Isnin, 10 Disember 2012

JANGAN TAMAK...SEMUA KITA NAK PUNYA...INGATLAH MATI...AKHIRAT LAMBAT SEBAB HISAB...MALANG LEPAS DIHISAB MASUK NERAKA...MASUK SYURGA TAK PE LAGI...TAPI TETAP LAMBAT MASUK

S'gor saman balas 'dalang' peralat ibu tunggal

Harakahdaily, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Heboh sebelum ini apabila 2,020 ibu tunggal berdemo dan menyaman kerajaan negeri Selangor ekoran dakwaan gagal mengotakan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu untuk membayar elaun kepada ibu tunggal.

Ketika demo yang turut disiarkan Buletin Utama TV3 baru-baru ini, wakil ibu tunggal Puan Murtini Kasman yang ditanya oleh wartawan stesen swasta itu, mengecam kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Tidak lama selepas itu, maklumat tentang Murtini mula tersebar di blog dan juga Facebook.

Antaranya, beliau didakwa merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Umno Tanjung Karang Sesi 2008/11 dan merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Tanjung Karang iaitu kawasan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau juga bekas penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1429H.

Selain itu beliau juga merupakan pemilik sebuah syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia.

Saman balas terhadap 'dalang'


Sementara itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail semalam memberitahu, kerajaan negeri sedang mengkaji untuk membuat saman balas terhadap  saman yang difailkan 'dalang' di sebalik ibu-ibu tunggal tersebut.

Katanya, saman balas itu dibuat kerana ia melibatkan integriti kerajaan negeri yang dicalar oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita sudah menerima surat saman daripada Tetuan Kamarudin & Partners dan kini pihak kami sedang meneliti saman itu serta peguam negeri sedang menyediakan beberapa dokumen untuk kita membuat saman balas,” katanya.

Beliau berkata, 2,020 penama ibu tunggal yang didakwa tidak menerima bantuan ibu tunggal itu turut akan disemak bagi mendapatkan kesahihan dakwaan mereka.

Beliau turut menasihatkan kepada ibu tunggal yang terlibat supaya tidak menjadi ‘kuda tunggangan’ mana-mana pihak lain yang untuk kepentingan parti politik.

“Saya berani mengatakan bahawa mereka ini hanya ‘berlakon’ kononnya dianayai oleh Kerajaan Negeri disebabkan desakan atau ditipu parti politik lain,” katanya.

Rodziah juga menjelaskan, ‘elaun’ yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu tidak menyatakan pemberian berbentuk wang ringgit kepada ibu tunggal sebaliknya mengutamakan mereka yang layak.

Tetapi, ia adalah bentuk bantuan yang disampaikan menerusi beberapa program antaranya program ekonomi yang melibatkan ibu iaitu Program Pemberdayaan Wanita menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), Skim Mikrokredit Bandar dan Luar Bandar (MiMBAR dan SkimSel), Progran Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA).

Mengayuh dalam hujan menuntut perubahan

Harakahdaily, 10 Dis 2012


(Para aktivis Jerit mengayuh basikal dalam hujan bagi menuntut perubahan)

SEREMBAN: Selepas berjaya dengan projek jalan kaki membantah Lynas, 20 aktivis NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) pula menggunakan pendekatan mengayuh basikal untuk menuntut perubahan.

Mereka memilih Negeri Sembilan sebagai sasaran kayuhan yang dinamakan "Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0" dan mensasarkan 23 perhentian sepanjang kayuhan selama empat hari itu yang bakal berakhir hari ini.

Mereka melalui tujuh daerah utama di negeri itu iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

(Siap untuk membuat kayuhan)

Pada hari ke-3, mereka memulakan kayuhan di bawah hujan lebat bermula dari Johol ke Bandar Baru Serting.

Lawatan pertama mereka adalah ke Raja Alias 2, Serting. Masyarakat tempatan mengalukan kedatangan para pengayuh.

Pengayuh turut mengedarkan risalah kepada penduduk tempatan dan  dijamu dengan nasi lemak dan bermacam lagi.

Di Jempol, pengayuh singgah di rumah seorang pemimpin PAS yang menyediakan minuman dan buah- buahan.
Di Dataran Senawang, mereka diraikan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menerima kedatangan para pengayuh.

(Berehat di rumah seorang pemimpin PAS tempatan di Jempol)
Para pengayuh seterusnya ke Sungai Gadut menerima memorandum daripada pihak ibubapa dan pelajar SJK (Tamil) Ldg Senawang.

Akhirnya pengayuh kembali ke Seremban Jaya. Pengayuh bermalam di Seremban Jaya malam ini.

Hari ini,  10 Disember 2012, para pengayuh akan ke Pejabat Menteri Besar untuk menyampaikan memorandum tuntutan rakyat.

Mereka juga akan mengunjungi Ketua Pembangkang Anthony Loke untuk menyampaikan memorandum tuntutan rakyat itu.

Tujuh tuntutan itu termasuk pilihan raya bersih dan adil, gesaan supaya menghentikan pemusnahan alam sekitar, perumahan selesa untuk rakyat dan tuntutan supaya kerajaan menghentikan penswastaan perkhidmatan awam.

Selain itu, NGO berkenaan juga menuntut supaya kerajaan melindungi hak dan kebajikan pekerja, hak untuk berhimpun secara aman, hak bersuara dan juga memansuhkan undang-undang yang didakwa zalim.

Pemuda PAS Selangor ucap tahniah kepada Guan Eng

Harakahdaily, 10 Dis 2012
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan tahniah di atas keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerana telah menaikkan peruntukan hal ehwal agama Islam sebanyak 300 peratus.

Walaupun sering dilabel sebagai anti Islam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang merupakan Setiausaha Agung DAP, lebih bertanggungjawab untuk membantu Umat Islam di Negeri Pulau Pinang berbanding semasa zaman kerajaan Barisan Nasional di bawah kendalian parti Gerakan.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Bagi beliau, kerajaan Pusat juga sepatutnya berasa malu kerana tidak prihatin untuk memartabatkan agama Islam di dalam negara ini apabila tidak memperuntukkan bajet tambahan kepada Sekolah Agama Rakyat di dalam pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam kenyatan rasis yang tidak bertanggungjawab daripada Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, yang cuba untuk menimbulkan prasangka jahat dan menghasut rakyat terhadap tindakan murni yang dilakukan YAB Lim Guan Eng," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan pemimpin Gerakan itu yang mendakwa, Lim Guan Eng melaksanakan Islamisasi dalam pentadbirannya di Pulau Pinang.

Padahal, menurutl Lim Guan Eng, apa yang beliau lakukan adalah memberikan sesuatu kepada yang berhak selepas dinafikan selama ini oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menganggap serangan rasis Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang adalah hasil daripada sikap ‘penakut dan pengecut’ Umno Pulau Pinang di dalam memperjelaskan hal ehwal agama Islam kepada rakan sekutu mereka di dalam Barisan Nasional.

Umno, katanya, yang selalu ‘berkokok’ sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan sering memperlekehkan PAS menjadi ‘kuda tunggangan DAP dan PKR’ di dalam isu agama Islam akhirnya menjadi bacul dan dayus dengan membiarkan MCA dan Gerakan berterusan menghina agama Islam secara terbuka.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini menyeru sekalian umat Islam untuk menolak Umno di dalam pilihanraya umum ke 13 nanti kerana kegagalan Umno untuk menjaga dan memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Negara," katanya.

Selain itu, katanya lagi,  Umno juga sering menggunakan Islam semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka tanpa mempedulikan keutamaan untuk member kefahaman yang sebenar berkenaan Agama Islam secara mnyeluruh kepada masyarakat.

Himpunan Kebangkitan: Rakyat Pahang sedia ubah

Harakahdaily, 10 Dis 2012
TEMERLOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Pahang semalam menyerlahkan sikap rakyat negeri ini yang mahu berubah pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Kehadiran lebih 30,000 orang pada majlis ceramah sempena himpunan itu di Dataran Kerdau, kira-kira 20 kilometer dari sini malam tadi memberi isyarat yang sangat baik kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika bercakap kepada media selepas majlis ceramah amat berpuas hati dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan, tambahan pula ia diadakan di sekitar rancangan tanah Felda.

Baginya, jumlah mereka yang hadir itu memberi gambaran bahawa masyarakat Felda juga mahukan perubahan pada PRU13 akan datang.

Ditambah dengan tawaran menarik Pakatan Rakyat kepada rakyat Pahang, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat optimis hasrat untuk menawan Putrajaya dan mengambil alih kerajaan negeri dapat direalisasikan.

Sehubungan itu, ketika berucap malam tadi, beliau terus mengingatkan para pendukung Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP untuk melipatgandakan usaha menarik sokongan pengundi.

Tuan Ibrahim juga menekankan supaya sikap bekerja dalam jemaah jangan diabaikan dalam usaha mengajak rakyat membuat perubahan pada PRU13 nanti.

Gesaan supaya rakyat negeri ini khususnya melakukan perubahan bergema sebaik program himpunan bermula sejak petang semalam lagi.

Ratusan anak muda yang menyertai konvoi bermotosikal terus diingatkan untuk membuat perubahan itu sebaik majlis meraikan mereka yang tiba di tapak himpunan.

Seorang peserta, Osman Ibrahim, 25, dari Felda Purun, Bera melahirkan rasa seronok kerana dapat menyertai konvoi tersebut.

Baginya, jika aktiviti dianjurkan oleh Pemuda PAS pada masa yang lain, beliau berhasrat untuk menyertainya lagi.

“Best sertai konvoi ini, saya dapat jumpa kawan baru,” ujarnya yang pertama kali menyertai aktiviti berkenaan.

Bagi Mad Alwi Dollah, 45, selain melahirkan rasa gembira, aktiviti konvoi bermotosikal itu dapat menjalin hubungan silaturahim di kalangan peserta.

Beliau yang teruja pertama menyertainya turut memuji pihak penganjur yang menekankan supaya para peserta berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan.

Kehadiran anak-anak muda secara terbuka pada himpunan tersebut menggambarkan mereka sentiasa bersedia bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pemerintahan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Dayangku Intan tidak ketinggalan menggesa para hadirin agar membuat perubahan dalam PRU13 bagi menyelamatkan negeri ini.

Beliau bersama Bob Lokman dan Ali XPDC yang menjayakan program Bersama Selebriti petang semalam teruja dengan perubahan tempat ekoran hujan seketika.

Bob Lokman pada awalnya mahu menangguhkan program itu tetapi para hadirin mahu ia diteruskan walaupun hujan turun agak lebat sekitar jam 5.40 petang.

Berikutan itu, mereka terpaksa berpindah ke pentas berbumbung bagi meneruskan program sementara anak-anak muda yang mengikutinya tetap berada di hadapan pentas dengan berpayung, ada juga yang beredar ke bahagian berkhemah.

Majlis di sebelah malam yang dimulai dengan solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan munajat di kawasan lapang yang dipimpin oleh Ustaz Fadhil Nor Abdul Karim.

Selepas solat Isyak berjemaah, majlis diteruskan sekitar jam 8.35 dengan ucapan daripada wakil NGO seperti Royalti, Anti Lynas, Persatuan Anaka Peneroka Felda Kebangsaan dan lain-lain.

Ia seterusnya diikuti dengan ucapan daripada pemimpin Pakatan Rakyat negeri dan Pusat yang terdiri daripada Pengerusi DAP, Pengerusi PKR dan Pesuruhjaya PAS negeri, Leong Ngah Ngah, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hadir sama

Syarikat Syed Mokhtar dapat 40 dari 60 4G-LTE

Harakahdaily, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menganugerahkan peruntukan 40 Mhz 4G-LTE kepada sebuah syarikat baru, Puncak Semangat Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar) mengejutkan.

Ini kerana, syarikat ini tidak pernah diketahui terlibat dalam bidang ini berbanding dengan beberapa syarikat utama yang terlibat selama ini.

Syarikat yang sedia ada iaitu Maxis Broadband Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Redtone Marketing Sdn Bhd, YTL Communications dan Packet One Networks (M) Sdn Bhd hanya diberikan 20MHz daripada peruntukan jalur lebar itu.

"Soalan untuk SKMM adalah, kenapakah syarikat yang tidak mempunyai sebarang pengalaman telah diberikan hak untuk mendapat bahagian terbesar dalam peruntukan jalur lebar itu," tanya Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP.

Ini menjadikan SKMM terus dilanda kontroversi sekali lagi dalam menganugerahkan lesen.

"Sebelum ini, jalur lebar 3G dan WIMAX spetra beberapa syarikat telah gagal untuk melaksanakannya atau telah menjual terus lesenya untuk mendapatkan keuntungan cepat," tambah anggota Parlimen Petling Jaya Utara itu.

Apa yang menyedihkan juga, penganugerahan ini tidak melalui sisten tender terbuka sebagaimana yang sewajarnya.

BUKAN ATAS PAGAR TAPI PENGUNDI CERDIK

Putrajaya: Dapatkan 4 juta undi atas pagar

Harakahdaily, 09 Dis 2012
TEMERLOH: Pendukung Pakatan Rakyat diingatkan supaya berusaha untuk mendapatkan sokongan 4 juta pengundi ‘atas pagar’ pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti jika mahu menawan Putrajaya.
Demikian dinyatakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Pahang di Dataran Kerdau, sebentar tadi.

Katanya, 3 juta daripada mereka adalah pengundi baru sementara 1 juta adalah pengundi pada Pilihan raya Umum ke-12 lalu.

Justeru, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, Pakatan Rakyat perlu mendapatkan 70 peratus daripada mereka pada PRU13 nanti bagi merealisasikan hasrat menguasai Putrajaya.

“Kita boleh mara ke Putrajaya, kita kena dapat sokongan semua kaum,” ujarnya.

Baginya, kehadiran peserta himpunan malam ini yang melebihi 30,000 orang daripada pelbagai kaum mendapat satu mesej bahawa kenyataan pemimpin BN adalah bohong.

Katanya, rakyat menolak dakwaan pemimpin BN kononnya apabila DAP menang, kuasa Melayu akan hilang.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat pelbagai kaum bersatu padu kerana suasana memerlukan kerajaan baru.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah berkata, negara lebih aman apabila BN tumbang pada PRU13 nanti.

"Jika BN tumbang, lagi aman, tengok malam ini," katanya yang juga Adun Triang.

Justeru, beliau menolak dakwaan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil kononnya peristiwa 13 Mei akan berulang sekiranya BN tumbang pada PRU13.

Beliau menyifatkan Shahrizat tidak memahami budaya orang Cina berhubung dakwaan itu.


30,000 sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang

Harakahdaily, 09 Dis 2012

(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau untuk menyertai HKR Pahang)

TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada rakyat Pahang yang menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Dataran Kerdau, malam ini.

Beliau menganggarkan kira-kira 30,000 hadir pada perhimpunan itu sekalipun pada masa yang sama berlangsung perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki peringkat separuh akhir antara Malaysia dengan Thailand.

(Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, Malaysia hanya seri 1-1 di mana gol pasukan negara dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-49 manakala Thailand oleh Teerasil pada minit ke-78.)

Ini, kata Tuan Ibrahim menunjukkan bahawa isu rakyat dilihat lebih penting oleh orang ramai walaupun mereka minat kepada sukan bola sepak.

(Ustaz Fadzil Noor Abdul Karim memimpin solat hajat dan munajat selepas solat Mghrib.)

“Saya pun minat bola, tetapi isu rakyat lebih penting daripada apa yang kita lihat (bola),” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa PAS Pahang mempunyai komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan isu tanah tapak rumah rakyat yang tidak mempunyai tanah.

Katanya, Pakatan Rakyat mendapat mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, masalah tersebut dapat diatasi.

Ini, katanya kerana Pahang mempunyai tanah  yang luas, justeru tidak ada masalah bagi Pakatan Rakyat untuk memberikan tanah tapak rumah kepada rakyat negeri ini yang masih tidak bertanah.

6+3 tawaran Pakatan untuk rakyat Pahang

Harakahdaily, 09 Dis 2012

Mohamad Sabu membacakan tawaran Pakatan Rakyat kepada rakyat Negeri Pahang.

TEMERLOH: Dengan mood perubahan yang memuncak di Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Pahang, Pakatan Rakyat menawarkan enam tawaran negeri bersama tiga tawaran pusat untuk menyelamatkan negeri terbesar di Semenanjung daripada kezaliman Umno-BN.

Dalam tawaran peringkat negeri PR Pahang yang ditandatangani Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, PR berjanji akan menyelesaikan masalah tanah di negeri Pahang.

Mereka berjanji akan menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung  Baru dan Kampung Tersusun.

Selain itu, PR Pahang juga berjanji untuk menyelesaikan permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Untuk kebajikan Orang Asli, PR Pahang turut menawarkan untuk mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat juga berita baik untuk para pemilik tanah pertanian di mana PR Pahang berjanji akan memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

Sekiranya BN ditumbangkan, rakyat Pahang turut bakal menikmati penurunan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil  hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

PR Pahang turut berjanji untuk melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua hasil utama negeri.

Tawaran PR Pusat pula berkisar kepada nasib generasi kedua dan ketiga Felda, royalti minyak kepada Pahang dan perhatian khusus kepada pembangunan prasarana kemudahan asas di kawasan pedalaman Pahang.

Sekiranya menjadi kerajaan selepas PRU13, PR bakal menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, bekas anggota Polis dan Tentera serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.

PR juga berjanji akan memberikan royalti minyak sebanyak 20% setahun kepada kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi nanti berbanding dengan tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hanya memulangkan sejumlah wang ehsan kepada negeri.

PR juga berjanji untuk memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai.

Antara jalan yang disebut dalam tawaran yang ditandatangani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS ialah Jalan Jerantut – Benta, Jerantut – Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara 2 negeri seperti Kuantan – Jerantut – Kuala Lipis – Gua Musang, Kuantan – Segamat dan Kuala Lipis – Raub - Bentong – Seremban dan Jerantut – Ulu Tembeling – Dungun.

Jalan-jalan tersebut akan dibangunkan dengan perlaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.


Berikut adalah tawaran Pakatan


TAWARAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT KEPADA RAKYAT NEGERI PAHANG


Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negeri Pahang pada PRU 13 nanti maka kami akan :

PERTAMA

Menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung  Baru dan Kampung Tersusun.

KEDUA

Menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

KETIGA

Mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

KEEMPAT

Memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

KELIMA

Menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil  hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

KEENAM

Sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri negeri pakatan rakyat.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,Pesuruhjaya PAS Pahang.
Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Pahang
Yb Leong Ngah Ngah, Pengerusi DAP Pahang

9 Disember 2012




TAWARAN KERAJAAN PERSEKUTUAN (PAKATAN RAKYAT ) UNTUK NEGERI PAHANG



Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Malaysia pada PRU 13 nanti maka :


PERTAMA

Menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, Bekas anggota Polis dan Tentera serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.


KEDUA

Memberikan Royalti minyak sebanyak 20% setahun (bukannya 5%) kepada Kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi nanti.


KETIGA

Memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai seperti Jalan Jerantut – Benta, Jerantut – Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara 2 negeri seperti Kuantan – Jerantut – Kuala Lipis – Gua Musang, Kuantan – Segamat dan Kuala Lipis – Raub - Bentong – Seremban dan Jerantut – Ulu Tembeling – Dungun dengan perlaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR     
Yb. Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP Kebangsaan
Tuan Hj. Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS




(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang)

Tiada ulasan: