Khamis, 5 September 2013

SIFAT BOROS BUKAN SIFAT TERPUJI MALAH BOROS ADALAH SAHABAT KEPADA IBLIS@SYAITAN

Q&A: Bolehkah taja haji guna wang zakat

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 05 Sep 2013
Soalan: Saya mempunyai saudara-mara yang miskin dan merasa kasihan kerana mereka amat teringin menunaikan haji ke Mekah. Soalan saya, adakah boleh saya menggunakan wang zakat saya yang berjumlah kira-kira RM10,000 setahun untuk menaja mereka pergi menunaikan haji, dari seorang ke seorang setiap tahun? Harap sangat penjelasan daripada pihak ustaz.

Jawapan: Alhamdulillah, musim haji tiba lagi, mudah-mudahan mereka yang terpilih untuk bertamu sebagai pengunjung ke Baitullah dan menjadi ‘dhuyufur rahman’ mendapat anugerah haji yang mabrur, amin. Dalam pada itu juga, memang timbul persoalan seperti ini di kalangan masyarakat awam. Tahniah juga kerana mempunyai kesedaran untuk menaja orang-orang yang kurang berkemampuan menunaikan haji ke Mekah.

Demi menjawab soalan ini, kita sepatutnya terlebih dahulu mengetahui apakah syarat-syarat wajib haji yang telah ditetapkan oleh Islam. Seseorang yang tidak mempunyai cukup syarat bagi menunaikan haji, maka di sisi Allah SWT mereka tidak dikira berdosa jika tidak dapat ke Mekah menunaikan haji.

Ada pun syarat menunaikan haji ada lima, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Mampu (istita’ah). Yang perlu difahami, kewajipan haji ini tertakluk atas kemampuan individu berkenaan, yang mana antara kemampuan itu ialah, mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menyempurnakan haji dan juga biaya mereka yang ditinggalkan di tanah air.

Allah SWT tidak murka kepada orang yang tidak berkemampuan, seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup (mampu) berjalan di antara mereka.” (surah Ali-Imran : ayat 97)

Maka, secara umumnya jika orang Islam yang sudah sememangnya miskin, maka mereka tidak berdosa jika tidak dapat menunaikan haji. Melainkan jika mereka mampu, misalnya ada harta beku seperti tanah yang banyak, maka wajiblah mereka mencairkan harta berkenaan untuk menjadikan mereka mampu daripada aspek kewangan untuk ke sana.

Dalam hal ini, saudara menyatakan bahawa individu berkenaan adalah orang miskin, maka tidak berdosa jika dia tidak menunaikan haji. Namun, bolehkah kita menyalurkan wang zakat kepadanya untuk ke Mekah?

Suka saya paparkan perbincangan fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, susunan Dr Abdul Karim Zaidan, ada dinyatakan bahawa terdapat ulama yang membolehkan orang-orang yang mahu menunaikan haji, diberikan wang zakat atas nama fisabilillah agar mereka dapat menunaikan hajat berkenaan.

Dinyatakan oleh Imam Ahmad seperti berikut: “Ibadah haji merupakan bahagian daripada perjuangan fisabilillah, sehingga orang fakir dapat diberi bahagian zakat ini untuk melaksanakan ibadah haji, sebagaimana orang-orang yang kehabisan bekal dalam menunaikan haji dapat diberikan bantuan untuk menyempurnakan ibadah haji yang dilakukannya.’ (rujuk hal. 147)

Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak bersifat muafakat dalam kalangan fuqaha, kerana ramai yang menyanggahinya, bahkan menurut Ibn Qudamah, Imam Ahmad juga pernah mengeluarkan pendapat bahawa zakat atas nama fisabilillah tidak boleh diberikan kepada orang yang mahu menunaikan haji.

Janganlah kita terkejut jika ulama yang sama mengeluarkan pandangan kedua yang berbeza dengan pendapat awal, kerana adakalanya wujud keperluan dan rasional yang melahirkan pendapat kedua berkenaan dan ia selalunya lebih menepati keperluan. Imam Syafie sendiri penah menyatakan kadar zakat harta ma’din (galian) adalah 2.5 peratus dan kemudian pendapat keduanya adalah 20 peratus, dan penulis melihat pandangan kedua inil lebih sejalan dengan fuqaha yang lain serta lebih kuat dalilnya.

Bahkan Ibn Qudamah turut memperkuatkan pandangan berkenaan, atas alasan ia disepakati oleh fuqaha lain misalnya Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah, at-Tswari dan lain-lain. Mereka selanjutnya menyatakan, bahawa pendapat yang paling tepat mengenai tujuan fisabilillah, adalah merujuk semata-mata bagi tujuan peperangan menegakkan Islam.

Seandainya kita meneliti lebih lanjut, maka pandangan fuqaha mengenai fisabilillah sebenarnya tidaklah terbatas kepada aspek peperangan semata-mata. Hal ini ada dikemukakan oleh T.M Hasbi as-Shiddieqy di dalam kitabnya, Pedoman Zakat dengan menyajikan pelbagai definisi fisabilillah oleh pelbagai fuqaha (rujuk hal. 169-172).

Umumnya, fuqaha menyatakan bahawa fisabilillah adalah bermaksud mempertahankan agama Islam dan mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ilallah). Maka, boleh jadi dalam mendefinisikan maksud taqarrub ilallah inilah, ada yang berpandangan bahawa orang yang mahu mengerjakan haji wajar dibantu, kerana mereka memang mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sedangkan, jika diteliti lebih mendalam, maksud taqarrub ilallah yang lebih tepat ialah, segala aktiviti yang bersifat kepentingan umum, misalnya untuk tujuan dakwah Islamiyah, menganjurkan program Islami, menerbitkan risalah penerangan Islam dan menangkis tohmahan musuh-musuh Islam, memperkukuhkan institusi-institusi keIslaman dan sebagainya.

Jika orang yang dalam proses menunaikan haji dan mereka kehabisan belanja untuk kembali ke tanah air, hakikatnya bagi mereka memang sudah tersedia peruntukan khusus buat menangani keperluan itu, iaitu di bawah asnaf ibn sabil.

Manakala dalam konteks semasa, di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, dana fisabilillah ini dimanfaatkan sama ada untuk tujuan pemerkasaan institusi agama dan juga menaja individu muslim menyudahkan sesuatu pekerjaan yang mana, natijah akhirnya kelak akan kembali kepada umat Islam secara umum.

Maka, berdasarkan pandangan dan huraian ini, menyalurkan wang zakat sebanyak RM10 ribu itu untuk menaja individu yang miskin menunaikan haji, dianggap tidak menepati kehendak dalam amalan haji itu sendiri, iaitu mestilah ‘mampu’. Manakala, di sisi zakat, terdapat asnaf lain yang lebih utama (asnaf muqaddam, seperti fakir dan miskin) yang wajar disantuni terlebih dahulu sebelum menyalurkannya terus kepada asnaf fisabilillah.

Maka, berdasarkan perbincangan di atas, pandangan fuqaha bahawa tidak boleh disalurkan wang zakat bagi menunaikan haji lebih menepati kehendak zakat dan syariat. Lalu, adalah disarankan agar saudara mengeluarkan wang lain bagi menaja individu berkenaan menunaikan haji, dan tidaklah menggunakan wang zakat. Andai setelah diberikan RM10 ribu (katakan diambil dari wang simpanan dan diberikan bukan atas nama zakat kepada individu berkenaan) dan dengan sebab itu wang simpanan saudara juga menyusut dan menyebabkan zakat juga menyusut, maka ia tidaklah menjadi apa-apa kesalahan di sisi Islam.

http://www.hamizul.com/

Demi rakyat, Selangor beku aktiviti di rezab sungai

Harakahdaily, 05 Sep 2013
SHAH ALAM: Bagi mengelakkan kejadian pencemaran sungai sehingga menjejaskan bekalan air bersih di negeri ini, Kerajaan Negeri Selangor mengambil keputusan membekukan semua aktiviti di rezab sungai negeri itu berkuatkuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan media semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Sungai Selangor  1, 2 dan 3 serta Loji Rantau Panjang dihentikan tugas untuk sementara.

"Kejadian ini telah menyusahkan rakyat terutama mereka yang berkeluarga apabila bekalan air terputus di beberapa daerah di Selangor.

"Bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang, kerajaan negeri telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan membekukan semua permohonan menjalankan sebarang bentuk aktiviti di kawasan rezab sungai berkuatkuasa serta merta," ujar beliau.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan ( PBT) juga diarah menjalankan kerja-kerja pemantauan semua aktiviti di kawasan rezab sungai terutama aktiviti tidak berlesen.

Kerajaan negeri, tegasnya berpendapat penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini perlu dipertingkatkan memandangkan kes-kes pencemaran yang disebabkan kecuaian semakin kerap berlaku.

"Justeru, kita menyarankan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menguatkuasakan prinsip pencemar membayar dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974  di mana kos kerosakan dan kos membaiki kerosakan akibat pencemaran itu ditanggung sepenuhnya oleh individu atau syarikat yang menyebabkan pencemaran berlaku," saran beliau.

Jelas Khalid, kerajaan negeri bersama agensi kerajaan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar serta semua PBT di Selangor akan terus bekerjasama untuk memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kes-kes pencemaran sungai dapat dielakkan agar tidak berlaku gangguan bekalan air yang menyusahkan rakyat.

Potong elaun menteri, kerajaan mampu berjimat

Harakahdaily, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memotong elaun menteri dan mengurangkan penganjuran majlis keramaian berbajet besar sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan negara.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, cara tersebut pernah digunakan khalifah pemerintahan Islam suatu ketika dulu bagi mengawal perbelanjaan negara.

“Langkah pengurangan subsidi untuk berjimat hanya berkesan dalam jangka masa pendek. Sebaliknya, kerajaan perlu memikirkan cara yang lebih komprehensif.

“Kerajaan boleh mencontohi khalifah terdahulu yang memotong kemudahan orang besar dan mengurangkan majlis keramaian yang tidak penting dan melibatkan belanja yang banyak.

“Jika dilaksanakan dengan bersungguh, kerajaan mampu untuk berjimat dan mempunyai lebihan peruntukan kewangan untuk negara,” katanya.

Beliau juga berkata, pendekatan tersebut mungkin dilihat tidak signifikan dari sudut ekonomi, tetapi dapat memberi contoh di mata masyarakat.

“Jumlah yang berjaya dijimatkan mungkin tidak besar. Tetapi, sekurang-kurangnya beban kenaikan tidak hanya dirasai oleh rakyat, malah pemimpin dan orang berpendapatan tinggi.

“Misalnya, elaun petrol untuk menteri perlu dikurangkan selaras dengan kenaikan harga minyak. Jika kerajaan sendiri beri contoh untuk berjimat, barulah masyarakat dapat terima,” katanya.

Tambah beliau juga, sebarang isu ekonomi perlu ditangani secara serius oleh kerajaan.

“Kenaikan harga minyak misalnya bagaikan teori domino yang mempunyai kaitan dengan banyak perkara. Apabila harga minyak meningkat, golongan seperti peniaga, pemandu bas dan teksi dan ramai lagi akan terkesan.

“Malah, kos hidup yang tinggi juga boleh menjadi faktor peningkatan kes jenayah. Oleh itu, kerajaan perlu beri perhatian lebih dalam isu ekonomi,” katanya.

Siapa Shabery nak ugut Pak Samad?

Harakahdaily, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS melihat kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengatakan bahawa gelaran Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said boleh ditarik balik sebagai suatu ugutan yang tidak wajar.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Yusapiza Yaacob berkata, adalah tidak adil ugutan sebegitu keluar dari mulut seorang menteri terhadap tokoh sastera yang hanya hadir membaca puisi bersama kumpulan yang mengebarkan bendera Sang Saka Malaya.

"Ini merupakan suatu kezaliman. Malaysia kini berada di ambang hilangnya hak kebebasan memilih dan bersuara.

"Apa lagi yang kerajaan Umno mahu dari tokoh sasterawan ini selepas ini," soalnya.

Munurut Yusapiza, usaha menggugurkan gelaran Sasterawan Negara ini akan dilihat sebagai tidak menghargai jasa yang ditaburkan oleh Pak Samad dalam mengangkat martabat sastera negara.

Beliau mempersoalkan, adakah kerana tidak menyokong kezaliman kerajaan Umno maka seluruh jasa bakti Pak Samad mahu dilupuskan.

"Tidak mustahil pada masa akan datang, nama beliau akan dipadam terus oleh kerajaan dalam sistem pendidikan negara kita.

"Betapa takutnya kerajaan Umno kepada seorang yang berumur 80-an ini," katanya lagi.

Beliau juga yakin gelaran bukanlah suatu yang ditagih oleh Pak Samad berbanding prinsip perjuangan beliau sejak zaman dahulu lagi dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat dan menegur sikap kerajaan.

"Kezaliman apakah yang melanda negara kini? Kita baru sahaja menyambut kemerdekaan negara yang ke 56 namun tindakan kerajaan yang kebudak-budakan ini jelas tidak boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

"DPPWP juga yakin sekiranya gelaran tersebut ditarik balik, Pak Samad masih kekal dalam perjuangan membela rakyat biarpun di hujung usia," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan seharusnya menarik balik semua gelaran pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dalam pelbagai salah laku dan rasuah.

Ini kerana, rasuah adalah perkara sebenar yang menggugat keselamatan negara, yang menggadaikan amanah rakyat.

"Mereka inilah yang perlu dihukum dan bukannya seorang tua yang hanya membaca puisi.

"Hakikatnya, petualang-petualang negara ini bebas berada di dalam negara, tanpa sekatan dan masih lagi memgang jawatan-jawatan tinggi dalam negara. Bahkan gelaran mereka juga tidak ditarik balik," tegasnya.

Mengupayakan mekanisme agihan zakat untuk kurangkan kemiskinan

Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, 05 Sep 2013
Zakat merupakan rukun Islam ke-4 yang wajib ditunaikan setaraf dengan kewajipan solat. Tujuan utama disyariatkan zakat adalah untuk merapatkan jurang ekonomi dan pendapatan dalam sesebuah masyarakat di antara golongan kaya dan miskin, mengurangkan kemiskinan dan meringankan beban golongan asnaf. Zakat juga mampu menjana kuasa beli rakyat dan mempertingkatkan produktiviti negara.

Satu ketika dahulu, negara dikejutkan dengan isu kemiskinan sehingga ada dalam kalangan rakyat yang menagih simpati daripada penganut Kristian dan sanggup dimurtadkan. Berlaku juga dakwaan salah laku wang Yayasan Taqwa oleh menteri, lebihan wang zakat tahunan berjuta-juta dan pada masa yang sama berita kemiskinan di pelosok tempat dilaporkan, pelajar tidak mampu menampung pengajian kerana tiada bantuan dan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf. Justeru, timbul persoalan di minda masyarakat tentang keberkesanan agihan zakat dalam mengurangkan kadar kemiskinan rakyat.

Kadar kemiskinan negara merupakan lambang kemunduran bagi sebuah masyarakat dan negara. Walaupun kadar kemiskinan pada 2012 telah menurun lebih 60 peratus kepada 1.7 peratus sejak awal kemerdekaan dan kadar isi rumah bulanan pula meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada 5,000 pada 2012. Namun ia tidak meletakkan pihak pengurusan zakat di zon selesa walaupun kutipan dan agihan zakat meningkat saban tahun tapi isu kemiskinan sering kedengaran dan perlu diambil berat oleh semua pihak.

Jika dilihat kepada punca berlakunya kemiskinan, ia dapat dilihat kepada dua sudut; kemiskinan bandar dan kemiskinan luar bandar. Kemiskinan bandar berpunca dari penghijrahan rakyat dari luar bandar. Sesetengah dari mereka tidak mempunyai kemahiran professional untuk mendapatkan kerja, di samping kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan kekurangan peluang pekerjaan. Manakala kemiskinan luar bandar atas faktor pekerjaan yang terhad dan taraf pendidikan yang rendah.

Islam sentiasa menganjurkan usaha mengurangkan kemiskinan kerana kesannya amat besar terhadap individu, masyarakat dan negara. Kemiskinan menghampiri kekufuran, ia telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran." - (Riwayat Abu Namin daripada Anas).

Kemiskinan juga menyumbang kepada keruntuhkan akhlak dan budi pekerti dan akan mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

Masyarakat cukup memuji langkah yang diambil pihak penguasa agama dengan usaha memudahkan masyarakat untuk membayar zakat dan sekaligus memudahkan pihak berkenaan mengutip zakat. Namun isu besar yang harus diutamakan ialah soal pengagihan zakat perlulah diutamakan dan tindakan secara efektif perlu diambil dalam mengurangkan kemiskinan rakyat. Isu pengagihan zakat sudah mendapat tempat dalam hati masyarakat hari ini setelah isu kutipan zakat sudah selesai dengan melihat kepada jumlah kutipan zakat meningkat setiap tahun. Oleh sebab itu, tidak pelik jika rakyat mempersoalkan tentang pengagihan zakat bila timbulnya isu kemiskinan.

Dalam hal ini, isu birokrasi dan prosedur pihak pengurusan zakat bagi menjaga harta zakat agar diberi kepada asnaf yang layak dan mengelak dari ketirisan perlulah diseimbangkan dengan tuntutan ‘memudahkan’ agar rakyat tidak putus asa dengan institusi zakat.

Tidak cukup sekadar institusi zakat ‘menunggu’ golongan asnaf untuk datang meminta bantuan zakat di Pejabat Zakat atau Majlis Agama Islam Negeri, bahkan mereka haruslah ‘mencari’ golongan fakir miskin khususnya untuk diberikan bantuan melalui kerjasama institusi zakat dengan pihak-pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jika rancangan TV seperti Bersamamu mampu menjejak golongan fakir miskin, satu keaiban bagi institusi zakat jika gagal berbuat demikian. Maka, satu jawatankuasa bertindak harus ditubuhkan bagi menyiasat kemiskinan di sebahagian tempat untuk mengatasi masalah ini. Usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Ops Jejak Kemiskinan yang memfokuskan kemiskinan bandar wajar diteruskan dan diteladani.

Zakat juga bertujuan sebagai pintu keluar dari beban kemiskinan. Bantuan bersifat one-off dan kurangnya kesedaran golongan asnaf untuk keluar dari kepompong kemiskinan berlawanan dengan maqasid zakat itu sendiri. Saidina ‘Umar r.a. pernah berkata: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”.

Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut bahawa “fungsi zakat bukan seperti suntikan penenang yang boleh meringankan derita untuk beberapa saat tetapi sebagai ubat penyembuh yang boleh basmi penyakit sehingga akar umbi”.

Di antara langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan pihak penguasa agama dengan mengkaji semula paras kemiskinan rakyat dan memberikan bantuan yang memadai dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengutan zakat juga perlu dipungut dan diagihkan secara setempat agar keciciran golongan asnaf tidak berlaku dan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan setempat. Dengan lebihan wang zakat setempat barulah wang zakat diagihkan ke kawasan sekitar yang tidak mencukupi.

Pihak pengurusan masjid juga boleh menganjurkan program keluarga angkat masjid dengan mensasarkan ahli qaryah bekerjasama membantu keluarga miskin secara konsisten dan seterusnya mengeluarkan mereka dari kemelut kemiskinan.

Budaya kerjasama antara institusi zakat dengan pihak masyarakat harus bergandingan bahu dalam menyelesaikan isu agihan zakat dalam membasmi kemiskinan. Masyarakat boleh mencadangkan nama-nama asnaf yang layak menerima zakat kepada pihak institusi zakat dan mereka akan menyiasat latarbelakang dan mengagihkan bantuan jika layak.

Kesimpulannya, masyarakat harus sedar bahawa zakat yang menjadi sebahagian polisi fiskal negara akan menjadi kayu ukur tentang pendekatan Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat melalui keberkesanan agihan zakat.

Penulis ialah Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.

Salah kerajaan, tapi marahkan rakyat

Salmiyah Harun , 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam masalah kenaikan harga barang dan makanan selepas mereka sendiri yang mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen kelmarin, demikian menurut Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof.

Katanya, punca utama adalah kenaikan bahan bakar kemudian memberi kesan kepada peningkatan kos akhirnya risiko yang ditanggung dilepaskan kepada pengguna.

"Peniaga kedai makan dan restoran adalah pengguna yang mendapat bahan mentah mereka melalui peniaga, pula menggunakan pengangkutan seperti lori. Jadi macam mana hendak ambil tindakan dan salahkan mereka yang menaikan harga makanan," katanya.

Ini seolah-olah katanya, hendak mengandung tetapi tidak mahu perut buncit, harga minyak dinaikkan tetapi marahkan peniaga naikkan harga barang.

Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut terkilan dengan keputusan kerajaan menaikan harga minyak tanpa sebarang perbincangan di dalam parlimen.

"Sedangkan pada 25 September ini parlimen akan bersidang, dan dalam hal ini kita sebagai MP Pakatan Rakyat akan membawa suara dan denyut nadi rakyat dalam isu ini," katanya.

Ekoran kenaikan harga minyak RM95, Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek memberi amaran dan akan mengenakan tindakan keras kepada peniaga yang menaikan harga makanan.

Zailah juga tidak yakin KPDNKK boleh melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan kenaikan harga barang sepenuhnya sebagaimana dijanjikan.

Ini kerana beratus ribu premis perniagaan yang harus dipantau dalam masa yang sama jumlah kakitangan pemantau yang terhad.

"Saya fikir kerajaan sekali lagi akan membazir apabila terpaksa memberi elaun kepada pegawai pemantau harga yang baru. Macam mana hendak melakukan penjimatan?" katanya.

130 buah rumah dilanda banjir kilat

Muhammad Faizal, 05 Sep 2013

SHAH ALAM: Banjir kilat yang melanda sekitar Tol Sungai Rasau pagi ini telah mengakibatkan kesesakan lalulintas hampir lapan kilometer bagi kedua-dua laluan di lebuh raya persekutuan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati hampir 130 buah rumah di Kampung Air Kuning dan Kampung Benggali ditenggelami air sedalam setengah meter yang menyebabkan kerosakkan harta benda.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad yang turun meninjau memberitahu punca utama kejadian banjir kilat ini adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang terhalang akibat daripada kerja-kerja laluan masuk bertingkat dari lebuhraya persekutuan ke I-City di Seksyen 7.

Katanya lagi, perkara ini telah dilaporkan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) namun sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan diambil bagi mengarahkan pihak Pengurusan I-City membaikpulih longkang besar yang telah terhalang dengan tanah.

"Kita sudah banyak kali berhubung dengan MBSA tapi tidak ada tindakan, aduan dari penduduk pun sudah dilakukan tapi apa keputusan dan tindakan pun kita tak tahu.

"Jadi inilah akibatnya, penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat banjir, saya anggarkan lebih kurang 130 buah keluarga yang mana rumah mereka dinaiki air," jelasnya.

Khalid dalam pada itu turut mengesa agar satu arahan segera dikeluarkan oleh Datuk Bandar MBSA kepada pihak pengurusan I-City untuk membaiki longkang-longkang besar yang telah tertimbus oleh tanah.

"Kita gesa Datuk Bandar menyegerakan arahan kepada pihak I-City untuk baiki longkang-longkang tersebut, saya tidak mahu rakyat menjadi mangsa akibat terlalu ghairah mengejar pembangunan.

"Bukan satu perkara yang sukar, pihak I-City boleh melantik kontraktor baru untuk kerja-kerja tersebut. Dalam kita hendak mengaut keuntungan, masalah penduduk setempat perlu diambil kira," tegas beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut berharap Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dalam permasalah berikut.

Selain dari itu, kerja-kerja mengepam air keluar oleh pihak Jabatan Pengairan dan saliran selangor (JPS) sedang dilakukan.

Seorang penduduk, Kogila Kandasamy yang sempat ditemui memberitahu beliau terpaksa keluar dari rumahnya di Kampung Bengali pada jam 6.30 pagi tadi apabila air mula melimpahi memasuki rumahnya.

Malah jelasnya beberapa peralatan elektrik tidak dapat diselamatkan akibat dari air yang naik terlalu cepat selain hujan yang turun dengan lebat.

PAS kekal Dun Bukit Baru, PKR di Bukit Katil

Ahmad Danial, 05 Sep 2013

Dr Khalid dan Shamsul bersama para peguam dan penyokong.

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya di sini mengekalkan kemenangan PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru dan PKR di Parlimen Bukit Katil selepas menerima bantahan awal PAS dan PKR terhadap petisyen yang difailkan BN.

Dengan itu Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin kekal sebagai wakil rakyat bagi kedua-dua kerusi tersebut.

Bantahan awal itu dipohon responden iaitu Anggota Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR, Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim daripada PAS, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rusnani Latif dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap petisyen difailkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Karim Yaacob daripada Barisan Nasional (BN) pada 11 Jun lepas untuk memohon pengisytiharan keputusan PRU13 bagi kerusi itu sebagai tidak sah dan batal.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng juga memutuskan pempetisyen membayar sebanyak RM30,000 kepada setiap responden iaitu Shamsul, Dr Khalid dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Pada prosiding itu, Shamsul Iskandar dan Dr Md Khalid yang diwakili peguam Yusof Rahmat dan Zulkhairi Ab Aziz manakala Mohd Ali dan Karim diwakili Rosfinah Rahmat dan Mohd Adli Ithnin.

Dr Khalid dalam maklum balas ringkasnya menyatakan kesyukuran di atas keputusan mahkamah tersebut.

"Keputusan itu memang dinanti-nantikan oleh semua pihak menyatakan kesyukuran mereka di atas keputusan mahkamah ini.

" Saya terus berkhidmat kepada rakyat dengan lebih komited dan istiqamah," ujar beliau.

Pada PRU13, Mohd Ali tewas kepada Shamsul Iskandar dengan majoriti 5,447 undi manakala Karim yang juga Ketua Pemuda Umno Melaka kalah tipis dengan majoriti 48 undi kepada Khalid.

Jangan bertindak melampau kepada Pak Samad

Harakahdaily, 05 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS melihat ada pihak yang semakin rancak bertindak melampau terhadap Sasterawan Negara, A Samad Said.

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan menarik balik gelaran Sasterawan Negara daripada A Samad Said sangat menghinakan.

“Apakah kerajaan boleh menidakkan sumbangan Pak Samad memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu hanya kerana apa yang diperjuangkan Pak Samad kini tidak mesra kerajaan?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ketokohan dan keberanian Pak Samad pada usianya yang lanjut untuk melawan kemungkaran dalam sistem pilihanraya melalui Bersih telah menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kerajaan BN disaran jangan cuba mengalih perhatian daripada isu peningkatan harga minyak dengan memangsakan Pak Samad dengan apa-apa jua alasan.

“Apakah dengan membawa bendera lain dianggap hina bendera negara?” tanya beliau lagi.
Menurutnya, banyak himpunan yang membawa pelbagai bendera negara lain - itu bukan bermakna menghina bendera negara sendiri.

“Tindakan kerajaan salah saja tangkap, salah sikit tangkap benar-benar menjadikan Malaysia negara polis sedangkan dialog, perbincangan dan pelbagai medium boleh diguna bagi menjernihkan keadaan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, di sanubari rakyat, Pak Samad bukan sahaja adalah Sasterawan Negara, malah kini terkenal sebagai hero kerana kekentalannya dalam memperjuangkan prinsipnya dan melawan kemungkaran kerajaan.

Beliau berkata, pemimpin Umno BN seperti Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek patut mengadakan dialog bersama Pak Samad dan bukan mencemuhnya di media.

Tiada ulasan: