Khamis, 13 Disember 2012

MUNGKIN ORANG PUN NAK JATUHKANNYA...KERANA MEREKA MENGANGGAP...SEBAB BELIAU UMNO TAK DITERIMA RAKYAT LAGI

Daftar pemilih segera, rugi tidak mengundi PRU13

Harakahdaily, 13 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menggesa semua rakyat Malaysia yang telah berusia 21 tahun dan ke atas untuk mengambil kesempatan mendaftar diri sebagai pemilih.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz (gambar) berkata, ini kerana tempoh pendaftaran pemilih hanya sehingga 31 Disember 2012 dan selepas itu kemungkinan besar rakyat Malaysia yang tidak berdaftar atau lambat mendaftar tidak berkesempatan mengundi dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Katanya, PAS WP menjangkakan pilihanraya umum akan diadakan pada pertengahan atau akhir bulan Mac 2013 dan mandat kerajaan paling akhir adalah pada bulan April 2013.

Justeru, ujarnya hanya daftar pemilih yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)  bagi suku ke empat 2012 (sehingga Disember 2012) sahaja akan digunakan sebagai daftar pemilih yang sah.

“Bulan Disember 2012 telah berlalu hampir separuh bulan, dan tinggal separuh bulan lagi untuk dihabisi. Rakyat mesti menggunakan sepenuhnya ruang yang ada sebelum tamatnya bulan Disember 2012 bagi mengelakkan hak mereka dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mengundi dalam pilihanraya umum adalah suatu kewajipan kepada semua rakyat Malaysia  yang layak.

Beliau menambah, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pilihanraya adalah proses bagi memilih kerajaan dan pemimpin-pemimpin negara.

“Rakyat berhak menentukan pemimpin negaranya melalui proses pilihanraya.

“Kesilapan memilih pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri, mengkayakan kroni, rasuah, korup, menyeleweng serta menyalahgunakan kuasa akan merosakkan masa depan negara,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau amat rugilah bagi mereka yang mensia-siakan peluang keemasan ini yang hadir hanya 5 tahun sekali.

Tambahnya, PAS WP percaya pilihanraya umum ke 13 adalah masa terbaik buat rakyat melakukan perubahan.

“Dengan sokongan rakyat yang semakin meningkat, isu yang begitu banyak di negara ini dan bukti  kebobrokan yang jelas dilakukan oleh kerajaan BN di hadapan mata, PAS WP merasa yakin rakyat akan melakukan perubahan dalam Pilihanraya Umum ke-13 dan mandat baru bersama kerajaan Pakatan Rakyat akan mampu diraih dalam PRU ke 13 hasil dukungan dan sokongan rakyat,” ujarnya.

Musuh Najib yang sebenar ada di dalam Umno

Aspan Alias, 13 Dis 2012
BN sedang menghadapi zaman getirnya. Lagi hampir pilihanraya sampai, lagi banyak masalah yang timbul. Dalam ingin memenangi pilihanraya UMNO mempunyai masalah berpuak-puak yang berusaha untuk memenangi puak yang mereka sokong untuk ke hadapan. Dalam masa yang sama Najib sedang menghadapi masalah peribadi yang besar hasil dari pembongkaran oleh mereka yang rapat dengan beliau (Najib) dahulu tentang banyak perkara. Isu Altantuya dengan akuan sumpah Bala Subramaniam dan kenyataan-kenyataan Musa Hassan merupakan isu yang mencengkam pemikiran Najib dan keluarga sekarang ini.
Masalah yang dihadapi Najib ini tidak pula mendapat sokongan dari dalam UMNO sendiri kerana terlalu ramai dalam UMNO sendiri mahukan Najib berundur selepas keputusan pilihanraya yang dijangka buruk diumumkan. Ramai di dalam UMNO mahukan UMNO dan BN hanya memenangi jumlah kerusi yang kurang dari apa yang didapati dalam pilihanraya yang lalu. Jika ini berlaku maka mudahlah bagi ‘Raja Muda’ UMNO mengambilalih jawatan yang disandang oleh Najib sekarang ini.

Najib nampaknya kesaorangan kerana dalam UMNO sendiri terlalu ramai yang berkeyakinan UMNO akan tumpas dan jika mendapat kemenangan pun UMNO akan hanya mendapat kemenangan tipis. Dalam kedua-dua situasi ini Najib terpaksa berundur dan melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan. Bagaimana situasi ini boleh berlaku, ia merupakan ulangan sejarah dalam UMNO kerana perkara seperti ini sememangnya biasa berlaku dalam parti itu.

Hanya kali ini perpecahan yang berlaku akan menjahanamkan UMNO buat selama-lamanya kerana kekuatan Pakatan Rakyat yang menonjol dan jelas mendapat dukungan rakyat berbilang kaum sekarang ini. Najib sebagaimana yang saya sebutkan selalu, mempunyai musuh yang lebih ramai di dalam UMNO itu sendiri daripada musuh di luar parti itu.. Najib sedang berhadapan dengan musuh di hadapan beliau iaitu pihak pembangkang dan musuh yang lebih merbahaya sekali, iaitu musuh beliau yang berada di dalam UMNO itu sendiri.

Ramai di dalam UMNO itu sendiri sudah merasakan yang UMNO itu sudah menjadi parti yang semakin hari semakin kurang mendapat  keyakinan dari ahli-ahlinya sendiri. Elemen yang akan menjatuhkan UMNO itu bukannya disebabkan kekuatan pembangkang semata-mata, tetapi yang akan menjadikan UMNO itu kecundang ialah kerana kekurangan keyakinan di kalangan ahli-ahlinya sendiri.

Persoalan yang mesti kita bertanya kenapa UMNO itu semakin hari semakin tidak diyakini oleh ahli-ahlinya sendiri?

Salah satu dari sebabnya ialah kerana pucuk pimpinannya yang mempunyai terlalu besar masalah yang terpaksa memikul ‘baggage’ nya yang terlalu berat. Ahli-ahli UMNO yang pada asasnya tidak mempunyai daya juang yang kuat akan mudah merasa rendah diri apabila mereka melihat kemaraan Pakatan Rakyat yang semakain kuat dan di sebelah diri masing-masing melihat masalah peribadi pucuk pimpinan mereka yang terlalu besar.

Apa yang menjadi masalah lagi ialah, tidak ramai pimpinan UMNO itu sendiri yang bingkas mempertahankan Presidennya sendiri kerana di dalam hati mereka yakin yang isu-isu serta tuduhan  terhadap Presidennya itu ada asasnya dan mereka merasakan mempertahankan Najib itu akan mencederakan kredibiliti mereka sendiri. Malahan ramai di antara mereka tidak mahu di‘associate’kan dengan Datuk Najib dan lebih mempunyai kecenderungan untuk mengaku untuk berpihak kepada Muhyiddin Yassin.

Di belakang tabir ramai di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri mahukan banyak kerusi dimenangi oleh pembangkang kerana mereka tidak mempunyai keyakinan yang Najib mampu memulihkan imej UMNO sebagai parti yang mempunyai kredibiliti. Ramai juga di kalangan pemimpin UMNO yang menangguk di air yang keroh untuk kepentingan peribadi mereka.

Menikam pimpinan dari belakang ini merupakan kemahiran ramai pimpinan UMNO. Sekarang sejarah berulang sekali lagi. Datuk Hussein Onn terpaksa mengumumkan tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 1981 selepas beliau di tandingi oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1978 dahulu. Sulaiman Palestin telah menandingi jawatan Presiden UMNO pada tahun 1978 di atas permainan “Raja Muda’ UMNO semasa itu untuk menekan Hussein berundur bagi ‘Raja Muda’ itu mengambil alih jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Usaha ‘Raja Muda’ UMNO itu berjaya dan kejayaannya membaling batu sembunyi tangan itu menempatkan beliau menjadi Presiden UMNO secara percuma dalam tahun 1981 dan beliau telah mula memecahkan UMNO dengan melagakan Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO dan inilah cara pemimpin yang saya selalu sebutkan namanya di dalam blog ini bermain politik. Secara sistematik beliau telah menghapuskan semua pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai ‘consequence’ kepada negara dalam tempuh kurang dari sepuluh tahun. Tiada siapa yang beliau was-was dan cemburui akan selamat di bawah pimpinan orang ini.

Dalam permainan politik intra UMNO sekarang ini pun, beliau adalah pemain utamanya dan jika diikutkan kehendak hatinya beliau mahukan Najib berhenti dan memberikan kuasa kepada Muhyiddin. Itulah sebabnya saya selalu berkata UMNO tidak perlu berdepan dengan pembangkang untuk tumpas, tetapi UMNO wajar berperang sesama sendiri terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan pembangkang.

Dalam pada Najib terdesak dengan permainan ini beliau terpaksa tunduk juga kepada pengaruh orang ini dan beliau (Najib) telah mengikut telunjuk dan kerenah orang ini sehinggakan banyak kesempatan diambil oleh keluaraga orang ini untuk mendapatkan peluang perniagaan secara monopolistik dalam negara ini.

Selagi orang ini masih bercakap politik dan bercakap pasal UMNO selagi itulah politik negara kita akan berkecamuk kerana keadaan berkecamuk inilah yang di kehendaki beliau kerana situasi berpecah belah UMNO itu akan meletakkan beliau sebagai orang penting kepada semua pihak.

Mungkin UMNO akan selamat apabila beliau berhenti bercakap politik yang membingungkan ramai orang itu. Tetapi apa pun samada beliau masih bercakap politik atau tidak UMNO sudah tidak bermaya lagi untuk maju dan eloklah begitu. Biarkan pihak lain pula yang mentadbir kita. Tidak ada salahnya jika kita lakukan secara serius untuk perubahan itu, kerana demokrasi membenarkannya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

RM20 juta Road to London atau Road to...

Nasrudin Hassan, 13 Dis 2012
1. Umum mengetahui bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengakui bahawa projek sukan berprestasi tinggi Road To London untuk membawa pulang emas pertama negara dari sukan temasya Olimpik 2012 telah gagal. Dari 28 atlet yang bertanding, kontinjen negara hanya membawa pulang pingat gangsa dan perak di dalam acara badminton dan terjun.

2. Menteri bertanggungjawab Dato Seri Ahmad Shabery Cheek telah berjanji untuk segera mempersembahkan laporan penuh termasuk perbelanjaan peruntukan RM 20 juta kepada tatapan umum. Namun demikian dalam satu keputusan "flip flop" yang begitu sinonim dengan era pentadbiran Najib, Pengarah MSN Dato' Zolkples Embong mengumumkan baru-baru ini bahawa laporan tersebut tidak akan dibentangkan untuk santapan umum.

3. Sekilas pandang, ianya menampilkan situasi yang cukup janggal apabila kenyataan seorang Menteri telah dinafikan oleh orang bawahan beliau sendiri.

4. Yang lebih penting, ianya turut menjurus kepada persoalan utama adakah KBS kini menklasifikasi laporan projek itu sebagai dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) apabila ianya tidak dibentangkan kepada umum? Apakah yang ingin disembunyikan oleh Menteri dan KBS?

5. Sekira itu keadaannya, aspek kerahsiaan laporan projek Road To London bernilai RM 20 juta tersebut kini berada pada kelas kerahsiaan yang setara dengan penganugerahan projek LRT kepada George Kent bernilai RM 1.1 billion, penyalahgunaan dana awam RM 250 juta projek NFC dan wang komisyen RM 600 juta dalam projek kapal selam Scorpene yang semuanya kini di"kunci" atas alasan rahsia rasmi kerajaan.

6. Keputusan ini menjadi satu lagi bukti ketidakseriusan kerajaan mengambil pertanggungjawaban dalam soal janji yang telah dibuatnya. Ironinya, ianya turut menimbulkan kelucuan kerana KBS tanpa sebarang alasan munasabah telah mencipta kontroversi dari isu yang sebegini mudah.

7. Kita juga tidak bersetuju dengan kenyataan berulangkali orang-orang penting KBS yang mengganggap jumlah RM 20 juta sebagai kecil. Hakikatnya negara seperti Ethopia (3 pingat emas, 7 pingat keseluruhannya) yang jelas tidak mempunyai wewenang seperti Malaysia masih mampu mwmbawa pulang pingat secara konsisten. Apa yang penting bukanlah jumlah tetapi kebijakan di dalam perbelanjaan.

8. Kita berharap Pesuruhjaya Sukan selaku arbiter bebas akan membetulkan keadaan ini dengan menggunakan kuasa yang ada untuk menekan pihak berwajib membentangkan laporan penuh Road To London demi kepentingan awam khususnya apabila kini pihak Kementerian kelihatannya cuba menyembunyikan sesuatu.

9. Pada masa yang sama kita ingin mengajak semua pihak - para penulis dan peminat sukan, individu dan komuniti sivil yang cakna dengan perbelanjaan kerajaan untuk menggunakan ruang sedia; artikel, surat dan media baru bagi mendesak KBS supaya telus di dalam membincangkan projek Road To London.

10. Dengan tambahan peruntukan sebanyak RM 50 juta bagi projek Road To Rio di dalam Bajet 2013, masyarakat perlu tahu di manakah kesilapan kita di dalam Olimpik 2012 agar kesilapan itu tidak diulangi di dalam persediaan kita menghadapi sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro kelak. Sukan untuk semua. Majulah sukan untuk negara.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

HKR: Terengganu 14 dan 15, Perlis 17 Disember

Harakahdaily, 13 Dis 2012
KUALA TERENGGANU: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Terengganu akan diadakan  14 dan 14 Disember ini di Paka, Dungun.

Di Terengganu, program ini lebih dikenali dengan nama PGU (PAS Ganti Umno) sempena program yang diadakan seluruh Terengganu sebelum ini.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut serta di program ini nanti adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Datuk Yahya Lampong, bekas timbalan menteri juga akan menyertai program ini.

Di KANGAR: Siri Himpunan Kebangkitan Rakyat akan meneruskan momentumnya bagi peringkat negeri Perlis pada 17 Disember ini.

Himpunan peringkat negeri Perlis ini akan diadakan di Kompleks PAS Perlis di Kampung Pondok dekat sini.

Program bermula dengan penampilan selebriti Aby Abadi yang akan bersama para peminatnya dalam program Santai Wanita pada jam 5.00 petang.

Kemuncak program Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat akan bermula jam 9.o0 malam dengan persembahan kebudayaan melibatkan kesemua kaum utama seperti Hadrah, gendang Cina, gendang India serta gendang kaum Thai.

Ini diikuti dengan pidato yang bakal disampaikan oleh pimpinan termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Setiausaha Agung KeADILAn, Datuk Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke.

Tak mahu Malaysia jadi Negara Koboi

Zaimah Hashim,
Provokasi yang dilakukan oleh samseng-samseng Umno semasa ceramah Pakatan Rakyat di Gombak baru-baru ini amat dikesali. Ia juga menunjukkan bahawa negara kita makin lama makin menjadi Negara Koboi ataupun sudah pun menjadi Negara Koboi.

Antara ciri Negara Koboi adalah:

1.      Berleluasanya budaya samseng dalam masyarakat: Selain kejadian di Gombak tempoh hari, sudah banyak kali ceramah Pakatan Rakyat diganggu oleh samseng Umno/Barisan Nasional. Ini baru soal politik. Selain itu, budaya samseng makin menular dalam masyarakat kita, malah sudah pun merebak di peringkat sekolah rendah. Kewujudan budaya ini dalam masyarakat kita terbukti lagi dengan penerbitan makin banyak filem-filem bertema samseng, seperti KL Gangster, PE3, Budak Pailang dan sebagainya.

2.      Berleluasanya penggunaan senjata api dalam jenayah ganas: Hampir setiap hari kita membaca atau mendengar berita tentang penggunaan senjata api dalam jenayah ganas yang membabitkan pembunuhan. Ini menunjukkan seolah-olah amat mudah bagi penjenayah mendapatkan pistol di negara ini. Tidak cukup dengan itu, kes jenayah yang melibatkan penggunaan bom juga sudah banyak kali berlaku. Yang terbaru adalah kes pengedar dadah melemparkan bom tangan ke arah pasukan polis yang mengejarnya.

3.      Jenayah berleluasa dan dianggap sebagai perkara biasa: Antara lima dan sepuluh tahun yang lalu, adalah amat sukar bagi kita mendengar siren polis. Tetapi pada hari ini, siren polis sudah menjadi perkara biasa. Kini, jenayah terlalu kerap berlaku, hinggakan ia dianggap sebagai perkara biasa, terutama oleh para penduduk bandar.

4.      Penjenayah galak melakukan jenayah: Sudah banyak kes di mana penjenayah tidak takut melakukan jenayah atau seolah kebal dari tindakan undang-undang. Misalnya adalah kewujudan pusat perjudian haram yang dibuka berdekatan balai polis.

5.      Pihak berkuasa lepas tangan: Contohnya adalah apabila ceramah-ceramah Pakatan Rakyat diganggu dan diprovokasi, pihak polis membiarkan sahaja dan tidak menangkap samseng-samseng tersebut.

6.      Sikap saling mencurigai: Disebabkan berleluasanya jenayah, maka rakyat hidup dalam ketakutan. Suasana takut ini kemudiannya mengakibatkan rakyat kini saling mencurigai antara satu sama lain. Contohnya, sekarang ni, apabila kita sekadar hendak bertanyakan arah jalan, ada orang yang tidak berani melayan kerana menyangka kita adalah penjenayah yang menggunakan pertanyaan itu sebagai helah.

7.      Pergantungan pada pengawal swasta dan alat keselamatan: Sekarang ni, jika kawasan perumahan kita tidak membayar syarikat keselamatan swasta bagi melakukan rondaan, maka kita dianggap sebagai ganjil. Dengan meningkatnya kadar jenayah, banyak kejiranan terpaksa mewujudkan komuniti berpengawal dan berpagar (gated and guarded) bagi memastikan keselamatan kejiranan mereka. Tidak cukup dengan itu, sudah banyak rumah yang memasang penggera dan CCTV. Pergantungan yang kian meningkat pada pengawal swasta dan alat keselamatan adalah satu lagi ciri Negara Koboi. Tidak mustahil bahawa jika kadar jenayah terus meningkat, maka suatu hari nanti, kita terpaksa menggunakan sistem akses kad (card access system) untuk masuk ke dalam rumah kita.

8.      Terpaksa menawarkan ganjaran bagi menangkap penjenayah: Kini, sudah semakin banyak pihak, sama ada individu ataupun organisasi yang terpaksa menawarkan ganjaran bagi menangkap penjenayah yang telah melakukan jenayah terhadap mereka. Ini antara lain menunjukkan bahawa rakyat kurang percaya pada keupayaan pihak polis bagi membanteras jenayah.

9.      Berleluasanya ketidakadilan: Berleluasanya ketidakadilan adalah satu lagi ciri Negara Koboi. Ramai orang kini sebenarnya lebih percaya dan yakin pada NGO daripada kerajaan. Mereka yakin bahawa NGO lebih mampu membantu mereka menyelesaikan masalah dan mendapatkan keadilan. Antara punca ini berlaku adalah berleluasanya ketidakadilan dalam masyarakat, yang mana kerajaan yang sepatutnya menegakkan keadilan. Maka apabila kerajaan dilihat tidak menegakkan keadilan, maka rakyat yang tertindas terpaksa memohon bantuan daripada NGO.

4G: Jawapan SKMM melawan lojik

Harakahdaily, 13 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Jawapan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempertahankan penganugerahan  40 daripada 60 MHz jalur 4G kepada syarikat Puncak Semangat kepunyaan Syed Mokhtar Al-Bukhary disifatkan melawan logik.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua (gambar) sebelum ini mempertikaikan penganugerahan ini kerana Puncak Semangat tiada pengalaman dalam industri telekomunikasi.

Puncak Semangat, katanya diberi keutamaan berbanding tujuh syarikat jalur lebar sedia ada – Maxis Broadband Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Redtone Marketing Sdn Bhd, YTL Communications and Packet One Networks (M) Sdn Bhd – yang hanya dianugerahkan hanya 20MHz.

Pengerusi SKMM Datuk Mohd Sharil Tarmizi berkata penanugerahan 40MHz kepada Puncak Semangat adalah adalah untuk “memperkenalkan persaingan tambahan”.

“Lihatlah pasaran sekarang, jika kita meninggalkan lapan pemain mereka sendiri, di mana penyelesaian, aplikasi dan inovasi akan menjadi?” kata Sharil.

Pua berkata penjelasan Sharil melawan lojik dan berkata sekiranya lapan pemain adalah tidak mencukupi untuk membawa inovasi, maka SKMM harus bertanggungjawab kerana membenarkan firma-firma terlibat untuk berpakat secara sulit.

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pua berkata fungsi SKMM adalah untuk menggalakkan persaingan dan menghalang pakatan sulit antara firma telekomunikasi.

SKMM kata beliau sepatutnya kekal fungsinya sebagaimana yang termaktub.

“Jika tidak, ia adalah terang bahawa SKMM telah melepasi ruang kuasanya untuk bermain ‘Tuhan’ dalam industri tersebut untuk menentukan mana keuntungan syarikat yang perlu digemukkan, dan melupakan kepentingan berjuta pengguna telekomunikasi di Malaysia,” kata Pua.

Pua turut menyelar kenyataan Sharil yang berkata cara bidaan adalah tidak sesuai untuk mengagihkan spektrum jalur 4G.

Melalui bidaan, kata Pua akan memberikan SKMM kuasa untuk menarik balik lesen sambil mengekalkan keuntungan yang diperoleh daripada bidaan sekiranya syarikat yang terpilih gagal.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mempertahankan anugerah SKMM kepada Puncak Semangat.

Anugerah itu, kata beliau adalah patut kerana Syed Mokhtar mempunyai rekod pencapaian yang baik.

"Kalau sudah dia (Syed Mokhtar) ada kebolehan, kita tidak boleh diskriminasi kepadanya. Kerana orang lain pun dapat.

"Orang lain yang sudah kaya daripada beliau pun dapat juga. Mengapa nak serang dia sahaja?” kata beliau.

Salun: Gerakan, MCA gagal raih simpati

Rizal Tahir, 13 Dis 2012
KOTA BHARU: MCA dan Gerakan dianggap gagal meraih simpati pengundi bukan Islam di Kelantan berkaitan isu salun yang cuba dipolemik, setelah diselesai segera kerajaan negeri.

Keputusan Kelantan menangguh penguatkuasaan syarat-syarat Lesen Kedai Gunting Rambut berkaitan orang bukan Islam sehingga satu kajian dan penilaian semula dibuat disifat pelbagai pihak tindakan bijak.

Bekas Setiusaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua (gambar) berkata, pemimpin Gerakan dan MCA paling kecewa dengan keputusan terbaru kerajaan negeri semalam.

“Saya menemui beberapa pemimpin MCA dan Gerakan di sini, mereka menyatakan sangat kecewa kerana isu ini dapat diselesaikan dalam masa singkat.

“Mereka mengeluh kerana tidak dapat lagi mengambil kesempatan mengeksploit isu berkenaan bagi meraih simpati pengundi Cina,” katanya di sini.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penangguhan penguatkuasaan tersebut mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan hasil perjumpaan dengan pemimpin NGO bukan Islam baru-baru.

Menurutnya penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Ke Atas Orang Bukan Islam yang telah diguna pakai sejak 1991 ditangguhkan pada mesyuarat Exco.

Sebelum ini seorang pengurus kedai gunting, Ong Lee Ting mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Ekoran itu kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kelantan.

Calon DHPP: Kesungguhan PAS Pahang dihargai

Anis Nazri, 13 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kesungguhan PAS Pahang untuk meletakkan calon dari kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) disambut baik.

Malah, kesungguhan itu perlu dicontohi negeri-negeri lain yang pernah menyuarakan hasrat sama berkenaan perkara tersebut.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa (gambar) berkata kesungguhan PAS Pahang itu merupakan satu berita gembira kepadanya dan ahli DHPP.

"Saya gembira dengan kesediaan PAS Pahang yang ingin memberikan satu kerusi kepada calon dari DHPP. Saya masih menunggu negeri-negeri lain menyatakan komitmen yang sama," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Mujahid berkata selain Pahang, beberapa negeri lain pernah menyatakan hasrat yang sama iaitu Selangor, Sabah, Sarawak dan Perak.

Namun, tegas Mujahid negeri-negeri tersebut masih belum menunjukkan kesungguhan seperti Pahang.

"Saya harap, di negeri-negeri lain itu perlu berani menyatakan kesediaan untuk meletakkan calon DHPP di satu kerusi menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang," tegas beliau.

Biarpun menyedari pemilihan calon akan diputuskan Majlis Syura PAS, Mujahid berkata secara umumnya Majlis Syura telah memberikan 'lampu hijau' berkenaan perkara tersebut.

"Tinggal lagi, mencari calon-calon di kalangan DHPP yang boleh membawa agenda parti menjelang pru-13 ini," tegas beliau.

Tiada ulasan: