Empat beranak rentung setelah kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres lalu terbakar dalam kemalangan di Kilometer 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik di Kemaman awal hari ini.
   
Kemalangan ngeri itu meragut nyawa seorang guru, Mohd Sabirin Sulaiman, 50, dan isterinya Halina Saif@Saib, 40, serta dua anak perempuan mereka Siti Aisyah, 14, dan Siti Khatijah, 12.
  
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang mereka naiki, mengakibatkan kereta itu terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang.
  
Katanya kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga terbabit dari arah Kuantan menghala ke Dungun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas berkenaan.
  
Beliau berkata kereta yang dipandu Mohd Sabirin bertembung dengan bas ekspres dari Kota Baharu, Kelantan menuju ke Melaka sebelum kereta itu diseret bas ekspres kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.
  
"Pertembungan itu mengakibatkan kereta yang dinaiki keluarga malang itu terbakar sebelum api menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
  
Jamshah berkata empat beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Dungun selepas menghantar anaknya menyertai pertandingan catur.
  
Beliau berkata Mohd Sabirin merupakan seorang guru bahasa Jepun dan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun dan keluarga itu tinggal di Jalan Tok Mudim, Batu 5 Dungun.
  
"Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan mungkin jalan licin menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan. Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
  
"Saya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu di musim hujan ini berikutan jalan licin dan jalan berlopak. Ini kerana dalam tempoh dua minggu ini, dua hingga tiga kes maut dicatatkan disebabkan faktor itu," katanya.
  
Mayat Mohd Sabirin yang pertama dibawa keluar disusuli Siti Aisyah yang rentung keseluruhan badan, diikuti Halina yang rentung sehingga ke paras pinggang dan yang terakhir Siti Khatijah yang rentung keseluruhan badannya.

Sementara itu pemandu serta lapan penumpang bas ekspres itu mengalami cedera ringan termasuk seorang yang patah kaki ketika cuba menyelamatkan diri sebelum bas tersebut terbakar.
  
Seorang penumpang Wan Mohd Al-hakim Wan Yusoff, 27, berkata semasa kejadian dia baru sahaja hendak tidur selepas berbalas khidmat pesanan ringkas bersama rakannya.
  
Namun tiba-tiba dia terasa bas terbabas ke kiri jalan dan terdengar dentuman kuat serta jeritan meminta tolong dari luar bas.

"Saya terjaga dan nampak kereta telah melanggar bas yang saya naiki selain itu saya turut mendengar jeritan dari luar bas namun saya tidak berani nak tengok dan lihat api dari depan bas.

"Masa itu hanya fikir nak selamatkan anak saya Wan Mohd Adam Al-Haqq dan saya mencari anak yang jatuh dari tempat duduk dan terlihat kepulan asap di dalam bas," katanya.
  
Wan Mohd Al-hakim berkata kesemua penumpang cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana pintu berkunci sebelum seorang daripada penumpang memecahkan pintu utama untuk membolehkan mereka keluar.
  
Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan punggung manakala seorang lagi penumpang Mohd Faiz Sulihan, 23, patah kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.
    
- Bernama
4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman
RAIHAM SANUSI
23 Disember 2012
4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman
Empat sekeluarga (dari kiri) Sabirin Sulaiman, 50, Halina Saif @ Saib, 40, Siti Aisyah Sabirin, 14, dan Siti Khadijah Sabirin, 12, maut dalam kemalangan jalan raya.
4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman
Pihak polis menjalankan pemeriksa di kawasan kemalangan membabitkan bas dan kereta di Kemasik.
Keadaan bas ekspres yang hangus terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta. - Foto Bernama
Keadaan bas ekspres yang hangus terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta. - Foto Bernama
[DIEMAS KINI 1.45 PETANG] KEMAMAN - Empat mangsa dari satu keluarga rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di depan IKBN Kemasik di sini kira-kira jam 1 pagi tadi.
Kesemua empat mangsa yang rentung merupakan pemandu kereta dan tiga penumpangnya.
Pemandu yang terbunuh dikenali sebagai Sabiren Sulaiman, 45; dari Batu Pahat, Johor; isterinya, Halina Said, 40; dan dua anak mereka Siti Khalijah, 12 dan Siti Aishah.
Mohd Sabiren merupakan seorang guru.
Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa dipetik Bernama berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang mereka naiki, mengakibatkan kereta itu terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang.
Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga terbabit dari arah Kuantan menghala ke Dungun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas berkenaan.
Beliau berkata, kereta itu bertembung dengan bas ekspres dari Kota Baharu, Kelantan menuju ke Melaka sebelum kereta itu diseret
bas ekspres kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.
"Pertembungan itu mengakibatkan kereta yang dinaiki keluarga malang itu terbakar sebelum api menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Empat beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Dungun selepas menghantar anaknya menyertai pertandingan catur.
Beliau berkata Mohd Sabirin merupakan seorang guru bahasa Jepun dan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun dan keluarga itu tinggal di Jalan Tok Mudim, Batu 5 Dungun.
"Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan mungkin jalan licin menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan. Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
"Saya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu di musim hujan ini berikutan jalan licin dan jalan berlopak. Ini kerana dalam tempoh dua minggu ini, dua hingga tiga kes maut dicatatkan disebabkan faktor itu," katanya.
Mayat Mohd Sabiren yang pertama dibawa keluar disusuli Siti Aisyah yang rentung keseluruhan badan, diikuti Halina yang rentung sehingga ke paras pinggang dan yang terakhir Siti Khatijah yang rentung keseluruhan badannya.
Sementara itu, pemandu serta lapan penumpang bas ekspres itu mengalami cedera ringan termasuk seorang yang patah kaki ketika cuba menyelamatkan diri sebelum bas tersebut terbakar.
Seorang penumpang Wan Mohd Al-hakim Wan Yusoff, 27, berkata semasa kejadian dia baru sahaja hendak tidur selepas berbalas khidmat pesanan ringkas bersama rakannya.
Namun tiba-tiba dia terasa bas terbabas ke kiri jalan dan terdengar dentuman kuat serta jeritan meminta tolong dari luar bas.
"Saya terjaga dan nampak kereta telah melanggar bas yang saya naiki selain itu saya turut mendengar jeritan dari luar bas namun saya tidak berani nak tengok dan lihat api dari depan bas.
"Masa itu hanya fikir nak selamatkan anak saya Wan Mohd Adam Al-Haqq dan saya mencari anak yang jatuh dari tempat duduk dan terlihat kepulan asap di dalam bas," katanya.
Wan Mohd Al-hakim berkata kesemua penumpang cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana pintu berkunci sebelum seorang daripada penumpang memecahkan pintu utama untuk membolehkan mereka keluar.
Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan punggung manakala seorang lagi penumpang Mohd Faiz Sulihan, 23, patah kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Tubuh manusia disangka bangkai
NORIZZAH BAHARUDIN
23 Disember 2012
Tubuh manusia disangka bangkai
Mayat mangsa diseret dan dilanggar kenderaan lain sejauh kira-kira 60 meter.
ALOR GAJAH - Seorang anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang, Johor, maut selepas motosikal Yamaha 125Z yang ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 203.8, Lebuhraya Plus arah utara, di sini, tengah malam semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa, Saiful Ramli, 22, yang datang dari arah Muar, Johor menuju ke Seremban merempuh belakang sebuah kereta sebelum tercampak ke tengah jalan lalu dilanggar kenderaan lain.

Sumber polis berkata, kejadian disedari seorang pemandu lori yang ketika itu sedang melalui jalan berkenaan dan ternampak objek di laluan kiri yang disangkanya bangkai haiwan.

“Pemandu itu yang dalam perjalanan menghantar perkakasan elektronik ke Pulau Pinang kemudian menyedari objek tersebut adalah tubuh manusia. Dia segera hentikan lori di tepi lebuh raya dan cuba membantu mengawal lalu lintas.
“Dia juga menghubungi khidmat lebuh raya sambil memerhatikan mayat itu dari jauh berharap ia tidak akan dilanggar lagi oleh kenderaan lain,” kata sumber polis berkenaan.

Menurut sumber polis itu lagi, cebisan daging mangsa juga bertaburan atas jalan raya kerana dipercayai terseret kira-kira 60 meter dari motosikalnya. Badan mangsa dalam keadaan separuh hancur.

“Mayat mangsa yang terseret di laluan kiri mengakibatkan banyak kenderaan hampir hilang kawalan untuk mengelak,” katanya.

Sumber polis berkata, sementara menunggu bantuan kecemasan, orang awam yang memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya juga terpaksa menggunakan lampu suluh dan memberi isyarat kepada pengguna lain agar tidak merempuh mayat mangsa.

Arwah berubah jadi pendiam

Sementara itu rakan mangsa, Mohd Fadli Shafie, 22, berkata, sebelum tragedi itu berlaku, dia sempat menghantar Saiful pulang ke rumah kedua ibu bapanya di Sungai Mati, Muar kira-kira jam 6 petang dari Kem Mahkota.

“Semasa saya menghantarnya pulang ke rumah, arwah tidak seperti biasa yang suka berlawak dengan saya. Dia hanya menjawab apabila saya bertanya.

“Bagaimanapun dia ada beritahu saya tentang hajatnya hendak keluarkan wang bonus Januari ini untuk diberikan kepada ibu dan ayah agar mereka dapat bina sebuah lagi rumah," katanya.

Mohd Fadli yang mengenali Saiful sejak mula memasuki khidmat tentera empat tahun lalu berkata, arwah ada memberitahunya hendak ke Melaka pada sebelah malam namun tidak tahu tujuannya hingga menerima berita tidak disangka-sangka itu.

“Sekarang arwah sedang menjalani kursus dalam kem selama empat bulan hingga pertengahan Januari namun tidak sempat menamatkannya. Arwah juga rajin pulang ke kampung pada setiap hujung minggu,” katanya.

Sempat borak dengan anak
Bapa mangsa, Ramli Ibrahim, 50, memberitahu Sinar Harian, dia juga sempat berborak anak ketiganya itu sebelum arwah keluar kira-kira jam 10 malam.
“Arwah beritahu hendak ke Seremban berjumpa rakannya dan sudah menjadi kebiasaan dia keluar pada waktu malam dan pulang pagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat sekiranya punca kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain.

“Polis sedang mengenal pasti sekiranya ada kenderaan lain yang terlibat hingga mengakibatkan kemalangan maut itu berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Daerah, 06-5562222 atau datang ke balai bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Pas pertahan Nik Aziz, dakwa Muhyiddin 'macam anak kecil'
JAMILAH HAMZAH
23 Disember 2012
Salahuddin Ayub
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Pemimpin kanan Pas mempertahankan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang melabel Mursyidul Am Pas bermulut celupar, sebagai "anak kecil yang menangis apabila dipukul."

Sehubungan itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, sebagai seorang pemimpin tertinggi negara, Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno tidak perlu bertindak seperti anak kecil apabila dipukul terus menangis.

Menurutnya, Muhyiddin seharusnya menggunakan kebijaksanaan apabila mengeluarkan kenyataan balas membidas Nik Aziz.

"Seharusnya Muhyiddin menjawab apa yang dikatakan oleh Nik Aziz secara "gentlemen."

"Bukan menjadi seperti anak kecil, apabila dipukul sedikit terus menangis.

"Umno kena balas balik dengan hujah-hujah (yang bernas) untuk nafikan apa yang dikatakan Nik Aziz jika tak betul, bukan menangis," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai bermulut celupar dan suka membuat fatwa sendiri apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno sebagai mungkar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata, kenyataan itu adalah rentetan fatwa songsang pemimpin Pas itu setiap kali menjelang pilihan raya umum.

"Itu satu lagi bukti Nik Aziz mengeluarkan faktwa yang tidak mengikut hukum bila dia sebut kumpulan orang yang mungkar ini kafir, orang Umno ini Firaun dan macam-macam lagi zalim dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno perlu bertindak dengan betul apabila ditegur oleh  Nik Aziz.

Tuan Ibrahim berkata, Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan bukan celupar, sebaliknya itu reaksi spontan beliau apabila melihat keadaan Umno yang semakin menyimpang daripada landasan sebenar.

"Yang penting bukan pada siapa yang mengeluarkan kenyataan, tapi kenapa Nik Aziz cakap begitu.

"Umno kena lihat itu sebagai teguran dan memperbaiki keadaan.

"Memang kita nafikan tindakan Nik Aziz itu bukan celupar, tetapi memberi reaksi spontan terhadap keadaan Umno yang semakin terkeluar daripada ajaran Islam," katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.
Karpal minta Tunku Aziz tarik balik kenyataan

23 Disember 2012
Karpal Singh
Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh
GEORGETOWN - Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini menggesa bekas naib pengerusi parti itu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya menarik balik secara terbuka kenyataannya dalam artikel berita bertajuk 'DAP's triumph of chauvinistic will'.
Beliau mendakwa dalam artikel itu yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, Tunku Aziz menyebut bahawa beliau (Karpal Singh) mengeluarkan apa yang boleh dianggap sebagai perintah yang menghalang anggota DAP daripada menerima darjah kebesaran negeri daripada Raja-raja Melayu.

"Kenyataan Tunku Aziz itu sememangnya separuh benar dan dilakukan semata-mata dengan tujuan dan matlamat untuk memburukkan saya pada pandangan orang Melayu di negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Karpal Singh berkata beliau tidak pernah mengungkapkan perkataan Raja-raja Melayu, sebaliknya hanya menyatakan bahawa anggota DAP, iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, tidak wajar menerima anugerah yang membawa gelaran 'Datuk' dalam tempoh memegang jawatan bagi memastikan ketelusan.
Dalam perkara berasingan, Karpal Singh berkata kematian bekas presiden Gerakan dan bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Tun Dr Lim Keng Yaik adalah kehilangan besar kepada landskap politik tanah air.
Menyifatkan mendiang Dr Lim sebagai seorang yang sentiasa riang, Karpal Singh berkata Dr Lim adalah pemimpin yang hebat dan tidak pernah bermasalah dengan beliau sungguhpun mereka berlainan parti.- Bernama
'Pesta liar' di PD gagal
NURULATIQ AHMAD BANDI
23 Disember 2012
PORT DICKSON – Polis berjaya mengagalkan penganjuran satu pesta yang bakal disertai lebih 100 remaja, dipercayai dari ibu negara di sini, malam tadi.

Pesta yang dikenali sebagai Moon Soon Beach Party itu diadakan di tepi pantai, lengkap dengan pentas serta sistem pembesar suara, dengan hidangan minuman keras dan dihadiri puluhan pasangan kekasih.

Bagi menarik orang ramai, penganjur dikatakan menggunakan nama sebuah hotel terkemuka di bandar berkenaan dan Tourism Malaysia yang dicetak pada tiket yang dijual dengan harga RM165 seorang.

Penganjur juga meletakkan syarat, peserta yang hadir hanya dibenarkan memakai bikini bagi wanita dan berseluar pendek bagi lelaki.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, polis melakukan gerakan menyiasat motif penganjuran pesta berkenaan hasil maklumat orang awam selepas mendapati aktiviti mencurigakan di kawasan pesta tersebut.
Tidak rasmi: Draf perlembagaan Mesir diterima
Wartawan Sinar Harian
23 Disember 2012
Antara rakyat Mesir yang mengundi dalam referendum semalam
Antara rakyat Mesir yang mengundi dalam referendum semalam. - Foto ihsan CNN
KAHERAH - Keputusan tidak rasmi awal hari ini menunjukkan draf perlembagaan, yang digubal susulan kebangkitan rakyat tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, menerima sokongan rakyat Mesir.

Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan pengiraan undi pihak Ikhwanul Muslimin dan akhbar separa rasmi, al-Ahram, demikian menurut laporan CNN.

Pengundian peringkat kedua semalam melibatkan 17 wilayah berakhir 11 malam waktu tempatan.

Menurut Ikhwanul Muslimin, parti menyokong kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, 'keputusan akhir' menunjukkan 64 peratus mengundi menyokong perlembagaan baru berbanding 36 peratus menentang.

Laporan CNN menyebut keputusan rasmi tidak mungkin akan diumumkan sehingga lewat hari ini.

Pusingan pertama minggu lalu diadakan di wilayah yang liberal di Kaherah.

Suruhanjaya Pilihan Raya Agung merancang untuk menghebahkan keputusan rasmi melalui sidang akhbar tidak lama lagi.
Berlaku kontroversi melibatkan draf perlembagaan itu sehingga mencetuskan keadaan tegang di Mesir.

Menurut media, ketegangan terbaru kelmarin menyebabkan 77 cedera dan pihak polis turut terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan tekanan.

Pengundian turut dicemari dengan dakwaan sabotaj apabila 123 kumpulan hak asasi tempatan mengadu mengenai ugutan rasuah dan suruhan jaya pilihan raya berjanji untuk menyiasat perkara itu.

Kumpulan minoriti pembangkang pula mendakwa mereka dikecualikan dan suara mereka tidak pernah didengar berhubung draf perlembagaan kontroversi ini.

Pembangkang pula merasakan piagam ini agak mengelirukan dan tidak akan melindungi hak rakyat Mesir yang berjuang dalam revolusi semasa menggulingkan Hosni

Penyokong perlembagaan pula mendakwa ia digubal untuk melindungi hak peribadi terutamanya peruntukan pengendalian tahanan dalam sistem kehakiman.

Kumpulan hak asasi antarabangsa,  Human Rights Watch pula berkata perlembagaan baru itu melindungi bebrapa hak tetapi ia melemahkan orang lain.

Ia juga gagal melindungi kebebasan bersuara dan agama.
Exco: Saya akan terus dedah 'skandal' pembangkang
Wartawan Sinar Harian
23 Disember 2012
Exco: Saya akan terus dedah 'skandal' pembangkang
Hamidah menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh, semalam.
IPOH - “Saya akan terus bongkar apa mereka buat,” tegas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman ketika membuat laporan polis terhadap ugutan diterima daripada Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Menurutnya, laporan polis dibuat bagi mendapatkan perlindungan pihak berkuasa kerana bimbang keselamatannya dan keluarga.

Beliau berkata, ugutan diterimanya itu berikutan pendedahan pemilikan tanah di Gua Musang oleh sebuah syarikat yang mempunyai pegangan saham milik Kor Ming dan Adun Sitiawan, Ngeh Koo Ham.

“Saya melihat apa yang berlaku semalam (kelmarin) mengenai tuduhan terhadap Speaker Dun, Datuk R Ganesan berkaitan VCD seks, maka hari ini saya terpaksa membuat laporan polis untuk melindungi diri dan keluarga saya daripada sebarang kemungkinan.

“Selepas pendedahan skandal tanah itu mereka (Kor Ming dan Koo Ham) kelihatan gelisah dan tak ceria sepanjang Sidang Dun. Jadi saya takut mereka boleh mengada-adakan perkara yang tidak wujud,” katanya kepada media di Balai Polis Kampung Rapat, semalam.

Mengenai ugutan diterimanya daripada Kor Ming, katanya, ia berlaku pada Khamis, jam 3 petang ketika minum di dewan makan Sidang Dun.

Hamidah berkata, Kor Ming datang kepadanya dan mengeluarkan perkataan, ‘you reveal and watch out,  I’ll go after you’ dengan muka yang marah dan geram.

“Ugutan tidak patahkan semangat saya dan saya akan bongkar siapa mereka kepada rakyat, kerana mereka perlihatkan diri mereka seolah-olah suci.

“Mereka patut nafikan ia bukan putar belit keadaan. Saya cabar mereka buat kenyataan menafikan penglibatan syarikat mereka itu,” katanya.
Polis buru bomoh disyaki rogol gadis 12 tahun

23 Disember 2012
ALOR SETAR - Polis Kota Setar sedang memburu seorang lelaki berusia 64 tahun yang didakwa merogol seorang gadis bawah umur ketika mangsa mendapatkan rawatan tradisional daripadanya, dalam kejadian tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Md Jan berkata polis menjejaki suspek yang dikenali sebagai 'Walid' itu sejak Februari lepas, susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa.
Gadis berusia 12 tahun itu mendakwa dirogol beberapa kali oleh bomoh tersebut ketika menjalani rawatan membuang sihir, di sebuah rumah sewa di Taman PKNK, Jalan Sultanah di sini antara September dan November lepas, katanya di sini hari ini.
Katanya polis mendapati suspek sudah berpindah keluar daripada rumah sewanya yang turut dijadikan pusat rawatan dan dipercayai berada di luar daerah ini.
Sementara itu, ibu mangsa yang ditemui pemberita, berkata anak saudaranya yang berusia 16 tahun juga mendakwa dicabul bomoh tersebut ketika menemani sepupunya menjalani rawatan berkenaan.
Dakwanya setiap kali rawatan, lelaki tersebut akan meminta untuk bersendirian dengan anak gadisnya di dalam sebuah bilik, kononnya bagi melancarkan proses rawatan.
"Selepas beberapa kali jalani rawatan anak saya cerita perkara sebenar yang dia dirogol oleh pengamal perubatan itu dan terus membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
"Doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan anak saya," katanya.- Bernama