Jumaat, 13 September 2013

BUANG MASA SATU HAL...ADA YANG KITA BUAT BERBENTUK SIA2 SAJA...MALAH TAK KURANGNYA JUGA MENJADI DOSA

Mantan Ketua Staf Dr.Mursi dibebaskan

http://greenboc.blogspot.com, 12 Sep 2013

Pihak pendakwa Mesir telah mengarahkan ketua kakitangan Pejabat Pentadbiran Mesir dibebaskan daripada tuduhan menghasut para demonstran sehingga menyebabkan keganasan di luar Istana Presiden Ittihadeya pada Disember tahun lalu.

Sumber Pejabat Kehakiman berkata, Rifaa al-Tahtawi, yang ditahan bersama-sama timbalannya Asaad Sheikha, selama lima belas hari, dibebaskan apabila kekurangan bukti.

“Pendakwa membebaskan Rifaa selepas mengambil kira beliau sebagai saksi kejadian dalam usaha menggulingkan Presiden Mohamed Mursi, 3 Julai lalu,” katanya seperti dilaporkan oleh AP.

Sementara itu, ratusan rakyat Mesir meneruskan protes menuntut pembebasan Mursi, yang digulingkan itu dan ahli-ahli Ikwanul Muslimin.

Mereka berarak di sekitar jalan utama sambil membawa sepanduk Rabia dan mengutuk rampasan kuasa di negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, dua serangan bom tercetus di Semenanjung Sinai yang merupakan pintu masuk militan asing ke Mesir.

Pegawai keselamatan berkata, serangan itu disasarkan ke arah tentera Mesir yang mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan Rafah-Israel.

“Letupan itu disasarkan ke ibu pejabat perisikan tentera Imam Ali di sempadan Rafah-Israel dan turut memecahkan tingkap bangunan lain dekat kawasan tersebut,” katanya. Beberapa minit kemudian, satu lagi letupan meranapkan pusat pemeriksaan tentera dekat kawasan terbabit.

Kisah Khalid Al Walid diberikan makanan beracun

http://mselim3.blogspot.com, 12 Sep 2013

Abu Ya'al,Baihaqi dan Abu Nu'aim pernah mendengar Abu Safar berkata: Waktu Khalid bin Walid berjaya menawan Kota Hira di Parsi , para sahabatnya menasihati dia supaya berhati-hati ketika makan, kerana orag-orang di Hira sering memberi racun kepada musuh mereka.
Tetapi Khalid bin Walid terus juga makan apa jua makanan yang diberikan kepadanya oleh musuh, walaupun makanan itu memang telah diracuni , tetapi Khalid bin Walid tidak mati akibatnya.
Khalid bin Walid hanya membaca "bismillah" sebelum makan. Al Kulbi bercerita: Ketika Khalifah Abu Bakar mengutus Khalid bin Walid ke Hira, dan pasukan islam berjaya menawannya, seorang ketua suku kaum di situ bernama Abdul Masih membawa makanan beracun untuk Khalid.
Walaupun beliau tahu adanya racun dalam makanan itu Khalid terus juga memakannya dengan membaca "Bismillah la yadhurru ma'as-mishi daak".
Abdul Masih tercengang melihat perbuatan Khalid itu, lalu dia pulang kepada kaumnya dan berkata: Hai kaumku, berdamailah dengan mereka. Aku sendiri lihat, ketua mereka makan racun tetapi tidak binasa.'
Ibnu Saad meriwayatkan dari Muharrib bin Dathar bahawa Khalid pernah diberitahu ada seorang lelaki di tengah tenteranya yang membawa khamar (arak) sebagai bekal.
Bila Khalid mencari dan bertemu dengan orang itu, dia bertanya : "Apakah yang kamu bawa dalam bekas airmu?"Orang itu menjawab:"Cuka".
Khalid pun berdoa: Ya Allah jadikanlah ia cuka ! Bila orang itu membuka tempat airnya dia melihat khamar (arak) di dalamnya telah menjadi cuka.
Sumber : Buku "Siapa Wali" Halaman 78-79

Allah yang naikkan harga barang?!

http://drmaza.com, 12 Sep 2013
ALLAH YANG NAIKKAN HARGA BARANG?!
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah’ muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan. Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.

Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.


Akidah

Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.

Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.

Usaha

Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.

Takdir

Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:
Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).

Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya)
“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.

Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.

Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.


Maksud Hadis
Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata:
“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:
“Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).

Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.

Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:
“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.

Kenapa pemutihan pendatang tanpa izin gagal?

Ahmad Hamdan,
Suka untuk saya ringkaskan bahawa usaha pihak kerajaan untuk membanteras pendatang asing tanpa izin yang sudah dan sedang dijalankan akan gagal. Percayalah apa yang saya katakan ini.

Kenapa?

Sikap pihak Jabatan Imigresen dan badan penguatkuasa lain yang hanya mensasarkan lokasi seperti kawasan pembinaan, kilang-kilang kecil, pasar borong dan kediaman tidak akan memberi kesan positif dalam usaha mengurangkan pendatang tanpa asing di negara kita.

Saya memandang perkara ini dari pengalaman saya sendiri yang pernah bekerja di sebuah syarikat pengeluaran barangan elektrik bertaraf antarabangsa.

Sepanjang saya bekerja, tidak pernah walau sekalipun syarikat ini ini di serbu oleh badan penguatkuasa kerana pada mereka "mustahil syarikat antarabangsa mengambil pendatang asing bekerja".

Mustahil bagi mereka, tidak mustahil bagi majikan.

Di dalam syarikat tersebut, tiada seorang pun pegawai dari bahagian Sumber Manusia yang faham tentang undang-undang pengambilan pekerja asing jadi jalan termudah adalah dengan melantik agensi pekerjaan untuk mengurus dan mencari pekerja asing.

Percaya atau tidak, hampir 80% dari pekerja asing bekerja di syarikat yang pernah saya bekerja itu adalah pendatang asing tanpa izin yang di kendalikan oleh agensi pekerjaan!

Pihak syarikat melakukan pembayaran gaji kepada agensi pekerjaan dan segala urusan diuruskan oleh agensi pekerjaan tersebut.

Bukan sekadar pekerja di bahagian pengeluaran, bahkan pengawal keselamatan juga terdiri dari pendatang asing yang diragui status permit pekerjaannya.

Kenapa sebegitu berani?

Memandangkan syarikat tersebut adalah syarikat bertaraf antarabangsa, maka pihak berwajib menganggap semua urusan pengambilan pekerja asing adalah melalui urusan yang sah.

Agensi pekerjaan pula mengambil kesempatan di atas kealpaan syarikat tersebut dan agensi pekerjaan juga merasakan adalah lebih 'selamat' kerana status 'antarabangsa' yang ada.

Oleh kerana itu, saya katakan operasi pembanterasan pendatang asing tanpa izin akan gagal, sama seperti operasi yang lepas-lepas kecualilah jika pihak Imigresen mahu membuat siasatan terperinci.

Taklimat pelajar Mesir: Ibu bapa anggap buang masa

Harakahdaily, 12 Sep 2013


PUTRAJAYA: “Buang masa kita je hari ni,” kata seorang bapa yang datang dari Terengganu ke sesi taklimat dan perjumpaan pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Mesir bersama pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan-badan profesional di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Bukan seorang dua ibu bapa atau penjaga pelajar yang bersungut demikian, bahkan rata-rata menyatakan rasa tidak puas hati dengan taklimat yang diadakan itu.

Antara luahan mereka, “tak selesai masalah, kalau macam ni tak payah datang, kita dah tahu kalau macam ni, sia-sia saja datang, sekadar lepas batuk di tangga” dan lain-lain lagi yang membayangkan kekesalan mereka yang datang dari seluruh negara.

Tempat taklimat dan perjumpaan yang diadakan di Dewan Zaaba mencetuskan rasa kekecewaan pertama mereka kerana tidak dapat menampung ribuan para hadirin.

Ini menyebabkan sebahagian besar mereka mendengar taklimat di luar dewan melalui pembesar suara yang diletakkan di situ dalam keadaan berdiri, tidak kurang juga ibu bapa dan pelajar berada di tempat lain.

Bagi mereka, sepatutnya pihak KPM yang menyedari ribuan pelajar yang pulang dari Mesir menyediakan tempat yang lebih selesa seperti Pusat Konvenyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Walaupun taklimat dan perjumpaan itu terpaksa diadakan dua sesi kerana saiz dewan yang tidak boleh menampung jumlah hadirin, namun pada sesi kedua juga ramai yang terpaksa berada di luar.

Bagaimanapun, kekesalan besar para hadirin apabila masalah yang dihadapi oleh para pelajar ekoran konflik di Mesir yang masih belum reda tidak mendapat penjelasan lanjut daripada pihak KPM.

Perkara utama yang mereka mahu tahu ialah apakah penyelesaian kepada para pelajar berkenaan terutama untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Kementerian dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan taklimat dan perjumpaan tersebut bagi menawarkan bidang pengajian perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam sebagai satu platform bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat jika mereka berminat untuk meneruskan pengajian di negara ini.

Tiada ulasan: