Rabu, 5 Disember 2012

CARA KEKASARAN UNTUK NAK MENANG...BUKAN GAYA@CARA ORANG BERILMU...SEBAB MAIN KASAR ADA SIFAT BARAN...SOMBONG SERTA DEGIL@KERAS HATI...TIADA SIFAT SABAR...MUNGKIN JAUH SIFAT INGIN BERDOA SERTA BERMUNAJAT KEPADA ALLAH MOHON KEMENANGAN...JUGA JAUH SIFAT TAWAKAL

Skandal RM40j: PKR ke ICAC Hong Kong semula

Harakahdaily, 05 Dis 2012

KUALA LUMPUR: PKR akan ke Hong Kong semula bagi menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) berkaitan skandal rasuah RM40 juta yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

(Kunjungan wakil PKR ke ICAC sebelum ini)


Menurut laporan Keadilan Daily, delegasi PKR itu akan bertemu ICAC pada 13 Disember ini sebagai memenuhi permintaan suruhanjaya itu supaya bukti yang diperlukan pihaknya diserahkan untuk membuka semula siasatan kes tersebut.

“Kita akan bertemu ICAC 13 Disember ini dan serah dokumen yang mereka tiada, termasuk semua dokumen transaksi. Ia bagi membantu ICAC dapatkan bukti kes,” kata salah seorang wakil deligasi, Chang Lih Kang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja itu juga mendakwa, bukti berkenaan juga akan diserah kepada Ahli Parlimen (MP) Hong Kong yang ditemui sebelum ini untuk dibawa kepada Mesyuarat Panel Keselamatan Hong Kong.

“MP Hong Kong berjanji untuk bawa isu ini ke dalam agenda mereka. Panel Keselamatan adalah pihak yang bertanggungjawab memantau ICAC,” jelasnya.

Rombongan kali pertama pada 21 November lalu turut disertai Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Pada kunjungan itu mereka menyerahkan satu laporan dan dokumen sokongan mengenai perkembangan baru yang didakwa boleh membantu siasatan kes tersebut.

Antaranya kenyataan Datuk Seri Lajim Ukin bahawa beliau tidak pernah tahu menahu bagaimana Umno telah mendapat sumbangan derma RM40 juta, seperti alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan ICAC

Keduanya adalah kenyataan Datuk Seri Wilfred Bumburing bahawa beliau tahu wang RM40 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang (bukannya akaun Umno) yang menguatkan lagi pandangan ramai bahawa wang itu bukanlah derma kepada Umno

Musa sebelum ini menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan hartawan balak, Michael Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah RM40 juta.

Selain Musa, perkara sama turut dinafikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa wang RM40 juta tersebut adalah untuk Umno Sabah.

PKR bagaimanapun mempersoal kenyataan Nazri itu ekoran wujudnya hubungan antara ahli keluarga Nazri dengan jutawan balak Micael Chia itu.

Hubungan itu berupa sebuah kereta mewah SUV Hummer yang didakwa diguna anak kepada menteri itu, Nedim.

Tun M patut dipersalah jika Melayu P Pinang mundur

Mohd Sabri Said, 05 Dis 2012
PULAU PINANG: Bekas Perdana Menteri, Tun  Dr Mahathir adalah orang yang paling bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah Melayu Pulau Pinang jika benar Umno dan Barisan Nasional (BN) ikhlas mahu menolong mereka.

Bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin (gambar)  berkata, Dr Mahathirlah orangnya yang mendedahkan mengenai masalah Melayu Pulau Pinang ketika beliau melawat Tanjung To' Kong dahulu.

"Siapa yang mula buat cerita tentang peminggiran orang Melayu.  Setahu saya ia berlaku sejak di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir sendiri.

"Dia kata orang Melayu Pulau Pinang terpinggir ketika melakukan lawatan ke Tanjung To' Kong di Pulau Pinang, bila agaknya Ketua Menteri (Pulau Pinang) Melayu?" tanya Rahman yang mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS baru-baru ini.

Kata Rahman, sejak dari dahulu Ketua Menteri Pulau Pinang adalah Cina.

"Pasal apa timbul cerita Melayu dipinggir. Sebab Cina dulu bersubahat dengan Umno dia tidak dipersalahkan.

"Sekarang ini Cina tidak sebulu dengan Umno kerana berkawan dengan PAS dan PKR terus dicop tidak betul dan bertindak menghalau orang Melayu.

"Boleh bertukar sekelip mata sahaja," katanya dalam wawancara khas dengan Harakah.

Rahman memuji sikap yang diambil oleh Kerajaan Pulau Pinang dan menyifatkannya amat bijak dalam menguruskan negeri.

"Apa yang dilaksanakan BN (sebelum ini) jelas memnunjukan mereka tidak bijak mentadbir. Habis wang rakyat dipergunakan untuk pembinaan projek yang tidak menguntungkan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk mengatakan Malaysia megah tetapi pada hakikatnya dalam keadaan yang sakit tenat," katanya.

Pelbagai isu dibincangkan beliau dalam wawancara itu termasuklah bagaimana beliau boleh tertarik dengan PAS dan apa penilaian beliau terhadap PAS sekarang.

Ikuti wawancara penuh dengan beliau dalam Harakah cetak Ahad depan.

Siapa 'ketiak busuk' sebenarnya, Rahman tidak rasis

Harakahdaily, 05 Dis 2012
PULAU PINANG: PAS menolak dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa Datuk Seri Rahman Mydin seorang rasis.

Jika benar sekalipun Rahman adalah seorang yang rasis semasa bersama Umno, kini terbukti beliau menyertai sebuah parti untuk semua iaitu PAS, kata Datuk Dr Mujahid Rawa (gambar), AJK PAS Pusat.

"Ia menandakan (jika benar dia rasis) PAS berjaya melunakkan seorang rasis untuk menjadi ahli PAS yang terkenal dengan sikap mesra semua kaum," kata Mujahid.

Bagi beliau, Wee Ka Siong patut terimakasih pada PAS kerana DS Rahman Mydin memilih PAS.

"Lagipun takkan seseorang dianggap rasis hanya kerana seseorang menyokong keperluan kaumnya? Apakah MCA dan Wee Ka Siong bercakap tentang sekolah Cina juga rasis?" bela Mujahid.

Bagi Mujahid, Rahman Mydin seorang yang memimpin Dewan Perniagaan bersama Cina Melayu dan India dan beliau seorang yang telah menyumbang kepada negara ini.

"Wee Ka Siong kena tanya mengapa dia pilih PASdan tidak terus bersengkongkol dengan Umno?

"Sepatutnya jika DS Rahman Mydin dituduh sebagai rasis sudah tentu dia akan bersama Perkasa atau JATI, tapi dia bersama PAS yang terkenal memperjuangkan Islam yang tidak kenal batasan kaum atau agama," tegas beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum PAS.


Ketiak busuk



Beliau juga menyentuh andaian Harakahdaily sebelum ini berkenaan sikap Wee Ka Siong yang mengkritik Rahman selepas beliau menyertai PAS.

Dalam laporan itu, Harakahdaily umpamakan kritikan Wee Ka Siong umpama orang yang bercerai mengutuk orang yang meninggalkannya termasuk menuduhnya mempunyai ketiak yang busuk.

"DS Rahman Mydin tak perlu mengatakan ketiak Umno busuk (seperti kata WKS) atau peluh MCA hapak, cukup dengan meninggalkan Umno dan menyertai PAS menandakan bahawa parti Umno dan rakan baiknya MCA sudah tidak boleh didekati apatah lagi menyertainya," kata Mujahid.

Bagi beliau, bukan Rahman Mydin saja malah Datuk Seri Panghlima Lajim Ukim, Datuk Tamrin Ghafar Baba dan lain-lain lagi sudahpun tak tahan dengan bau hapak Umno.

"Siapa yang ketiak busuk sebenarnya?" tanya Mujahid.

LAPORAN BERKAITAN

'Selepas bercerai baru dituduh ketiak busuk'

Kes AES: 7 OKS hanya diberi amaran lisan

Muhammad Faizal, 05 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Daripada 914 orang kena saman (OKS) berhubung Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), hanya 22 dari mereka hadir pada sebutan kes di Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Lapan daripada jumlah 22 yang hadir itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan melanggar isyarat lalu lintas.

Hakim, Noorasyikin Sahat menetapkan 19 dan 20 Disember ini bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan dokumen berkaitan.

Bagi 14 orang yang mengaku melakukan kesalahan itu pula, tujuh dari mereka diberi amaran lisan, manakala tujuh lagi dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau 3 hari penjara.

Kesemua mereka yang hadir ke mahkamah hari ini didakwa melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi isyarat lampu merah di persimpangan Jalan Kelang Lama-Jalan Shapadu.

Persimpangan tersebut merupakan salah satu dari 14 lokasi yang telah dipasang kamera AES bagi fasa pertama oleh Kementerian Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, baki OKS seramai 894 lagi yang tidak hadir hari ini dikeluarkan waran tangkap.

Sebutan kes hari ini sekali lagi mengejutkan banyak pihak sama seperti kali pertama pada 29 November lalu, apabila hanya dua daripada 120 OKS hadir ke mahkamah.

Peguam Zulhazmi Shariff yang juga merupakan penasihat undang-Undang kepada Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor berkata, melihat kepada keputusan amaran lisan yang diberikan oleh hakim hari ini menjelaskan setiap kesalahan AES tidak semestinya dikenakan bayaran denda RM300.

Malah beliau juga turut menyeru agar pemandu yang mendapat saman AES hadir ke mahkamah dan tidak perlu membayar saman tersebut di JPJ.

"Kita lihat bagaimana hakim memutuskan ada antara mereka hanya diberikan amaran lisan.

"Jadi pemandu yang mendapat saman tidak perlu ke JPJ untuk membayar saman tersebut, mereka hadir ke mahkamah dan kita menyediakan khidmat guaman percuma kepada mereka bagi menyelesaikan kes tersebut," jelasnya.

Mampukah Pakatan terus bertahan di Kedah?

Analisa Arzaman Sulaiman, 05 Dis 2012
BAHANG PRU 13 semakin terasa.  Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Tun Razak menyatakan PRU 13 tidak  mungkin diadakan pada bulan disember ini.

Jawapan ini diberikan berikutan terdapat ramai pemerhati politik meramalkannya. Namun begitu  PRU13 memang sudah dekat dan  akan diadakan kerana tempuh kerajaan yang ada sekarang hanya sehingga April 2013 sahaja.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan banyak membicarakan soal pilihanraya. Dirasakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  akan mengadakan pilihanraya pada bulan Februari ini  ketika cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina.

Diyakini  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mengharapkan pengeluaran BRIM kepada rakyat yang berkelayakan akan memberikan impak terhadap keputusan PRU 13 ini.

Adakah pemberian BRIM akan dapat membantu BN/UMNO terus menerajui pentadbiran negara ini? Sama-sama kita lihat.

Namun kalau kita tinjau pendapat orang yang berada disekeliling kita dan orang yang membicarakan soal ini di kedai-kedai kopi impaknya tidak sebesar mana. Ini kerana rata-rata mereka mengatakan orang bagi kita ambil undi adalah hak kita, berdasarkan kenyataan ini kita dah dapat menangkap arah mana sokongan orang ini.

Biarpun bila PRU 13 akan diadakan parti-parti politik yang terlibat harus bersedia dari sekarang kerana paling lewat pada bulan April jadi masanya sudah tidak lama.

Jadi bagaimanakah nasib Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS di Kedah? Mampukah Kerajaan PR yang diterajui oleh PAS di Kedah terus berkuasa? Adakah PAS Kedah dapat mengikuti Kerajaan PAS Kelantan yang mampu menguasai Kelantan begitu lama, lebih 20 tahun?

Pada mulanya pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah oleh PAS tidak nampak cacat celanya. Kerajaan PAS Kedah telah melaksanakan  beberapa perubahan yang positif yang mampu menarik sokongan rakyat Kedah,  misalnya penurunan cukai tanah. Kerajaan PAS Kedah juga berjaya menambah pendapatan kerajaan negeri dan mengurangkan hutang kerajaan negeri.

Di samping itu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga tidak banyak menimbulkan kontroversi dan pastinya akan memberikan kelebihan kepada Kerajaan PAS Kedah untuk meneruskan penguasaan selepas PRU 13 ini.

Namun ia sedikit berserabut apabila berlaku kekecohan perlantikan Exco di negeri itu. Walau apa pun senario politik dalaman PR tidak kira samada PAS, PKR mahupun DAP yang lebih penting kita kena melihat geo-politik negeri itu, bagi mengkaji siapakah yang bakal menerajui kerajaan negeri selepas PRU 13. Mampukah Kerajaan PAS Kedah  bertahan atau tidak selepas PRU 13 ini?


Tiga kawasan



Kedudukan negeri jelapang padi di utara semenanjung Malaysia ini boleh dibahagikan kepada tiga kawasan utama untuk melihat keputusan pengundian nanti.

Kawasan itu ialah kawasan bandar, kawasan kampung dan kawasan yang mempunyai banyak sekolah-sekolah agama dan sekolah pondok.
Faktor ini penting kerana perbedaan cara berfikir dan pendedahan tentang maklumat yang diterima jauh berbeda.

Orang melayu yang tinggal di kawasan bandar yang terdedah dengan pelbagai maklumat melalui sesawang rata-ratanya tidak menyokong BN/UMNO.
Sebaliknya  orang Melayu yang tinggal di kampung yang semata-mata mengharapkan maklumat daripada media elektronik dan media arus perdana akan menyokong BN/Umno.

Sementara kawasan yang mempunyai banyak pondok dan sekolah agama juga tidak akan memberikan sokongan kepada BN/Umno. Ini adalah reality yang perlu dihadapi oleh parti-parti politik yang bertanding.

Kawasan bandar seperti  parlimen Alor Setar, Sungai Petani, Kubang Pasu, Merbok, Pokok Sena, Langkawi dan Kulim Bandar Baharu. Berdasarkan kajian mendapati hanya Langkawi dan Kubang Pasu yang selamat boleh memberikan kemenangan kepada BN/Umno.

Langkawi walaupun boleh diketogori kawasan bandar namun masih menjadi kubu kuat BN/Umno di Kedah,  mungkin masyarakat Melayu di sana merasa terhutang budi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadikan pulau itu sebagai pelabuhan bebas. Sementera Kubang Pasu adalah  kawasan yang diwakili oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Lain-lain kawasan Bandar pastinya menjadi milik PR.

Manakala kawasan kampung pula seperti Padang Terap, Kuala Kedah dan Sik. Walaupun kawasan ini boleh dianggap kawasan kampung namun Kuala Kedah yang mempunyai komposisi kaum Cina  19.61% tetap menjadi kubu kuat PR. Hanya Sik dan Padang Terap  boleh dianggap kawasan selamat BN/Umno di Kedah.

Namun begitu buat masa ini kawasan parlimen Padang Terap kini menjadi milik PAS yang diwakili oleh Mohd Nasir Zakaria yang berjaya mengalahkan Datuk Paduka Ghazali Ibrahim dengan majoriti 369 undi.

Sementara dua DUN dalam parlimen ini iaitu Kuala Nerang dan Pedu menjadi milik BN/Umno. Akan tetapi majority yang dimiliki oleh DUN Kuala Nerang yang dimenangi BN/Umno melalui calon mereka Datuk Syed Sobri Hashim tidak menyakinkan hanya 805 undi.

Begitu juga parlimen Sik juga menjadi milik PAS dimana PAS yang diwakili oleh Che Uda Cek Nik telah berjaya mengalahkan calon BN/Umno, Datuk Osman Desa dengan majority 481 undi. Parlimen ini mempunyai dua DUN iaitu DUN Belatek dan DUN Jeneri.

DUN Belatek menjadi milik BN/UMNO dimana calonnya Mohd Tajudin Abdullah hanya menang dengan majority 252 undi. Manakala DUN Jeneri  menjadi milik PAS yang diwakili oleh Yahya Abdullah dan menang  dengan  majoritinya amat tipis 167 undi.

Sementara Baling, Pendang dan Jerai pula  kawasan yang banyak mempunyai Sekolah pondok dan sekolah agama. Namun begitu kawasan ini tetap memberikan harapan kepada BN/Umno di DUN yang merupakan kawasan kampung. Misalnya Sungai Tiang di Pendang dan Bayu di kawasan parlimen Baling.

Parlimen Pendang menjadi milik PAS dalam PRU yang lalu melalui calonnya Dr. Mohd Hayati Othman yang memenangi dengan majority 4073 undi. DUN Tokai juga menjadi milik PAS melalui calonnya Mohd Taulan Rasul yang menang dengan mojoriti yang selesa sebanyak 6538 undi. Manakala Dun Sungai Tiang yang merupakan kawasan kampong menjadi milik BN/UMNO melalui calonnya Suraya Yaakob juga menang dengan majority yang agak selesa 3006 undi.

Bagi Parlimen Baling juga hakikatnya PR agak kuat dimana kerusi parlimen telah dimenangi oleh bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudin dengan majoriti yang selesa 7613 undi.

Parlimen Baling yang mempunyai tiga kerusi DUN dan dua daripadanya menjadi milik PAS iaitu DUN Kupang dan Kuala Ketil. Hanya DUN Bayu berjaya menjadimilik BN/UMNO itu pun dengan majority yang kurang menyakinkan iaitu sebanyak 984 undi.

Disamping itu faktor komposisi kaum juga memainkan peranan penting. Kawasan yang bermajoriti kaum Cina juga akan memberikan masalah kepada BN/UMNO  kerana majoriti masyarakat Cina diyakini tidak akan menyokong BN/UMNO dalam PRU 13 setelah mereka menyaksikan Kerajaan PR yang telah berjaya mentadbir beberapa negeri tanpa menghadapi apa-apa masalah.

Di Kedah tidak ada kawasan yang bermajoriti masyarakat Cina namun kawasan yang mempunyai masyarakat Cina lebih ima belas hingga tiga puluh peratus pasti akan mengugat kemenangan  BN/UMNO dikawasan tersebut.

Kawasan yang mempunyai kawasan yang pengundi keturunan Cina dua puluh hingga tiga puluh peratus seperti parlimen Pokok Sena 18.36%, Alor Setar 32.95%, Kuala Kedah 19.61%, Merbok 16.06%, Sungai Petani 29.03%, Padang Serai 22.64% dan kulim Bandar Baharu  18.60%.

Sementara DUN yang mempunyai kawasan seperti ini Gurun 26.83%, Derga 40.07%, Bakar Bata 26.59%, Alor Mengkudu 22.48%, Kubang Rotan 26.92%, Pengkalan Kundur 21.08%, Tokai 27.81%, Bukit Selambau 19.25% dan  Sidam 39.97%. Manakala kawasan DUN di Kedah yang majority masyarakat Cina seperti Kota Darulaman 59.72% dan Bakar Arang 48.06%.  


BN Menang


Berdasarkan analisa yang dibuat mendapati BN hanya mampu menguasai tiga daripada 15 kawasan parlimen. Tiga kawasan parlimen itu ialah Langkawi, Kubang Pasu dan Padang Terap.  Manakala PR dijangka akan menguasai lapan kawasan parlimen.

Lapan kawasan parlimen yang diramal bakal menjadi milik PR ialah Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Sik, Merbok, Baling, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu.

Baki tiga kawasan parlimen merupakan  kawasan yang seimbang di mana BN dan PR sama-sama berpeluang untuk menguasainya ialah Jerlun, Pendang dan Jerai.

Manakala kawasan DUN yang berjumlah 36 kerusi pula diramalkan PR akan memenangi 20 kawasan Dun dengan agak mudah. DUN-DUN tersebut ialah Sungai Limau, Jitra, Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Pengkalan Kundur, Tokai, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Lunas, Kulim dan Bandar Baharu.

Sementara DUN yang bakal menjadi milik BN/UMNO hanya  enam kerusi daripada 36 kerusi. DUN-DUN yang dijangka menjadi milik BN/UMNO ialah Guar Cempedak, Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam, Pedu dan Sungai Tiang.

Baki 10 kawasan DUN adalah kawasan seimbang munkin dimenangi oleh mana-mana pihak baik PR mahupun BN/UMNO.  Kawasan yang akan menjadi medan pertempuran hangat ialah Belatek, Jeneri, Kota Seputeh, Ayer Hitam, Kuala Nerang, Bukit Lada, Kubang Rotan, Tanjong Dawai, Pantai Merdeka dan Bayu.


PAS kekal



Berdasarkan analisa ini diramalkan PR khususnya PAS tidak menghadapi masalah untuk terus berkuasa di Kedah. Kerajaan PR sudah mempunyai 20 kerusi yang cukup kuat dan agak sukar digugat sedangkan BN/Umno hanya mempunyai 6 kerusi.

Baki 10 kerusi yang dijangka boleh dimenangi oleh mana-mana pihak itu jatuh ketangan BN/UMNO sekali pun PR sudah mampu menguasai negeri Kedah.

Namun begitu 10 kerusi ini pun PR tetap mempunyai peluang untuk menang. Kemenangan mana-mana kerusi DUN ini merupakan bonus kepada kerajaan PR di kedah.


* Penulis boleh dihubungi melalui nurzaman20@gmail.com

13 Mei: Muslimat PAS ajak Shahrizat debat

Hazayani Zakaria, 05 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berdebat berhubung isu 'Tragedi 13 Mei 1969 dan Perpaduan Nasional'.

Timbalan Ketua Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan debat ini menunjukkan kesediaan DMPP menjawab segala tuduhan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahrizat  ketika menyampaikan Ucapan Dasar di  Perhimpunan Agung Umno, 28 November lalu.

DMPP mahu Shahrizat sendiri berdebat dengan Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

"Kenyataan tersebut boleh mendatangkan rasa takut, cemas, rasa tidak selamat, tidak tenteram, berunsur ugutan, menghasut dan seterusnya upaya dan cenderung mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara Malaysia ini," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Dalam teks ucapan Shahrizat antaranya menyatakan bahawa :-

"..Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi di negara kita..."

Jelasnya, Dewan Muslimat sengaja tidak mengambil tindakan laporan polis terhadap kenyataan berunsur ugutan tersebut, sebaliknya ingin berdebat bagi merealisasikan satu politik baru yang lebih matang, bertanggungjawab serta berakhlak selari dengan tuntutan Islam.

Katanya lagi, kekecohan yang berlaku pada siri ceramah umum Pakatan Rakyat di Gombak semalam seolah-olah menggambarkan apa yang bakal berlaku sekiranya rakyat mahu kerajaan baru dibentuk di Putrajaya.

"Bonda mereka dah bercakap di Perhimpunan Agung, jadi anak buahnya tunjuk samsenglah," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al Jundi berkata,  beliau secara tidak rasmi sudah menghunungi Shahrizat bagi memaklumkan cadangan tersebut.

Katanya, surat jemputan akan dihantar secepat mungkin dan meminta Shahrizat memberi jaminan keselamatan kepada DMPP sewaktu menghantar surat tersebut.

"Secara tidak rasmi Datuk Seri Shahrizat menunjukkan penerimaan positif terhadap cadangan muslimat.

"Jadi pihak media bolehlah tanya beliau sendiri," katanya.

Tegasnya, sekiranya kejadian 13 Mei berulang kembali, sudah pastinya Umno-BN akan memperoleh manfaat dan keadaan mageran akan diumumkan mengakibatkan mereka berkuasa di semua negeri.

"Kalau berlaku (kekecohan) adalahan lantaran orang yang kalah dan baru kalah.

"Kalau 13 Mei berulang, sudah tentu Mageran berlaku. Maka yang untung adalah Umno untung dengan sedikit kuasa yang mereka ada.

"Tapi (kenyataan) seolah-olah memberi gambaran di peringkat bawah demi survival politik mereka," katanya.

Jihad Palestin: Pemuda PAS bidas ulama Umno

Salmiyah Harun, 05 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Ulama Muda Umno (Ilmu) memperlihatkan kedangkalan mereka apabila mengatakan tidak ada jihad di Palestin sedangkan jihad itu adalah usaha berterusan menentang kezaliman sebagaimana di tuntut oleh Nabi junjungan Muhammad SAW.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Ridhuan Mohd Noor berkata, dalam konteks Palestin, jihad adalah fardhu kerana bumi Palestin dijajah oleh Yahudi sehingga umat Islam kehilangan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam.
(Ridhuan bersama seorang kanak-kanak Palestin ketika menyertai misi kemanusiaan ke negara itu)

"Umat Islam Palestin juga dibunuh, dipenjarakan dan dirogol dalam masa yang sama Yahudi tidak pernah patuh kepada sebarang perjanjian yang dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian mengulas rakaman penjelasan Ahli Majlis Syura Ulama Muda Umno Idris Sulaiman berhubung isu Palestin yang tersebar dalam laman Youtube (gambar kanan) sejak beberapa hari lalu.

Malah kata Ridhuan, Ulama Muda Umno sendiri telah menunjukkan ketidakfahaman mereka apabila mengatakan tidak perlu memboikot produk jaringan Israel.

Tegas Ridhuan, di zaman Nabi SAW, generasi sahabat pernah memboikot telaga 'Ruumah' milik  Yahudi dan akhirnya dijual telaga itu kepada Saidina Othman bin Affan.

Jelasnya, ini menunjukkan kepada umat Islam bahawa tindakan boikot pernah dilaksanakan oleh generasi sahabat Nabi Muhammad SAW.

Beliau turut membidas kenyataan Ulama Muda Umno yang meminta rakyat Palestin berhijrah keluar dari Palestin, sedangkan katanya setiap inci bumi Palestin adalah milik mereka dan wajib mereka pertahankan dan membebaskan daripada Zionis.

Sementara itu, sehingga berita ini ditulis, seramai 100 penonton memilih tidak suka manakala hanya empat sahaja memilih suka kepada kilp video itu.

Dalam pada itu, tegas Ridhuan, Ulama Muda Umno perlu menasihati pimpinan negara ini yang bersekongkol dengan Israel contohnya membenarkan hubungan dagang bahkan pernah menjemput pasukan kriket Israel ke negara ini pada 1997.

"Malangnya, Ulama Muda Umno dilihat lebih menjadi pekakas politik bagi membenarkan kezaliman dan kejahatan Umno yang memerintah lebih 55 tahun ini.

"Mereka sepatutnya menasihati Umno BN untuk mengiktiraf kerajaan Hamas yang dipilih oleh rakyat dalam ruang demokratik," jelasnya.

SMS provokasi beberapa hari sebelum program

Harakahdaily Foto SK, 05 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Serangan sekumpulan samseng terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi didakwa didahului dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas SMS 'berupa arahan' beberapa hari sebelumnya.

SMS itu didakwa menyatakan arahan supaya membantah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program yang diadakan di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini malam tadi itu.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Ketua Cabang PKR Gombak, Amirudin Shari dalam kenyataan kecamannya terhadap serangan itu pagi ini.

"Beberapa hari sebelum program, pimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah dimaklumkan bahawa terdapat pesanan ringkas (SMS) yang berlegar  untuk menggesa Pemuda Umno Gombak turun untuk menghalang program yang akan berlangsung berlangsung,a' katanya.

Ekoran itu, sebagai langkah keselamatan katanya, pihaknya khususnya kepimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah membuat satu laporan polis pada 3 Disember 2012 di Balai Polis Gombak bagi mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku.

"Malangnya lebih 100 orang pemuda Umno hadir untuk melakukan provokasi bagi mengganggu ceramah yang berlangsung sehingga keadaan tegang dan berlakunya kekecohan di hadapan tapak ceramah.

"Tambah mengecewakan, seorang penyokong Pakatan Rakyat telah ditikam dengan senjata tajam," katanya.

Dalam serangan malam tadi, sekurang-kurangnya dua orang penyokong Pakatan Rakyat cedera.

Mangsa pertama, seorang lelaki cedera di bahu kiri dipercayai ditikam dengan objek tajam manakala seorang lagi Haider Samsudin (gambar bawah) cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu.

“Dalam suasana kecoh itu, tiba-tiba ada benda keras kena kepala saya sebelah kanan. Bila saya lihat, rupa-rupanya pasu yang baru pecah berderai.

“Cepat-cepat saya kawal pernafasan kerana saya mula rasa pening kerana banyak darah mengalir,” kata Haider dipetik Keadilan Daily, malam tadi.

Haider, yang juga ketua cawangan PAS Kampung Gombak Utara merupakan tuan rumah dimana tempat ceramah diadakan.

Beliau didakwa cedera ketika cuba mententeramkan keadaan berikutan ancaman samseng di lokasi ceramah.

Pemuda PAS kecam serangan samseng di Gombak

Harakahdaily, 05 Dis 2012

Anggota FRU mengawal keadaan di tempat ceramah malam tadi.

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi sehingga menyebabkan salah seorang hadirin cedera.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, tindakan tersebut mencerminkan betapa terdesaknya pihak lawan sehingga sanggup bertindak diluar batas undang-undang.

"Demokrasi apakah ini? Sudahlah takut berhujah, upah samseng pula untuk ganggu program Pakatan Rakyat.

"Ia seolah-olah dihalalkan malah pihak ini seperti kebal dari tindakan," katanya sambil menyebut beberapa lagi siri serangan serupa yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian serangan malam tadi yang menyebabkan seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di bahu dipercayai ditikam dengan objek tajam. (Gambar kanan)
Ia berlaku ketika sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Kumpulan samseng yang sebahagiannya didakwa sebagai pesilat, pada mulanya membuat bising malah ada yang turut melempar batu ke tapak ceramah.

Ekoran itu, sedikit pergelutan kecil berlaku dan salah seorang penyokong Pakatan didakwa ditikam ketika kumpulan samseng tersebut cuba merempuh sekatan benteng manusia yang dibuat oleh petugas.

Kejadian itu memaksa pihak polis dan beberapa anggota FRU berkawal di tapak ceramah berkenaan.

Ceramah malam tadi turut disertai Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemuda PAS rancang program bersama IIM

Harakahdaily, 05 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah berkunjung ke ibu Pejabat Institut Integriti Malaysia (IIM) di Jalan Duta di sini semalam.

Kunjungan mereka kali ini dilihat sebagai usaha serius untuk melahirkan pemimpin yang berintegriti di kalangan Dewan Pemuda PAS khususnya.

Delegasi Dewan Pemuda PAS Malaysia diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda Nasrudin Hassan, Setiausaha Khairul Faizi, Penolong Setiausaha 3 Yusapiza Yaacob, Pengarah Jabatan Pilihanraya Sany Hamzan dan dua orang pegawai Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Menurut Nasruddin, lawatan ini juga sebagai susulan pengisytiharaan harta yang dibuat di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia baru-baru ini.

“Kita mahu sebuah Institut yang berintegriti seperti IIM untuk memberi pandangan mengenai langkah yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia di muktamar baru-baru ini.

"Respon dari pihak IIM sangat baik dan kami diberikan beberapa pandangan mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Khairul Faizi pula berkata, dewan pemuda akan mengadakan satu program khusus bersama IIM sebagai usaha ke arah melahirkan kepimpinan pemuda yang berintegriti.

“Kita telah berbincang dan merancang untuk mengadakan satu program khusus dengan IIM sebelum PRU 13 ini insya Allah”, katanya selaku jurucakap di dalam pertemuan tersebut.

Deligasi Dewan Pemuda PAS Malaysia disambut oleh Timbalan Presiden IIM Doktor A Bakar Sarpon, Pengarah Sektor Politik IIM Mohd Ismail Abdul Jalil, Ketua Penolong Pengarah Sektor Politik IIM Loganathan a/l Veerasamy dan juga dua orang Penolong Pengarah Sektor Politik IIM, Fison Hamdi dan Zubayry Abady.

Kedah akan guna kaedah baru tanam nanas

Sarina Ismail, 05 Dis 2012

(Amiruddin menyampaikan cendera hati kepada Tunku Bendahara sempena sambutan Hari Peladang dan Nelayan negeri Kedah)

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mensasarkan 4,050 hektar tanaman nanas sehingga tahun 2015 melalui Pelan Halatuju Pembangunan Pertanian Negeri Kedah, kata Exco kerajaan negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Bagi mencapai sasaran itu, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan teknik tanaman nanas secara berkepadatan tinggi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini kerana, melalui kaedah biasa, setelah empat tahun usaha dilakukan, hanya 1,252 hektar tanah berjaya ditanam nanas ekoran masalah mendapatkan tanah pertanian.


Laporan penuh Harakah cetak Jumaat ini.

KIDU lancar bangunan pusat Bahasa Arab

Azamin Amin, 05 Dis 2012

(Ustaz Azizan memegang bebola tanda pelancaran pembinaan bangunan Bahasa Arab)

POKOK SENA: Bagi mempertingkatkan penguasaan Bahasa Arab di kalangan para pelajar, Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) dan masyarakat negeri ini, sebuah bangunan Pusat Bahasa Arab bakal dibina di kampus KIDU, dekat sini.

Berucap di majlis perletakan batu asas bangunan tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak menzahirkan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha tersebut dan berharap semua pihak dapat membantu menjayakan cita-cita KIDU itu.

“Usaha memperkasakan Bahasa Arab atau Bahasa Al-Quran ini sangat mulia kerana ia adalah bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa," katanya.

Laporan lanjut Harakah cetak Jumaat ini.

'Pakar akaunting MCA' dijemput lawat 24 tanah BN

Harakahdaily, 05 Dis 2012
PETALING JAYA: Juara 'skandal tanah' yang juga dikatakan pakar akaunting MCA, Datuk Chua Tee Yong dijemput untuk melawat tapak 24 keping tanah yang diberikan kerajaan negeri Selangor kepada komponen parti BN dari tahun 2000 - 2008.

Tanah-tanah yang bernilai sehingga RM200 juta itu diberikan oleh kerajaan negeri BN Selangor kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Ia diberikan sebagai 'mengenang jasa Umno yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara dan membangunkan negara ini' sebagaimana yang didakwa oleh Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Shukur Idrus dalam DUN Selangor baru-baru ini.

Kepada MCA pula, ia diberikan untuk membina dewan orang ramai, sekolah dan tadika sebagaimana yang didakwa Adun MCA dari Kuala Kubu Baru, Datuk Wong Koon Mun dalam sidang DUN baru-baru ini.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam kenyataannya berkata, semasa lawatan bersama ini, akan dibuktikan samada tanah-tanah ini dibina sekolah atau tadika.

"Semasa lawatan bersama ADUN DAP Sekincan, Ng Suee Lim dan Hannah Yeoh ke tanah bersais 87,188 kaki persegi di Ara Damansara yang diberikan kepada Umno bahagian Subang semalam, kami dapati tiada tadika atau dewan orang ramai untuk kegunaan penduduk tempatan atas tanah itu.

"Tetapi yang kami lihat adalah 200 unit kondominium - Suria Damansara Condominium  yang bernilai RM500 juta ketika ia mula dilancarkan pada tahun 2006 lalu," kata Tony Pua dalam kenyataannya.

Bagi Tony, tujuan lawatan tapak bersama ini adalah untuk mengesahkan samada tanah yang diberikan ini untuk kepentingan orang ramai atau umpama tanah yang diberikan kepada Umno Subang itu, "jual atau dibangunkan untuk mendapatkan keuntungan komersial."

Lawatan bersama ini juga bertujuan untuk menilai sebanyak mana keuntungan yang diperolehi Umno, MCA, MIC dan Gerakan dari tanah yang diberikan ini hasil dari pemberian atau penjualan 'tanah murah' kerajaan negeri kepada mereka.

"Persetujuan Datuk Chua untuk lawatan bersama ini penting untuk menilai apakah ada unsur-unsur korupsi dan penyalahgunaan kuasa oleh BN yang menganugerahkan tanah ini untuk diri mereka sendiri

"Jika tidak (setuju), Datuk Chua akan membuktikan kepada dirinya sendiri dia hanya seorang hipokrit MCA dan BN yang hanya mahu menjaga kepentingan diri sendiri dan partinya atas kesusahan orang ramai," kata Tony.

Ceramah Merdeka Rakyat kecoh, seorang cedera

Harakahdaily, 04 Dis 2012


(Cedera dibahu akibat tusukan benda tajam)

GOMBAK: Majlis ceramah Jelajah Merdeka Rakyat dekat sini kecoh dan seorang petugas luka dibahu akibat tusukan benda tajam.

Ia berlaku apabila sekumpulan pemuda Umno Gombak dikatakan merempuh tempat ceramah Merdeka Rakyat itu.

Menurut Adun Batu Caves, Amirudin Shari,  Pemuda Umno yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Gombak dan exco Pemuda Pusat cuba rempuh untuk menghalang ceramah itu.

(Pemuda Umno cuba menganggu ceramah Merdeka Rakyat di Gombak)

Menurut beliau, batu juga dilemparkan ke tengah orang ramai yang menyertai ceramah itu.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga kelihatan di kawasan ceramah itu.

Walaupun diganggu, orang ramai tetap datang untuk mendengar ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat.















(Anggota FRU yang dikerah untuk mengawal keadaan)


(Sebahagian orang ramai yang mahu mendengar ceramah tetapi diganggu)

Kembara Oren Selamatkan Felda di T’ganu 7-8 Dis

Khairul Azlam Mohamad, 04 Dis 2012

Shalahuddin Jaafar (kanan) dan Noraza Muda menunjukkan poster Kembara Oren Selamatkan Felda pada sidang media hari ini.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menganjurkan konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda peringkat Negeri Terengganu pada 7 hingga 8 Disember ini.

Pengerusi Anak Terengganu, Shalahuddin Jaafar berkata program konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda akan bermula di Kemaman dan berakhir di Besut.

Menurutnya, peserta konvoi sebanyak 30 buah kenderaan pacuan empat roda 4x4 akan berkumpul di Dataran Ketengah Jaya bersama lebih 200 warga Felda Kertih 5, 6, 4 dan 1.

“Kami (Anak) mempelawa kepada anak-anak peneroka Felda yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda 4x4 untuk menyertai program Kembara Oren Selamatkan Felda dari Kemaman hingga ke Besut.

“(Kembara Oren) Ini akan diketuai oleh Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dengan mengadakan program gempur dan mengedar risalah untuk selamatkan warga Felda,” ujarnya pada satu sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, rombongan konvoi akan bergabung pula dengan para peserta di Felda Kertih 2 dan 3 sebelum meneruskan perjalanan ke Dungun.

Selepas itu, kata beliau sejumlah 60 buah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi 20 buah motosikal cup akan tiba di Felda Jerangau, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, Dungun.

Menurutnya, peserta konvoi Kembara Oren menjadi lebih besar apabila tiba di Felda Bukit Bading, di Dun Ajil Hulu Terengganu berjumlah 90 buah kenderaan 4x4 tersebut.

Kemuncaknya, kata Shalahuddin, jumlah peserta konvoi tersebut semakin besar dengan penyertaan lebih 110 buah kenderaan pacuan empat roda tiba di Masjid Felda Selasih, Setiu.

“Kami (Anak) dijangka sampai di Masjid Felda Selasih untuk solat asar dengan jumlah peserta lebih 110 buah kenderaan 4x4 sebelum bertolak lagi ke Felda Tenang di Hulu Besut.

“Pada malamnya, diadakan Ceramah Kembara Oren Selamatkan Felda di Felda Tenang, Hulu Besut untuk memberi pendedahan kepada warga masyarakat Felda di negeri ini,” ujarnya.

Harakah dimaklumkan, antara pemidato ceramah tersebut iaitu Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Penaung Mampat, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim, Shalahuddin Jaafar (Pengerusi Anak Terengganu), Presiden NGO Waris, Haji Roslan Ismail dan Pengerusi NGO Royalti Terengganu, Mohd Fauzi Abu Samah.

Setiausaha Anak Terengganu, Noraza Muda berkata Anak Terengganu perlu membuat sesuatu tindakan bagi menyedarkan warga Felda mengenai bahaya FGVH.

Katanya, para peneroka perlu mengetahui kedudukan Felda berisiko jika saham Felda (FGVH) terus merudum jatuh.

“Kita (Anak) rasakan perlu buat sesuatu untuk menyedarkan masyarakat di Felda seluruh negeri Terengganu ini. Felda dalam bahaya jika saham FGVH terus rendah dan jatuh merudum.

“Mereka (peneroka) perlu tahu risiko dari kejatuhan saham FGVH yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia hari ini,” jelasnya.

Menurut beliau, di Terengganu terdapat sejumlah 21 buah tanah rancangan Felda yang mempunyai penerokanya.

Manakala, katanya Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Terengganu mempunyai tujuh cawangan di negeri ini dengan keahlian lebih 700 orang.

Tambahnya lagi, antara cawangan Anak di Terengganu iaitu di Felda Kertih 5 & 6, Felda Kertih 1 & 2, Felda Kertih 4, Felda Jerangau, Felda Bukit Bading, Felda Chalok, Felda Tenang.

Tiada ulasan: