NGO pendesak Melayu PERKASA hari ini berikrar akan menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan parti itu mendapat kerusi majoriti dua pertiga dan membentuk kerajaan.

Ikrar tersebut dibaca oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali di hadapan kira-kira lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati di Persidangan Agung Tahunan PERKASA di Astaka Taman Tasik Tititwangsa di ibu negara.

NONE"Bahawasanya kita berikrar demi agama bangsa dan negara, kita tidak akan berpecah, menyerah diri, tidak jadi pengkhianat, tetapi membantu beri kemenangan kepada BN dua pertiga majoriti," kata Ibrahim yang kemudian diikuti satu persatu oleh perwakilan.

Dalam ucapan dasarnya itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata sekiranya majoriti dua pertiga dapat maka isu yang berkaitan raja-raja Melayu dan persoalan agama Islam tidak akan berbangkit lagi.

Beliau juga meminta seramai lebih 350,000 anggotanya untuk menunggu arahan selanjutnya daripada pucuk pimpinan NGO itu, bagi menyokong mana-mana calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya umum itu.

"Jangan rasa terguris... (Ada) pemimpin MCA beri pelbagai respon (kepada kita)... Saya juga terguris... MCA boleh membantu Umno untuk menubuhkan kerajaan kuat.

"Sebab itu kita undi Umno dan BN... Kalau nak ikut, saya lagi marah kepada Umno dan BN tetapi marah saya tidak boleh mengatasi agama, bangsa dan negara," katanya.

Bercakap dalam sidang media kemudiannya, Ibrahim berkata sokongan kepada calon BN termasuk MCA dan MIC "tidak ada percanggahan" dengan prinsip perjuangan PERKASA yang berteraskan Melayu.

NONEKatanya, lagi mereka mahu membantu kerajaan menyatukan rakyat sekaligus menjadikan negara ini dalam keadaan aman dan menjamin kestabilan negara.

"Kita sokong semua calon BN termasuk MCA dan MIC. Kita tidak lihat isu peribadi. Pemimpin datang dan pergi... Bukan soal individu. Tak adil seorang bawa lumpur, semua kita kena tolak.

"Kita sokong BN atas dasar BN sebagai satu gabungan membawa wadah politik yang berkongsi kuasa dengan semua kaum," katanya.

Ditanya sama ada menyokong BN juga bermaksud PERKASA menyokong perjuangan MCA, Ibrahim menegaskan bahawa NGO itu menyokong BN dan bukan individu tertentu semata-mata.
"Saya tegaskan kita sokong BN, kerana konsep gabungan antara kaum yang terbukti sejak merdeka," katanya yang merayu supaya mandat diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam sidang media itu juga, Ibrahim turut membaca 10 perisytiharan dan resolusi PERKASA yang antara lainnya menyeru pengundi pengundi memilih kestabilan politik, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"Pilihan yang betul bagi membentuk kerajaan yang kuat ialah dengan memilih parti yang mempunyai rekod trek kecemerlangan mentadbir negara.

"Kita tidak mempunyai pilihan lain kerana tawaran yang dibuat oleh pakatan alternatif jelas berkecamuk, sangat kacau dan semberono serta memperlihatkan percanggahan dan pertentangan sesama mereka," katanya.
Beliau bimbang parti dalam Pakatan "yang tidak sehaluan" itu akan membawa "mudarat besar kepada rakyat dan negara".

Sembilan lagi perkara yang digariskan dalam resolusi itu termasuk soal perpaduan bangsa, kebebasan beragama, ancaman pluralisme dan pengaruh lesbian, gay serta transgender (LGBT).
Perkasa juga menyatakan sokongan terhadap Pelan Tindakan Pendidikan Negara serta kecaman mengenai campurtangan kuasa asing dalam negara.
Perkara itu, menurutnya, akan diluluskan dalam mesyuarat Agung PERKASA di sebelah petang.
NGO: Pahang ada telaga minyak baru 'lebih besar'
M FEISAL NORAWI
15 Disember 2012
Telaga minyak baru tidak didedah
Peta penemuan minyak di Blok PM-308 medan Rhu dalam kawasan perairan Pahang seperti didakwa ‘R’ Pahang semalam.
TEMERLOH – Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak atau ‘R’ Pahang, mendedahkan pihaknya mempunyai bukti sebuah telaga minyak baru lebih besar berbanding telaga minyak di Bertam yang ditemui di perairan negeri ini.

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu, Nordin Majid berkata, pihaknya mempunyai bukti telaga minyak di medan ‘Rhu’ Blok PM-308 di dalam sempadan Pahang adalah enam kali lebih besar berbanding telaga minyak di Blok 307 Bertam, dalam perairan Terengganu.

Malang sekali katanya, Kerajaan Pusat tidak mendedahkan penemuan blok itu kepada umum hingga menimbulkan persoalan, khususnya kepada mereka yang mengetahui mengenai perkara tersebut.

“Pahang sebenarnya mempunyai blok telaga minyak enam kali lebih besar daripada Bertam, tetapi tidak didedahkan.

“Kami harap Kerajaan Pusat dapat menjawab persoalan, mengapa Kerajaan Pusat tidak mendedahkan kepada umum penemuan telaga minyak di Blok 308 Rhu ini?” katanya.

Nordin berkata, pihaknya juga mahukan Kerajaan Pusat memberikan royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri dan bukannya wang ihsan bagi setiap penemuan minyak di perairan negeri ditemui.

Beliau berkata, sumber mengenai penemuan minyak di Blok PM-308 ‘Rhu’ berkeluasan 5,500 dan 8,600 kilometer persegi itu diperoleh hasil kajian dibuat ‘R’ Malaysia serta ‘R’ Pahang.

Menurutnya, rakyat Pahang secara umumnya perlu tahu sekiranya wujud blok lain selain Blok 307 Bertam yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini.

“Kerajaan Pusat juga perlu mengumumkan jumlah hasil Blok PM-308 Medan Rhu dan tarikh pengeluarannya bermula seperti mana pernah diumumkan kepada rakyat Pahang mengenai Blok PM-307 Bertam.

“Apabila medan minyak Rhu yang berada di dalam perairan Pahang mengeluarkan hasil, adakah rakyat Pahang akan dibayar royalti atau wang ihsan?” katanya.

Nordin berkata, ‘R’ Pahang adalah sebuah NGO gabungan 100 NGO profesional lain bertindak bagi mencapai tujuan berkaitan tuntutan royalti mengikut perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Pahang.
DAP bersama Pas kerana prinsip
Wartawan Sinar Harian
15 Disember 2012
Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
SHAH ALAM – DAP, yang mengadakan kongres tahunan hari ini, yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menegaskan, asas parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) bukanlah kerana negara Islam atau hudud, tetapi atas prinsip menggalakkan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan pembangunan negara.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, negara sekarang berada di persimpangan jalan, sama ada mahu mengekalkan hegemoni Umno dan Barisan Nasional (BN) atau menukar landskap politik dengan mewujudkan dua parti sistem.

"Hubungan kami dalam PR, bersama dengan PKR, adalah sama rata (seimbang) di mana kami menghormati persamaan dan perbezaan satu sama lain.

"Itu sebabnya pemimpin-pemimpin DAP telah menyampaikan pendirian kami berkenaan dengan salun rambut Kelantan kepada kepimpinan Pas dari awal-awal lagi meskipun kami tidak mengumumkan menerusi media," katanya lagi.

Walaupun mengakui tugas PR pada  PRU13 sukar kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya penambahan 30 kerusi Parlimen lagi daripada yang dimenangi pada tahun 2008 lalu, sebelum menawan Putrajaya.

Kongres tahunan kali ini juga menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan parti.

Malah katanya, berdasarkan kepada situasi semasa, BN dilihat lebih mudah untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga selepas gagal pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya boleh berubah pada bila-bila masa kerana dengan kerja keras, kemenangan PR pada PRU13 bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Tetapi untuk langkah selamat, kerajaan pusat yang berdaya maju dan tahan lama, PR tidak boleh hanya mengharapkan kepada majoriti tipis di Parlimen. PR perlukan kemenangan yang lebih besar dan kukuh pada PRU13.

“Tugas BN lebih mudah, mereka hanya perlukan lapan kerusi Parlimen untuk mendapatkan semula dua pertiga dalam Dewan Rakyat,” katanya dipetik dari blognya, semalam.

Baru-baru ini, Kit Siang dalam satu kenyataan menyatakan keyakinan PR boleh memperoleh 125 kerusi Parlimen, iaitu majoriti tipis untuk membentuk Kerajaan Pusat, dengan tiada parti komponen yang mempunyai kuasa hegemoni.

Kata Kit Siang lagi, dalam senario PR menang sebanyak itu, PKR boleh memperoleh sehingga 45 kerusi, manakala DAP dan Pas masing-masing 40 kerusi.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut membidas pendapat sesetengah pihak yang mendakwa pemimpin DAP takut kepada Pas dan juga sebaliknya.

“Ia adalah pembohongan, sama juga seperti dakwaan mengatakan Melayu atau Cina akan ditekan di bawah kerajaan PR. Untuk PR, kami komited untuk memberi khidmat terbaik untuk seluruh rakyat,” katanya.

Namun katanya lagi, cuma mengharapkan kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PR masih belum cukup untuk memenangi hati empat juta pengundi atas pagar pada PRU13 nanti.
“Kita mesti meyakinkan golongan ini bahawa tiga parti komponen PR bersatu dan mengangkat prinsip-prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam Rangka Kerja Polisi PR dan Buku Jingga serta mengetepikan sejarah perbezaan ideologi,” katanya.
Polis Indonesia tahan lelaki mengaku 'nabi'

15 Disember 2012
JAKARTA - Polis Indonesia menahan seorang guru agama berumur 48 tahun di daerah Kutai Timur, Kalimantan Timur, selepas dia mengaku dirinya 'nabi'.

Polis percaya lelaki itu yang mengetuai kumpulan dikenali Rantau Bemban, telah memperdayakan pengikutnya untuk memberinya wang dan membenarkannya tidur dengan isteri mereka.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengisytiharkan kumpulan itu sebagai kumpulan ajaran sesat, manakala polis sedang menimbangkan untuk mendakwa lelaki itu dengan pertuduhan menipu dan murtad, menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Globe pada Sabtu.

Kini lelaki itu menghadapi pertuduhan menipu dan menggelapkan wang.

Siasatan mendapati pengikut Rantau Bemban diminta memberi wang kepada lelaki itu untuk membersihkan dosa dan jika mereka tidak mampu berbuat demikian, mereka perlu membenarkannya tidur dengan isteri mereka sebagai cara untuk membersihkan dosa.

Setakat ini seorang lelaki membuat laporan mendakwa diperdaya oleh guru agama itu untuk membayar Rp170 juta bagi membersihkan dosanya dan polis percaya puluhan lagi pengikutnya telah membenarkan isteri mereka tidur dengan lelaki itu bagi tujuan membersihkan dosa.  - Bernama
Malaysia ada risiko dilanda gempa bumi

15 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Terdapat kebarangkalian Malaysia dilanda gempa bumi pada masa hadapan sungguhpun negara ini terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik, kata seorang penyelidik hari ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr Felix Tongkul berkata, berdasarkan kajian, pihaknya mendapati Malaysia berkemungkinan dilanda gempa bumi pada kekuatan sederhana iaitu 6.0 pada skala Richter pada masa hadapan.

"Daripada kajian yang kita lakukan, Malaysia mungkin tidak akan ditimpa gempa bumi berskala kuat, tetapi setakat rekod yang kita ada negara mungkin ditimpa gempa bumi berskala sederhana.

"Gegaran pada tahap itu sudah cukup untuk merosakkan bangunan dan harta benda," katanya kepada Bernama pada akhir Seminar Teknikal Kebangsaan Gempa Bumi dan Tsunami anjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) di sini.

Felix berkata, bagaimanapun gempa bumi berkekuatan sederhana itu diramal berlaku di beberapa kawasan tertentu sahaja dan bukan di seluruh negara.

"Seperti yang kita sedia maklum ada beberapa kawasan di negara ini yang sering mengalami gegaran apabila berlaku gempa bumi kuat di negara jiran seperti di kawasan Kundasang, Ranau dan Lahad Datu di Sabah. Kawasan-kawasan ini mungkin berpotensi dilanda gempa bumi sederhana itu," katanya.

Felix yang juga profesor dalam bidang Geologi di Akademi Sains Malaysia berkata, kajian yang dijalankan oleh ahli geologi juga mendapati kawasan Bukit Tinggi di Pahang turut berpotensi mengalami gempa bumi sederhana.

Sehubungan itu, katanya masyarakat harus sentiasa bersedia dan tidak panik sekiranya berlaku gegaran pada masa akan datang.

Katanya, gempa bumi paling kuat yang direkodkan di Malaysia setakat ini ialah gempa bumi sederhana pada kekuatan 5.8 skala Richter di Lahad Datu Sabah pada 1976 yang mengakibatkan banyak harta benda rosak serta bangunan retak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan) JMM berkata, Malaysia mengalami lapan gegaran akibat 22 gempa bumi kuat di negara jiran sepanjang tahun 2012.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang berjiran dengan negara di zon lingkaran gempa bumi menyebabkan Malaysia turut tidak terkecuali daripada terpalit sama merasai gegaran gempa bumi.

"Justeru JMM telah membuat beberapa kajian mengenai kesan gempa bumi dan hasil kajian sedang diteliti di samping pemantauan dari semasa ke semasa bagi membolehkan kita bertindak dengan pantas sekiranya ada kawasan yang dilanda gempa bumi," katanya. - Bernama