Ahad, 8 September 2013

PESANAN2 YANG BERGUNA...DAN PATUT KITA AMALKAN

Adakah kemusykilan Tuan Haji & Puan Hajah Terjawab!
Posted on Sunday, September 08 @ 09:29:01 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: hishamahmad

"



Siri Bacaan Cabar Fikir - Bagi Bakal-Bakal Haji Atau anak-anak mereka
“Jangan ambik tu. Jangan baca risalah atau buku yang diberi oleh orang-orang dari negara lain!”  Begitulah seorang ustazah guru agama Malaysia menegurku, apabila seorang datang ke hotel kami dan meletakkan sejumlah risalah atau ‘flyers’ mengenai maklumat haji. Dalam hati aku, “ape lah ustazah ini, takkan nak tengok pun takleh.” Habislah sikap ingin tahu manusia, kalau gitu caranya.




Sebenarnya aku faham maksud mereka. Memang ada teguran atau nasihat agar jemaah kita tidak mendapatkan maklumat mengenai haji daripada risalah, suratkhabar, buku-buku yang diberikan secara percuma khususnya yang bertulisan Indonesia. Alasannya takut terpengaruh atau terkeliru pada sesuatu yang salah. Maksudnya, takut jemaah kita terbuat atau mengikut apa yang tertulis dalam buku atau risalah itu, sedangkan ianya lain dari yang diajar oleh guru agama di Malaysia, atau atas apa jua alasan. Kekadang geli hati pula memikirkan. Apa hal sampai begitu sekali. Seolah-olah ada ajaran sesat dalam buku atau risalah yang diberi. 

Nasihat begitu tentu sahaja tidak aku terima kerana ia bercanggah dengan sikap aku yang selalunya akan memenuhi kehendak ‘rasa ingin tahu’. Prinsip aku pula, tidak akan memberi keputusan atau penghukuman atas sesuatu tanpa diteliti, dipertimbang secara adil. Adillah, bukankah adil itu lebih dekat dengan takwa.

Bila ustazah itu dah tiada, aku ambil juga untuk dibaca. Tidak elok pula kalau aku membantah didepan ustazah. Itu macam kurang ajar. Aku sekadar ingin tahu. Lagi dihalang lagi aku ingin tahu.

Takkanlah akal yang dipandu ilmu dan kefahaman yang ditimba melalui para ‘asatizah’ masih tidak memadai untuk menilai antara betul dan salah.    
Susulan itu juga, aku membaca sebanyak yang aku terdaya segala maklumat agama pada flyers, akhbar dan beberapa buku kecil yang comel. Aku masih ingat 2 set buku yang aku terima. Satu semasa mula memasuki bandar nabi. Kedua ketika pulang dari solat di masjid Nabawi.

Ku dapati, kesemuanya adalah atas usaha, pemantauan atau penerbitan kerajaan Arab Saudi. Bukan terbitan “underground’ yang nama penulis tidak diketahui seperti buku-buku pro-syiah yang disebarkan di negeri Melaka dan di luar Melaka sekitar sebelum bulan puasa, 2011.

Buku-buku pro syiah ini begitu jelas bersifat tohmah dan fitnah, irihati dan dengki. Pada masa yang sama, memasarkan produk syiah kepada umat Islam Malaysia. 2 jenis buku yang tebal dan sederhana tebal ini diletakkan di banyak masjid di Negeri Melaka. Pada jumlah yang banyak, tentunya dengan kos yang tinggi. Sehingga timbul desas-desus adanya pengusaha kaya (melayu) yang membiaya. Maaf, terlari topik pula.

Kembali. Berbeza dengan maklumat ilmu haji dalam buku-buku dan risalah-risalah di Mekah dan Madinah. Tiada yang pelik dan mengelirukan. Biasa dan munasabah. Serupa dan hampir sama dengan kita punya. Sebahagian maklumatnya pula lebih berkualiti dan memang dicari kerana menunjukkan amalan sunnah nabi. Dalil dan bukti dikemukakan, melalui nas hadith dan al-Quran. Apa yang kita risaukan. Oh, mungkin ada penekanan sikit pada isu bidaah, agaknya itu yang menjadikan kita gelabah. Kalau mereka agak bertegas dalam isu itu, dan kita pula bersifat terbuka, apa lagi yang nak dikata. Biarkanlah sahaja. Terserahlah pada kita sama ada nak terima atau tidak, nak ikut atau tidak.

Namun bagi aku, dalam menyaksikan perbezaan pandangan, tentulah memilih dan mengikuti yang paling menghampiri sunnah nabi adalah sifat dan sikap paling terpuji. Justeru, setiap isu dinilai satu persatu atas meritnya bukan dihukum secara pukul rata. Mana yang lebih sahih, tentu yang itu aku lebih suka untuk pilih.

Khususnya dalam soal ibadah, sekuat-kuatnya gigitlah sunnah. Bagi hal muamalah dan urusan dunia, tentulah berbeza… tentulah ada keluasannya. Itulah sebenar sunnahnya. Kefahaman yang tepat mengundang rahmat kepada sekelian umat.

Suasana Berbeza

Keadaan di Mekah dan Madinah ketika musim haji dan umrah tentunya mewujudkan suasana yang lain dan berbeza dengan keadaan di tanah air kita. Umat Islam yang satu tapi dari pelbagai bangsa, datang dari segenap pelusuk dunia, berbekalkan kefahaman yang berbeza, pandangan yang tidak sama, perangai dan kelakuan yang tidak diduga, anutan mazhab sunnah, syiah dan apa lagi entah, tentunya mewujudkan suasana dan persekitaran yang bermacam keadaan, karenah dan ragam. 

Pasti ada perkara-perkara pelik tapi benar. Benar-benar berlaku, yang akan anda saksikan. Lalu bagaimana perkara-perkara itu dinilai oleh anda? Bagaimana  ianya mempengaruhi dan memberi kesan kepada ilmu dan kefahaman anda? Pemikiran anda? Keyakinan dan kepercayaan anda?

Ya. Seringkali,  kita diberi pesanan dan ingatan agar berpegang dengan apa yang kita dah diajarkan. Jangan terpengaruh dengan apa jua cara orang Islam lain yang berbeza dan berlainan?

Sebagai manusia bernaluri, berfikiran, tidakkah kita tertanya mengapa mereka berbuat demikian? berkelakuan demikian? Kenapa berbeza? Kenapa begitu berbeza? Kita yakin betul apa yang kita buat, tapi adakah mereka yang tak betul? Adakah kita dengan mereka sama-sama betul? Takpelah, jangan sama-sama salah, sudah. Tapi tiada kemungkinankah kita yang tak betul dan mereka yang betul.  Guru agama mereka kata mereka betul, guru agama kita kata kita betul. Kiranya kita dan mereka, dua-dua betul, mana satu yang lebih betul, maksudkan lebih menghampiri sunnah. lebih menepati sunnah.

Maksudnya di sini bukan pada apa yang dimakan, diminum atau dipakai. Tetapi perbezaan kelainan dan kepelikan dalam soal ibadah, dalam melakukan ibadah. Perbezaan dalam menghayati dan mentaati. Sikap dan perlakuan dalam mengejar yang afdal dan aula. Antara kejahilan dan keilmuan. Kesungguhan dalam mencari pengampunan. Pada agama yang satu. Menyembah tuhan yang satu.

Kepelbagaian, Kepelikan

Mulai dari tiba ke Madinah dan berakhir di Mekah, Kita akan melihat pelbagai cara dan gaya oleh pelbagai manusia dalam melakukan amal ibadah. Di Madinah, kita menyaksikan antaranya:-

(1)  Apabila pintu babul salam Masjid Nabawi dibuka, manusia berebut dan bekejaran masuk ke dalam. Apa yang dicari? Berebut saf pertama? Alhamdulillah. Begitu juga apabila  Raudah dibuka? Manusia berebut memasuki taman syurga? Sebegitu penting dan berharga? Perlukah sampai begitu sekali caranya? Bila berdesakan, timbul risiko kecederaan.  Alasan, kita hamba yang berdosa, tinggalkan keluarga, tanah air kini jauh di mata. Sedikit kesakitan, kecederaan bertukar kepuasan. Dapat beribadah, berdoa di tempat mustajab lagi istimewa. Raudatulul Jannah, Taman Syurga.  

(2) Tahukah kita, apabila selesai solat jenazah di Masjid Nabawi, jenazah itu akan diusung dengan berlari sehingga ke perkuburan Baqi? Sebegitu kesungguhan ingin menyegerakan perkebumian, sedangkan di Malaysia, 3 langkah pertama dengan gaya perlahan. Al-fatihah, dibacakan.

(3) Dalam pada itu, kelihatan sebahagian manusia yang berdoa mengadap maqam Rasulullah. Lalu dimarahi pengawal dan disuruh mengadap kiblat. Ada pula yang mengusap besi-besi pintu di maqam nabi  dengan sapu tangan atau kain serban.

(4)  Saya juga masih ingat bagaimana jemaah berebut untuk solat di depan ruangan mimbar berdekatan Raudah, sedangkan didepannya terpacak pegawal arab berjubah. Bahkan dalam kesempitan itu ada seorang Indonesia yang lebih mengadap mimbar tetapi tersengit dari arah kiblat. 

(5) Di Mekah pula, kita melihat jemaah wanita menyertai solat jenazah tetapi di Malaysia, tidak kita perasaan wanita bersolat jenazah, sendirian atau berjemaah. Kenapa? Dalam hal tawaf pula, kita lihat ada dilakukan secara berpasukan dengan diketuai ‘ala-komando’ tak tahulah diupah dari kalangan ustaz atau kaki gaduh. Berzikir dan berdoa beramai-ramai secara kuat, seolah-olah kumpulan dia sahaja yang nak beribadat.

(6) Saya masih ingat sekali hal sekumpulan jemaah asing. Sebutan takbirnya agak pelat -allahu achbar- allahu achbar. Kenapa sebegitu pelik sekali sebutan suatu bangsa dari negara T___ yang di masa silam pernah mentadbir empayar Islam. Mungkinkah ia natijah tumbangnya pemerintahan khalifah diganti sistem sekular? 

(7) Kita juga kadangkala hairan melihat perangai orang lelaki, ada yang memakai ihram secara ittiba pada sepanjang hari walaupun tidak bertawaf lagi. Ada berihram secara ittiba pada semua pusingan. Ada yang pada sekadar awal 3 pusingan. Bagaimana pula dengan raml, adakah ia berlari-lari anak atau larian kecil pasukan tentera? Begitu juga semasa saie, Ada yang memakai ihram secara berittiba? Adakah ia kejahilan atau ketidakpedulian atau perkara remeh, tak perlu diberi perhatian?

(8) Kita juga tidak dapat lari dari terlihat sekian ramai wanita tidak memakai sarung kaki. Bersebabkan kebanyakan berkulit sedikit kehitaman, kita merasa mereka dari sebelah India, Bangladesh atau Pakistan. Setahu kita 4 mazhab (ahlul sunnah) sepakat ia adalah aurat. Mungkin ada mazhab (Hanafi?) memberi kelonggaran atau pengecualian tetapi adakah pergelangan kaki (1) tidak langsung dikira aurat, atau (2) hanya boleh terdedah semasa darurat? Kalau yang pertama (1), habislah kita. Apa lagi nak dikata. Kalau yang kedua (2), bolehlah kita tegur tok alim mereka. Takkan semasa tawaf tak boleh nak bersarung kaki (stokin) untuk menurup aurat, mana boleh dikira darurat. Lainlah semasa berwudu’ ditempat terbuka atau di zaman purbakala, ketika itu stokin mudahpakai belum dicipta.  

(9) Tumit-tumit mereka yang menganggu konsentrasi langkah kita. Semasa bertawaf secara berihram, bagaimana nak memberi tumpuan, asyik kena tengok kaki didepan. Tumit-tumit merekalah yang kekadang kita tersepak. Kaki-kaki merekalah  yang kekadang menyepak tumit-tumit kita.

(10) Kekadang kita juga melihat keadaan tudung mereka yang perlindungan aurat tidak   sesempurna tudung jemaah wanita kita, sekalipun dibandingkan dengan artis wanita tanah air, bertudung labuh sempurna sekali, walaupun tidak bertudung di negara sendiri. Lihat pula lelaki-lelaki sana yang mengiringi wanita mereka, berjanggut tebal dan panjang yang kalau di Malaysia kategori ustaz atau ahli ibadat. Berjanggut adalah sunnah tetapi kekadang ia lebih mudah kerana telah menjadi budaya. Jadi, jangan sekadar melihat luaran untuk mengukur keilmuan. Perhatikan juga pada perlakuan ibadah, adakah menepati sunnah.

(11)  Di Multazam, kita melihat ramai yang melekap badan, pipi dan tangan. Apakah yang   dilakukan? Merintih dan berdoa? Kenapa berbeza cara? Adakah kita mengerti mengapa? Janganlah sekadar ikutan tanpa mengetahui rahsia dan hikmah perlakuan? Ia membantu kita dalam penghayatan dan kekusyukan. Begitu juga halnya dalam perebutan untuk memasuki Hijir Ismail. Adakah kita turut merebut kerana ikutan-ikutan, atau kita faham kelebihan dan tahu apa nak lakukan bila diberi peluang dan kesempatan. Maksud saya, melakukan amalan mengikut sunnah, seperti disaran kekasih Allah.  

(11) Kita juga melihat orang ramai bergasak berebut untuk mencium Hajar Aswad? Kalau tak bergasak dan berdesak, kalau tak digunakan kudrat, tak nampak bagaimana boleh dapat. Ciuman nikmat. Tentu sukar dikata, tiada siapa akan disakiti. Kita tidak berniat menyakiti tetapi kemungkinannya sering ada yang disakiti. Secara sedar atau tidak, sengaja atau tidak. Melihat keadaan begitu, siapa yang masuk gelanggang pasti tahu apa yang akan dilaluinya itu. Seolah-olah wujud persetujuan tersirat. ‘Consensus’ pemikiran untuk reda disakiti pada kadar berpatutan. Mungkin ada yang sengaja menyakiti, tetapi itu satu, dua manusia yang sakit pada jiwa dan hati. Yang lain tak mungkin berniat di hati atau bersengaja pada perlakuan untuk menyakiti.

(12) Sebaliknya, selalu juga kita baca hal pengalaman insan-insan terpilih yang dapat  mencium Hajar Aswad tapi menafikan mereka bergasak, merebut atau menyakiti sesiapa. Seolah-olah jalan terbuka luas untuk mereka. Lalu mencium Hajar Aswad dengan mudah tanpa bersusah payah. Justeru tanpa melalui proses kemaknusiaan dan kemunasabah seperti manusia kebanyakan. Tentu dari segi logik, rasional dan akalbudi,  kita sukar percaya dakwaan sebegini. Kalau begitu, secara ajaib dan pelik, ia berlaku.  Benarlah, jika Allah  mengkehendaki, pasti terjadi. Memanglah, kalau ia berlaku secara ajaib dan pelik, kita pun takleh nak kata apa. Ia tidak dapat dibuktikan. Mungkin kalau tidak ada keperluan, tak perlu dicerita, lebih baik dirahsia. Hanya yang mengalami sendiri yang mengetahui. Cuma sesiapa sahaja boleh mendakwa, jadi tak kisahlah kalau ada yang tak nak atau nak percaya. Percaya kepada diri yang mengaku, bukan pada, sama ada ia tidak boleh, atau boleh berlaku. 

(13) Ramai di antara kita yang dapat mencium juga tapi kita tahu mereka telah perlu menggunakan kadar tenaga yang banyak dan terpaksa melalui proses usaha yang lasak tapi bukan untuk bergasak. Berusaha bukan berebut, melalui bukan meredahi. Tiada niat dan tanpa tindakan kesengajaan untuk menyakiti pada diri, hati dan perasaan. Sesiapa jua tanpa pengecualian. Itu adalah proses kemanusian dan logik musabab yang perlu dilalui tetapi dengan izin dan kurnia illahi, nikmat cium itu diperolehi. Bila selesai, kita menoleh kebelakang, kita juga pelik dan hairan bagaimana kita mampu melakukan, kalau sekadar bergantung pada kudrat dibadan. Yakinlah kita ia juga keajaiban, nikmat dan kurniaan. Ada yang bergasak dan berkasar  serta sengaja menyakiti, tapi kalau Allah tak izinkan, pasti tiada sesiapa dapat melakukan. Tapi… bolehkah kita berhujah begini?

(14)Kes paling mencabar kesabaran kita dan ilmu kita ialah apabila kita didatangi wanita yang berdiri untuk bersolat disebelah kita. Ada masa tu, di depan kita pula. Apakah tindakan yang patut kita lakukan mengikut petunjuk sunnah? Adakah kita diajar ustaz di Malaysia? Disuruh beredar sahaja. Kalaulah ada ruang solat lain tersedia untuk kita. Kalau tiada, macammana. Kawasan tawaf yang padat, bilal sedang melaungkan iqamat. Lalu?

(15)Jemaah Indonesia memang ramai yang bersolat sebelah menyebelah, lelaki dan wanita. Jemaah negara-negara lain pun ada yang begitu juga. Akhirnya, jemaah Malaysia pun ada yang terikut sama. Mata ini menyaksikannya. Sepasang suami isteri dari satu pakej yang sama, bersolat sebelah-menyebelah sedangkan tiada keperluan memaksa dan tiada masalah apa-apa. 
(16) Dalam hal lain pula, manusia begitu selamba melintasi atau lalu-lalang di hadapan orang yang solat. Mungkin ramai yang jahil. Masih tidak tahu hukum. Sesungguhnya ketahuilah! melintasi di hadapan orang yang solat khususnya di dalam anggaran kawasan sujudnya adalah suatu perbuatan yang haram dan berdosa. Mungkin ramai juga yang tahu tapi menganggap ia terpaksa dan perlu. Dikira daruratlah tu. Konon keadaan begitu mendesak dan  kesesakan, menjadikan ia ibarat satu keterpaksaan. Dusta!

(17)Kita melihat sendiri gaya perlakuan orang yang lalu-lalang di depan orang solat itu seperti tidak tahu hukum atau tidak kisah hukum. Mereka melintas dengan selamba, selalu dan kerap, tanpa rasa bersalah dan merasa tidak kisah.  Jika mereka harus melintas di depan orang solat kerana menggangap ia satu keterpaksaan akibat kesukaran yang tidak dapat dielakkan, ‘bahasa badan’ tentu ada kelainan. Raut muka juga pasti berbeza. Rasa bersalah. Rasa berdosa. Dah cuba cari jalan lain, tetapi tiada. Jadi, terpaksa dilakukan juga, kerana sebab yang memaksa. Sakit perut, wuduk terbatal dan sebagainya.

(18)Isu wuduk. Isu Sentuhan. Isu batal atau  tidak batal wuduk. Isu batal atau tidak batal wuduk kerana sentuhan. Bukan kerana keluar angin  kus-kus dari badan.

(19)Isu ini masih  terus diperkata. Takkan selesai punya. Sampai bila-bila. Selagi begitulah pendirian dan pendekatan kita. Memang tiada salahnya. Tetapi letihlah setiap tahun, kena disampai cerita yang sama. Maklumat yang dahulu kepada jemaah baru. Setiap tahun asyik begitu. Pembimbing haji atau dalam kursus haji terpaksa mengulang-ulang, sampai mereka sendiri dah begitu hadam. Mungkin timbul bosan, penjelasan ditakuti jadi kurang berkesan. Tapi kita katakan kepada mereka, bukankah ada kebaikan, keperluan tugasan terus berpanjangan.
(20)Maksud saya, takkan jadi isu yang dapat diselesaikan, bukan maksudnya, isu itu tidak selesai. Tapi isu itu dan penyelesaiannya itu, akan terus diperkata saban tahun. Sentiasa ada yang tidak faham, maka pertanyaan demi pertanyaan diutarakan. Penjelasan demi penjelasan kemudian diberikan. Sehingga semua diharap dan disangka faham.  Namun kesan kepentingannya dua iaitu (1) sebahagian masih tidak tahu (2) sebahagian tahu, tapi  merasa sukar untuk menyesuaikan dengan ‘hukum’ baru sedangkan selama ‘7 keturunan’ beramal dengan kepercayaan demikian, tiba-tiba disuruh berubah sekadar untuk sebulan.   

(21)Pembaca mungkin tidak faham apa yang dibebelkan. Itulah sebahagian tujuan, buat permulaan untuk mencetuskan rasa keinginan. Keinginan kepada kebenaran. Mengapa semua yang di atas dikatakan? Beginilah dipermudahkan. Semoga dapat pencerahan.

(22)Dalam soal sentuhan yang  membatalkan. Selama zaman berzaman, dari generasi ke generasi. Kita bepegang kuat kepada satu pandangan yang menghukumkan sentuhan lelaki dan wanita bukan muhrim dan isteri adalah batal walaupun tanpa rasa syahwat. Itulah yang kita pelajari sekian lama dan kita amalkan, zaman berzaman.

(23)Namun bila haji, umrah dan ziarah hendak dilaksanakan, di Mekah dan Madinah, kita kebingungan. Manusia terlalu ramai, lelaki dan perempuan bercampuran. Persentuhan  sukar dielakkan. Mungkin dalam keadaan biasa, kita boleh menutup kaki dan tangan.  Tapi bagaimana dengan kerja umrah dan haji, ibadah utama diperintah illahi. Sebahagian tubuh perlu didedahkan, terutama kaki dan tangan. Tawaf pula mesti dikerjakan, dengan wuduk dikekalkan, syarat kesahan.  Lalu, bagaimana dapat bertawaf 7 pusingan, tanpa risiko sentuhan.  Mana mungkin dapat dilakukan?

(24)Kecewa dan tertekan. Macammana nak khusyuk dan memberi tumpuan. Pegangan (hukum) kita dalam hal ini, kurang praktikal untuk ibadah haji. Sedangkan penganut kefahaman lain tenang tanpa kerisauan. Sentuhan tanpa syahwat, tidak membatalkan. Tak kiralah dengan isteri atau lain-lain perempuan.

(25)Akhirnya kita tiada pilihan, bertaklid kepada pegangan lain terpaksa dilakukan. Begitulah   diputuskan dalam sesuatu masa dan keadaan. Timbullah kisah bermacam-macam.  Sebahagian menjadi gurauan. Ialah, jika berwuduk, makan unta itu dikira membatalkan.

(26)Masa berlalu. Kekadang kita terasa malu. Bertaklid kepada pegangan (mazhab) yang berbeza bukan suatu yang kita suka. Sama ada mazhab Hambali, Hanafi atau Maliki. Mazhab Shafie tetap dihati. Namun bila berlaku situasi ini, seolah pegangan mazhab yang kita miliki, tidak sepraktikal yang mereka anuti.

(27)Haji. Pada ibadah paling utama, pendapat hukum pegangan kita, kelihatan kelemahannya.  Mungkin ada suara yang memerli dan mengata. Bagi segelintir yang tiada kerja cari kerja. Fanatik tanpa sebab nyata. Ketahuilah, mazhab-mazhab ini sekadar penerang hukum dan agama  bukan pencipta atau pembawa hukum dan agama. Agama itu ialah apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.  atas perintah Allah Azza Wa Jalla.

(28)Akhirnya terdengar maklumat tapi ketepatan fakta belum pasti. Fakta lengkap juga belum diperolehi. Pembaca boleh merujuk pihak urusan haji. Terdapatnya  pandangan minoriti dalam mazhab Shafie. Wuduk tidak terbatal lagi, jika bersentuhan antara perempuan dan lelaki. Pandangan berbeza dalam mazhab kita juga, tentulah amat bermakna. Tiada keperluan lagi untuk menoleh ke Mazhab Hambali atau Hanafi. 

(29)Pandangan relevan ini. Adakah boleh untuk umrah biasa atau sekadar semasa Haji. Bagaimana tafsiran dan keluasan. Had dan pemakaian. Adakah berbeza menyentuh dan disentuh? Adakah semasa tawaf sahaja atau sepanjang masa? Jika sekadar musim haji, bagaimana umrah di bulan Ramadan, manusia ramai sekali seumpama semasa musim haji. Timbullah pelbagai persoalan, sebahagian jawapan ada diketahui, namun kami memohon pembaca mencari jawapan sendiri. Kami takut terkhilaf dan mempengaruhi.

(30)Mengapa Jadi Begini
Begitulah apa yang dikehendaki berlaku. Telahpun berlaku. Tetapi mengapa harus melalui proses begitu. Mengapa perlu keterikatan, sedangkan agama itu memudahkan. Bukankah nabi telah mengingatkan kita, tiada orang yang memayah-mayahkan dalam agama ini melainkan dia sendiri yang kecewa (tewas). Sekiranya kita memayah-mayah dalam hal pembatalan sentuhan, nescaya yang kecewa dan tertekan, jemaah kita juga, kan.

Bayangkan semasa 2-3 tahun lalu saya pergi haji, isu ini masih dibincangkan. Entahlah, bagaimana keadaan jemaah kita, 3, 4,5,6,7,8,9,10 tahun yang lalu.

Mazhab-mazhab penting dan relevan sebagai penerang agama namun sunnah nabi, itu yang utama. Jika kebenaran sunnah dikatakan ada pada mazhab yang berbeza, tidaklah mengapa, yang penting sandarannya. Asalkan ia berdalil sahih, al-Quran dan hadith. Itulah sunnah, itulah agama. Tidakkah cukup kuat untuk berpaut padanya!

Kita bukan bertukar mazhab. Mazhab syafie sudah dihati, tidak perlu ditukar ganti. Tapi janganlah bertaklid ‘sampai sanggup mati.’ Fanatik tanpa hujah.  Kita ikutlah prinsip ulama hebat dalam mazhab syafie sendiri, seperti antaranya imam Nawawi dan Ibnu Hajar al-Asqolani. Masih membuka ruang kepada perbezaan. Mengutamakan amalan yang kuat sebagai pegangan. Hadith sahih diutamakan, mengatasi qias dan pemikiran. Walaupun kekadang terpaksa menjengah diluar pegangan kumpulan. Bukan selalu, sekadar kekadang. Hanya bila wajar dan memerlukan. 

Petunjuk nabi yang kita ikuti. Mazhab hanya membantu sekadar yang ia dapat membantu. Sekiranya di sana ada hadith sahih, atau beberapa hadith sahih yang membuka ruang pemahaman dan ijtihad kepada 2 pendapat dalam hal sentuhan batal secara mutlak dan sentuhan batal bila ada syahwat. Maka selesai masalah. Pilihlah antara dua. Pilihan pertama agak menyeksa, di sana, terpaksa bertukar kepada pilihan kedua. Tetapi pilihan kedua menjadikan kita konsisten dari dulu kini dan selamanya. Di Malaysia, di mekah, madinah atau di mana sahaja. Hatta ketika Syeikh Muszaphar di angkasa.   

Pilihan kedua tentulah melegakan suami dan isteri, ketika di tanah suci. Hakikatnya, sunnah meletakkan keterbukaan dan pilihan. Suami dan isteri itu tidak terbatal wuduk, asalkan sentuhan itu tanpa syahwat, yang difahami ertinya oleh semua dewasa. Cukuplah berkenaan sentuhan, ada perkara lain perlu juga dibicarakan.

(31)Kita juga hairan melihat seseorang yang telah tidur secara baring, lena dan berdengkur tiba-tiba terus bangun dan bersolat. Tak terbatalkan dengan tidur sebegitu? Benarkah ada hadith menyatakan bahawa  nabi juga pernah tidur berbaring, bangun semula dan solat. Tapi mata nabi mungkin tidur, hati nabi tidak tidur (tidak lalai dari mengingati Allah). 

(32)Adakah kita memahami maksud ‘berbantah-bantah’ yang dimaksudkan boleh menjejaskan haji, sebab agak ramai juga berbantah-bantah dengan penjual ditepi jalan disekitar Madinah dan Mekah.

(33)Bagaimana pula berbantah demi menegakkan kebenaran dan kebaikan? Adakalanya kita kena bertegas dan berhujah untuk menzahirkan kebenaran,  menegak makruf dan mencegah mungkar. Pastinya dakwah ‘mauizatul hasanah’ dan ‘bil-hikmah’ tidak terhenti sekalipun dibumi paling suci. Ada ulama berhujah begini. Tidak mengapalah, perkara ini masih boleh dibahaskan lagi.
(34)Bagaimana pula cara paling sunnah dalam berhadapan dengan maqam nabi? Sekadar meminta syafaat dan berselawat. Bolehkah kita berbicara lebih lagi? Ada sahabat tabligh memberi idea supaya membentang  ‘report’ kepada Nabi s.a.w. Laporan ‘diri dan dakwah’ setakat mana tugas sunnah itu telah dilaksana. Sesuai dengan manhaj gerakan tabligh, agaknya.

(35)Di musim haji, kerajaan Arab Saudi pula membahagikan buku-buku agama kepada para Jemaah haji. Kebiasaannya buku-buku tersebut diberikan di terminal kedatangan di lapangan terbang Jeddah, Madinah, Riyad dan di pelabuhan Jeddah. Buku-buku yang diberikan adalah mengenai manasik haji dan mengenai masalah-masalah keislaman lainnya seperti solat, puasa, akidah, tauhid dan lainnya. Inilah catatan seorang penulis buku bertajuk Rahsia Haji berstatus Profesor Madya. Beliau juga dipercayai ahli panel syariah atau seumpama kepada pihak berkuasa urusan haji. Sedangkan dalam masa yang sama, pada realiti dan praktiknya wujud larangan oleh pembimbing haji agar jemaah jangan membaca bahan bacaan yang diterima sepanjang proses haji.  

(36)Begitulah adanya. Terdapat sekian banyak lagi perkara-perkara lain yang berlaku di Mekah dan Madinah, yang mengusik sikap ingin tahu kita, kenapa, mengapa dan bagaimana?

(37)Begitulah. Pelbagai perkara yang kita terperasan atau tidak terperasan. Pasti ada sebahagian kecil dari kita yang bersifat seperti saya. Tidak dapat untuk tidak berbuat apa-apa. Tidak mampu untuk tidak endah atau tidak kisah. Tidak sanggup untuk memikirkan apa yang berlaku; perbezaan, kepelbagaian, kelainan dan kepelikan yang disaksikan, dibiarkan berlalu. Tidak teringinkah mendapatkan jawapan bagi sekian macam kemusykilan.

Kepada Bakal-bakal Haji dan yang juga kepada mereka yang berminat soal ibadah haji.
Tidakkah kita mempunyai kemusykilan-kemusykilan yang sama atau sebahagian daripadanya atau lain daripadanya. Setakat mana kita berusaha mencari jawapannya? Atau kita telah mempunyai semua jawapannya atau sebahagian jawapannya. Maka kongsikanlah….
Saya pula fikir saya pun juga ada sebahagian jawapannya… tapi tak tahu betul… atau sebaliknya. Kalau salah tolong tunjukkan, betulkan…
Untuk Jawapan saya anda boleh lihat dalam Blog saya.
Berminat. Anda juga boleh membeli sebuah buku haji 2013 bertajuk Baitullah Aku Datang, (Terbiran Karangkraf- Karya Bestari) – karya seorang peguam sivil dan syariah,
(Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)



Osman Aziz was tagged in Atuk Abah's photo. — with Hasmawati Sani and 36 others.
Ketika Abdullah bin Mubarak melakukan haji, beliau tertidur di Masjidil Haram, dalam tidurnya beliau bermimpi melihat dua orang malaikat turun dari langit. Berkata seorang malaikat kepada seorang lagi :

“Berapa ramai orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?”
Berkata malaikat yang seorang lagi : “Enam ratus ribu orang.”

Bertanya malaikat yang bertanya :”Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima haji mereka?”

Berkata malaikat yang menjawab : “Di antara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, namanya ialah Muwaffaq dia tinggal di Damsyik. Dia adalah seorang tukang kasut, dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji Muwaffaq kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima.”

Abdullah yang sedang tidur terkejut dari tidurnya maka dengan segera dia berangkat ke Damsyik, sampai sahaja dia di Damsyik dia mencari-cari tukang kasut yang disebutkan dalam mimpinya dan akhirnya dia dapat mencari rumah tukang kasut itu. Apabila sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu,maka Abdullah mengetuk pintu. Pintu pun di buka dan keluar seorang lelaki dari dalam.

Abdullah bertanya lelaki itu : “Apa nama saudara.” Berkata lelaki itu: ”Nama saya Muwaffaq.” Abdullah bertanya : “Tolong terangkan kepadaku amalan apakah yang telah kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang tinggi?”

JawabMuwaffaq : “Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku maka aku tidak dapat menunaikan haji. Tetapi dengan cara mendadak aku mendapat wang 300 dirham dari kerja menampal sepatu, lalu aku niat untuk berhaji pada tahun ini.

“Isteriku pula sedang hamil, suatu hari isteriku tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ia ingin memakan makanan yang terbau itu (mengidam), lalu aku pergi ke rumah jiranku dan aku ketuk pintu. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun beritahu hajat isteriku itu kepadanya.”

Jiranku itu berkata : “Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka aku terpaksa memberitahumu, sebenarnya anak-anak yatim ku sudah tiga hari tidak makan oleh itu aku keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan aku bertemu dengan bangkai himar, maka aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masak, maka makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu.”

Apabila aku dengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil 300 dirham yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu danaku katakan kepadanya : “Belanjakan wang ini untuk anak-anakmu. Dan aku berkata pada diriku : Hajiku di muka pintu rumahku (Rumah jiranku) maka kemanakah aku akan pergi.”

Wahai saudara-saudaraku, Allah tidak memandang pada harta yang kita miliki tetapi ia memandang pada niat yang suci.

Pernah orang bertanya kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku amal perbuatan yang mana bila aku amalkan akan masuk syurga.”

Sabda Rasulullah SAW : “Jadilah kamu orang yang baik.”

Orang itu bertanya lagi : “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh mengetahui bahawa aku ini telah berbuat baik?”

Sabda Rasulullah SAW :

“Tanyalah pada jiran tetanggamu, kalau mereka berkata kamu baik, maka baiklah kamu. Kalau mereka mengatakan kamu buruk, maka buruklah kamu.”


 10 Pesanan Allah S.W.T Kepada Nabi Musa A.S.
Posted on Saturday, September 07 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya dari Jabir bin Abdillah r.a. berkata Rasulullah S.A.W bersabda : "Allah S.W.T. telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran a.s. dalam alwaah 10 bab :
· Wahai Musa jangan menyekutukan aku dengan suatu apa pun bahwa aku telah memutuskan bahwa api neraka akan menyambar muka orang-orang musyrikin.


· Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu dari sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik. · Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku ke dalam api neraka.
· Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak mensucikan Aku dan tidak mengagung-agungkan nama-Ku.
· Jangan hasad dengki dan irihati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang-orang, sebab penghasut itu musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka bukan daripada-Ku.
· Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.
· Jangan mencuri dan jangan berzina isteri jiran tetanggamu sebab nescaya Aku tutup wajah-Ku daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.
· Jangan menyembelih korban untuk selain dari-Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.
· Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap dirimu sendiri.
· Jadikan hari Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak keluargamu. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi : "Sesungguhnya Allah S.W.T menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah S.W.T memilih hari Juma'at sebagai hari raya untukku."

Sumber Link

10 pesanan Luqman Al-Hakim pada anaknya..

Posted on:
10 Pesanan Lukmanul Hakim Kepada Anaknya
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya:
“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” QS. 31:13
Tiada kata seindah doa dan nasihat yang berguna, Lukmanul Hakim adalah seorang hamba pilihan Allah, yang dianugerahi banyak hikmah dan rahsia kehidupan. Pada anaknya Lukmanul Hakim memberi nasihat, yang sarat makna dan rahsia kehidupan, semuga jadi pegangan.

1. Wahai Anakku yang ku sayangi…
Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah SWT.

2. Wahai anakku yang ku sayangi…
Sesungguhnya orang-orang yang selalu menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat perjuangan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar telah menerima kemuliaaan dari Allah.

3. Wahai anakku yang ku sayangi…
Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka dia bertawadhu’ kepadaNya. Dia akan lebih taat kepada Allah dan selalu berusaha menghindari maksiat.
4. Wahai anakku yang ku sayangi…

Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu) maka marahnya orang tuamu itu adalah bagaikan pupuk bagi tanaman.

5. Wahai anakku yang ku sayangi…
Jauhkanlah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Wahai anakku yang ku sayangi…
Selalu berharap kepada Allah tentang segala sesuatu yang menyebabkan dirimu tidak derhaka kepada Allah. Takutlah kepadaNya dengan sebenar takut, tentulah engkau akan terlepas sifat putus asa dari rahmat Allah SWT

7. Wahai anakku yang ku sayangi…
Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan senantiasa melamunkan perkara yang tidak benar, ketahuilah memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah dari mengembalikan nama baik atau kehormatan.

8. Wahai anakku yang ku sayangi…
Engkau telah merasakan betapa berat memindahkan batu itu dan besi yang amat berat tetapi akan berat lagi dari semua itu, adalah apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.

9. Wahai anakku yang ku sayangi…
Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan seseorang yang bodoh menjadi utusan. Jika tidak ada orang yang cerdas dan pintar, sebaiknya dirimu sendiri yang menjadi utusan.

10. Wahai anakku yang ku sayangi…
Makanlah makanan bersama orang-orang yang bertakwa dan musyawarahkanlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat kepadanya.


25 Pesanan Luqman Hakim Untuk Renungan Bersama


25 Pesanan Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya

Pesanan #1: “Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”
1 - dunia ibarat laut yang dalam
Pesanan #2: “Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.”
2 - terima nasihat
Pesanan #3: “Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.”
3 - tawadduk
Pesanan #4: “Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.”
4 - baja bagi tanaman
Pesanan #5: “Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”
5 - hutang
Pesanan #6: “Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.”
6 - putus asa dari rahmat Allah
Pesanan #7: “Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”
7 - pendusta akan hilang kpercayaan
Pesanan #8: “Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.”
8 - jiran tetangga yang jahat
Pesanan #9: “Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
9 - orang bodoh sebagai utusan
Pesanan #10: “Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
10 - dusta dan daging burung
Pesanan #11: “Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
11 - pilih majlis
Pesanan #12: “Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
12 - jangan makan sampai kenyang
Pesanan #13: “Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”
13 - pahit dan manis
Pesanan #14: “Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”
14 - makan bersama orang yang bertakwa
Pesanan #15: “Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
15 - ilmu untuk diamalkan
Pesanan #16: “Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
16 - mencari kawan sejati
Pesanan #17: “Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
17 - bertutur dengan baik dan sopan serta bermanis muka
Pesanan #18: “Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”
18 - pilih teman yang berharap
Pesanan #19: “Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
19 - jangan riya' dan mengharapkan sanjungan
Pesanan #20: “Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
20 - jangan condong kepada dunia
Pesanan #21: “Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
21 - berdiam diri lebih baik dari berkata yang kotor
Pesanan #22: “Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.”
22 - berjalan tanpa tujuan dan mensia-siakan harta
Pesanan #23: “Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
23 - disayangi dan tiada penyesalan
Pesanan #24: “Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
24 - bergaul rapat dengan orang yang alim dan berilmu
Pesanan #25: “Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
25 - ala kadar dan jangan hipokrit


Wallahualam… :)


Tiada ulasan: