Jumaat, 7 Disember 2012

ISYTIHAR HARTA ATAU TAK...HARTA AKAN DIHISAB DIAKHIRAT...JIKA MENDAPATNYA CARA BATIL..HARTA ITU JADI BAKARAN DIDALAM API NERAKA...HANYA ULAMAK YANG HAQ TAKUT PADA ALLAH...ULAMAK BATIL@ROSAK...KERJANYA SESAT DAN MENYESATKAN ORANG LAIN KERANA MEREKA MEMILIH DUNIA DAN PANGKAT...DAN MUNGKIN WANITA...HANYA ALLAH YANG SAPE ULAMAK YANG ROSAK ITU

Hanya samseng sanggup sekat royalti Kelantan

Muhammad Faizal, 07 Dis 2012
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan hanya samseng sahaja yang sanggup menyekat pemberian royalti kepada Kelantan.


Beliau menyatakan perkara tersebut pada wacana anjuran Sinar Harian bertajuk 'Politik Samseng Di Mana Maruah Kita' di sini, petang semalam.


Kata beliau lagi, budaya politik samseng itu sebenarnya diwujudkan oleh kerajaan apabila bertindak membuli rakyat Kelantan dengan menafikan hak mereka walaupun pemberian royalti itu sudah terkandung di dalam perjanjian.


"Politik samseng dan kita lihat apa yang dilakukan di Kelantan, siapa yang sanggup menyekat royalti kalau bukan bersifat samseng.


"Sikap membuli rakyat Kelantan dengan menafikan hak mereka walaupun perjanjian sudah ada, hanya samseng sahaja yang sanggup mengkhianati perjanjian," kata beliau.


Katanya, politik samseng sebenarnya telah wujud sejak lama dan bukannya dalam senario politik sekarang.


Beliau merujuk kepada peringkat awal Kelantan diambil alih pemerintahan oleh PAS, segala hak dan peruntukan dianaktirikan.


"Lagi satu kita lihat di Terengganu bila PAS menang pilihanraya perkara pertama dilakukan adalah mansuhkan tol, adakah itu samseng.


"Tetapi tidak kepada kerajaan Umno Barisan Nasional apabila mereka menarik balik pemberian royalti dan menukarkan kepada wang ehsan, ini adalah contoh samseng yang diamalkan apabila menafikan hak dan sanggup melanggar perjanjian," sambung beliau lagi.

Beliau menambah, pengalaman Pakatan Rakyat memerintah empat buah negeri dan paling lama di Kelantan akan memberi jaminan bahawa apabila Putrajaya diambil alih nanti, pentadbiran akan menjadi lebih baik.


"Saya rasa reformasi yang kita ingin buat akan dapat dilakukan dengan lebih baik.


"Pengalaman yang kita ada dan rakyat telah melihat akan terus memberi keyakinan kepada Pakatan untuk membawa perubahan dalam lanskap politik demokrasi negara," jelas beliau.

Menyuluhi Musa Hassan: Apa sebenarnya?

Mohd Sayuti Omar, 07 Dis 2012
Kemunculan secara aktif bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan bercakap mengenai beberapa tindakan jabatan atau pasukan yang pernah dipegangnya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kebelakangan ini menimbul sedikit tanda tanya. Apa lagi penglibatan beliau itu memberi kesan negatif kepada PDRM dan terutamanya mereka yang bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal polis.

Orang menjadi sasaran beliau ialah Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein sendiri. Kritikan itu dilihat sebagai satu keberanian yang pelik kerana jarang bekas pegawai tinggi kerajaan yang sedang menikmati kemudahan selepas bersara membuat kritikan terbuka seperti itu. Selalunya adalah sesuatu yang berlaku, pelik.. kerana kalau tidak masakan tempua bersarang rendah.

Apa ditimbulkan Musa kononnya Hishammuddin mencampuri urusan polis dengan memberi arahan kepada pegawai junior polis dan seorang ketua polis negeri melakukan sesuatu tanpa memaklumkan kepadanya. Perbuatan Hishamumddin itu dianggap mencampuri urusan polis dan salah mengikut akta polis.

Lantaran itu ada orang bertanggapan beliau berbuat begitu kerana dendam disebabkan kontreknya kali kedua sebagai KP tidak disambung oleh Hishammuddin. Bagaimana pun beliau menafikan, apa dilakukan untuk memperbetulkan sesuatu yang salah dalam pasukan itu demi menjad imej dan integriti polis.

Pendirian dan pengakuan itu ada munasabah dan boleh diterima. Tetapi ia tetap menjadi persoalan kenapa Musa tidak berbuat begitu semasa dia masih menjadi ketua polis? Apakah sekiranya dia sambung kontrak dia juga akan berdiam diri dan terus bersubahat dengan kekotoran itu? Kalau begitu adalah baik pegawai tinggi kerajaan tidak diberi kontrak (sambung jawatan) untuk menyaksikan berlaku pendedahan keburukan sesuatu jabatan?

Dalam hubungan di atas kalau difahami Musa tidak mengkritik PDRM tetapi mengkritik menteri yang menjaga hal ehwal dan urusan kepolisan negara. Ini juga menimbulkan tanda tanya, kenapa? Harus difahami Umno selain daripada sedang mengheret dada untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, parti itu juga akan berdepan dengan pemilihan pemimpin pada tahun depan.

Apakah Musa melakukan itu bagi mempastikan Hishammuddin terguling dari kedudukannya sebagai salah seorang Naib Presiden Umno kini. Bahawa Musa ada nawaitu memprojekkan seseorang untuk mengambil alih tempat itu atau memberi keselesaan kepada dua lagi Naib Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Shafei Apdal?

Apakah Musa sedang berkempen untuk menyelamatkan Ahmad Zahidi Hamidi yang dikatakan kurang selamat sekiranya Muhyiddin Yassin menjadi Presiden akan datang, begitukah? Zahid kini sedang mencatur kedudukannya sendiri di dalam Umno yang semakin kabur kini.
Pastilah bila ada ubi tentu ada batasnya, bila ada budi pastilah ianya diharap atau fahm-faham agar dibalas. Mungkinkah ada kerjasama di antara Musa dengan Zahid dalam soal ini secara faham memahami? Ops... ini hanya andaian tetapi ada kemungkinan ia berlaku. Politik itu serba mungkin.

Juga, sebelum Musa membuat pendedahan yang boleh memburukkan reputasi Hishammuddin beliau telah melakukan sesuatu yang mengejutkan orang ramai bila mana menarik balik saman malu ke atas Anwar Ibrahim tanpa semena-mena. Musa bertindak menyaman Anwar kerana menuduhnya mereka-reka fakta atau menyembunyikan fakta sebenar dalam siasatan kes mata lebam melibatkan Anwar.

Dalam satu laporan polis oleh Anwar terhadap Musa dan Peguam Negara, Abdul Gani Patail, menuduh Musa bersubahat dengan Gani melakukan kekejian itu. Laporan polis Anwar itu ekoran penemuan maklumat baru daripada bekas pegawai tinggi polis Mat Zain Ismail yang ketika itu menjadi ketua penyiasat kes itu. Bagaimana pun Musa menafikan dan merasa malu dengan tuduhan lantas mengemukakan saman kepada Anwar.

Mengejutkan seluruh umat, tiba-tiba saat kes itu hendak dibicarakan Musa menarik balik saman itu tanpa ada apa-apa perundingan ketat dengan Anwar terlebih dahulu? Tindakan Musa itu dianggap aneh dan songsang dan ia mula menjadi perhatian umum. Tindakan Musa itu menyebabkan timbul berbagai andaian dan lenggang lengguk politik negara menjadi semakin menarik.

Walaupun Anwar menafikan tiada apa-apa kepentingan atas tindakan Musa itu, tetapi bila dengan senang beliau 'memaafkan' Musa menyebabkan orang menyuluh dengan berbagai suluhan dan membuat spekulasi berhubung kejadian itu. Tindakan itu memelikkan kerana sebelum ini orang melihat dan menganggap Musa adalah musuh nombor satu Anwar dari species polis. Apa lagi Musa Hassan juga dilihat sebagai timbalan kepada Abdul Rahim Nor yang paling setia melaksanakan tugas-tugasnya mencengah kebangkitan reformasi.

Ekoran kesetiaan Musa kepada tugas itu menyebabkan timbul kebencian amat sangat kepadanya, sampai ada yang meludah melihat gambar-gambarnya di akhbar atau di skrin tv.

Jadi apabila tiba-tiba Musa berubah rasa dan tindakan menyebabkan ada orang sangsi dan mencari apakah motif di sebalik 'keikhlasan' Musa itu. Paling skeptikal mungkin dia ada niat tidak baik ke atas Anwar untuk meneruskan kerjanya selama ini. Ada juga beranggapan Musa terpaksa membuat koner 360 darjah kerana sudah dapat membaca situasi politik Malaysia di dalam pilihan raya umum akan datang yang BN akan kalah teruk dan Umno akan kehilangan kuasa. Jadi untuk menyelamatkan dirinya dia harus berbuat sesuatu (menanam budi) bagi mengelak akan dikenakan tindakan.

Kemungkinan ini bukan tidak ada, ada. Sebab akhir-akhir ini bukan saja Musa tetapi beberapa orang bekas ketua polis negara dan pegawai tinggi polis lain juga aktif mengambil bahagian dalam percaturan politik hari ini. Semacam ada satu strategi bersama di kalangan mereka. Rahim Nor, Norian Mai, Hanif Omar juga telah dan sedang memainkan peranan masing-masing.

Acap kali juga Rahim Nor mengeluar pandangan dan kebimbangan beliau terhadap kebangkitan rakyat warga Tionghua mengadakan siri-siri perarakan dan tunjuk perasaan. Dengan penuh tektikal Rahim mengeluarkan kenyataan perarakan komuniti Cina itu berunsur komunis. Apakah tujuan kenyataan begitu?

Rahim yang dikenal sebagai orang terbabit rundingan membawa ke meja perundingan bekas komunis Malaya dengan kerajaan, menggunakan isu ini untuk menimbulkan ketakutan kepada orang Melayu. Jelas kenyataan Rahim itu berunsur hasutan dan cuba memencilkan orang Tionghua dari bersama Melayu. Kalau tidak silap lebih dua kali beliau cuba mengaitkan himpunan Cina sebagai berunsur komunis dan termasuk juga Bersih 3.0 yang didominasi Cina.
Begitu juga bekas KPN, Haniff Omar yang sesekali muncul dengan kenyataan dan pandangan serong dan buruk ke atas Anwar Ibrahim. Semacam dia juga diberi peranan agar terus damagekan Anwar. Baik Rahim dan Haniff sependapat bahawa pengaruh Anwar berbahaya kepada masa depan Umno dan Melayu.

Manakala Norian Mai pula tidak sezahir mereka berdua tetapi beliau juga ikut sama terlibat dalam mencaturkan agar kuasa politik Melayu (Umno) kekal. Baru-baru ini ketiga-tiga mereka ini menghadiri satu perjumpaan bersama intelektual terpilih Melayu di rumah veteran Umno di pinggir ibu kota. Tujuan kehadirannya untuk membincang mengenai nasib Melayu dan berikhtiar agar Melayu bersatu.

Hasil daripada pertemuan itu seorang bekas pegagai tinggi polis telah diminta berjumpa dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat membincang mengenai perpaduan Melayu. Khabarnya dalam perbincangan itu ia cenderung mengajak Nik Aziz (Pas) agar duduk bersama Umno. Bagaimana pun perbincangan itu gagak memecat nekad Nik Aziz untuk terus bersama Pakatan.

Berdasarkan kepada latar peristiwa dan kenyataan-kenyataan serta aksi bekas-bekas ketua polis ini jelas mereka terlibat dalam mencaturkan game politik di negara ini. Jadi berdasarkan kepada situasi itulah maka timbul di benak saya, apakah tindakan tanduk Musa Hassan itu juga termasuk dalam pakej bekas-bekas ketua polis negara itu?

Kita menghormati mereka kalau ikhlas dan dibuat dengan penuh keadilan. Tetapi kalau usaha itu bertujuan memecahkan apa yang sedang dibuat oleh Anwar, Nik Aziz, Abdul Hadi Awang bersama DAP menerusi Pakatan Rakyat kini untuk membawa perubahan politik di Malaysia ia sangat dikesali dan kerja-kerja itu begitu jelek sekali. Mereka tidak bertindak atas prisinp keadilan dan berpijak pada paksi politik demokrasi.

Saya telah menyatakan sebelum ini usaha mendamaikan politik orang Melayu demi mencari perpaduan Melayu akan sia-sia saja sekiranya Anwar Ibrahim dikecualikan. Perpaduan Melayu tidak akan berlaku kalau hanya di antara Umno dengan Pas. Suka atau tidak usaha itu perlu menarik sama Anwar Ibrahim ke meja perundingan itu. Apakah Musa Hassan diberi peranan itu?

Dalam melihat dan mencari motif bekas-bekas ketua polis ini terutamanya Musa Hassan perlu diawasi. Mungkin mereka sedang memintal-mintal jerat untuk menjeruk kaki dan leher tokoh-tokoh Melayu dalam Pakatan untuk membolehkan pelanduk bernama Umno terlepas dan hidup seronok semula di hutan belantara. Mereka perlu diwaspadai. - http://msomelayu.blogspot.com/

PAS Melaka mahu himpunan esok bebas provokasi

Hazayani Zakaria, 07 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS Melaka meminta pihak keselamatan memberikan kerjasama bagi memastikan tiada sebarang kekacauan berlaku di Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung esok.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari berkata, Pakatan Rakyat Melaka sudah cuba sedaya upaya mengelakkan pertembungan antara penyokong Pakatan dan BN bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Hal ini katanya termasuk menukar tempat program dari Kampung Bukit Palah ke Lorong Pandan, juga dalam Daerah Melaka Tengah.

"Pakatan Rakyat seboleh-bolehnya tidak mahu ada sebarang pertembungan antara penyokong Pakatan dan peyokong BN. Jadi kita elakan buat program sebelah-menyebelah.

"Walaupun kita rancang dari awal lagi untuk adakan himpunan di Kampung Bukit Palah tapi BN tetap juga mahu menganggu program kita dengan turut adakan program di situ.

"Pakatan Rakyat sudah maklumkan kepada pihak polis tentang pertukaran tempat program dan harap pihak polis dapat menjalankan tugas dengan baik. Sebab pengalaman kita lepas-lepas, BN Melaka suka ikut ke mana kita buat program," kata Adly ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, himpunan terpaksa ditukar ke tempat baru kerana tuan tanah menarik balik kebenaran menggunakan premisnya akibat diugut pihak tertentu.

Adly bagaimanapun berkata, pertukaran tempat itu tidak akan menjejaskan mood rakyat Melaka untuk turun ke himpunan dan yakin kehadiran akan mencecah 10 ribu orang.

"Segala persiapan sudah dilakukan termasuk mengumpulkan kira-kira 100 anggota Unit Amal termasuk pemuda AMK dan DAP untuk menjaga keselamatan sepanjang program.

"500 anak muda juga akan menyertai konvoi bermotor bermula jam 2.00 petang. Mereka akan berada di tapak program pada jam 4.00 petang untuk aktiviti yang telah diatur sebelum ceramah perdana pada sebelah malam," katanya.

Tambah Adly lagi, PAS Melaka melihat rakyat memberikan respons positif terhadap siri himpunan yang sudah diadakan bermula di Negeri Sembilan, Kelantan dan yang terbaru di Johor.

"Tak guna BN nak buat provokasi kerana makin mereka provok, makin rakyat marah dan nak turun ke himpunan.

"Berdasarkan reaksi rakyat sewaktu edaran maklumat program dibuat, mereka menyatakan kesediaan untuk hadir untuk melihat dan mendengar sendiri ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat.

Beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat akan hadir antaranya Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pimpinan utama PAS negeri juga akan turut serta termasuk beliau sendiri.

S'gor tangguh 'bungkus' kamera AES petang ini

Harakahdaily, 07 Dis 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan cadangan menutup kamera Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) di dua lokasi dalam Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yang sepatutnya dibuat hari ini.

Menurut Exco Selangor, Ronnie Liu, penangguhan itu dibuat atas nasihat pejabat peguam negeri yang dikeluarkan hari ini.

Dua lokasi adalah di kilometer 66 Arah Kajang Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan kilometer 301.7 arah ke Kuala Lumpur Lebuhraya Utara Selatan.

Dalam pada itu, MPS pagi ini turut mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menutup sendiri kamera di dua lokasi tersebut.

Yang Dipertua MPS Mohd Sayuthi Bakar berkata, sebaliknya, pihaknya telah mengarahkan syarikat yang bertanggungjawab memasang kamera tersebut iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk menutup sendiri kamera mereka melalui notis Seksyen 72(1)c di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang dikeluarkan semalam.

MPS katanya hanya akan mengambil tindakan sewajarnya  selepas tempoh matang notis dikeluarkan.

"Majlis Perbandaran Sepang tidak menutup kamera AES di dua lokasi yang terlibat yang sepatutnya akan dijalankan pada petang ini sepertimana yang
telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor," kata kenyataan majlis itu.

"Pihak Majlis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang sedia ada setelah tempoh matang notis dikeluarkan," katanya lagi.

Tahniah Umno pamer sifat ganas, tidak bertamadun

Harakahdaily, 07 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada Pemuda Umno Bahagian Gombak, Selangor kerana telah membantu Pakatan Rakyat untuk mempamerkan sifat sebenar Umno dan Barisan Nasional yang ganas dan tidak bertamadun seperti di dalam kejadian ‘serangan’ terhadap program anjuran Pakatan Rakyat di Batu 8, Gombak Utara kelmarin.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, kejadian tersebut juga telah memperlihatkan sikap berpura-pura Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak yang menafikan keganasan pemuda Umno Gombak sedangkan banyak rakaman pada malam tersebut telah membuktikan sebaliknya.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa sangat kesal dan mengecam tindakan ganas tersebut dan meminta supaya pihak yang berwajib menyegerakan siasatan yang terperinci serta membawa pihak yang bersalah untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga tidak menolak kemungkinan yang Umno dan Barisan Nasional sememangnya cukup terdesak untuk memulihkan imej mereka yang sudah ‘rosak’ di mata rakyat sehingga sanggup bertindak ganas dan ‘berlakon’ sebagai mangsa keadaan semata-mata untuk meraih simpati rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pihaknya penuh yakin dan percaya bahawa pihak Pakatan Rakyat tidak pernah mencetuskan sebarang kekacauan di dalam setiap program yang telah dilaksanakan sehingga ke hari ini kerana ‘track record’ penganjuran program Pakatan Rakyat selama ini adalah bersih dan cemerlang.

Tegasnya, Pemuda PAS Selangor dengan ini memberikan amaran yang keras kepada Pergerakan Pemuda Umno Selangor supaya menasihatkan Pemuda Umno bahagian mereka untuk berpolitik secara berhemah dan ‘gentleman’.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersedia untuk menyahut cabaran Pemuda Umno sekiranya mereka berterusan untuk membuat provokasi seperti ini di masa hadapan,” tegasnya lagi.

Morsi tawar konsesi redakan rusuhan

Terjemahan Mohamad Yahya, 07 Dis 2012
Presiden Mesir, Mohamed Morsi memberi ucapan malam Khamis lalu, di samping menyeru kepada dialog dan menyatakan simpati ke atas kematian penunjuk perasaan, beliau turut menawarkan beberapa konsesi dan menolak kumpulan pembangkang.
Beliau mencadangkan satu mesyuarat Sabtu ini dengan pemimpin-pemimpin politik, "belia revolusi" dan tokoh-tokoh undang-undang untuk membincangkan hala tuju, tetapi kumpulan aktivis terkemuka menolak tawaran berkenaan, dan memangil untuk mengadakan demonstrasi baru Jumaat ini.

"Pergerakan 6 April", yang memainkan peranan penting dalam menyalakan pemberontakan terhadap Mubarak berkata di halaman Facebook mereka bahawa demonstrasi Jumaat ini akan adalah "kad merah" untuk Morsi.

Rusuhan bermula selepas Morsi mengeluarkan dekri pada 22 November memberikan kepadanya kuasa yang lebih besar yang tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Protes mencapai kemuncaknya Rabu lalu, dengan tujuh mati dan lebih 770 cedera ketika pertempuran di luar istana presiden.

"Sebarang kejadian yang menyedihkan ini berlaku kerana perbezaan politik yang perlu diselesaikan melalui dialog," ujar Morsi.

"Saya menyeru untuk dialog yang produktif dengan semua tokoh dan ketua-ketua parti, belia revolusioner dan tokoh-tokoh kanan undang-undang untuk bermesyuarat Sabtu ini," kata beliau. (aljazeera.com)

Polis perlu lebih awal kawal provokasi - Musa

Muhammad Faizal, 07 Dis 2012
SHAH ALAM: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pihak polis perlu lebih awal mengawal pihak yang menimbulkan provokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas wacana Sinar Harian di sini semalam.

Ianya sebagai mengulas kejadian serangan terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak kelmarin.

Dalam kejadian itu, beberapa orang penyokong Pakatan Rakyat cedera termasuk ditikan di bahu dengan senjata tajam.

Menurutnya lagi, sepatutnya pihak polis tidak membenarkan dua aktiviti parti diadakan secara bersebelahan kerana boleh mengundang pergaduhan jika masing-masing tidak berpuas hati.

Wacana Sinar Harian semalam membincangkan tajuk 'Politik Samseng di mana maruah kita'.

Turut menjadi panel adalah Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhamed Hanipa Maidin.

Manakala moderatornya adalah Prof Datuk Mohamad Abu yang merupakan Ahli Akedemik dan Penganalisis Politik di Universiti Malaya.

Dalam pada itu, Musa berkata dalam sebuah negara demokrasi, proses peralihan kerajaan tidak memerlukan kepada politik samseng.

Bagaimanapunkatanya, sejak akhir ini suasana politik di negara ini mula diserap politik samseng.

"Saya melihat sejak akhir-akhir ini politik negara sudah mengalami perbezaan ketara.

"Sebagai sebuah negara demokrasi kita memerlukan suasana politik yang sihat bukannya berbentuk samseng," jelasnya.

Musa berkata, politik kebencian yang sebenarnya mewujudkan politik samseng.

"Pemimpin politik perlu kawal tingkah laku penyokong mereka dan apabila ini gagal dilakukan maka akan berlaku keganasan," sambung beliau.

Musa turut mencadangkan agar  perdana menteri yang dilantik selepas pilihan raya nanti mengadakan pertemuan dengan setiap parti politik  bagi membincangkan soal pembangunan negara dan juga kesejahteraan rakyat.

TurkStat: Kadar kemiskinan Turki terus menurun

Terjemahan Mohamad Yahya, 07 Dis 2012
Bilangan warga Turki yang berpendapatan kurang daripada $2.15 sehari jatuh pada tahun 2011 untuk mencatat paras rendah yang baharu, menurut satu kajian oleh Institut Statistik Turki (TurkStat) yang diumumkan Jumaat lalu.
Angka kemiskinan bagi tahun 2011 menunjukkan penurunan yang dramatik berbanding satu dekad yang lalu. Pada tahun 2002, individu yang berpendapatan kurang daripada $2.15 sehari adalah sebanyak 3.04% 2002, dan mereka yang berpendapatan kurang daripada $4.30 sehari adalah sebanyak 30.3%. Berdasarkan garis kemiskinan $2.15 sehari dan kadar Kuasa Beli Semasa (CPP), sebanyak 0.21% adalah golongan miskin tegar pada tahun 2010, manakala hanya seramai 0.14% adalah golongan miskin tegar pada tahun 2011.Bilangan rakyat yang berpendapatan kurang daripada $4.30 sehari jatuh dari 3.66% pada tahun 2010 kepada 2.79% tahun lepas.

Laporan TurkStat juga mendedahkan jurang pendapatan yang berpanjangan antara kawasan bandar dan luar bandar, dengan peratusan penduduk bandar yang berpendapatan kurang daripada $4.30 sehari pada tahun 2011 adalah sebanyak 0.94% berbanding 6.83% di kawasan luar bandar. Pada tahun 2002, sebanyak 4% berpendapatan kurang daripada$4.30 sehari di kawasan bandar, dan 38.82% di di kawasan luar bandar.

Pada tahun 2011, penduduk yang berpendapatan kurang daripada $2.15 adalah 0.02% peratus di kawasan bandar, dan 0.94% di kawasan luar bandar. Pada tahun 2002, bagi pendapatan kurang dari $2.15 sehari, sebanyak 2.37% di kawasan bandar dan sebanyak 24.62% di kawasan luar bandar.

Jurang kekayaan yang terlalu besar kekal sebagai ciri berterusan landskap ekonomi Turki di sebalik peningkatan dalam pendapatan skala rendah. Pada tahun 2008, satu kajian mendapati jurang antara golongan kaya dan miskin di Turki adalah tertinggi dalam kalangan negara-negara Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Terdapat juga perbezaan yang nyata antara keadaan ekonomi di wilayah timur dan barat Turki, dengan penduduk wiliayah Aegean dan Marmara menikmati lebih daripada dua kali ganda purata pendapatan tahunan wilayah tengah dan timur Turki. (todayszaman.com)

Umno tidak bermoral, pemimpin pula rendah akhlak

Aspan Alias, 07 Dis 2012
Apa yang sedang dikatakan oleh Tan Sri Musa Hasan akhir-akhir ini merupakan ‘consequence’ yang amat buruk hasil daripada pencerobohan pihak ‘executive’ terhadap badan-badan bebas seperti Badan Kehakiman dan Perundangan serta ‘Badan Legislative’ yang mula dilakukan oleh pentadbiran Dr Mahathir dan Dr Mahathir itu sendiri. Walaupun ramai yang menentang tindakan Dr Mahathir mencemari badan-badan bebas negara semasa itu, tetapi mereka ini tidak dipedulikan kerana ketamakan kuasa dan tidak mahu tunduk kepada sistem demokrasi negara.


Pihak kerajaan pimpinan Mahathir semasa itu amat jelas tidak berakhlak dengan memecat Ketua Hakim Negara dan empat Hakim Mahkamah Agung semasa itu. Dr Mahathir telah menekan Badan Kehakiman khususnya terhadap Tun Salleh Abas semasa Mahkamah Agung bersedia untuk menghakimkan tuntutan ahli-ahli UMNO (asal) untuk menghidupkan UMNO yang telah dibunuh oleh Dr Mahathir.

Kalau dikaji dari mana sudut penghakiman sekali pun, UMNO asal akan hidup, dan inilah yang tidak digemari oleh Dr Mahathir. Mahathir mahukan UMNO asal itu mati terus dan tidak mahu melaksanakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan untuk diadakan sekali lagi pemilihan UMNO. Pemilihan sebelumnya itu tidak sah kerana wujudnya beberapa orang yang tidak layak mengundi dan menjadi perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung 1987.

Dr Mahathir tidak mahu pemilihan itu diadakan sekali lagi kerana takut dengan keputusan pemilihan yang demokratik dalam UMNO semasa itu. Dr Mahathir terpaksa menggunakan peguam, Sri Ram, untuk mengharamkan UMNO di Mahkamah Tinggi kerana Dr Mahathir mahu UMNO terus mati dan beliau terus menjadi Perdana Menteri walaupun jawatan yang beliau pegang itu sudah tidak lagi ‘legitimate’.

Untuk memenuhi kehendak dan nafsu beliau itu cara yang terbaik ialah dengan mengharamkan UMNO dan menubuhkan sebuah parti baru yang diberi nama UMNO (baru). Badan Executive pimpinan Mahathir telah menceroboh badan kehakiman dengan meminta Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas untuk duduk membuat penghakiman dengan hanya tiga Hakim Mahkamah Agung. Mahathir mahukan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim Negara bersama dua orang Hakim yang Mahathir boleh pengaruhi duduk untuk menghakimkan tuntutan ahli-ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO yang telah terbatal pendaftarannya itu.

Tun Salleh tetap dengan pendirian untuk semua kesembilan hakim-hakim Mahkamah Agung untuk duduk bersama menghakimkan tuntutan itu kerana isu ini merupakan isu yang amat besar bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Tetapi Dr Mahathir tidak gemar dengan tindakan Ketua Hakim Negara itu kerana Mahathir begitu ‘desperate’ untuk mempertahankan jawatan Perdana Menteri yang beliau pegang itu. Dr Mahathir mahu semua pihak tunduk kepada beliau kerana beliau begitu terdesak dan akan kehilangan kerusi PM itu jika demokrasi terlaksana secara telus.

Dr Mahathir sudah hilang pertimbangan dan tidak mahu lagi institusi demokrasi menghalang niat beliau untuk berkuasa mengikut kehendak hati beliau. Beliau secara peribadi telah memanggil Tun Salleh Abas dan bertanyakan samada Ketua Hakim itu mahu bersara. Tun Salleh tidak berganjak kerana Hakim-Hakim mempunyai umur persaraan dalam usia 65 tahun sedangkan beliau semasa itu baru berumur 59 tahun.

Tun Salleh memberitahu yang beliau mengetuai Badan Kehakiman yang bebas dari campur tangan ‘Executive’ termasuk Perdana Menteri. Sesungguhnya Tun Salleh akan hanya boleh berhentikan jika ‘brother judges’ melakukannya. Cara kedua untuk memberhentikan Ketua Hakim ialah dengan menubuhkan tribunal yang di titahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tribunal untuk membicara Tun Salleh ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dengan tergesa-gesa dan lucunya cara penubuhannya tetap menjadi ingatan kepada semua yang mengikuti isu itu dengan cara yang lebih dekat. Tribunal itu telah ditubuhkan dalam satu hari dan dengan pantas.

Nasihat PM kepada Tuanku Agong dibuat pada 1hb Mei 1988  dan persetujuan YDP Agong juga didapati pada 1hb Mei. Perlantikan hakim Mahkamah Tinggi Sri Lanka dan Singapura dibuat pada 1hb Mei dan jawapan persetujuan mereka pun pada hari yang sama. Yang lebih lucu dan menyedihkan 1hb Mei itu adalah hari buruh dan cuti umum dan hari minggu pula. Semuanya ini adalah tindakan ‘desperate’ pimpinan semasa itu untuk bergayut kepada kuasa yang hampir terlepas itu.

Insiden ini merupakan titik hitam dalam sejarah negara kerana pada saat itulah bermulanya Badan Kehakiman dicerobohi dan ditakluk oleh pihak ‘executive’ yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohammad. Dari saat itulah semua badan-badan bebas demokrasi dikuasai oleh Perdana Menteri dan semua sistem demokrasi terkubur dan tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul.

Dari saat itu jugalah badan kepolisian negara tercemar serta badan perundangan seperti Jabatan Peguam Negara tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul. Apabila sesuatu badan bebas yang mempunyai tanggungjawab terhadap negara sudah tidak bebas lagi, maka politik sahajalah yang menentukan segala-galanya.

Kecacatan sistem demokrasi kita ini telah rosak sehingga ke hari ini dan tidak mungkin boleh diperbetulkan oleh parti atau kepimpinan kerajaan yang telah mencemarinya iaitu UMNO dan Barisan Nasional. Kenyataan-kenyataan Tan Sri Musa Hasan itu adalah sebahagian yang sangat kecil dari apa yang sebenarnya dilakukan oleh pimpinan kerajaan yang tidak henti-henti mencemari tugas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara misalnya.

Segala tindakan ‘professional’ telah diambil alih oleh tindakan politik di mana-mana dan jika pimpinan politik itu gila, ia bermakna kita dipimpin oleh orang-orang gila. Hasil daripada pencerobohan inilah yang telah menjadikan segala-galanya tidak betul lagi termasuk politik yang kini menjadi aktiviti ganas yang dilakukan oleh penyokong pihak kerajaan yang sudah dibenci rakyat dan akan ditumbangkan oleh rakyat juga dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Jika kita pertimbangkan secara halus kita sudah boleh membuat pertimbangan yang ‘conclusive’ Dr Mahathir bukanlah seorang PM yang ‘legitimate’ dan tidak bermoral. Mengekalkan Dr Mahathir semasa itu amat mahal harganya sehinggakan semua sistem demokrasi kita telah punah ranah.

Keadaan ini lebih teruk lagi kerana pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir telah terikut-ikut dengan budaya dan sistem Mahathir dalam mentadbir negara. Mereka yang mewarisi Dr Mahathir telah melakukan perkara yang lebih teruk lagi kerana sistem Mahathir itu telah menjadi ikutan pimpinan yang mengambilalih darinya (Mahathir). Pendeknya memang tepat kata-kata perbidalan, "jika bapa kencing berdiri anak-anak pula kencing berlari." Mahathir yang kencing berdiri, Pak Lah dan Najib juga kencing berlari. Jika Muhyiddin mengambil alih Najib sekarang seperti yang dihajati Dr Mahathir mungkin Muhyiddin akan kencing sambil menonggeng.

Kenyataan Musa Hasan wajar didengar dengan baik kerana beliau mempunyai hak untuk membela diri dari tohmahan pimpinan UMNO terhadap beliau sedangkan apa yang berlaku semasa beliau dalam perkhidmatan sehingga hari ini ialah UMNO dan pimpinnya sendiri.

Musa Hasan wajar membuat kenyataan-kenyataan dari masa ke semasa dengan membongkar segala apa yang berlaku dan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Kenyataan Musa itu nanti akan menjadi kenyataan yang membantu usaha ramai untuk mengetahui segala-gala yang berlaku di belakang tabir dan ia akan ditambah pula dengan kenyataan Deepak yang akhir-akhir ini telah membongkar isu Altantuya dan lain-lain yang berkaitan dan yang menghangatkan itu.

Pendeknya, tidak ada lagi yang betul dalam UMNO dan BN sekarang ini. Jika mereka benar, masakan apa yang kita lihat dan dengar itu boleh berlaku di hadapan mata dan kepala kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Nasrudin cadang Najib dan Khairy isytihar harta

Harakahdaily, 06 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kabinet dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengisytiharkan harta masing-masing sebagai satu usaha untuk memulihkan persepsi rasuah negara.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mencadangkan kepada Perdana Menteri dan para menteri yang melaungkan politik baru pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) supaya mengisytiharkanharta masing-masing. Tidak lupa juga kepada rakan sejawat saya dalam Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata sedemikian setelah Malaysia mencatatkan markah ‘gagal peperiksaan’ 49/100 di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) 2012 yang baru diterbitkan.

“Indeks persepsi rasuah yang baru diumumkan, Malaysia naik 6 anak tangga ke tangga 54 daripada 183 negara. Walaupun saya agak gembira dengan peningkatan ini, kegembiraan itu terbantut apabila melihat markah keseluruhan Malaysia hanya 49 daripada 100 markah.

“Kalau dinisbah kepada pencapaian anak-anak kita dalam peperiksaan 49/100 belumpun mampu meraih markah C,” kata beliau.

Nasrudin berkata markah 49/100 yang diperolehi menunjukkan bahawa rata-rata rakyat berpandangan bahawa rasuah masih membelenggu sektor awam negara ini.

“Maknanya rakyat masih cenderung berpandangan bahawa kebarangkalian berlakunya rasuah yang melibatkan jentera pentadbiran adalah tinggi. Pendapat ini sememangnya bukan semata-mata persepsi atau ilusi, sebaliknya urus tadbir negara khususnya berkait dana awam sememangnya sangat membimbangkan,” kata beliau.

Perkara itu, kata beliau, jelas berlaku dengan laporan audit saban tahun yang mendedahkan berbilion ringgit akibat ketirisan daripada pelbagai projek kerajaan.

Nasrudin juga menyatakan sokongannya kepada cadangan TI-M untuk memperkenalkan akta ketelusan maklumat bagi menjamin ketelusan dalam tadbir urus negara.

Katanya, akta itu bakal membolehkan rakyat tahu dan semak dokumen-dokumen berkaitan supaya sebarang ketirisan dan penyelewengan duit rakyat tidak boleh diklasifikasikan ‘rahsia kerajaan’.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata tiada apa yang boleh dibanggakan dengan pencapaian Malaysia di Indeks Persepsi Rasuah terbaru ini.

Kegagalan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak dalam kes-kes seperti skandal RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dakwaan Bruno Manser Fund (BMF) Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, pendedahan Deepak Jaikishan, PKFZ, ketirisan yang dilaporkan laporan audit dan sebagainya menyebabkan pencapaian Malaysia tidak perlu disorok.

“Dengan pelbagai kesilapan besar dan kelemahan di dalam usaha dan inisiatif membanteras rasuah, Malaysia tidak boleh berasa selesa walau sedikit dengan kemajuan di dalam kedudukan CPI negara,” tegasnya.
Kenali Ulama Su' Di Akhir Zaman
« on: 21 April, 2012, 02:32:14 PM »

Rasullulah saw bersabda maksudnya: "Di akhir zaman ramai ulama suk (jahat)."

Ulama suk ialah ulama yang jahat atau ulama yang sudah rosak. Oleh sebab ini adalah sabda Rasulullah yang benar lagi dibenarkan, maka ia sudah tentu sesuatu yang pasti. Mari kita lihat dan kita analisa, sejauh manakah jahatnya atau rosaknya ulama di akhir zaman ini.

Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. hersabda; “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat)”.
Allah swt. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)". H.R Termizi


1. Cinta dunia

Ramai ulama akhir zaman yang menghidap penyakit ini. Rosaknya ulama bermula dari cintakan dunia. Cinta dunia adalah ibunya. Ia kepala segala kejahatan. Ia pintu kejahatan yang membuka kepada kejahatan yang lebih banyak dan lebih besar lagi. Cinta dunia ini bolehlah diterjemahkan kepada cinta duit, harta dan kekayaan, cintakan kuasa, pangkat dan jawatan dan cintakan nama, pujian, gelaran, glamour dan macam-macam lagi.

Bila cinta dunia telah mencengkam hati, maka sukar bagi ulama untuk bertindak dan beramal mengikut ilmu yang ada padanya secara tekun dan ikhlas. Apa pun yang dia buat atau hukum yang dikeluarkan, sentiasa ada maksud lain. Sentiasa ada udang di sebalik batu. Ada kepentingan dan untung untuk diri sendiri atau untuk kelompoknya.

Cinta dunia membuatkan ulama takut untuk menyatakan kebenaran. Takut untuk menegur kemungkaran kerana takuti kepentingan dunianya terjejas. Maka jadilah mereka 'syaitan bisu'. Maksiat yang berlaku di depan mata mereka pun, mereka diamkan. Umat yang jahil pula mulalah meringan-ringankan maksiat kerana menganggap telah direstui oleh ulama secara tidak rasmi (kerana ulama mendiamkannya).


2. Ilmu yang tidak global


Ini adalah kerosakan yang kedua. Ilmu yang ada pada ulama tidak menyeluruh dan tidak global. Ilmu mereka juga tidak cukup dan tidak berterusan. Bila sampai pada satu tahap, ilmu mereka tidak bertambah kerana mereka berhenti belajar.
Ini kerana ulama menerima ilmu mengikut susunan dan sukatan yang dicipta oleh Yahudi dan Barat. Ulama diajar dan menerima pengajaran ikut sepertimana Yahudi dan Barat mahu. Ada ilmu yang diajar, ada yang tidak. Ilmu itu pula dijuruskan ke dalam bidang-bidang yang khusus dan tertentu. Ada ilmu yang diketengahkan dan ada yang disorok. Malahan ada ilmu Islam yang terus diselewengkan.

Oleh itu ilmu yang ada pada ulama jadi sangat kurang, singkat, dicatu-catu dan disukat-sukat. Kerana itu peranan ulama tidak berkesan. Ulama tidak cukup ilmu untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Yang di bidang tasawuf tidak tahu menyelesaikan masalah aqidah umat. Yang di bidang syariat tidak tahu menyelesaikan masalah ekonomi. Yang di bidang usulud-din tidak tahu menangani masalah keruntuhan moral muda mudi dan gejala sosial. Yang belajar ilmu wahyu pula tidak tahu bagaimana hendak menyatupadukan umat. Begitulah seterusnya. Jadi banyak ulama pun macam tidak ada ulama. Masyarakat terus rosak tanpa pimpinan. Liciknya tipu daya Yahudi.

Tambahan pada itu, ulama mencari ilmu untuk dapat kerja dan jawatan. Apabila sudah dapat kerja, terus berhenti belajar. Sudah dapat sijil terus berhenti mengaji.

Ulama dahulu mengaji tidak berhenti-henti sebab ilmu tidak pernah habis. Tidak ada siapa yang bagi sijil. Belajar pula bermacam-macam ilmu. Yang ahli dalam bidang tasawuf, dia juga pakar astronomi. Yang ahli dalam bidang syariat, dia juga pakar perubatan. Yang ahli dalam bidang tauhid, dia juga pakar dalam matematik, pertanian dan sebagainya.


3. Sudah tidak mewarisi nabi

Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: "Ulama itu pewaris nabi."

Ertinya ulama itu mewarisi segala apa yang ada pada nabi, baik ilmunya, ibadahnya, akhlaknya (termasuk sikap, percakapan, pergaulan, tawadhuknya) dan lain-lain lagi.

Jelas bahawa ulama akhir zaman tidak lagi mewarisi apa yang ada pada nabi. Mereka hilang wibawa dan karisma. Mereka tidak jadi contoh dan ikutan kepada rakyat dan mereka tidak dapat mengikat dan menyatupadukan umat.


4. Ulama sudah dimiliki

Sepatutnya ulama menjadi hak umum dan hak masyarakat, bergerak dan berkecimpung di kalangan seluruh umat. Ulama sebenarnya tidak berpihak, tidak mewakili dan tidak dimiliki oleh mana-mana kumpulan atau puak.

Di akhir zaman ini, ulama sudah jadi hak parti politik, hak kerajaan dan lain-lain lagi. Ada kes ulama dimiliki dan dibeli oleh orang Kristian dan membuat kerja untuk gereja. Ulama-ulama ini buat fatwa dan hukum ikut kehendak dan kepen tingan tuan-tuan mereka demi untuk memenuhi kepentingan duniawi mereka.


5. Perjuangan ulama yang hak dihasad dengki

Kalau ada ulama yang memperjuangkan yang benar dan yang hak, ulama akhir zaman akan merasa hasad dan dengki Terutama kalau ulama yang hak itu terlalu menonjol, ada jemaah, ada pengikut dan mendapat perhatian dan sokongan masyarakat. Mereka takut pengaruh mereka hilang dan takut tersingkap segala kesalahan dan kelemahan mereka. Mereka akan memburuk-burukkan perjuangan ulama yang hak itu di media-media massa. Mereka akan meminta kerajaan supaya mengharamkan atau membataskan kegiatan ulama yang hak itu.


6. Kejumudan dan liberalisme

Hasil pengajian di pondok dan pesantren, ulama menjadi jumud dan beku. Mereka hanya mementingkan ibadah dan ritual Manusia tidak tertarik dengan mereka kerana manusia ingin maju.

Ada pula ulama dari aliran pengajian moden di universiti yang sangat menganjurkan kemajuan tetapi mengikut cara dan acuan Barat. Maka timbullah fahaman Islam liberal yakni asalkan maju semuanya boleh. Asalkan maju semuanya tidak apa. Riba tidak apa. Bergaul bebas pun tidak apa. Yang penting maju. Cara berfikir ulama yang seperti ini sudah rosak dan tercemar. Kaedah dan hukum-hakam Islam ditolak ke tepi atau diringan-ringankan atas nama kemajuan dan kemodenan.


7. Kesan dari dimiliki, jumud dan liberal


Kerana ulama sudah dimiliki, jumud dan liberal, sunnah Rasulullah yang besar-besar seperti membangunkan jemaah sudah ditinggalkan. Jemaah itu disalah-ertikan dengan parti politik. Maka ulama seperti ini pun memasuki parti politik
seolah-olah dia memasuki sebuah jemaah Islam. Yang jumud, kerana tidak tahu macam mana hendak membangunkan jemaah turut juga masuk parti polirik kerana itu yang termudah. Yang liberal lagi-lagilah. Mereka ini apa pun boleh. Buat apa susah-susah membangunkan jemaah. Masuk parti politik itu bagi mereka adalah jalan pintas.
Oleh itu ulama seperti ini dimiliki dan digunakan oleh parti-parti politik. Suara mereka disesuaikan dengan kehendak dan keperluan parti dan kerajaan. Mereka sudah tidak bersuara lagi dengan suara Islam dan suara kebenaran.


8. Bekerja untuk dapat duit

Ramai ulama di akhir zaman ini yang bekerja di bidang agama untuk dapat duit. Mereka buat bisnes dan perniagaan dalam bidang agama. Mereka berdakwah dan bergerak sendiri, buat ceramah dengan bayaran yang tertentu. Mereka buka sekolah agama sebagai bisnes untuk dapat untung. Ada juga yang buat program yang ditaja oleh syarikat rokok dan sebagainya.

Ulama seperti ini sibuk mengejar dunia dan mengumpulkan kekayaan. Ada yang baca khutbah pun hendakkan bayaran.
Ini semua sudah cukup untuk merosakkan Islam. Orang-orang Islam jadi bingung. Walhal ulama itu sepatutnya menjadi pagar atau benteng untuk menjaga supaya Islam tidak rosak. Tetapi mereka sendiri yang merosakkan Islam. Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: "Ada dua golongan. Kalau baik golongan itu, maka baiklah umat. Kalau rosak golongan itu, maka rosoklah umat. laitu ulama dan umara."

Sabda Rasulullah SAW lagi:
Maksudnya: "Apabila tergelincir ulama, maka tergelincirlah umat."

Cuba kita lihat "ulamak-ulamak" sekarang...malah pada mereka yang mengaku dirinya lebih alim ...cuba tanya diri sendiri, berapa ramai orang kafir yang telah kamu islamkan? sepanjang masa muda dan tua kamu berada di tanah ini. Malah mereka yang berpakatan dengan orang kafir juga tidak mampu mengislamkan walau seorang! Di mana silapnya? tanyalah hati masing-masing....sejauh mana keimanan dan ketakwaaan kita pada Allah? Sejauh mana niat dan keikhlasan kita untuk menegakkan agama Allah? Adakah kita digeruni oleh orang-orang kafir atau kita yang mengeruni mereka? Adakah orang-orang kafir itu menghormati kita atau kita yang terlalu menghormati mereka sehingga jatuh martabat islam itu sendiri.

Di setiap urat nadi yang berdenyut di dalam darah orang islam itu terdapatnya nur dan cahaya dari Allah, manakala di setiap urat nadi yang berdenyut di dalam orang-orang kafir itu terdapat syaitan dan iblis yang penuh dengan kegelapan. Selagi hati-hati kita ditunggangi nafsu, maka selagi itu api iblis bercahaya dan mengelapkan nur dari Allah. Tanyalah pada diri sendiri, adakah kita masih lagi mahu ditunggangi nafsu duniawi yang terdiri dari emas, tahta, pangkat, kerusi-kerusi parlimen di putrajaya atau nur cahaya Allah yang menerangi kita? Jawaplah wahai si pemakai jubah dan serban yang menzahirkan dirinya lebih mulia dan dan lebih alim...Jawaplah! Di mana kamu letakkan kalimah syahadah? selain mengkafirkan dan mengfasikkan orang-orang islam yang sudah terang syahadahnya! Jangan terlalu mudah untuk kamu menghukum kerana hukuman dan penilaian itu terletakknya di tangan Allah taala. Insafilah dirimu...

Wallahu'alam..Nauzzubillah..
 
 

Terjadinya Ulama Makan Gaji

DI MALAYSIA, proses mengalih tempat ulama dari tempat mulia ke kandang-kandang musuh berlaku begitu licin dan rapi sekali. Nyata ianya dirancang sejak lama dan penuh hati-hati.
Sebagai contoh mari kita lihat tahap-tahap peralihan itu berlaku dengan jayanya di Malaysia.
a) Menjemput para alim ulama makan gaji. Waktu sebelum penjajah dulu, alim ulama tidak makan gaji. Mereka berdikari dalam soal rezeki. Mereka bekerja menyebarkan ilmu di tengah masyarakat sekitar. Bila penjajah memerintah, mama-ulama ditawarkan kerja dengan pemerintah. Yakni mereka (penjajah) masuk kampung melalui wakil-wakilnya, naik ke rumah ulama-ulama itu, berbincang dengan tuan rumah, kerja yang ditawarkan itu. Hasil pujuk rayu, maka ramailah ulama menerimanya di samping ramai juga yang tetap menolaknya.
Tuan guru saya Allahyarham Syeikh Mahmud Bukhari (asal Bukhara, Uzb ekistan), dijemput sewaktu dia berada di Makkah. Dia menerimanya menjadi guru di Maahad Hisamuddin, Klang. Cuma syukur kerana beliau tidak dapat ditipu oleh dunia. Rumah besar yang ditawarkan ditolaknya. Teruslah dia tinggal di rumah kecil tepi masjid. Hidupnya zuhud. Selain kerja rasmi, dia banyak buat kerja-kerja tidak rasmi iaitu mengajar masyarakat di masjid dan lain-lain lagi. Termasuk Sultan Selangor di masa itu Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor yang keenam, mengaji dengannya. Dibuatnya Sultan macam anak muridnya yang lain. Dia tegur apa yang patut ditegur. Ini diakui oleh semua ulama di zaman itu. Selamatlah ia dari mengampu dan menjilat.
Tetapi umumnya, ulama yang menerima jemputan dapat ditipu oleh dunia yang melambai-lambai. Tipuan dunia tentu kita sudah maklum. Yakni bagai kita mengejar bayang-bayang atau fatamorgana. Kita ingin padanya kerana ia begitu menarik. Tetapi makin diburu ia lari. Hingga kita asyik memburu, tidak juga puas-puas. Keasyikan yang melalaikan kita dari memburu Akhirat. Akhirnya kita mati sebelum menyediakan apa-apa. bekal untuk hidup di Akhirat. Dunia yang diburu hilang dari hidup kita. Hiduplah mereka dalam kemewahan. Hati kian jauh dari Tuhan kerana penuh diisi oleh rasa cintakan dunia yang mengasyikkan. Kerja-kerja ALLAH yang tanpa gaji itu tidak seronok lagi. Yang seronok, kerja makan gaji. Begitulah dunia telah menggelapkan mata hati tapi mempesonakan mata lahir.
b) Bila umpan pertama sudah mengena, penjajah pun bangunkan tangga kedua iaitu buka sekolah-sekolah agama. Sekolah yang secara terang menjamin dapat makan gaji dengan kerajaan. Yakni dapat kehidupan mewah yang indah itu. Kalau tak buka sekolah sendiri, proses membawa ulama ke kandang mereka agak lambat. Bukan senang nak ubah kuih yang sudah disiapkan orang. Eloknya buat kuih sendiri. Itulah falsafah bangunnya sekolah-sekolah agama ini. Masyarakat melihatkan contoh ulama makan gaji yang hidupnya sudah berubah indah itu. Maka ramailah yang menghantar anak ke sekolah agama kerajaan. "Dunia dapat, Akhirat dapat," kata mereka. Walhal pemburu dunia jarang dapat jadi pemburu Akhirat. Manakala pemburu Akhirat akan diburu-buru oleh dunia. Masa di sekolah lagi pelajar-pelajar sudah berbincang-bincang tentang jawatan-jawatan yang bakal disandang nanti. Ada yang nak jadi mufti, kadhi, mubaligh dan lain-lain lagi. Masing-masing mengharap jawatan besar untuk dapat gaji. (Apa yang saya sebut ini adalah pengalaman yang saya lihat dan dengar sendiri).
Dengan adanya sekolah, kerajaan tidak payah lagi jemput ulama di rumah-rumah mereka untuk datang ke pejabat. Tetapi para ulama sendiri yang berduyun-duyun datang memohon kerja. Dapat kerja ertinya dapat duit, dapat nama, dapat kuasa, dapat pengaruh, yang semuanya sangat dicintai oleh nafsu. Waktu itu sama ada dapat tegak hukum ALLAH atau tidak, sudah tidak diperhitungkan lagi.
c) Tertekannya ulama tidak rasmi dan pondok-pondok. Di era ini, kekuatan ulama rasmi sudah terasa. Maka jadilah mereka ayam sabung pemerintah untuk menekan ulama yang masih mempertahankan hak-hak ALLAH dalam masyarakat mereka. Sekolah-sekolah pondok tempat keluarnya ulama turut jadi sasaran.
Kita tentu sama-sama dapat saksikan bagaimana proses peralihan berlaku di pondok-pondok. Yang sebelumnya berserban atau kopiah putih, telah bertukar kepada kopiah hitam dan akhirnya jatuh semuanya. Kepala yang mulia tidak bertutup lagi. Baju-baju Melayu beralih kepada baju kemeja. Kain pelikat beralih pada seluar. Mula-mula kemeja di luar tapi akhirnya kemeja masuk dalam seluar. Jadilah ulama rupa pakaiannya macam rupa pakaian tuannya, penjajah. Perempuan yang mula-mula dirahsiakan kecantikannya, dibuka sedikit demi sedikit, akhirnya terdedah betul untuk santapan nafsu lelaki macam wanita-wanita penjajah.
Saya hanya menyebut perubahan-perubahan yang lahir-lahir ini sebagai contoh sahaja. Yang sebenarnya perubahan fikiran melalui propaganda dakyah musuh itulah yang menjadi punca bagi perubahan lahir itu. Di Turki, Kamal Ataturk menjahanamkan ke-Islaman di Turki dengan cara inilah. Bahkan ia menggunakan kekasaran, membunuh ulama dan menghukum siapa-siapa yang degil. Lebih-lebih lagi di kawasan- kawasan jajahan komunis seperti di negara-negara di Asia Tengah yang pernah dijajah oleh Moscow, dan juga di Tanah Besar China.
Ulama tidak rasmi dan ulama-ulama pondok dianaktirikan hingga jadi begitu buruk dan tidak berharga lagi. Orang ramai pandang mereka bagaikan pandang kucing kurap. Akibatnya pondok hidup segan mati tak mahu. Yang meriah pondok buah-buahan seperti pondok durian, rambutan dan lain-lain lagi. Kemudian sebahagian besar ulama pondok pun terpengaruh sama. Walaupun mereka masih mengajar di pondok-pondok tetapi anak-anak mereka sendiri dihantar ke sekolah sekular yang menjamin keduniaannya. Sikap mereka ini seolah-olah menampakkan mereka menyesal mengaji di pondok-pondok (pesantren-pesantren) kerana tidak dapat apa-apa keduniaan.
d) Bila taring makin besar dan tajam, musuh Islam makin berani. Mengumpan pula agar umat Islam mengaji Islam di negeri kafir, universiti kafir, guru-gurunya pun kafir. Masya-Allah, malangnya umat Islam! Ramai yang menerima tawaran ini. Pulang dengan PhD syariah atau PhD Zoghah atau PhD tasawuf dari Universiti Kent, Universiti Birmingham, Universiti London dan lain-lain universiti di England, Universiti Temple di Amerika atau dari Universiti St. Andrews di Scotland atau lain-lainnya.
Ulama ini bukan lagi setakat gila dunia lalu memperdagangkan agama. Tetapi mereka juga adalah ejen musuh dalam menghancurkan Islam di negara-negara dan negeri-negeri umat Islam. Di mana-mana hari ini, siapa ada sijil dari negeri-negeri kafir itu, dia yang dapat tempat istimewa dalam kerajaan. Atas nama Islam, dengan kuasa yang ada, disesatkanlah, ditekan, diugutlah saudara-saudara se-Islam yang serius dengan agama. Walhal mereka sendiri yang menuduh sesat pada orang itu ada yang kaki perempuan, kaki muzik dan segala-galanya. Syariat Islam mereka, jangan soallah. Isteri penoreh getah yang jahil pun pakai tudung, tetapi isteri tuan besar agama, kepala masih terdedah. Sebab itu saya berani mengatakan lulusan Islam dari sekolah orang kafir ini sebenarnya ejen musuh. Dia menyalahkan orang bersyariat sedangkan dia sendiri anti syariat. Dituduh tasawuf itu karut sedangkan kekarutan yang dilakukannya lebih bahaya lagi. Inilah kerja musuh, kerja nafsu dan syaitan. ALLAH berfirman dalam surah An Nisa':
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Tapi mereka masih berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan memang hendak menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka,
"Marilah (tunduk) kepada hukum yang telah Allah turunkan dan kepada ajaran Rasul," nescaya kamu lihat orang-orang munafiq menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari mendekati kamu. (An Nisa': 60-61)
e) Di tahap ini sudah sempurnalah hasrat musuh untuk hancurkan Islam dan ulamanya sekali. Bila lidah musuh sudah disambung oleh ulama, maka selesailah proses penghancuran yang dirancang sekian lama. Umat Islam tinggal nama sahaja. Cara hidup sepenuhnya bukan Islam lagi. Cara hidup Islam jadi dagang dan begitu asing di kalangan penganutnya sendiri. Tepatlah sudah sabda Rasulullah SAW:
Kamu akan mengikut perjalanan orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikutnya. Lalu ditanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Sabdanya: Yahudi dan nasrani. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Berjayalah sudah musuh mendaki kemuncak itu. Tapi insya-ALLAH bila sudah sampai kemuncak, dia akan jatuh. Dan zaman kejatuhan mereka sedang bermula. Itulah Sunnatullah.
Kesimpulannya, sekolah dan universiti agama kerajaan di dunia hari ini sebahagian besar sebenarnya mengusahakan keluarnya ulama yang rosak. Memang umat Islam tidak sedarkan hal ini. Bahkan bila saya sebut begini, mungkin ada yang tidak percaya atau tidak boleh terima. Maklumlah orang sudah sedap dengan rokok, susah nak terima kalau dikatakan ia bahaya untuk badan. Orang yang sudah rosak, susah untuk nampak kerosakan. Oleh itu terpulanglah kepada masing-masing untuk menilainya.
Saya cuma ingatkan lagi sekali, memang pelanduk selalu lupakan jerat. Bahkan dia tidak sangka jerat ada niat tidak baik padanya. Tetapi si jerat sedetik pun tidak terlupa dan tersilap dalam niatnya nak tangkap pelanduk. Begitulah! Tapi jerat tidak bersalah. Memang itu tanggungjawabnya. Yang salah ialah pelanduk. Mengapa pelanduk tidak serius dalam mengawal keselamatam dirinya? Sedangkan dia ada otak, jerat tidak ada otak. Umat Islam ada Al Quran dan Hadis, musuh tidak ada. Petunjuk yang begitu jelas. Itupun musuh yang menang. Bukan salah musuh tetapi salah umat Islam sendiri. Diri yang tidak mempergunakan seluruh amanah ALLAH untuk membangunkan kejayaan dan kemenangan hakiki. ALLAH berfirman dalam surah At Taubah:
Hai orang beriman! Apakah sebabnya apabila dikatakan pacla kamu, "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan ALLAH," kamu merasa berat dun ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan Akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan Akhirat) adalah kecil. (At Taubah: 38)
Rasulullah SAW bersabda:
Akan tiba masanya kamu (umat Islam) akan dikeronyok oleh musuh bagaikan menghadapi makanan di dalam dulang." Para Sahabat bertanya: "Apakah bilangan kita ketika itu sedikit?" Rasulullah menjawab, "Bahkan kamu ketika itu ramai tetapi bagaikan buih di laut. ALLAH akin cabutkan perasaan gerun musuh kepada kamu. Sebaliknya dimasukkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Apa itu 'wahan' tanya Sahabat? Jawab baginda: iaitu gila dunia dun takut mati. (Riwayat Abu Daud)
Begitu jelas diceritakan bahawa punca kelemahan umat . Islam ialah penyakit cinta dunia dan takut mati (dalam menegakkan kebenaran). Tetapi umat Islam tidak juga mahu mengubati penyakit itu. Musuh yang sungguh-sungguh mengusahakan agar penyakit ini terjadi atau menimpa umat Islam. Sebab musuh yakin rahsia untuk merosakkan umat Islam ialah jadikan mereka gila dunia dan takut mati. Musuh kaji Al Quran dan Hadis. Al Quran pun menerangkan bahawa yang boleh menipu umat Islam ialah dunia. Sudah lebih 50 kali bangsa Yahudi dan nasrani menterjemah Al Quran. Mereka kaji dengan mendalam rahsia umat Islam. Alimnya mereka tentang Islam sampai mampu jadi pensyarah Islam di peringkat ilmu PhD. Mereka buka pengajian Islam. Panggil umat Islam untuk berguru dengan mereka. Maka ramailah lahir ulama Islam di tangan Yahudi dan nasrani. Umat Islam seluruh dunia menyambut baik perkara ini. Bangga mengaji Islam dengan orang kafir. Walhal Al Quran sudah ingatkan:
Tidak sekali-kali orang Yahudi dan nasrani meredhai kamu sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka. (Al Baqarah: 120)
Maha Benarnya ALLAH, maka terjadilah hal di mana lulusan PhD tasawuf dari Universiti St. Andrews di Scotland jadi penentang kuat pada kebangkitan Islam di Malaysia dan di mana-mana saja. Demikian juga lulusan pengajian Islam dari Universiti Kent di England, jadi orang yang gigih menentang gerakan Islam. Sedangkan pelajar kejuruteraan sebuah universiti di Indonesia jadi ketua kebangkitan Islam di sana. Dan lulusan PhD satelit angkasa dan pemegang PhD jurusan aeronotik dari Aerospatiale, Universiti de Toulouse di Perancis, jadi aktivis Islam yang turut memeriahkan kebangkitan Islam di Eropah.
Ertinya, hasil belajar Islam dengan orang kafir, orang Islam telah menjadi penentang Islam. Sedangkan pelajar aliran sekular, yang mendapat didikan Islam dari pendakwah-pendakwah Islam, akhirnya jadi penggerak Islam. Keadaan ini berlaku tentunya kerana ilmu Islam yang diberikan oleh kedua-dua pihak bezanya bagaikan langit dengan bumi. Ilmu Islam yang diberi oleh orang kafir itu ibarat makanan yang sudah dibubuh dengan racun. Firman Allah SWT:
Dan kalau Allah menghendaki, niscaya Dia adikan kamu satu umat (saja). Tapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya dan memberi petunnuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan. (An Nahl 93)

Artikel ini adalah bagian dari buku Ulama Dalam Pandangan Islam berisi tulisan dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad

Tiada ulasan: