Sabtu, 15 Disember 2012

KALAU MACAM NI SAMBUTANNYA...SAKITLAH...SETAKAT MANA BOLEH MEMPERTAHANKAN...KITA BUKAN BOLEH TONGKAT LANGIT

50,000 sertai HKR T’ganu, bukti rakyat berubah

Harakahdaily, 14 Dis 2012


(Orang ramai memenuhi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Terengganu di Kuala Paka - Foto Nurulslah)

DUNGUN: Kehadiran 50,000 orang rakyat negeri ini pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Terengganu membuktikan mereka mahukan perubahan pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid yang dimaklumkan jumlah mereka yang menyertai himpunan seramai itu menyifatkan rakyat bersedia melakukan perubahan nanti.

“Dengan kehadiran seramai ini, ia membuktikan rakyat mahukan perubahan di Terengganu. PAS Terengganu yakin dan bersedia untuk menumbangkan Umno dan BN,” tegasnya.

Menurutnya, pemimpin Umno negeri kini semakin angkuh dengan rakyat termasuk merampas tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS negeri sebelum ini.

“Bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk Sekolah Agama Al-Bayan di Paka tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka,” ujarnya.

Beberapa NGO termasuk dari kumpulan pendesak menuntut Royalti, 'R', membentangkan kes mereka kepada orang di perhimpunan ini.

Antara yang awal memberikan ucapan adalah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil. Beliau menceritakan kecelaruan yang berlaku dalam Umno sekarang.

Himpunan  kali ini adalah yang ke 7 selepas Seremban, Kota Bharu, Batu Pahat, Alor Setar, Melaka dan Pahang.

Esok, himpunan PAS Ganti Umno (PGU) pula akan diadakan  di tapak yang sama.

Menurut wartawan Harakahdaily di tapak perhimpunan, kira 50,000 rakyat sudah hadir untuk mendengar amanat pimpinan.

Antara yang berucap wakil anti Lynas, wakil Anak, wakil royalti pusat dan Terengganu, wakil waris, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Saifuddin Nasution, Eng Chai Heng (DAP Terengganu), Azan Ismail (PKR Terengganu).

Turut akan berucap malam ini adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Umno makin angkuh dengan rakyat, bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk sekolah agama al Bayan di Paka, tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka.

"Mereka pecahkan kepada 5 lot banglow untuk JKKK, pejabat tanah maklumkan ia diluluskan melalui campur tangan orang Umno," kata Muhyidin dalam ucapannya lagi.

Di Setiu pula, katanya,  100 keluarga petani yang buka tanah sejak 36 tahun lalu seluas 200 ekar telah dirampas oleh Umno dan dijadikan jelapang padi negeri dengan keluasan 1000 ekar.

"Penduduk lansung tidak diberi pampasan hasil usaha mereka yang hampir 40 tahun..kezaliman Umno terserlah," katanya.

Berikut adalah gambar-gambar awal perhimpunan ini.



(Sebahagian orang ramai yang menyertai HKR Terengganu - Foto Nurulslah)



(AJK PAS Pusat, Datuk  Abu Bakar Chik dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution - Foto Nurulslah)

(Wakil R Kelantan juga datang untuk membentangkan kes mereka- foto Nurulislah)

Himpunan 1 Juta: Rakyat yakin BN tumbang PRU13

Hazayani Zakaria, 14 Dis 2012
DUNGUN: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terus menyeru rakyat turun ke Himpunan 1 Juta Umat di Kuala Lumpur pada 12 Januari depan bagi menyatakan tuntutan mereka.

Bercakap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Dataran PGU, Paka dekat sini malam ini, Mohamad berkata, pada himpunan tersebut, rakyat akan menuntut pilihan raya dan bersih dan adil.

Tuntutan ini katanya kerana rakyat yakin kerajaan Umno BN mampu ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pilihan raya dijalankan secara telus.

"Semua NGO oren, merah, hijau dengan tuntutan masing-masing dan kita gabungkan dengan Bersih untuk menuntut pilihan raya bersih.

"Kita akan nyatakan segala tuntutan dan perhimpunan akan berlangsung aman tanpa gas pemedih mata," katanya.

Mohamad berkata, sewajarnya rakyat berasa marah terhadap sikap kerajaan Umno BN yang menzalimi mereka.

Sebagai contoh katanya, akibat sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang gemar berhutang, kerajaan terpaksa mencari duit melalui syarikat swasta.

"Najib hero buat hutang. Yang dia tahu pagi raya menari.

"Hutang yang begitu banyak anak cucu kitalah yang akan bayar.

"Patutnya kerajaan cari duit tapi dia guna syarikat swasta cari duit.

"Contohnya AES yang dibayar kepada syarikat kroni Umno dan MCA," katanya.

Anak muda diseru bersama R Terengganu

Hazayani Zakaria, 14 Dis 2012

(Wakil R Terengganu berucap di pentas HKR)

DUNGUN: Sekretariat Mengembalikan Royalti Minyak Terengganu (R) akan memulakan siri penerangan berhubung tuntutan mereka pada 21 Disember ini.

Pengerusi R Terengganu, Fauzi Abu Samad berkata, siri penerangan akan digerakkan ke semua kawasan di Terengganu bagi memberi kesedaran kepada rakyat  tentang hak mereka mendapat royalti petroleum sebanyak 20 peratus.

"Kalau kita dapat 20 peratus royalti, banyak perkara yang kita boleh lakukan termasuk menghapuskan PTPTN.

(Sebahagian orang ramai yang memenuhi tapak HKR)

"Kita tak mahu wang ehsan atau dana khas kerana hak kita lebih dari itu.

"R akan pastikan konvoi penerangan bergerak ke seluruh kawasan agar semua rakyat tahu hak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno (PGU 6.0)  peringkat Terengganu di Dataran PGU, Paka, dekat sini hari ini.

Bercakap di hadapan kira-kira 30,000 hadirin, beliau turut menyeru anak muda berjuang  bersama-sama R Terengganu demi masa depan mereka sendiri.

"Anak muda mesti bersama R Terengganu kerana ini demi masa depan mereka sendiri.

(Kaunter R Terengganu di HKR)

"Perjuangan kita bukan untuk masa ini sahaja tapi untuk masa akan datang, untuk anak-anak kita," katanya.

Petang tadi, R Terengganu mempersembahkan lagu ciptaan mereka berjudul "kembalikan royalti".

Antara NGO yang turut berucap ialah R Pusat, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Badan Bertindak Pewaris Bumi Wilayah-wilayah Ketengah, Kesedar, Kejora dan Keda (Waris), dan Anti Lynas sementara menanti ketibaan pemimpin utama Pakatan Rakyat.

7 daripada 10 rakyat mahukan perubahan - Kadir

Nurislah, 14 Dis 2012
DUNGUN: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, tujuh daripada 10 rakyat kini mahukan perubahan.

Justeru, beliau menyifatkan perjuangan untuk melakukan perubahan pada PRU13 nanti merupakan satu jihad dengan menumbangkan kerajaan Umno BN.

Berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Paka, dekat sini, beliau berkata ini kerana Umno kini dipimpin oleh ‘perompak dan penyamun’

“Mereka curi duit berbilion-bilion2, juta-juta tak main dah, kita perlu tumbangkan kerajaan Umno BN untuk pastikan negara selamat daripada perompak yang berlesen ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, katanya mereka yang hadir hanya menangis dan menyanyi sehaja sedangkan inti pati perjuangan nasib Melayu sudah tidak ada.

Menurutnya, mereka hanya mengampu dan menangis tetapi tiada hala tuju perjuangan.

Ini, tambah beliau berbeza dengan para pejuang Umno pada zaman Datuk Onn Jaafar sehingga Tun Hussein Onn.

“Pemimpin Melayu Umno kini jadi penderhaka kepada bangsa Melayu sendiri. Umno untuk Umno sshaja, mereka tidak bela Bumiputera dan Melayu lagi,” katanya.

Justeru, ujarnya lebih setengah daripada bangsa Melayu dipinggir daripada menerima bantuan dan pembelaan.

“Lebih 50 tahun Umno khianati bangsa sendiri,” ujarnya.

'Kes saya bukti ada campurtangan politik dalam polis'

Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kemenangan beliau dalam kes Bersih 2.0 menunjukkan bukti memang wujud campurtangan orang politik dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bercakap kepada Harakahdaily beliau berkata, keputusan mahkamah hari ini juga memperjelaskan bahawa tindakan polis menangkap mereka kemungkinan dibuat atas tindakan politik dan bukan atas faktor keselamatan.

"Pada saya apa yang cuba didedahkan oleh (Tan Sri) Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara) bahawa wujud campurtangan orang politik dalam polis khususnya menteri dalam negeri adalah benar," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur siang tadi yang memutuskan penahanan kedua-dua mereka sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 dilakukan secara salah.

Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham juga memutuskan supaya kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia membayar RM70,000 setiap seorang daripada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, keputusan mahkamah hari ini juga secara keseluruhannya memberi gambaran bahawa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu itu adalah tidak mengancam keselamatan negara seperti didakwa kerajaan.

"Menteri isytihar Bersih 2.0 haram, pakai baju kuning satu jenayah dan ditangkap dan bermacam tuduhan buruk diberikan terhadap Bersih.

"Dengan keputusan hari ini, ia membersihkan segala dakwaan itu. Malah saya mendesak (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan," katanya.

Sebelum ini, Musa dalam satu kenyataan mendedahkan ada campur tangan luar, dalam tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa beliau memimpin pasukan tersebut.

Beliau berkata, semasa pimpinannya, pegawai junior dan seorang ketua polis daerah pernah menerima arahan daripada seorang menteri tanpa pengetahuannya.

Kerajaan negeri PR cermin rakyat buat perubahan

Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) meminta kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus komited membantu rakyat negeri tersebut dalam menunaikan agenda berkebajikan sebagai keutamaan kepimpinan negeri tersebut.
Timbalan Pesuruhjayanya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, ini kerana dengan pelbagai sumbangan dan kebajikan yang disalurkan mampu membina keyakinan rakyat dalam menilai ketulusan dan keikhlasan pemimpin PR dan tidak mustahil ianya dapat disemai dan disebarkan ke seluruh penduduk negara ini.

Dalam pada itu, katanya PAS WP mengucapkan tahniah kepada kerajan Pakatan Rakyat Selangor kerana telah memberi bantuan Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada 31,931 anak negeri itu sejak mengambil alih negeri tersebut tahun 2008.

Tambahnya, sejumlah RM 31.7 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Selangor bagi membantu anak negeri itu melanjutkan pelajaran ke IPT awam atau swasta.

Beliau berkata, hadiah RM1,000 kepada setiap anak negeri Selangor dari keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah yang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta adalah hadiah istimewa yang layak diraih oleh rakyat di negeri itu.

“PAS WP merasakan rakyat di negeri Selangor amat bertuah kerana mendapat manfaat daripada keprihatinan pemimpin kerajaan tersebut tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan agama.

“Beruntunglah rakyat yang kerajaan negerinya betul-betul memikirkan masalah mereka dan mengambil berat serta prihatin dengan kebajikan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Bagi penduduk di WP pula, ujarnya segala kemudahan yang dinikmati oleh rakyat Selangor wajar dicemburui kerana mereka tidak mendapat kemudahan yang serupa.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan PR Selangor dan kerajaan PR yang lain menjadi titik tolak untuk rakyat melakukan perubahan khususnya di negeri-negeri yang tidak diperintah oleh PR.

Katanya, rakyat dapat membezakan kerajaan mana yang benar-benar prihatin terhadap rakyatnya dan kerajaan mana pula yang mengabaikan rakyatnya.

“Semoga kemudahan dinikmati oleh penduduk Selangor akan menjadi suatu motivasi pula buat penduduk WP bahkan di seluruh negara supaya mereka dapat melakukan perubahan secara total dalam pemerintahan negara ini dalam PRU13.

“Hanya dengan cara ini mereka juga akan turut menerima faedah yang serupa di bawah pemerintahan yang prihatin, adil, dan berkebajikan,” katanya lagi.

Mahathir akan pertahan Najib selagi ikut telunjuk

Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pasukan penyerang dan pertahanan Umno ketika pimpinan yang lain tidak mampu melawan tsunami kebencian rakyat kepada Umno.


Justeru, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Mahathir terpaksa mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mempunyai kepentingan peribadi, bukan kepentingan rakyat.


“Beliau sedar jika BN kalah nasib beliau dan anak beliau akan menerima musibah. Kebetulan Najib pula mempertahankan kepentingan peribadi beliau dan anak beliau,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Dengan itu, katanya, Mukhriz tetap dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri walau pun kalah di dalam perebutan Ketua Pemuda Umno.

Bagi Idris, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin tetap ‘menganggur’ kerana tidak mendapat tempat di dalam kabinet, semuanya gara-gara Tun Mahathir.


Beliau turut menyentuh berhubung Petron Malaysia (Petron) dan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) membekal dan membeli minyak untuk penggunaan pesawat Airbus A380 pada 2 Julai lalu.

“Kenapa Petronas, syarikat negara tidak diberikan peluang sedangkan beliau pengerusi Petronas?

“Semuanya gara-gara Petron adalah milik Mirzan,” ujarnya lagi.

Beliau percaya Mahathir terus membela Najib kononnya seorang pemimpin yang berwibawa dan membelasah Tun Abdullah Badwi tidak kira masa dan tempat.

Idris berpandangan Mahathir memang seorang pendendam.

“Beliau marah kepada Tun Abdullah kerana membatal projek Jambatan Bengkok, dan zaman Pak Lah juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.


“Tun Mahathir juga mengatakan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor bukan masalah kepada pentadbiran Najib sedangkan semua orang tahu bahawa Rosmah adalah isteri Perdana Menteri yang keterlaluan dan menjadi buah mulut rakyat, dan tidak pernah dilakukan oleh orang lain,” katanya.

Sehubungan itu, kata Idris Mahathir akan mempertahankan Najib selagi mengikut telunjuknya dan boleh menjaga kepentingan anaknya.

DAP lebih kuat atau lemah setelah kongres ke-16?

Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kongres Kebangsaan DAP ke-16 yang akan berlangsung esok di Pulau Pinang akan menjadi tumpuan negara dalam banyak perkara termasuk adakah parti itu akan muncul lebih kuat atau lemah setelah kongres itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kongres kebangsaan itu juga merupakan persidangan kebangsaan terakhir dalam tahun ini bagi mana-mana parti politik di Malaysia.

Bahkan, katanya ia adalah persidangan kebangsaan terakhir untuk mana-mana parti politik sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa 100 hari lagi.

“DAP adalah satu-satunya parti politik yang berani untuk mengadakan pemilihan parti di ambang pilihan raya, sedangkan parti-parti politik lain telah menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya kongres itu juga menjadi perhatian adakah Pakatan Rakyat dan perjuangan ‘Ubah’ akan berjaya membuat perubahan politik di Malaysia sehingga ke Putrajaya atau sebaliknya.

Justeru, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, biarlah kongres itu membunyikan semboyan siap siaga untuk Pakatan Rayat menjadi kerajaan di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen melalui pembahagian kerusi bernisbah 45:40:40 antara PKR, PAS dan DAP.

“Rahsia kepada kejayaan kempen ‘Seratus Hari Menuju Putrajaya’ oleh Pakatan Rakyat bergantung kepada kemampuan kita untuk memenangi undi empat juta pengundi atas pagar dengan menumpukan kepada isu-isu penting nasional, dan juga kemampuan Pakatan Rakyat,” ujarnya lagi.

Ia, katanya membabitkan kemampuan:

  • untuk menguruskan dan mengurangkan rasuah di dalam negara,
  • untuk menunjukkan jalan ke arah perpaduan nasional yang sebenar dan keharmonian antara kaum;
  • untuk mentadbir dengan lebih saksama dengan keadilan sosial dan kecekapan ekonomi,
  • untuk mengurangkan kadar kemiskinan populasi orang asal di Sabah dan Sarawak dan membawa pembangunan yang lebih mampan kepada kedua-dua negeri ini; dan
  • untuk membawa era baru dalam pentadbiran di mana demokrasi terus berkembang dan didalami.

Tiada ulasan: