Indeks Rasuah 2012: Turki naik tujuh anak tangga
Terjemahan Mohamad Yahya, | 06 Dis 2012 |
Polis membawa dokumen ke mahkamah dalam satu siasatan kes rasuah melibatkan sembilan pegawai perbandaran yang ditahan pada 1 Oktober di wilayah barat Balikesir. (Photo: Cihan, Aydınışık Kadir)
Menurut Indeks Persepsi Rasuah 2012 (Corruption Perceptions Index 2012) yang dikeluarkan Rabu lalu, kedudukan Turki lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dengan skor 49 daripada 100.
Menurut Indeks Ketelusan Rasuah (Corruption Transparency Index) tahunan ke-18 yang disediakan oleh Transparency International (TI), Turki berada di tangga ke-54 dalam kalangan 176 negara, pada tahun 2011 ia menduduki tempat ke-61 dalam senarai 182 negara. Greece yang kini menghadapi krisis kewangan terburuk dalam sejarah berada di kedudukan terendah dalam kalangan negara-negara Eropah dengan kedudukan di tangga ke-94.
Bercakap kepada Todays Zaman, Tinatin Ninua, Penyelaras Serantau untuk Eropah Tenggara di TI di Berlin, berkata bahawa dari membuat perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya, kita harus melihat bagaimana Turki berbanding negara-negara lain dan negara-negara jiran. Sambil menekankan bahawa skala mereka telah berubah tahun ini, Ninua berkata, "Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam tahap persepsi rasuah di Turki, mereka yang menjalankan perniagaan di Turki masih menyebut rasuah sebagai satu masalah." Menurut beliau, "Skor yang lebih positif datang dari daya saing dan Forum Ekonomi Sedunia serta kerana peraturan perniagaan yang dipermudahkan di Turki."
Merujuk kepada skor untuk Greece - yang terendah dalam kalangan"EU 27"- Ninau berkata," Keadaan ini mempunyai kaitan langsung dengan krisis ekonomi yang berterusan di Greece "Dia juga. menyatakan, "Walaupun Greece, Itali, Bulgaria telah merosot, negara yang di atas Turki juga amat penting," ujar beliau yang turut menyatakan keinginan untuk melihat kedudukan yang lebih baik untuk Turki.
Sebagai sebuah organisasi masyarakat global sivil yang mengetuai perjuangan menentang rasuah, Indeks Persepsi Rasuah TI mengukur tahap persepsi rasuah sektor awam di negara-negara di seluruh dunia. Seperti tahun sebelumnya, tahun ini, Denmark, Finland dan New Zealand berkongsi tempat pertama dengan skor 90, manakala Afghanistan, Korea Utara dan Somalia berada di kedudukan terakhir dengan skor sebanyak 8. Ninua berkata bahawa dalam indeks, untuk pengiraan skor Turki, sembilan sumber yang berbeza telah digunakan antaranya kajian ahli perniagaan dan pakar-pakar.
Menurut TI, yang mempunyai lebih daripada 90 pejabat di seluruh dunia, dua pertiga daripada 176 negara yang disenaraikan dalam indeks 2012 mempunyai skor bawah 50, yang menurut TI ini menunjukkan bahawa institusi awam perlu lebih telus dan pegawai harus lebih bertanggungjawab. (todayszaman.com)
Pemberi penerima rasuah masuk neraka
PETIKAN TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID SELURUH NEGERI MELAKA
TAJUK KHUTBAH : RASUAH
Dan peringatan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud 'pemberi rasuah dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka.'
Mereka bukan sahaja berdosa kepada Allah subhanahua ta'ala, bahkan mereka juga akan disoal di padang mahsyar kerana amanah rakyat yang mereka khianati.
Ingatlah, perbuatan rasuah itu membawa kepada kemurkaan Allah dan juga bakal menghancurkan masyarakat, agama dan negara.
Pengamal rasuah akan sentiasa terdedah kepada risiko sakit jiwa, akibat perasaan takut yang sentiasa menghantui diri mereka.
Hidup pengamal rasuah akan sentiasa diselubungi kebimbangan.
Di dalam Islam mereka yang menghadapi masalah seperti ini dianggap menerima bala'.
Firman Allah subhanahua ta'ala telah menegaskan di dalam kitab suci Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud : " dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan jalan dosa padahal kamu mengetahui ".
Perbuatan rasuah dianggap sebagai melanggar amanah dan dalam Islam melanggar amanah termasuk ke dalam golongan munafik, Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan muslim yang bermaksud " tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-kata, dia berdusta, apabila berjanji, dia mungkir, apabila diberi amanah, dia khianati.
Oleh kerana itu, pada hari ini sama-samalah kita membina keperibadian diri agar kita tidak terlibat dengan rasuah dan mencari rezeki yang tidak halal samada sebagai pemberi rasuah, penerimanya atau perantaranya. Kerana Allah dan rasulnya melaknat ketiga-tiga golongan tersebut.
Sumber :
http://www.al-azim.com/masjid/khutbah24.html
http://mutiaraislam.wordpress.com/seruan-minda/seruan-minda/
Karib Pak Lah pula sertai PAS
Subky Latif, | 06 Dis 2012 |
Kata mereka, banyak yang dia sudah tidak suka tentang UMNO.
Tanya saya, tidakkah dia juga mahu bersama Pakatan Rakyat kalaupun tidak menyertai PAS? Yang baiknya biarlah dia menyertai PAS, jika dia tidak dapat bersama PAS memadailah dia menjadi kerabat Pakatan Rakyat.
Mereka tidak dapat hendak mengagak adakah dia hendak terjun ke dalam perjuangan menuntut perubahan, menegakkan keadilan dan kebebasan.
Bagi mereka, setakat dia sudah tidak minat kepada UMNO sudah dikira baik untuk kita.
Takjub juga saya tentang seorang yang pernah mendapat kedudukan dan layanan baik dari kerajaan sebelum dipimpin Perdana Menteri Najib boleh tawar hati kepada UMNO dan kerajaannya.
Sebaik saja selesai Perhimpunan Agung UMNO yang mengikut Najib, dengan semangat dalam perhimpunan itu adalah tanda UMNO sudah pulih malah lebih berpengaruh da ri masa-masa sebelumnya, maka meletup satu bom yang mengganggu kegembiraan UMNO itu.
Akhbar melaporkan Datuk Abdul Rahman menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presidennya di Batu Pahat.
Setahu saya dia orang Pulau Pinang. Mengapa pula dia boleh ke Batu Pahat bagi menyerahkan borang menyertai PAS?
Terharu rasanya, apa yang dikatakan oleh rakan-rakan di Pulau Pinang itu mengesahkan Datuk Abdul Rahman sudah meninggalkan UMNO dan apa yang saya harapkan dia menyertai PAS telah bersama PAS dengan izin Allah.
Apa yang mengharukan lagi ialah ketika hasil Muktamar PAS dicincang oleh pemimin UMNO dan selepas Perhimpunan Agung UMNO mendengar sekalian pemimpin UMNO membotok PAS, Datuk Abdul Rahman nekad masuk PAS.
Layaknya selepas PAS dicincang selumat-lumat, tiada lagi orang mahu bersama PAS. Tetapi sebaliknya, bukan Datuk Abdl Rahman Maidin saja terjun ke medan PAS, tiga lagi orang yang rapat dengan kerajaan ikut menyerahkan borang PAS bersamanya.
Yang menariknya seorang bekas pegawai kanan Felda Mohamad Sais Jonid antara yang baru menyerah borang. Pada ketika Felda dicanang Najib mencapai kejayaan gemilang, diseranaikan di bursa saham, dikatakan orang Felda amat bertuah dan macam-macam insentif lagi diumumkan bagi menggandakan kemajuan Felda, bekas Pegawai Felda pun tak mahu lagi kepada UMNO.
Yang berlaku itu seperti UMNO dibomlah. Ia reaksi pertama selepas semua bom diletupkan UMNO dalam perhimpunannya, ia kena letup. Tak sempat setengah perwakilan sampai ke rumah untuk menyenangi hasil perhimpunan, ia kena bom di Batu Pahat.
Dengan menghempapkan semua keburukan kepada PAS, sepatutnya orang PAS lari daripadanya dan tiada lagi orng hendak menyertai PAS. Orang PAS bencikan PAS seperti Hasan Ali dan kawannya tidak masuk UMNO, orang-orang di bawah dagu UMNO pula masuk PAS.
Mereka tidak termakan dengan tohmah kononnya doa PAS mahu UMNO KO adalah tidak Islamik.
Datuk Abdul Rahman itu orang Pulau Pinang. Jika didengar ceritanya, orang Melayu Pulau Pinang amat benci kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan amat meluat dengan kerana menjadi kuda tunggangan PAS. Tapi orang Melayu Pulau Pinang bergelar Datuk pula menyertai PAS. UMNO kata Johor bukan bumi sebur untuk PAS, tapi Datuk Rahman bersama tiga lagi pergi ke Johor untuk mengumumkan mereka masuk PAS.
PAS wajar menginsafinya dan mensyukurinya. Semuanya dengan izin Allah.
Meninjau kembali – ‘Revisiting’ - MTP dan PAU
Dr Dzulkefly Ahmad, | 06 Dis 2012 |
Pelbagai analisis telah mula terbit dalam segenap media cetak, elektronik serta media sosial, dari sisi-sisi pandang yang serba rencam dan menarik. Umum menyaksikan kesemua ini, sebagai satu yang lumrah, mentelahan pilihanraya ke-13 semakin hampir. Menyebutkan bahawa PRU ke-13 ini sebagai paling getir dan sengit bukan lagi sebutan yang ada nilai-tambahnya kerana sudah sedia dimaklumi umum.
Tentunya setiap pandangan dan analisis mewakili sesuatu anutan dan kepercayaan politik meskipun yang melontarkan ide-ide tersebut adalah orang akademik atau pihak ‘think-tank’ yang lazim mendakwa mereka bebas dan tidak partisan atau berpihak.
Penulisan ini tidak bercadang untuk mendakwa analisis ini bebas kepentingan politik. Tentunya tidak. Namun penulis berharap bacaan sehingga ke hujung nanti jelas mempamerkan cita-citanya memupuk pencerahan minda tanpa ‘fear atau favour’ dengan izin, atau rasa takut dan gentar kepada cemuhan dan kritik dari mana pun datangnya.
Justeru kerana had dan ruang yang terbatas pilihan tajuk adalah diakui ‘selektif’. Tidak semua yang akan dapat disebut dan tentunya ada yang berasa tidak puas.
Dari hal Muktamar (MTP) da Perhimpunan (PAU)
Kedua-dua MTP dan PAU didahului oleh Pemuda dan Wanitanya.Bezanya, sementara PAS mempunyai Dewan Ulama’ yang turut bermuktamar, Umno memilikki Puteri yang juga bersidang sebagai dewan.PAS belum lagi mengangkat ‘Amirah’nya untuk bersidang sebagai dewan lagi seperti ‘Puteri’.
Meskipun ada perkara-perkara menarik yang wajar dirakamkan, ada baiknya ia tidak mendahului analisis Ucapan Dasar kedua-dua Presiden PAS dan Umno. Sebagai rekodnya, MTP bermuktamar di PUTIK atau Pusat Tarbiyah Islam Kelantan sementara Umno berhimpun di PWTC yang menjadi lambang kemegahan parti Melayu terbesar itu.
Dari hal Ucapan Dasarkedua-dua Presiden
Tidak wajar bagi penulis menyatakan bahawa di segi Ucapan Dasar; Presiden PAS boleh diberi markah yang lebih baik dari Presiden Umno. Anda boleh sahaja memilikki penilaian yang berbeza, namun hati kecil anda tetap akan mengakui bahawa Presiden PAS, yang diakui umum kehebatan berpidatonya, tidak perlu meninggikan suaranya dan berteriak lebih dari yang diperlukan.
Emosinya lebih terkawal meskipun membuat ucapan muktamar terakhir sebelum perang besar untuk bertempur lawan. Sukar bagi penulis untuk memberikan komentar yang sama kepada Presiden Umno yang tampaknya sangat tertekan dan desperate sekali untuk ‘tenteranya’ faham benar-benar ucapannya. Semacam itu penentu segala kalah menang, hidup-mati partinya. Namun peli9knya,ia akhirnya tidak bersabit seteru atau lawan tapi dari hal ‘tentera’nya sendiri yang beliau kata ‘lebih saya takuti’.
Maka, sementara Presiden PAS menerangkan ‘road-map’nya ke Putrajaya dan bagaimana untuk berjaya ke situ, Presiden Umno membelasah lawannya cukup-cukup pada awalnya tetapi berakhir dengan memberi ‘kata-dua’ serta mengancam yang bakal belot kerana ‘tidak dipilih bertanding’. Beliau tegaskan bukan sahaja mahu menang tapi menang dengan 2/3 majoriti di parlimen.Mengapa dan juga bagaimana untuk ke situ, tidak sangat dihuraikan. Dua ucapan yang sangat berbeza dari sudut gaya, isi dan penekanan.
Ucapan Dasar Presiden PAS disambut baik oleh pelbagai pihak.Mantap, menyeluruh dan jelas, kata mereka. Penulis kesempatan menerima ucapan tahniah untuk Tuan Guru Presiden dari kawan-kawan merentasi kaum dan agama, pihak awam, swasta, usahawan dan golongan korporat bahkan sms dan tweets dari dekat dan jauh; Singapura, Indonesia, Dubai, Australia dan Eropah.
Ucapan Presiden Umno lebih menarikdianalisis dengan mendalam.Anda berhak memberi penilaian secara jujur dan terbuka. Menyebutkan bahawa “Umno lebih tertib dari PAS, lebih demokratik dari PKR dan lebih inklusif dari DAP” merupakan dakwaan yang begitu berani oleh Presiden Umno.
Amat mengejutkan lagi apabila beliau mendakwa dirinya penyelamat negara dari kemelut ekonomi global, berjaya mengeluar negara dari ‘perangkap pendapatan sederhana’ dan kini kea rah pacuan ekonomi berprestasi tinggi. Lebih mengejutkan apabila beliau mendakwa lebih baik dari seteru ketatnya sebagai seorang Menteri Kewangan sebab diukur di segi defisit fiskal, hutang Pusat dan kadar pertumbuhan, beliau nyatagagal dan ketinggalan berbanding seterunya.
Presiden Umno itu tidak melepaskan peluang menghubung perjuangan parti itu dengan Islam bahkan mendakwa ‘Umno lebih Islamik dari PAS’.Cubaannya amatganjil dan tidak enak didegar kerana umum sukar mendamai tuntutan Islam dengan perbuatan dan tabiat penguasa dan elit tertingginya parti itu.Tentunya tidak boleh.
Sukar memahami kalau Islamlah yang dijadikan dasar dan ikutan Umno yang dipimpinnya, maka apakah Islam juga yang patut dipersalahkan umum dengan saratnya rasuah dan salah guna kuasa oleh partinya–‘penagihan’ yang telah menjadi sinonim dengan gelagat dan tabiat elit pemimpin parti Melayu itu di seluruh peringkat sampai ke pemimpin bahagaian dan cawangan parti.
Dalam suasana serba ‘desperate’ itu, mahu saja Presiden Umno ini memadam hakikat bahawa dasar partinya ‘Ketuanan Melayu’ (Malay Supremacy) dan slogannya ‘Hidup Melayu’ dan ideologinya Nasionalisme Melayu. Tidak dinafikan Umno cuba berubah, mentelahan berhadapan dengan satu pilihanraya yang mengancam kesinambungan kuasa dan kerajaannya.Tetapi itukan satu cita-cita lebih tepat lagi omongan dalam situasi terdesak seperti hari ini yang belum lagi berupa realiti.
Permohonan maafnya dalam bahasa kiasannya tentang ‘bumi mana tidak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak..’ diharapkan beliau akan menimbulkan ihsan-belas rakyat kepadanya dan pemimpin partinya untuk mereka di’ampuni’ oleh rakyat. Apakah ‘dosa-dosa’ mereka tidak pula disebut oleh Presidennya. Keputusan PRU nanti akan menentukan apakah semudah itu untuk rakyat memaafkan penguasa politik yang kini hanya bergantung harap kepada sokongan orang Melayu.
Paling tidak sopan apabila Presidennya tidak melepaskan peluang mengancam rakyat, khasnya orang Melayu supaya tidak menjalankan ‘uji-kaji’ atau ‘mencuba-cuba’ dengan pertukaran kerajaan.5 tahun masa yang lama tegas beliau. Ancaman sama dibuat oleh Timbalan dan Ketua Wanitanya terlebih dahulu.
Ketua Wanita langsung menyebutkan tentang 13 Mei sebagai ‘hantu’ atau ‘bogey’ menakutkan rakyat supaya ‘tidak berubah’ dan kekal dengan Umno-BN. Apakah slogan ‘Katakan Tidak kepada Pakatan’ bakal menerima nasib yang sama kepada katakan ‘Tidak’ kepada kempen anti-rokok? Kalau rokok yang buruk itu pun gagal, apatah lagi Pakatan yang rakyat ‘kecapi nikmat’nya di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Aduhai Presiden Umno….
Dari hal perbahasan Perhimpunan dan Muktamar
Penulis juga akan berterus terang tentang hal muktamar dan perhimpunan. Tidak ada baiknya kalau penulis sekadar ‘bermanis mulut’ atau cuba untuk ‘spin’ satu yang tidak benar. Demi perjuangan dan pencerahan minda rakyat, penulis akan menyatakan ‘qaulan sadida’ – ‘perkataan yang benar’ tentuya dari sisi pandangnya yang sifatnya ‘nisby atau relatif’ dan ‘tidak absolute’. Jangan melenting..relaks dan terima sebagai ‘input luar’ yang tidak menuntut bayaran ‘intellectual property’.
Perbandingan perbahasanMTP dan PAU menyerlahkan perbezaan ketara. Sementara perwakilan PAS dalam MTP bebas menyuarakan apa jua yang dirasakan dekat dihati pengucap dari negeri-negeri dan dewan-dewan, termasuk dari Dewan Perhimpunan PAS Pusat(DHPP) yang mewakili mereka, ternyata pada kali ini, Umno telah ‘stage-managed’ atau ‘menyusun-atur’ ucapan perwakilan2nya dalam PAU itu.
Jelas PAU mempunyai ‘advantage’ di segi ini kerana dapat mengambil iktibar dari pengalaman MTP yang berlangsung lebih awal.Umno kelihatan ‘mengawal’ isi serta fokas pengucapnya.Tidak seperti lazim, contohnya seperti PAU yang lalu, perwakilan bebas mengangkat isu NFC dan rasuah pelbagai pihak.Tidak pelik kalau tidak ada sesiapa pun yang berani menyinggung isu-isu kepincangan tadbir-urus kerajaan BN dan hal-hal dalaman parti tersebut.
Keseluruhan perbahasan baik di peringkat Dewan Pemuda, Wanita atau Puteri adalah menjuruskan serangan kepada seteru dan musuh sekaligus mengalih pandangan umum terhadap ‘kepincangan’ lawan politiknya. Umno sangat licik menggunakan kaedah itu sehingga dilihat mereka sangat berpadu dan bersatu hati.Penulis terasa kelakar gelagat PAU ini terutama penulis-penulis kolum yang merakamkan pemerhatian tersebut.Semangat untuk mengekalkan kuasa politik Umno-BN menyatukan semua tambahan dibakar habis-habisan api peperangan bagi menjayakan cita-cita untuk terus berkuasa.
Amat luar biasa emosi dan tenaga mereka seolah-olah keesokan itu akan terus berperang. Teriakan Hidup Umno!,Hidup Malaysia!, kini ditambah dengan slogan Hidup Rakyat dan Allahu Akbar! Terasa akan janggalnya tetapi itulah perubahan Umno pada saat-saat nyawa dan kuasa sudah di hujung halkum.
Umno kelihatan sangat berkehendak untuk menang justeru tidak mempedulikan isu-isu yang minta diselesaikan oleh rakyat.Tampak PWTC itu agak ‘terpisah’ (aloof-divorce) dari rakyat teramai.Tidak hairan kalau Presiden menggunakan kalimat ‘sudah sampai masanya kita kembali kepada rakyat’ dalam awal ucapan beliau. Penulis ini spontan mengicaukan tweetya ‘Oops..selamaini di mana ya?’.
Sukar untuk menghubung ucapan perbahasan dengan realiti kecuali kalau yang dikatakan adalah apa yang hendak dibuat pemimpin itu dan bukan kerja yang telah dibuat. Kalau mahu diukur ‘kerja buat’ Umno, sangat sukar untuk dipadankan dengan ucapan perwakilan.
Kewujudan kaya-miskin yang terus melebar khasnya dalam etnik Melayu, pembolotan kekayaan secara rakus oleh segelintir manusia kaya-superkaya (rich-superich) di kalangan elit bisnes-politik, kelompok besar yang layak BRIM serta masih ramai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, mendahulukan kepentingan bisnes dari keselamatan-kesihatan rakyat, penularan rasuah-salah guna kuasa dan pelbagai kebejatan tadbir-urus kewangan negara khasnya hutang kritikal kerajaan Pusat, hutang isi-rumah dan korporat-GLCs, adalah lambang kelemahan tadbir-urus kewangan dan pembangunan Umno-BN untuk kesekian lamanya.
Perbahasan dalam PAU, kerana telah ‘disusun-atur’ tidak langsung diizikan menyebut kelemahan pentadbiran Negara.Ia gagal menyuntik keyakinan bahawa Umno ada perancangan serta agenda bertindak untuk menangani gejala dan kepincangan ini. Ini yang ditunggu-tunggu orang Melayu-Islam bukan retorika dan lagu lama bahawa Melayu akan terancam apabila Pakatan mengambil alih kuasa.
Perbahasan MTP lain pula halnya. Benar bagai dek kata.Demokrasi hidup subur dalam PAS dan muktamarnya membuktik hakikat tersebut.Syabas! Namun MTP jelas membuktikan bahawa tidak semua perwakilan ‘berjaya’ mengangkat agenda perubahan yang dihajati Presiden parti itu. Ucapan yang menyeluruh dan terperinci di segi ‘pengarahan’ dan ‘strategi umum’ bagi menghadapi PRU ke-13 tidak disambut dengan perbahasan yang menjurus kea rah memfokas ‘pertarungan’ PRU ke-13. Sebaliknya sebahagian besar perbahasan MTP bersifat ‘dalaman’ yang tidak ‘konstruktif’ kerana sentiasa mencari kelompok ‘yang salah’ (witch-hunting).
Penulis perhatikan bahawa perwakilan kurang berjaya mencerap dan menggarap mesej utama Presiden bahawa PAS berada dikedudukan paling baik dalam jatuh-bangun perjuangan di persada politik nasional. Tawaran “Negara Berkebajikan - Teras Perpaduan” tidak digarap dan terus dimaknakan oleh perbahasan perwakilan dalam pengalaman pemeritahan atau ‘tajribah siasah’ ketika mengecapi sedikit kuasa dalam parlimen ke-12 dalam mentadbir 4 buah negeri Pakatan, khasnya dengan Kelantan yang sudah melepasi dua dekad.
Ternyata dan sesungguhnya bahawa perwakilan ‘terperangkap’ dengan serangan musuh-musuh politik luaran dan ‘dalaman’ yang kerap merobek kepercayaan ahli bahkan mungkin juga segelintir kepimpinan bahawa kononya PAS telah menyeleweng dengan Negara Berkebajikan dan meninggalkan Negara Islam. Serangan bahawa PAS telah luntur, tergelincir dan ‘tidak dominan’ sebenar mengesani psikologi perwakilan dan parti.Bahkan di perhatikan bahawa Majlis Syura Ulama sendiri terpaksa menjawab serangan kuncu-kuncu jahat Umno dengan pernyataan “PAS masih di atas landasan asal perjuangannya”. Pemerhatian penulis juga disokongan sesetengah pengamat politik; ‘Mengapa sampai begini tertekannya PAS?’.
Pasca Muktamar, PAS wajar meninggalkan polemik ini kerana penulis dapati sehingga keluaran mutakhir Harakah, Ketua Dewan Ulama masih melayani serangan Umno ini dengan jawabalas “PAS tidak terpesong dari perjuangan”. Ini sangat merugikan masa dan sumber parti kerana bentuk penerangan yang PAS wajar dayakan seterusnya adalah mengertikan dan memaknakan Negara Berkebajikan dalam bentuk polisi dan progam kerajaan yang kita sedang pimpin dan bakal terus mentadbir.
PAS tidak perlu mengulang-ulang bahawa ‘PAS komited kepada Tahaaluf Siyasi’ kerana tiada siapa yang sangsi kecuali kalau-kalau ada di kalangan ahli dan kepimpinan yang masih tidak puas diterangkan oleh kepimpinan tertinggi parti sendiri.
Di ambang PRUke-13 MTP sepatutnya terus meyakinkan bahawa PAS dan Pakatan adalah alternatif lebih baik dan mampu membawa Negara keluar dari pelbagai kebejatan moral, ekonomi dan kewangan akibat dari tadbir-urus yang bobrok oleh segelintir kepimpinan Umno-BN yang rakus dan tamak.
Namun perwakilan PAS berjaya menonjolkan kepimpinan Umno sebagai tidak mempedulikan perhitungan pahala-dosa, syurga-neraka dan baik-buruk keatas rakyat seluruhnya. Cukup untuk menyerlahkan lambang kebobrokan Umno dengan NFC dan kebobrokan perpaduan BN merompak Negara dengan PKFZ.
Secara retrospektif, paling malang bagi membuktikan bahawa PAS tetap dominan dan ‘bukan melukut tepi gantang’ terdapat dua perwakilan yang secara tidak menghitung kesan baik-buruk politik pilihanraya, dengan tidak dibawa melalui usul, spontan mengesyorkan andainya PAS menang besar sebagai parti utama dalam Pakatan dalam PRU ke-13, maka PAS wajar meletakkan Presiden parti sebagai Perdana Menteri. Sukar menafikan hak perwakilan untuk berbahas perkara ini seperti ini.
Namun cadangan ini semacam menembak dikaki sendiri. Ingat, dalam pertarungan sengit ini, kelompok yang paling kurang membuat silap akan bakal berjaya. ‘Menembak kaki sendiri tidak mengizinkan tentera berperang kerana sudah cedera’.Peringatan Presiden wajar dingatkan acapkali.
Penulis memerhatikan kesemua ini sebagai usaha menjawab-balas serangan musuh dan seteru politik PAS yang menceburui kedudukan PAS yang memposisi perjuangan Islam yang ditengah-tengah persada politik nasional.Sesungguhya, ‘Slogan PAS for All’ dan kini ‘Islam for All’ adalah sangat digeruni seteru politik PAS yakni Umno dan kuncu-kuncunya.PAS terus menempah pelebaran sokongan.
Sokongan Melayu-Islam pertengahan, tambahan kepada Melayu-Islam tegar di ‘Malay belt’, sokongan kaum Cina-India, khasnya terbukti dengan keterlibatan DHPP, adalah antara perkembangan ‘Political Islam” paling menarik dalam pengalaman Gerakan Islam Kontemporari dalam dekad mutakhir ini.
Kekuatan PAS ini harus segera difahami dan dihayati oleh kesemua pimpinan dan ahli serta pendokong PAS, lantas terus mengukuhkan posisi dan pelebaran sokongan parti Islam itu.Melakukan kesilapan berulangkali bakal mencetuskan kesangsian bahkan ketakutan di kalangan pelbagai segmen pengudi yang baru berjinak dengan PAS termasuk DHPP itu sendiri.
MTP dan PAU telah berlalu dan membawa pengalaman dan naratifnya tersendiri. Hanya kelompok yang terus memperbaikki dirinya akan bersedia dan mampu memerintah. Adapun kelompok yang hidup dalam alam khayalannya akan mendapati dirinya diperintah. PAS dan Pakatan kini bersedia memunggah segala sumber dan kekuatan hingga ke garis penamat.
Benar, kemenangan bukan segala-galanya, tetapi segala cita-cita menegakkan Keadilan serta merakyatkan kemakmuran negara berteraskan ‘UbudiyyatilLah’ akan hanya mampu diusahakan setelah kemenangan dan sedikit kuasa dianugerahkan Allah….Ingat doa Nabi Yusuf….Rabbi qad ataitani minal mulki…..
PAS bersedia untuk menunaikan Amanah besar ini dengan izin Allah jua! Takbir! Allahu Akbar!
Dr Dzulkefly Ahmad ialah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Persediaan Umno hadapi PRU13 menakutkan!
Ahmad Lutfi Othman, | 06 Dis 2012 |
Ada tangisan, gelak ketawa, sorakan dan yang juga paling sukar dilupakan apabila Presidennya, Najib Razak kelihatan suka sangat menjerit, menengking, menjerkah dan "meneran".
Saya kira, berakhirnya PAU 2012, corong televisyen tidak bingit lagi dengan gema suara tinggi Najib melaung dan mengherdik. Saya salah. Pengerusi BN itu rupanya masih gian menguji suaranya, mungkin mahu menyaingi lantunan bicara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.
Malam Isnin, 2 Disember lalu, sekitar jam 8 malam, sewaktu saya mula mengedit buku (yang tertangguh lebih empat tahun) mengenai kematian puteri saya, Nurul Syafiqah, dari ruang depan, suara bising Buletin Utama TV3 cukup mengejutkan.
Segera saya meluru bergegas mencari kepastian. Siapa pula mengacau ketenangan hari minggu ini? Nampak urat leher Najib yang tegang. Presiden Umno itu "meneran" lagi. Butir perkataannya tidak begitu jelas. Cuma saya dapat menangkap dia mempertegaskan dirinya sebagai perdana menteri yang prihatin dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.
Biasalah ayat-ayat klise, terutama untuk mendapatkan mandat dalam PRU13 ... tetapi kenapa perlu menjerkah dan menjerit, dengan nada yang menjengkelkan, yang tidak selayaknya dilafazkan oleh seorang negarawan. Saya tidak pasti apakah Najib -- di depan M Keyveas dan ahli-ahli PPP yang semuanya merangkap pemimpin -- mengulangi perisytiharan perangnya lagi. Ya, memerangi rakyat yang ghairah menuntut perubahan dan pertukaran kuasa di Putrajaya!
Rupanya Najib masih berdiri di PWTC, tempat berlangsungnya PAU 2012 yang melabuhkan tirainya sehari sebelum itu (maghrib Sabtu), tetapi kini berucap merasmikan mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk.
Lensa TV menyorot wajah mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Dalam hati terdetik, "hebat orang tua ini." Sebelum itu berhari-hari dia berkampung bersama ahli-ahli Umno sehingga Najib merakamkan penghargaan tinggi buat bekas Perdana Menteri itu semasa ucapan penangguhannya. Dr Mahathir bagaikan penceramah Umno paling aktif sekarang.
Saya menahan diri daripada memandang rendah, apatah lagi memperleceh, keupayaan Umno dan gabungannya dalam BN, untuk mempertahankan sisa-sisa kuasa. Masing-masing parti sudah sewajarnya cuba mempamerkan kekuatan dan berlagak penuh yakin merekalah bakal pemenang dalam PRU13 nanti.
Namun, sesiapa sahaja yang mengikuti PAU Ke-66, walaupun sekadar menonton TV dan membaca akhbar, akan terkesan bahawa Najib serta sekutunya nampak gelabah dan tidak dapat menyembunyikan kegelisahan mereka.
Jeritan dan pekikan, serta sesekali ketawa besar dengan jenaka tanpa isi itu, sebenarnya cuba menyembunyikan gelodak rasa takut amat sangat akan kehilangan kuasa. Umno tanpa kuasa -- seperti sering diulang Najib dan Dr Mahathir -- tidak lebih daripada sampah.
Bukan saja Najib, yang pastinya bersungguh-sungguh dengan apa jua cara memastikan bahtera yang dinakhodainya tidak bocor dan tenggelam, malah Dr Mahathir juga bagaikan cacing kepanasan dan tidak betah duduk diam.
Masakan tidak, bagi pemimpin Umno, hilang Putrajaya bukan hanya bermakna peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, tetapi mimpi ngeri buat para pemimpin dan kroni suku-sakat yang korup, merompak wang rakyat, menyeleweng dan hidup penuh kecurangan.
Petang 1 Disember lalu, di depan lebih 2,700 perwakilan, Najib memaklumkan bahawa Dr Mahathir secara sukarela bertemu dengan pemimpin akar umbi Umno untuk meraih sokongan untuk parti itu menjelang PRU13, walaupun tanpa diminta untuk berbuat demikian.
Anwar Ibrahim, yang cukup masak dengan perangai bekas bos yang telah memecat dan mengaibnya itu, dalam sidang media 3 Disember, segera menyanggah: "Kita tahu hakikatnya bahawa Dr Mahathir secara sendiri telah memanggil pemimpin Umno dan pemimpin negeri. Najib memaparkan keberanian yang sangat sedikit sebagai seorang pemimpin. Dia tidak mampu menangani Shahrizat (dalam skandal NFC), jadi saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia mampu berurusan dengan Dr Mahathir."
Anwar turut memperlekehkan Umno yang dikatakan memperoleh keyakinan semula pengundi dengan menyifatkan pemimpinnya tidak mampu mendapat sokongan akar umbi dengan hanya "menginap di hotel 5 bintang, menghabiskan masa di lobi dan menghisap curut mahal ... Hal ini jelas terpisah antara kaya, pemimpin jutawan Umno dan rakyat di bawah."
Meskipun cuba mempertegaskan Umno sebagai organisasi massa yang berakar bersama rakyat, namun sebahagian besar pemimpinnya "tetap elit dan eksklusif". Desakan perubahan selepas kalah lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen langsung tidak membekas kepada gaya kehidupan mereka.
Rasuah yang membarah langsung tidak diberi penekanan oleh Najib, dan pendedahan sensasi Deepak (termasuk berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu) juga tidak cuba dijawab. Naib Presiden parti dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang rapat dengan Najib sejak zaman Pemuda, gagal menunaikan janjinya kepada media, untuk menjawab serangan terhadap keluarga bosnya itu semasa ucapan penggulungan, sebaliknya "melambung" Presiden Umno setinggi langit.
Penganalisis politik terkemuka, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dalam Facebook sempat membidas: "Saya tidak mengikuti PAU dari dekat tahun ini. Tapi dari berita yang saya baca, dari video Youtube yang saya tonton dan dengar, saya dapati gaya perdebatan perwakilan gagal untuk meletakkan agenda Umno ke depan. Ucapan banyak diisi dengan jenaka, puji memuji pemimpin, semangat kepartian yang tidak ada substance dan retorik basi. Ucapan penggulungan pemimpin juga lemah dan tidak meyakinkan. Jika ini mahu diambil sebagai gambaran tahap persediaan Umno untuk menghadapi PRU13, ini menakutkan!"
Saya tidak pasti apa maksud "menakutkan" bagi Dr Agus. Tidak mungkin beliau "takut" Umno akan hilang kuasa. Atau ia membayangkan bagaimana seorang sarjana dan pemikir seperti Dr Agus sudah merasakan babak Umno-BN menguasai pemerintahan akan berakhir tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan