Selasa, 11 Disember 2012

YANG KENYANG TERUS KENYANG

HKR lakar sejarah baru politik Pahang

Analisis Khairil Abdul Rahim, 10 Dis 2012


(500 pasukan bermotor tiba di Dataran Kerdau)

“Hari ini kalau (Tun) Daim Zainuddin ada di sini, beliau pun tak akan berani ramalkan Pahang (bersama Johor dan Melaka) akan kekal di bawah BN,” kata seorang yang hadir semasa ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) di Kerdau malam tadi.

Ketika itu jam menunjukkan kira-kira pukul 10.30 malam, tetapi segenap sudut di tapak Kompleks PAS Pahang seluas 8 ekar itu sudah padat diisi lebih hampir 40,000 manusia.

Di pentas utama, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim secara bersahaja mengatakan, perhimpunan yang diadakan secara susah payah ini merupakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU).

“Lepas ini, insyaallah kita bertemu dalam suasana seperti ini di Stadium Darul makmur pula,” katanya sambil diiringi laungan takbir dan pekikan semangat oleh pelbagai kaum yang hadir.
Tuan Ibrahim memulakan ucapan dengan melahirkan rasa bimbangnya kalau-kalau program HKRP yang dirancang itu tidak mendapat sambutan kerana Perhimpunan Agung Umno (Pau) baru sahaja berlalu dan ‘mood’ belum dapat dibaca akibat propaganda media Umno.

“Tambahan pula sekarang musim hujan dan secara kebetulan malam ini perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Thailand (Piala Suzuki AFF). Tetapi Pakatan Rakyat (PR) melakar sejarah hari ini. Rakyat tetap datang yang dikira paling ramai dalam sejarah. Ini membuktikan rakyat negeri ini mahukan perubahan,” ujarnya.


Memang hujan turun pada sebelah petang, tetapi berhenti sebelum maghrib.

(Pemimpin utama Pakatan yang hadir)

Program HKRP anjuran PR Pahang bermula seawal jam 12 tengahari lagi diisi dengan slot forum dan dialog anjuran Dewan Muslimat PAS Pahang.
Sekitar pukul 3 petang konvoi 500 penunggang motosikal dan kereta yang bertolak dari R&R Temerloh, sampai di tapak perhimpunan.

Konvoi disambut dengan pertunjukan tarian naga dan seni silat abjad oleh anak-anak muda. Turut menyambut ribuan anak muda ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hassan dan pimpinan PR Pahang.

“Count down PRU 13 berada dalam tempoh 100 hari saja lagi. Kepada anak-anak muda, jadilah petugas rasmi perubahan iaitu menyampaikan maklumat tepat. Kerana kita tahu kemenangan BN selama ini ialah akibat maklumat berat sebelah yang terpaksa diterima rakyat,” pesan Nasruddin.

Beliau turut membayangkan masa depan cerah untuk PR di Pahang. Kerana katanya, penganalisis melihat kemenangan dalam PRU akan datang ialah kecenderungan majoriti anak-anak muda ke arah mana. Kerana golongan muda mewakili 53 peratus pengundi.

Citarasa anak-anak muda yang hadir tidak dipinggirkan apabila mereka berpeluang menikmati hiburan dengan persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.

Ada satu pembaharuan dalam pengedalian ceramah kerana ia dipengerusikan oleh tiga orang dari tiga parti PR Pahang.

Pengerusi-pengerusi majlis dari bangsa Melayu (PAS), Cina (PKR) dan India (DAP) itu berucap dalam bahasa masing-masing. Ceramah pula dimulakan dengan semua yang hadir menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Pengerusi majlis daripada PAS iaitu Suhaimi Saad berkata, beliau melihat program HKRP paling teratur bebanding negeri-negeri lain kerana semua penceramah menepati masa program dapat ditamatkan tepat jam 12.

Dr Hamzah Jaafar selaku pengarah program diberi keistimewaan memulakan ucapan. Diikuti bekas Pengerusi syarikat media negara, Media Prima, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang baru menyertai PAS di Johor kelmarin.

Bekas menteri Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang 30 tahun berada dalam kabinet BN dan 26 tahun menjadi ahli MKT Umno yang berucap selepas itu, banyak mendedahkan kepincangan dalam Umno.

“Umno sekarang sudah dikuasai penjenayah, perompak dan pencuri. Wang rakyat sekarang tidak lagi dicuri ribu-ribu tetapi sudah juta-juta dan bilion. Itulah sebabnya saya ‘blah’ dari parti yang saya sayangi dulu,” katanya.

Tiga orang pemimpin tiga parti dari Pahang kemudian menyampaikan pidato masing-masing selama 10 minit seorang dimulai Leong Ngah Ngah, kemudian Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Tuan Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu memulakan ucapan dengan menunjukkan muka depan naskah akhbar Makkal Osai yang  memuatkan gambar Ahli Parlimen Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meninggalkan Umno.

(Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang)

Akhirnya seperti yang dinanti-nantikan oleh rakyat Pahang, Tuan Ibrahim, Fauzi dan Leong mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang untuk rakyat negeri ini iaitu pertama, menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.

Kedua, menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Ketiga, mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keempat, memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

Kelima, menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

Akhirnya, sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri PR.

“Perisytiharan ini adalah sangat istimewa bagi kami rakyat Pahang kerana melibatkan keperluan dan tuntutan hidup yang tidak pernah diselesaikan oleh Kerajaan BN sejak 55 tahun lalu,” kata Sharif Idris, 52, yang turut muncul di tengah-tengah ribuan yang hadir.

Mohamed Sabu selaku Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, berucap selepas itu. Diikuti dengan Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan diakhiri oleh Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, cerita-cerita kononnya ada pihak yang akan melakukan provokasi dan mengganggu program HKRP, tidak menjadi kenyataan.


(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau)

Yang ada ialah penyebaran risalah fitnah dan baner-baner berbentuk hasutan yang digantung di lokasi tertentu.

“Pada mulanya memang kami dapat maklumat akan berlaku provokasi, sebab itu kami betul-betul bersedia,” kata ketua bahagian keselamatan Ramli Abdul Rahman.

Penduduk tempatan, Mohd Amin yang  ditanyakan pendapatnya tentang program HKRP, berkata beliau dapat merasakan terjalin perpaduan kaum yang erat antara Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Jadi saya tak faham bagaimana ada pihak yang kata jika PR menang akan berlaku huru-hara seperti tragedi 13 Mei. Barangkala ada pihak yang kalah akan mencetuskan ketegangan,” ujarnya.

Apa-apapun, HKRP semalam tetap dianggap sebagai suntikan semangat baru bagi pendokong dan penyokong PR bagi menghadapi PRU. Terutama pandangan Daim yang mengatakan Pahang tetap sebagai ‘deposit’ BN. Juga cabaran Datuk Seri Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinganya jika PR menang di kawasannya, Bentong.

Tahun depan petaka untuk CPI TI Malaysia

Harakahdaily, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Apa yang tidak dapat dipertikaikan adalah rasuah di bawah pemerintahan Najib selama empat tahun lebih teruk daripada tempoh 51 tahun Malaysia berada di bawah lima Perdana Menteri sebelum ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, apa yang sepatutnya menjadi kebimbangan besar seluruh rakyat adalah tahun depan merupakan tahun yang buruk buat Malaysia untuk CPI TI kerana tahun depan Umno BN tentu akan membelanjakan berbilion ringgit untuk cuba mengekalkan kuasa dalamPRU13 - membawa politik wang ke satu paras baru sejarah negara.

Kenyataan beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur seperti di bawah.


Untuk empat tahun berturut-turut, sepanjang tempoh Najib menjadi Perdana Menteri (2009-2012) telah mencatatkan kedudukan rendah di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2012 berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Di tahun pertama CPI TI pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara, menjunam ke tempat ke-37 pada 2003 ketika Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada hujung tahun itu.

Meskipun berdegar-degar Abdullah dikaitkan dengan imej “Mr. Clean” dan”Hakim Bao Zaman Moden”, “pencegahan rasuah secara menyeluruh” dan “penahanan 18 ‘ikan besar”, CPI TI Malaysia masih berterusan menjunam dalam tempoh lima tahun Abdullah menjadi Perdana Menteri, jatuh ke tempat 47 pada tahun 2008.

Akan tetapi empat tahun Najib memegang jawatan Perdana Menteri memperlihatkan CPI TI Malaysia menjunam ke paras yang lebih rendah – No.56 pada tahun 2009 dan 2010, No. 60 pada 2011 dan No. 54 pada 2012.

Kesannya, sepanjang tempoh Najib memegang jawatan Perdana Menteri beliau mempunyai rekod buruk menjadi lebih korup berbanding lima Perdana Menteri sebelumya, memandangkan tiada yang menyatakan rasuah di bawah tiga Perdana Menteri awal iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein lebih serius berbanding pengganti mereka.

Sehingga tahun tujuh puluhan, skandal terbesar di Parlimen adalah skandal RM65 juta Bank Rakyat yang saya bahaskan di Parlimen pada tahun 1979.

Sejak tahun lapan puluhan, skandal rasuah dan kewangan meningkat dengan mendadak daripada skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF), skandal RM600 juta Maminco untuk menguasai pasaran timah dan skandal  koperasi kewangan RM1.5 bilion pada 80-an, sehinggalah skandal pertukaran asing RM30 bilion Bank Negara dan skandal RM11 bilion Perwaja pada 90-an, dan terkini adalah skandal berbilion ringgit Scorpene dan perolehan pertahanan dan skandal RM12.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Dengan perubahan pada metodologi dalam CPI TI terbaru, tidak boleh membandingkan CPI TI 2012 dengan CPI TI sebelumnya sepanjang 17 tahun daripada 1995-2011.

Kesannya, tiada siapa berhak mendakwa Malaysia telah menunjukkan kemajuan pada usaha pencegahan rasuah daridapa CPI TI 2012, walaupun itulah apa yang pemimpin UMNO/BN sedang lakukan.

Walau bagaimanapun, seperti yang dianalisa lebih awal, apa yang tidak dapat dipertikaikan dan tidak dapat dinafikan adalah rasuah di bawah pemerintahan Najib selama empat tahun lebih teruk daripada tempoh 51 tahun Malaysia berada di bawah lima Perdana Menteri sebelum ini.

Apa yang sepatutnya menjadi kebimbangan besar seluruh rakyat adalah tahun depan merupakan tahun yang buruk buat Malaysia untuk CPI TI kerana tahun depan UMNO/BN tentu akan membelanjakan berbilion ringgit untuk cuba mengekalkan kuasa dalamPRU13 - membawa politik wang ke satu paras baru sejarah negara.

Saya tahu bahawa CPI 2012 merangkumi data terkumpul di antara Disember 2011 dan September 2012, yang bermakna kedudukan Malaysia akan lebih buruk jika rasuah yang didedahkan pada Oktober dan November 2012 juga diambil kira – terutamanya skandal “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia serta pendedahan kekayaan luar biasa yang berjumlah RM64 bilion keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud (dan hampir RM46 untuk dirinya seorang) sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak oleh yayasan Bruno Manser.

Pada perhimpunan Agung UMNO, sesetengah perwakilan UMNO Sabah telah memberitahu portal berita atas talian bahawa meskipun mereka menyokong sepenuhnya Musa Aman, mereka samar-samar tentang “sumbangan politik” RM40 juta kepada UMNO Sabah dan mereka menuntut Musa menjelaskan isu tersebut sendiri.

Dalam tempoh lima hari Perhimpunan Agung UMNO, Musa berjaya mengelak daripada media dan sehingga hari ini masih belum memberikan sebarang penjelasan memuaskan berkenaan “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” sebanyak RM40 juta.

Bagaimanapun, terdapat juga perwakilan UMNO yang menolak kontroversi itu dengan alasan bahawa sumbangan RM40 juta adalah sedikit berbanding berjuta-juta yang UMNO taburkan ketika pilihan raya – dengan pendedahan seorang perwakilan UMNO Sabah bahawa di kawasan Putatan, UMNO akan berbelanja sehingga RM6 juta ketika pilihan  raya.

Dengan 26 kawasan parlimen di Sabah (dan Labuan) dan dengan purata RM6 juta untuk setiap kawasan, jumlah belanja pilihan raya keseluruhannya akan melebihi RM150 juta pada peringkat perlimen – yang mana akan meningkat dua kali ganda apabila perbelanjaan pilihan raya di kawasan dewan undangan negeri diambil kira.

Dengan UMNO/BN membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta di Sabah, dan RM300 juta di Sarawak, dan belanja pilihan raya yang sama untuk 165 kerusi Parlimen dan 441 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kesemua sebelas negeri di Semenanjung Malaysia, kita melihat UMNO/BN membelanjakan berbilion ringgit untuk kekal berkuasa dan mendapatkan semula majoriti dua pertiga parlimen pada peringkat persekutuan, untuk menawan semula negeri-negeri Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan kedah serta mengekalkan pemerintahan tidak mengikut perlembagaan di Perak dan mengekalkan kuasa di negeri lain.

Berbilion ringgit yang dibelanjakan UMNO/BN pada PRU13 akan menjadi akar masalah rasuah yang berleluasa pada lima tahun akan datang selepas PRU13 sekiranya UMNO/BN kekal di Putrajaya, memandangkan mereka yang menyumbangkan berbilion ringgit kepada perbelanjaan pilihan raya UMNO/BN mengharapkan balasan selepas PRU13, sepuluh kali ganda kalau tidak seratus kali ganda pun.

Inilah sebabnya mengapa saya katakan tahun depan akan menjadi tahun petaka buat CPI TI Malaysia.

Tidak hairanlah mengapa kerajaan Najib tidak bersedia untuk menyambut Hari Anti-Rasuah Antarabangsa semalam yang telah ditentukan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak sembilan tahun lalu!

Orang luar lebih berkuasa dalam PDRM - Musa

Muhammad Faizal, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) sekali mendedahkan bahawa campur tangan di dalam jabatan polis jelas wujud apabila terdapat orang awam lebih berkuasa dan membuat arahan kepada pihak atasan Polis di Raja Malaysia (PDRM).

Musa yang mendakwa bekas anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang mana sebelum ini pernah mengugut seorang pegawai tinggi polis berhubung dengan satu projek komunikasi di jabatan tersebut.

"Kes ini melibatkan seorang pegawai polis berpangkat Datuk dan juga memegang ijazah PhD yang mempunyai kepakaran dalam komunikasi.

"Beliau telah ditukarkan ke jabatan lain apabila enggan memenuhi permintaan Robert Phang untuk pentauliahan satu projek berkaitan komunikasi bernilai jutaan ringgit kepada sebuah syarikat yang melibatkan Robert Phang pada tahun 2009," kata beliau pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Musa memberitahu, pegawai tersebut telah ditukarkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur oleh Ketua Polis negara Tan Sri Ismail Omar.

Kata beliau lagi, walaupun pegawai tersebut telah dipanggil oleh Ketua Polis Negara namun beliau tetap berkeras tidak mahu menandatangi surat pentaulihan itu dan menyebabkan beliau ditukar 24 jam.

Namun menurutnya, surat pentauliahan itu telah ditandatangi oleh seorang pegawai yang lain bagi tujuan pembayaran walaupun projek tersebut tidak siap sepenuhnya.

"Ini jelas berlaku salah guna kuasa dan segala maklumat yang saya perlolehi ini adalah dari sumber dalaman, tidak perlu saya nyatakan siapa termasuk siapa yang telah diarah pindah itu.

"Kita nampak dengan jelas inilah bukti yang menyatakan wujudnya campur tangan luar di dalam PDRM sehinggakan boleh mengeluarkan arahan tertentu yang menyebabkan keputusan luar biasa dilakukan," sambung beliau lagi.

Musa yang berkata demikian pada satu sidang media yang dianjurkan oleh NGO yang dikenali dengan nama Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), yang mana beliau bertindak sebagai penaung.








PAS desak T’ganu pertahan medan minyak Bertam

Khairul Azlam Mohamad, 10 Dis 2012
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan hak milikan medan minyak PM307-Bertam sebagai hak kedaulatan rakyat Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata kerajaan negeri Terengganu perlu mengambil tuntutan agar pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak negeri ini.

Katanya, hak milikan kawasan tersebut wajar dikembalikan sebagaimana Perjanjian Akta Petroleum 1974 atas nama royalti dan bukan dana khas atau wang ehsan.

“Kita minta Menteri Besar dengan tegas pertahankan hak untuk dapat hak milik itu kepada negeri Terengganu. Kita perlu ambil tuntutan itu dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagia royalti,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurutnya, isu penemuan medan minyak tersebut melibatkan hak royalti serta maruah rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Sebelum itu, Ahmad Said memaklumkan kepada dewan, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Petronas bagi pengesahan lanjut tentang penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di kawasan medan PM307-Bertam yang berada di kawasan Terengganu.

Beliau menjelaskan, syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Menurut Ahmad, sekiranya ia disahkan berada di kawasan Terengganu, negeri ini dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

Kayuh untuk perubahan serah memo kepada MB N9

Harakahdaily, 11 Dis 2012

(Memo diserahkan kepada Setiausaha Sulit MB N9)

SEREMBAN: Setelah berkayuh selama empat hari berturut-turut, 20 peserta "Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0" berjaya menyerahkan memorandum menuntut perubahan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Syarul Faizal serta ketua pembangkang Negeri Sembilan  Anthony Loke.

Sebelum itu, pintu pagar pejabat MB Negeri Sembilan yang masih terbuka, ditutup dengan serta merta apabila para pengayuh datang.


(Para peserta bergambar kenangan di perkarangan bangunan SUK N9)

Tujuh tuntutan nasional dan tuntutan tempatan dinyatakan dalam memo tersebut.

Para pengayuh yang bernaung di bawah NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) telah melalui tujuh daerah utama di negeri itu iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu dan berhenti di 23 pusat hentian termasuk markas PAS.

Dalam pada itu, sepanjang kayuhan itu mereka mengenalpasti tujuh isu di Negeri Sembilan yang perlu diberikan perhatian.

Tujuh isu yang dikenalpasti peserta kempen ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0’ ialah:

1.    Penduduk Taman Mambau, Seremban menghadapi masalah gangguan bekalan air kerana ketiadaan tangki air. Bekalan air kadang kala terputus sehingga lima hari. Keadaan jalan raya di taman perumahan itu juga dalam keadaan teruk.

2.    Penduduk dan peniaga berdekatan pantai Telok Kemang, Port Dickson meminta pihak berkenaan agar tidak menswastakan pantai Telok Kemang dan pantai tersebut tidak ditambak. Mereka juga meminta agar air longkang tidak disalurkan ke laut dan memohon gerai, tandas awam serta bangunan buruk digantikan dengan bangunan baru.

3.    Masalah penduduk Taman Koperasi di Pedas, Rembau yang tidak mempunyai tangki air besar (central water tank) meskipun sudah tinggal di taman perumahan itu lebih 22 tahun.


(Ketua Pembangkang N9, Anthony Loke turut menyambut kedatangan peserta kayuhan)

4.    Masalah hak tanah perladangan di Kampung Serampang Indah (Gatco) di Jempol.

5.    Peneroka Felda di Felda Raja Alias 1, 2 dan 3 telah mengemukakan masalah seperti generasi kedua (anak peneroka) yang tidak mempunyai masa depan yang cerah kerana mereka tidak terlibat dalam skim peneroka, Peneroka juga terpaksa menanggung hutang aktiviti penanaman semula yang tinggi.

6.    Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Senawang, Sungai Gadut menyerahkan memorandum kepada peserta kempen berhubung masalah pengambilan padang sekolah tersebut untuk sebuah projek jejantas. Mereka turut menyatakan kebimbangan tahap keselamatan dan kesihatan murid kerana projak itu berdekatan dengan kawasan sekolah.

7.    Penduduk estet Ladang Kirby menuntut perumahan alternatif disediakan apabila mereka ditamatkan kerja.

Program pengayuhan menjelajah Negeri Sembilan ini berakhir dengan laungan "Kayuh Kayuh, Kayuh Rakyat!"
Polis jamin siasat dakwaan wanita Indonesia dirogol
 
Polis Pulau Pinang memberi jaminan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita Indonesia dirogol dua anggota polis di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, dekat Georgetown pada Sabtu, dilakukan secara telus.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihaknya menyiasat dengan terperinci serta tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat.

"Kita memang menyiasat apa yang didakwa wanita berkenaan kerana itu tugas polis, saya juga beri jaminan yang kita siasat secara adil kes berkenaan walaupun tuduhan (yang dibuat) itu adalah anggota polis.

"Tetapi apa yang saya boleh kata setakat hari ini siasatan yang kita jalankan mendapati dakwaan dibuat wanita terbabit ada banyak keraguan terutama berkaitan kronologi dia dirogol," katanya pada sidang media, di Georgetown hari ini.

Beliau juga berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan itu yang akan dihantar kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat.

Akhbar hari ini melaporkan polis Pulau Pinang menyanggah laporan seorang wanita Indonesia yang mendakwa dirogol dua anggota polis di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, semalam.

Ini berikutan pemeriksaan perubatan dan siasatan awal mendapati wanita berusia 26 tahun itu bukan sahaja tidak dirogol dan dipukul, bahkan tiada anggota polis yang digambarkannya bertugas pada waktu kejadian.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata wanita terbabit yang masuk ke Malaysia tahun lepas, mendakwa menaiki feri ke Butterworth sebelum menaiki teksi untuk pulang ke rumah kawannya di Taman Limau  Manis, tetapi hasil siasatan mendapati dia bekerja pada malam  kejadian di sebuah pusat hiburan di Seberang Jaya dekat
Georgetown.

"Apa yang dia cakap (dakwaan) tidak selari dengan bukti yang pihak polis dapat termasuk dakwaan dia menaiki teksi kerana bila kita tanya di tempat kerjanya tiada sesiapa nampak wanita itu naik teksi dan rakan sekerjanya turut mendakwa dia bekerja pada malam kejadian, jadi bagaimana pula dia boleh kata dari pulau dan menaiki feri," katanya.

Selain itu, katanya wanita berkenaan lari daripada majikannya ketika bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas bulan lalu dan pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat oleh pihak kilang.

Ditanya sama ada wanita tersebut akan didakwa membuat laporan palsu jika siasatan mendapatinya berbuat demikian, Abdul Rahim berkata siasatan sekarang dibuat atas dakwaan dia dirogol dan tindakan selanjutnya terserah kepada pendakwa raya.

"...tugas pihak polis menyiasat laporan yang dibuat pengadu. Saya harap orang ramai tidak membuat sebarang  spekulasi terhadap kes itu kerana siasatan masih dijalankan," katanya.

Dalam laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam, wanita itu mendakwa dirogol dan dipukul sehingga pengsan selama dua jam oleh dua anggota polis yang menahannya selepas mendapati dia hanya membawa salinan pasport.

- Bernama
10 anggota keluarga maut sekelip mata
 
Walaupun kehilangan 10 anggota keluarga dalam sekelip mata selepas rumahnya dibom tentera Israel bulan lepas, Ahmad Jamal Al-Dalu tidak gentar untuk terus berada di negara kelahirannya dan menjalani hidup seperti biasa.
Dengan nada sebak, beliau menceritakan peristiwa hitam itu ketika ditemui Bernama dan anggota misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di tapak rumah tiga tingkatnya yang musnah di daerah kejiranan Nasser di Gaza, Palestin.

Ahmad Jamal berkata pada hari kejadian, beliau dan isterinya berada di Turki mengikuti pengajian pasca-siswazah dalam bidang kejuruteraan.

"Ibu bapa saya bersiap sedia untuk pergi mengerjakan ibadah haji ketika itu... Saya masih ingat panggilan telefon terakhir itu apabila ibu memaklumkan beliau amat gembira kerana bakal menunaikan ibadat haji.

"Bagaimanapun, insiden malang itu (pengeboman) berlaku. Ia telah ditakdirkan oleh Allah," kata Ahmad Jamal, 28, yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dalam usaha memahami tragedi berlaku.

Serangan Israel itu, antara lain, mengorbankan ibu Ahmad Jamal, adik lelaki dan dua adik perempuan serta empat anak saudaranya berusia lingkungan tujuh bulan hingga 10 tahun.

Bagaimanapun, ayahnya terselamat kerana berada di masjid berdekatan untuk menunaikan solat.

Sebuah bunting besar memaparkan gambar anggota keluarganya yang terkorban dengan mesej 'Why were they killed' diletak di tapak serangan kejam itu.

Serangan lapan hari Israel bermula 14 Nov itu memusnahkan 200 kediaman, mengorbankan 176 nyawa penduduk Gaza dan mencederakan 1,399 yang lain.

Dalam kesedihannya, Ahmad Jamal tetap berterima kasih kepada kerajaan dan sukarelawan Malaysia yang tidak putus-putus ke Gaza untuk menghulur bantuan.

Pengerusi KP1M merangkap ketua misi bantuan kemanusiaan 'gelombang kedua' tersebut, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada lelaki Palestin berjiwa kental itu.

Selain rumah Ahmad Jamal, pasukan misi bantuan kemanusiaan itu meninjau keadaan bangunan pentadbiran Majlis Jemaah Menteri yang hancur dibedil tentera Israel.

Misi kemanusiaan ke Gaza bertujuan menyampaikan bantuan asas dan perubatan anjuran KP1M serta Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia itu disertai 58 sukarelawan, termasuk pakar perubatan dan media.

- Bernama
Ahli politik diminta 'jangan tembak SPRM dari belakang'
  • Ber
  • 6:41PM Dis 10 2012
 
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed merayu kepada ahli politik semua parti, agar tidak 'menembak SPRM dari belakang', suatu kecenderungan yang beliau katakan akan hanya menyulitkan lagi usaha memerangi rasuah.

"Saya ingin katakan kepada ahli politik daripada semua parti... janganlah tembak dari belakang. SPRM adalah tentera untuk memerangi rasuah. Jika anda menembak kami dari belakang, kepada siapa lagi masyarakat boleh meminta pertolongan untuk menentang rasuah?" katanya pada majlis jamuan malam sempena sambutan Hari Pencegahan Rasuah Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya di Putrajaya malam tadi.

Abu Kassim berkata SPRM, yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, bersama rakannya dari Hong Kong dan Singapura adalah antara badan pencegahan rasuah tertua di dunia, yang tugas mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa, terutama oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Katanya sebelum 1990, hanya terdapat 20 badan pencegah rasuah di seluruh dunia, tetapi sekarang, jumlahnya bertambah kepada 150 dan ini mencerminkan wujudnya kesedaran yang semakin meningkat tentang pentingnya memerangi penyakit itu.

Abu Kassim berkata penambahan lima panel yang dianggotai 42 personaliti daripada pelbagai profesion dalam SPRM sejak 2009, memastikan siasatan terhadap kes rasuah dilaksanakan secara bebas, tanpa unsur takut dan pilih kasih.

Kata beliau, sebagai contoh, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dianggotai enam anggota Parlimen dan seorang senator, termasuk daripada parti pembangkang.

"Saya tabik kepada anggota kesemua lima panel ini atas tugas yang telah mereka laksanakan dalam memastikan segala-galanya dapat dibongkar dalam penyiasatan kami. Bagaimanapun, kami tetap dituduh melakukan penyiasatan berpilih.

"Saya ingin mengulangi jaminan bahawa oleh kerana SPRM dipantau dengan teliti oleh panel ini, tidak mungkin perkara itu boleh terjadi," katanya.

Abu Kassim berkata adalah menjadi kewajipan mana-mana masyarakat sivil yang begitu membenci rasuah untuk tidak membiarkan badan seperti SPRM 'dihina dan ditekan' oleh mana-mana pihak.

Katanya adalah juga menjadi kewajipan masyarakat untuk melobi agar undang-undang pencegahan rasuah yang sudah lapuk, dimansuhkan dan bukan menuduh SPRM tidak mengambil tindakan sewajarnya kerana SPRM hanya boleh bertindak dalam lingkungan undang-undang yang ada.

Sehubungan itu, beliau menyentuh tentang undang-undang yang membenarkan saudara mara terdekat pegawai awam seperti menteri untuk memohon tanah atau konsesi balak. Di bawah undang-undang ini, tidak menjadi kesalahan sekiranya seorang menteri telah mengisytiharkan kepentingannya berhubung permohonan itu, sebelum ia diluluskan.

"Orang ramai perlu menyokong undang-undang yang menggariskan 'larangan penuh' bagi saudara mara terdekat seseorang menteri untuk terlibat dalam proses membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata setiap orang perlu memainkan peranan untuk menjadikan SPRM lebih kuat dalam usahanya memerangi rasuah.

Katanya SPRM kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada maklumat atau laporan orang ramai untuk bertindak terhadap tuduhan rasuah, tetapi juga mempunyai pegawainya yang menjalankan tugas penyamaran dan perisikan.

Tindakan secara proaktif dan preemptif ini berjaya membongkar lebih banyak kes, terutama terhadap pemberi, bukan sahaja memberi tumpuan terhadap penerima rasuah seperti sebelum ini, kata beliau.

-Bernama

 

Tiada ulasan: