Ahad, 9 Disember 2012

JANGAN BONGKAK...BONGKAK BUKAN PAKAIAN MAKHLUK...BIMBANG TU ELOK...BIMBANG2 KALAU IBADAH ALLAH TAK TERIMA....MENGHARAP2 AGAR2 ALLAH TERIMA IBADAH KITA

‘Potong telinga’ Adnan riuhkan HKR Pahang

Harakahdaily, 09 Dis 2012
TEMERLOH: Kenyataan ‘potong telinga’ Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan meriuhkan Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Pahang di Dataran Kerdau dengan para penceramah menggunakan kenyataan tersebut untuk membakar semangat mengajak rakyat Pahang berubah.

Hampir semua penceramah sejak petang sehinggalah malam ini menggunakan kiasan Adnan berjanji akan potong telinga dan terjun Sungai Pahang sekiranya Pakatan Rakyat menang di parlimen Bentong secara selang-seli untuk menghiburkan para hadirin.

“Sebagai rakyat Pahang, kita ambil ini sebagai cabaran untuk menawan Bentong dan Pahang,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Adnan ketika bercakap kepada wartawan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 12 berjanji akan memotong telinganya dan terjun ke sungai Pahang jika DAP menang di Parlimen Bentong.

Namun selepas itu, beliau mendakwa kenyataan itu hanya kiasan sahaja yang menyebabkan tekanan kepada beliau semakin meningkat, seolah-olah beliau bimbang terpaksa memotong telinganya apabila kalah di Bentung nanti.

Selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan peluru dengan menyatakan BN sebagai syaitan yang dikenali, Adnan menjadi pemimpin Umno terbaru dengan kiasan potong telinga dan terjun Sungai Pahang.

Sudah pasti, keangkuhan Adnan akan digemakan di seluruh pelosok negeri Pahang dalam kempen PRU-13 nanti.

30,000 sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang

Harakahdaily, 09 Dis 2012

(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau untuk menyertai HKR Pahang)

TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada rakyat Pahang yang menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Dataran Kerdau, malam ini.

Beliau menganggarkan kira-kira 30,000 hadir pada perhimpunan itu sekalipun pada masa yang sama berlangsung perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki peringkat separuh akhir antara Malaysia dengan Thailand.

(Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, Malaysia hanya seri 1-1 di mana gol pasukan negara dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-49 manakala Thailand oleh Teerasil pada minit ke-78.)

Ini, kata Tuan Ibrahim menunjukkan bahawa isu rakyat dilihat lebih penting oleh orang ramai walaupun mereka minat kepada sukan bola sepak.

(Ustaz Fadzil Noor Abdul Karim memimpin solat hajat dan munajat selepas solat Mghrib.)

“Saya pun minat bola, tetapi isu rakyat lebih penting daripada apa yang kita lihat (bola),” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa PAS Pahang mempunyai komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan isu tanah tapak rumah rakyat yang tidak mempunyai tanah.

Katanya, Pakatan Rakyat mendapat mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, masalah tersebut dapat diatasi.

Ini, katanya kerana Pahang mempunyai tanah  yang luas, justeru tidak ada masalah bagi Pakatan Rakyat untuk memberikan tanah tapak rumah kepada rakyat negeri ini yang masih tidak bertanah.

Hindar provokasi di HKR P.Pinang

Mohd Sabri Said, 09 Dis 2012
NIBUNG TEBAL: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) mengingatkan semua pihak agar tidak membuat provokasi terhadap program 'Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Pulau Pinang' yang bakal diadakan di Padang Bandaran Jawi, Seberang Perai Selatan pada 15 Disember ini.

Beliau tidak mahu peristiwa yng berlaku di Dataran Sharudin, Batu 8, Gombak berulang di Pulau Pinang kerana PAS, PKR atau DAP tidak pernah menimbulkan ketegangan sebaliknya berpunca daripada provokasi segelintir Umno dan penyokongnya.

"Terlebih dahulu saya memberikan ingatan kepada Umno, Perkasa dan NGO Melayu yang bersekongkol dengan Umno-BN jangan cuba wujudkan ketegangan semasa program Himpunan Rakyat Peringkat Negeri Pulau Pinang nanti.

"Umno khususnya tidaklah perlu menghantar  samseng untuk tujuan itu, " tegasnya.

Pihak polis juga diharap bertugas dengan amanah dan tegas terhadap sebarang provokasi kerana tanpa ketegasan pihak polis ia membolehkan  kejadian yang tidak diingini.

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir menyeru semua ahli PAS mengambil kesempatan datang beramai- ramai ke perhimpunan Kebangkitan Rakyat itu nanti.

Sebagai ahli PAS sambungnya, mereka membuktikan PAS tetap berdiri bersama dengan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat untuk menentang BN.

"Bagi pihak PAS saya menjemput keseluruhan ahli PAS untuk bersama hadir ke majlis berkenaan.  Jangan lupa ajak sama rakan taulan yang masih atas pagar supaya mereka dapatkan maklumat sebenar bukan hanya percayakan akhbar dan media BN semata-mata, " ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang Mohd Noor Harun berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat akan bermula jam 4.00 petang menampilkan aktiviti kepemudaan dan kewanitaan bersama dengan beberapa orang selebriti terkenal tanahair.

Manakala pada sebelah malamnya pula akan menghimpun Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang di satu pentas.

6+3 tawaran Pakatan untuk rakyat Pahang

Harakahdaily, 09 Dis 2012

(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang)

TEMERLOH: Dengan mood perubahan yang memuncak di Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Pahang, Pakatan Rakyat menawarkan enam tawaran negeri bersama tiga tawaran pusat untuk menyelamatkan negeri terbesar di Semenanjung daripada kezaliman Umno-BN.

Dalam tawaran peringkat negeri PR Pahang yang ditandatangani Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, PR berjanji akan menyelesaikan masalah tanah di negeri Pahang.

Mereka berjanji akan menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung  Baru dan Kampung Tersusun.

Selain itu, PR Pahang juga berjanji untuk menyelesaikan permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Untuk kebajikan Orang Asli, PR Pahang turut menawarkan untuk mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat juga berita baik untuk para pemilik tanah pertanian di mana PR Pahang berjanji akan memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

Sekiranya BN ditumbangkan, rakyat Pahang turut bakal menikmati penurunan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil  hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

PR Pahang turut berjanji untuk melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua hasil utama negeri.

Tawaran PR Pusat pula berkisar kepada nasib generasi kedua dan ketiga Felda, royalti minyak kepada Pahang dan perhatian khusus kepada pembangunan prasarana kemudahan asas di kawasan pedalaman Pahang.

Sekiranya menjadi kerajaan selepas PRU13, PR bakal menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, bekas anggota Polis dan Tentera serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.

PR juga berjanji akan memberikan royalti minyak sebanyak 20% setahun kepada kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi nanti berbanding dengan tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hanya memulangkan sejumlah wang ehsan kepada negeri.

PR juga berjanji untuk memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai.

Antara jalan yang disebut dalam tawaran yang ditandatangani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS ialah Jalan Jerantut – Benta, Jerantut – Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara 2 negeri seperti Kuantan – Jerantut – Kuala Lipis – Gua Musang, Kuantan – Segamat dan Kuala Lipis – Raub - Bentong – Seremban dan Jerantut – Ulu Tembeling – Dungun.

Jalan-jalan tersebut akan dibangunkan dengan perlaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.


Berikut adalah tawaran Pakatan


TAWARAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT KEPADA RAKYAT NEGERI PAHANG


Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negeri Pahang pada PRU 13 nanti maka kami akan :

PERTAMA

Menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung  Baru dan Kampung Tersusun.

KEDUA

Menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

KETIGA

Mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

KEEMPAT

Memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

KELIMA

Menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil  hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

KEENAM

Sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri sebagaimana yang dilaksanakan di negeri negeri pakatan rakyat.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,Pesuruhjaya PAS Pahang.
Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Pahang
Yb Leong Ngah Ngah, Pengerusi DAP Pahang

9 Disember 2012




TAWARAN KERAJAAN PERSEKUTUAN (PAKATAN RAKYAT ) UNTUK NEGERI PAHANG



Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Malaysia pada PRU 13 nanti maka :


PERTAMA

Menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, Bekas anggota Polis dan Tentera serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.


KEDUA

Memberikan Royalti minyak sebanyak 20% setahun (bukannya 5%) kepada Kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi nanti.


KETIGA

Memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai seperti Jalan Jerantut – Benta, Jerantut – Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara 2 negeri seperti Kuantan – Jerantut – Kuala Lipis – Gua Musang, Kuantan – Segamat dan Kuala Lipis – Raub - Bentong – Seremban dan Jerantut – Ulu Tembeling – Dungun dengan perlaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR     
Yb. Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP Kebangsaan
Tuan Hj. Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS

PRU13: Najib diselubungi kebimbangan

Harakahdaily, 09 Dis 2012

KERDAU:
Datuk Seri Najib Razak dilihat diselubungi kebimbangan di sebalik kenyataannya untuk BN menang pilihan raya umum (PRU) ke 13 dengan menguasai 2/3 parlimen.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemuramah radio internet, Cili FM menyifatkan, tindakan Najib yang memohon maaf ketika Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini jelas menggambarkan BN dalam posisi 'boleh tewas' pada PRU13 nanti.

"Saya tengok, di satu waktu dia kata yakin kuasai 2/3 majoriti.

"Satu masa dia merayu, waktu lain dia mohon maaf. Ini saya ingat tanda-tanda awal… saya tak nak sambung… tanda-tanda awal apa tambah sendiri,” kata beliau sambil berseloroh ketika ditemuramah DJ CucuMatKilau (Ahmad Syukri).

Menurut beliau lagi, tindakan berkali-kali merayu memohon maaf itu juga membuktikan bahawa Umno BN sudah sedar mereka sedang berdepan dengan penolakan rakyat akibat kerosakan yang dilakukan parti pemerintah itu.

“Kalau orang tak salah, dia tak akan minta maaf. Dah banyak kali, dia minta maaf," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, sekiranya Najib yakin dengan jangkaan beliau, mengapa sehingga kini beliau masih tidak membubarkan parlimen.

“Kalau dah yakin, mengapa nak ugut rakyat dengan tragedi Mei 13 dan negara akan bankrap.

"Saya lihat di sebalik keyakinan ada kebimbangan. Sebenarnya kebimbangan itu menguasai dia,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga melahirkan keyakinannya bahawa dengan kerjasama Pakatan Rakyat dan kerja tertib, perubahan akan berlaku di Pahang.

Ditanya soalan mengenai politik ganas yang kerap berlaku kebelakangan ini, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa budaya samseng perlu ditolak.

“Budaya samseng bukan budaya kita. (Untuk himpunan ini), bendera, risalah dan poster kita dicabut.

"Rakyat perlu bertindak dengan rasional, bukan (digunakan) untuk mempertahankan kebathilan, kezaliman dan penyelewengan,” nasihat beliau.

Temubual hari ini bersempena dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang yang berlangsung di sini.

Tiada ulasan: