Khamis, 5 September 2013

LAGI BAHAYA JIKA ALLAH TUTUP PINTU SYURGA BAGI KITA...SAMA2 KITA BERLINDUNG KEPADA ALLAH SWT

Syria: PAS, NGO demo di kedutaan Amerika esok

Anis Nazri, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS bersama beberapa NGO akan mengadakan perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi membantah campur tangan negara itu ke atas konflik di Syria, selepas solat Jumaat, esok.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata perhimpunan itu juga sebagai satu desakan kepada AS agar tidak meneruskan hasrat mereka untuk melakukan serangan ke atas Syria.

"Isu ini isu anti-perang. Kita tidak mahu AS campur tangan dalam urusan dalaman Syria. Semua ahli PAS dan rakyat Malaysia diseru untuk menyertai himpunan aman ini esok," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata,seperti biasa, para peserta diminta berkumpul di hadapan Bangunan Tabung Haji, sebelum berarak ke kedutaan untuk penyerahan memorandum oleh NGO.

Sementara itu, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat turut mengutuk cubaan campur tangan ketenteraan Amerika terhadap Syria yang turut disokong beberapa negara besar lain.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata sejarah telah membuktikan bagaimana campur tangan Amerika di negara lain tidak menyelesaikan masalah yang ada, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan.

"Sejarah membuktikan, bagaimana berlaku di Iraq dan Afghanistan bahawa campur tangan itu tidak menyelesaikan masalah, malah menjadikan krisis negara itu bertambah parah dan rakyat terus menderita," kata beliau.

Turut serta mengutuk cubaan itu Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang menyifatkan hasrat AS ini hanya 'menangguk di air keruh' sedangkan isu yang berlaku di Syria adalah isu dalaman negara itu sendiri.

"Niat AS untuk menyerang Syria ini hanya satu bentuk provokasi, untuk menguasai rantau Timur Tengah. Ia perlu dihentikan kerana tiada satu negara pun yang telah dicampur tangan AS menjadi lebih baik," tegas beliau.

Malah, kata beliau peranan yang dimainkan Liga Arab sebelum ini turut memberi tekanan kepada Syria walaupun regim Bashar Al-Assad masih berkuasa.

"Cukuplah dengan peranan Liga Arab yang dilihat turut memberi kesan, walaupun regim masih kekal. Tapi tekanan yang ada ini sudah menunjukkan Syria ada sedikit tolak-ansur terhadap krisis ini," tegas beliau.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Pusat turut menyeru Pemuda PAS di seluruh negara untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman esok bagi menyatakan pendirian bersama dalam isu ini.

Berjimat suruhan Islam, bukan kerana defisit tinggi

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 05 Sep 2013
Saya membaca saranan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di muka hadapan Sinar Harian hari ini yang menggesa kerajaan agar berjimat cermat dan jangan boros apabila berbelanja. Katanya, negara kita kini mengalami defisit dalam perbelanjaan, jadi tidak ada cara lain untuk mengawal keadaan kecuali berjimat cermat.

Barangkali Tun Dr Mahathir baru sedar bahawa selama ini kerajaan Malaysia sudah banyak membazir di dalam perbelanjaannya. Apabila minyak terpaksa dinaikkan 20 sen hanya untuk mendapatkan pulangan sebanyak RM3.3 billion yang lebih daripada itu dihabiskan untuk tujuan lain, barulah Tun bersuara.

Suka untuk saya menyebut bahawa berjimat cermat ini ialah perintah Islam. Ia bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Bacalah teguran Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang bernama Saad Radhiallahuanhu ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad Radhiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabada :

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Yang bermaksud : Apakah pembaziran in? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Ketika saya mula-mula mentadbir negeri Kelantan pada tahun 1990, dasar jimat cermat inilah yang saya arah digunapakai dalam semua urusan kerajaan. Gaji bulanan Menteri Besar, ahli exco dan wakil rakyat kerajaan dipotong, sebahagiannya dijadikan sumbangan tetap untuk parti. Saya mengarahkan agar amalan memberikan cenderamata kepada pemimpin kerajaan ketika lawatan rasmi ke jabatan dan agensi kerajaan. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan ke atas tujuan yang tidak perlu.

Saya menolak peruntukan untuk keraian Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun bermula tahun 1990. Saya tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10 bagi mengelakkan perbelanjaan mengurustadbir rumah tersebut dan menyelamatkan kantung kerajaan. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir masih Perdana Menteri Malaysia yang seringkali mempertikaikan apa jua langkah positif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.

Bahkan masih terngiang-ngiang di telinga saya tuduhan yang menyatakan bahawa amalan memberikan cuti dua hari seminggu kepada kakitangan kerajaan negeri hanya akan menyebabkan mereka menjadi malas. Tanpa segan dan tanpa silu, itulah yang ditiru kemudiannya oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Dari sudut penjimatan, tambahan cuti sehari dalam seminggu ini menjimatkan banyak bekalan eletrik yang digunakan di pejabat-pejabat kerajaan.

Saya sokong saranan Tun Dr Mahathir agar kerajaan berjimat. Ia bagus namun agak lewat. Tetapi lewat itu lebih baik dari langsung tiada. Barangkali Tun Dr Mahathir berpegang kepada prinsip better late then never. Tahniahlah, namun sesekali apabila memberikan saranan yang sesuai dengan Islam, saya kira apa salahnya berikan kredit kepada Islam.

Ertinya, berjimat cermat bukan hanya kerana defisit naik, bukan kerana perbelanjaan meningkat tetapi berjimat cermat kerana itulah suruhan agama. Saya tidak rasa lidah kita terlalu kekok sehingga menghalang untuk menyebut Islam.

Itulah Islam, agama yang syumul dan menyeluruh. Islam bukan hanya agama kopiah dan serban sahaja. Inilah yang wajib diketahui oleh pemimpin parti politik sekular yang hari ini dilihat banyak memakai kopiah dan menghiasi dada-dada akhbar dengan gambar berkopiah mereka.

Sekian.

Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS)

Pak Samad tidak kisah tarik balik gelaran SN

Hazayani Zakaria, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said tidak kisah jika kerajaan bertindak menarik balik gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya pada tahun 1985.

"Jawapan bapak mudah sahaja. Bapak alu-alukan. Sekiranya mereka (kerajaan) mahu berbuat demikian teruskan dan bapak ucap terima kasih," katanya ketika dihubungi Harakadahdaily hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata demikian sebagai memberi respons terhadap kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tidak menolak kemungkinan gelaran tersebut ditarik balik.

Desakan itu timbul ekoran Pak Samad dikatakan terlibat dalam insiden pengibaran Bendera Sanga Saka Negara di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan Jumaat lalu.

Pak Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dianugerahkan Sasterawan Negara pada 1985 atas sumbangan beliau memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.

Kenyataan Shabery itu turut mengundang respons Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai melampau dan menafikan sumbangan Pak Samad dalam bidang kesusasteraan negara.

“Apakah kerajaan boleh menidakkan sumbangan Pak Samad memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu hanya kerana apa yang diperjuangkan Pak Samad kini tidak mesra kerajaan?” katanya.

Tambah beliau juga, ketokohan dan keberanian Pak Samad pada usianya yang lanjut untuk melawan kemungkaran dalam sistem pilihanraya melalui Bersih telah menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda.

Sementara itu, ditanya keadaan Pak Samad ketika ini, beliau dengan suara yang ceria berkata 'bapak Alhamdulillah sihat'.

"Bapak masih di Masjid Negara. Siapa-siapa mahu mencari bapak, boleh sahaja ke sini," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini dilaporkan mendakwa Pak Samad bersembunyi dan pulang ke rumahnya di Bangsar secara senyap-senyap sehingga memaksa polis menangkapnya pada lewat pagi.

Pak Samad bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata beliau hanya berada di rumah sebelum bersiar-siar di sekitar Bangsar dan minum teh di kedai mamak berhampiran rumahnya.

Konsert: Pemuda PAS akan jumpa Jakim

Harakahdaily, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan terima kasih kepada penganjur konsert Lamb of God yang membuat keputusan membatalkan penganjuran konsert tersebut.

Setiusahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, DPPM menganggap pembatalan itu dibuat hasil desakan dan bantahan orang ramai yang merasa sensitif dengan penganjuran program seperti ini.

Tambahnya, DPPM menyokong gesaan penganjur untuk mengadakan dialog dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung kekeliruan yang timbul ekoran dakwaan negatif Jakim dan orang ramai terhadap kumpulan tersebut.

DPPM, ujarnya percaya dialog dan pertemuan akan dapat menjernihkan keadaan di samping menambah kefahaman mengenai isu yang berlaku.

“DPPM akan bertemu dengan Jakim dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai garis panduan hiburan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada Harkahdaily.

Katanya, aApa yang diharapkan supaya Jakim tidak hanya respons atau bertindak pada konsert tertentu sahaja, sebaliknya meneliti setiap program hiburan yang akan dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, sebagai badan kerajaan yang menjaga urusan agama Islam, Jakim perlu menjadi pemantau, penyelidik, penasihat dan juga pencegah kepada mana-mana program yang mengundang kemungkaran yang dianjurkan dalam negara ini.

DPPM juga, kata beliau menasihatkan kepada mana-mana penganjur konsert atau program hiburan agar lebih berhati-hati dengan melihat kepada sensitiviti masyarakat khususnya umat Islam dinegara ini.

Selain itu, ujarnya DPPM berharap agar Jakim menangani isu penganjuran konsert dari luar negara yang semakin bercambah di Malaysia dengan lebih serius supaya setiap penganjurannya memenuhi tuntutan agama Islam dan budaya masyarakat Malaysia serta tidak membawa kerosakan kepada akidah dan akhlak masyarakat.

Pelihara ketulenan perjuangan, nusratullah datang beriringan

., 05 Sep 2013
Petikan ucapan Ustaz Qamarullah Wahba pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Sandakan yang diadakan di Pasti Zaid Bin Harithah, Taman Airport, Sandakan pada 1 September lalu.
Kita semua telah menyatakan tekad dalam muktamar yang lalu untuk mengembelingkan usaha dan daya untuk membangunkan hidup berjemaah. Kita menyatakan tekad berjuang untuk membantu kemenangan Islam menerusi wadah yang kita sama-sama meladeninya. Kita telah melakukan apa yang kita mampu lakukan dan kita juga telah lalai pada bahagian yang telah pun kita lalai. Apa yang dapat kita laksanakan untuk Jemaah, kita panjatkan syukur.

Dengan rahmat Allah juga kita diberikan kekuatan untuk melaksanakannya. Apa yang kita lalai, kita mohon ampun daripada Allah SWT. Semoga Allah tidak mempersoalkan di akahirat kelak apayang tidak dapat kita lakukan sementara kita pun telah menginsafinya.

Marilah kita kembali menginsafi pentingnya hidup berjemaah. Tuntutan hidup berjemaah bukanlah sekadar manis di bibir. Hendaknya kita benar-benar memahami kedudukannya dalam Islam. Jika kita melaksanakan konsep berjemaah dalam pelbagai aspek kehidupan dunia kita, maka terlebih aulauntuk kehidupan agama. Kalau kita solat berjemaah, maka kita berjuang untuk agama juga hendaklah secara berjemaah. Para musuh Islam bersepakat dan berkerjasama untuk menjahanamkan Islam. Apakah patut kita secara bersendirian berjuang untuk Islam?

Betapa hebat pun keperibadian kita, beban Islam itu lebih berat. Nabi SAW pun memerlukan parahawari untuk melonjakkan Islam di mata dunia. Maka, apakah kita tidak memerlukan hawari? Membina hawari itulah tuntutan hidup berjemaah.

Jangan hendaknya kalangan kita masih lagi ragu-ragu mengenai betapa perlunya kita kepada hidup berjemaah. Tanpa Jemaah, jadilah kita kambing “qasiah” yang menunggu masa dibaham serigala. Kita mencari hidup berjemaah untuk menyelamatkan diri dan bukannya untuk menunjukkan betapa terbilangnya kita dalam memperjuangkan Jemaah. Jauh sekali untuk merebut pamrih dunia di atas jalan perjuangan.

MALU MENGAKU BERJUANG

Pemuda perjuangan hendaklah sentiasa menyedari betapa kerdilnya sumbangannya kepada kebangkitan Islam. Malah, tanamkanlah dalam diri bahawa diri sendiri belum berjuang. Saya titipkan sebuah sajak buat membujuk hati sahabat sekalian:-

Aku belum berjuang!

Mari sedarkan diri
katakan aku belum berjuang
kalau perjuangan itu sebuah gelanggang
aku di luar masih berlenggang.
mereka telah melakar sejarah
aku cuma menghampar sejadah
mereka telah tumpah darah
aku cuma menggenggam amarah
mereka telah melontar panah
aku cuma menyebar risalah
penjara rumah kedua mereka
rumah pertamaku suka-suka
rumah keduaku pula senda loka
mereka menemui tali gantung
aku masih dikir rambung
Aku cuma bicara hukum
mereka telah pun dihukum
aku bersemangat tegakkan syariat
mereka terkorban menegakan syahadat
aku mimpi kerajaan khilafah
aku hafal manhaj nubuwwah
mereka lesi penat lelah
tidak banyak mada berhelah.
Kalau berdiri di muka gerbang
usah diumpat nista pejuang
jika di medan sebagai hulubalang
baru layak mengajar burung terbang
Mari sedarkan diri
aku bukan pejuang
aku cuma tunggul sebatang
bermimpi dahan pohon rendang.

PERJUANGAN ISLAM MEMERLUKAN NUSRAH ALLAH

Allah menjanjikan bantuannya bagi mereka yang berjuang demi agamanya. Firman Allah SWT:
إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ
Sesungguhnya kami menolong rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).
(Surah Mukmin: Ayat 51)

Perjuangan Islam tidak akan menempa kemenangan jika tiada nusrah Allah. Sepanjang sejarah,  kemenangan pejuang agama Allah sentiasa diwarnai oleh nusrah Allah SWT. Melalui nusrah Allah SWT, pasukan pejuang Islam menang walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan serba kekurangan.

Tentera Talut yang sedikit dapat mengalahkan tentera Jalut yang lebih ramai berkali ganda. Allah menyebutkan perihal kemenangan tentera Talut tersebut sebagaimana firmanNya:
كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ
Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah
(Surah Al-Baqarah: Ayat 249)

Perkara yang sama terjadi kepada tentera Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW. Dalam perang badar, tentera Islam hanya 314 orang dapat mengalahkan tentera musyrikin yang berjumlah 1000 orang. Dalam perang Khandak, pasukan Ahzab yang berjumlah 10000 orang dikalahkan dengan pertolongan Allah SWT. Kita saksikan kemenangan Islam berlaku dalam situasi kontradiksi jumlah yang tidak berpihak kepada Islam. Ironinya, dalam perang Hunain, apabila tentera Islam lebih ramai daripada tentera kafir, tentera Islam pula dipukul kekalahan.

Mengamati peristiwa kemenangan dan kekalahan Islam dalam sejarah, yakinlah kita bahawa Islam hanya boleh menang dengan nusrah Allah SWT. Justeru, para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menggarap perjuangan agar nusrah Allah SWT tidak menyisih pergi. Para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada aspek menjana nusrah di samping meneliti pembinaan tenaga manusia, kelengkapan serta strategi. Gabungan semua itu hanya akan berhasil menatijahkan kemenangan jika nusrah datang beriringan.

LURUSKAN NIAT PERJUANGAN

Menerjuni perjuangan perlu dipandu niat yang betul. Niat yang menyimpang membawa amal Islami bertukar menjadi amal insani. Ketika menyerahkan diri untuk menjadi soldadu perjuangan, tanyakan diri, apakah tujuannya.

Adakah untuk mendapat ramai kawan?
Nanti, bila berselisih faham dengan kawan, perjuangan akan ditinggalkan.
Apakah untuk mengisi masa yang ketika itu lapang?
Kelak bila sibuk, dengan perjuangan menjadi renggang.
Apakah untuk mengejar habuan dunia?
Bila habuan dunia tiada, perjuangan pun dilupa.

Orang yang ikhlas disebut sebagai mukhlis. Memiliki sifat mukhlis akan membawa kepada digolongkan Allah SWT sebagai kalangan mukhlasin. Hanya orang mukhlas selamat daripada tipudaya syaitan. Untuk mendapat kedudukan mukhlas, dakilah tangga orang mukhlis. Hanya perjuangan yang dikendali oleh orang-orang yang ikhlas sahaja akan mendapat nusrah daripada Allah SWT.

SABAR MENEMPUH MASA YANG PANJANG

Perjuangan Islam akanmenempuh jalan panjang. Begitulah apa yang kita amati dalam sejarah. Dahulu, sebelum Kota Kostantinaple mahu ditawan tentera jihad Islam, beratus tahun rancangan diatur untuk menawannya. Tahun 1453,kota itu jatuh ke tangan khalifah Islam Muhammad Al-Fateh. Kisah gemilang ini hanya bertahan sekitar 471 tahun apabila pemerintahan Islam ranap diinjak sekularisma bikinan Mustapha Kamal Attarturk. Masa panjang mendaki kemenangan dan tempoh singkat menikmati buahnya adalah antara asam garam perjuangan Islam.

Kepanjangan masa yang perlu ditempuh sebelum meraih kemenangan hendaklah dinilai secara positif. Tujuan meletakkan diri dalam perjuangan Islam bukanlah untuk mendakap titik akhir kemenangan. Kemenangan menewaskan musuh Islam bukanlah kemenangan yang sejati. Bagi pendokong perjuangan Islam, kemenangan yang sejati ialah apabila dia boleh istiqamah di atas perjuangan sehingga dia mati sementara dia kekal dengan perjuangan.

Panjangnya masa sedangkan tidak juga menang hendaklah dilihat sebagai cara Allah memberikan limpah kurnia para pejuang agamanya meraih ganjaran sebanyak mungkin. Oleh itu, kesabaran menempuh jalan perjuangan akan membezakan pejuang sebenar dengan pejuang palsu. Pejuang sebenar akan bertahan, sementara pejuang palsu akan rebah tersungkur.

Para Rasul Allah dan orang beriman yang  terdahulu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran dengan sabar sehingga sampai ke klimaks getir cobaan perjuangan. Allah berfirman:
حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا جاءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّيَ مَن نَّشَاءُ وَلا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ القَوْمِ المُجرِمِينَ
Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah meyakini bahwa mereka telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. dan tidak dapat ditolak siksa kami dari pada orang-orang yang berdosa.
(Surah Yusuf: Ayat 110)

Justeru, kita para pemuda tidak perlu merintih kecewa dengan kekalahan dalam PRU13 baru-baru ini. Kita mungkin belum layak dikatakan sudah sampai ke klimaks getir cubaan perjuangan. Kita masih mampu tersenyum dan ketahanan untuk meneruskan perjuangan masih banyak. Biarlah liku-liku perjuangan panjang asalkan kita tetap istiqamah dan anggaplah kita diberi peluang oleh Allah untuk meraih pahala perjuangan  berterusan dengan kekalahan tersebut.

PELIHARA KETULINAN PERJUANGAN

Ketulinan perjuangan hendaklah berdiri di atas manhaj perjuangan yang betul dan terpelihara daripada anasir yang merosakkannya. Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad SAW atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi.

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus perjuangan yang ditinggalkan oleh baginda Rasul SAW dan diperkemas kini oleh ulama al-a’milin al- mujahidin yang memimpin ummah.

Suatu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an-nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi. Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami.

Demi memburu kemenangan dalam pilihan raya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali-kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik.

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka. Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik.

Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkinkan ia dibeli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam.

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata-mata dipentas politik pilihan raya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah, bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli, bagaimana kita beraksi di medan dakwah, bagaimana kita mendepani musuh, bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya.

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura, dengar dan taat, thiqah, istiqamah, wala’, ukhuwwah, ikhlas dan lainnya mewarnai diri, sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang.

Kita adalah “Sebuah Gerakan Islam”. Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau di mana posisinya. Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini, kita tidak boleh mencairkan nilai atau nilai standard bagi sebuah gerakan Islam.

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi, ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara. Jangan kita abaikan ketulenannya semata-mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang.

Menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah. Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini. Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah!Ia menghalau nusrah Allah SWT.

JAGALAH MAIZAH (ميزة) SEORANG AHLI GERAKAN

Maizah adalah ciri istimewa. Para pemuda gerakan Islam perlu mempunyai maizah kerana Rasulullah SAW sering menekankanpentingnya memiliki maizahMaizahakan membezakan seorang muslim dengan seorang kafir. Dalam keluarga besar Islam, maizah gerakan akan membezakan antara seorang anggota gerakan dengan seorang muslim biasa yang menyisih dari gerakan.

Seharusnya, seorang anggota gerakan memiliki ciri-ciri tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang yang tidak terlibat dengan gerakan. Seorang pemuda gerakan akan menanggung amanah besar buat ummat ini. Selain tugasnya memperjuangkan Islam untuk diletakkan pada maqam yang tinggi, pemuda gerakan juga mempunyai tanggungjawab mempamirkan sifat seorang muslim sejati yang istimewa.

Saya mencadangkan setiap anggota gerakan ini membina maizah diri dengan mempertingkatkan hal-hal berikut:

1)      Mangamalkan zikir dan wirid ma’thur dari bimbingan sunnah baginda Rasulullah SAW. Dalam hal ini, ahli gerakan sudah lama diajar agar mengamalkan wirid-wirid ma’thurat yang disusun oleh As-Shahid Imam Hasan Al-Banna
2)      Istiqamah menjaga solat lima waktu berjemaah.
3)      Menjadi pendamping Al-Quran dengan selalu membacanya dan mentadabburnya.
4)      Sentiasa bangun solat tahajjud.
5)      Komited dengan agenda tarbiah Jemaah seperti usrah, tamrin, kuliah, jaulah dan sebagainya.
6)      Mudawamah solat subuh berjemaah di masjid.
7)      Menguasai ilmu-ilmu Islam melalui talaqqi, membaca, mendengar ceramah, berdiskusi dan sebagainya
8)      Menjaga kesihatan jasmani untuk berjuang dengan tangkas.
9)      Sentiasa peka dengan perkembangan semasa sama ada dalam Negara atau luar Negara.
10)  Lemah lembut dalam tutur kata dan menjaga akhlak perilaku.
11)  Memperkukuhkan ekonomi diri agar lahir sebagai anggotak gerakan yang mempunyai izzah melalui sumbangan kepada jemaah.
12)  Menjalani gaya hidup orang soleh; berkawan dengan kawan yang soleh, jauhi perbuatan merokok, melepak berbual kosong dan individualistic.

Banyak lagi maizah yang boleh kita tampilkan sebagai seorang anggota gerakan Islam. Apa yang penting, janganlah antara seorang ahli gerakan dilihat sama sahaja dengan yang tidak berada dalam gerakan. Paling malang kalau ahli gerakan Islam dilihat lebih lekeh dan leceh berbanding mereka yang tidak terlibat dalam jemaah dan gerakan. Apakah layak bahtera perjuangan dipacu oleh orang-orang yang lekeh?

PERJUANGAN ISLAM SENTIASA MENANG

Perjuangan untuk memenangi pilihanraya menurut pencak demokrasi kelihatannya tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Gerakan Pas bukan sahaja mengalami kekecewaan di peringkat negara tetapi juga di peringkat entiti kecil melibatkan Parlimen dan Dun. Bagi Dewan Pemuda Pas Sandakan, kekalahan dalam PRU baru-baru ini ketika membantu calon PAS di Batu Sapi adalah sebuah hakikat yang memang diakui. Tidak menang. Itulah ungkapan damai untuk menggambarkannya. Tetapi, lebih tepat lagi untuk menggambarkannya ialah dengan mengatakan Gerakan Pas belum menang. Kemenangan itu akan datang dan itu perlu diyakini seperti meyakini datangnya siang ketika tenggelam dalam kegelapan di malam hari.

Semua warga pemuda perlu memahami bahawa kemenangan dalam perjuangan itu pasti. Allah SWT telah pun menegaskan dalam Al-Quran bahawa para pendekarNya adalah kelompok yang menang. Maka, bagaimana kita mahu menguruskan kekalahan yang disifatkan orang agar menjadi kemenangan dalam keyakinan kita.

Kerana itu, penglibatan dalam pilihanraya, selama-lamanya hendaklah berada di atas landasan yang betul dan dengan tujuan yang betul. Jika kita terjun ke arena pilihanraya dengan cara dan niat yang betul, kita tidak akan merasa kecewa dengan kakalahan nisbi yang kita alami. Kita sebenarnya menikmati buah kemenangan sejati.

Untuk apa lakukan semua? Untuk apa kita berhempas pulas terjun ke medan semasa PRU. Apakah hanya untuk menangkan calon pilihan kita? Atau apakah untuk memungkinkan parti junjungan kita meraih kuasa pemerintahan. Kalau itu tujuan kita, memang wajar kita kecewa. Namun, kalau tujuan kita lebih daripada itu, untuk mencapai redha Allah, meraih pahala daripadaNYa, berkerja untuk menangkan agamanya, kita akan tetap tersenyum gembira. Kekalahan itu kita tafsirkan sebagai lanjutan sungai pahala buat kita.

PERJUANGAN PINTUNYA SERIBU

Jangan berputus asa dalam mengemudi bahtera perjuangan. Jika satu jalan tertutup ada beribu jalan lagi sedang menanti. Para pejuang agama Allah bukan manusia naif yang kontang idea, tandus cara untuk memenangkan Islam. Nabi Yaakob A.S ketika mengarahkan anak-anaknya masuk ke Mesir, baginda menitipkan pesan sebagaimana firman Allah SWT:
وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِنْ بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ
Dan Ya’qub berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian Aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah Aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri”.
(Surah Yusuf: Ayat 67)

Pesanan nabi Yaakob buat anak-anaknya ini menggambarkan buat kita jalan perjuangan yang laluan masuknya berbagai-bagai. Dalam kontek gerakan kita sendiri, dalam menjayakan misi, kita mempunyai pelbagai cara. Semua cara itu ada harganya dalam perjuangan. Jika anda mahir dalam perniagaan, gunakan kemahiran itu membantu bangunkan sistem pengukuhan ekonomi gerakan. Jika anda lumayan dengan ilmu, janakan penyebaran ilmu yang digabungjalin dengan kesedaran menyertai gerakan. Jika anda pandai menulis, gunakan tulisan anda. Jika anda punya hubungan yang baik dengan masyarakat, mengapa tidak gunakan kedudukan itu untuk gerakan? Anda boleh menggunakan semua pintu perjuangan yang terbentang di depan anda.

Kita boleh membahaskan metod kumpulan lain tetapi kita tidak perlu larut dalam membahaskannya. Kerja kita ialah melakukan apa yang kita yakini dan tinggalkan apa yang kita ragui.

IKHTIBAR PERISTIWA DI MESIR


Tela’ah Sunnatullah Tenangkan Gundah

Kita menelan kegundahan hati ketika mendapat khabar duka tumbangnya kerajaan pimpinan Dr. Mursi daripada Ikhwanul Muslimin di Mesir.Umur kerajaan Mesir pimpinan Mursi masih sangat pendek sebelum datang bencana coup d’état oleh tentera Mesir. Harapan yang sedang berbunga, tiba-tiba layu tidak bermaya. Bukan sedikit manusia seluruh dunia yang menyimpan harapan buat Mursi mengembalikan kegemilangan Mesir yang bersejarah. Namun, nampaknya sesuatu yang hebat jalan berganda-ganda payah.

Namun, memang demikianlah sunnatullah. Perjuangan itu satu sangat payah. Apa yang kita bicarakan di Malaysia ini barangkali sekelumit cuma daripada apa yang telah dipugar dan dikobarkan di Mesir bumi yang bertuah. Korban pewaris semangat nabi Musa dan kebijaksanaan Amru bin Al-Ass di Mesir bukan alang kepalang. Jemari tangan dan kaki sudah tidak mampu menjadi alat pembilang lagi.

Dulu, sebelum nabi Yusuf berkuasa di Mesir, petualang penjajah Romawi menghisap kekayaan Mesir. Qibti bukan apa-apa walau bumi tumpah darah sendiri yang dipijak. Nabi Yusuflah yang dikatakan mengangkat harkat peribumi. Maka, hasil pengorbanan nabi Yusuf, dapatlah bangsa Bani Israel menumpang tuah. Namun, di kala Firaun mengambil kekuasaan, Bani Israel menjadi hamba suruhan.

Allah tumbangkan Firaun. Pelbagai kuasa bertukar ganti di Mesir. Yang datang menjarah dan kemudian pergi atau dipaksa pergi. Berapa tahun pun masa berkuasa, tetap ada hujungnya.
Mubarak sahaja berkuasa sekitar 30 tahun. Pendahulunya juga punya dosa yang serupa. Kezaliman mereka ke atas pemuda-pemuda Ikhwan bukan lagi rahsia. Tetapi, kekuasaan mereka tetap ada akhirnya. Memerintah 30 tahun bukan satu tempoh masa yang panjang buat Mubarak. Memerintah tidak sampai 2 tahun buat Mursi bukanlah satu masa yang panjang buat para fulul yang gelisah itu.

Allamah Iqbal pernah bermadah:

Umur bukan hitungan tahun,
Hidup bukan bilangan masa.
Sehari hidup singa di rimba,
Seribu tahun hitungan domba.

Usah tenggelam dan karam dalam kesedihan. Memang sudah sunnatullah begitu. Allah menciptakan pusingan roda dalam negeri untuk menjadikan tanah subur dalam negeri menumbuhkan bunga mekar yang akan mengharumkan syurgawi. Mungkin kita menderita kerana kehilangan sebuah kerajaan harapan buat ummat. Tetapi, penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang benci melihat fajar Islam bersinar itu adalah lebih parah. Derita kita berbayar pahala sedang derita mereka menambah sengsara.

Setelah tersengguk seketika dalam rasa terpukul, kita kembali sedar dan berserah serta yakin dengan seni takdir Allah SWT. Jangan terpedaya dengan kembalinya berkuasa soldadu syaitan kerana itu hanyalah sebuah “ghurur”.

Allah berfirman:
مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ إِلاَّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَلا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلادِ
Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Karena itu janganlah kamu terpedaya kerana melihat mereka berulang-lang menjarah di dalam negeri.
كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ
Sebelum mereka, kaum Nuh dan golongan-golongan yang bersekutu sesudah mereka telah mendustakan (rasul) dan tiap-tiap umat Telah merencanakan makar terhadap Rasul mereka untuk menawannya dan mereka membantah dengan (alasan) yang batil untuk melenyapkan kebenaran dengan yang batil itu. Karena itu Aku azab mereka. Maka betapa (pedihnya) azab-Ku?
(Surah Ghafir: Ayat 4-5)

Menela’ah jatuh bangun soldadu kesyaitanan sepanjang zaman memberikan kita ketenangan. Ia menghilangkan duka nestapa dan mengembalikan semula kita ke persada perjuangan dengan siasat baru dan seni lenggok silat perjuangan yang lebih kekar. Insya Allah, sebelum puas sang algojo menghirup selesa keberhasilannya, akan datang pusingan ke atasnya.

MOTIVASI BUAT GEROMBOLAN ABABIL

Kami gerombolan Ababil
di tangan kami batu dari Sijjil
akan kami gempur Ashabul Fil
hancur Abrahah tegakkan Islam nan adil
Kami bukan banjingan ditunggang
bawalah harta penuh segudang
mata kami tidak nyalang
perjuangan kami tidak menyimpang.
kami berimam kandil agung
Al-Quran Hadis sentiasa disenandung
Kami ikhlas menabur peluh
mengharap pahala akan tumbuh.
Lillahi Ta’ala berlagu zikir
terbenam kemas di dasar dhamir
liriknya meniti menghias bibir
azam teguh tidak mungkir
Kami zuriat putera Habil
Walau berdepan bengisnya Qabil
Kami rela menerjuni Mu’tah
walau musuh banyak jumlah
Sungguh kami dihasut tewas
kami teguh tidak cemas.
Jika hilang satu peluang
kami percaya seribu yang datang
berjuang kami bukan sekangkang
kami menanti bulan mengambang
biar beribu tahun bersilang.
Akan hancur  dedaun jahiliah
dihambur lontaran Sijjil Allah
kamilah Ababil tidak akan menyerah
Menumbang Abrahah merata jalan Fathul Makkah!
Sebelum menutup bicara, marilah kita sama merafakkan doa buat saudara seperjuangan kita di Mesir dan negeri Syria yang bergolak serta wilayah-wilayah Islam yang tertindas.

اللهم أنا نسألك باسمك الأعظم الذي إذا سألت به أعطيت
وإذا دعيت به أجبت وإذا استنصرت به نصرت يا سميع يا قريب
يا واحد يا أحد يا فرد صمد يا حي يا قيوم يا مجيب دعوة المضطر
أن تجعل مصر آمنا مطمئنة مستقرة وجميع بلاد المسلمين
اللهم من أرادها بسوء فاجعل كيده في نحره واجعل تدبيره تدميرا علية
اللهم اجمع كلمتهم على كلمة سواء على الحق والإيمان والتوحيد
اللهم أعز بها الإسلام وانصر بها وبأهلها الدين وجميع بلاد المسلمين
اللهم آمين آمين آمين
اللهم فرج عن إخواننا في سوريا – في فلسطين -
في اليمن – في السودان – في بورما ، في كشمير في الفلبين ، في كل مكان
وجميع بلاد المسلمين ، وجميع المستضعفين في كل مكان
اللهم انصرهم اللهم أعنهم، اللهم اكفهم، اللهم أيدهم، اللهم أغثهم
اللهم احفظهم، اللهم قوهم، اللهم نجهم، اللهم أطعمهم، اللهم تولهم
اللهم أعزهم ، اللهم اهدهم
اجمع كلمتهم على الحق والإيمان والتوحيد
اللهم آمين آمين
اللهـم وفق قادة المسلمين إلى
نصرة كتابك وسنة نبيك
إلى نصرة دينك وتطبيق شرعك
إلى توحــيد الكلمة وجمع الأمة
إلى كل ما يرضيك، وما فيه خير العباد والبلاد
اللهم ألهمهم رشدهم وخذ بنواصيهم للبر والتقوى
اللهم آمين آمين آمين

Tiada ulasan: