Khamis, 13 Disember 2012

AURA OH AURA...KENA FAHAM SEGALANYA MILIK ALLAH

Misteri 'terowong Jepun' Palekbang akan didedah

Rizal Tahir, 13 Dis 2012
KOTA BHARU: Misteri penemuan barangan bersejarah yang didakwa 'terowong zaman Jepun' di tepi Sungai Kelantan kawasan Palekbang, Tumpat akan didedah dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata sehingga kini kajian sedang dijalankan dan hasil rumusan kajian itu akan didedahkan kepada umum.

Pencarian setakat ini katanya, berhasil menemui beberapa artifak antaranya syiling lama yang menunjukkan zaman pentadbiran kerajaan silam Kelantan.

Syiling itu katanya dipercayai dari Timur Tengah dan memberi gambaran kemungkinan Palekbang merupakan pelabuhan yang terkenal di zaman dahulu.

“Bagaimanapun ianya masih dalam kajian untuk mengetahui tahun sebenar ianya dikeluarkan,”ujarnya kepada media selepas mesyuarat exco di sini semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, kajian lanjut sedang dilakukan di kawasan itu khususnya terhadap artifak yang berkemungkinan dari tiga zaman, iaitu zaman Melayu lama, zaman British dan Jepun.

Sebelum ini, seluruh Kelantan gempar dengan penemuan misteri terowong yang didakwa peninggalan Jepun ketika perang dunia kedua di Kampung Palekbang berdekatan Pangkalan Pasir Haji Manaf di negeri itu.

Ekoran itu, mula tersebar cerita mengatakan terowong bawah tanah itu panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi.

Beberapa buah telaga yang dijumpai di kawasan tersebut didakwa lubang untuk turun ke terowong panjang terbabit.

Bagaimanapun ada pihak telah menafikan kewujudan terowong itu, malah lubang yang ditemui itu hanya telaga dan di bawahnya ada saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan.

Mengulas lanjut Husam berkata, telaga yang ditemui di situ besar kemungkinan ianya di zaman British dan bukannya sewaktu kedatangan Jepun.

“Saya yakin kawasan ini akan menjadi pusat pelancongan baru yang bakal menarik perhatian masyarakat dalam dan luar negara apabila ianya dijayakan sepenuhnya,”ujarnya.

Serangan 8 hari Israel: Keajaiban, jumlah kelahiran lebih tinggi berbanding mati syahid

http://detikislam.blogspot.com, 13 Dis 2012
Pencerobohan lapan hari Zionist Israel ke Jalur Gaza bulan lalu mencatat seramai 1197 bayi lahir di Gaza dilaporkan oleh Mi'raj News Agency (MINA) dari Gaza, Selasa (11/12).

Korban dari pihak Gaza tercatat seramai 156 Syahid. Sebahagian besarnya adalah kanak-kanak dan wanita. Namun pada masa yang sama seramai 1197 bayi dilahirkan dengan selamat di Semenanjung Gaza,

Pentadbiran Urusan Awam di Kementerian Dalam Negeri Gaza mengeluarkan statistik yang menyatakan jumlah bayi yang lahir di Semenanjung Gaza selama lapan hari serangan Israel mencapai 1197 bayi iaitu 592 lelaki dan 605 perempuan.

Gaza city mencatat 421 kelahiran, sementara Khan Younis lebih dari 300 kelahiran, Gaza Utara mencatat 197, Gaza Tengah 163, dan Rafah 151 kelahiran.

Statistik mencatat, sejak bulan November lalu, ada 4.110 bayi lahir, yang terdiri dari 2.082 laki-laki dan 2.028 wanita dengan rata-rata 137 kelahiran perhari.

Sementara UNICEF melaporkan, lebih dari 50 mangsa akibat keganasan   Israel selama lapan hari itu adalah anak-anak.

Ini juga berlaku semasa operasi Cast Lead 2009 lalu iaitu daripada 4000 wanita hamil, 3500 di antaranya telah melahirkan bayi mereka dengan selamat selama serangan Israel tersebut di Gaza.

Jumlah tersebut tentu cukup besar jika dibandingkan jumlah korban syahid yang dianggarkan mencapai 1300 jiwa.
Diterjemah dari sumber islampos

Najib tiada aura sebagai PM

EzzmerDaruh,
Memetik berita yang ke udara daripada corong radio tengah hari beberapa hari lalu, yang menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus dengan matlamat wawasan 2020 dengan idea pandang ke timur. Wawasan ini adalah idea mantan PM Malaysia, Dr Mahathir dan mesti terus dipacu oleh PM selepasnya iaitu ketua negara. Sekarang ini yang bertangunggjawab ialah Najib.

Melihat kepada keadaan sekarang, saya merasakan bahawa Najib dan Pak Lah tiada visi yang jelas sebagai ketua negara. Jika perilaku dan masalah kecil dipandang enteng oleh Najib, besar kemungkinan dasar itu bakal dikuburkan oleh Najib iaitu Perdana Menteri sendiri. Seperti dasar Najib sendiri, iaitu Satu Malaysia yang kita dapat lihat di belakang bas, di bonet teksi, laluan pejalan kaki dan macam-macam lagi benda kaku yang tidak menarik minat dan memberi kesan terhadap dasar Perdana Mentri itu sendiri.

Kita lihat pula kebertanggungjawaban Najib dalam isu keluarga dan isi rumah di Malaysia. Isu ini telah wujud dari zaman Mahathir, namun sehingga sekarang masih belum selesai tetapi dibuat-buat selesai. Begitu juga masalah pengangguran yang semakin teruk.

Pada masa yang sama kita melihat para pemimpin membolot harta negara, tetapi rakyat hendak beli lampin anak pun terpaksa meminjam duit. Saya dikelilingi oleh orang-orang politik daripada pelbagai parti. Saya melihat kehidupan mereka.

Malah, dalam Umno sendiri pun ramai yang susah dan tidak dapat membiayai persekolahan anak. Tidak mampu menjelaskan bil elektrik dan air. Itu ahli Umno yang sentiasa mendapat buah tangan dan duit air. Bagaimana pula rakyat yang bukan ahli Umno yang tidak dapat sumber kewangan selain kudrat tulang empat kerat. Bagaimana pula yang tidak ada apa-apa pengaruh dalam mana-mana parti. Adakah cukup dengan BR1M?

Itu belum lagi bercakap soal kewangan negara atau reaksi Najib terhadap negara Islam yang sedang bergolak jika kehidupan rakyat di Malaysia sendiri susah. Saya merasakan juga aura Perdana Menteri selepas turunnya Mahathir, sudah hilang ditelan hutang Najib dan Pak Lah. Terima kasih buat pembesar-pembesar negara kerana membuatkan rakyat menderita.

RM20 juta Road to London atau Road to...

Nasrudin Hassan, 13 Dis 2012
1. Umum mengetahui bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengakui bahawa projek sukan berprestasi tinggi Road To London untuk membawa pulang emas pertama negara dari sukan temasya Olimpik 2012 telah gagal. Dari 28 atlet yang bertanding, kontinjen negara hanya membawa pulang pingat gangsa dan perak di dalam acara badminton dan terjun.

2. Menteri bertanggungjawab Dato Seri Ahmad Shabery Cheek telah berjanji untuk segera mempersembahkan laporan penuh termasuk perbelanjaan peruntukan RM 20 juta kepada tatapan umum. Namun demikian dalam satu keputusan "flip flop" yang begitu sinonim dengan era pentadbiran Najib, Pengarah MSN Dato' Zolkples Embong mengumumkan baru-baru ini bahawa laporan tersebut tidak akan dibentangkan untuk santapan umum.

3. Sekilas pandang, ianya menampilkan situasi yang cukup janggal apabila kenyataan seorang Menteri telah dinafikan oleh orang bawahan beliau sendiri.

4. Yang lebih penting, ianya turut menjurus kepada persoalan utama adakah KBS kini menklasifikasi laporan projek itu sebagai dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) apabila ianya tidak dibentangkan kepada umum? Apakah yang ingin disembunyikan oleh Menteri dan KBS?

5. Sekira itu keadaannya, aspek kerahsiaan laporan projek Road To London bernilai RM 20 juta tersebut kini berada pada kelas kerahsiaan yang setara dengan penganugerahan projek LRT kepada George Kent bernilai RM 1.1 billion, penyalahgunaan dana awam RM 250 juta projek NFC dan wang komisyen RM 600 juta dalam projek kapal selam Scorpene yang semuanya kini di"kunci" atas alasan rahsia rasmi kerajaan.

6. Keputusan ini menjadi satu lagi bukti ketidakseriusan kerajaan mengambil pertanggungjawaban dalam soal janji yang telah dibuatnya. Ironinya, ianya turut menimbulkan kelucuan kerana KBS tanpa sebarang alasan munasabah telah mencipta kontroversi dari isu yang sebegini mudah.

7. Kita juga tidak bersetuju dengan kenyataan berulangkali orang-orang penting KBS yang mengganggap jumlah RM 20 juta sebagai kecil. Hakikatnya negara seperti Ethopia (3 pingat emas, 7 pingat keseluruhannya) yang jelas tidak mempunyai wewenang seperti Malaysia masih mampu mwmbawa pulang pingat secara konsisten. Apa yang penting bukanlah jumlah tetapi kebijakan di dalam perbelanjaan.

8. Kita berharap Pesuruhjaya Sukan selaku arbiter bebas akan membetulkan keadaan ini dengan menggunakan kuasa yang ada untuk menekan pihak berwajib membentangkan laporan penuh Road To London demi kepentingan awam khususnya apabila kini pihak Kementerian kelihatannya cuba menyembunyikan sesuatu.

9. Pada masa yang sama kita ingin mengajak semua pihak - para penulis dan peminat sukan, individu dan komuniti sivil yang cakna dengan perbelanjaan kerajaan untuk menggunakan ruang sedia; artikel, surat dan media baru bagi mendesak KBS supaya telus di dalam membincangkan projek Road To London.

10. Dengan tambahan peruntukan sebanyak RM 50 juta bagi projek Road To Rio di dalam Bajet 2013, masyarakat perlu tahu di manakah kesilapan kita di dalam Olimpik 2012 agar kesilapan itu tidak diulangi di dalam persediaan kita menghadapi sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro kelak. Sukan untuk semua. Majulah sukan untuk negara.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Anggaplah kritikan sebagai pujian - Habibie

-, 13 Dis 2012



Di tengah-tengah pelbagai pihak mempertahankan mantan Presiden Indonesia, B.J. Habibie dari sebuah kritikan tajam terhadapnya, tokoh reformis Indonesia itu kelihatannya ‘biasa-biasa saja’.

Kritikan itu datang dari seorang pendukung parti politik Umno baru-baru ini.

Bagaimanapun ada jawapan dari tokoh reformis Indinesia itu yang santai tetapi menarik dan penuh makna.

Iaitu ada ungkapan darinya melalui Twitter resminya - @habibiecenter  - pada Selasa lalu, yang menyebut BJ Habibie berkata: “When s''one insults u, take it as a compliment that they spend so much time thinking abt u, when u don''t even think abt them."

(Kalau ada yang menghina anda, anggap saja sebagai pujian bahwa dia menghabiskan waktu memikirkan anda, sedangkan anda tidak sedetikpun memikirkan dia).

Ini sebuah jawapan yang sangat menarik, pandangan dari seorang tokoh intelektual besar yang dengan tangannya membuka gerbang demokrasi seluas-luasnya di negara Indonesia, bahkan boleh dianggap sebagai ‘Guru Demokrasi’ sekurang-kurangnya di rantau ini.

Habibie adalah seorang reformis dan intelektual bangsa yang berjaya mengubah hala tuju pentadbiran negara itu ke arah sebuah sistem yang demokratik dengan memerdekakan rakyat dari belenggu pemikiran dan hegemoni yang sempit.

Beliau adalah pemimpin yang lain dari yang lain. Ketika para tokoh Barat berpendapat bahawa ramai pemimpin Dunia Ketiga sentiasa merasa pemerintahan mereka tidak selamat, menyebabkan mereka sangat sukar menerima demokrasi, bahkan sesetengah mereka sentiasa berusaha – dengan apa cara – mempertahankan pemerintahan mereka, sosok B.J. Habibie lain sama sekali.

Bahawa dengan berani ia membuka pintu demokrasi seluas-luasnya di negaranya walaupun ia hanya menjadi Presiden Indonesia dalam masa 512 hari, tetapi ia telah melaksanakan erti demokrasi dengan:

* Memberi kebebasan pada rakyat untuk menyalurkan aspirasi mereka sehingga banyak bermunculan partai-partai politik baru yakni sebanyak 48 partai politik.

* Membebaskan tahanan politik dari NGO (Napol) seperti Sri Bintang Pamungkas dan Mochtar Pakpahan.

* Mencabut larangan berdirinya pertubuhan  buruh independen.

* Membentuk tiga undang-undang yang demokratik.

Mengenai demokrasi dan bagaimana rakyat Indonesia bertuah menikmatinya sudah diketahui umum. Umpamanya dalam Pemilu (Pilihan Raya Presiden) 2004, 2009 - di mana saya turut menyaksikannya - jelas kelihatan bahawa pilihan raya itu benar-benar sebagai ‘pesta demokrasi’.

Tidak ada kekerasan, fitnah dan tuduhan melalu, elemen-elemen rasis dan seumpamanya. Ia berjalan lancar, telus, ceria dan penuh demokratik serta intelektual.

Bagi rakyat Indonesia, semuanya ini adalah hasil usaha B.J. Habibie justru beliaulah yang membuka pintu gerbang demokrasi seluas-luasnya di negaranya. Dalam masa yang sama beliau mengembalikan semula harga diri dan hak asasi anak bangsanya.

Untuk ini saya teringat apa yang dikatakan oleh bekas Presiden Amerika, Thomas Jefferson:
“When the people fear the government, there is tyranny. When the government fears the people, there is liberty.”

Kepada saya, B.J. Habibie telah meletakkan rakyat Indonesia kepada suasana kebebasan dan harga diri, bukan menjadikan rakyatnya takut kepada kerajaan. Ini adalah kerja mulia dan sumbangan tokoh reformis itu kepada bangsa, negaranya bahkan kemanusiaan.

Negara-negara yang belum menikmati erti demokrasi sepenuhnya, terutama di rantau ini, sewajarnyalah meneladani kepimpinan B.J. Habibie.

Sementara itu, saya mengulang kembali jawaban santai tokoh reformasi Indonesia itu:

“Kalau ada yang menghina anda, anggap saja sebagai pujian bahwa dia menghabiskan waktu memikirkan anda, sedangkan anda tidak sedetikpun memikirkan dia.”

Menurut pendapat saya, secara umumnya, kritikan yang bersifat ilmu, rasional dan bersandarkan akhlak Islam, memang sewajarnya diterima sebagai usaha memperbaiki diri, namun kritikan yang bersifat fitnah, tuduhan melalu, kebencian dan seumpamanya, itu tidak perlu dijawab, justru menghabiskan masa dan tenaga fikir, lebih-lebih lagi kritikan itu bertentangan dengan akhlak Islam.

Adapun jawapan B.J. Habibie terhadap pengkritinya itu adalah sebuah kebijaksanaan yang wajar dicontohi dalam pelbagai keadaan. Sebagai seorang tokoh pemimpin dan intelektual besar Indonesia, B.J. Habibie merasa santai dan biasa-biasa saja dengan kecaman itu, justru pengkritik itu “telah menghabiskan waktu memikirkan anda, sedangkan anda tidak sedetikpun memikirkan dia.”

Sementara itu dalam kegawatan politik di Malaysia sekarang, terutama menjelang PRU Ke-13, pelbagai kritikan tajam yang jauh sama sekali dari akhlak Islam, berbaur fitnah, prejudis politik, pribadi dan sebagainya, kelihatan sedang berkembang dengan amat mengerikan. Ini adalah akibat dari pelbagai hambatan ke arah demokrasi sebenarnya.

Mujurlah dalam waktu yang sama dunia siber, yang membuka langit maklumat seluas-luasnya, maka ia dikira bermanfaat kepada usaha rakyat untuk mendapat pelbagai maklumat yang selama ini ‘digelapkan’ oleh media tradisional.

Namun, dalam suasana yang demikian terbuka, sewajarnya setiap orang – pemimpin politik dan pendukung mereka, para penulis dan pengkritik dan semua yang terkait dari pihak manapun - sewajarnya menahan diri dari terlibat dalam kritikan yang mengandungi fitnah, prejudis, tuduhan melulu dan sebagainya.

Ini kerana semuanya ini sama sekali tidak membantu ke arah memartabatkan bangsa dan negara ini. Lebih-lebih lagi, tulisan seorang penulis/pngkritik itu adalah cerminan watak peribadinya.

Perlu diingat seseorang tokoh berwibawa tidak tergugat dengan fitnah, prejudis dan tuduhan melulu, justru ia mampu berdiri dengan integritinya yang teguh.

Morsi: Khilafah Islam kembali bermula di bumi Kinanah

Kemilau Publika, 13 Dis 2012


Prof. Dr. Mohammed Morsi adalah salah seorang hamba Allah SWT yang dikehendaki-Nya untuk menjadi khalifah (pemimpin) di bumi Kinanah (Mesir).

Beliau berusaha untuk menghadirkan kembali etika dan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang dirindui oleh penduduk negeri Kinanah (Mesir) bahkan seluruh umat Islam di zaman milenium ini.

Beliau diharapkan oleh kaum Muslimin untuk menzahirkan firman Allah SWT yang berbunyi, “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan mereka meyakini ayat-ayat Kami.” [ Surah as-Sajadah : 24]

Lahir di Kampung Al-Adawah daerah Asy-Syarqiyah, sebuah wilayah pertanian di bahagian Timur Mesir dengan pelbagai amalan agama yang menjadi tradisi secara turun- temurun, menjadikan Mohammed Morsi tumbuh kembang dalam tradisi dan warna agama yang bersinar dalam dirinya sejak kecil lagi.
Meskipun beliau hidup dalam kesederhanaan kerana bapanya hanyalah seorang petani dan ibunya  seorang suri rumah tangga, semua itu tidak menjadi halangan bagi beliau untuk mencapai cita-cita besarnya iaitu menjadi manusia yang berguna kepada negara dan agamanya.

Seperti kebiasan anak-anak Mesir yang lain, sejak kecil, Mohammed Morsi dibawa ibu bapanya ke Kuttab (surau kampung) untuk menghafal ayat-ayat al-Quran yang disemak oleh seorang syeikh. Kebiasaan itu diteruskan sehingga beliau dapat menghafal 30 juzuk.

Pada masa yang sama, beliau juga belajar pendidikan formal. Mohammed Morsi membesar secara kebiasaan, bersifat seperti masyarakat desa yang jujur, taat beribadat, sangat menjiwai nilai-nilai agama Islam yang menjadi semangat hidup dan kehidupan keluarganya serta masyarakat desa Mesir pada umumnya.

Dalam dirinya terdapat sikap beragama yang tegak lurus di atas nilai-nilai keseimbangan di antara ucapan dan tindakan.

Beliau juga mempunyai amalan zikir yang bersamaan dengan fikir serta menerapkan syariat yang senafas dengan semangatnya.
Mohammed Morsi sejak kecil mencontohi Hasan al-Banna iaitu seorang yang istiqamah menjalankan syariat Allah SWT serta pada masa yang sama beliau adalah pembela agama yang teguh.

Dua sifatnya iaitu pengamal syariat yang konsisten dan pembela agama yang utuh telah membentuk sifat Mohammed Morsi menjadi seorang yang bijak, tegas membela mereka yang dipinggirkan dan membela kaum Mustadafin (lemah dan dilemahkan). Pada masa yang sama, beliau sangat taat beribadat kepada Allah SWT.

Buku ini mengulas perihal keperibadian Mohammed Morsi juga sinar Khilafah Islam yang akan kembali gemilang.

Penulis:  Zainudin Hashim
Harga: RM25.00/RM28.00
ISBN: 978-967-361-066-2
Tarikh Terbit: Januari 2013
Jumlah Muka Surat: 374

31,931 anak Selangor dapat bantuan masuk IPT

Harakahdaily, 13 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, iaitu sejurus Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, sejumlah 31,931 anak negeri itu telah diberi bantuan Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Untuk jumlah itu, kerajaan negeri Selangor telah membelanjakan RM31.7 juta bagi membantu anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT awam mahupun swasta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil berikutan keprihatinan kerajaan negeri bagi memastikan anak Selangor tidak ketinggalan menuntut ilmu di mana-mana institusi pengajian tinggi di negeri itu.

Ianya juga sebagai penghargaan kepada golongan mahasiswa yang bakal menerajui kepimpinan dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

“Walaupun dalam kesibukan meneruskan usaha membangunkan negeri, menambah hasil negeri menerusi kutipan cukai dan pelaburan demi kesejahteraan rakyat, namun kami dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri masih ada ruang dan peluang untuk memikirkan ehwal dan kebajikan mahasiswa negeri ini,” kata Abdul Khalid dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hari Mahasiswa di Dewan Bankuet Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam malam tadi.

Hadiah Pengajian IPT merupakan skim yang diperkenalkan dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Ianya berupa bayaran hadiah RM1,000 kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, yang melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.


Tiada ulasan: