Sabtu, 22 Disember 2012

MAKA BEREBUTLAH...MAKA TERBONGKARLAH...MAKA GILIRAN SALAH KITA MENERIMA HUKUMAN DARI ALLAH SWT

Muhyidin buat arahan penting kepada Media Prima

Harakahdaily, 21 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin (gambar) mengarahkan media Umno agar membuat promosi kepada kerajaan dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Arahan yang biasanya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri atau orang nombor satu ini dibuat dalam pertemuan beliau dengan para editor kanan Kumpulan Media Prima baru-baru ini.

Media di bawah kumpulan Media Prima adalah TV3, TV7, TV9 serta akhbar NST, Berita Harian dan Harian Metro.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dalam lawatan ke luar negara termasuk Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India di New Delhi selama dua hari bermula semalam.

"Biasanya arahan sebegini keluar dari orang nombor satu atau PM kerana ia melibatkan halatuju laporan media di bawah kawalan kerajaan dan Umno," kata sumber kepada Harakahdaily.

Arahan ini dikeluarkan ketika kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak rating Umno, BN dan kerajaan jatuh menjunam walaupun rating Perdana Menteri ketika itu masih bertahan.

Arahan ini dikeluarkan ketikan berita angin semakin kencang akan berlaku perubahan dalam kepimpinan negara awal tahun depan.

Seorang pemerhati politik dari Dubai dalam satu pesanan ringkasnya kepada Harakahdaily berkata, beliau mendapat maklumat akan berlaku peralihan kuasa tampuk kerajaan awal tahun ini.

Ketika ditanya, dari manakah sumber itu, beliau menjawab, "Pirates of Putrajaya."

Kesemua 'berita angin' ini sampai kepada Harakahdaily ketika tekanan semakin hebat terhadap pimpinan utama kerajaan ekoran pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh peniaga permaidani, Deepak Jaikishan. 

Kini, media alternarif, Majlis Peguam dan para peguam serta bekas menteri memberikan tekanan terhadap seorang peguam kanan yang dikatakan terlibat dalam membuat draf akuan bersumpah kedua (SD 2) penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala).

Beliau didakwa membuat akuan bersumpah itu tanpa berbincang dengan PI Bala manakala PI Bala pula mendakwa ia dibuat dalam tekanan.

Dalam SD yang pertama, PI Bala mendakwa pemimpin kanan negara terlibat dalam kematian tragis Altantuya Shariibuu manakala dalam SD 2, Bala menafikan sepenuhnya dakwaan dalam SD yang pertama itu.

Diam saja tentang hudud

Subky Latif, 21 Dis 2012
Eloknya PAS dan pemimpinnya diamkan saja  tentang hudud dan ada lebih baik tumpukan dalam lain-lain isu yang perlu masyarakat ketahui.
Jangan layan sangat sakatan UMNO mengenainya yang tujuannya adalah demi mengelirukan orang ramai dan memerangkap PAS.

Hudud adalah program PAS bagi mengabdikan diri kepada Allah dan agamanya. Ia tidak mungkin dilaksanakan selagi PAS tidak berada dalam kerajaan baik ia memerintah sendiri atau kerajaan yang disekutuinya.

Sudah  cukup setakat ini dengan pendiriannya yang sudah diketahui umum. Bahawa hudud itu sebahagian dari cita-cita politik.

PAS sudah nyatakan cita-citanya dan sebagai tanda  kesungguhannya dengan cita-cita itu ia sudah meluluskan enakmen mengenainya di Kelantan dan Terengganu.

Kedudukannya sekarang ialah seperti kenderaan yang berada  di simpang lampu trafik. Ia berhenti kerana isyarat lampu merah. Ingin kenderaan tidak dihenti. Ia menunggu lampu hijau. Bila datang lampu hijau, ia boleh berjalan.

Oleh itu jika ada orang menyakat PAS tentang hudud itu, kerana kononnya PAS munafik dengannya dan  sudah melupakannya, maka tidak perlu dilayan dan dijawab. Politik menuju ke Putrajaya boleh celaru dan keliru sama sendiri apabila ia dipolemikkan.

Cita-cita PAS itu sudah  diketahui oleh semua sama ada ia diulang atau didiamkan. Tidak perlu dinyatakan lagi. Semuanya  tahu jika PAS bersama memerintah negara, ia akan berusaha sedaya mungkin untuk menyempurnakannya.

Tidak ada makhluk yang percaya PAS melupakannya. Kalau dasar PAS berketul dapat dilihat dengan mata, kiranya perut iblis dapat dibelah, nescaya kita dapat lihat ketul itu ada dalam hatinya.

Ia tahu PAS tidak melupakannya hinggalah ia dapat menjadikan  PAS sama seperti lawannya iaitu UMNO.

Selama 66 tahun usia UMNO, sudah 55 tahun ia memacu negara merdeka, jika dibelah perut, ketul hudud tidak ada dalam hatinya. Yang ada dalam hatinya hudud PAS.

Akan iblis tadi, kurus kering ia kerana dalam hatinya ada ketul hudud yang tersimpan rapi dalam cita-cita politik PAS. Baik PAS bercakap tentangnya atau PAS berdiam saja, ia lihat dan ia rasa ketul itu ada. Ia seperti kanser baginya. Lalu ia berusaha untuk memadamkannya, menghasut PAS supaya melupakananya. Kesnernya itu akan sembuh apabila dapat menjadikan PAS sama dengan seteru politiknya.

Walaupun UMNO sudah menyakat PAS, dikatakannya cita-cita hudud PAS itu sudah jadi cacamarba apabila ia bersekongkol dengan DAP dan PKR, dan DAP terang-terang menyatakan ia menolak hudud, tetapi tetap MCA, Yahudi, Amerika dan lain-lain, jika perut masing-masing dibelah, ada dilihat ketul cita-cita PAS dalam hati mereka.

Dan katakanlah ketika menunggu 100 haru PRU13 ini tiba-tiba PAS membuat pengumuman betapa ia tidak lagi menyimpan  cita-cita politiknya, tidak lagi ia mahu meneruskan ibadatnya itu, ia tidak bercadang untuk meneruskan hudud, tiada ahli MCA yang percaya, tiada seekor Yahudi dan Amerika yang percaya.

Jika selepas ia mengumumkan mahu melupakan hudud, dibelah perut MCA dan perut  Yahudi, tetap ketul hudud itu dijumpa dalam hati mereka. Mereka tidak  akan percaya PAS sudah melupakannya sekalipun PAS betul-betul melupakannya.

Begitu juga iblis. Ia pun tak percaya PAS melupakannya. Sekalipun PAS betul-betul melupakannya, ia tetap curiga bahawa PAS mungkin taubat  dan kembali kepada cita-citanya. Selagi PAS tidak mati, ia tidak percaya PAS benar-benar melupakannya.

Atas kedudukan itu PAS tidak perlu lagi melenting atas isu hudud itu. Buat saja kerja yang patut hingga sampai ke Putrajaya.

Wang Haram RM200b: Wajib 'ubah' sebelum parah

Harakahdaily, 21 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia wajib mengubah kerajaan di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang, jika mahu menyelamatkan negara, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad.

Menurutnya, BN sudah tidak mampu untuk mengurus negara dan rakyat.

Ia jelas terbukti dengan pendedahan terbaru Global Finandial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington bahawa hampir RM200 bilion wang haram mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010.

"Mungkin pemimpin BN akan kata ini adalah agenda Yahudi hendak memburukkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau turut mengimbau kembali beberapa lagi bukti kelemahan pentadbiran BN termasuk hilang rekod kemasukan Altantuya daripada Imigresen.

Selain itu katanya, sampai sekarang rakyat tertunggu mengenai wang RM40 juta yang mengaitkan nama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia.

"Negara pernah kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai kira-kira RM50 juta milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Jikalau enjin yang besar pun boleh hilang apalah sangat wang yang boleh dilipat tidak boleh  hilang," katanya.

Selain itu ujarnya, masalah rasuah tidak ditanggani dengan serius di bawah kepimpinan Najib.

Sehingga kini katanya Najin tidak bersedia untuk menyambut Hari Anti Rasuah Antarabangsa seperti yang ditentukan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak sembilan tahun lalu.

Kelemahan ketara pentadbiran BN juga katanya dapat dilihat apabila hutang negara semakin meningkat.

Pada tahun 2004 ujarnya, hutang negara berjumlah RM242 bilion meningkat kepada RM363 bilion pada tahun 2009 dan RM456 bilion pada 2011.

"Untuk 2012, telah diunjurkan bahawa hutang kerajaan akan mencecah RM502 bilion. Menunjukkan peningkatan ketara 107.4 peratus hutang sejak 8 tahun lalu.

"Fenomena di atas jika rakyat tidak ubah negara akan parah. Telahan Datuk Seri Idris Jala yang mengatakan tahun 2019 bangkrap ada asasnya," katanya lagi.

Oleh itu tegasnya, rakyat wajib mengubah kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Tanah 606 hektar: PAS Perak gesa SPRM siasat

Muhammad Faeez Azahar, 21 Dis 2012
IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan sebanyak 606 hektar tanah kerajaan kepada tiga syarikat milik seorang individu.

Laporan ini berikutan pendedahan Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di persidangan Dun baru-baru ini.

Koordinatornya, Salman Saleh berkata, lokasi tanah tersebut adalah di Mukim Belukar Semang Daerah Hutan Hulu Perak dan kelulusan dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak pada 30 November 2012.

“Kami menggesa siasatan yang menyeluruh dan kemungkinan ada unsur-unsur salah guna kuasa dan berharap ianya berjalan dengan adil.

“Kami juga akan dedahkan berkaitan kelulusan pada 1 Oktober 2012 di bekas hutan simpan bikam, Mukim Changkat Jering, Sungkai Perak Selatan kepada tiga syarikat yang berkaitan," katanya ketika di sidang media selepas membuat laporan di Pejabat SPRM di sini.

Sementara itu, Salman turut ditanya tentang maklum balas Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Kadir semalam yang berang dengan tindakan PAS Perak membuat laporan SPRM berhubung Isu Rumah Perak kelmarin sehinggakan beliau berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.

Beliau menjelaskan, Dr Zambry cuba mengalih isu dan tidak menjawab persoalan sebenar tentang pemberian projek hotel yang akan dimajukan di tapak Rumah Perak itu kepada pegawai khasnya.

“Kami menggesa agar Dr Zambry menumpukan isu sebenar iaitu pemberian projek kepada pegawai khasnya.

“Kami hairan kenapa beliau tidak menafikan dakwaan tersebut dan kami serahkan kepada SPRM membersihkan nama menteri besar itu,” tegasnya lagi.

'Tak ganjak selagi Isa Samad tak terima memo'

Hazayani Zakaria, 21 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) memberi amaran tidak akan berganjak daripada Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak pada 28 Disember ini jika Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sendiri tidak menerima memorandum yang akan diserahkan mereka.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada Isa mengandungi empat tuntutan peneroka.

GSF menuntut Isa dipecat sebagai Pengerusi Felda dengan serta merta kerana didakwa banyak menghuru-harakan Felda sejak dilantik.

GSF juga menuntut Felda menghentikan penjualan minyak sawit kepada syarikat Israel.

Selain itu, GSF juga menuntut kerajaan menghentikan campur tangan politik dalam Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) serta mengembalikan tanah Felda Felda Plantation kepada peneroka.

"Kita minta Isa Samad sendiri yang terima dan jawab tuntutan yang kita kemukakan.

"Kalau Isa Samad tidak boleh beri komitmen kita akan berhimpun di depan pejabat hingga perhimpunan 12 Januari," kata beliau dalam sidang media di Pejabat agung PAs, jalan Raja Laut hari ini.

Perhimpunan akan bermula dengan Solat Jumaat di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan akan berarak ke pejabat Felda.

Mengulas mengenai Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari tahun hadapan, Mazlan berkata pihaknya akan mengerahkan paling kurang 20,000 anggota ke perhimpunan tersebut dengan berpakaian oren.

"Himpunan 28 Disember ini merupakan pra perhimpunan 12 Januari. Kita sudah isytihar perang dengan Felda selepas segala bantahan kita tidak diterima selama ini," katanya.

NGO Hak ditubuh, tentang pencabulan hak asasi

Khairil Abdul Rahim, 21 Dis 2012
KUANTAN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Angkatan Pembela Hak Rakyat atau ringkasnya Hak, ditubuhkan hari ini bagi memperjuangkan hak-hak rakyat negara ini selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Penajanya, Mohd Harris Abdullah, berkata Hak ditubuhkan berikutan banyak hak asasi seseorang yang dijamin perlembagaan telah banyak dicabul oleh pihak tertentu.

“Saya mengambil contoh Kembara Oren yang dianjurkan oleh Pertubuhan Anak Peneroka telah dihalang memasuki kawasan Felda, ini salah menurut perlembagaan kerana hak seseorang warganegara dia bebas untuk ke mana sahaja dalam negara ini.

“Begitu juga program jelajah yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering diganggu bahkan ada tempat beliau disekat masuk, ini juga menyalahi perlembagaan kerana beliau sebagai pemimpin sebuah parti politik mempunyai hak dalam demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Hak di lobi di sebuah hotel di sini.

Dalam sidang media tersebut turut diumumkan 8 orang ahli jawatan kuasa penaja dan akan dimajukan kepada perdaftar pertubuhan dalam tempoh seminggu.

Menurut Harris yang juga seorang peguam, antara aktivitinya Hak akan turun ke tengah masyarakat untuk menerangkan hak-hak asasi seorang rakyat Malaysia di sisi perlembagaan supaya sedar tentang kedudukan mereka.

“Hak akan menjadi watch dog kepada parti pemerintah sebagai penegur yang baik demi memenuhi hak asasi setiap rakyat, kalau sekarang BN kalau PR memerintahpun begitu juga. Hak ialah prorakyat, bukan proparti politik,” katanya.

Tambahnya, Hak bukan sahaja memperjuangkan isu-isu politik tetapi juga ekonomi dan agama.

“Dalam perlembagaan di sebutkan setiap warga negara layak mendapat tanah. Tapi cuba anda buka tanah dan usahakan, biasanya akan dirampas kerajaan walaupun tanah itu tidak pernah digunakan.

“Jadi Hak akan membela hak rakyat yang dijamin perlembagaan seperti ini,” ujarnya.

Ditanya kenapa Hak ditubuhkan menjelang pilihan raya, beliau berkata ia kebetulan berlaku banyak pencabulan hak asasi yang memaksa beliau dan rakan-rakan bertindak menubuhkan NGO itu.

Selain Harris, Mohd Zulkifli Muhamed dinamakan sebagai timbalan, Mohd Shukrie Ramli (Setiausaha), Khamsiah Shahbudin (Bendahahari). Manakala ahli jawatan kuasanya pula ialah  Mohd Fauzi Abdul Hamid, Anizam Mohd Ali, Kamarul Hatta Mohamed Ali dan Razali Alias.

Pendedahan Deepak cemar nama Najib, kata PKR

Anis Nazri, 21 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyegerakan siasatan terhadap pendedahan Deepak Jaikishan.

Penyiasatan segera itu perlu dilakukan tanpa menunggu sebarang laporan polis atau aduan kepada kedua-dua badan tersebut.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata bagaimana satu pendedahan yang dibuat terhadap Perdana Menteri Malaysia boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang siasatan.

"Tidak perlu tunggu ada laporan polis atau aduan dibuat kepada PDRM atau SPRM.  Ia membabitkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sepatutnya pendedahan itu perlu segera disiasat." tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Batu, berkata isunya kini adakah pihak berwajib seperti PDRM dan SPRM bersedia menyiasat dakwaan yang didedahkan Deepak atau bertindak sebaliknya.

Tambah beliau, sama ada pendedahan Deepak itu benar atau sebaliknya, menjadi tanggungjawab PDRM dan SPRM menyiasatnya bagi memberikan gambaran jelas terhadap rakyat.

"Jika pendedahan Deepak itu tidak benar, ambil tindakan terhadap beliau. Jika benar, ambil tindakan sepatutnya. Siasat dahulu pendedahan tersebut. Itu yang kita mahu," kata beliau lagi.

Katanya, pendedahan yang dilakukan Deepak itu sudah dibicarakan secara terbuka, dan PDRM dan SPRM perlu mengambil langkah proaktif bagi menjaga nama baik perdana menteri.

Justeru, beliau menggesa kedua-dua agensi itu bertindak segera menyiasat pendedahan Deepak tersebut.

Sebelum itu, Tian pada sidang media pagi tadi menggesa siasatan dilakukan terhadap lima individu yang berkaitan dengan pendedahan usahawan karpet itu.

Beliau menamakan lima individu itu ialah Deepak sendiri, penyiasat persendirian, P Balasubramaniam; adik Najib, Nazim Razak; dan dua peguam, Tan Sri Cecil Abraham serta M Arulampalam.

Beliau beranggapan pendedahan terbaru ini serius kerana ia mengaitkan mereka yang terlibat dalam penarikan pengakuan sumpah (SD) kedua oleh Balasubramaniam.

Menurut Chua, mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 107 Kanun Keseksaan atau Seksyen 120a jenayah terancang atau Seksyen 191 pemalsuan bukti di bawah Akta Pengakuan Bersumpah 1960.

Minyak: Awang Adek dianggap persenda titah sultan

Aslani M, 21 Dis 2012

KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussain diberi tempoh sehingga 27 Disember ini bagi menarik balik kenyataannya sebelum ini yang disifatkan cuba mempersendakan titah Sultan Kelantan.

Anak-anak muda yang bergabung di bawah Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) mendesak Ketua Umno Bachok itu memohon maaf kerana kenyataannya tidak selari dengan hasrat sultan dan rakyat Kelantan.

Baru-baru ini Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerajaan pusat tidak pernah berjanji mendaratkan minyak di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand di Bachok.

Menurutnya perjanjian mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga perairan antara sempadan kedua-dua buah negara hanya dibuat kerajaan pusat dan Thailand pada tahun 1990-an dan dipersetujui didaratkan di Songkla.

Sedangkan kata Presiden R, Nazri Deraman, titah Sultan Kelantan pada Mac lalu mengharapkan gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) didaratkan di negeri ini.

Menurut baginda gas itu dapat didaratkan kerana Kelantan telah menyediakan zon industri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun awal 1990-an.

“Ini sangat-sangat berbeza dan tersasar jauh dengan kenyataan yang dikeluarkan Datuk Dr Awang Adek Hussain yang menyifatkan kerajaan pusat tidak pernah berjanji mahu mendaratkan gas di Bachok.

“Tuanku berharap gas yang terdapat di perairan Kelantan didaratkan di Bachok. Kenyataan pemimpin terbabit jelas seperti tidak mengendahkan apa yang dititah baginda,” katanya pada demontrasi aman di perkarangan Masjid Telipot selepas solat Jumaat petang ini.

Aktivis R yang diketuai Nazri berhimpun biar pun dalam keadaan hujan bagi menuntut Awang Adek meminta maaf kerana kenyataannya jelas bertentangan dengan ikehendak rakyat Kelantan.

Mereka mengangkat pelbagai sepanduk yang mengecam kenyataan Awang Adek, antaranya berbunyi “Awang Adek Derhaka”, “Awang Adek Lidah Bercabang”, “Kami Benci Penderhaka” dan pelbagai lagi.

Turut kelihatan Setiausaha R, Hisyamuddin Ghazali dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Orang ramai yang keluar dari masjid juga turut memberi sokongan dengar mendengar ucapan aktivis R. Malah ada aktivis yang mengedar kelendar 2013 yang diterbit R, tertera gambar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ramai anggota dan pegawai polis  berada di kawasan dan luar masjid memerhati perhimpunan tersebut dari dekat.

Nazri berkata, R akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar sekiranya pemimpin Umno terbabit enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang dianggap menghina titah Sultan Kelantan.

Menurutnya juga R akan menganjurkan satu perhimpunan di Bazar Tok Guru pada 27 Disember ini bermula jam 12 tengahari sehingga petang.

Buku kartun 'Negaraku' sarat kritik pemerintah

Harakahdaily, 21 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Industri kartun dan komik tanahair bergenre satira politik bertambah meriah apabila muncul sebuah lagi buku kartun bertajuk 'Negaraku' karya kartunis Ronasina.

Dengan bertemakan 'koleksi kartun satira rakyat', buku hasil karya bekas editor majalah Gedung Kartun terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd (telah diharamkan) ini mampu mencuit hati dengan lukisan dan tulisan yang sinis, pedas dan berani.

Isu yang digarap adalah isu nasional seperti kemiskinan, rasuah, penyelewengan kuasa, tangkapan tanpa bicara, pembunuhan kejam terhadap mangsa tahanan serta kerenah lucu ahli politik tanahair khususnya dari pihak parti pemerintah.

"Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh-kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Seniman dan karyawan punya peranan masing-masing untuk menyedarkan rakyat terhadap apa yang berlaku sekarang.

"Buku Negaraku ini adalah antara koleksi kartun dan tulisan humor saya untuk memberi peluang rakyat menilai seterusnya berfikir dengan waras akan kebenarannya," ujar Ronasina yang juga pernah melukis dan menulis di akhbar portal online Merdekareview.com.

Kulit muka hadapan dan belakang buku ini dihiasi dengan lukisan kartun perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka dengan dihadiri oleh rakyat Malaysia berbagai lapisan bangsa.

Setebal 96 muka surat, buku ini juga turut memuatkan cerpen sempena Bersih 2.0 dahulu bertajuk 'Hikayat Penyakit Kuning' dan 'Kak Ijat Kampung Lembah' yang menceritakan seorang wanita berasa sedih apabila penduduk kampung sering mentertawakan dirinya yang mempunyai hobi pelik bermain dengan lembu-lembu ternakannya.

"Sedikit perbezaan berbanding buku kartun politik pengkarya lain, saya turut juga melukis drama empat muka surat bertajuk 'Suatu Hari di Lebuhraya' mengisahkan tiga lelaki upahan sedang menunggu ketibaan bas Jelajah Merdeka Rakyat untuk dibalingkan batu, cat merah dan kayu.

"Walaupun ia sebuah cerita rekaan tetapi isu yang diselitkan amat kita ketahui dan tidak dapat disangkal kebenarannya. Selain itu, drama lima muka surat Bomoh Puaka juga adalah kisah sinis tentang pemimpin yang gemar berurusan dengan bomoh demi mengekalkan kuasa," katanya lagi.

Kartunis Ronasina, 39 tahun (gambar) yang juga aktif dengan persembahan pentas seperti membaca sajak dan mengacara majlis ini turut juga mencuit pembaca dengan lakaran yang diambil dari babak filem-filem P.Ramlee  dan diubah mengikut senario politik semasa seperti adegan di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok di mana ketua penyamun berbasikal menuju gua yang penuh harta karun diikuti penyamun-penyamun yang lain.

Wajah ketua penyamun dan penyamun-penyamun itu diubah kepada wajah karikatur pemimpin negara sedang mengendong harta rompakan.

Selain itu ada juga lakaran trio Seniman Bujang Lapok berbasikal sambil menyanyi dengan wajah yang diubah kepada ahli politik tanahair, babak di dalam filem Pendekar Bujang Lapok dan lain-lain lagi.

Ada juga lukisan aktres Marilyn Monroe, potret Monalisa, patung Statue Of Liberty dan lain-lain yang berimejkan suasana politik Malaysia. Pendek kata, buku koleksi kartun Negaraku ini mempunyai keistimewaannya tersendiri yang sesuai dimiliki oleh rakyat Malaysia yang cintakan ilmu dan berfikiran positif.

Pelancaran buku Negaraku ini akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) jam 9.00 malam esok.

Tiada ulasan: