Selasa, 11 Disember 2012

BILA AHLI POLITIK KERAJAAN LEBIH BERKUASA DAN MUNGKIN ADA KEKEBALAN POLITIK LAGI

Musa minta SB tumpu jenayah bukan politik

Muhammad Faizal, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta agar pegawai Cawangan Khas (SB) polis memberi lebih tumpuan kepada isu-isu jenayah dan tidak hanya tertumpu kepada isu politik sahaja.

(Musa dalam sidang media MyWatch hari ini)

"Saya harap SB ini berikan tumpuan kepada isu-isu untuk banteras jenayah dan jangan terlalu lebih beri tumpuan kepada isu-isu politik.

"Biarlah kerja-kerja siasatan politik ini dijalankan oleh mereka yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerja polis untuk memastikan kadar jenayah terus berkurangan dan rakyat lebih terjamin keselamatan mereka," sambung beliau lagi.

Beliau yang berkata demikian pada sidang media anjuran Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) di sebuah hotel di Petaling Jaya petang tadi.


Isu polis terlalu memberikan tumpuan kepada politik menjadi panas baru-baru ini sehingga menyebabkan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata polis sudah cukup tetapi silap tumpuan.

Ia dijawab oleh pihak polis dengan berkata bilangan anggota polis berkurangan dari yang sepatutnya.

Namun dengan permintaan bekas orang nombor satu polis ini, isu kekurangan anggota boleh diselesaikan dengan cara polis memberikan tumpuan kepada jenayah bukannya kerja-kerja menjadi alat orang politik.

Dedah statistik jenayah

Musa juga meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan angka statistik yang sebenar jenayah negara ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Musa menyatakan, angka statistik yang diumumkan sebelum ini hanya merujuk kepada jenayah jalanan sahaja tetapi tidak merangkumi jenayah-jenayah lain.

"Kita melihat pada NKRA kerajaan hanya mengumumkan kadar statistik jenayah yang melibatkan jenayah jalanan sahaja iaitu seperti ragut dan sebagainya.

"Tetapi apa yang berlaku pada jenayah-jenayah lain seperti pecah rumah mahupun bentuk-bentuk jenayah yang lain, apakah kadar statistik jenayah tersebut," jelasnya.

Menurut beliau, rakyat sebenar keliru dengan kadar statistik yang diumumkan apabila kerajaan mengatakan kadar jenayah telah menurun sedangan rakyat terus mempersoalkan jenayah yang sering berlaku disekeliling mereka.

"Kerajaan perlu mendedahkan yang sebenar tentang kadar statistik jenayah biar semua tahu dan rakyat akan mengetahui kedudukan mereka dalam situasi jenayah negara," kata beliau lagi.

Beliau yang mengulangi masih menyayangi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan berharap agensi tersebut dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Orang luar lebih berkuasa dalam PDRM - Musa

Muhammad Faizal, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) sekali mendedahkan bahawa campur tangan di dalam jabatan polis jelas wujud apabila terdapat orang awam lebih berkuasa dan membuat arahan kepada pihak atasan Polis di Raja Malaysia (PDRM).

Musa yang mendakwa bekas anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang mana sebelum ini pernah mengugut seorang pegawai tinggi polis berhubung dengan satu projek komunikasi di jabatan tersebut.

"Kes ini melibatkan seorang pegawai polis berpangkat Datuk dan juga memegang ijazah PhD yang mempunyai kepakaran dalam komunikasi.

"Beliau telah ditukarkan ke jabatan lain apabila enggan memenuhi permintaan Robert Phang untuk pentauliahan satu projek berkaitan komunikasi bernilai jutaan ringgit kepada sebuah syarikat yang melibatkan Robert Phang pada tahun 2009," kata beliau pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Musa memberitahu, pegawai tersebut telah ditukarkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur oleh Ketua Polis negara Tan Sri Ismail Omar.

Kata beliau lagi, walaupun pegawai tersebut telah dipanggil oleh Ketua Polis Negara namun beliau tetap berkeras tidak mahu menandatangi surat pentaulihan itu dan menyebabkan beliau ditukar 24 jam.

Namun menurutnya, surat pentauliahan itu telah ditandatangi oleh seorang pegawai yang lain bagi tujuan pembayaran walaupun projek tersebut tidak siap sepenuhnya.

"Ini jelas berlaku salah guna kuasa dan segala maklumat yang saya perlolehi ini adalah dari sumber dalaman, tidak perlu saya nyatakan siapa termasuk siapa yang telah diarah pindah itu.

"Kita nampak dengan jelas inilah bukti yang menyatakan wujudnya campur tangan luar di dalam PDRM sehinggakan boleh mengeluarkan arahan tertentu yang menyebabkan keputusan luar biasa dilakukan," sambung beliau lagi.

Musa yang berkata demikian pada satu sidang media yang dianjurkan oleh NGO yang dikenali dengan nama Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), yang mana beliau bertindak sebagai penaung.

HKR lakar sejarah baru politik Pahang

Analisis Khairil Abdul Rahim, 10 Dis 2012


(500 pasukan bermotor tiba di Dataran Kerdau)

“Hari ini kalau (Tun) Daim Zainuddin ada di sini, beliau pun tak akan berani ramalkan Pahang (bersama Johor dan Melaka) akan kekal di bawah BN,” kata seorang yang hadir semasa ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) di Kerdau malam tadi.

Ketika itu jam menunjukkan kira-kira pukul 10.30 malam, tetapi segenap sudut di tapak Kompleks PAS Pahang seluas 8 ekar itu sudah padat diisi lebih hampir 40,000 manusia.

Di pentas utama, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim secara bersahaja mengatakan, perhimpunan yang diadakan secara susah payah ini merupakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU).

“Lepas ini, insyaallah kita bertemu dalam suasana seperti ini di Stadium Darul makmur pula,” katanya sambil diiringi laungan takbir dan pekikan semangat oleh pelbagai kaum yang hadir.
Tuan Ibrahim memulakan ucapan dengan melahirkan rasa bimbangnya kalau-kalau program HKRP yang dirancang itu tidak mendapat sambutan kerana Perhimpunan Agung Umno (Pau) baru sahaja berlalu dan ‘mood’ belum dapat dibaca akibat propaganda media Umno.

“Tambahan pula sekarang musim hujan dan secara kebetulan malam ini perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Thailand (Piala Suzuki AFF). Tetapi Pakatan Rakyat (PR) melakar sejarah hari ini. Rakyat tetap datang yang dikira paling ramai dalam sejarah. Ini membuktikan rakyat negeri ini mahukan perubahan,” ujarnya.


Memang hujan turun pada sebelah petang, tetapi berhenti sebelum maghrib.

(Pemimpin utama Pakatan yang hadir)

Program HKRP anjuran PR Pahang bermula seawal jam 12 tengahari lagi diisi dengan slot forum dan dialog anjuran Dewan Muslimat PAS Pahang.
Sekitar pukul 3 petang konvoi 500 penunggang motosikal dan kereta yang bertolak dari R&R Temerloh, sampai di tapak perhimpunan.

Konvoi disambut dengan pertunjukan tarian naga dan seni silat abjad oleh anak-anak muda. Turut menyambut ribuan anak muda ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hassan dan pimpinan PR Pahang.

“Count down PRU 13 berada dalam tempoh 100 hari saja lagi. Kepada anak-anak muda, jadilah petugas rasmi perubahan iaitu menyampaikan maklumat tepat. Kerana kita tahu kemenangan BN selama ini ialah akibat maklumat berat sebelah yang terpaksa diterima rakyat,” pesan Nasruddin.

Beliau turut membayangkan masa depan cerah untuk PR di Pahang. Kerana katanya, penganalisis melihat kemenangan dalam PRU akan datang ialah kecenderungan majoriti anak-anak muda ke arah mana. Kerana golongan muda mewakili 53 peratus pengundi.

Citarasa anak-anak muda yang hadir tidak dipinggirkan apabila mereka berpeluang menikmati hiburan dengan persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.

Ada satu pembaharuan dalam pengedalian ceramah kerana ia dipengerusikan oleh tiga orang dari tiga parti PR Pahang.

Pengerusi-pengerusi majlis dari bangsa Melayu (PAS), Cina (PKR) dan India (DAP) itu berucap dalam bahasa masing-masing. Ceramah pula dimulakan dengan semua yang hadir menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Pengerusi majlis daripada PAS iaitu Suhaimi Saad berkata, beliau melihat program HKRP paling teratur bebanding negeri-negeri lain kerana semua penceramah menepati masa program dapat ditamatkan tepat jam 12.

Dr Hamzah Jaafar selaku pengarah program diberi keistimewaan memulakan ucapan. Diikuti bekas Pengerusi syarikat media negara, Media Prima, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang baru menyertai PAS di Johor kelmarin.

Bekas menteri Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang 30 tahun berada dalam kabinet BN dan 26 tahun menjadi ahli MKT Umno yang berucap selepas itu, banyak mendedahkan kepincangan dalam Umno.

“Umno sekarang sudah dikuasai penjenayah, perompak dan pencuri. Wang rakyat sekarang tidak lagi dicuri ribu-ribu tetapi sudah juta-juta dan bilion. Itulah sebabnya saya ‘blah’ dari parti yang saya sayangi dulu,” katanya.

Tiga orang pemimpin tiga parti dari Pahang kemudian menyampaikan pidato masing-masing selama 10 minit seorang dimulai Leong Ngah Ngah, kemudian Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Tuan Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu memulakan ucapan dengan menunjukkan muka depan naskah akhbar Makkal Osai yang  memuatkan gambar Ahli Parlimen Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meninggalkan Umno.

(Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang)

Akhirnya seperti yang dinanti-nantikan oleh rakyat Pahang, Tuan Ibrahim, Fauzi dan Leong mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang untuk rakyat negeri ini iaitu pertama, menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.

Kedua, menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Ketiga, mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keempat, memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

Kelima, menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

Akhirnya, sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri PR.

“Perisytiharan ini adalah sangat istimewa bagi kami rakyat Pahang kerana melibatkan keperluan dan tuntutan hidup yang tidak pernah diselesaikan oleh Kerajaan BN sejak 55 tahun lalu,” kata Sharif Idris, 52, yang turut muncul di tengah-tengah ribuan yang hadir.

Mohamed Sabu selaku Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, berucap selepas itu. Diikuti dengan Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan diakhiri oleh Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, cerita-cerita kononnya ada pihak yang akan melakukan provokasi dan mengganggu program HKRP, tidak menjadi kenyataan.


(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau)

Yang ada ialah penyebaran risalah fitnah dan baner-baner berbentuk hasutan yang digantung di lokasi tertentu.

“Pada mulanya memang kami dapat maklumat akan berlaku provokasi, sebab itu kami betul-betul bersedia,” kata ketua bahagian keselamatan Ramli Abdul Rahman.

Penduduk tempatan, Mohd Amin yang  ditanyakan pendapatnya tentang program HKRP, berkata beliau dapat merasakan terjalin perpaduan kaum yang erat antara Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Jadi saya tak faham bagaimana ada pihak yang kata jika PR menang akan berlaku huru-hara seperti tragedi 13 Mei. Barangkala ada pihak yang kalah akan mencetuskan ketegangan,” ujarnya.

Apa-apapun, HKRP semalam tetap dianggap sebagai suntikan semangat baru bagi pendokong dan penyokong PR bagi menghadapi PRU. Terutama pandangan Daim yang mengatakan Pahang tetap sebagai ‘deposit’ BN. Juga cabaran Datuk Seri Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinganya jika PR menang di kawasannya, Bentong.

Tahun depan petaka untuk CPI TI Malaysia

Harakahdaily, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Apa yang tidak dapat dipertikaikan adalah rasuah di bawah pemerintahan Najib selama empat tahun lebih teruk daripada tempoh 51 tahun Malaysia berada di bawah lima Perdana Menteri sebelum ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, apa yang sepatutnya menjadi kebimbangan besar seluruh rakyat adalah tahun depan merupakan tahun yang buruk buat Malaysia untuk CPI TI kerana tahun depan Umno BN tentu akan membelanjakan berbilion ringgit untuk cuba mengekalkan kuasa dalamPRU13 - membawa politik wang ke satu paras baru sejarah negara.

Kenyataan beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur seperti di bawah.


Untuk empat tahun berturut-turut, sepanjang tempoh Najib menjadi Perdana Menteri (2009-2012) telah mencatatkan kedudukan rendah di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2012 berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Di tahun pertama CPI TI pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara, menjunam ke tempat ke-37 pada 2003 ketika Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada hujung tahun itu.

Meskipun berdegar-degar Abdullah dikaitkan dengan imej “Mr. Clean” dan”Hakim Bao Zaman Moden”, “pencegahan rasuah secara menyeluruh” dan “penahanan 18 ‘ikan besar”, CPI TI Malaysia masih berterusan menjunam dalam tempoh lima tahun Abdullah menjadi Perdana Menteri, jatuh ke tempat 47 pada tahun 2008.

Akan tetapi empat tahun Najib memegang jawatan Perdana Menteri memperlihatkan CPI TI Malaysia menjunam ke paras yang lebih rendah – No.56 pada tahun 2009 dan 2010, No. 60 pada 2011 dan No. 54 pada 2012.

Kesannya, sepanjang tempoh Najib memegang jawatan Perdana Menteri beliau mempunyai rekod buruk menjadi lebih korup berbanding lima Perdana Menteri sebelumya, memandangkan tiada yang menyatakan rasuah di bawah tiga Perdana Menteri awal iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein lebih serius berbanding pengganti mereka.

Sehingga tahun tujuh puluhan, skandal terbesar di Parlimen adalah skandal RM65 juta Bank Rakyat yang saya bahaskan di Parlimen pada tahun 1979.

Sejak tahun lapan puluhan, skandal rasuah dan kewangan meningkat dengan mendadak daripada skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF), skandal RM600 juta Maminco untuk menguasai pasaran timah dan skandal  koperasi kewangan RM1.5 bilion pada 80-an, sehinggalah skandal pertukaran asing RM30 bilion Bank Negara dan skandal RM11 bilion Perwaja pada 90-an, dan terkini adalah skandal berbilion ringgit Scorpene dan perolehan pertahanan dan skandal RM12.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Dengan perubahan pada metodologi dalam CPI TI terbaru, tidak boleh membandingkan CPI TI 2012 dengan CPI TI sebelumnya sepanjang 17 tahun daripada 1995-2011.

Kesannya, tiada siapa berhak mendakwa Malaysia telah menunjukkan kemajuan pada usaha pencegahan rasuah daridapa CPI TI 2012, walaupun itulah apa yang pemimpin UMNO/BN sedang lakukan.

Walau bagaimanapun, seperti yang dianalisa lebih awal, apa yang tidak dapat dipertikaikan dan tidak dapat dinafikan adalah rasuah di bawah pemerintahan Najib selama empat tahun lebih teruk daripada tempoh 51 tahun Malaysia berada di bawah lima Perdana Menteri sebelum ini.

Apa yang sepatutnya menjadi kebimbangan besar seluruh rakyat adalah tahun depan merupakan tahun yang buruk buat Malaysia untuk CPI TI kerana tahun depan UMNO/BN tentu akan membelanjakan berbilion ringgit untuk cuba mengekalkan kuasa dalamPRU13 - membawa politik wang ke satu paras baru sejarah negara.

Saya tahu bahawa CPI 2012 merangkumi data terkumpul di antara Disember 2011 dan September 2012, yang bermakna kedudukan Malaysia akan lebih buruk jika rasuah yang didedahkan pada Oktober dan November 2012 juga diambil kira – terutamanya skandal “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia serta pendedahan kekayaan luar biasa yang berjumlah RM64 bilion keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud (dan hampir RM46 untuk dirinya seorang) sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak oleh yayasan Bruno Manser.

Pada perhimpunan Agung UMNO, sesetengah perwakilan UMNO Sabah telah memberitahu portal berita atas talian bahawa meskipun mereka menyokong sepenuhnya Musa Aman, mereka samar-samar tentang “sumbangan politik” RM40 juta kepada UMNO Sabah dan mereka menuntut Musa menjelaskan isu tersebut sendiri.

Dalam tempoh lima hari Perhimpunan Agung UMNO, Musa berjaya mengelak daripada media dan sehingga hari ini masih belum memberikan sebarang penjelasan memuaskan berkenaan “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” sebanyak RM40 juta.

Bagaimanapun, terdapat juga perwakilan UMNO yang menolak kontroversi itu dengan alasan bahawa sumbangan RM40 juta adalah sedikit berbanding berjuta-juta yang UMNO taburkan ketika pilihan raya – dengan pendedahan seorang perwakilan UMNO Sabah bahawa di kawasan Putatan, UMNO akan berbelanja sehingga RM6 juta ketika pilihan  raya.

Dengan 26 kawasan parlimen di Sabah (dan Labuan) dan dengan purata RM6 juta untuk setiap kawasan, jumlah belanja pilihan raya keseluruhannya akan melebihi RM150 juta pada peringkat perlimen – yang mana akan meningkat dua kali ganda apabila perbelanjaan pilihan raya di kawasan dewan undangan negeri diambil kira.

Dengan UMNO/BN membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta di Sabah, dan RM300 juta di Sarawak, dan belanja pilihan raya yang sama untuk 165 kerusi Parlimen dan 441 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kesemua sebelas negeri di Semenanjung Malaysia, kita melihat UMNO/BN membelanjakan berbilion ringgit untuk kekal berkuasa dan mendapatkan semula majoriti dua pertiga parlimen pada peringkat persekutuan, untuk menawan semula negeri-negeri Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan kedah serta mengekalkan pemerintahan tidak mengikut perlembagaan di Perak dan mengekalkan kuasa di negeri lain.

Berbilion ringgit yang dibelanjakan UMNO/BN pada PRU13 akan menjadi akar masalah rasuah yang berleluasa pada lima tahun akan datang selepas PRU13 sekiranya UMNO/BN kekal di Putrajaya, memandangkan mereka yang menyumbangkan berbilion ringgit kepada perbelanjaan pilihan raya UMNO/BN mengharapkan balasan selepas PRU13, sepuluh kali ganda kalau tidak seratus kali ganda pun.

Inilah sebabnya mengapa saya katakan tahun depan akan menjadi tahun petaka buat CPI TI Malaysia.

Tidak hairanlah mengapa kerajaan Najib tidak bersedia untuk menyambut Hari Anti-Rasuah Antarabangsa semalam yang telah ditentukan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak sembilan tahun lalu!

PAS desak T’ganu pertahan medan minyak Bertam

Khairul Azlam Mohamad, 10 Dis 2012
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan hak milikan medan minyak PM307-Bertam sebagai hak kedaulatan rakyat Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata kerajaan negeri Terengganu perlu mengambil tuntutan agar pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak negeri ini.

Katanya, hak milikan kawasan tersebut wajar dikembalikan sebagaimana Perjanjian Akta Petroleum 1974 atas nama royalti dan bukan dana khas atau wang ehsan.

“Kita minta Menteri Besar dengan tegas pertahankan hak untuk dapat hak milik itu kepada negeri Terengganu. Kita perlu ambil tuntutan itu dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagia royalti,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurutnya, isu penemuan medan minyak tersebut melibatkan hak royalti serta maruah rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Sebelum itu, Ahmad Said memaklumkan kepada dewan, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Petronas bagi pengesahan lanjut tentang penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di kawasan medan PM307-Bertam yang berada di kawasan Terengganu.

Beliau menjelaskan, syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Menurut Ahmad, sekiranya ia disahkan berada di kawasan Terengganu, negeri ini dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

The Star sudah jadi macam Utusan

Harakahdaily, 10 Dis 2012
KUALA LUMPUR: DAP menyifatkan akhbar milik MCA, The Star sudah sama taraf dengan Utusan menjelang pilihan raya apabila membuat laporan hanya untuk kepentingan tuan mereka.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong menyifatkan, tujuan Star hanya untuk mengelirukan pembacanya yang kebanyakannya bukan Islam dengan melebelkan PAS sebagai parti ekstremis.

Walaupun telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bahawa tidak ada kes khalwat terlibat di Kelantan, akhbar MCA itu tetap dengan nada yang sama, kata Chin Tong.

"The Star merendahkan pembacanya, sama seperti Utusan, yang mengeksloitkan kekeliruan pembacanya yang banyak bukan Islam tentang perbezaan antara hudud, undang-undang kekeluargaan Islam, khalwat dan peraturan oleh pihak berkuasa tempatan," kata Liew Chin Tong dalam kenyataannya.

Bagi Chin Tong, adalah memalukan dan tidak bermoral apabila The Star, sebuah akhbar harian,  membenarkan dirinya menjadi alat kepada parti politik untuk memperjuangkan agenda rasisnya, sama seperti Utusan Malaysia yang menanamkan kebencian kepada keadilan dan kesaksamaan.

Muka depan The Star hari ini melaporkan berita bertajuk 'Khalwat issue heats up' padahal kes yang berlaku di Kelantan bukannya kes khalwat sebagaimana didakwa oleh akhbar itu.

Ia adalah berkelakuan tidak bermoral di tempat awam yang diambil tindakan melalui peraturan pihak berkuasa tempatan yang tidak ada kena mengena dengan undang-undang Islam sebagaimana yang didakwa.

Dalam laporan kembar The Star, MStar, Mahkamah Persekutuan memutuskan, pihak berkuasa tempatan berhak mewujudkan undang-undang untuk mendakwa warga negara yang berlakuan tidak sopan di tempat awam.


(Ingat lagi kes ini....hingga kini The Star masih bebas)

Kes The Star dengan umat Islam negara ini sampai sekarang belum selesai. Bulan Ramadhan lalu, akhbar MCA itu menghidangkan daging babi bakar untuk juadah berbuka puasa umat Islam.

Beberapa bulan lalu akhbar itu menyiarkan gambar penyanyi Amerika, Erika Badu dengan ukiran nama Allah pada dadanya yang telanjang. Sehingga kini, KDN hanya memberikan amaran demi amaran sahaja kepada The Star tetapi tidak berani bertindak.

Kali ini, akhbar MCA ini sekali lagi menaikkan kemarahan umat Islam atas nama hak orang bukan Islam seolah-olah undang-undang Islam ini zalim.

Ahli Parlimen Jerantut tak keluar UMNO la..

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 10 Dis 2012

Menurut sumber, cerita mengenai bermula Tengku Azlan keluar UMNO initelah bermula bila beliau ditemuramah oleh Makkal Osai beberapa hari yang lalu.

Dalam temuramah tersebut, dia tidak langsung menyentuh soal keluar parti atau menyertai parti Pakatan Rakyat.

Apa yang beliau nyatakan ialah dia akan bersara terus dari politik dan tidak akan bertanding lagi pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Hasratnya untuk bersara telah dinyatakan sebaik saja dia menolak jawatan Timbalan Menteri Luar semasa Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi mahu melantiknya dahulu.

Beliau juga telah memaklumkan perkara ini  kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob sendiri. Maknanya tidak timbul soal "keluar parti" seperti yang dihebohkan sebenarnya.

Ini laporan dari Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Ahli parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar tidak meninggalkan Umno sebagaimana dilapor akhbar berbahasa Tamil dan beberapa blog.

Sebaliknya beliau hanya menyertai NGO iaitu Angkatan Amanah Merdeka pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Perkata ini disahkan oleh Adun Tahan Ahmad Jaafar yang juga naib ketua Umno bahagian Jerantut ketika dihubungi hari ini.

“Saya telah mengesahkan perkara ini dengan orang kuatnya. Datuk Seri Tengku tidak keluar parti, beliau hanya sertai Amanah.

“Tetapi beliau masih ahli parlimen Jerantut dan ketua Umno bahagian ini,” katanya lagi.

Ahmad juga menjelaskan, Tengku Azlan beberapa kali memberitahu tidak berminat untuk bertanding lagi dalam pilihan raya umum ke 13.

Bagaimanapun, bekas menteri pengangkutan itu dikatakan mahu terus menjadi ketua Umno bahagian Jerantut.

Tengku Azlan menjadi ahli parlimen dan ketua Umno Jerantut sejak tiga penggal lalu. Sebelum itu beliau pernah menyertai parti Melayu Semangat 46 apabila parti itu dithubuhkan oleh Tengku Razaleigh selepas kalah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan presiden Umno pada tahun 1987.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka kembali semula ke pangkuan Umno.

Ini pula laporan dari Keadilandaily..

KUALA LUMPUR 10 Dis: Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut, mengakui menyokong perjuangan Pakatan Rakyat (Pakatan).

Adik kepada Sultan Pahang itu yakin dengan hala tuju Pakatan yang disifatkannya lebih berani bertemu rakyat bagi menerangkan dasar mereka untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Katanya, tindakan mesra rakyat itu bukan sahaja berjaya meraih undi untuk Pakatan, malah lebih senang mendekati pengundi dengan tawaran menarik.

Tengku Azlan “Mereka (Pakatan) cuba terangkan apa yang boleh diberikan kepada rakyat dan negara jika menang dalam pilihan raya. Ini tak ada masalah,” katanya kepada Keadilan Daily.

Perkembangan terbaru ini tentunya menggerunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan Tengku Azlan adalah ahli parlimen di negeri kelahirannya.

Dalam pada itu, Tengku Azlan menafikan dakwaan akhbar berbahasa Tamil dan laporan beberapa blog menyatakan beliau keluar Umno dan menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Amanah Merdeka Rakyat (Amanah).

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Ulama pelapis perlu bina keterampilan di usia muda

Harakahdaily, 10 Dis 2012
GOMBAK: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Khairudin Aman Razali Attakiri (gambar) menggesa ulama pelapis membina keterampilan diri pada usia muda kerana para ulama terkemuka telah menjadi terkenal sebelum mencapai usia 40 tahun.

Katanya, segala ilmu yang dikuasai ialah berdasarkan kepada pembacaan dan penguasaan ketika usia muda.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tajnid al-Judud, program perkaderan Ulamak Pelapis Pusat yang diadakan di KUIZM, kelmarin.

Program itu telah mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran peserta yang mencecah 200 orang dari kalangan graduan pengajian Islam.

Ia merupakan program yang dirancang untuk menyusun tenaga baru di kalangan graduan muda untuk membantu Dewan Ulamak khasnya dan PAS amnya.

Menurut Dr. Khairudin lagi, Tuan Guru Presiden PAS telah menjadi popular dengan “Amanat Haji Hadi” ketika usia beliau 38 tahun.

Ini, katanya menandakan usaha menjadi ulama yang terkemuka perlu dibina pada usia yang muda.

“Ketika usia muda, sementara tanggungjawab masih tidak banyak, banyak masa boleh dihabiskan untuk membaca, menulis dan sebagainya,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi graduan dalam pengajian Islam perlu memanfaatkan masa dan ruang yang ada dalam membina kemampuan peribadi dari sudut akademik dan membina keterampilan diri sebelum menjadi sibuk dengan tanggungjawab yang banyak akan dipundakkan kepada mereka apabila mencecah usia matang nanti.

Beliau menasihatkan para ulama pelapis, khasnya graduan yang baru agar meminta kerja, bukan menanti kerja datang.

“Bukan mencari jawatan, tetapi mencari kerja untuk membantu gerak kerja Islam,” katanya.

Tiada ulasan: