Khamis, 5 September 2013

BIASALAH MINYAK NAIK...BARANG2 LAIN TURUT NAIK ATAS ALASAN KOS PENGANGKUTAN JUGA NAIK

Akhirnya Hatijah Aam umum bertaubat

Harakahdaily, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Dalam  satu perkembangan yang mengejutkan, balu bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Ustaz Asaari Muhammad yang juga Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam mengumumkan bertaubat dan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan kumpulan tersebut.

Dalam tiga pucuk surat yang diemel kepada Harakahdaily, Hatijah (gambar), Timbalan Pengerusi GISB, Rasidi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Lokman Hakim memohon maaf kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), polis, akhbar, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Kerajaan Malaysia kerana melanggar fatwa, memutuskan silaturrahim dan bersangka buruk.

"Bahawa kami GISB mengaku bersalah dan sanggup bertaubat dan bersumpah atas nama Allah! Sekiranya perkara ini diragui kebenarannya.

"Mohon pihak tuan aturkan apa sahaja program untuk mempastikan kami benar-benar selamat dari ajaran sesat ini!" kandungan surat bertajuk Memohon Maaf Kepada Pihak Berwajib itu dipetik.

Dalam surat yang berlainan Hatijah, Rasidi dan Lokman menggariskan 10 langkah yang bakal diambil GISB untuk bertaubat dan mematuhi fatwa (berhubung Aurad Muhammadiah).

Antaranya  menulis surat memohon maaf kepada Majlis Fatwa, Jakim dan Jais; mengeluarkan surat sumpah dan upacara sumpah; melupuskan bahan-bahan rujukan (ajaran Aurad Muhammadiah); menganjurkan program kesedaran untuk seluruh anggota GISB; dan melaksanakan program pemantauan.

GISB juga akan membebaskan ahli-ahli yang dikuarantin; mempertemukan pasangan suami isteri yang terpisah; mengirim surat permohonan maaf kepada pihak-pihak terbabit; mengamalkan zikir dan wirid yang dibenarkan Jakim dan menyiarkan langkah-langkah yang diambil melalui media massa.

Aurad Muhammadiah yang diamalkan  bekas pengikut kumpulan Al-Arqam dan juga anggota GISB telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Fatwa berhubung Aurad Muhammadiah telah  diwartakan pada 5 Ogos 1994.

Nilai 20 sen besar bagi rakyat biasa

Anis Nazri, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kebanyakan orang awam yang ditemui mengakui terkesan dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tinjauan yang dilakukan Harakahdaily, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini mendapati kebanyakan mereka menyedari kesan berantai yang terpaksa dihadapi ekoran kenaikan harga minyak.

Seorang pesara, Tan Kok Seng (gambar), berkata apabila kerajaan menaikkan harga minyak, secara automatik harga barangan lain akan meningkat, sekaligus ia membebankan rakyat.

"Orang kaya tidak kisah naik 20 sen, 30 sen. Tapi orang bawah, orang makan gaji mesti susah. Bila harga minyak naik, semua kos akan meningkat dan juga harga barangan naik. Memang susah lah," kata beliau ketika ditemui.

Tambah beliau, dalam keadaan sistem pengangkutan awam masih belum di tahap memuaskan, kenaikan harga minyak ini menambahkan lagi beban sedia ada.

"Minyak naik, kos operasi mesti naik. MRT pun belumn sedia lagi. Macamana?" soal beliau.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memotong terlebih dahulu subsidi korporat yang bernilai berbilion-bilion ringgit sebelum bertindak menaikkan harga minyak.

"Sepatutnya, potong dulu subsidi korporat. Lepas itu, kalau tidak cukup, mahu naik harga, naiklah," kata beliau dengan nada kesal.

Seorang pekerja swasta, Morhd Izzat, berkata kenaikan harga minyak sudah tentu akan menyebabkan harga barangan keperluan meningkat selepas ini.

"Harga minyak naik, harga barang tentu naik. Tapi gaji tidak naik, maka sudah tentu ia akan membebankan rakyat kerana melibatkan kos sara hidup yang meningkat," kata beliau.

Seorang kakitangan kerajaan, Siti Fatimah Mahmud, berkata walaupun kenaikan harga minyak hanya RM0.20, ia tetap memberi kesan kepada pengguna kerana minyak merupakan sumber utama untuk semua perkhidmatan.

Katanya, khusus bagi golongan berpendapatan rendah, ia akan memberi kesan berantai kerana akan menyebabkan industri lain turut terkesan.

Sementara itu, para peniaga yang ditemui turut terkena tempias ekoran kenaikan harga minyak Ron95 dan diesel tersebut.

Jasri Maarof (gambar), yang telah membuka kedai makan selama 25 tahun berkata beliau terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan kos membeli bahan mentah meningkat.

"Memang akan ada pelanggan yang merungut, tapi kami tiada pilihan. Kos meningkat, jadi kami terpaksa naikkan harga barang. Tapi, saya pun tidaklah naikkan harga tinggi sangat. Jangan sampai saya rugi," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek yang meminta peniaga tidak menaikkan harga barangan, beliau berkata perkara itu dapat dielakkan jika harga minyak tidak naik.

"Kita bukan suka-suka mahu naikkan harga. Tapi terpaksa. Kalau tidak mahu kami naikkan harga, jangan naikkan harga minyak," kata beliau.

Seorang lagi peniaga, Maimun Taib, berkata beliau terpaksa menaikkan harga barang kerana kos bahan mentah meningkat.

"Kalau harga minyak rendah, kita akan letak harga biasa. Tapi, kalau naik sudah tentu kita juga terpaksa naik. Sebab semua kos akan jadi meningkat. Kita nak bayar sewa, bayar pekerja, kos semua meningkat," kata beliau.

Namun, katanya menteri perlu faham masalah yang dihadapi peniaga apabila harga minyak dinaikkan.

"Memang menteri boleh kata jangan naikkan harga, tapi kita peniaga ini terbeban dengan kenaikan harga minyak. Tapi, saya kalau naikkan harga pun, saya tak naik banyak. Mungkin dari RM4.50, saya naikkan RM5," kata beliau.

Tun M terus tentang TPPA

Subky Latif, 04 Sep 2013
Bukan saja pembangkang dan pimpinan NGO yang penting meneruskan kempen menentang gagasan Perkongsian Trans Pasifik, malah Dr Mahathir sendiri mengulangi gesaannya supaya Malaysia menolak muafakat yang dipercayai dikepai oleh Amerika itu.

Baginya menjadi sebahagian dari perkongsian akan menjadi negara ini hilang kemerdekaan, saudagar Amerika akan bolot kekayaan dan ekonomi negara kita, syarikat Amerika yang lebih banyak modal akan bukan sekadar jadi sama hak dengan orang/syarikat Malaysia, malah status mereka menyamai bumiputera.

Dari  apa yang Dr Mahathir bayangkan itu saya terfikir dengan kedatangan pelayar Peringgi hendak membeli  sebidang tanah di Melaka sebesar sebidang belulang lembu.  Apa yang Peringgi dapat buat dengan tanah seluas kulit lembu?

Raja Melaka setuju jual tanah secuit itu dengan harga yang tinggi. Dengan persetujuan itu Peringgi tipu raja kita. Dijadikan belulang itu sepanjang-panjang tali, Bila tati dicantum jadilah tanah yang dibelinya itu seluas tali yang tercantum. Tiada dapat Raja Melaka berbuat apa-apa kerana perjanjian sudah disetujui.

Maka itulah mulanya Tanah Melayu dijajah. Agaknya demikian Malaysia akan dijajah semula dengan Pengkongsian Trans Pasifik yang dikepalai Amerika itu. Amerika akan jadi Peringgi baru dan Perdana Menteri Najib akan jadi seperti Raja Melaka.

Tentangan Dr Mahathir bukan sekadar dia dengar dan dia kaji dari sumber luar, dia terus tentang gagasan itu setelah mendengar penjelasan Tok Menteri Mustapa Mohamad. Menteri itu adalah orang paling banyak maklumat tentnang perkongsian itu. Dia dikira orang yang tahu akan untung rugi perkongsian itu.

Setelah dia dengar, Dr Mahathir menentang gagasan itu, dia datang mendapatkan Mahathir menerangkan tentang semua yang dilakukannya untuk menjadi TPP lebih menguntungkan Malaysia  dan dia tentunya cuba meyakinkan Mahathir bahawa TPPA boleh menguntungkan dan Dr  Mahathir tidak perlu bimbang.

Dia ingat Mahathir itu seperti orang Umno Jeli. Apa yang dia kata budak-budak Umno pun mengangguk. Tetapi Mahathir dalam hal TPPA ini adalah seperti pengundi di Kelantan. Apa Umno beri mereka terima, dan apa yang Mustapa kata depa tidak bantah, apabila mengundi mereka tak undi BN. Mahathir dengar apa Mustapa kata, apabila Mustapa keluar pejabatnya, Dr Mahathir ulangi supaya Malaysia jangan bodoh menyertai perkongsian itu.

Mahathir yang mengawal Umno supaya ia terus berkuasa lantang menentangnya kerana tidak mahu Malaysia dijajah semula. Mahathir adalah orang paling getik dengan pembangkang. Tapi dalam isu TPPA dia  tidak boleh bersama kerajaan.

Pertama dia kenal Mustapa lebih dari orang lain. Menteri di bawahnya dulu. Dia boleh buat kerja apa yang  disuruh, mungkin kira-kira seperti kerani. Tetapi untuk berunding dengan Orang Putih belum meyakinkan.

Pengetahuannya tentang perairan ekonomi Kelantan pun tak cukup tahu, justeru disangkanya Kelantan tiada hak atas royalti minyak. Jika hak rakyat Kelantan pun dia sanggup gadai, maka dia boleh jual apa yang Amerika hendak beli mengikut syarat Amerika.

Dia jadi pemimpin Umno Kelantan, apa yang dia dapat buat untuk menawan Kelantan setakat ini. Mungkin tiada orang lain yang cerdik untuk jadi ketua Umno Kelantan. Jika dibandingkan dengan Ibrahim Ali jauhlah Ibrahim Ali lebih lincak daripadanya. Mahathir kenal sangat keupayaannya untuk berunding dengan Amerika.

Mahathir menentang pembangkang sekarang kerana tak mahu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Dia kata Anwar akan jual negara pada Amerika. Tapi  sekarang Najib sedang berkira jual negera pada Amerika. Maka tentangan Mahathir terhadap TPPA tidak terhenti di situ saja. Dia mesti teruskan supaya jangan Najib jual Malaysia melalui TPPA. Lupakan Anwar bersama pembangkang, tetapi marilah bersama pembangkang sebagai usaha menghalang Najib sertai TPP.

Terimalah ‘hadiah’ atas kemenangan BN

Abd Shukur Harun, 04 Sep 2013
Kenyataan seorang menteri bahawa, “jika harga ayam naik, jangan makan ayam,” kini menjadi kata-kata popular dalam kalangan orang ramai dan menjadi analogi baru pula, “jika harga minyak naik, jangan pakai minyak.”

Kata-kata ini banyak didengar di pasar-pasar, di warung roti canai, di hentian teksi, dan di banyak tempat rakyat biasa berada.  Tetapi bukan dalam kalangan golongan ahli korporat kaya atau super kaya yang berlegar di padang golf, di lobi hotel mewah atau super mewah, di bilik mesyuarat para pembesar negara atau di bilik mesyuarat ahli korporat di kompleks mereka.

Golongan elit ini tidak tersentuh dengan harga minyak naik, justeru mereka disediakan segalanya percuma oleh syarikat mereka, sementara pembesar negara juga segalanya percuma disediakan oleh kerajaan.

Golongan elit ini kebanyakannya tidak pernah ke pasar, ke kedai barangan keperluan harian, tidak pernahpun ke stesyen minyak, jauh sekali hendak menjenguk meter harga minyak. Segalanya dilakukan oleh pemandu mereka. Keluarga mereka biasanya hanya menghantar orang gaji mereka untuk pergi ke pasar membeli barang keperluan, atau van khusus yang menghantar barang keperluan itu ke banglo mewah mereka.

Golongan super kaya ini tidak akan tersentuh dengan kehidupan rakyat biasa yang kini merasakan amat tertekan dengan kenaikan harga minyak. Kepada siapa rakyat ini hendak mengadu, melainkan derita itu ditelan sendiri.

Akibat kenaikan harga minyak ini, harga barangan yang sudah mahal akan bertambah mahal lagi. Kesan kenaikannya, maka pengusaha bas awam, bas sekolah, lori kontena dan lori biasa sudah menyatakan akan menaikan kadar sewa lori dan bas mereka kerana kenaikan harga minyak tersebut.

Hal ini bermakna seluruh sektor kehidupan akan menerima kesannya, kecualilah golongan elit yang disebutkan tadi. Maka kini bermunculanlah kata-kata sindiran dalam facebook, twitter, sms dan lain-lain, “Jangan guna minyak jika harga minyak naik.” Ini bukan kata-kata Raja Lawak, tetapi sindiran dari rakyat biasa kerana mereka merasa sangat tertekan.

Ada seorang tua pesara kerajaan yang setiap bulan menerima pencen pada suatu pagi berbual dengan seorang kenalannya di gerai nasi lemak sambil menghirup tea tarik:

“Apalah salahnya, minyak naik hanya dua puluh sen, bukan banyak. Kerajaan sudah banyak menolong rakyat, BR1M500 sudah dua kali beri, Ini nak bagi lebih lagi. Dalam pilihan raya macam-macam bantuan diberikan. Nak marah apa lagi.”

Kenalan itu yang mengambil upah sebagai tukang rumah, merenungnya dan berkata, “awak bercakap macam menteri pulak. Semuanya kerajaan elok belaka. Awak tak tahu sebenarnya macam mana kesusahan rakyat. Mengapa awak pejamkan mata dengan kesusahan rakyat, kerana awak terima pencen bulan-bulan, anak awak beri pulak duit. Tapi orang lain bagaimana?”

“Itu nasib masing-masinglah,” jawabnya dan beredar dari situ kerana nampaknya tidak sanggup lagi berhujah dengan situkang rumah itu.

Bagi golongan rakyat kelas menengah rendah kenaikan harga minyak ini akan mengakibatkan harga barangan lain akan turut ini. Bahkan, Presiden Persatuan Pengusaha Pengangkutan Perdagangan Wilayah Utara, Datuk Yusoff Ismail telah menyatakan kesannya. Menurutnya, kenaikan itu memberi impak besar kepada syarikat pengangkutan perdagangan termasuklah pengusaha bas ekspres kerana ia akan meningkatkan caj perkhidmatan pengangkutan perdagangan antara empat hingga lima peratus.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pengusahanya menaikkan tambang atau sewa perkhidmatan pengangkutan bagi mengelakkan kerugian kerana terpaksa menanggung kos kenaikan bahan api.

“Pengusaha pengangkutan perdagangan terpaksa menanggung kos kenaikan bahan api yang lebih membebankan dan ini mungkinan mereka menaikkan tambang atau kadar sewa kos perkhidmatan pengangkutan. Dijangka caj perkhidmatan pengangkutan perdagangan akan naik sebanyak 4 hingga 5 peratus," katanya Datuk Yusoff kepada media. Beliau adalah juga Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, ketika mengulas berkata, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak 20 sen adalah potongan 22 peratus daripada jumlah subsidi kerajaan kepada rakyat negara ini.

Baginya, tindakan itu dengan menaikkan harga minyak itu adalah jalan pintas Datuk Seri Najib. Bagi Raizi, tindakan ini tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara yang kian parah di bawah pentadbiran Najib dan ia satu tindakan tidak adil kepada rakyat.

Menurut Rafizi, pihak yang paling tertekan dengan tindakan ini adalah rakyat yang berpendapatan rendah. Mereka yang berpendapatan kurang RM500 sebulan membelanjakan 35 peratus daripada pendapatan mereka untuk membiayai petrol dan diesel.
Katanya, keluarga yang berpendapatan RM500 - RM1,000 sebulan (27 peratus), RM1,000 - RM2,000 (25 peratus), RM2,000 - RM3,000 (22 peratus), RM3,000 - RM4,000 (20 peratus) dan mereka yang berpendapatan lebiuh RM4,000 sebulan membelanjakan 10 peratus sahaja pendapatan mereka untuk petrol dan diesel.

Sementara itu, tindakan Najib mengumumkan kenaikan harga minyak itu telah memeriahkan laman sosial diinternet. Pelbagai cara bantahan dipamerkan di laman tersebut. Malah turut dipamerkan ialah kenyataan para menteri beliau yang memberikan jawapan yang lucu setiap kali timbul masalah yang menimpa rakyat.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berpendapat, berbanding dengan bajet tahun-tahun sebelum ini yang dilihat sebagai bajet mesra rakyat, tetapi bajet 2014 yang akan dibentangkan bulan Oktober nanti sebagai tidak bersifat mesra rakyat.

“Ramai yang menduga, selepas harga minyak naik, akan menyusul pula kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu sama ada rakyat yang telah mengundi BN atau sebaliknya, terimalah ‘hadiah’ dari kerajaan BN ini walaupun ‘hadiah’ itu sangat pahit untuk ditelan rakyat.

Analogi mudah kenaikan harga minyak

Dr Azman Ibrahim, 03 Sep 2013
Izinkan saya membuat analogi mudah

Sepasang suami isteri yang telah agak berusia serta bergelar datuk dan nenek memiliki satu kawasan kebun rambutan. Kebetulan tahun ini rambutan naik harga dan laris sekali di pasaran.

Musim cuti sekolah sebagaimana biasa pulanglah anak cucu ke rumah dan tentunya rambutan atuk dan nenek akan menjadi sasaran mereka. (Gambar hiasan)

Tahun ini disebabkan harga rambutan yang meningkat di pasaran, sebelum anak cucu balik, awal-awal lagi atuk ini telah memasang strategi.

Kebun rambutan itu dipagar. Di pintu pagar siap diletakkan tanda berapa harga sekilo rambutan mengikut harga pasaran semasa. Penimbang juga disediakan.

Sampai saja anak-anak cucu di kampung, terus mereka serbu pokok rambutan atuk. Atuk yang berfikiran kapitalis ini hanya tersenyum sambil menunggu di pintu pagar kebunnya.

“Wahai anak-anak dan cucu kesayanganku, selepas petik rambutan itu, sebelum kamu semua makan, pastikan rambutan itu ditimbang dan dibayar harganya mengikut tanda harga di pintu pagar ini,” kata atuk.

Terkejut beruklah semua anak cucu dengan karenah baru atuk mereka.
Biasanya atuk amat pemurah dan tak pernah berkira dengan cucu-cucu. Lebih teruk lagi, harga yang dipamerkan pula sama dengan harga rambutan di pasar.

“Ala atuk, tak kan dengan anak cucu pun nak berkira, mahal pulak tu harga rambutan atuk ni,” rayu seorang cucunya.

“Mahal kamu kata! Cuba kamu pergi check harga rambutan di Singapura dan di Jepun, tengok berapa harganya!” tegas saja nada suara atuk.

“Betul lah di Singapura dan Jepun harga rambutan mahal, mereka mana ada pokok…” seorang anak lelaki atuk mencelah.

“Harga rambutan atuk ini, mengikut harga semasa pasaran, bukannya atuk pandai-pandai buat naik harga sendiri. Sebelum ni sudah banyak atuk tanggung subsidi dengan bagi rambutan percuma pada kamu semua. Dari mana duit atuk nak dapat untuk beli baja, nak beli racun rumput, nak buat pagar, nak upah orang petik dan bla… bla.. bla,” atuk terus membebel.

“Betul dah tu atuk, memang rambutan dah naik harga. Tapi atuk juallah kepada orang luar mengikut harga pasaran, dengan kami anak cucu tak kan lah atuk nak berkira. Tak kan sampai atuk nak suruh kami bandingkan harga rambutan atuk dengan harga rambutan di Singapura… Lagipun kebun rambutan ini memang hak atuk. Atuk pun tak perlu tanggung bayar  subsidi harga kepada sesiapa. Pelik juga kalau kebun ini milik atuk, tapi tiba-tiba Atuk kata, atuk kena tanggung subsidi, isshh!! Kepada siapa pula subsidi ni dibayar?” jawab seorang lagi cucu atuk yang kebetulan belajar ekonomi di sebuah universiti tempatan secara panjang lebar.

“Walau apa-pun kamu cakap, atuk tetap bertegas. Harga tetap tak diturunkan. Kamu semua sepatutnya bersyukur. Masih boleh balik ke rumah atuk dengan aman, kampung kita pun masih aman. Makan pakai semua cukup. Kerja makan gaji . Semua pakai kereta besar. Tandanya kamu semua mampu. Tak kan lah nak bayar harga rambutan sikit pun sudah bising!” atuk membuat keputusan muktamad.

Pinda akta bukan jaminan cegah jenayah

Muhammad Faizal, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang akan dilakukan nanti bukan satu jaminan terhadap keberkesanan pencegahan jenayah.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor luaran yang perlu diambil perhatian terutamanya apabila ia melibatkan orang-orang terpenting di dalam sindiket jenayah berat.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak pindaan yang dicadangkan tetapi ingin melihat terlebih dahulu kandungan cadangan pindaan tersebut.

"Kita tengok dulu apa yang dicadangkan oleh kerajaan berhubung dengan pindaan tersebut.

"Tetapi saya berpendapat walau apa jua pindaan kita lakukan ia bukannya satu jaminan khusus bahawa gejala jenayah ini dapat kita banteras sepenuhnya.

"Banyak faktor yang perlu diambil kira terutamanya apabila ia melibatkan individu yang berkuasa dalam sindiket terutamanya kongsi gelap," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau lagi, negara ini terlalu banyak akta yang melibatkan soal pencegahan jenayah tetapi penglibatan anggota polis terlalu sedikit peratusannya jika dibandingkan dengan jumlahnya.

Katanya, anggota polis lebih tertumpu kepada pemantauan ahli politik terutamanya dari Pakatan Rakyat sehinggakan kes jenayah kecil-kecilan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

"Di Malaysia ni sudah banyak akta untuk pencegahan jenayah tetapi kenapa isu jenayah ini masih lagi berleluasa sama ada dari kes yang kecil hingga melibatkan pembunuhan.

"Jawapannya cukup mudah, apabila anggota polis yang dikhususkan untuk pencegahan jenayah ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang memantau pergerakan pimpinan politik, sehinggakan banyak kes jenayah tidak diambil tindakan yang serius," sambung beliau.

Hanipa yang turut mempersoalkan tindakan pantas polis terhadap Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said awal pagi tadi berhubung dengan bendara Sang Saka Malaya, sedangkan 49 kumpulan kongsi gelap yang telah diumumkan serta tiga daripadanya mempunyai pendaftaran yang sah tidak diketahui tindakan susulan dari pihak polis.

Kerajaan yang sebelum ini bercadang akan membuat pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 akan dipinda untuk membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan.

Draf pindaan itu sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara dan dijangka dapat dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan bermula 23 September ini.

"Kalau tak naikkan harga, nanti pakcik rugi"

Salmiyah Harun, 04 Sep 2013
Semenjak pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen bermula semalam, orang ramai sudah mula memperkatakan tentang kenaikan harga barang termasuklah makanan.

Tengah hari tadi, saya bersama-sama rakan sepejabat makan di kedai makan berhampiran, rata-rata pelanggan mula bercakap-cakap soal kenaikan harga barang.

Dari riak muka, ramai yang mengundang rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga minyak yang tidak sampai 48 jam itu apabila mendengar para peniaga sudah merancang untuk menaikan harga makan tengah hari mereka.

Tauke kedai makan di mana tempat saya dan rakan-rakan menjamah makan tengah hari pun sudah berkira-kira untuk naikkan harga makan.

Saya sempat menanyakan tauke kedai yang selalu saya panggil beliau pakcik. " Pakcik nak naikkan harga makanan ke?

"Ye, pakcik kena naikkan juga, sebab pakcik ambil barang dengan harga baru. Misalnya telur ayam, Ahad lepas harga RM8.90 sepapan hari ni dah jadi RM10.00 lebih. Peniaga yang naikkan harga, pakcik pun kena naikkan harga makan juga," luah pakcik kedai makan itu.

Saya tidak berkata apa-apa, cuma mengangguk apa yang diluakan pakcik itu, beliaupun pada hakikatnya tidak mahu naikkan harga supaya ramai pelanggan datang ke kedainya.

"Pakcik suka bila harga murah, nanti ramai yang datang ke kedai pakcik. Tapi kalau pakcik tak naik harga nanti pakcik rugi sebab peniaga sudah mula naikkan harga," katanya yang kelihatan bersalah kepada saya dan rakan-rakan.

Situasi yang hampir sama dengan seorang peniaga van goreng pisang dan air kelapa yang melahirkan pendapat seperti pakcik itu.

Beliau pun sedang berkira-kira untuk naikkan harga makanan yang dijualnya termasuklah mee goreng yang mana sebelum ini dijual RM2.00 akan dinaikkan kepada RM2.50.

"Telur dan bawang mahal sangat, kami pun terpaksa naikkan harga. Hari ini masih harga biasa lagi mungkin esok lusa kami naikkan," ujar kakak itu yang turut dibantu oleh suaminya.

Ternyatalah, kesan kenaikan harga minyak cukup membebankan rakyat hari ini. Kenaikan harga minyak memberi kesan berantai yang akan menaikan keseluruhan harga barang keperluan, pengangkutan dan perkhidmatan.

Namun, ada sesetengah mereka yang seolah-olah tidak berasa apa-apa dengan kenaikan 20 sen itu, malah mereka sependapat dengan  kerajaan kononya untuk memulihkan ekonomi.

Mungkin kesedaran di pihak mereka agak rendah, walhal banyak lagi langah-langkah yang bijak boleh dilaksanakan kerajaan tanpa melibatkan ekonomi rakyat.

Ada di kalangan pakar ekonomi pun turut membidas kerajaan, mereka yang boros berbelanja tidak ingat 'dunia' alih-laih rakyat juga jadi mangsa.

Paling melucukan ada sesetengah mereka tidak tahu pemotongan subsidi minyak 20 sen oleh kerajaan sebenarnya kerajaan mengutip semula 20 sen  itu daripada rakyat dengan seliter minyak. Kalau berliter-liter? Tidakkah banyak tu?

Janganlah tengok kepada harga yang dibayar. Memanglah kita akan membayar harga minyak RM10 sehari, tetapi jumlah liternya berkurang. Kalau dulu RM10 kita dapat 5.263 liter, hari ini dengan kenaikan 20 sen kita akan dapat 4.762 liter.

Ini berbeza dengan kenaikan harga barang seperti gula yang dibayar pada harga sekilo gula, jumlah kilogram gula tidak berubah tetapi harga berubah. Contohnya dulu kita bayar RM2.30 kini kita bayar RM2.50 untuk sekilo gula.

Tetapi dalam kes kenaikan minyak ini, seolah-olah pengguna tidak nampak berlakunya kenaikan kerana mereka masih membayar dengan harga minima RM10 sehari. Kalau harga naik lagi, para pemandu akan tetap membayar dengan harga minima itu walaupun liter minyak terus berkurang.

Malaysia masih perlu ‘merdeka’ daripada Umno

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, 04 Sep 2013
Sememangnya Malaysia sudah merdeka, tapi masih perlu bebas daripada Umno BN. Sejarah menceritakan segala-galanya. Jika sejarah diteliti, kita akan dapati bahawa Umno BN ini sebenarnya bukanlah parti orang Melayu, tetapi Parti British berbangsa Melayu. Orang-orang Melayu diperalat untuk kepentingan “pewaris” takhta penjajah ini.

Mereka gagal mempertahankan kepentingan orang Malayu. Perlembagaan yang kita guna pada hari ini, segala akta draconian yang dilaksanakan, sebenarnya adalah antara warisan penjajah yang sangat hebat dipertahankan oleh Umno BN. Tulisan jawi dihapuskan, Bahasa Inggeris dimartabatkan, malah terus-menerus diam dalam menyatakan ketegasan terhadap isu Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Mesir.

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit untuk satu lagi perjuangan kebebasan, iaitu perjuangan membebaskan Malaysia daripada Umno BN. Mereka adalah petualang di muka bumi ini. Rakyat dizalimi dan ditindas. Paling ketara, maruah rakyat tergadai dek RM500, sedang kepahitan yang ditanggung adalah 5 tahun lamanya. Selama 55 tahun merdeka, nilai kepentingan rakyat di sisi Umno BN hanyalah RM500, itupun digula-gulakan.

Hakikatnya, penderitaan yang dialami oleh rakyat sudah lama bermula. Kini, ianya semakin bertambah. Kenaikan harga barang, pelbagai cukai dikenakan kepada rakyat bahkan hak untuk mendapatkan biasiswa kini menjadi punca utama anak muda berdepan dengan risiko muflis.

Sistem pendidikan negara kucar-kacir, bermula dengan penghapusan tulisan jawi (tulisan asal bahasa ibunda), memartabatkan Bahasa Penjajah, kini dengan pelbagai sistem yang karut menyebabkan potensi anak-anak merosot dan membimbangkan. Tidak kurang, tumbuh pula bagai cendawan pusat perniagaan ilmu, iaitu universiti yang hanya memikirkan tentang keuntungan.

Terbaru, kenaikan harga minyak yang mendadak, sebanyak 20 sen seliter. Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Automotive Association, pada 2010 ialah sebanyak 536,905 buah kenderaan. Jika diambil purata setiap kenderaan (termasuk kenderaan berat) menggunakan hanya 10 liter sehari, maka jumlah kenaikan harga minyak ini mencecah RM1 juta sehari.

Kenaikan harga minyak bukanlah isu utama yang membangkitkan kemarahan rakyat, namun isu utama yang sebenar ialah kelemahan dan kegagalan urus tadbir negara yang sangat membimbangkan. Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, dalam masa yang sama Malaysia juga gagal mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

Pelbagai sektor utama seperti penyelidikan dan pendidikan tidak diberikan bantuan secukupnya, sedangkan syarikat-syarikat besar tempatan dan luar negara dipelihara dengan sebaiknya, sehingga ada yang dikecualikan cukai selama 10 tahun.

Atas alasan apakah, rakyat Malaysia perlu menanggung beban hutang lebih setengah trilion akibat sifat boros dan kegagalan urustadbir Umno BN? Atas alasan apakah, rakyat terpaksa menanggung beban inflasi sedang pemimpin Kerajaan terus-menerus meningkatkan beban hutang Negara.

Tidak cukup dengan isu ekonomi, perpaduan Nasional juga teruk terjejas disebabkan oleh sentiment kebangsaan yang sangat tebal dalam Umno BN. Sejak Negara masih belum merdeka lagi, kita sudah pun menerima kaum cina dan india sebagai jiran.

Mengapakah tempoh yang begini lama masih belum dapat membuang prejudis dan prasangka antara kaum dan agama di Malaysia? Muncul pula filem “Tanda Putera”, seolah ingin menanam sejarah palsu yang hanya akan memanjangkan sengketa?

Jadilah kita bangsa Malaysia yang benar-benar merdeka, akal, jiwa, akal dan raga. Sudah sampai masanya kita bebaskan Malaysia daripada cengkaman Umno BN yang sama sekali tidak pernah simpati dengan nasib rakyat. Ayuh bangkit, selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

RM80b wang Petronas gagal tampung subsidi RON95

Ahmad Tajdid, 04 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter yang berkuat kuasa tengah malam, 3 September lalu menimbulkan tanda tanya berhubung keberkesanan dasar fiskal dan tabiat berbelanja kerajaan.

Tidak seperti negara-negara jiran (kecuali Indonesia) yang bukan negara pengeluar  minyak, kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa sebenarnya memberikan impak  positif kepada Malaysia memandangkan industri petroleum menjadi penyumbang besar  kepada ekonomi negara.

Sebagai contoh pada 2012, syarikat minyak negara, Petronas menyumbang RM80 bilion  (RM80,000 juta) kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

Jumlah ini merangkumi RM28 bilion (RM28,000 juta) pembayaran dividen, cukai (RM38.3  bilion), hasil kutipan petroleum atau 'petroleum proceeds' (RM12.5 bilion) dan duti  eksport (RM1.2 bilion).

Laporan Tahunan Petronas 2012 juga menyebut, sejak penubuhannya, Petronas telah  menyumbang sejumlah RM733 bilion kepada kerajaan persekutuan dan negeri. Ia juga  mencatat pelepasan pendapatan (foregone revenue) berjumlah RM182.8 bilion sejak  penyelarasan harga gas (regulated gas prices) dikuatkuasakan kerajaan mulai Mei 1997.  Sebagai contoh, pelepasan pendapatan Petronas membabitkan Pengeluar Tenaga Bebas  (IPP) yang membekalkan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) adalah  berjumlah RM9.5 bilion pada 2012 ataupun 71.9 bilion sejak 1997.

Hasil Petronas bagi tahun kewangan 2012 meningkat kepada RM291 bilion berbanding  RM288.5 bilion (2011), RM210.8 bilion (2010) dan RM264.2 bilion (2009).

Keuntungan sebelum cukai Petronas bagaimanapun menurun kepada RM119.9 bilion bagi  tahun kewangan 2012 berbanding RM103.8 bilion (2011). 

Bagi merasionalkan kenaikan harga RON95 dan gas, Perdana Menteri berkata, kerajaan  pimpinannya menjimatkan RM1.1 bilion pada tahun ini dan RM3.3 bilion wang negara pada  tahun hadapan.

Kenapa RON97 lebih murah daripada RON95 - Fomca

Selangorku, 04 Sep 2013
SHAH ALAM: Kerajaan perlu memberikan penjelasan kepada rakyat berkenaan harga Petrol RON97 yang lebih murah berbanding RON95, tegas Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

Menurut Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, rakyat keliru keadaan itu berlaku kerana harga RON 95 sepatutnya lebih murah jika kerajaan serius untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam pemberian subsidi bahan api itu.

“Keadaan itu menunjukkan kerajaan tidak telus dalam penstrukturan subsidinya,” kata Mohd Yusof ketika dihubungi TVSelangor.

Sebelum ini, harga bagi RON95 selepas dinaikkan sebanyak RM0.20 ialah RM2.10 seliter dicampur dengan subsidi sebanyak RM0.63 seliter, jadi jumlah harganya ialah RM2.73 seliter.

Manakala RON97 pula berharga RM2.70 seliter lebih berkualiti tapi lebih murah sebanyak RM0.03 seliter yang akan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM0.03 bagi seliter minyak diberikan subsidi.

Mohd Yusof berkata, tindakan kerajaan BN menaikkan harga sebanyak RM0.20 secara mendadak menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi sehingga menjejaskan kos sara hidup rakyat.

Katanya, kerajaan boleh melakukan secara berperingkat pada waktu tertentu agar kesannya tidak terlalu besar kepada kehidupan rakyat.

Tambah beliau, cadangan kerajaan memperkenalkan semula penggunaan RON92 adalah tindakan terkebelakang kerana jenis RON itu mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Kerajaan perlu mengekalkan RON95 dengan cara kerajaan mengambil langkah untuk mencari jalan penyelesaian agar harganya tidak menyusahkan rakyat memandangkan bahan bakar tersebut digunakan oleh kenderaan dari golongan berpendapatan rendah,” kata beliau.

Tiada ulasan: