Rabu, 12 Disember 2012

YANG TAK SUKA PERKARA BAIK...DAN SUKA PERKARA BURUK@MAKSIAT ADALAH SYAITAN SERTA KUNCU2NYA

Jaga akhlak tidak dianggap ceroboh hak bukan Islam

Harakahdaily, 12 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Kelantan untuk menangguh penguatkuasaan Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut wajar dilakukan jika bertujuan untuk menjelaskan kes yang timbul.

“Peraturan itu sendiri tidak seharusnya diketepikan kerana prinsip menjaga kesopanan dan kesusilaan masyarakat seperti yang terungkap dalam Rukun Negara tidak boleh diremehkan,” kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Justeru, tegasnya Mapim berpendirian usaha untuk menjaga akhlak masyarakat adalah usaha yang murni dan tidak boleh dianggap menceroboh hak bukan Islam.


Beliau berkata, Mapim berpegang kepada prinsip bahawa tujuan utama yang harus difahami oleh masyarakat ialah menjaga kemurnian nilai dan sahsiah masyarakat.

“Ia tidak boleh dilihat sebagai mengganggu hak masyarakat bukan Islam kerana ia adalah suatu kesepakatan sosial untuk menjaga budaya hidup masyarakat yang sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Katanya, Undang-undang kecil Kedai Gunting Rambut Salun Uniseks yang diwujudkan oleh MPKB adalah jelas dan ia ujud sejak 1991.

Tambahnya, undang-undang seumpama itu juga wujud dikebanyakan PBT di seluruh negara.

Katanya lagi, jika ia tidak selaras dengan Perlembagaan Negara sudah tentu ia seharusnya dibahaskan sejak penggubalannya lagi.


“Kes saman yang dikeluarkan oleh MPKB ialah apabila ada pelanggaran syarat lesen. Itu pun apabila langkah peringatan dan nasihat dikeluarkan kepada pengusaha,” ujarnya.

Mohd Apabila terbukti memang pihak pengusaha sengaja tidak mengendahkan peraturan maka sewajarnya tindakan undang-undang diambil.


Azmi menambah, oleh itu tidak timbul isu memaksakan undang-undang yang menceroboh hak bukan Islam.


Katanya, gelagat politik bertaraf rendah dan murahan yang ditunjukkan oleh ahli Gerakan Negeri Sembilan yang bergegas ke salun uniseks di Kota Bharu dan mendapatkan khidmat di kedai berkenaaan dengan tujuan mencabar pihak berkuasa MPKB amat memualkan.

“Ia adalah tindakan kebudak-budakan ia tidak layak diberi layanan. Hanya publisiti murahan sahaja yang ingin diraih oleh mereka, bukan untuk melihat isu tersebut secara matang,” katanya.

Bom dari Deepak: SD 2 Bala sekat hal lebih besar

Harakahdaily, 12 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan (gambar) mendedahkan, penglibatan beliau untuk membuat akuan bersumpah kedua (SD 2) P Balasubramaniam bukan untuk menyelesaikan isu SD itu saja tetapi menyekat pendedahan yang lebih besar.

"Satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi Perdana Menteri, mereka ada kepentingan mereka.

"Mereka sudah bersedia, salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini (pembunuh Altantuya) dan siapa yang mengarah orang itu. Ini sangat high level.

"Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ni. Objektif utama besar dari itu.

"Mereka kena hentikan langkah seterusnya. Malam itu jugak kena siap, kena U-turn, kena tutup. Itulah yang masalah utamanya," cerita Deepak dalam sidang media khas dengan Harakah.

Deepak dalam sidang media kali ini menceritakan dengan jelas bagaimana beliau boleh terlibat dengan SD 2 yang dibuat oleh PI Bala ini.


Berikut adalah cerita penuh Deepak kepada Harakahdaily.

"Kalau boleh kita bincang secara terperinci bagaimana SD ini bermula.

Saya mendapat panggilan pada hari SD itu dibuat pada jam 6-7 malam. Saya dipanggil oleh Datin Rosmah Mansor melalui telefon.

Dia suruh saya cari jalan menyelesaikan masalah dia. Saya pernah jumpa dengan Bala satu dua kali sebelumm itu tetapi tidak kenal rapat dia.

Saya call kawan saya untuk cuba berjumpa dengan dia tetapi dia keberatan dan tidak mahu berjumpa.

Saya telefon Datin Seri dan berkata, ini susah dan tak nampak jalan penyelesaian benda ini. Sebelum inipun saya banyak bantu Datin mana-mana perkara yang dia perlukan. Saya cubalah kalau ada kawan.

Saya kata kepada Datin, hal ini bukan senang untuk diselesaikan. Dia pun minta saya "datang rumah sekarang dan jumpa suami saya. Biar Datuk Seri buat keputuan bagaimana".

Saya pergi ke rumah mereka. Datin dan Datuk tinggal di Sri Satria. Kadang-kadang dia orang duduk di Sri Duta dan kadang-kadang Sri Satria. Malam itu mereka duduk di Sri Satria.

Saya masuk rumah lebih kurang lapan lebih malam dan saya bercakap dengan Datuk Seri mengenai keadaan ini dan orang ini tidak mahu jumpa dan kata dia sudah buat SD yang benar dan dia tidak mahu berjumpa pun dengan saya. Saya tidak tahu bagaimana nak menyelesaikan benda inilah.

Pertama dia telefon satu lawyer. Lepas itu dia telefon adik dia, lawyer juga. Lepas bincang, dia minta saya agar mencari jalan untuk jumpa dia (Bala) dan cari jalan supaya dia setuju, untuk batalkan SD dia.

Saya telefon Bala, kita bincang atas telefon. Dia kata, dia nak jumpa Datuk Seri atau Datin Seri kalau nak dia menarik balik dia punya SD.

Dia pun jenis orang yang keras. Dia cakap dia tak tipu, apa yang dia letak dalam SD pertama semuanya benar.

Saya pun susahlah macamana dia nak jumpa Datuk Seri dan Datin Seri. Saya beritahu Datuk Seri, kita berada dalam suasana yang susah. Masa itu Datin Seri pun ada dalam bilik belakang, tingkat pertama. Dia nak jumpa Datuk Seri atau Datin Seri. No way lah, nak keluar masuk pun susah, ada bodyguard semua.

Datuk Seri propose (cadangkan) Datuk Nazim yang jumpa Bala. Saya bagi dia tahu, dia (Bala) cakap ok, boleh jumpa, tetapi dia nak bincang dengan saya sesuatu dulu.

Saya pergi ke Rawang di satu restoran Cina, duduk dengan dia dekat sana. Saya, dia, sepupu saya yang kenal dia dan seorang pegawai polis bekas D9 yang nama dia Suresh.

Bincang-bincang, dia kata kalau buat SD 2 dia takut, bagaimana dia nak protect dia dan famili. Saya kata, yang terbaik awak tinggalkan Malaysialah. Kita boleh uruskan kalau dia mahu. Kalau awak nak kekal di Malaysia, tak ada isulah sebab kerajaan bersama kamu.

Lepas itu kita bincang hal duitlah. Dia minta satu jumlah yang sangat besar dan saya tidak fikir saya boleh urus untuk dapatkannya. Saya hanya peniaga karpet bukan ada perniagaan bilion untuk keluarkan jumlah itukan. Saya kata, lebih baik awak cakap dengan Datuk Nazimlah.

Saya minta Datuk Nazim datang ke Rawang tetapi dia tidak mahu. Dia mahu kita pergi ke The Curve, dekat Mutiara Damansara.

Jadi kami pergi The Curve, ketika itu hari dah malam dah dekat jam 12 ke 1 pagi. Datuk Nazim bawa isteri dia sekali, isteri dia ketika itu sedang mengandung. Susahlah, isteri tak mahu tinggalkan suaminya.

Bala tak mahu bercakap dengan saya, dia mahu runding terus dengan mereka. Dia fikir kalau runding dengan saya, saya ada kuasa ke nak lindung dia, nak penuhkan permintaannya dari segi kewangan yang dia minta. Saya tak ada.

Dia bincang dengan Datuk Nazim, dia kata dia nak sejumlah wang, mahu dia dilindungi dan mahu meninggalkan negara ini. So dia (Nazim) promise (janji) dengan dialah tetapi kamu kena tukar SD itu.

Nazim kemudian telefon dan bincang dengan  abang dia, siapa yang akan siapkan SD.

Datuk Seri Najib pilih seorang peguam (nama disembunyikan sehingga pengesahan) dan anaknya untuk siapkan dokumen. Selepas itu kita pergi ke KL Hilton, saya ambil bilik untuk Bala sementara peguam siapkan SD. Mereka terus berkomunikasi antara adik dan dia serta peguam semua, apa yang nak dimasukkan ke dalam SD dan sebagainya.

Selepas itu, peguam datang ke KL Hilton ke bilik dan duduk. Siapkan laptop dia dan bincang semua. Siapkan versi terakhir dan Bala tandatangan malam itu.

Kemudian mereka nak buat sidang media. Bila nak buat PC, saya tak kenal siapa-siapa masa tu, saya low profile. Jadi saya hubungi Ketua Setiausaha Datuk Najib, you kena uruskan sebab saya tidak tahu siapa yang hendak di bawa, mainstrem ke, internet ke, saya tidak kenal siapa-siapa.

Last minute, peguam tidak mahu bersama Bala dan tidak mahu nama dia ada di situ. Saya kena hubungi kawan saya, yang juga peguam, tetapi dia tidak terlibat dengan hal itu. Saya kata, awak hanya datang dan duduk dengan Bala. Bala pun masa itu sangat tertekan.

Peguam saya pergi bersama dengan Bala, mereka pergi ke Prince Hotel kira jam 9 - 10 pagi. Pergi Prince Hotel dan umumkan SD yang telah disiapkan malam itu. Peguam saya bernama Arulapalam tetapi dia tidak terlibat dalam membuat SD itu, dia seorang peguam yang senior. Itu
yang berlaku. Objektifnya mahu pusing (riverse) SD Bala.

Banyak orang fikir, dia mahu menukar SD yang Bala bagi, tetapi sebenarnya ia lebih dari itu. Sebab utama SD itu, seorang yang terlibat dalam kes itu, kes Altantuya, telah  bersetuju untuk memberitahu cerita sebenar. Opposition side mahu mempastikan cerita sebenarlah.

Tetapi satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi Perdana Menteri, mereka ada kepentingan mereka. Mereka sudah bersedia, salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini dan siapa yang mengarah orang itu. Ini sangat high level.

Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ni. Objektif utama besar dari itu. Mereka kena hentikan langkah seterusnya. Malam itu jugak kena siap, kena U-turn, kena tutup. Itulah yang masalah utamanya.

Banyak orang melihat SD 1, SD 2. Sebenarnya tidak ada kena mengena SD 1 atau SD 2 atau 3. Yang utama adalah kebenaran yang akan keluar, seorang yang terlibat secara langsung, direct involve, dia nak datang nak buat SD menyatakan siapakah yang arahkan dia dan orang itu diarahkan oleh siapa. Ini yang utama dan sesuatu yang sangat serius.

Selepas kes Bala, saya telah dipanggil oleh SPRM dan siasat tetapi SPRM lebih berminat untuk tutup hal itu. Mereka tahu kebenaran seluruhnya tetapi mereka mahu tutup. Jadi tidak ada tindakanlah. Sebab itu kes tutup.

Saya minta, SPRM buka balik penyiasatan kes ini, dedahkan kebenaran, jelaskan apa sebenarnya berlaku. Mengapa perkara ini dibiarkan saja dengan cara ini dan asas kenapa kes ini ditutup.

Saya yakin dalam SPRM mesti ada orang yang baik. Tidak mungkin semua orang nak dengar cakap sepasang suami isteri, kita ada 28 juta manusia kat Malaysia, kenapa tidak nak dengan pandangan sepasang suami isteri sahaja. Bertindak untuk kebenaran tak salah.

Jadi saya minta SPRM dan polis siasat perkara sebenar-benarnya. IGP sekarang atau IGP sebelum ini, sesiapapun, biarlah kebenaran keluar.

Sekurang-kurangnya kita menghormati pihak penguatkuasa kita menjalankan tugas bukan mengikut arahan sepasang suami isteri sahaja. Negara ini lebih dari itu. Itu saja."

Video penerangan Deepak klik di sini

Kedudukan matematik dan sains merudum

Harakahdaily, 12 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Baru saja Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa sistem pendidikan kita adalah lebih baik dari US, UK dan Jerman, hari ini Trends in International Math and Science Study (TIMSS) mengumumkan kedudukan Malaysia merudum.

Kajian yang dibuat oleh TIMSS 2011 menunjukkan kedudukan Malaysia dalam matematik jatuh dari kedudukan 20 kepada 26 manakala Sains pula jatuh dari 21 ke 32.

Skor purata Matematik Malaysia jatuh dari 474 pada 2007 kepada 440 dan skor purata Sains jatuh pada darjah lebih hebat dari 471 pada 2007 kepada 426 pada 2011.

Keputusan tersebut dirumuskan dalam Jadual 1 di bawah.



Sebaliknya, US dan UK masing-masing pada kedudukan 9 dan 10 dengan purata skor Matematik 509 dan 507.

Purata skor Sains sebanyak 533 bagi UK dan 525 bagi US telah meletakkan mereka masing-masing pada kedudukan 9 dan 10.

Kedua-dua skor dan kedudukan adalah jauh yang dicapai oleh Malaysia. (Jerman tidak menyertai kajian tersebut).

Malaysia juga berkongsi perbezaan dengan menjadi satu-satunya daripada 6 negara daripada sampel 42 negara yang menyertai kajian dalam Matematik dan 45 negara dalam kajian Sains yang memperlihatkan kejatuhan kedua-dua skor dan kedudukan dalam Matematik dan Sains!

Kebanyakan negara lain sama ada menunjukkan peningkatan skor dan kedudukan atau kekal pada tahap sebelum ini.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kejatuhan dalam piawaian Matematik dan Bahasa Inggeris mencerminkan bagaimana ibu bapa kelas menengah di kawasan bandar memilih melalui kaki dan dompet mereka dengan meninggalkan sistem pendidikan antarabangsa dalam kawanan dengan mendaftar di sekolah-sekolah rendah dan menengah persendirian.

Malangnya, para ibu bapa yang tidak mampu menampung yuran tinggi sekolah-sekolah persendirian akan terus terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan dan menerima kualiti pendidikan yang kurang elok, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya hari ini.

"Saya menyeru Muhyiddin supaya memberi satu penjelasan jelas berhubung keseriusan dan kejatuhan dalam TIMSS kita yang tidak boleh diterima ini dan menarik balik kenyataan sebelum ini yang menyatakan bahawa sistem pendidikan Malaysia adalah lebih baik dari UK, US dan Jerman," kata Guan Eng dalam kenyataannya.

Royalti: Saman kedua menanti Petronas - Husam

M Faqih, 12 Dis 2012
PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Kelantan memberi tempoh selama 15 hari kepada Petronas bagi menjelaskan mengapa royalti 5 peratus gagal diberi terus kepada kerajaan negeri.

Anggota Exco, Datuk Husam Musa berkata, berdasar kenyataan Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas sebelum ini jelas menggambarkan Petronas membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan.

“Sebaliknya kerajaan pusat tidak menyerah pembayaran itu kepada Kelantan. Selain itu tidak juga memasuk dalam Akaun Wang Yang Disatukan kerajaan persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Selain itu kerajaan pusat juga membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak akta terbabit,” katanya pada program solat hajat dan ceramah perdana di Putik malam tadi.

Shamsul Azhar dalam kenyataan sebelum ini dilaporkan berkata, bayaran royalti minyak kepada negeri pengeluar sumber itu terletak kepada kerajaan persekutuan.

Sedangkan kata Husam, Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada 1975 dengan Petronas serta tiada sebarang perjanjian antara negeri ini dan kerajaan Malaysia.

Menurutnya pada perjanjian itu, Petronas berjanji membayar secara langsung kepada Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun pengeluaran bermula.

“Kenapa Petronas tidak membayar langsung kepada Kelantan tetapi sebaliknya menyerah kepada pihak ketiga, kerajaan persekutuan.

“Pembayaran Petronas 5 peratus adalah hak Kelantan dan ini bermakna satu tindakan jenayah pecah amanah dilakukan Petronas,” katanya.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, notis kepada Petronas dihantar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Kata beliau sekiranya Petronas tidak menjawab surat tersebut dalam tempoh ditetapkan, satu lagi saman akan dikemukakan terhadap agensi berkenaan.

Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan akaun bersama melibatkan jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan kini berjumlah lebih RM10 bilion.

Kata beliau sekiranya Petronas menang dalam perbicaraan dalam kes saman sekarang, wang tersebut boleh menjadi milik mereka.

“Namun sekiranya Kelantan menang wang tersebut akan menjadi milik kerajaan dan rakyat Kelantan,” ujarnya.

Beliau juga mendesak Ketua Audit Negara menyiasat akaun Petronas bagi mendapat gambaran lanjut mengenai jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan.

Husam turut mengulangi Petronas dikerah menyiapkan pembinaan menara berkembar Kuala Lumpur City Centre melibatkan perbelanjaan RM5 bilion.

“Namun anehnya selepas siap Petronas diarah pula membayar sewa ruang pejabatnya di KLCC kepada seorang jutawan yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bekas perdana menteri terbabit betul-betul perah susu daripada Petronas,” katanya.

Penduduk Pengerang mahu rayu kes alih tanah kubur

Hazayani Zakaria, 12 Dis 2012

Sebahagian penduduk Pengerang di hadapan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

KUALA LUMPUR: Penduduk Pengerang akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung keputusan Kerajaan Negeri Johor mengalih perkuburan bukan Islam di Teluk Kemang, Kampung Jawa dan Sungai Buntu di Pengerang.

Rayuan yang akan dibuat itu ekoran Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak semakan kehakiman penduduk berhubung keputusan kerajaan negeri yang dibuat pada Julai lalu.

Hakim K Kunalan A/L Muniandy menolak dengan kos permohonan penduduk atas alasan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) belum memuktamadkan pengalihan kubur-kubur berkenaan kerana tiada arahan rasmi dikeluarkan.

Semakan kehakiman dipohon empat wakil penduduk iaitu Chong Chun Yet, Hong Thian Hwa, Chong Ah Sin dan Lim Kui Hak dengan diwakili peguam Hassan Karim.

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Pengerusi NGO Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap), Mazlan Aliman berkata, pihaknya sentiasa menyokong perjuangan penduduk mempertahankan tanah mereka daripada diambil kerajaan.

"Saya sangat simpati dengan nasib penduduk Pengerang yang dizalimi oleh Kerajaan BN. Ada beberapa kes lagi yang dalam perbicaraan mahkamah.

"Ia juga termasuk perkuburan Islam dan perpindahan penduduk fasa ke dua," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Justeru, Mazlan berkata, Mantap akan mengadakan persidangan sidang bulat di Johor Bahru pada 30 Disember ini bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pengambilan tanah, perkuburan dan masa depan penduduk yang majoriti merupakan penduduk asal kampung-kampung tersebut.

"Persidangan meja bulat ini akan melibatkan wakil-wakil NGO dan penduduk Pengerang dan pembentangan akan dibuat oleh peguam dan resolusi sidang akan dikeluarkan," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, Mantap juga merancang untuk bertemu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi berbincang mengenai Kampung Pengerang yang merupakan kampung tradisi yang didiami lebih 100 tahun.

"Mampat ingin berbincang dengan Datuk Seri Rais Yatim agar Pengerang boleh digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memandangkan ia sudah lebih 100 tahun wujud," katanya.

Pusat judi di P Pinang dibuka secara tiba-tiba

Mohd Sabri Said, 12 Dis 2012
PULAU PINANG: Pelbagai pihak melahirkan  kerisauan mereka apabila secara tiba- tiba permainan 'judi mesin slot' beroperasi semula di kebanyakan lokasi di Pulau Pinang.

Persoalan ini timbul di ruang fikiran masyarakat Islam mahupun bukan Islam yang tahu tabiat buruk permainan berkenaan terutamanya melibatkan pelajar ataupun remaja.

Tinjauan Harakahdaily  ke Bukit Mertajam baru- baru ini mendapati, puluhan rumah kedai yang beberapa bulan lalu menutup operasi kini membuka semula kedai-kedai mereka.

Mereka bimbang ada sindiket tertentu terlibat di belakang kerja-kerja ini.

Ada juga yang menuduh, ia berlaku apabila ada pihak tertentu yang membuat janji untuk memberikan sokongan kepada taukeh judi untuk membuka perniagaan mereka.

Seorang penduduk sebuah taman di Bukit Mertajam yang mahu dikenali sebagai Zaki berkata, masalahnya sekarang ramai anak muda termasuk pelajar sekolah mula membanjiri tempat tersebut untuk berjudi.

Ramai pelajar berkenaan ialah pelajar Melayu berbanding kaum lain seperti Cina dan India.

"Saya rasa malu bila mendapati ramai pelajar sekolah berpusu-pusu memasuki tempat berkenaan.  Ia menjadi keseronokan mereka di waktu cuti persekolahan, " terangnya malu dengan kaum lain.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali dengan nama Ong menyifatkan, sepatutnya pihak berkuasa melarang terus gejala yang merosakan generasi muda yang bakal menjadi kepimpinan negara.

"Apa akan terjadi kepada generasi muda tidak kira apa etnik sekalipun kerana yang utama mereka adalah kepimpinan masyarakat pada masa depan, " katanya.

Phang: Tubuh JK bebas siasat dakwaan Musa

Harakahdaily, 12 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan Malaysia menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan pendedahan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Ianya berkaitan dakwaan terhadap bekas anggota penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar dalam projek komunikasi bernilai ratusan juta ringgit.

"Pendedahan Tan Sri Musa Hassan agak mengejutkan kerana ia sekali lagi mengundang persoalan bagaimana ada pihak lain boleh mengarah dan mengugut pegawai polis untuk mengikut telunjuk pihak tertentu.

"Jika bekas KPN sendiri tampil mendedahkan segala kepincangan tersebut, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dan dakwaan tersebut amat serius dan perlu diberi perhatian," kata ketua penerangannya Riduan Mohd Nor.

Projek ratusan juta ringgit itu didakwa melibatkan PDRM serta penglibatan Apco Worldwide- sebuah firma perunding yang didalangi pemimpin Zionis-Israel dalam projek menukar sistem analog kepada digital.

Musa sebelum ini mendakwa Phang mengarahkan pegawai polis meluluskan projek komunikasi tersebut, dan mengugut pegawai polis berkenaan untuk ditukarkan dalam masa 24 jam jika tidak meluluskan projek tersebut.

Musa mendakwa, keengganan pegawai polis meluluskan sistem itu kerana sistemnya tidak lengkap menyebabkan pegawai itu ditukar kepada pegawai lain apabila hal tersebut diadu kepada Tan Sri Ismail Omar.

"Ia juga menghairankan bagaimana Ketua Polis Negara boleh mengikut telunjuk pihak luar dalam memastian projek beliau diluluskan?

"Kerajaan tidak lagi boleh berdiam diri kerana isu ini sudah sampai ke pengetahuan rakyat. Malah, masyarakat antarabangsa juga sudah mula mempersoalkan kewibawaan dan kredibiliti PDRM yang dianggap boleh disuruh dan dijual beli sesuka hati," katanya.

Buku baru Zunar 'Lawak & Lawan' tekan isu rakyat

Harakahdaily, 12 Dis 2012

(Buku terbaru Zunar, Lawak & Lawan)


KUALA LUMPUR: Berbeza dengan buku-buku sebelum ini, buku kartunis Zunar kali ini, 'Lawak & Lawan' mengolah isu dari perspektif rakyat.

"Dari segi kandungan dan mesej ia tetap sama dengan karya-karya sebelum ini, iaitu rasuah, salahguna kuasa dan kezaliman kerajaan BN.

"Cuma pendekatannya sedikit berbeza kerana saya lebih menekankan hati naruni rakyat," kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkifly Anwar Ul Haq dalam satu kenyataannya.

Menurut Zunar, secara ringkasnya banyak kartun-kartun yang menggambarkan bagaimana rakyat menanggung derita akibat rasuah oleh pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroni mereka.

"Sebagai kartunis, saya punya tanggungjawab untuk berjuang bersama rakyat bagi menjatuhkan Barisan Nasional,"tambahnya.

Majlis pelancaran buku ini akan diadakan pada 15 & 16 Dis (Sabtu & Ahad) di compound Amcorp Mall (menghadap tasik, Ground Floor belakang Mc Donald) dari jam 11 pagi hingga 9 malam, kedua-dua hari.

"Saya berharap peminat, penyokong dan orang ramai dapat memberi sokongan untuk hadir dan membeli buku ini," kata Zunar lagi.

'Lawak & Lawan' diterbitkan dalam dua bahasa, iaiatu Bahasa Melayu dan Inggeris.

Buku setebal 108 muka surat dan penuh warna ini dijual dengan harga RM25 senaskah.
Pembelian online boleh dibuat melalui laman web www.zunarcartoonist.com.

Isu MyKad: JPN akur, buka kaunter pendaftaran

Muhamad Faizal, 12 Dis 2012
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akhirnya akur dan menyediakan enam kaunter pendaftaran kepada peserta himpunan duduk bantah bagi tujuan pendaftaran permohonan kad pengenalan biru.

Kaunter tersebut dibuka di hadapan pintu utama JPN setelah perbincangan dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang bertemu dengan Ketua Pengarah JPNM, Datuk Jariah Mohd Said.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, keputusan itu dicapai selepas yang perbincangan dengan pihak JPN hari ini.

"Satu keputusan terbaik telah kita terima apabila pihak JPN bersetuju untuk membuka kaunter bagi tujuan pemohonan MyKad.

"Sebanyak enam kaunter dibuka dan ini bagi mempermudahkan menerima permohonan dan jika dokumen yang dibawa tidak lengkap maka ia boleh dilakukan esok," jelasnya.

Dalam pada itu JPN akan memberi jawapan dalam masa dua minggu dari tarikh permohonan hari ini.

Sebelum itu hampir 1000 orang berhimpun di ibu pejabat JPN pagi tadi bagi mendesak kerajaan menyelesaikan masalah 300,000 masyarakat India yang tidak mendapat hak kewarganegaraan.

Kumpulan mereka yang rata-ratanya dari kaum India, sebelum itu berarak daripada kawasan berhampiran Istana Kehakiman dan turut disertai pemimpin Pakatan Rakyat.

Mereka yang hadir dari beberapa negeri dari seluruh negara itu berarak sambil membawa replika kad pengenalan merah pemastautin tetap yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hisammuddin Hussein.

Sementara itu, berlaku sedikit ketegangan apabila sekumpulan perserta marah dengan tindakan pihak yang menutup pintu utama ke jabatan.

Bagaimanapun keadaan dapat dikawal oleh pemimpin yang hadir.

Antara yang hadir termasuklah Naib presiden PKR N Surendran, Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, R Sivarasa (Subang), Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin (Ampang), Charles Santiago (Klang), Adun Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, M Manoharan (Kota Alam Shah) dan Latheefa Koya.

Dari PAS pula termasuk Khalid, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad serta Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmood.

Bagaimanapun selepas perbincangan, hanya beberapa orang dari mereka dibenar masuk kebangunan untuk mengadakan pertemuan dengan wakil jabatan itu.

Perantau ucap takziah buat keluarga Engku Ibrahim

Harakahdaily, 12 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor kira-kira jam 8.30 malam tadi.


Setiausaha Perantau, Shuhaimi Embong berkata Engku Ibrahim adalah anak kelahiran Besut yang boleh menjadi contoh kepada rakyat negeri itu di perantauan yang berjasa kepada negara dan berjaya menaikkan nama anak Terengganu di perantauan.

Jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara hari ini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 15 April 1932 di Besut meninggalkan seorang balu Tengku Zahab dan enam orang anak, empat daripadanya lelaki.

Beliau memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun dari 1989 hingga 2011 dan muncul menerusi RTM untuk mengumumkan tarikh penting kepada umat Islam di negara ini seperti berpuasa Ramadan, Idul Fitri dan Idul Adha.

Felda saman, Mazlan sedia ke mahkamah

Hazayani Zakaria, 12 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempertahankan dakwaan bahawa Felda menjual minyak sawit mentah kepada syarikat Israel.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga tidak akan memohon maaf, menarik balik dan menawarkan pampasan setimpal kepada Felda seperti yang diminta Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Samad.

"Kalau Felda minta saya minta maaf dalam masa 14 hari, saya tak akan buat begitu.

"Saya tak akan berganjak dari dakwaan saya dan saya bersedia dengan bukti lengkap untuk dibawa ke mahkamah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Felda pada semalam dan kelmarin menghantar notis tuntutan kepada Mazlan, akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Dalam notis tersebut, Felda memberi tempoh 14 hari kepada pihak terbabit untuk memohon maaf, menarik balik kenyataan itu dan menawarkan pampasan yang setimpal kepada Felda di atas tindakan mereka.

Jika pihak terbabit gagal berbuat demikian, Felda akan mengarahkan pihak peguam meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tindakan tersebut menunjukkan Felda berada dalam keadaan terdesak.

"Ini hanya menampakkan Felda terdesak sehingga mengambil tindakan undnag-undang sedangkan kita ada bukti.

"Saya juga berasa lucu dengan kenyataan Isa Samad bahawa invois yang saya dedahkan itu berkaitan getah, bukan kelapa sawit.

"Bagaimana dia seorang pengerusi tidak tahu urusan jual beli yang dilakukan Felda," katanya.

Rakyat Kelantan perlu serius laksana Islam – ulama Syria

Aslani M | Foto Zamani, 12 Dis 2012
KOTA BHARU: Ulama terkenal Syria, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuuni melahirkan rasa bimbang akan diturun bala oleh Allah Taala apabila ada orang Islam yang membisu terhadap perkara-perkara batil.

“Kalau kita diam di atas perkara batil yang berlaku di hadapan mata kita dibimbangi Allah akan menurunkan bala ke atas kita.

“Oleh itu rakyat Kelantan hendaklah bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum Islam. Apabila hukum tersebut dilaksanakan Allah Taala akan menurunkan rahmat,” katanya pada program solat hajat dan ceramah perdana di Putik malam tadi.

Program berkenaan dianjur Dewan Pemuda PAS Kelantan. Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman.

Program bermula solat Isyak berjemaah kemudian diikuti solat hajat.

Syeikh Muhammad Ali yang juga pengarang tafsir Sofwah At-Tafasir turut meluahkan rasa sedih apabila ada negara umat Islam yang membisu terhadap kekejaman yang berlaku di Syria sekarang.

Katanya, seluruh dunia membisu biar pun lebih 200,000 rakyat Syria menjadi mangsa korban kerangkusan Bashar Hafez al-Assad bagi mempertahankan kuasanya.

“Maka tidak hairanlah umat Islam di Syria sekarang hanya mengharap pertolongan Allah Taala. Namun kita yakin orang yang melakukan kezaliman akan ditimpa bala,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengajak umat Islam di seluruh dunia membantu rakyat Syria dengan apa sahaja yang termampu dilakukan.

Sebaik selesai program berkenaan orang ramai bersesak-sesak meluru ke pentas utama bagi menghulur sumbangan kepada ulama terbabit

Ucapannya dalam bahasa Arab sambil duduk di kerusi disebabkan keuzuran diterjemahkan Ustaz Nazmi Karim dari Selangor.

Beliau berada dua hari di Kelantan dalam siri jelajah bagi mendedahkan isu mengenai Syria.

Semalam beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri. Dan hari ini beliau diundang ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri.

'Kita lawan Umno, tapi Umno jadi pengadil'

Nazri Abdullah, 12 Dis 2012
PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu pemuda Umno memegang jawatan dalam suruhanjaya itu.

Ianya merujuk kes Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah.

Memorandum itu antara lain mahu SPR bertindak profesional membersihkan suruhanjaya itu dari dikaitkan dengan parti politik tertentu apatah lagi selaku pengendali dan 'orang tengah' dalam pilihan raya.

Penyerahan itu diketuai Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan kepada Timbalan Setiausaha (Pilihan raya) SPR, Datuk Noordin Che Ngah selepas pertemuan kira-kira 20 minit di pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini. (Gambar)

Turut serta dalam pertemuan itu Timbalan Ketua Pemuda Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Exco Adram Musa serta Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.

"Bagi kita selaku parti yang menyertai pilihan raya, sudah tentu kita risau. Kalau dia (Aksyah) ahli biasa tidak apa, tapi ini pemimpin Umno.

"Kita nak berlawan dengan Umno dalam pilihan raya, tiba-tiba orang Umno yang menjadi 'pengadil'," kata Nasruddin.

Beliau turut menjelaskan, memorandum hari ini juga sebagai makluman awal kepada SPR agar menyiasat kemungkinan banyak lagi kes serupa membabitkan pepimpin kanan Umno yang terlibat memegang jawatan dalam suruhanjaya itu.

"Jika benar kes ini, SPR kena ambik tindakan sekurang-kurangnya individu terlibat perlu resign dalam SPR jika dia masih mahu kekal dalam Umno," katanya.

Sementara itu, Noordin dalam responsnya memberi jaminan bahawa SPR akan menyiasat kes itu.

SPR juga jelasnya, sedang membuat semakan berhubung perkara yang berbangkit itu di peringkat Sabah.

"Pengerusi SPR akan mengeluarkan kenyataan khusus tentang hal ini nanti," katanya.

Mishal berkemungkinan kekal pemimpin Hamas

Terjemahan Mohamad Yahya, 12 Dis 2012
RAMALLAH: Ia hanya menunggu masa yang sesuai sebelum Khalid Mishal menarik balik keputusan beliau untuk berundur sebagai ketua biro politik Hamas, menurut sumber Palestin.
Ramai yang membuat panggilan untuk penarikan balik Mishal dari kedua-dua pihak dalaman Hamas dan dari negara-negara Arab dan serantau.

Negara-negara seperti Mesir, Turki dan Qatar mendesak Mishal untuk kekal sebagai ketua Hamas, dan tampaknya Ikhwanul Muslimin di Mesir juga condong kepada pilihan ini.

Sumber-sumber menambah bahawa "tekanan yang dikenakan ke atas Mishal [untuk kekal tidak putus-putus", namun mereka menafikan bahawa perkara itu telah diselesaikan, menjelaskan bahawa "pilihan raya dalaman Hamas telah terhenti sejak awal keganasan Israel di Semenanjung Gaza, dan ia masih ditangguhkan".

Mishal tiba di Gaza Jumaat lepas dalam lawatan yang digambarkan Hamas sebagai bersejarah. Mishal disambut sebagai wira dan menguasai program tanpa cabaran walaupun dari pesaing terdekat biro politik, petunjuk penting kedudukannya dalam Hamas.

Kedudukan Mishal menjadi lebih kukuh selepas perang terbaru di Gaza, di mana beliau memainkan peranan utama dalam rundingan gencatan senjata dan merupakan tokoh penting pertemuan pegawai-pegawai kerajaan dari seluruh dunia.

Sumber-sumber itu menjelaskan bahawa "perang baru-baru ini dan perubahan besar yang telah berlaku dalam Hamas mungkin menyebabkan Mishal untuk menarik balik keputusannya". (Asharq Al-Awsat)

Tiada ulasan: