Selasa, 18 Disember 2012

BILA AHLI AGAMA MENCARI HABUAN DUNIA...BILA DIRI TAK MENJANGKAU ALAM AKHIRAT...SEOLAH2 TIADA PERTANYAAN PENYELEWENGAN ILMU...MENCARI KEREDAAN MANUSIA DARI KEREDAAN ALLAH...WAYER ADA YANG PUTUS KOD

Jangan bermain politik dalam Jubal mufti

Harakahdaily, 18 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ingatan itu berhubung kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.

"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.

"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki oleh para mufti.

"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Harussani berkata, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Sukakah nyonya suaminya digunting wanita lain?

Subky Latif, 18 Dis 2012

TELAH kecoh di Kelantan di kalangan masyarakat Cina tentang larangan laki-laki bergunting rambut dengan perempuan yang bukan isterinya dan bukan juga anaknya.

Ada tukang gunting yang mengadu kerana dia dalam jangka waktu tertentu disaman berbelas kali kerana tukang  gunting amoi menggunting laki-laki yang bukan ayahnya dan bukan juga suaminya.

Ia menarik perhatian pejuang-pejuang MCA, malah ia mengganggu setengah penyokong DAP yang dipercayai sedang mendapat sokongan pengundi Cina dalam PRU13 nanti. Nasihat  kerajaan negeri Kelantan supaya tukang gunting laki-laki tidak mengurus pelanggan wanita dan tukang gunting perempuan  tidak menggunting rambut laki-laki telah ditafsir oleh setengah orang politik bukan Islam sebagai mencabul kebebasan orang bukan Islam.

Nasihat kerajaan Kelantan itu telah terpakai lama sejak PAS mengambil semula Kelantan dalam tahun 1990. Pernah orang-orang lelaki yang sukai kepala dan mukanya  dibelai oleh wanita muda bersungut tentang nasihat itu mula-mula dulu tetapi ia tidak menjadi isu.

Malah MCA Kelantan pernah mencabar kerajaan PAS yang melarang berlanggan arak  di khalayak umum  dengan menganjurkan pesta minum arak sebaik saja Kelantan dikuasai semula PAS dulu. Cabaran MCA itu disokong oleh MCA pusat. Seolah-olah pesta tidak mungkin dibatal lagi.

Bertanya orang akan reaksi  Menteri Besar Tok Guru  Nik Abdul  Aziz. Katanya, lantaklah MCA minumnya hingga pecah perut. Tiba-tiba MCA membatalkannya.

Menjelang PRU yang menentukan hayat MCA ini, ia bangkitkan pula nasihat supaya salun melayan pelanggan perempuan  saja, dikira mengganggu kebebasan orang bukan Islam seolah-olah kerajaan PAS itu mengganggu hak-hak orang bukan Islam.

Kita biarkah kerajaan PAS menangani hal itu.

Cuma kita mungkin perlu meninjau pandangan sekalian nyonya, aci-aci dan wanita Sikh serta lain-lain wanita sukakan mereka suami masing-masing bergunting dan mendapatkan khidmat wanita-wanita muda di salun-salun?

Apa perasaan nyonya apabila kepala suaminya dipegang dan mukanya digosok oleh pelayan-pelayan salun yang ayu dan manja pula? Sukakah mereka suaminya pergi ke salun dua kali sebelun atau lebih kerap?

Dan gadis-gadisnya yang sedang berpacaran, relakah mereka melihat  teman lelakinya menerima belaian manja dari tukang gunting wanita lain?

Apa kata ibu bapa Cina sekalian kalau tunang anak gadis mereka berterang-terangan mendapat khidmat dari wanita-wanita salun?

Tanya Dr. Chua Soi Lek sendiri, seronokkah  dia kalau kepala dan muka isterinya dibelek-belek dan dipicit oleh tukang gunting laki-laki? Dia mungkin kata, tak mengapa. Tetapi tidakkah hati berdetak dan berdetik?

Tidak mustahil pejuang-pejuang hak asasi manusia dan kebebasan  gender yang maju di barat seperti Amerika dan England tidak suka sangat kalau suami ke kedai gunting perempuan  dan isteri ke kedai gunting laki-laki.

Pernah seorang  pemuda menguji Rasulullah SAW supaya membenarkannya berzina. Baginda dengan tenang bertanya, sukakah kamu kalau emak kamu dizina, isteri kamu dizina, kakak kamu dan adik kamu dizina? Kepada semua pertanya itu dijawabnya, ‘Tidak.’

Bagaimana kalau Merdeka Center atau mana-mana universiti mengada tinjaun pendapat, dapat responden nyonya-nyonya, gadis-gadis Cina, gadis India dan Sikh yang sedang berpacaran serta gadis yang sedang bertunang, apa pandangan mereka? Seronokkah atau tak usahlah!

Mungkin juga perlu pungutan suara diadakan di kalangan wanita bukan Islam  saja. Kita nak tengok sikap mereka.

Gambar yang kita tidak mahu lihat Stadium Sultan Mizan

http://anakmudamalaysia.com, 18 Dis 2012
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Dari laman FB BM – Bolasepak Malaysia
Terperanjat admin tengok padang dan keadaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu yang satu ketika berdiri megah mengacarakan Sukma sebelum tumbang kerana salah pilih teknologi yang sesuai dengan keadaan cuaca dan angin laut.
Bukan setakat rumbut tumbuh meninggi dan banyak pokok di kawasan yang dahulunya pernah menjadi gelangang akhir perlawanan bolasepak Sukma yang menyaksikan lahirnya bintang seperti Ashari Samsuddin.
Harapan agar stadium ini dibaik pulih untuk digunakan tak lama lagi. Rugi kalau tidak dibaik pulih sebab pembuatan sahaja dah memakan beratus juta.
Kredit Foto – TERENGGANU FC
Editorial: Insya Allah dalam masa terdekat SAMM Terengganu akan membuat tinjauan dan desakan supaya stadium ini dibaikpulih…

Kelantan jayakan hasrat Jelapang Makanan Negara

Rizal Tahir, 18 Dis 2012
KOTA BHARU: Kelantan akan menghidupkan tanah terbiar dengan lebih agresif dalam menjayakan hasrat sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.
Dianggarkan sebanyak 100 hektar tanah terbiar lagi bakal diterokai tahun 2013, berbanding 57 hektar tahun ini dengan pelbagai program pertanian.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata usaha Kelantan untuk menjadikan negeri pertanian tidak pernah silap sejak menerajui kepimpinan negeri tahun 1990 sehingga muncul sebagai pengeluar produk pertanian yang terpenting di negara ini.

Katanya, peningkatan itu hingga berjaya mencapai 19.4 peratus bagi sektor pertanian yang merupakan sebahagian penyumbang besar KDNK tahun 2012.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Bertani Satu Ibadat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, walaupun telah banyak kawasan tanah terbiar telah diterokai, namun usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Islam menitik beratkan pertanian, kerana itu Kelantan memperkenalkan tema pertanian Bertani Satu Ibadat kerana aspek itu merupakan sebahagian dari ibadat,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun dengan peruntukkan yang kecil hanya RM2.2 juta peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk program pertanian, namun hasil yang diperolehi begitu membanggakan.

“Sema aspek sama ada pertanian, penternakan khususnya lembu pawah begitu berjaya,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Seramai empat orang petani dan pengusaha berjaya menerima cenderahati berupa benih durian dan baja dari Timbalan Menteri Besar pada majlis yang diadakan di Balai Islam, Lundang pagi tadi.

Shafei Afdal bagi semangat kepada Pakatan Rakyat?

Mohd Sayuti Omar, 18 Dis 2012
Semua orang patut bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Umno, Shafie Apdal yang mengatakan tidak baik bagi kerajaan sekiranya pembangkang kuat di parlimen.
Katanya walaupun ada tanggapan pembangkang yang kuat akan mewujudkan keadaan check and balance tetapi ia akan menjadi masalah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Apa yang cuba diketengahkan Shafei biarlah kerusi pembangkang di parlimen sekitar 1/3 saja.

Apabila pembangkang kuat seperti hari ini ia menyebabkan kerajaan tidak dapat hendak membuat dasar atau polisi baru yang membabitkan persetujuan di parlimen. Apa lagi bila ia memerlukan pindaan perlembagaan, apabila kerajaan tidak mendapat majoriti 2/3 ia menyulitkan.

Kerajaan yang gagal mendapat majoriti 2/3 juga dianggap sebagai lemah dan tipis.

Hendaknya pandangan Shafei Apdal itu tidak mudah ditolak, sebalik perlu dijadikan panduan di dalam memilih kerajaan akan datang. Para pengundi harus menyematkan di kepala peringatan demikian. Mungkin Shafei sudah memahami bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah selepas pilihan raya akan datang, dan biarlah kerajaan itu tidak terjadi seperti kerajaan UBN pada masa ini.

Jadi demi melancarkan kerajaan baru itu, biarlah pembangkang berada di bawah 50 kerusi saja di parlimen. Kerusi sebanyak itu sudah cukup untuk meninggalkan benih buat Umno yang kini menjadi tonggak kepada kerajaan UBN. Umno tidak boleh dilupuskan sama sekali kerana parti itu perlu berada di parlimen untuk menjadi pembangkang tukang semak dan pengimbang.

Memahami peringatan dan hasrat Shafei itu ia seolah menunjukkan naib presiden itu sudah menyedari senario dan hakikat politik hari ini bahawa Umno sudah siap sedia untuk membungkus diri. Ini juga ada hubungan dengan maklumat yang diperolehi Naib Presiden Pas Husam Musa yang mendapat tahu bahawa kemampuan BN hari ini sekitar 80 kerusi saja.
Husam begitu yakin dengan angka itu dan berpandangan peralihan kuasa dari BN kepada PR kini dinanti dengan penuh minat oleh rakyat. Tanpa menyebut apakah tanda-tanda dan isyaratnya diyakini Husam ada rahsia besar yang diperolehinya.

Dengan figure itu ini bermakna PR akan memperolehi 142 kerusi. Jumlah itu tidak menyelesakan kerajaan PR bakal dibentuk nanti maka adalah munasabah kalau pengundi mengambil kira pandangan diberikan Shafei tadi, iaitu perlu memastikan kerajaan Pakatan kuat. Bagi menyelesakan kedudukan kerajaan Pakatan akan datang, BN hanya perlu diberikan sekitar 55 dan 65 kerusi sahaja.

Terima kasih kepada Shafei Apdal kerana memberi pandangan dan isyarat itu. Apakah beliau juga bakal menjadi 'nomad' politik selepas pilihan raya akan datang? Ada terdengar desas desus itu dari puncak Gunung Kinabalu. Tunggulah perkembangan selanjutnya dari masa ke semasa. - http://msomelayu.blogspot.com

Angin perubahan juga berlaku dalam Umno

Aspan Alias, 18 Dis 2012
Sekarang sudah timbul suara-suara kecil di dalam UMNO sendiri yang perubahan perlu berlaku kalau boleh di dalam UMNO sendiri. Keadaan ini tentulah disebabkan oleh kenyataan yang pemikiran baru sudah mula wujud dalam parti itu hasil dari pengalaman yang mereka sedang lalui sekarang ini. Sudah ramai di kalangan yang ahli-ahli UMNO, mereka wajar berubah kerana desakan yang begitu kuat dari rakyat.
Ia bermakna UMNO terpaksa menghadapi kekalahan buat sementara bagi menolak mana-mana pemimpin yang di anggap menjadi penyebab kenapa UMNO sudah sampai ketahap yang ada masa ini.  Jalan yang terbaik ialah pimpinan yang ada pada masa ini untuk berfikir dan menumpukan usaha untuk memenangi pilihanraya kali ini, walaupun jika terpaksa barisan pimpinan hari ini bersedia untuk berkorban dan mengundurkan diri.

Sesungguhnya tidak hina jika pimpinan hari ini mengundurkan diri dan diberikan tanggungjawab parti dan negara kepada seorang yang lain dari mereka yang berada di dalam Majlis Tertinggi parti atau dalam kerajaan. Kumpulan ini berkata yang UMNO perlukan imej yang baru dan imej yang baru itu akan hanya wujud jika parti dipimpin oleh orang yang baru yang tidak semestinya orang muda.

Di dalam keadaan sekarang ini ramai berpendapat di kalangan ahli-ahli UMNO yang bergiat yang parti itu akan merupakan parti yang akan tewas dalam perebutan mandat rakyat kali ini kerana segala-galanya sudah menjadi bubur. Keadaan tidak mungkin bertambah baik malahan kecenderungan untuk menjadi bertambah buruk adalah besar.

Orang Cina nampaknya sudah selesai dalam pelan melakukan perubahan ini dengan membuat keputusan memberikan sokongan bulat kepada DAP. Kita perlu menghormati apa yang di tentukan oleh kaum Cina kerana mereka tahu untuk  membuat keputusan apabila sampai waktunya. Saya selalu berkata orang Melayu memang susah untuk melakukan perubahan walaupun kecenderungan mereka untuk melakukannya kali ini sudah nampak jelas.  Maksud saya perubahan oleh orang Melayu seperti yang kita lihat sekarang ini sepatutnya telah dilakukan lama dahulu lagi. Kata perbilangan ‘better late than never’. PAS nampaknya merupakan ‘recipient’ kepada perubahan ini.

Apabila kita mendengar suara-suara yang inginkan usaha untuk memperbaiki UMNO dari dalam, persoalannya isu mempebaiki dari dalam itu memangnya satu kata-kata yang selalu sangat kita dengar dahulu. Tetapi akhirnya yang berniat pada asalnya untuk memperbaiki UMNO dari dalam itu sendiri berubah dan terpengaruh dengan apa yang lazim berlaku dalam parti itu. Malahan mereka pula yang lebih parah sikapnya dari ahli-ahli yang sudah sedia ada di dalam UMNO itu.

Mereka berbuat demikian kerana mereka yang bercita-cita untuk melakukan perubahan dari dalam itu akan diketepikan dan tidak laku dalam budaya parti itu lagi. Pendeknya yang hendak memperbaiki UMNO dari dalam itu kadang kala hanya cara mereka hendak berpolitik bagi mendapat sokongan ramai yang selalunya tidak kesampaian hajat mereka. Di antara yang ingin UMNO untuk belajar secara mahal ini agak ramai. Mereka sependapat yang UMNO tidak mungkin mampu untuk membuat baik kerana hendak berbuat baik. UMNO akan hanya menjadi baik jika parti itu benar-benar belajar yang rakyat serius mahu melihat perubahan bukan setakat perubahan malahan transformasi secara total.

Baru-baru ini LDP Jepun telah kembali mendapat mandat setelah beberapa tahun berada di pihak pembangkang setelah memerintah Jepun selama 50 tahun lamanya. Seperti yang saya sebutkan dalam posting semalam saya menunjukkan bukti parti yang membawa kemerdekaan India telah kembali berkuasa setelah dikalahkan oleh parti Janata hampir dua puluh tahun dahulu. Parti Kongress kembali dengan keadaan yang lebih baik dari sebelum ia ditumpaskan oleh Parti Janata dahulu.

UMNO pun terpaksa menghadapi situasi itu juga melainkan barisan pimpinan hari ini dengan segera memberikan laluan kepada seorang yang lain dari barisan MKT atau kabinet hari ini untuk menerajuinya untuk melihat imej dan aura yang baru dalam UMNO itu. Kurang dari itu, UMNO terpaksa menghadapi pelajaran seperti yang dilalui oleh LDP Jepun dan Kongress India.

Cara ini pun tidak mengapa kerana yang penting UMNO mesti belajar dan menjadi parti yang baik setelah melalui proses pembelajarannya, walaupun ia merupakan pembelajaran yang agak mahal. Berubah mesti berlaku.

Asalkan mendapat perubahan lakukanlah mengikut apa cara yang halal yang di benarkan oleh perlembagaan Persekutuan kita yang mapan itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Amanat Haji Hadi: Petanda besar parlimen dibubar

Harakahdaily, 18 Dis 2012
KUALA LUMPUR: “Benarlah pandangan beberapa aktivis politik, isu seperti ini adalah petanda ‘kubra’ parlimen akan dibubarkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.


Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan media mengenai Amanah Haji Hadi.

Katanya, beberapa kerat individu pemimpin utama parti Pakatan Rakyat akan dipersalahkan dan diburukkan dengan pelbagai kempen negatif.

Ini, ujarnya dengan hasrat supaya rakyat menuding jari terhadap pemimpin tersebut, dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS adalah individu utama yang perlu dijatuhkan hukuman.

Berikut ialah kenyataan beliau.

Umno yang dilihat seperti kelemasan menggunakan teknik bertahan bagi menyelamatkan kedudukannya. Isu lapuk terus dimainkan kembali bagi menghidupkan sisa-sisa survival politik mereka. Kali ini isu Amanat Haji Hadi tahun 1981 diolah kembali supaya ianya bermain di bibir umat Islam di negara ini.

Ternyata isu Amanat Haji Hadi menandakan mereka sudah kehabisan modal dan kekeringan idea bagi menangkis serangan isu yang bertali arus. Justeru, bagi menyelamatkan hayat politik mereka, mereka terpaksa memainkan kembali isu itu. Menggunakan institusi agama seperti Jabatan Mufti, beberapa ulama ditampilkan bagi mengukuhkan hujah mereka. Bersuaralah beberapa mufti menggesa agar amanat itu ditarik balik dengan hujah ia adalah suatu bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah. Tuduhan kafir yang dilemparkan dari amanat tersebut dikhuatiri akan berbalik kepada penuduh tersebut.

Bagi seorang ulama dan pemimpin parti politik seperti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau tahu apa yang beliau ucapkan, kepada siapa beliau ucapkan dan bila kenyataan itu wajar diucapkan. Bahkan, beliau tahu semua hukum berkaitan dengan kenyataan beliau itu. Sebaiknya para ulama tersebut bertemu, bermuzakarah malah berdebat dengan beliau bagi mempertahankan kebenaran. Bermain di sebalik media arus perdana tidak mendatangkan natijah melainkan hanya menjadi gelak ketawa umat Islam sahaja menandakan ketidak beranian pihak yang menuduh Presiden PAS untuk bersemuka.

Umum mengetahui bahawa UMNO adalah seterus politik utama PAS dan Pru ke 13 adalah pertarungan politik kedua parti terbesar di negara ini. Sokongan UMNO dilihat semakin menyusut manakala sokongan kepada PAS semakin bertambah setiap hari. Menyedari PAS semakin berkembang, dipercayai dan diterima baik oleh masyarakat khususnya umat Islam di negara ini dan dengan penyertaan tokoh-tokoh penting ke dalam PAS, mereka mesti melakukan sesuatu untuk melukakan imej positif terhadap PAS.

Isu agama adalah isu paling ampuh untuk menawan hati orang Melayu serta umat Islam keseluruhannya. Dimainkan isu amanat Haji Hadi dengan harapan rakyat akan marah kepada PAS, khususnya kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan PAS keseluruhannya, sebaliknya menaruh simpati kepada UMNO-BN.

Benarlah pandangan beberapa aktivis politik, isu seperti ini adalah petanda ‘kubra’ parlimen akan dibubarkan. Beberapa kerat individu pemimpin utama parti Pakatan Rakyat akan dipersalahkan dan diburukkan dengan pelbagai kempen negatif. Dengan hasrat supaya rakyat menuding jari terhadap pemimpin tersebut, dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS adalah individu utama yang perlu dijatuhkan hukuman.

Zambry diminta jelaskan pilih syarikat kroni

Muhammad Faeez Azahar, 18 Dis 2012
IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir perlu menjelaskan mengenai satu perjanjian antara pemilik tanah Rumah Perak iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan Syarikat Al Creative Developers Sdn Bhd.


Menurut Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan pegawai khas Zambry.

Beliau menjelaskan, perjanjian pembangunan tersebut berdasarkan kepada BOT (build operate transfer) di mana pemaju akan diberikan konsesi selama 30 tahun untuk mengurus Rumah Perak.

Adun Pasir Panjang itu berkata, pemaju tersebut dibenarkan membina sebuah hotel bertaraf 3 bintang setinggi 6 tingkat di tapak tanah Rumah Perak.

Mohammad Nizar berkata, selepas disemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia terbukti syarikat tersebut tidak aktif.

“Kenapakan syarikat tersebut dipilih walaupun tidak aktif dan mengapa tidak diberikan tender terbuka?

“Apakah istimewanya syarikat ini sehingga dipilih untuk menguruskan projek tersebut?” soalnya dan menggesa Zambry menjelaskannya.

Sebelum ini, PAS Perak melalui Jawatankuasa Strategik dan Isu mendedahkan perjanjian Rumah Perak yang melibatkan kroni Zambry.

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti pendedahan tersebut ada akan mengumpul maklumat sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Persidangan Dun Perak berlangsung hari kedua hari ini dan semua Adun diberi peluang berucap termasuklah daripada Pakatan Rakyat.

Sebaiknya UMNO memainkan isu rakyat bagi memenangi hati pengundi dalam menghadapi PRU ke-13. Banyak lagi isu yang perlu dijawab, manakala Umno pula perlu mengorak langkah memberikan suatu tawaran baru yang jauh lebih menarik untuk rakyat berbanding Pakatan Rakyat. Malangnya UMNO sudah tidak ada idea lagi bagi menandingi kehabatan tawaran PR.
Iklan Teks

Tiada ulasan: