUU).

Merbok - Ustaz Azizan Hamzah (YDP), Ustaz Fakohruddin Fakhrurazi (TYDP),  Fadzil Ali (NYDP).

Kuala Kedah - Dato' Ir.  Phahrolrazi Zawawi (YDP),  Dato’ Ir.  Amirudin Hamzah (TYDP),  Mohd Nasir Mustafa (NYDP), Ustaz Omar Saad (KUU).

Kulim Bandar Baharu - Hassan Abd Razak (YDP),  Amer Suffian Yusuf (TYDP),  Mohd Khairi Salleh (NYDP), Nordin Abd Rahman (KUU).

Padang Serai
- Hj Mohd Fauzi Md Tahir (YDP),  Abd Razak Salleh (TYDP),  Mahamud Saad (NYDP),  Ustaz Shahrudin Ibrahim (KUU).

Langkawi - Zubir Ahmad (YDP),  Mazlan Ahmad (TYDP),  Subri Yahaya (TYDP),  Ust Rapingi Yusuf (KUU).

Jerlun - Ust. Abd Ghani Ahmad (YDP),  Abd Wahab Abd Rahman (TYDP),  Abd Rahim Jusoh (NYDP), Ust Md Rejab Md Akhir.

Sungai Petani
-  Abdullah Jusuh (YDP),  Muhammad Sobri Osman (TYDP),  Ustaz Ahmad Fazli Hashim (NYDP), Ust Zulkifli Mutalib (KUU).

PAS Kawasan Sik,  Padang Terap,  Pendang,  Baling dan Kubang Pasu akan mengadakan mesyuarat pada 28 September ini dan Alor Setar pada 12 Oktober.

GST: Wang isi rumah terbeban dengan cukai

Anis Nazri, 24 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Alasan kerajaan memperkenalkan GST untuk menjana pendapatan negara dilihat bercanggah dengan model pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh permintaan domestik.

Pengarah Ekskutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata dengan model pertumbuhan yang dipacu permintaan domestik atau permintaan isi rumah, rakyat akan mempunyai wang untuk berbelanja.

Namun, sekiranya GST diperkenalkan, permintaan isi rumah yang mempunyai wang untuk berbelanja sebelum ini akan terbeban dengan kadar cukai tersebut yang dilihat boleh menghalang perbelanjaan isi rumah.

"Dalam suasana ini, ketika ekonomi negara dipacu oleh permintaan isi rumah yang mempunyai kuasa berbelanja, cukai GST ini secara langsung akan menghalang kuasa berbelanja tadi," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Apabila kuasa membeli itu terhalang, kata beliau sudah tentu pengguna tidak mampu lagi berbelanja dan secara langsung memberi kesan kepada negara untuk menjana pendapatan.

Sehubungan itu, tambah beliau sekiranya kerajaan ingin pengguna mempunyai kuasa beli yang tinggi, tidak sepatutnya kerajaan mengenakan satu perkara yang membebankan mereka, yang akhirnya boleh menghalang perbelanjaan.

Tambah Dzulkefly, pelaksanaan GST ini akan mencetuskan inflasi dan menyebabkan beban pengguna bertambah, sekaligus mengurangkan kuasa membeli isi rumah.

"Saya tidak faham kenapa GST perlu diperkenalkan dalam usaha menjana pendapatan negara, sedangkan pengguna sendiri akan terbeban dengan GST yang akan menghalang kuasa membeli mereka untuk menjana pendapatan negara," kata beliau lagi.

Tambah-tambah lagi, kata beliau ketika negara masih belum mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.

Malah, kata beliau dalam usaha kerajaan menjana ekonomi negara, kerajaan sewajarnya mengangkat pendapatan rakyat agar lebih tinggi dengan kaedah-kaedah tertentu, antaranya memperkenalkan dasar gaji yang lebih adil, bukan dengan melaksanakan GST.

"Masalahnya dasar gaji pekerja masih belum adil. Dasar pendapatan rakyat tidak mampu diangkat kerana pasaran kerja negara kita hari ini dilambakkan oleh pekerja asing yang mempunyai ketrampilan yang rendah (low skill) dan dibayar murah.

Pekerja tempatan yang turut bersaing dalam pasaran kerja, juga dibayar murah  walaupun mereka mempunyai ketrampilan yang lebih tinggi kerana majikan sememangnya tidak berhasrat untuk membayar lebih," tegas beliau.

Justeru, kata Dzulkefly, kerajaan perlu berani menamatkan pergantungan terhadap tenaga pekerja asing, selain perlu beralih kepada industri yang membawa kepada nilai tambah yang lebih tinggi terhadap negara.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba memasukkan GST dalam Bajet 2014, Oktober ini.

Pelaksanaan GST ketika ini dilihat tidak sesuai memandangkan negara masih belum mencapai tahap berpendapatan tinggi, selain rakyat baru sahaja dibebankan dengan kenaikan harga minyak, baru-baru ini.

Negara sarat dengan penjenayah berbahaya?

Harakahdaily, 24 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Dalam soal keselamatan, rakyat dan negara perlu menjadi keutamaan sekalipun ratusan penjenayah yang berbahaya ditembak mati dalam tahun mendatang.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 92 penjenayah telah ditembak mati sejak 2011 sehingga Ogos 2013.

Daripada jumlah tersebut, 56 orang adalah warganegara Malaysia dan selebihnya dari Indonesia, Myanmar dan Nigeria.

Fakta itu, kata Riduan menunjukkan keberkesanan pihak polis menjalankan tugas membanteras jenayah khususnya jenayah berat.

Sejak akhir-akhir ini pula, ujarnya kerap berlaku jenayah berat termasuk tembak mati yang dilakukan terhadap mangsa.

Justeru, tegas beliau keberanian pihak polis menembak mati 92 penjenayah dalam tempoh dua tahun ini wajar dipuji.

Namun demikian, katanya di sebalik fakta itu timbul kebimbangan mengenai tahap keselamatan rakyat dan negara ini.

“Persoalannya adalah sejumlah 92 orang penjenayah yang ditembak mati tersebut boleh dianggap ramai dan membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini, ujar beliau belum dikira mereka yang terlepas dari tangkapan, tidak dapat dikesan, tercedera dan lain-lain lagi, sudah pasti angka tersebut amat ramai.

Tam bahnya, ini bermakna negara ini sarat dengan penjenayah yang berbahaya dan pada bila-bila masa sahaja boleh membahayakan nyawa manusia lain.

Dalam pada itu, katanya DPPM memuji pihak polis mendedahkan senarai 49 buah pertubuhan kongsi gelap yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

Menurutnya, mungkin di antara penjenayah tersebut adalah ahli atau pemimpin pertubuhan kongsi gelap terbabit.

Katanya lagi, apa yang diharapkan adalah kesemua penjenayah berbahaya tidak terlepas dari diburu, ditangkap dan dibunuh kerana kesalahan dan jenayah yang mereka lakukan amat besar kepada negara.

“Yang paling penting, kerajaan bersedia menangani persoalan mengenai pemilikan senjata api secara mudah, dengan menyiasat secara mendalam punca perolehan serta mereka yang terlibat dalam penjualan senjata api,” katanya.

Tambah beliau, tidak ada individu atau kumpulan yang boleh dimaafkan dalam memusnahkan negara ini.

Rakyat Malaysia, ujarnya meletakkan harapan besar agar kerajaan mampu membanteras jenayah secara bersepadu dan besar-besaran.

Tiada ulasan: