Pertahan kampung tradisi, 12 ditahan
Hazayani Zakaria, | 12 Sep 2013 |
Mereka ditahan pagi tadi kerana didakwa menganggu kerja polis sewaktu polis menghalang mereka daripada terus berada di tanah persendirian yang dikatakan milik pemaju perumahan, Mega Nine.
Menurut aktivis Jerit, E. Parameiswary, 40 keluarga di kampung tradisi Cina itu cuba menghalang pemaju perumahan daripada meneruskan projek kerana kes itu masih dalam rayuan.
"Penduduk bawa kes ini ke mahkamah tapi kalah dan penduduk buat rayuan di Mahkamah Rayuan. Jadi kes ini masih kes mahkamah, pemaju sudah mula robohkan rumah mereka," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaiy hari ini.
Parameiswary juga berkata, penahanan itu tida sah kerana orang yang ditahan tidak dimaklumkan sebab mereka ditahan.
"Polis tak bagitahu sebab ditangkap cuma bagitahu mereka menghalang kerja polis. Ini pengakapan yang tidak sah," katanya yang masih berada di balai polis menunggu pegawai penyiasat dari IPD Nilai untuk menyoal siasat mereka.
Sultan Qutuz dan kenaikan harga minyak
Majdan Dagang, | 12 Sep 2013 |
Nama Sultan Qutuz atau Sultan Muzaffar Saifuddin al-Qutuz tidaklah sepopular Sultan Salahuddin al-Ayubi atau Sultan Muhamad al-Fateh. Namun, sumbangannya terhadap Islam tidak kurang hebatnya.
Secara umumnya, ramai yang biasa mendengar dan membaca tentang empayar Mongol, kehebatan tentera Tartar dan kejatuhan kota raya Baghdad. Tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang peperangan Ain Jalut yang mengakhiri kemaraan tentera tartar di wilayah Islam.
Pemimpin utama di pihak Islam yang berjaya menyekat tentera tartar tersebut ialah Sultan al-Qutuz. Lebih jauh lagi, ramai yang tidak tahu suatu kisah penting yang berlaku dalam kerajaannya sebelum peperangan berlaku.
Ketika itu kota Baghdad telahpun jatuh ke tangan Tartar. Mesir yang diperintah oleh Sultan Qutuz turut berasa bahangnya. Jika baginda tidak bersiap sedia dari awal, nescaya Mesir akan mengalami nasib yang sama dengan wilayah Islam yang lain.
Oleh hal yang demikian Sultan Qutuz membuat keputusan untuk memungut cukai tambahan daripada rakyat untuk digunakan mempersiapkan bala tentera. Namun, keputusan itu ditentang oleh seorang ulama iaitu `al-`Izz ibn `Abdis Salam.
Al-Izz berpendapat bahawa sebelum sebarang cukai dipungut daripada rakyat mestilah terlebih dahulu segala harta di perbendaharaan negara digunakan. Jika tidak cukup, barang-barang dan harta baginda hendaklah digunakan atau dijual. Kemudian segala harta menteri dan pembesar negara turut digunakan. Jika itu juga tidak mencukupi barulah rakyat dikenakan cukai bagi membiayai peperangan tersebut.
Sultan Qutuz akhirnya akur dengan nasihat yang diberikan dan baginda akhirnya berjaya menewaskan tentera tartar daripada meneruskan niat menakluki wilayah Islam yang lain. Demikianlah, bagi saya kejayaan Sultan Qutuz ini ada kaitannya dengan sikap hormatnya kepada ulama yang jujur dan ikhlas dan sokongan padu daripada rakyat jelata.
Berbalik kepada situasi kita di Malaysia pada hari ini, adakah apa-apa pengajaran yang dapat kita kutip daripada kisah Sultan Qutuz? Bukankah kisah ini sering dijadikan bahan kuliah dan ceramah oleh para agamawan? Jika tiada apa-apa iktibar yang boleh dipelajari amatlah malang bagi umat Islam di Malaysia khusus para pemimpin.
Hal ini kerana, kisah sejarah ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam suasana perang sekalipun, bukan semudah itu kerajaan dan pemerintah boleh mengenakan dan menaikkan cukai atas alasan kemaslahatan negara. Dibimbangi, pemungutan cukai atau kenaikan harga itu menjadi haram pula!
Apatah lagi kita di Malaysia pada hari ini tidak berperang dengan sesiapapun dan mendakwa ekonomi Malaysia dalam suasana yang kondusif. Maka amatlah tidak wajar mengurangkan subsidi rakyat pula dan menaikkan harga minyak atas alasan harganya lebih rendah berbanding negara jiran!
Hakikatnya, kerajaan Malaysia tiada alasan untuk menaikkan harga minyak dalam suasana harga minyak dunia yang tidak naik dan pada masa yang sama negara kita dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai sumber alam seperti petroleum, gas, emas, bijih besi dan berbagai lagi. Pendapatan negara hasil daripada eksport semua bahan-bahan tersebut sepatutnya tidak menjadikan Malaysia sebuah negara yang tinggi hutangnya dan miskin rakyatnya.
Bahkan, saya yakin jika semua hasil bumi dan pendapatan negara diuruskan dengan penuh amanah harga minyak petrol mungkin tidak sampai RM1 pun bagi setiap liter! Yang berlaku hari ini ialah ketirisan dan pemborosan terhadap hasil mahsul negara.
Janganlah merendah-rendahkan pemikiran rakyat dengan mencipta alasan yang remeh-temeh. Harga minyak boleh dinaikkan jika atas sebab-sebab darurat dan selepas elaun dan gaji segala menteri dipotong!
Masalahnya, adakah pemimpin Malaysia hari ini tahu tentang kisah Sultan Qutuz tersebut. Jika tahu, adakah mereka sanggup mengikutinya? Tepuk dada tanya Selera!
Serangan bom beracun di Syria
Harakahdaily, | 12 Sep 2013 |
Insiden berlaku berhampiran balai polis daerah Jobar, dan menyebabkan beberapa kecederaan.
Difahamkan bom tersebut mengandungi bahan klorin yang menyebabkan lemas, sawan dan berpeluh yang melampau.
Shaam News Network (SNN) melaporkan serangan itu menyebabkan penduduk di kawasan tersebut panik dan segera menyelamatkan diri.
Mereka khuatir bahan kimia akan dibebaskan sekali lagi di kawasan itu, mengulangi insiden serangan senjata kimia di kawasan itu oleh rejim Assad tiga minggu lalu.
Pertembungan yang berterusan sedang berlaku antara Rejim Assad dengan Mujahideen FSA di kawasan itu di selatan berhampiran Bandar Zamalka, Daerah Jobar dan barisan hadapan Abbasiyeen.
Tentera rejim juga telah membuat serangan di kawasan tersebut dengan meriam.
Serangan kimia tinga minggu lalu menyebabkan Amerika mengugut untuk campur tangan menyerang Syria.
"Penyelesaian" yang kononnya atas dasar "diplomatik" ekoran inssiden itu yang dibuat Rusia dan disokong Amerika Syarikat dilihat tidak mendatangkan sebarang faedah apabila senjata kimia terus digunakan.
Penyelesaian yang dicadangkan sebelum ini adalah menggesa rejim Assad untuk memindahkan senjata kimia mereka, bagi mengelakkan serangan dilakukan ke atas Syria oleh Amerika Syarikat dan masyarakat Antarabangsa.
Penarafan kredit: Kegagalan kerajaan, rakyat pula dihukum
Salmiyah Harun , | 12 Sep 2013 |
Katanya, kegagalan ini kerana keborosan budaya berhutang yang menjadi amalan kerajaan Umno BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian, ekoran kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang mendakwa kenaikan harga minyak langkah awal menghalang 'credit rating' atau penarafan kredit negara dari terus jatuh.
Mengulas lanjut perkara itu, Rafizi berkata, penarafan kredit adalah untuk memberi gambaran keutamaan terhadap kewangan sesebuah negara.
Jelasnya, penurunan taraf kewangan Malaysia kerana hutang lebih mahal dan interest lebih tinggi.
"Kenyataan menteri berkenaan mengesahkan kritikan bahawa BN gagal tadbir ekonomi dengan baik sehingga kewangan negara terjejas," katanya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, budaya berhutang selama lima tahun berturut-turut oleh kerajaan akan memberi kesan kepada penarafan kredit.
Masalahnya sekarang, kata Rafizi, kerajaan BN pula menghukum rakyat dengan memotong subsidi minyak untuk menghalang penarafan kredit terus jatuh.
"Ekonomi jatuh berpunca kegagalan kerajaan, mereka perlu pilih sama ada berhenti kerja atau buang amalan boros," katanya.
Justeru, katanya apa yang dijelaskan oleh Pakatan Rakyat selama ini adalah benar bahawa masalah kewangan negara semakin tidak stabil ekoran keborosan kerajaan melampau.
Penarafan kredit atau credit rating adalah penilaian ke atas kemampuan penghutang membayar semula hutang tersebut.
Credit rating dijalankan ke atas negara dan juga syarikat yang menerbitkan sekuriti hutang seperti bon dan sukuk (hutang) untuk membiayai perbelanjaan operasi sesebuah negara atau syarikat tersebut.
Credit rating ini dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit atau Credit Rating Agency seperti Standard & Poor's, Moody's, Fitch Ratings dan banyak lagi credit rating agencies yang lain.
Kudeta Mesir larang ulama berkhutbah di masjid
Harakahdaily, | 12 Sep 2013 |
MESIR: Kerajaan kudeta Mesir mengeluarkan larangan baru terhadap pendakwah bebas dan ulama yang disebut "tidak berlesen" dari menyampaikan khutbah atau mengajar di masjid di negara itu.
Menteri Wakaf Mohamed Mokhtar Gomaa berkata, seramai lebih 55,000 ulamak akan dihalang dari menyampaikan dakwah mereka di masjid-masjid sebagai tindakan terbaru mengekang kebangkitan penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi.
Menurutnya, ulama tidak berlesen dianggap ahli fundamentalis serta menjadi satu ancaman kepada keselamatan Mesir.
Reuters menyebut larangan itu menyasarkan masjid-masjid kecil yang tidak berlesen atau kawasan sembahyang secara rambang. Idea ini adalah untuk menyebarkan mesej tentang Islam secara sederhana dan menjauhkan orang Mesir dari idea radikal.
"Keputusan ini adalah supaya proses dakwah hanya dibolehkan semasa sembahyang Jumat berjemaah dan hanya mereka yang berkuasa sahaja boleh melakukannya," kata Gomaa.
Sejak rampasan kuasa 3 Julai lalu, pelbagai tekanan dikenakan terhadap kumpulan ulama yang dilihat cenderung menyokong Morsi dan membantah tindakan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang diketuai Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi.
Pihak berkuasa menjadikan ulama, pemimpin Ikhwan serta aktivis Islam sebagai sasaran dalam usaha mengekang penentangan terhadap rampasan kuasa.
Lebih daripada 2,000 aktivis-aktivis Islam telah ditahan dan kebanyakan pemimpin daripada Ikhwan Muslimin, termasuk Mursi, dipenjarakan atas dakwaan menghasut atau mengambil bahagian dalam keganasan.
Pihak berkuasa pimpinan tentera menuduh Ikhwan Muslimin sebagai satu kumpulan pengganas dan perbincangan sedang dijalankan mengenai kemungkinan mengharamkannya.
Ranking: Universiti perlu suntik nilai keilmuan Islam
Anis Nazri, | 12 Sep 2013 |
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata dalam tradisi ilmu Islam, kejayaan bukan sahaja pada segi produk yang bersifat benda, bahkan kejayaan membangunkan tamadun dunia dengan akhlak yang terpuji.
"Kita percaya bahawa tokoh-tokoh zaman seperti Imam al-Ghazali, Ibnu Sina, al Farobi dan lain-lainnya adalah lahir daripada institusi pendidikan yang hebat di bawah bimbingan mahaguru yang hebat.
"Ketika barat masih dalam kegelapan, dunia Islam mempunyai universiti dan perpustakaan yang besar seperti yang terdapat di Darul Hikmah, Baghdad ketika zaman khalifah al-Makmun Abbassiyah), juga di Mesir pada zaman Salahudin al-Ayubi," kata beliau kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kemerosotan ranking universiti awam di Malaysia bagi 2013.
Tambah beliau, pihak kerajaan dan universiti-universiti hendaklah mengambil kira kelebihan yang ada pada universiti yang ada, dalam mencapai hasrat membangunkan sumber dan manusia, khususnya dalam konteks penyenaraian ranking universiti terbaik dunia.
Katanya, biarpun Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon mengatakan universiti di Malaysia belum bersedia bagi memasuki universiti terbaik dunia, syarat untuk disenaraikan di bawah QS adalah lebih terbuka dan lebih munasabah.
Katanya, kita seharusnya berusaha mencapai tahap kemajuan yang tinggi dalam bidang keilmuan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia bersesuaian dengan kelebihan yang ada di universiti awam negara.
Justeru, katanya semua pihak perlu melihat kembali sejarah kegemilangan Islam dalam melahirkan ilmuan-ilmuan yang berketrampilan dalam pelbagai bidang seperti astronomi, kedoktoran dan juga saintis.
"Dalam mengejar ranking terbaik, kemajuan dalam bidang keilmuan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia itu perlu ditumpukan dengan menyuntik kembali nilai-nilai keilmuan Islam yang gemilang, yang mampu membentuk tamadun gemilang," tegas beliau lagi.
Baru-baru ini, dalam kedudukan 'QS World University Rankings 2013/14', universiti terbaik di Malaysia iaitu UM jatuh 11 anak tangga dari kedudukan 156 pada 2012 kepada 167 pada tahun ini.
Selain UM, universiti lain ternyata masih jauh ketinggalan dan dilihat tidak berdaya saing dan maju untuk menempatkan diri dalam senarai universiti terbaik dunia.
Ancaman dajal moden & wanita liberal!
Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, | 12 Sep 2013 |
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih al-Dajal“.
Rasulullah SAW telah berwasiat dalam hadisnya agar kita meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada fitnah dajal diakhir tahiyyat setiap kali menunaikan solat. Dajal yang ditakuti itu akan muncul pada akhir zaman, sebagai salah satu dari tanda-tanda kiamat yang besar. Pada waktu itu ramai manusia yang tidak beriman atau yang goyah imannya di atas dunia ini akan menjadi pengikutnya, mempercayai bahawa ia adalah tuhan.
Menurut Rasulullah SAW juga, dajjal yang buta sebelah matanya tetapi mempunyai kuasa-kuasa misteri yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Dia boleh mendengar dengan telinganya apa yang diucapkan di hujung dunia sana, boleh melihat dengan mata sebelahnya itu apa yang berlaku dalam dunia ini, dia boleh berjalan mengelilingi dunia dalam masa beberapa hari sahaja, boleh mengeluarkan khazanah-khazanah seperti emas dan perak dari perut bumi dengan mudahnya, boleh menurunkan hujan dan menumbuhkan tanam-tanaman, boleh memati dan menghidupkan kembali orang yang telah mati. [Lihat: Nihayah Al-Aalam 249]
Dari Hudzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Dajjal ialah orang yang buta sebelah matanya iaitu sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya yang kerinting serta dia membawa Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka bagi orang Islam dan beriman kepada Allah SWT.” [Hadis riwayat Muslim].
Maka sesiapa yang lemah imannya akan percaya bahawa dia adalah tuhan yang sebenarnya dan akan sujud patuh mengikut perintahnya, tapi sebaliknya orang yang kuat imannya akan dapat membaca tulisan di dahinya: ‘kaf, fa, ra’, iaitu kafir, dan mereka yakin bahawa ia hanyalah satu penipuan untuk menguji keimanan manusia.
Daripada Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada seorang nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa dajal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis “kaaf”, “faa”, “raa”. [Hadis riwayat Muslim].
Walaupun dajal sebenar dengan segala macam fitnah yang akan dibawanya akan muncul di akhir zaman sewaktu hampirnya kiamat, namun Rasulullah SAW telah mengajar umatnya agar beramal dengan doa tersebut, mungkin kerana sebelum itu akan ada fitnah-fitnah –semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua darinya- yang serupa dengannya walaupun lebih kecil berbanding dengan fitnah dajjal yang hakiki.
Dajal Moden
Kali ini kita akan melihat perspektif tentang dajal moden ini melalui hasil perbincangan di antara Syeikh Ibnu Bulaihid – yang merupakan tumpuan orang-orang Badwi di Najdi dan penduduk sekitarnya yang mahu belajar dan mendengar ilmu darinya – dengan seorang penulis yang terkenal di Arab Saudi iaitu Muhammad Asad yang berasal dari Austria.
Beliau datang ke Saudi pada zaman pemerintahan Al-Malik Abdul Aziz dan merupakan seorang sahabat Almarhum yang sangat dihormatinya. Beliau mencatatkan perbincangan tersebut dalam bukunya yang masyhur: ‘The Road to Mecca (Makkah)’.
Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul: ‘At-Torik Ila al-Islam’. Dengan pengalamannya sebagai orang barat (Western man) yang non-Muslim sebelum ini, beliau mengibaratkan huraian dajal yang disebutkan di dalam hadis itu sebagai satu huraian yang menepati tentang kemajuan teknologi dunia moden hari ini (sebelum datangnya dajjal akhir zaman yang hakiki). Iaitu tentang kehidupan manusia hari ini yang telah luput maruahnya, hilang segala pertimbangan dan kaitan dengan asal-usul kejadiannya.
Katanya: “Tidakkah huraian dajal di dalam hadis Rasulullah di atas tadi begitu jelas sebagai satu penghuraian yang tepat tentang kemajuan teknologi moden hari ini?
1. Ia bermata satu, iaitu hanya melihat kepada satu aspek kehidupan sahaja iaitu kemajuan / perkembangan material (material progress), ia tidak peduli akan perkembangan rohani (spiritual side).
2. Dengan bantuan mesin / alat-alat ciptaan yang canggih membolehkan manusia melihat dan mendengar tanpa batasan melebihi kemampuan semula jadinya, juga boleh melalui jarak atau sempadan yang tidak terhad dalam masa yang singkat. Ini terbukti dengan ciptaan telefon, kapal terbang, jet, satelit, internet dan sebagainya.
3. Kemajuan sains juga boleh mengadakan hujan tiruan, menumbuhkan tanaman dengan cepat dan mengeluarkan khazanah-khazanah yang tidak disangka dari perut bumi seperti emas, perak, bijih dan minyak dari dasar laut tanpa apa-apa kesukaran.
4. Teknologi perubatan pula boleh menyembuhkan orang sakit tenat yang seolah-olah telah mati, manakala peperangan dengan alat-alat canggih yang dicipta melalui sains moden (contohnya bom nuklear) boleh memusnahkan banyak nyawa manusia dalam masa yang singkat sahaja.
Kemajuan dan kecanggihan material ini sungguh memukau dan berkuasa sehinggakan orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan mempercayai itulah tuhan dalam bentuknya. Inilah yang dikatakan bertuhankan wang, emas dan kehidupan semata-mata untuk mengejar kepuasan nafsu kebendaan dan material. Bukannya menyedari dan menginsafi bahawa kemajuan tamadun (civilization) manusia serta perkembangan teknologi dan sains itu adalah anugerah dari tuhan, tetapi sebaliknya semakin ramai manusia di dalam kejahilan mereka mula memikirkan bahawa itulah akhir hala tujunya dan sesuatu yang wajar diburu dan dipuja.
Tetapi mereka yang sedar akan Penciptanya, tujuan kewujudannya di dunia ini, akan bertambah kuat imannya dan sesungguhnya jika mengikut dajal bererti menafikan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Atas kesedaran erti dajal inilah juga antara sebab-sebab yang membawanya ramai manusia kepada Islam, Ad-Din yang haqiqi. Bagi yang celik, kehidupan kafir Barat telah menjadi satu dunia kehidupan dajal yang memukau dan menyesatkan.
Kemajuan ini tidak mampu lagi mengadakan satu keseimbangan di antara keperluan fizikal manusia, kehidupan masyarakat dan keinginan rohaninya. Etika keagamaan tiada langsung kepentingan di dalam kamus hidupnya, bahkan hanya dikira sebagai satu muzik latar yang menenangkan, boleh untuk menemani tetapi tidak sesekali untuk mempengaruhi kehidupan ‘sebenar’ mereka.
Kehilangan segala pedoman agama, mereka tidak mendapat faedah dari segi moral akan cahaya ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh kemajuan sainsnya yang agung itu.
Ayat al-Quran ini sangat sesuai sekali bagi menghurai keadaan mereka itu:
“Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan membiarkan mereka di dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu, buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Baqarah : ayat 17-18).
Kerana buta dalam keangkuhan inilah yang meyakinkan mereka bahawa hanya kemajuan tamadun merekalah yang akan membawa cahaya dan kebahagian dalam kehidupan di dunia ini. Mereka menyebarkan slogan materialistik “Western way of life”, satu kepercayaan bahawa semua masalah kehidupan manusia di dunia ini boleh diselesaikan dikilang-kilang, makmal-makmal dan dengan perangkaan statistik semata-mata.
Wanita dan Dajal
Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa di akhir zaman nanti kaum wanita adalah yang paling ramai lari keluar mengikut dajal.
Rasulullah SAW juga telah bersabda:
“Dajal akan turun dari daerah dataran bergaram yang bernama Marriqanah. Yang paling ramai akan menjadi pengikutnya adalah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki akan bersegera pulang ke rumahnya untuk melihat/menjaga isteri, ibu, anak perempuan, saudara perempuan dan ibu saudaranya, kemudian diikatnya mereka kerana bimbang jika mereka keluar (lalu) bertemu Dajal dan menjadi pengikutnya.” [HR. Ahmad (7/190) dan disahihkan oleh Ahmad Syakir].
Akhir zaman itu telah tiba sekarang. Ini sekali lagi bertepatan dengan fenomena manusia hari ini, di mana kaum wanita tidak lagi lekat diam di rumah, tetapi turut keluar dari rumah dengan pelbagai tugasan dan tujuan, samada yang harus atau tidak. Tetapi tidak dapat dinafikan keluarnya wanita dari rumah hari ini adalah lebih banyak menjurus kepada kesan negatif daripada yang positif.
Di tengah perpecahan dan keruntuhan dunia Islam sekarang ini, kita dapat menyaksikan betapa banyaknya kekuasaan yang hendak menarik, sekaligus mengeluarkan wanita dari agama dan Syariat Nabinya ke jalan yang amat jauh dari jalan yang diredhai Allah, diantaranya adalah lantangnya suara seruan kepada kebebasan wanita.
Lalu keluarlah kaum wanita ini yang kononnya disokong oleh mereka yang berfikiran liberal, menuntut dan memperjuangkan sesuatu yang diluar fitrah dan tabie kejadian mereka. Para penyeru kebebasan wanita mutakhir ini, bertambah lantang dan berani, berusaha sedaya upaya menodai kehormatan dan kedudukan para wanita yang telah diangkat oleh Islam.
Semua ini pada umumnya adalah untuk menyeret wanita supaya mempunyai kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki, agar wanita meninggal serta menanggalkan hijab (pakaian dan tudung) muslimahnya, agar wanita bekerja di sektor-sektor pekerjaan yang dulunya khas untuk kaum lelaki, agar wanita berhias secantik mungkin, agar bertambah ayu, seksi, feminin dan menawan ketika keluar dari rumahnya.
Mereka para pejuang kebebasan wanita ini mahu agar para wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam segala bidang kehidupan, baik dalam pendidikan, pekerjaan, ekonomi mahupun dalam pemerintahan.
Sedangkan hak wanita sudah amat sempurna di dalam Islam. Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Panduan umum al-Quran dan al-Sunnah terhadap kedudukan wanita adalah sama dengan lelaki dari segi kemanusiaannya, iaitu kedua-duanya mempunyai sama hak dan sama kewajipan dalam melaksanakan tugas-tugas agama sebagaimana firman Allah Taala:
“Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa.” (Surah al-Nisa’ : ayat 1).
Hak-hak ini semua tidak terdapat dalam fahaman mereka yang menamakan dirinya “fahaman moden”, yang menyeru ‘Kebebasan Wanita’ itu. (Bahkan sebaliknya) mereka mengatakan bahawa Islam menghilangkan hak-hak wanita dan memenjarakannya di dalam rumah.
Apakah kerana Islam tidak menjadikan wanita sebagai “barangan murah” yang dapat dinikmati oleh setiap pandangan mata dan pemuas nafsu mereka yang rosak moral itu? Inikah kebebasan yang mereka perjuangkan? Dan inikah hak yang mereka tuntut?
Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW:
“Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnah kaum wanita.” [HR Muslim].
Maka dengan itu dajjal moden telah muncul untuk menguasai nafsu manusia. Manusia sudah mulai melangkah, bertindak sendiri merealisasikan segala tanda-tanda yang disebut oleh Rasulullah SAW itu.
Sekali lagi marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi dan diselamatkan dari fitnah dajal ini, sama ada yang nyata iaitu Dajal yang hakiki atau dalam apa-apa bentuk penjelmaannya sekalipun. Sesunguhnya ia adalah satu fitnah yang amat dahsyat! Amin.
http://www.abuanasmadani.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan