Khamis, 5 September 2013

BUAT KENYATAAN RAMALAN BIAR MASUK AKAL

Pak Samad OK, makin bersemangat selepas dibebas

Hazayani Zakaria, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berada dalam keadaan yang baik malah kelihatan lebih bersemangat selepas dibebaskan polis jam 2.30 pagi tadi.

A Samad atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dibebaskan selepas dua jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Penahanan tersebut susulan kepada soal siasat ke atas aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli yang disoal siasat di bawah Akta Hasutan 1948 Isnin lalu berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan Jumaat lalu.

"Pak Samad baik-baik sahaja. Malah saya boleh katakan dia lebih bersemangat kini. Tentang dipanggil balik atau didakwa masih tidak diketahui," kata anak beliau, Helmy Samad ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun Helmy berkata, beliau belum bertanya mengenai soalan-soalan yang diajukan pihak polis kepada Pak Samad.

"Tidak saya tanyakan lagi (mengenai soal siasat)," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan Pak Samad disiasat di bawah Akta Hasutan.

Penahanan Pak Samad itu mengundang reaksi tidak senang di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis memandangkan beliau ditahan di rumahnya di Bangsar jam 12.30 pagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pihak polis sebagai biadab.

“Tindakan biadap! (SN) A Samad Said umur 80 tahun diheret jam 12 malam?” tulis Anwar di twitter sebaik mengetahui Pak Samad ditahan.

Sementara itu, Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga turut mempersoal tindakan polis itu dan berpandangan polis boleh memilih waktu lain untuk menyoal siasat Pak Samad.

"Tergamak mereka buat begitu kepada seorang individu yang sangat dihormati.

"Perlukah ke rumah beliau pada jam 12.30 tengah malam semata-mata untuk menahannya bagi soal siasat dan membebaskannya dua jam kemudian?" soal Ambiga.

Sewaktu Pak Samad diambil keterangannya, sekumpulan anak muda berkumpul di luar balai polis sebagai tanda solidariti untuk Pak Samad yang dianggap 'Sasterawan Rakyat'.

Mereka menyalakan lilin dan membentangkan kain bertulis 'bebaskan Pak Samad'.

Pada Jun 2011, Pak Samad pernah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran Bersih 2.0.

Dalam majlis tersebut, Pak Samad mendeklamasikan sajak bertajuk 'Unggun Bersih'.

Penyeksaan pimpinan Ikhwan, penyokong Mursi

facebook.com/ustaztantawi, 04 Sep 2013
3 HARI TIDAK DIBERI MINUM.

Penyeksaan ke atas pimpinan ikhwan dan penyokong Dr Mursi berterusan di dalam penjara.

Jurucakap ikhwan yang ditangkap Dr Ahmad Arif diberitakan disekat air selama tidak hari. Begitu juga Dr Beltaji yg juga berada di penjara dihina sehinanya oleh pegawai penjara dan disekat bekalan ubat kepada beliau.

Anjing-anjing Sisi tidak akan berhenti menyeksa tahanan hingga Sisi ditumbangkan,
Mudah-mudahan dalam masa terdekat insyaAllah.

FJP newspaper.
Dr Ahmad arif

Kebenaran Al-Quran misteri binaan piramid terjawab

http://www.wartautara.com, 04 Sep 2013

Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori

yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?


Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.


Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan



Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.”

(Al-Qasas: 38)


Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.


Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah “Journal of the American Ceramic Society” menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.  Gambar – Gilles Hug (duduk kiri) dan Dr. Michel Barsoum (berdiri)


Profesor Davidovits


Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia.

Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”


Piramid Bosnia

Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.


Gambar di atas menunjukkan kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.


Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.

Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.

Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.

Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.

Rakyat Marhaen

Wallahu’alam….

Sebab ini Nazri marah Rafizi gamaknya?

http://wrlr.blogspot.com, 04 Sep 2013


Jawapan-jawapan di dalam Parlimen oleh Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempertahankan habis-habisan individu-individu yang disabitkan di dalam skandal wang Umno Sabah berjumlah RM40 juta menimbulkan banyak tanda tanya.

Baca di sini

Tidak mustahil mansuh RON95, guna RON97

Muhammad Faizal, 04 Sep 2013
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad tidak menolak spekulasi mengatakan kerajaan ingin mewujudkan petrol RON92 adalah bagi memansuhkan RON95 yang dinaikkan harga sebanyak 20 sen kelmarin.

Katanya kepada Harakahdaily, adalah terlalu sukar untuk kerajaan menyediakan tiga jenis minyak bagi kegunaan pemandu apatah lagi ia melibatkan kos pengubahsuaian yang besar kepada pengusaha stesen minyak.

"Saya tidak menolak dan ada kemungkinan besar bila wujudnya minyak RON92 atau nama lain regular, ia bagi tujuan untuk memansuhkan minyak RON95.

Tambah beliau, jika ini keputusan yang diambil oleh kerajaan maka ia telah memberi tekanan kepada pengguna minyak RON95 untuk beralih kepada RON97 yang harganya lebih mahal.

Menurutnya RON92 hanya sesuai kepada kenderaan yang lama dan penggunaan minyak tersebut tidak sesuai dengan kenderaan keluar terbaru yang disarankan menggunakan RON95.

"Mereka tidak mahu kerosakkan berlaku kepada kenderaan mereka sebab RON97 juga sesuai untuk kereta yang mengguna RON95.

Khalid yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan bahan api dan tenaga turut memberitahu penggunaan RON92 tidak bersesuaian dengan kenderaan yang ada sekarang dan ia akan memberi kesan kepada prestasi enjin dalam jangka masa panjang.

"Kesan pasti ada, bagaimana enjin terkini hendak menampung minyak gred yang rendah, prestasi dicipta mengikut kesesuaian minyak terbaru.

"Kalau mengguna RON92 pasti teknologi enjin terkini tidak sesuai, kalau selalu digunakan ia akan memberi kesan besar, seterusnya pengguna menanggung kos untuk baik pulih," kata beliau lagi.

Kelantan dedah pegawai ilmu tasawur Islam

Aslani M, 04 Sep 2013


KOTA BHARU: Pegawai-pegawai tadbir negeri (PTN) Kelantan akan didedahkan ilmu berkaitan tasawur Islam bagi melengkapkan visi kerajaan negeri Membangun Bersama Islam.

Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Dr Che Samsudin Mohamed Noor berkata, pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) kini sedang menyiapkan modul berkenaan.

Katanya, pegawai tadbir negeri akan mengikuti kelas tasawur Islam selama dua bulan setiap hujung minggu dengan dikendalikan pensyarah Kias.

“Sekurang-kurangnya 50 pegawai tadbir terbabit bagi sesi pertama kursus tersebut. Dan apabila tamat kursus mereka akan menerima sijil dalam bidang berkenaan dikeluarkan Kias.

“Pegawai lepasan kursus berkenaan juga boleh mengikuti kursus lanjutan sehingga ke peringkat Diploma sekiranya mereka berminat,” katanya di sini.

IPTG merupakan institusi baru diwujudkan kerajaan negeri bagi memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang ada pada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu dilantik sebagai Penasihat (Murabbi Ummah) IPTG, manakala Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob sebagai pengerusi. 

IPTG dicetus Ustaz Ahmad selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri setelah Tok Guru Nik Abdul Aziz berundur sebagai ketua kerajaan.

Hari ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut meluangkan masa meninjau dari dekat IPTG yang terletak di tingkat bawah bangunan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim.

Dr Che Samsudin berkata, pelancaran kursus tasawur Islam berkenaan dijangka diadakan pada 24 Oktober hadapan akan disempurnakan Menteri Besar.

Menurutnya juga IPTG akan mengadakan forum khas bertajuk “Pentadbiran Kelantan Pasca Tok Guru” dalam masa terdekat dengan mengundangkan pensyarah daripada universiti tempatan.

RON97 pula naik 15 sen seliter

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Selepas kerajaan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen dua hari lepas, dipercayai harga petrol RON97 pula dinaikkan sebanyak 15 sen seliter mulai tengah malam ini.

Menurut pemilik stesen minyak, kenaikan itu menjadikan harga petrol RON97 meningkat dari RM2.70 kepada RM2.85 seliter.

Dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Naij Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 menjadikannya RM2.10 daripada RM1.90 sen seliter.

Tiada ulasan: