Selasa, 11 Disember 2012

SEDARLAH.... KITA TAK BOLEH TONGKAT LANGIT...KUASA@PENGARUH KITA JUGA PUN TAK BOLEH BERKUASA HINGGA BOLEH TONGKAT LANGIT

Kase kecewa sebutan kes AES tanpa kehadiran pendakwa

Hazayani Zakaria, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) kecewa dengan tindakan mahkamah yang meneruskan sebutan kes saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tanpa kehadiran Pendakwa Raya.

Apa yang berlaku hari ini katanya, sebutan kes diteruskan juga walau hanya pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang hadir bukannya pendakwa raya.

Peguam Kase, Zulhazmi Shariff berkata, pegawai JPJ tidak ada kuasa mendakwa di mahkamah dan mesti diwakili oleh Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya.

"Hari ini peguam bangun buat bantahan di mahkamah atas dasar pegawai JPJ tidak ada kuasa untuk mendakwa.

"Baik kesalahan AES atau apa-apa sahaja, JPJ tidak boleh memulakan sesuatu sebutan kes kerana ia terletak di bawah kuasa Pendakwa Raya," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Menurut beliau, selepas tahun 1999, seksyen 116 Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dimansuhkan.

Seksyen 116 menyebut "prosiding bagi kesalahan terhadap akta ini tidak boleh dimulakan atau dilakukan kecuali oleh atau bagi pihak Pendakwa Raya, atau oleh seorang pegawai polis, warden lalu lintas, Datuk Bandar atau pegawai pengangkutan jalan, atau berkenaan dengan pendakwaan bagi kesalahan terhadap mana-mana perintah atau kaedah yang dibuat oleh suatu pihak berkuasa yang berkenaan di bawah Bahagian lll, oleh seorang pegawai pihak berkuasa yang berkenaan itu"

"Selepas 1999, seksyen tersebut dipotong maka hanya Pendakwa dan Timbalan Pendakwa Raya sahaja ada kuasa," katanya.

Sebutan kes AES berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Putrajaya, Kajang dan Sepang hari ini.

Beliau yang mewakili orang kena saman (OKS) di mahkamah Sepang membantah tindakan mahkamah itu sehingga Pendakwa Raya meneruskan kes.

"Apabila saya bangun buat bantahan, mahkamah tangguhkan semua kes saman AES sehingga jam 11 pagi.

"Selepas jam 11 pagi kes diteruskan dengan diwakili Pendakwa Raya," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau kesal bantahan oleh peguam di tiga lagi lokasi tidak diambil kira.

"Di Putrajaya misalnya, kes diteruskan juga tanpa Pendakwa Raya dan ada OKS yang mengaku salah dan diarahkan membayar RM300.

"JPJ boleh dianggap menghina mahkamah kerana tak faham tugas mereka," katanya.

Proses ukur untuk stadium baru berjalan lancar

Rizal Tahir, 10 Dis 2012
KOTA BHARU: Proses ‘ukur terperinci’ untuk pembinaan stadium baru Kelantan di Pasir Putih kini sedang berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood (gambar), berkata proses pembinaannya agak lambat memandangkan masaalah sekitar pembangunan stadium perlu dibuat pengukuran yang teliti.

“Untuk membangun stadium tidak ada masaalah, tetapi pembinaan bangunan lain di sekitar itu yang menjadi masaalah seperti tanah yang tidak rata dan sebagainya,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkara itu pada sidang medianya di Kota Darulnaim, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, majlis pecah tanah bakal diadakan awal tahun hadapan.

“Kita tidak dapat menentukan tarikh sebenar waktu yang sesuai untuk majlis pecah tanah, kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

“Perkara ini telah dijelaskan sendiri oleh Datuk Husam Musa,”ujarnya.

Berhubung program umrah untuk skuad The Red Warriors, beliau memberitahu kerajaan negeri menunggu tempoh yang sesuai dari Kafa.

Bagaimanapun, menurutnya tahun hadapan perlawanan dijangka akan berakhir sebelum ketibaan Ramadan.

“Mungkin waktu yang sesuai untuk kita menghantar mereka ke sana sebelum atau sewaktu Ramadan,”ujarnya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukkan khas untuk menghadiahkan tiket umrah kepada pasukan itu.

Ianya sebagai hadiah di atas kemenangan trabel TRW tahun ini termasuk Piala Malaysia.

Tengku Azlan keluar Umno?

Harakahdaily, 10 Dis 2012
JERANTUT: Sebuah akhbar Tamil, Makkal Osai melaporkan, anggota Parlimen Jerantut, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar akan keluar meninggalkan Umno.

Beliau dilaporkan tidak berpuashati dengan parti itu dan akan aktif dengan Amanah, NGO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Makkal Osai melaporkan, Tengku Azlan akan menjadi Pengerusi Amanah negeri Pahang.

Sebelum ini, media melaporkan, Tengku Azlan tidak akan bertanding di parlimen Jerantut, dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun begitu, menurut seorang blogger, Mohd Sayuti Omar dalam blognya, Tengku Azlan bukan mahu keluar Umno tetapi akan bersara dari politik sahaja.

Ahli Parlimen Jerantut tak keluar UMNO la..

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 10 Dis 2012

Menurut sumber, cerita mengenai bermula Tengku Azlan keluar UMNO initelah bermula bila beliau ditemuramah oleh Makkal Osai beberapa hari yang lalu.

Dalam temuramah tersebut, dia tidak langsung menyentuh soal keluar parti atau menyertai parti Pakatan Rakyat.

Apa yang beliau nyatakan ialah dia akan bersara terus dari politik dan tidak akan bertanding lagi pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Hasratnya untuk bersara telah dinyatakan sebaik saja dia menolak jawatan Timbalan Menteri Luar semasa Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi mahu melantiknya dahulu.

Beliau juga telah memaklumkan perkara ini  kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob sendiri. Maknanya tidak timbul soal "keluar parti" seperti yang dihebohkan sebenarnya.

Ini laporan dari Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Ahli parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar tidak meninggalkan Umno sebagaimana dilapor akhbar berbahasa Tamil dan beberapa blog.

Sebaliknya beliau hanya menyertai NGO iaitu Angkatan Amanah Merdeka pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Perkata ini disahkan oleh Adun Tahan Ahmad Jaafar yang juga naib ketua Umno bahagian Jerantut ketika dihubungi hari ini.

“Saya telah mengesahkan perkara ini dengan orang kuatnya. Datuk Seri Tengku tidak keluar parti, beliau hanya sertai Amanah.

“Tetapi beliau masih ahli parlimen Jerantut dan ketua Umno bahagian ini,” katanya lagi.

Ahmad juga menjelaskan, Tengku Azlan beberapa kali memberitahu tidak berminat untuk bertanding lagi dalam pilihan raya umum ke 13.

Bagaimanapun, bekas menteri pengangkutan itu dikatakan mahu terus menjadi ketua Umno bahagian Jerantut.

Tengku Azlan menjadi ahli parlimen dan ketua Umno Jerantut sejak tiga penggal lalu. Sebelum itu beliau pernah menyertai parti Melayu Semangat 46 apabila parti itu dithubuhkan oleh Tengku Razaleigh selepas kalah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan presiden Umno pada tahun 1987.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka kembali semula ke pangkuan Umno.

Ini pula laporan dari Keadilandaily..

KUALA LUMPUR 10 Dis: Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut, mengakui menyokong perjuangan Pakatan Rakyat (Pakatan).

Adik kepada Sultan Pahang itu yakin dengan hala tuju Pakatan yang disifatkannya lebih berani bertemu rakyat bagi menerangkan dasar mereka untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Katanya, tindakan mesra rakyat itu bukan sahaja berjaya meraih undi untuk Pakatan, malah lebih senang mendekati pengundi dengan tawaran menarik.

Tengku Azlan “Mereka (Pakatan) cuba terangkan apa yang boleh diberikan kepada rakyat dan negara jika menang dalam pilihan raya. Ini tak ada masalah,” katanya kepada Keadilan Daily.

Perkembangan terbaru ini tentunya menggerunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan Tengku Azlan adalah ahli parlimen di negeri kelahirannya.

Dalam pada itu, Tengku Azlan menafikan dakwaan akhbar berbahasa Tamil dan laporan beberapa blog menyatakan beliau keluar Umno dan menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Amanah Merdeka Rakyat (Amanah).

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

YIKed disaman RM11 juta: Pemuda PAS lapor SPRM

Harakahdaily, 10 Dis 2012
ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Kedah hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salahguna kuasa dalam Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKed) ketika zaman BN dahulu.


(Pemuda PAS Kedah menunjukkan salinan laporan SPRM yang mereka buat)

Ianya berkait kegagalan YIKed di bawah BN menyelesaikan masalah tanah sehingga disaman RM11 juta dan terpaksa ditanggung oleh pentadbiran Kerjaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat sekarang ini.

Penyerahan dokumen dan laporan itu diketuai Ketua Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya di pejabat SPRM negeri di sini pagi ini.

Turut serta Naib Ketua Ahmad I'zat Mohamad Shauki, Ketua Penerangan Nasir Zakarian dan beberapa exco yang lain.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco Datuk Ir Amiruddin Hamzah turut mendedahkan perkara tersebut ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini.

Ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Kedah baru-baru ini, Azizan turut membangkitkan hal ini.

"Masa kita bukan sahaja habis untuk mentadbir negeri tetapi juga membersihkan najis-najis yang ditinggalkan kerajaan dahulu," kata Ustaz Azizan.

Menurut fakta kes, mahkamah telah mengarahkan YIKed membayar RM11 juta kepada Syarikat Senisinga Sdn Bhd.

Ianya ekoran kegagalan YIKed menyelesaikan masalah tanah yang telah dipersetujui bersama dengan syarikat berkenaan dalam satu projek besar yang telah dimulakan sejak zaman Menteri Besar BN, Tan Sri Osman Aroff lagi.

Long Island Development Sdn Bhd iaitu syarikat bersama YIKed dan Long Island Properties bertanggungjawab menebus 16 keping tanah yang digadai kepada Southern Bank Berhad tetapi telah gagal berbuat demikian.

Rentetan itu, syarikat Senisinga Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat yang mengambilalih pinjaman tidak berbayar Southern finance Berhad bertindak menyaman YIKed RM11 juta dan telah berjaya di mahkamah.

YIKed dilaporkan telah membayar sebanyak RM300 ribu bermula 27 Ogos 2012 lepas dan bakinya akan dibayar ansuran sehingga Ogos 2013.

Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak 16 Dis ini

Muhammad Faeez, 10 Dis 2012
IPOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Perak akan berlangsung pada 16 Disember ini bertempat di Bandar Seri Iskandar.

Pengarah Program, Dr Khairuddin Abdul Malik, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 40,000 orang dari seluruh pelusuk negeri itu.

Setiausaha Pakatan Rakyat Perak itu berkata, himpunan tersebut akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Program ini akan bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 malam. Di sebelah petangnya diisi dengan pelbagai program termasuklah sukan rakyat, konvoi, dan persembahan yang membariskan artis termasuklan Ito Blues Geng, Zuar XPDC dan Nik Jidan serta para seniman.

“Kemuncak program tersebut ialah disebelah malamnya iaitu pidato daripada pimpinan parti politik dan NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan jawatankuasa program tersebut bersama Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, Sabtu lalu.

Khairuddin menjelaskan, himpunan tersebut adalah untuk meneruskan momentum kebangkitan dan perubahan rakyat serta mengingatkan kembali tragedi rampasan kuasa  kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak bertamadun oleh BN.

“Tragedi rampasan kuasa itu tidak pernah kami lupakan dan ianya menjadi semangat kepada rakyat Perak untuk bangkit membuat perubahan dalam PRU13 nanti.

“Kami menyeru seluruh rakyat Perak hadir beramai-ramai ke himpunan tersebut bagi menghantar mesej kepada BN bahawa rakyat sudah bangkit menentang mereka,” tegas beliau.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah AJK PAS Pusat, Muhaimin Sulam; Adun Lubok Merbau, YB Zainuddin Mohd Yusof; Adun Tronoh, V Sivakumar; Pengerusi PKR Negeri, Dr Nur Manuty dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Razman Zakaria.

KUIZM tawar kursus Asas Pengajian Islam

Harakahdaily, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) akan membuka kelas khas, Kursus Asas Pengajian Islam bermula tahun hadapan.

Program ini akan berlangsung mulai Januari 2013 sehingga Mei 2013 dengan menghadiri kuliah wajib selama 64 jam iaitu selama 4 bulan.

Program ini juga dijalankan berorientasikan penilaian peperiksaan bertulis (70 %) dan peperiksaan lisan (30 %).

Kursus formal peringkat sijil itu disusun bagi membuka peluang kepada masyarakat untuk mendalami pengajian Al-Quran, Bahasa Arab dan ilmu-ilmu fardhu ain berdasarkan kitab-kitab turath.

Pengajian kursus ini akan berjalan sepanjang hujung minggu setiap hari Sabtu di kampus KUIZM, Taman Melewar.

Lapan silibus akan dibentang selama dua semester iaitu Pengajian Al-Quran & Tafsir, Pengajian Bahasa Arab, Pengajian Hadis, Pengajian Tauhid, Pengajian Feqah, Pengajian Tasawuf, Pengajian Dakwah dan Pengajian Siyasah Islam.

Setiap semester pelajar perlu menamatkan empat silibus yang ditawarkan bagi memperolehi sijil asas tersebut.

Pengajian asas ini akan dibentang sendiri oleh para pensyarah KUIZM sendiri dan ulama’ yang berpengalaman dalam mendidik dan menyampaikan dakwah secara berkesan dan komprehensif.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web KUIZM dan mendaftarkan diri secara online

Monopoli ruang media oleh Najib tidak berapa bagus

Mohd Sayuti Omar, 10 Dis 2012
Menjadi persoalan kenapa yang muncul di dalam tv tiap-tiap malam berkempen untuk kemenangan UBN hanya Najib Razak manakala pemimpin Umno dan BN lain diam membisu atau hampir sesetengahnya tidak muncul langsung. Najib semacam memonopoli ruang berita di tv. Semua berita mengenai Najib, baik penting atau tidak muncul di waktu puncak (prime time).

Apakah ada peraturan baru semua telivesyen kena memberi keutamaan kepada berita perdana menteri meskipun tidak penting? Mungkin inilah sifat kewartawanan tv yang baru? 

Bukan saja untuk mengumumkan polisi atau dasar-dasar baru kerajaan untuk membantu rakyat, aktiviti Najib berjumpa dengan rakan Fb juga dilaporkan di ruang utama. Kenapa begitu sekali? Kita tahulah tv semua akur dan bersujud sawi kepada perdana menteri, tetapi sampai cerita terjerlus longkang atau isteri keluar dari salon unisex pun dilaporkan melampau sangatlah.

Untuk pemimpin Umno lain jarang-jarang sekali muncul apa lagi mendapat prime time jauh panggang dari api. Walhal pemimpin lain para wakil rakyat setiap hari berkubang dan 'bertumah" dengan rakyat. Mereka juga mahukan kepada publisiti. Walaupun aktiviti pemimpin lain adakalanya lebih penting dan berbobot dari bual-bual Najib tetapi tetap disiarkan selepas Najib. Semacam ada protokol khas pula cerita Najib kena awal.

Bukan saja pemimpin kecil, tetapi pemimpin nombor dua, Muhyiddin Yassin juga terkebelakangan dan tempohnya semput sekali. Walhal ada kalanya kenyataan atau bual-bual Muhyiddin lebih berkualiti dan bermanfaat daripada apa yang Najib katakan.

Itu tidak kisah, apabila jarang-jarang pemimpin lain seperti Ahmad Zahid Hamidi, Shafei Apdal, Khalid Nordin, Hishamuddin Hussein ataupun Sharizat Jalil, Khairy Jamaluddin dan ketua puteri yang gemuk lupa nama itu, oh ingat dah.. Rosnah Shirlin, ia menjadi tanda tanya. Adakalanya berita mengenai mereka ini jauh lebih berkurangan berbanding dengan berita mengenai Mahathir. Mahathir lebih acap dan mendapat prime time berbanding menteri seperti Zahid Hamidi, Khalid Nordin, Mustapa Mohamed dan lain-lain. 

Kenapa? Apakah Najib tidak mempercayai mereka ini atau suka memonopoli semua ruang dalam media massa atau tidak mahu mereka menjadi popular? Ataupun ada arahan agar biar Najib seorang bercakap manakala yang lain diam membisu menjadi yes man saja?  Atau pun Najib mengira kata-kata dan kenyataan Mahathir lebih baik dan boleh menarik sokongan Melayu berbanding Zahid Hamidi, Khalid Nordin, Mustapa Mohamed dan lain-lain?

Ini berbeza sekali dengan Pakatan Rakyat di mana semua pemimpin mereka sepakat berkempen untuk kemenangan PR. Nampak kesepaduan di dalam Pakatan Rakyat dan tiada siapa yang menjadi raja ataupun dianggap genius? Semua pemimpin di dalam Pakatan Rakyat mendapat ruang dan kedudukan yang sama rata.

Perhatikan program Himpunan Kebangkitan Rakyat ketiga-tiga pemimpin utama mereka akan bersama dan duduk sepentas. Abdul Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang sering kali bersama. Begitu juga dengan timbalan masing-masing, Mohamad Sabu, Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng juga bersama.

Begitu juga dengan naib-naib presiden, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Nurul Izzah, Tian Chua, Tan Seng Giaw duduk sekali dan sepentas berceramah dan berkempen untuk Pakatan Rakyat. Tdak ada protokol di dalam Pakatan Rakyat, seperti mana di dalam UBN. Situasi begitu jarang sekali dilihat dalam BN.

Begitu juga dengan pemimpin pemuda, Anthony Loke, Shamsul Iskandar Md Akin sering kali duduk bersama, kecuali ketua pemuda Pas yang bergerak dengan caranya sendiri kerana mereka tinggi merit Islamiknya. Anak-anak muda penggerak NGO seperti Mazlan Aliman (Anak), Badrul Hisaham (SAMM), NGO Lynas dan lain-lain juga bergerak serentak dan sederap, berbeza dengan anak-anak muda NGO yang menyokong Umno dan BN yang membuat kenyataan di studio tv no 3 dan sebagainya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Najib itu sya rasa tidak begitu bagus buat BN. Rakyat akan melihat hanya Najib bercakap atau pun menguasai dan monopoli keadaan dan ruang yang ada. Cara Najib tampil dan diberi ruang menunjukkan dia seorang diktator dan menggunakan kuasa veto.

Orang-orang seperti Zahid, Mustapa Mohamed, Ahmad Said, Khairy, atau Saifuddin Abdullah, Khalid Nordin, Md Alwi Che Ahmad, Awang Adek Hussein dan lain-lain juga mahu berkempen untuk diri mereka. Mereka juga mahu menang. Mereka juga teringin ruang dan peluang itu. Tetapi nampaknya mereka dinafikan ataupun tidak dilayan secukupnya. Kalau pemimpin sendiri dinafikan hak dan keinginannya disekat apalah yang boleh diharapkan rakyat?

Tidak ada guna bagi BN dan Umno kalau hanya Najib yang menang besar sampai 10,000 majoriti tetapi orang lain semuanya kalah. Justeru bagilah juga ruang dan peluang kepada pemimpin lain untuk muncul di tv, setidak-tidaknya menampakkan di dalam Umno dan BN kesemua tokoh mereka sepakat sehati dan sejiwa. Dengan persembahan yang dibuat sekarang ini orang hanya melihat dan merasakan hanya Najib saya yang serius manakala orang lain semacam endah tidak endah saja.

Persepsi buruk begitu boleh timbul. Orang akan menganggap pemimpin lain sudah tidak bersemangat kerana mereka sudah dapat menghidu bau kekalahan sudah merata di bawah sana. Justeru selepas ini hendaknya media massa PB turut sama memberi ruang kepada pemimpin Umno dan Melayu lain muncul dan mengemukakan idea di tv kerana orang lain juga ingin mendengar apakah wawasan mereka. Dengan hanya konsentrek kepada Najib ia boleh memburukkan reputasi perdana menteri tersebut. - http://msomelayu.blogspot.com/

Syarat ketat Syabas sukarkan air percuma pangsapuri

Harakahdaily Foto: Selangorku, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Syarat ketat yang dikenakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam permohonan proses migrasi meter pukal kepada individu didakwa menjadi penyebab kenapa penduduk pangsapuri tidak dapat menikmati pemberian air percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Berkongsi pengalaman menguruskan hal itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Bukit Kuda, Ahmad Ibrahim (gambar) berkata kerajaan negeri sebenarnya banyak memudahkan urusan pertukaran meter itu namun Syabas tidak memberikan kerjasama yang sepenuhnya selain meletakkan prosedur yang ketat.

Menurut beliau, antara syarat yang dikenakan Syabas ialah memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik.

Selain itu pemilik juga perlu membuat permohonan baru melalui borang SMP (borang kebenaran tukar meter) bagi setiap individu, dan perlu membayar RM130 sebagai deposit meter air.

Tidak cukup dengan itu, penduduk juga dikenakan syarat membayar jumlah keseluruhan bil tunggakan dan segala kos pembaikan paip serta pengubahsuaian meter ditanggung pemilik.

“Syarat yang ditetapkan itu sangat menyusahkan. Sewajarnya mereka (Syabas) faham, untuk melaksanakan semua syarat itu bukan mudah, banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk dan JMB sendiri.

“Pengalaman saya dalam menguruskan permohonan itu memakan masa setahun baru ia selesai itu selepas ditolak beberapa kali oleh Syabas sehinggakan saya terpaksa ke Ibu Pejabat Syabas untuk berusaha mendapatkan air percuma,” katanya dipetik Selangorku.

Menceritakan lanjut, Ahmad berkata JMB pangsapurinya terpaksa mengeluarkan wang tabung pengurusan itu sebanyak RM15,000 sebagai pendahuluan bagi membayar bil tunggakan.

Katanya, tidak cukup dengan itu, beliau terpaksa mencari pemilik sebenarnya setiap unit rumah untuk mendapatkan persetujuan daripada mereka.

“Saya hantar sendiri notis kepada sebanyak 450 unit rumah untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka, banyak masalah yang saya hadapi.

"Itu pun pada mulanya, hanya setengah sahaja yang berjaya saya cari, tetapi akhirnya saya berjaya mengumpulkan semuanya selepas beberapa langkah susulan diambil,” katanya.

Selain itu, jelasnya, penduduk terpaksa membayar RM45 bagi setiap unit rumah untuk mengubahsuai meter mereka manakala JMB mengeluarkan sebanyak RM5,000 untuk membaiki meter.

“Jika dihitung, kos mengubahsuai meter yang ditukar 450 unit rumah itu menelan belanja yang besar iaitu sebanyak RM20,200. Itu kita lakukan sendiri, jika kita memanggil pihak kontraktor sudah tentu harganya dua kali ganda,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan syarat yang dikenakan Syabas itu menyebabkan penduduk pangsapuri lain lambat menikmati pemberian air percuma 20 meter padu itu selain mereka tidak mendapat kerjasama dari penduduk sendiri.

“Setiap penduduk harus faham, begitu juga dengan JMB, jangan menyalahkan Kerajaan Negeri, mungkin permohonan yang dihantar kepada Syabas itu tidak lengkap,” katanya.

Bendera PAS berkibar di Gaza

Farhan Mazlan, 10 Dis 2012


(Bendera PAS adalah antara yang dikibarkan di Sahah Al-Katibah semalam sempena sambutan 25 tahun Hamas)


GAZA: Bendera PAS adalah antara bendera yang berkibar di Gaza mengiringi lebih kurang satu juta umat Islam yang berhimpun di  Sahah Al-Katibah Gaza serta melaungkan 'Khaibar Ya Yahud' (hancurlah kamu wahai Yahudi) sempena Ulangtahun ke-25 penubuhan Hamas.

Ia dikibarkan bagi menyatakan dengan jelas kebersamaan PAS bersama dengan perjuangan umat Islam di Palestin.

Perhimpunan yang diadakan ini juga bertujuan untuk meraikan kemenangan umat Islam di Palestin selepas perang lapan hari dengan Israel yang berakhir 21 November yang lalu.

Perhimpunan Ulangtahun ke-25 penubuhan Hamas ini turut dihadiri negara-negara umat Islam yang lain termasuk Malaysia di samping NGO yang membantu umat Islam Palestin.

(Bendera PAS dan Malaysia dikibarkan dibumi Gaza tanda kebersamaan dengan perjuangan umat Palestin)

Majlis ini dihadiri oleh Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyah  bersama barisan Kabinet dan juga Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal buat pertama kalinya  kembali ke  bumi Palestin selepas dibuang negeri pada tahun 1996.

Khaled Meshaal dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berhimpun bagi meraikan kemenangan Hamas dan umat Islam di Palestin serta merakamkan rasa rindu dan tidak melupakan bumi Palestin yang ditinggalkan sejak 1996 yang lalu.

Sebelum ini pertubuhan Hamas mempunyai pejabat urusannya di Damsyik, namun ia dipindahkan ke Kaherah selepas Hamas memutuskan hubungan dengan Damsyik selepas Basyar menentang kebangkitan rakyat Syria.

Antara program yang diadakan pada program julung-julung kali itu adalah upacara persembahan dari kumpulan Nasyid Pemuda Palestin di samping artis-artis dari negara Jordan, Syria dan macam-macam lagi.

(Di atas bangunan yang menempatkan pentas utama juga dikibarkan bendera PAS)

Nabi Yusuf dan kebangkitan Mesir

Akademi Tarbiyah DPPM , 03 Dis 2012
Antara sunnatullah (hukum Allah) itu adalah bahawa Allah Taala akan memberikan cubaan kepada penerus risalah dan gerakan dakwah ini sebelum menjadikannya berkuasa di muka bumi-Nya. Inilah sunnatullah yang tidak akan berubah seperti yang telah dijanjikan Allah. Di Mesir, Nabi Yusuf adalah salah seorang pengembang dakwah di negara itu. Dia pernah digoda dan dirayu oleh seorang isteri penguasa pada zamannya dengan perhiasan dan keindahan parasnya.

Peristiwa ini disebutkan di dalam firman Allah Taala, maksudnya:

"Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata; Hampirilah kepadaku. Lalu Yusuf berkata; Aku berlindung kepada Allah, sungguh, tuanku telah memperlakukan aku dengan baik. Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung." (Surah Yusuf : ayat 23)

Sesungguhnya Allah Taala telah menyelamatkan Baginda daripada perbuatan haram dan penzinaan. Lazim diketahui bahawa, kala usia muda, naluri dan nafsu seseorang itu sering melonjak-lonjak. Naluri ini merupakan makhluk buta yang tidak dapat melihat, makhluk tuli yang tidak dapat mendengar, makhluk bisu yang tidak dapat berbicara, naluri yang mendesak pemiliknya agar menyalurkan hasil kemaksiatan dan dosa.

Hal yang sama juga dirasakan Nabi Yusuf a.s., meskipun dia masih muda dan berada jauh daripada pantauan orang-orang tuanya akibat dengki dan cemburu saudara-saudaranya, dan meskipun tatkala itu Baginda hanya tinggal berdua dengan isteri sang penguasa itu, akan tetapi Baginda Yusuf lebih memilih untuk berpegang teguh kepada tali agama Allah sehingga Allah pun menjaga kehormatan dan kemuliaannya.

Allah Taala berfirman tentang perkataan isteri penguasa tersebut:

"(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi daripada orang-orang yang hina." (Surah Yusuf : ayat 32)


Sikap dan peribadi Nabi Yusuf a.s. menjadi benteng kepada Baginda untuk segera menjauh dan terhindar daripada kemaksiatan. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Taala di dalam firman-Nya:

"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (pilihan kami terhadap Yusuf) untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa." (Surah Yusuf : 24)


Nabi Yusuf telah memilih ujian dengan hati yang lapang, sekalipun nafsunya tidak dipenuhi namun jiwanya sentiasa meronta-ronta menagih redha Allah, sehingga Baginda-pun rela mendekam di dalam penjara walau dalam keadaan dizalimi sang penguasa. Hal ini kerana Nabi Yusuf menyedari hampir-hampir sahaja dirinya jatuh ke dalam jurang kenistaan, bahkan di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa, "Tidaklah sempurna keimanan seseorang yang sedang berbuat zina." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi)

Cubaan yang dilalui oleh Nabi Yusuf sangat getir. Baginda dimasukkan ke dalam penjara kerana perbuatan yang tidak dilakukannya sama sekali. Baginda menerima semuanya dengan hati yang tenang dan menyerahkannya kepada Allah Taala, kerana yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang terjadi di dunia ini melainkan atas izin dan kehendak Allah Taala. Dalam hal ini Allah Taala berfirman:

"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata; Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".

"Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

"Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dibebaskan) hingga ke suatu masa." (Surah Yusuf : 33-35)


Nabi Yusuf telah berhasil melalui berbagai cubaan yang berat, sehingga Baginda menjadi salah seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di negeri Mesir kala itu. Imam Syafi'e pernah ditanya, "Manakah yang lebih dahulu antara diuji atau mempunyai kedudukan?".

Lalu beliau berkata, "Tidak ada seorangpun (daripada pilihan Allah) yang mempunyai kedudukan sebelum diuji terlebih dahulu".

Menyebarkan Risalah Tauhid Di Penjara

Meskipun dimasukkan ke dalam penjara kerana ditohmah dan difitnah oleh seorang isteri sang penguasa, Nabi Yusuf tetap berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada orang lain yang berada di penjara bersamanya. Hal ini tergambar dalam firman Allah Taala:

"Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang daripadanya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata; Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur. Dan berkata pula yang seorang lagi; Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung. (Kemudian keduanya berkata); Terangkanlah kepada kami akan takwilnya. Sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)." (Surah Yusuf : ayat 36)


Setelah beberapa lama kedua-dua banduan itu berinteraksi bersama Nabi Yusuf, akhirnya mereka dapat mengenal keperibadian dan budi pekertinya yang baik di samping ketakwaan dan kesolehannya. Oleh itu, ketika dua pemuda tersebut bermimpi, maka mereka pun berkata kepada Nabi Yusuf, "Berikanlah kepada kami takwilnya. Sesungguhnya kami memandangmu termasuk orang yang berbuat baik (berakhlak mulia)".

Karakter pendakwah sejati akan selalu terlihat bila-bilapun dan di manapun. Akidah yang bersih, ibadah yang benar dan budi pekerti yang baik akan sentiasa terpateri dalam diri setiap saat, bahkan ketika berada dalam penjara dan mengalami kesulitan di dalam hidup. Nabi Yusuf membuktikan kenabiannya kepada mereka dengan takwil mimpi. Dia dapat mengetahui makanan apa pun yang akan diberikan sebelum sampai kepada mereka berdua. Hal ini adalah pengetahuan tentang sesuatu yang ghaib. Tidak ada seorangpun yang mengetahui hal-hal yang ghaib selain Allah dan orang-orang diberitahu Allah di antara Para Nabi dan Rasul-Nya. Allah Taala berfirman:

"Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) mengadakan penjaga-penjaga (Malaikat) di depan dan di belakangnya." (Surah al-Jinn : ayat 27)


Sifat rendah hati Nabi Yusuf diperhatikan oleh teman-temannya di penjara ketika menyandarkan ilmu yang diketahuinya kepada Pemiliknya yang hakiki, yakni Allah Taala dengan mengatakan:

"(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takwil mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku (Allah). Dengan sebab itu aku meninggalkan pegangan kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat." (Surah Yusuf : ayat 37)

Hal ini adalah salah satu kaedah Nabi Yusuf dalam mengajak mereka untuk beriman kepada Allah dan mengesakanNya. Dia-lah Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Maha Mengetahui segala sesuatu yang ada di langit dan bumi. Salah satu bentuk pengaplikasian tauhid di dalam kehidupan sehari-hari adalah prinsip Baginda yang mengingkari perbuatan syirik dan penyembahan terhadap berhala. Nabi Yusuf menyatakannya secara jelas kepada kaumnya dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah Taala dengan menuturkan, "Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, bahkan mereka tidak percaya kepada hari akhirat".

Nabi Yusuf mengikuti kaedah dakwah para pendahulunya daripada kalangan Nabi dan Rasul yang telah diutus kepada kaumnya masing-masing. Baginda Yusuf bukan orang yang melakukan perbuatan bida’ah dalam kenabian dan urusan agama, namun dia adalah pengikut setia agama yang benar. Allah Taala menerangkan perkataan Nabi Yusuf di dalam firman-Nya:

"Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku; Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil daripada limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Surah Yusuf : ayat 38)


Nabi Yusuf a.s. menyandarkan semua nikmat yang diterimanya kepada Allah semata-mata. Setelah itu, Nabi Yusuf berdialog dengan teman-temannya di penjara mengenai tuhan-tuhan yang selama ini mereka sembah.

"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?" (Surah Yusuf : ayat 39)


Allah adalah Tuhan yang sebenarnya dan apa-apa sahaja yang diseru selain Allah adalah batil. Sebab, tuhan-tuhan yang disembah kaumnya dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri dan mereka pula yang memberikannya nama. Sembahan yang mereka anggap sebagai tuhan itu tidak dapat mendatangkan manfaat dan menolak bahaya untuk dirinya apalagi untuk orang lain.

Nabi Yusuf Berperanan Sebagai Menteri Perbendaharaan


Kisah Nabi Yusuf yang berperanan sebagai menteri perbendaharaan dimulai ketika dia menafsirkan mimpi raja. Pada saat menjalani hukum penjara, Nabi Yusuf harus menafsirkan mimpi orang yang memerintah negara dan memenjarakannya iaitu raja Mesir pada ketika itu. Namun, Nabi Yusuf tetap menyebutkan tafsir mimpi yang benar dan memberi saranan yang baik kepada raja tanpa mengharapkan imbuhan moral mahupun material. Allah Taala berfirman:

"(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia); Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya." (Surah Yusuf : ayat 46)


Pada saat itu tidak seorang pun yang mampu menakwilkan mimpi tersebut dan para sekratariat kerajaan mengatakan, "Itu adalah mimpi-mimpi yang tidak memberikan apa-apa makna". Salah seorang teman sepenjara Nabi Yusuf meminta kepada raja untuk memberitahukan mimpi yang dialaminya itu kepada Yusuf kerana dia pernah menakwilkan mimpi yang alaminya.

Setelah mendengarkan cerita mimpi utusan raja, Yusuf menyusun strategi jitu dalam jangka 15 tahun untuk menyelamatkan negara daripada bencana kelaparan. Seperti ditafsirkan, bahawa akan datang musim kemarau yang berpanjangan, sehingga diperlukan pentadbiran perbendaharaan sumber negara dalam jangka masa yang panjang agar rakyat Mesir mempunyai makanan yang cukup. Allah Taala berfirman:

"Yusuf menjawab; Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa-apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan." (Surah Yusuf : ayat 47)


Rakyat Mesir diarahkan agar menyimpan makanan secukupnya agar dapat membekalkan sedikit untuk masa krisis kemarau berpanjangan. Allah Taala berfirman:

"Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)." (Surah Yusuf : ayat 48)


Pada masa kemarau, rakyat akan bergantung kepada makanan yang disimpan sebelum ini. Jika ada orang yang tidak memiliki persediaan makanan yang cukup maka apa yang harus mereka lakukan dalam situasi yang sulit tersebut? Maka, tidak diragukan lagi bahawa mereka yang kesempitan harus berhutang terhadap orang lain. Seperti yang dikatakan pepatah, "Hutang membuat gelisah di malam hari dan membuat malu diri sendiri di hadapan orang lain pada siang hari."

Setelah masa sempit datanglah masa kejayaan, dan setelah kegelapan terbitlah fajar. Itulah tahun yang ke-15 seperti yang ditakwilkan oleh Nabi Yusuf. Pada masa itu hujan turun membasahi bumi yang membuatnya hijau dan tanaman pun tumbuh di mana-mana, sehingga banyaklah pohon yang berbuah dan dapat dipetik manusia dengan mudah. Allah Taala berfirman:

"Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur)." (Surah Yusuf : ayat 49)


Demikianlah yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf sehinggalah tiba waktu pengadilannya Baginda dibebaskan daripada penjara setelah dibuktikan siapa sebenarnya yang bersalah. Reputasi Baginda Yusuf melonjak cemerlang bukan sahaja di mata manusia bahkan kepada setiap makhluk di alam ini. Kebenaran yang ada pada Nabi Yusuf ibarat sinar mentari pada siang hari, cahaya bulan di malam hari dan cahaya fajar pada waktu subuh. Isteri penguasa yang memfitnah Nabi Yusuf mengakui kesalahannya. Wanita itu bersaksi bahawa dialah yang melakukan konspirasi terhadap Yusuf.

Nabi Yusuf keluar dari penjara dalam keadaan terhormat menuju istana raja dan diangkat menjadi seorang menteri. Tiada keraguan bahawa seseorang itu tidak disyariatkan untuk meminta-minta jawatan, namun apabila tidak seorangpun yang absah dalam sesebuah jabatan maka dia harus berada di garis hadapan memangkunya. Hal ini kerana, Yusuf adalah Nabi yang menerima wahyu daripada Allah, tindakan bernas bukan daripada akal semata-mata, tetapi juga daripada kebersihan jiwanya meyakini Allah itu Tuhan sejati. Allah Taala berfirman:

"Dia (Yusuf) berkata; Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir); karena sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, dan berpengetahuan." (Surah Yusuf : ayat 51)


Kisah Nabi Yusuf a.s. berakhir dengan bahagia, kerana Allah Taala menganugerahkan kedudukan kepadanya di negeri Mesir sebagai orang menjaga amanah kerajaan. Seorang yang diiktiraf amanah oleh Allah, kemudiannya menjaga amanah rakyatnya, dan hal ini tidak akan terjadi di dunia kecuali di atas kehendak Allah Taala.

Inilah petunjuk Allah kepada kita umat Islam tentang akhlak Nabi Yusuf yang sewajibnya dimiliki oleh para pemuda. Hanya kepada Allah kita memohon agar menjadikan kita termasuk antara orang-orang yang beramal dengan ikhlas kerana mengharapkan redha-Nya.

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan: