Jumaat, 21 Disember 2012

LAGI SERANG LAGI TERKENAL...LAGI LAMA TARIKH PRU13 LAGI BUSUK TERKELUAR...SETIAP PEMERINTAHAN ADA JANGKA HAYAT KECUALI MAHA PEMERINTAH IAITU ALLAH

Presiden PAS diserang kerana nama dicadang sebagai PM

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Serangan terhadap Presiden PAS berhubung 'Amanat Haji Hadi' dipercayai dibuat semata-mata kerana ada ura-ura nama Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disenaraikan sebagai calon Perdana Menteri (PM).

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memang menjadi tradisi bahawa sesiapa sahaja selain Umno yang disebut-sebut menjadi calon perdana menteri akan diserang habis-habisan.

“Sudah tentu, rakyat masih ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang kerana namanya disenarai sebagai PM.

"Kini Tuan Guru Haji Hadi pula diserang, sedangkan namanya hanya disebut oleh perwakilan di dalam Muktamar PAS bagi menolak tohmahan Umno bahawa kalau Pakatan Rakyat menang, DAP akan jadi PM,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, doktrin Umno di kalangan pengundi Melayu di kampung-kampung bahawa DAP akan menjadi Perdana Menteri gagal apabila timbul isu Presiden PAS disebut sebagai calon PM.

“Hasilnya, kini muncung senapang Umno mula dihalakan kepada Presiden PAS pula.

"Kita yakin selepas ini pelbagai tohmahan, tuduhan, fitnah akan dibuat ke atas beliau, kerana di Malaysia sesiapa yang dicadangkan sebagai PM, akan menjadi sasaran serangan media BN,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim juga mengimbau kembali sejarah pertubuhan al-Arqam yang diserang habis-habisan setelah mengeluarkan sebuah buku yang menggambarkan Ashaari Mohammad sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

“Sedangkan asal bantahan hanya kepada amalan Aurad Muhammadiah sahaja. Begitulah nasib sesiapa yang disenarai sebagai Perdana Menteri.

"Walaupun kita mengakui ada beberapa amalan dan keyakinan bertentangan dengan syarak, tetapi antara sebab hebatnya serangan adalah kerana disebut untuk menjadi PM,” kata beliau.

Justeru katanya, rakyat mempunyai satu peluang yang cerah untuk menghentikan mitos bahawa jawatan perdana menteri ini hak eksklusif Umno sahaja dengan menyokong Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru.

Wang Haram 200b: Najib Menteri Kewangan 'terbaik' negara

Nasrudin Hassan, 20 Dis 2012
1. Pendedahan yang dibuat oleh Global Finance Integrity (GFI) bahawa Malaysia mencatatkan pengaliran keluar modal haram berjumlah USD 64.38 billion pada tahun 2010 adalah sesuatu yang sangat mengejutkan ramai pihak. Jumlah ini meletakkan Malaysia pada tangga ketiga jumlah wang haram terbesar di belakang China dan Mexico.

2. Apa yang tidak mengejutkan kita ialah usaha kerajaan menyekat media arus perdana dari membuat pendedahan lanjut. Ianya adalah satu tindakan sia-sia apabila mengambilkira pandangan PM sendiri di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa masyarakat kini didorong oleh teknologi ICT dan menjadikan mereka khususnya golongan muda lebih bermaklumat.

3. Kita juga boleh menjangkakan bahawa kerajaan akan segera menempelak angka GFI ini sebagai menyimpang. Ianya berdasarkan kenyataan dangkal PM tahun lepas yang menyangkal angka GFI tahun 2000 - 2009 sebanyak RM 662.6 billion lalu mendedahkan angka rasmi kerajaan yang kononnya jauh lebih kecil iaitu sebanyak RM 135.4 billion bagi tempoh yang sama.

4. Variasi tersebut adalah dijangkakan kerana perbezaan pada kaedah pengiraan tetapi pertikaian angka ini telah menjadi akademik semata-mata. Sama ada angka Kerajaan yang betul atau pun angka GFI, hakikatnya PM sendiri telah mengakui wujudnya modal haram yang berbilion ringgit nilainya.

5. Pendedahan ini adalah signifikan kerana ianya membuktikan wujudnya wang komisyen rasuah yang besar berlegar di dalam ekonomi kita. Ianya juga membuktikan usaha tidak sah kumpulan penyangak ekonomi untuk mengelak cukai dan membawa keluar hasil negara melalui kaedah pelaburan hartanah, deposit akaun luar pesisir dan sebagainya bagi menokok kekayaan peribadi mereka.

6. Contoh kekayaan kumpulan penyangak ekonomi ini antara lainnya terbongkar melalui kes perceraian anak Ketua Menteri Sarawak yang membenarkan kekayaan luar biasa keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Jumlah tuntutan perceraian menantunya sahaja menjangkau RM 100 juta ringgit! Maka tidak hairan sekiranya jumlah wang haram ini menjangkau nilaian berbilion ringgit.

7. Laporan GFI setebal 94 mukasurat ini mendedahkan beberapa petunjuk penting mengenai punca pengaliran wang haram tersebut. Antaranya ketidaktelusan akaun firma dana kekayaan berdaulat (SWF), pengaruh petro-dolar dan penipuan dalam inbois dagangan.

8. Secara langsung petunjuk-petunjuk ini mendorong kita untuk mempersoalkan kredibiliti Khazanah, Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ianya sekaligus mengukuhkan persepsi bahawa institusi-institusi ini telah dipergunakan secara sistematik untuk menambah kekayaan ahli-ahli politik pemerintah UMNO-BN, ahli keluarga mereka dan kroni.

9.  Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Syarikat dan LHDN sebenarnya cukup berupaya menjejak transaksi meragukan melalui instrumen forensik audit di samping keupayaan pihak SPRM dan PDRM membina kes jenayah komersil ke atas pihak-pihak terlibat.

10. Malah Ketua Audit Negara boleh mengambil pendekatan lebih aktif dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya melalui Perkara 5(d) Akta Audit 1957 yang membolehkan beliau memperinci akaun-akaun syarikat swasta yang menggunakan dana awam (GLC seperti Khazanah dan Petronas) bagi mewujudkan sikap kebertanggungjawaban.

11. Teguran yang diberikan ibarat mencurah air ke daun keladi. Cara terbaik kini ialah menggunakan kesedaran tersebut untuk menukar rejim korup sedia ada pada PRU ke-13 dengan kepimpinan baru yang jujur dan adil.

12. Antara langkah awal yang pasti ialah dengan membuat pengisytiharan harta sebagaimana yang telah dipelopori oleh saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi menjamin ketelusan kepentingan ahli politik dan penjawat awam.

13. Pada masa yang sama, PAS dan Pakatan Rakyat mestilah  komited untuk memberdaya mekanisme semak imbang negara agar ketirisan dapat segera dihentikan dan kekayaan negara dapat dipulangkan kembali kepada rakyat.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Oley 2 sampai mesej cara santai

Hazayani Zakaria, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Filem pendek "Oley" siri kedua terbitan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang mendapat sambutan memberangsangkan membuktikan mesej dakwah boleh disampaikan secara santai.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tidak semua masyarakat khususnya golongan muda boleh menerima mesej Islam dan isu semasa melalui cara yang berat seperti ceramah, seminar dan forum.

Apa yang pemuda buat ini merupakan satu usaha untuk menepati kehendak semasa dalam menyampaikan mesej Islam dalam bahasa dan pendekatan yang mudah iaitu melalui pandang, dengar dan hayati," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Oley siri kedua sudah ditonton kira-kira 20,000 dalam masa lebih kurang tiga hari sejak ia dimuat naik di Youtube.

Ia cuba menyampaikan pengertian hudud yang tepat, bukan hukuman yang dilakukan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang kukuh.

Nasrudin juga berkata, Oley 2 dimuat naik secara berperingkat-peringkat bagi mewujudkan unsur suspen.

"Sengaja kita tayangkan beberapa episod supaya orang ramai ternanti-nanti apa sambungannya.

"Contohnya dalam episod satu, ada seorang pemuda akan dikenakan hukum hudud, jadi orang nak tahu apa yang berlaku pada dia pada episod seterusnya dan Oley 2 ada tiga episod," katanya.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, kandungan Oley 2 juga dapat menerangkan kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat dan Dokumen Kebajikan PAS.

"Masyarakat nak tahu bagaimana keadaannya bila Pakatan Rakyat memerintah dan kita nak tunjukkan kepada masyarakat gambarannya walaupun bukan secara keseluruhan," katanya lagi.

Oley 2 merupakan filem pendek arahan Adam Hamid yang menyertai PAS Julai lalu.

Selain Oley 1 dan 2, DPPM juga pernah menerbitkan filem pendek "Gua Ikut Enta" tahun lalu.

Isu Bukit Botak bukti Pakatan komited bela rakyat

Anis Nazri , 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Penduduk Bukit Botak yang telah menanti selama 30 tahun, kini sudah boleh tersenyum apabila isu mereka berjaya diselesaikan kerajaan negeri Selangor.

Projek Bukit Botak yang dijangka siap dan boleh mula diduduki Mac 2013 itu membuktikan keupayaan Pakatan Rakyat menawarkan yang terbaik untuk rakyatnya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata isu Bukit Botak yang berjaya diselesaikan Pakatan Rakyat itu juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penduduk Bukit Botak yang yakin dengan usaha kerajaan negeri dalam projek ini.

"Untuk projek ini, kita menawarkan dua pilihan untuk mereka sama ada menarik diri atau menerima tawaran ini, dan Alhamdulillah majoriti memilih untuk menerima tawaran ini, yang akhirnya menjayakan projek ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, sejak 1988 lagi - ketika bancian pertama kali dilakukan, penduduk Bukit Botak telah dijanjikan kerajaan BN untuk memiliki rumah tersebut.

Bagaimanapun, katanya masalah tersebut terus berlarutan biarpun BN memerintah Selangor sekian lama, sehingga berjaya diselesaikan Pakatan Rakyat.

Sabtu ini, satu majlis penyerahan surat tawaran kepada penduduk Bukit Botak, akan diadakan yang bakal disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Cengkaman politik Umno rosakkan reputasi Utusan

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pandangan mantan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang bahawa Utusan perlu berubah jika mahu kekal relevan sebagai akhbar nasional.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata selagi mana Utusan dipengaruhi parti politik khususnya Umno, selagi itu ianya terus terbelenggu sehingga terpaksa mengikut telunjuk pihak tertentu.

"Bagi saya, pandangan Datuk Seri Azman Ujang wajar diberikan perhatian. Utusan Malaysia, akhbar yang diangkat sebagai akhbar nasional dan menduduki tempat pertama akhbar arus perdana akan terus merosot jualannya jika mereka kekal sebegini.

"Malah, mentaliti atau persepsi rakyat sudah meletakkan Utusan sebaris dengan akhbar nyamuk yang tidak ada harga untuk dibaca," katanya.

Azman Ujang sewaktu bercakap di forum 'Utusan: Kewartawanan Dahulu dan Kini' di Dewan Bahasa dan Pustaka semalam dilaporkan berkata, pendirian editorial Utusan yang membawakan agenda pro Melayu tidak cocok dengan demografi Sabah dan Sarawak.

Beliau juga berpandangan Utusan mempunyai toleransi yang agak rendah terhadap parti-parti pembangkang serta bersikap tidak lunak terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam pemberitaannya.

Mengulas lanjut Riduan berkata, pendirian Utusan itu telah menyebabkan akhbar yang dilabel sebagai 'akhbar Umno' itu acapkali disaman oleh pemimpin parti politik dan ada kes mereka kalah di mahkamah.

Ini katanya, menjadi bukti pemberitaannya yang berat sebelah serta mengandungi elemen fitnah atau mengadu domba.

"Kekerapan Utusan naik turun mahkamah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan untuk membacanya, apatah lagi untuk memilikinya," katanya.

"Saya yakin, jika Utusan berani melakukan perubahan drastik seperti yang dihasratkan, harapan mereka menjadi akhbar terlaris di negara ini pasti menjadi kenyataan. Malah, mungkin boleh menyelamatkan nyawa Umno BN yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan dalam survival politik mereka," katanya.

MPKB juara portal terbaik kebangsaan 2012

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KOTA BHARU: Agensi-agensi di bawah kerajaan negeri membuktikan keunggulan pengurusannya, biar pun sering diketepikan dalam banyak keadaan oleh kerajaan pusat.

Baru-baru ini Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) muncul sebagai juara anugerah laman web dan portal terbaik peringkat kebangsaan 2012.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Korporatnya, Azman Mohd Daham (gambar) berkata, anugerah tersebut juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan 5 bintang bagi laman web dan portal MPKB BRI.

Katanya, anugerah itu diterima Yang Dipertua MPKB BRI, Fauzi Mat pada satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 12 Disember lalu.

“Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Mohamad Zabidi Zainal,” katanya di sini.

Sebelum ini pihak berkuasa tempatan terbabit juga pernah menerima anugerah peringkat kebangsaan bagi pelaksanaan Amalan 5 S pada 2009 dan johan anugerah Ceria Bahasa 2009.

Malah pejabat kerajaan negeri di Kota Darulnaim juga banyak menerima anugerah peringkat kebangsaan dalam beberapa kategori.

Anak muda anti-Lynas anjur mogok lapar 100 jam

Hazayani Zakaria, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan anak muda, yang menggelarkan diri mereka Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar akan menganjurkan mogok lapar selama seratus jam di Dataran Merdeka, bermula 27 Disember hingga 1 Januari.

Jurucakap kumpulan tersebut, Tan Woon Tian berkata, mereka mahu mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat berhubung projek yang mengancam nyawa rakyat termasuk projek pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

"Oleh sebab itu kami bekerjasama dengan Himpunan Hijau. Kami mengharapkan kerajaan akan lebih telus dalam menangani projek seperti ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini..

Mengulas lanjut, beliau berkata, mogok lapar yang bermula jam lapan malam 27 Disember itu dijangka tamat pada 12 tengah hari, 1 Januari dengan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah berusia lingkungan 14 tahun.

“Kami juga meminta Kabinet untuk memberikan respons mereka dalam perkara ini,” katanya lagi.

Selain mogok lapar, mereka juga akan mewujudkan speaker corner yang akan menjemput wakil pertubuhan alam sekitar.

“Kami sudah maklumkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan St John Ambulans.

“Kami bagaimanapun tidak merasakan keperluan untuk memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya lagi.

Mereka yang ingin menyertai mogok lapar tersebut boleh melayari laman Facebook kumpulan itu di Hunger Protest 100: Say No to Public Hazard: Protes Lapar Tolak Ancaman Alam.

Bantah Lynas, NGO Hijau konvoi ke Gebeng

Hazayani Zakaria, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kumpulan Anti Lynas, Himpunan Hijau akan meneruskan bantahan terhadap pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi dengan konvoi kenderaan dari Kuala Lumpur ke kilang tersebut di Gebeng, Kuantan pada 31 Disember ini.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck berkata, konvoi kenderaan tersebut merupakan salah satu program dalam kempen seratus hari menentang projek Lynas yang didakwa mengancam keselamatan penduduk setempat.

"Rakyat sangat marah dengan aktiviti yang akan memusnahkan alam sekitar, rakyat dan negara sendiri.

"Sebab itu rakyat sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan Lynas tidak akan meneruskan operasi mereka," kata beliau dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Konvoi akan bermula di Markas PAS Taman Melewar, Gombak pada jam lapan pagi dan dijangka tiba di Markas PAS Chegar Mendang, Bentong yang akan diisi dengan ucapan pemimpin parti-parti politik dan kumpulan pecinta alam sekitar.

Kumpulan itu kemudiannya akan bergerak ke Gebeng dan akan berkampung di markas Himpunan Hijau di sana.

"Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk menjual ‘Biskut Telinga Cap Adnan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut bersama dalam sidang media tersebut berkata, Pakatan Rakyat akan mengerahkan ahli untuk bersama-sama Himpunan Hijau pada tarikh tersebut.

"Saya bagi pihak Sekretariat Pakatan Rakyat akan menyeru ahli-ahli dan penyokong parti Pakatan Rakyat untuk bersama dalam program 31 Disember yang akan berakhir di Kuantan.

"Melalui media yang kami ada, kami akan cuba memberikan gambaran sokongan dan penyertaan kepada Himpunan Hijau," katanya.

Tiada ulasan: