Isnin, 4 Februari 2013

ADA YANG TAK TERASA PATUKAN SEBAB IA BELUM MASUK PAS....ATAU MASA PATUKAN IA PUN BELUM LAHIR....MANA NAK RASA SAKIT...ATAU PALING TERUK IA LANGSUNG TAK MASUK PAS...CAKAP AJE BANYAK

"PAS tidak akan dipatuk dari lubang yang sama lagi"

Salmiyah Harun, 03 Feb 2013


(Ustaz Abdul Hadi berucap dengan penuh semangat hari ini di depan muka-muka baru yang menyertai dan menyokong PAS)

AMPANG: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan jaminan tidak akan mengkhianati amanah rakyat untuk terus kekal bersama dengan Pakatan Rakyat dan sekali-kali tidak akan bekerjasama politik dengan Umno.

"Kita sudah bekerja sama sebelum ini dan kita telah dikhianati. Kita tidak akan adakan sebarang kerjasama politik lagi dengan Umno.

"Kita tidak akan dipatuk melalui satu lubang yang sama sekali lagi," kata beliau di hadapan 300 tokoh-tokoh yang merupakan ahli baru PAS di Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS di hotel De Palma, Ampang hari ini.

Ustaz Hadi memberikan janji ini berikutan usaha Umno dan pelbagai pihak yang tidak putus-putus cuba memecahkan PAS dari Pakatan Rakyat. Namun katanya, PAS boleh bekerjasama dengan Umno dalam bidang lain termasuk untuk membela rakyat Palestin sebagaimana yang dibuat sebelum ini.

Beliau yang penuh bersemangat dan memberikan ucapan panjang di himpunan hari ini kelihatan sangat gembira dengan muka-muka baru yang beliau lihat dalam majlis hari ini.


(Bergambar kenangan bersama kepimpinan PAS)


Turut serta bersama beliau adalah hampir kesemua pimpinan kanan PAS termasuklah timbalannya Haji Mohamad Sabu, naib-naib Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli juga hadir.

Pelbagai golongan ahli baru PAS hadir dalam progam julung-julung kali diadakan termasuklah golongan akademik, profesional, agamawan, mahasiswa, artis dan ramai lagi.

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Tamrin Ghaffar turut hadir.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Himpunan tersebut. Majlis dipengerusikan oleh ahli baru PAS iaitu bekas pelakon dan pengacara terkenal Bob Lokman.

Dalam ucapannya, Ustaz Hadi mengajak ahli khasnya yang baru menyertai PA agar menunjukkan budaya Islam di samping mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menuju perubahan yang pasti akan berlaku.

Katanya, PAS tidak pernah mengkianati demokrasi yang menjadi amalan negara ini dan melalui inilah PAS mahukan sistem pilihan raya yang adil.

"Kita memilih demokrasi tulen, dan inilah yang diseru oleh agama Islam," katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan kerajaan yang menegakkan Islam sebaik-baiknya, Melayu akan selamat tetapi sebaliknya Islam tidak semestinya selamat jika menegakkan Melayu.

Malah katanya, Islam sendiri menegaskan bahawa raja mesti diperkasakan dengan penasihat-penasihat yang adil.

"Islam menerima sistem beraja dengan syarat mesti adil dan berpandukan kepada hukum Allah dan Al-Quran," katanya.

Apa yang dikesalkan, lebih 50 tahun Umno BN mentadbir negara ini, Abdul Hadi menyifatkan orang Melayu sudah ketinggalan tentang kefahaman Islam apatah lagi orang bukan Islam pula tidak 'nampak Islam' yang sebenar.

Tetapi katanya, sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP mereka di kalangan orang Cina sudah mula membaca buku-buku Islam termasuklah Al-quran.

Justeru Abdul Hadi percaya sekiranya Islam dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mesej yang akan disampaikan kepada bukan Islam akan tercapai.

Negara kekal aman selepas bertukar kerajaan - Fauzi

Harakahdaily, 03 Feb 2013

(Ahli baru PAS bertakbir beramai-ramai bersama pimpinan PAS dalam himpunan mereka)

AMPANG: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari yakin negara akan kekal aman selepas berlaku pertukaran kerajaan nanti.

Bagi beliau ugutan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan berlaku huru-hara jika kerajaan bertukar tidak akan berlaku.

Fauzi berkata demikian ketika berucap dalam himpunan perdana ummah bersama PAS di hotel De Palma Ampang hari ini. Program yang dirasmikan oleh Presiden PAS itu disertai kira-kira 300 yang kebanyakannya adal;ah ahli baru PAS yang terdiri dari pelbagi kalangan pemimpin Islam dan Melayu.
Fauzi mengulas kenyataan Najib yang mendakwa pelbagai kerosakan akan berlaku jika berlaku pertukaran kerajaan.

Menurut Fauzi, keadaan itu terbukti tidak berlaku apabila peralihan kuasa yang berlaku di beberapa buah negeri sebelum  ini.

"Masih ramai mereka yang berada di luar tertanya-tanya adakah peralihan kuasa kali ini akan berlaku dengan aman tanpa sebarang kekacauan.

"Bagi saya ia akan berlaku sepertimana dengan perubahan kuasa di negeri-negeri yang diambil alih oleh Pakatan Rakyat, tanpa ada sebarang kakacauan," jelas Fauzi yang kini aktif berkempen untuk memenangkan Pakatan di hadapan kira-kira 300 peserta himpunan.

Malah menurutnya lagi, kekecohan hanya berlaku di kawasan sekitar pejabat pentadbiran negeri apabila pihak berkuasa mengambil tindakan mengawal kawasan tersebut bagi mengelakkan ada dokumen rasmi dibawa keluar oleh pihak yang kalah.

"Sebagai pihak berkuasa, kita akan membuat kawalan di kawasan sekitar bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini adalah untuk memastikan tidak ada sebarang dokumen rasmi dibawa keluar oleh mereka dari kerajaan terdahulu, dan ini bukannya satu kekacauan," kata beliau.

Fauzi yang juga berharap rakyat perlu yakin apabila berlakunya perubahan pemerintah, ia akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekacauan.

Apa yang diperkatakan sebelum ini hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat untuk tidak melakukan sebarang perubahn.

PRU13: Histeria Soi Lek kian menjadi-jadi

Harakahdaily, 03 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Amat menyedihkan untuk melihat menjadi-jadinya penyimpangan dan histeria Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ke tahap merayu ahli MCA memberikan tepukan kepada ucapannya dan pemimpin parti itu lain dalam acara terbuka seperti “makan malam mega” yang diadakan di seluruh negara.
Demikian dinyatakan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam sebagai respons kepada Chua yang membuat rayuan itu ketika majlis makan tengah hari sambutan ulangtahun MCA ke-64 Wilayah Persekutuan di Kepong kelmarin.

Katanya, tetapi apa yang Chua dapat daripada ahli MCA yang hadir hanyalah sambutan yang dingin dan tidak sepenuh hati meskipun berkali-kali merayu tepukan untuk ucapannya.

Malah, ujarnya Chua cuba untuk mengelirukan ahli MCA untuk mengukuhkan rayuannya  meminta ahli MCA untuk mencontohi DAP dengan mendakwa bahawa apabila pemimpin DAP  bercakap atas pentas, ahli DAP di bawah akan menyambut tanpa henti dengan tepukan untuk memberikan gambaran apa yang dikatakan adalah betul.

Begitu juga, katanya Chua meminta ahli MCA untuk melakukan perkara yang sama dengan memberikan tepukan gemuruh kepada pemimpin MCA ketika mereka bercakap atas pentas untuk mewujudkan keyakinan buat MCA.

“Pertama sekali, izinkan saya nyatakan sepanjang 47 tahun di dalam politik, saya tidak pernah merayu supaya ucapan saya diberikan tepukan dan sorakkan dan begitu juga dengan semua pemimpin DAP yang lain,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Kedua, jelasnya jawapan mudah kepada Chua adalah bukan sahaja orang biasa, tetapi juga ahli MCA yang berasa marah dan terasing dengan lakonan yang dimainkan oleh kepimpinan MCA sebagai penyebar pembohongan dan ahli nujum mala petaka bagi membantu Umno untuk menakut-nakutkan pengundi Cina bagi menyokong Barisan Nasional dalam Pilihan raya Umum ke-13.

Tambahnya, bukan saja kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikir, sama ada orang Cina, Melayu, India, Kadazan dan Iban, tetapi majoriti besar ahli MCA yang baik, yang dapat melihat di sebalik sifat penakut, tidak jujur dan kepura-puraan politik penipuan dan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin MCA dan Umno.

Ini, katanya dengan pemimpin MCA yang agenda utama mereka adalah untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dengan penipuan bahawa DAP adalah pak turut PAS sementara pemimpin Umno melakukan perkara yang sebaliknya iaitu menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan menuduh PAS adalah boneka DAP.

Menurutnya lagi, sama ada DAP adalah pak turut PAS atau PAS adalah boneka DAP, hanya salah satu yang mungkin kerana keduanya tidak mungkin betul.

“Dan dalam kes ini, kedua-dua propaganda bercanggahan MCA dan Umno adalah salah kerana kedua-dua adalah penipuan dan pembohongan.

“Inilah yang pada dasarnya membezakan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional. Barisan Nasional hanya perikatan dari segi nama namun Umno memaksakan budaya politik ‘Listen, listen, listen’ dengan Umno sebagai hagemoni yang tidak dipertikaikan dalam BN,” katanya.

Umno sudah tidak ada yang berkepimpinan lagi

Aspan Alias, 02 Feb 2013
Anwar Ibrahim menafikan tuduhan Dr Mahathir yang beliau (Anwar) terlibat secara terus dalam pemberian kad pengenalan kepada pendatang haram untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya negeri 1994 dahulu. Dr Mahathir menyatakan yang beliau tahu Anwar terlibat secara terus dalam pembahagian kad pengenalan itu walaupun beliau tidak dapat membuktikannya.
Saya setuju dengan pendapat Dr Mahathir yang beliau tidak ada bukti tentang penglibatan Anwar dalam isu itu kerana sememangnya Anwar tidak terlibat kerana jabatan pendaftaran negara tidak terletak di bawah jagaan Anwar. Anwar tahu yang Kementerian Dalam Negeri merupakan Kementerian yang bertanggungjawab keatas isu ini dan Dr Mahathir adalah menterinya dan Megat Junid, timbalannya.

Dalam pemberitahuan oleh bekas pengarah immigresen, Ramli beliau diarahkan untuk mengeluarkan resit dengan nombor yang sesuai dan bertepatan dengan nama dalam pendaftar pengundi. Megat Junid yang merupakan timbalan kepada Dr Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri semasa itu adalah orang kuat Dr Mahathir dan beliau dibantu oleh Setiausaha Politik beliau, Aziz Shamsuddin, untuk urusan pemberian kad pengenalan itu.

Seperti biasa Dr Mahathir akan memilih untuk mengalihkan tuduhan itu kepada orang lain termasuk Anwar Ibrahim. Dr Mahathir sememangnya sifat beliau begitu. Beliau yang selalu membaling batu kepada rakan-rakan politik beliau dan akan menyorokkan tangan beliau yang membaling batu itu. Beliau yang membuatkan Datuk Hussein Onn menarik diri kerana Mahathir jugalah yang meletakkan Sulaiman Palestin untuk menentang Hussein semasa beliau (Mahathir) menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Akhirnya yang menerima cercaan ialah Sulaiman Palestin sedangkan Dr Mahathir menyorokkan tangan jahatnya dan terus mendapat mengambilalih jawatan yang dipegang oleh Hussein Onn sebagai Perdana Menteri. Tidak ada seorang pun pemimpin yang seiringan dengan beliau tidak mendapat musibah dari tindakan politik beliau yang tidak jujur itu.

Akhirnya semua rakan-rakan seangkatan dengan beliau tumpas bergelimpangan dan hanya beliau seorang yang kekal terpacak dalam kepimpinan UMNO dan beliau menggantikan mereka yang tumpas itu dengan barisan baru yang beliau boleh lakukan sebagai burung balam itu. Maka mudah bagi Dr Mahathir untuk membina budaya ampu mengampu tanpa had kerana mengampu itu merupakan cara menaiki tangga ke kuasa dengan mudah tanpa perlu membina kepimpinan yang sangat diperlukan oleh rakyat dan negara.

Justeru negara kehilangan kepimpinan kerana Mahathir tidak menumpukan untuk membina kepimpinan selepas beliau. Beliau hanya memberikan tumpuan untuk kekal dalam kuasa tanpa memikirkan elemen terpenting iaitu pembinaan kepimpinan masa depan untuk negara. Apabila beliau meninggalkan jawatan, maka negara kehilangan dan kepupusan kepimpinan dan inilah yang kita hadapi sekarang.

Apa yang ada hanyalah kumpulan yang dijadikan pemimpin tetapi tidak memahami kenapa mereka berada di pesada  kepimpinan itu. Mereka merupakan kumpulan pemimpin yang keliru kerana mereka tidak tahu samada mereka berada diatas itu kerana kepimpinan mereka atau kerana hasil pengampuan itu.

Apabila negara berada dalam keadaan sekarang maka mereka menyalahkan orang lain. Mahathir hanya memberikan fokus untuk menyalahkan dua orang manusia yang beliau benci, itu Anwar dan Abdullah Badawi. Beliau tidak juga nampak kesalahan beliau sendiri. Abdullah disalahkan kerana mewarisi kerajaan yang lemah sedangkan Abdullah itu sendiri adalah orang yang beliau naikkan menjadi pengganti beliau.

Jika orang ramai di tepi jalan pun merasakan jika Abdullah mengambil tempat Dr Mahathir negara akan kecundang, takkan lah Mahathir yang dianggap pemimpin besar semasa itu tidak tahu yang Abdullah terlalu lemah dan akan dipersoalkan oleh rakyat ramai. Saya selalu menyebut isu ini selalu kerana disebabkan Mahathr lebih menjaga kepentingan peribadi dari negara ia telah menyebabkan negara tidak lagi mempunyai seorang pun yang dianggap sebagai ‘material’ sebagai Perdana Menteri di kalangan pimpinan UMNO itu.

Oleh kerana terlalu tertumpu memperkuatkan diri untuk menjadi kuat dalam UMNO maka beliau tidak menyedari yang orang yang berkepimpinan berada di luar kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO atau pun berada di dalam parti pembangkang. Rakyat yang telah sedar kepupusan kepimpinan dalam parti pemerintah ini telah tercari-cari mereka yang berkepimpinan maka mereka mengikut di mana sahaja dan siapa sahaja yang boleh memberikan keyakinan untuk memberikan kepimpinan kepada mereka yang ramai ini. Justeru mereka mengikut pembangkang kerana yang berkepimpinan itu berada di sebelah pembangkang itu.

Oleh itu pembangkang sepatutnya menjadi pilihan ramai kerana yang berkepimpinan semuanya berada di pihak pembangkang. Yang ada di dalam UMNO itu hanyalah merupakan ahli-ahli politik yang juga ahli-ahli peniaga dan sebahagian mereka itu semuanya berada di dalam kabinet kerajaan hari ini.

Negara perlukan kepimpinan. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Gambar ori sambut Wira Palestin terhangat

Harakahdaily, 03 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Artikel tertajuk “Gambar ori puluhan ribu sambut Wira Palestin” nukilan blog http://yongsukakuning.blogspot.com merupakan artikel yang paling diminati pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-5.
Artikel blog http://omakkau.blogspot.com bertajuk “Kantoi: Kursus pra perkahwinan diedit kononnya gadis Melayu dimurtad” yang membongkar bagaimana blogger Umno mengedit gambar untuk menimbulkan fitnah terhadap sekumpulan gadis Melayu merupakan artikel kedua paling diminati peminat Harakahdaily.

Di tangga ketiga ialah artikel blog http://wasukalu.blogspot.com yang memaparkan warkah terakhir Tunku Abdul Rahman, bekas perdana menteri pertama Malaysia sebelum meninggal dunia yang jelas memaparkan kemarahannya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Umno.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu 27.1.2013 sehingga 2.2.2013.

1

Gambar ori puluhan ribu sambut Wira Palestin
2

Kantoi: Kursus pra perkahwinan diedit kononnya gadis Melayu dimurtad
3

Ini warkah terakhir Tunku Abd Rahman sebelum meninggal dunia
4

Gempar! Penduduk serbu Tok Guru Nik Aziz kerana RM200
5

Bekas Puteri Umno sedih difitnah tukar pasangan
6

Ahli tegar Umno masuk PAS kerana 'mulut' Haji Lah Geting
7

Guru tidur dalam kereta ditukar tergesa-gesa
8

Kakitangan kerajaan jangan takut kerajaan baru 60 hari lagi
9

Beza Wira Gaza di Malaysia dengan Wira Gaza di Palestin
10

Kalau nak tipu biarlah logik – Tuan Ibrahim

PRU13: Pakatan Rakyat mampu bentuk kerajaan

Muhammad Faizal, 03 Feb 2013



KUALA LUMPUR: Leftenan Jeneral (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat akan menang pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau yang berucap pada Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS memberitahu melihat kepada perubahan yang ketara sokongan rakyat serta penyertaan dari golongan profesional dan ahli perniagaan pasti kemenangan ini tidak boleh dinafikan.

Malah menurut beliau lagi, pada Pilihan raya Umum ke-12 (2008) telah menjangkakan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan memenangi Putrajaya.

"Saya pasti melihat kepada perubahan hari ini, Pakatan Rakyat pasti memenangi PRU13 seterusnya membentuk kerajaan.

"Jika sebelum ini pada PRU12, saya merasakan Pakatan Rakyat tidak akan berjaya untuk tawan Putrajaya dan kali ini segalanya menjadi milik Pakatan," ucap beliau di sebuah hotel di sini, pagi ini.

Beliau turut memberitahu Kementerian Pertahanan merupakan agensi kerajaan yang menerima peruntukan terbanyak setiap kali bajet diluluskan.

Namun, perbelanjaan tersebut banyak yang melanggari etika yang telah ditetapkan.

"Saya telah dedahkan sebelum ini, yang mana dalam Kementerian Pertahanan terlalu banyak membuat pembelian secara terus dan ini memberi ruang berlakunya rasuah.

"Saya akan terus mengeluarkan kenyataan, perkara ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan, semoga ia menjadi beban kepada kerajaan untuk menjelaskannya," ucap beliau di hadapan kira-kira 300 peserta.

Abd Ghafir memberitahu walaupun beliau tidak menyerta mana-mana parti politik tetapi akan terus memberi sokongan kepada parti yang membawa kebajikan dan kebajikan kepada rakyat khususnya negara ini.

Hadir dalam program hari ini adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Tamrin Ghaffar turut hadir.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Himpunan tersebut. Majlis dipengerusikan oleh bekas pelakon, Bob Lokman.

Tanah: MTRK ulangi isu lapuk - penduduk

Muhd Hussin Ibrahim, 03 Feb 2013
GUA MUSANG: Belum pun selesai isu saman fitnah RM1 juta, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kini mendakwa pula lebih sejuta hektar tanah di negeri ini berpindah tangan kepada syarikat bukan Melayu.

Pada akhir tahun lepas Azmi Che Ali berdepan tuntutan saman ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Kenyataannya itu disiarkan The New Straits Times (NST) pada 29 Mei 2012 bertajuk “Kelantan Misused RM600m in Loans” dianggap tidak benar dan memfitnah AKSB.

Dan semalam pada demontrasi MTRK Azmi memberitahu sedia diheret ke mahkamah sekiranya ada pihak yang menyamannya.

Pengerusi Majlis Tindakan Dun Nenggiri, Yusoff Mohammad berkata, tuduhan banyak tanah di hulu Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, tanah yang dibangun dengan tanaman kelapa sawit oleh agensi kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta masih kekal sebagai tanah milik kerajaan.

“Tiada tanah yang ditukar milik seperti didakwa Azmi. Semua projek pembangunan dilakukan secara usahasama dengan agensi kerajaan negeri. MTRK hanya ulangi isu lapuk,” katanya di sini.

Mengenai dakwaan segelintir penduduk Kampung Serian kononnya seluas 160 hektar tanah mereka diambil balik kerajaan negeri katanya juga ia tidak berasas.

Kata beliau kerajaan negeri telah merezabkan seluas 700 ekar kepada penduduk di kampung tersebut dan tidak terbabit dengan pembangunan ladang.

Dalang jual tanah

“Tetapi malangnya sebanyak 20 lot daripada 700 ekar itu telah dijual salah seorang yang dipercayai dalang menganjurkan demontrasi di Serian baru-baru ini.

“Semua orang di sini kenal orang terbabit dan tahu latar belakang hidupnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini sekumpulan penduduk di Kampung Serian yang difahamkan diketuai Mohf Rofi Ismail mendakwa tanah yang diusahakan penduduk sejak 20 tahun lalu ditanam dengan pelbagai tanaman terlepas ke tangan syarikat.

Dan semalam pada demontrasi anjuran MTRK di Pasir Pekan, Azmi yang juga adik kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendakwa lebih sejuta hektar tanah di Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu.

Yusoff berkata, tuduhan segelintir penduduk Batu 11 Kampung Serian dan MTRK kononnya kerajaan negeri mengambil tanah rakyat hanya mengitar semula isu lama.

Bekas Pengerusi Penyelesaian Tanah Ladang Rakyat dan Penduduk Kampung Serian berkata, mana-mana tanah yang pernah diusahakan penduduk dan terbabit dengan projek Ladang Rakyat sudah lama diselesaikan.

Katanya, hampir dua tahun dan membabitkan beberapa siri rundingan dilakukan Ladang Rakyat serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bersama penduduk yang terbabit.

“Bagaimana saya juga hairan tiba-tiba timbul semula isu lama,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Iman Kampung Baru, Mat Mamat berkata, tindakan segelintir penduduk mengadakan demontrasi baru-baru ini hanya sebagai gimik politik bagi memburuk-burukkan kerajaan Kelantan.

“Rakyat di sini sudah lama mengetahui taktik yang dimainkan mereka. Umno ternyata tiada isu untuk diketengahkan bagi mendapat simpati rakyat,” ujarnya.

Fakta tidak lojik

Sementara itu di KOTA BHARU Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan Azmi kononnya lebih sejuta hektar tanah di Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu tidak masuk akal.

Ini kerana kata beliau keluasan tanah di Kelantan ialah 1.4 juta hektar.

“Maknanya satu juta hektar sudah jadi milik bukan Melayu dan hanya tinggal 400,000 hektar lagi milik orang Melayu.

“Logikkah congakan Azmi ini. Saya kira beliau sangat berminat dengan angka sejuta sehingga menjadi bahan ketawa orang ramai pula,” katanya.

Tiada ulasan: