Selasa, 11 Disember 2012

BAHAYA JIKA HIDUP ATAU KERJA TERMASUK KERJA2 POLITIK TAK KIRA DOSA DAN PAHALA...DAN TAK MEMIKIRKAN BALASAN DIAKHIRAT

Lajim lempar 'bom' melalui Akuan Bersumpah

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (gambar) membuat Akuan Bersumpah (SD) hari ini dengan mendakwa pemimpin BN Sabah telah menggunakan balak untuk kekayaan ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah.

Menurut Lajim dalam SD itu, buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah.

"Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah," katanya.

Beliau juga berkata, wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri.

Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah, katanya.

"Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah," tegas Lajim dalam SD itu.


Berikut adalah akuan bersumpah Lajim Ukin.



AKUAN BERSUMPAH

Saya, Lajim Ukin (550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat
Perhubungan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19,
Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium Centre, Jalan Lintas Kepayan,
Penampang 88200 Kota Kinabalu dengan sesungguhnya dan sebenarnya
membuat perakuan berikut:

1.                 Saya adalah seorang ahli politik yang telah
memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia sejak
merdeka dalam tahun 1957;

2.                  Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan
Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat
bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994.
Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

3.                  Saya meninggalkan Kerajaan Malaysia dalam bulan
Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa tidak setuju mengenai
pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang telah lama
diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;

4.                  Sepanjang penglibatan saya dengan UMNO, saya telah
dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak tahun 2000. Majlis
Tertinggi UMNO adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi di dalam
UMNO dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO, termasuklah
hal ehwal kewangannya;

5.                  Saya juga menganggotai Badan Perhubungan UMNO
Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO di
peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;

6.                  Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau
mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’
Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang
dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;

7.                  Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa
pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang
niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini
dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan
Dato’ Seri Musa Aman;

8.                  Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen,
dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia
digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan
derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi
Ketua Menteri;

9.                  Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang
penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan
dan pengurusan di dalam UMNO di peringkat pusat dan negeri, saya tidak
pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i.               Sebarang perbincangan
yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah
RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii.               Sebarang pengisytiharan
yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada
UMNO Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii.               Sebarang bukti urusniaga,
transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO
atau Badan Perhubungan UMNO Sabah yang boleh membuktikan bahawa UMNO
Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan

iv.               Sebarang laporan atau bukti
yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan
UMNO Sabah bahawa UMNO telah mendapat manfaat dari derma politik RM40
juta itu;

10.              Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa
kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar,
menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu
dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang
hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah
tidak mendapat pulangan setimpal;

11.              Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber
untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin
kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua
Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan
kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;

12.              Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan
di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak
pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari
penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai
rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya
dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin
kerajaan Sabah;

13.              Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada
mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara
ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen
pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;

14.              Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat
dalaman yang saya ada mengenai perjalanan UMNO dan kerajaan di
peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.


Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

MCA tidak ada moral benchmark - Mustafa

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini menyifatkan MCA tidak mempunyai angka rujukan (benchmark) yang jelas dalam isu moral di negara ini.

Atas dasar itulah, MCA tidak kesah dengan apa-apa isu moral di negara ini.

Beliau mengulas tindakan MCA yang selalu menjadikan isu kawalan moral di negara ini sebagai menganggu hak-hak bukan Islam.

Mustafa mengulas apa yang berlaku di Kota Bharu apabila dua pasangan orang bukan Islam di saman oleh pihak berkuasa tempatan adalah tidak tepat sebagaimana digambarkan oleh akhbar MCA, The Star.

Akhbar The Star melapurkan tindakan kedua-dua pasangan itu sebagai berkhalwat padahal apa yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan adalah bertindak ke atas Indecent behaviour (kelakuan tidak senonoh) di tempat awam.

"Indecent behaviour ini ada. Tapi apa benchmark yang kita nak pakai? Yang dipakai di DBKL ialah bercumbu di tempat awam.

"Di Barat, mungkin kissing (bercium) boleh, tapi kalau telanjang tak boleh. Nak berlari dengan tak ada pakaian, itu saya rasa salah di Barat.

"MCA apa dia? MCA saya tak pakai benchmark MCA ini. Sebab MCA tak ada benchmark. Sebab pemimpin dia buat teruk daripada itu pun ok. MCA tak ada morale benchmark. Itu MCA," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini yang sangat tidak berpuashati dengan laporan media MCA, The Star.

Agak teruk sikit

Dalam sidang medianya itu juga, Mustafa juga berkata beliau mendapat "cerita kelakuan sebenar" mengenai individu yang disaman pihak berkuasa tempatan Kelantan sehingga mencetus sensasi di media sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan kelakuan individu berkenaan ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

"Yang ini (individu terbabit) mungkin agak teruk sikit. Saya tak nak cerita kelakuan sebenar walaupun telah diceritakan kepada saya," katanya.

Tambahnya, kes itu juga bukan tindakan pertama yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Katanya, sebelum ini juga terdapat kes denda ke atas individu bukan Islam bagi kesalahan berkelakuan tidak sopan.

"Saya dah periksa di Kelantan, bukan semua yang diberi begini (saman). Banyak kes yang diberi nasihat.

"Cuma MPKB belum ambil langkah saman (kes sebelum ini). Mereka guna budi bicara. Sebelum ini ada kes. Tapi mereka bayar kompaun. Jadi isu ini disensasikan sahaja," katanya lagi.

PR berjaya tembusi kubu BN kawasan Ali Rustam

Ahmad Danial, 11 Dis 2012
BUKIT KATIL: Pakatan Rakyat berjaya memecahkan kubu kuat BN di Peti Undi Tambak Paya, apabila satu ceramah penerangan anjuran DAP berjaya diadakan di Taman Tambak Paya di sini malam tadi.
Sebelum ini Pakatan Rakyat sukar untuk mengadakan program di kawasan Ketua Menteri itu disebabkan tiada pihak yang berani membenarkan pekarangan rumah mereka dijadikan tapak ceramah.

Pakatan Rakyat juga menghadapi situasi yang sama untuk mengadakan program tersebut sehingga tapak program terpaksa ditukar tiga kali kerana tuan rumah telah diugut pihak tertentu yang dipercayai mendapat arahan pimpinan BN.

Pengarah Program, Gandhi Rajan (gambar) berkata kejayaan PR mengadakan program malam tadi membuktikan bahawa rakyat sudah berani membuat perubahan walaupun mereka diugut.

"Rakyat sudah buka mata, mereka tidak takut lagi, apa yang penting mereka mahu buat perubahan demi masa depan anak cucu mereka dalam semua bidang termasuk ekonomi, pendidikan, maruah dan sebagainya.

"Walaupun ada gangguan dan provokasi malam tadi, kita tetap meneruskan program kerana kita tahu program ini aman dan bukan mahu buat kacau," ujar Gandhi yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, M Ravi dalam ucapannya kesal kerana kerajaan Barisan Nasional terus mengamalkan dasar perkauman dan diskriminasi terhadap sekolah-sekolah Tamil di mana ianya seolah-olah sekolah kelas kedua.

"Pasal apa sekolah itu diberi nama 'Jenis Kebangsaan’ apa itu ‘jenis’, kita pun tidak faham.

"SJKT, SJKC semuanya ada 'jenis' nampak macam sekolah ini kelas kedua, ini diskriminasi kepada rakyat kaum India,"ujar Ravi penuh semangat.

Adun Senawang,  Gunasekaran pula berkata tindakan kerajaan yang menafikan hak kaum India untuk mendapat kerakyatan Malaysia adalah satu pengkhianatan dan kezaliman kepada mereka yang terlibat.

"Ada ratusan ribu orang India yang layak tetapi tidak dapat kad pengenalan, mereka ini fasih bercakap Bahasa Malaysia dan sudah tinggal lama di Malaysia, tetapi orang Filipina yang ada di Sabah cakap Melayu pun tak tahu boleh dapat MyKad.

"Jelas kerajaan BN zalim dan tidak menjaga kebajikan rakyat sendiri dan mereka menafikan hak rakyat," tambahnya.

Janji Najib bina rumah macam Mat Jenin

Analisis Mohd Sabri Said, 11 Dis 2012
Janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membina 20 ribu rumah mampu milik menerusi Perbadanan Perumahan 1 Malaysia (PRIMA) dan pembinaan Monorail diandaikan 'Janji Mat Jenin' pada era globalisasi ini.

Dulu Mat Jenin dikaitkan dengan cerita rakyat sedang berangan-angan di pelepah kepala yang akhirnya apabila terkena angin sepoi- sepoi bahasa, dia pun jatuh ke tanah dan mati.

Angan-angannya berakhir di situ tanpa dapat direalisasikan untuk membuktikan apa yang dihajatinya dikotakan.

Mengimbau kembali kisah pembinaan perumahan oleh PRIMA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), kononnya kerana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng membelakangkan kehendak penduduk Melayu khususnya yang amat mengharapkan perubahan masa depan dengan menduduki rumah sendiri.

Namun, Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) sekadar 'tanam tebu tepi bibir' tetapi manisnya tidak langsung terasa.

Perkara itu terbukti berdasarkan rekod silam. Pada tahun 1984,  Kerajaan Negeri pimpinan Gerakan-BN di Pulau Pinang berjanji membina rumah untuk kakitangan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di atas 330 ekar tanah yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan dengan harga RM5.1 juta.

Sampai kini, sudah 28 tahun janji tersebut belum ditepati sehinggakan kawasan berkenan telah menjadi ladang kelapa sawit.  Ladang itu dikendalikan oleh sebuah syarikat kroni BN dengan sewa hanya RM7 ribu sahaja.

Begitu juga perumahan di Teluk Kumbar yang diusahakan oleh Pelaburan Harta Tanah Bumiputa Berhad (PHBB) sebanyak 235 unit di lot 405, 2303, 638, 639, 640 dan 641 di Mukim 11 Daerah Barat Daya, Pulau Pinang masih tidak jadi kenyataan.

Kerajaan Persekutuan tidak langsung menunjukan minat untuk menyelesaikan masalah itu tiba-tiba datang pula bersama-sama janji baru yang besar kemungkinan hanya janji pilihan raya.

Jika tidak percaya, sila tanya Pengerusi Kongres Melayu Pulau Pinang, Saudara Rahmad Isahak atau Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Negeri, Saudara Iszuree Ibrahim. Hal ini kerana merekalah yang memperjuangkan banyak isu tanah dan perumahan di Pulau Mutiara ini.

Selain itu, perkampungan Melayu yang bakal musnah ialah di Batu Uban di usahakan oleh Era Kemas Sdn Bhd, juga milik kroni Umno.  Jadi, di mana maruah Umno kerana para pemimpin atasan mahukan janji ditepati sedangkan kroni yang mementingkan projek terus rakus menghalau penduduk asal kerana mengejar keuntungan.

Menyentuh mengenai Monorel pula, perkara itu bukan sesuatu yang baru. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh Barisan Alternatif (BA) semasa diterajui Presiden PAS, Dato' Fadhil Mohd Noor.

Perkara ini pernah disuarakan oleh Adun Permatang Pasir, Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman, Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang (1999-2004), Abdul Rahman Kader atau Ketua Pembangkang (2004-2008), dan Phee Boon Poh yang kini menjawat jawatan exco. Mereka tertanya-tanya kemapa BN pada ketika itu tidak berminat membina Monorel untuk mengatasi masalah kesesakan terutamanya di sebelah pulau.

Tetapi, ketika hasrat untuk melihat rumah mampu milik dan monorail masih tidak kesampaian, kini ditambah pula isu pembinaan Jambatan Pulau Pinang Ke dua yang menghubungkan Batu Kawan dan Batu Maung.

Kerajaan BN juga harus melihat kembali kes 103 keluarga di rumah pangsa Mak Mandin, Butteworth. Mereka dijanjikan rumah kos rendah sejak 1985, namun tidak pernah ditunaikan sehinggalah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menyelesaikanya dengan memberikan 103 unit secara percuma bahkan mengembalikan balik pembayaran wang tunai yang dibayar kepada Kerajaan Negeri.

Dalam hal ini, rakyat wajar mengetahui setiap menjelangnya pilihan raya pasti ada janji baru akan diberikan dan apabila keputusan pilihan raya yang memihak kepada BN, janji tinggal janji dan ditinggalkan begitu sahaja.

Oleh itu, bagi mengajar sikap angkuh mengatakan hanya Umno dan BN sahaja yang boleh memberikan kemewahan adalah teriakan anak kecil yang kecewa.

'Perdana Menteri untuk semua' gagal ditonjolkan sebaliknya Perdana Menteri untuk Umno-Bn yang berlaku. Tiada sebab rakyat Pulau Pinang tidak boleh menolak Umno-BN sebagaimana penolakan dalam PRU12 yang lalu.

Tampas dan Protapas

Nasrudin Hassan at-Tantawi, 11 Dis 2012
1. Dewan Pemuda PAS adalah kilang untuk memproses sumber manusia. Samaada kategori "aset nilai semasa",  begitu juga "aset simpanan masa depan". Keduanya adalah "aset tetap" parti ini sebagai sebuah Gerakan Islam.



2. Mencorak masa depan adalah tugas dan tanggungjawab yang besar dan sukar. Bermula dengan mencetak dan mengkualitikan sumber manusia sehinggalah berpencak di medan mendepani musuh bagi memastikan objektif dan matlamat perjuangan dapat dicapai, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggalas semua amanah ini dengan penuh sedar dan insaf.



3. Kerancakan pemuda PAS menggerak langkah dan menyusun atur strategi memenangi pilihanraya umum ke 13 di pelbagai peringkat,  ianya tidak menghentikan kilang memproses sumber manusia agar sepanjang masa aset ini terus dibina, dikader dan ditarbiyah sehingga keperluan dan tuntutan jamaah atau parti dapat disediakan pada setiap detik dan ketika ianya diperlukan.



4. Antara Produk  DPPM yang diberi nafas baru dalam sektor "Binaan Sumber Manusia" ialah Tamrin Mega Pengkaderan Anak Pimpinan PAS [TAMPAS] dan Program Tarbiyah dan Pengkaderan  Anak Ahli PAS [PTOTAPAS].  Kedua-dua produk tersebut kini terhangat di pasaran.



5. Sedang berlangsung di Kem Rekreasi D' Congkak Forest Sungai Congkak Selangor ialah TAMPAS. 40 orang peserta berdaftar sedang mengambil skima khusus TAMPAS yang bermula jam 4.00 petang kelmarin dan dijangka berakhir jam 2.00 pm pada 12 Disember kelak.



6. TAMPAS adalah projek  musim cuti sekolah, sekurang-kurangnya ia berlangsung pada kadar 3 kali setahun dengan modul yang sangat menarik dikendalikan oleh Jabatan Pengkaderan Pelajar [JPP] Dewan Pemuda PAS Malaysia.



7. Sasaran TAMPAS ialah anak - anak EXCO Dewan Pemuda PAS Malaysia [DPPM], Dewan Ulama' PAS  Malaysia [DUPM],  Dewan Muslimat PAS Malaysia  [DMPM] dan anak AJK PAS Pusat.



8. Sementara PROTAPAS pula diadakan di negeri masing - masing sepanjang musim cuti sekolah ini. Ia juga projek yang dilaksana pada kekerapan yang sama dengan memanafaatkan jumlah musim cuti persekolahan. Jadual telah dikeluarkan dan rujukan ahli PAS untuk menghantar anak-anak mereka di lokasi yang sesuai ialah dengan menghubungi Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing.



9. Matlamat utama TAMPAS dan PROTAPAS ialah [melahirkan seramai mungkin generasi pelapis kepimpinan parti yang menepati piawaian kepimpinan Gerakan Islam yang dicorak dan dicetak mengikut acuan Islam]. Saya mengharapkan ianya dapat dilaksanakan secara terancang di semua peringkat parti saban musim cuti persekolahan.



10. Sementara TAMPAS dan PROTAPAS berjalan di atas track yang telah ditetapkan, sektor-sektor lain seperti kebajikan, penerangan, pilihanraya dan strategi yang melibatkan pelbagai lajnah dan jabatan termasuk undang - undang akan terus mainkan peranan masing-masing, terutama untuk memastikan parti menang dalam pilihanraya umum kelak.



Mencorak Masa Depan

Selamat berjuang dari saya

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia




Mencorak Masa Depan

Salam dari:
Aku Pejuang Islam ~API~

Negara perlu politik baru jaga kepentingan semua

Aspan Alias, 11 Dis 2012
Politik sekarang amat membingungkan kita. Ini disebabkan situasinya sekarang merupakan situasi yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Oleh kerana keadaan politik kali ini terlalu jauh perbezaan maka sudah tentu ia memerlukan cara dan kaedah penyelesaian yang agak ‘unorthodox’: maksud saya ia tidak boleh diselesaikan dengan siapa kalah siapa menang semata-mata. Apa yang penting sekarang ini seperti yang pernah saya sebutkan, penyelesaiannya ialah dengan mewujudkan situasi yang baru dan mewujudkan politik yang baru.
Politik ‘yang menang ambil semua dan yang kalah hilang semua’ seperti yang kita amalkan selama ini sudah agak ketinggalan kerana ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat dan negara. Pihak yang untung hanyalah pemimpin-pemimpin yang berjaya membaiki kedudukan  sosial mereka sahaja. Formula yang baru terpaksa kita wujudkan kerana kita tidak lagi menerima kegagalan untuk pencapaian matlamat yang ‘ultimate’ bagi  negara, iaitu perpaduan rakyat semua kaum.

Perpaduan semua kaum ini tidak boleh kekal jika politik itu tidak berada di premis yang adil dan saksama. Pendapat saya yang amat penting sekarang ialah seorang pemimpin yang berstatus Law Maker (bukan dikalangan pemimpin dalam kerajaan sekarang) yang dihormati oleh semua pihak dan diyakini tentang kejujuran dan bersifat ‘magnanimous’ tampil kehadapan untuk memulakan politik dan kepimpinan yang baru. Pemimpin itu mestilah berupaya untuk membawa semua ke meja perundingan terutamanya pimpinan yang mewakili kaum yang terbesar di negara ini.

Keadaan ini pernah berlaku di negara ini semasa negara menghadapi krisis di antara kaum selepas trajedi 13 mei dahulu di mana Tun Razak sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negara (MAGERAN) telah berunding dengan semua pihak untuk mencari formula untuk mendapatkan penyelesaian kepada kemelut ketegangan di antara kaum semasa itu. Hasilnya wujud lah BN dengan beberapa dasar penting yang digubal untuk mencapai matlamat perpaduan kaum di negara ini.

Jika rundingan itu di adakan sekarang perbezaannya hanya satu sahaja. Kalau dahulu usaha penyatuan itu berlaku selepas kejadian berdarah, yang sekarang ia dilakukan sebelum keadaan bertambah parah yang mungkin mewujudkan kecenderungan untuk insiden itu berlaku. Sekarang ini kita nampak jelas ‘pattern’ sokongan rakyat terhadap parti-parti yang sedang bergiat di negara ini.

Jika kita pandang dari sudut sokongan berdasarkan kepada kaum, kita nampak jelas kaum Cina sedang berada di belakang DAP misalnya. Orang Melayu sekarang sedang berada di belakang PAS dan tidak kurang ramainya di belakang PKR. UMNO pula masih berkeyakinan yang mereka juga masih mempunyai saki baki sokongan dari orang Melayu Islam.

Oleh kerana ini keadaannya sekarang amat perlu bagi kita untuk memanggil ketua-ketua parti yang saya sebutkan tadi untuk mewakili kaum-kaum tersebut untuk duduk semeja dalam rundingan yang serius untuk membentuk negara yang baru yang lebih progressif dan memandang kehadapan dengan penuh optimis.

Situasinya sekarang amat bersesuaian bagi DAP, PAS dan UMNO dengan pimpinan yang baru untuk duduk bersama-sama berserta dengan PKR yang juga merupakan sebuah parti yang mempunyai ‘consequence’ yang tidak kurang besarnya di dalam politik dan siasah negara sekarang ini.

Dalam keadaan sekarang Pakatan Rakyat agak mendahului dari sokongan rakyat yang ramai. Kekuatan ini didasarkan oleh keinginan rakyat melakukan perubahan kerana mereka (rakyat) sudah terlalu tidak berkeyakinan dengan segala apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan sekarang.

Rakyat sudah terlalu sensitif dengan kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang tidak ada batasnya pada hari ini. Malahan keinginan rakyat untuk melakukan perubahan pada hari ini telah menjadikan pemimpin-pemimpin dalam UMNO terutamanya menjadi begitu kecut perut untuk menghadapi kekalahan di dalam pilihanraya kali ini. Ramai berpendapat tidak ada sebab pimpinan hari ini takut jika kalah dalam pilihanraya kali ini kerana itu adalah kehendak demokrasi yang sebenarnya.

Mana-mana pihak yang berkuasa mesti mempunyai pemikiran dari awal-awal waktu mendapatkan mandat itu bahawa kuasa itu adalah pinjaman dari rakyat dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Banyak parti-parti kerajaan dalam dunia ini mengalami kekalahan kerana penolakan rakyat mereka. Sekarang mungkin sudah sampai masanya giliran UMNO dan BN pula untuk menghadapi kekalahan itu, yang bukannya kejadian yang tidak biasa yang kita lihat dan tontoni sejak dari dulu lagi.

Kelompok ramai ini mempunyai pendapat yang ketakutan yang sepatutnya tidak bersebab ini wujud kerana keresahan dari ‘consequence’ kekalahan itu sendiri, iaitu terbongkarnya banyak perkara sumbang dan jenayah yang telah dilakukan oleh UMNO selama ini, dan itu memang perkara yang biasa berlaku oleh kerana berkuasa terlalu lama. Bukan sedikit di dunia hari ini bekas Presiden dan Perdana Menteri masuk penjara apabila kehilangan kuasa semata-mata kerana banyak kesalahan yang mudah dikenalpasti oleh pimpinan sebelumnya.

Bagi negara kita perkara itu juga tidak mustahil kerana itu pun isu terbesar yang dihadapi oleh pimpinan kita. Adalah mudah bagi pihak yang mengambilalih itu mengenali segala kesalahan yang dilakukan oleh barisan pimpinan UMNO dan BN itu.

Untuk penyelesaian tentang isu ini dendam-mendendam wajar di ketepikan jika kita mahu melihat kerajaan yang bersih dan telus di alami oleh rakyat setidak-tidaknya selama 50 atau enam puluh tahun yang akan datang. Pimpinan yang ada pada hari ini perlu berani menghadapi keadaan ini dengan meletakkan jawatan en bloc dan memberikan usaha melakukan rundingan yang sangat penting ini kepada seorang Law Maker Melayu yang secara relatifnya di hormati oleh Ahli Ahli Dewan Rakyat sekarang ini.

Kalau kita selidik, bukan tidak ada pemimpin yang berkualiti seperti ini di dalam Dewan Rakyat sekarang ini bagi menggalas tanggungjawab itu. Seseorang yang dipertanggungjawabkan itu mestilah tidak ada sifat dendam-mendendam terhadap barisan pimpinan yang dicadangkan untuk berhenti itu dan yang telah mengaku di atas kesilapan yang lalu.

Itu sebabnya saya amat tertarik dengan ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah di ucaptama beliau di satu Majlis anjuran kelab rotary baru-baru ini supaya di adakan ‘Truth and Reconciliation Commision’ dan suruhanjaya ini di wujudkan untuk mengenal pasti semua kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan sekarang ini tetapi tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan itu, tetapi merundingkan segala penyelesaian terhadap semua kesalahan tersebut.

Misalnya jika ada rasuah wang diambil secara besar-besaran oleh mereka yang terlibat mereka wajar mengembalikan semuanya kepada rakyat dalam jangkamasa tertentu, misalnya selama 6 bulan atau setahun untuk melakukannya. Segala-galanya diurus dan ditadbir oleh suruhanjaya ini. Jika mereka yang terlibat tidak mahu serta enggan untuk melakukannya dalam tempoh yang telah di tetapkan itu, barulah penguatkuasaan undang-undang itu dilaksanakan secara telus dan terbuka di lakukan oleh suruhanjaya ini.

Dengan memberikan tugas kepada seseorang yang berwibawa yang tinggi, maka semua pihak tidak akan menjadi mangsa dendam kecuali mereka ini degil dan tidak sedar-sedar dengan kesalahan yang mereka lakukan itu.

Selain dari itu jika sistem berbagai dan berbilang parti ini sudah tidak boleh bertahan lagi mungkin sistem satu parti perlu di wujudkan dalam negara ini dan dalam sesuatu sistem satu parti wujud negara mesti berwajib untuk mendapatkan dan mencari kepimpinan yang kuat dan ‘magnanimous’ terus-terusan untuk mengambil alih warisan kepimpinan setidak-tidaknya selama 50 atau enam puluh tahun yang akan datang atau lebih lama dari itu.

Masanya sudah sampai untuk semua pihak untuk melakukan usaha penyatuan rakyat yang sudah terlalu berpecah belah oleh kerana politik perkauman yang kini sangat menebal di dalam negara kita ini. Kita sudah nampak ‘pattern’ sokongan politik berdasarkan kepada perkauman.

Seperti yang saya sebutkan di atas wakil-wakil dari berbilang kaum ini sudah dikenal pasti. Kita nampak rakan kita kaum Cina memang tidak syak lagi boleh mewakilkan pimpinan DAP untuk melakukan transformasi politik yang besar-besaran ini. Kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini ada PAS dan pemimpin gantian di dalam UMNO (lain dari pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini) dan India boleh di wakilkan oleh parti yang mewakili kaum itu.

Mulakan politik dan sistem kenegaraan yang baru. Apa yang penting kita mesti mencapai perpaduan kaum yang sejati dalam negara ini dan tanpa penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan seperti kegiatan rasuah dan menjahanamkan harta rakyat yang ada di dalam perbendaharaan rakyat itu.

Perkara ini bukan satu usaha yang mudah tetapi ia tetap akan mampu dilakukan dengan baik dan jayanya asalkan sahaja semua pihak jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita yang kaya raya dengan anugerah Tuhan ini kekal sebagai negara yang mempunyai daulat dan ‘integrity’ yang tinggi sampai bila-bila.. Apa yang penting ialah kemahuan yang kuat serta sikap berkorban yang tinggi serta tidak ada sifat dendam mendendam lagi.

Jika usaha seperti ini tidak mahu dilakukan maka di dalam pilihanraya yang akan datang ini, peralihan kuasa akan dilakukan dengan sistem perundangan akan terlaksana terhadap mereka yang telah melakukan kesalahan besar terhadap negara ini.

Bagi rakyat mereka mahu melihat perubahan. Jika perubahan boleh dilakukan dengan rundingan semua pihak tidak ada siapa dikalangan rakyat tidak mahu menerimanya. Kita utamakan keharmonian sistem politik negara, dan dalam melaksanakannya banyak pihak wajar berkorban semata-mata untuk negara.

Laksanakan sumpah dan janji untuk berjuang bagi kepentingan negara dan bukan untuk yang lain. Apa yang terpenting sekarang ini rakyat sudah jemu dengan politik retorik dan tipu helah dan membudayakan politik menghina dan memperlekehkan pihak yang ingin menuju kemajuan.

Berfikir dan bertindak lah dalam ketenangan kerana segala masalah akan terlerai hanya dalam keadaan pemikiran kita yang tenteram dan aman. Let’s go back to basic. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Langgar syarat: Kerajaan didesak tarik balik TOL Lynas

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO Solidariti Hijau menggesa kerajaan membatalkan lesen sementara (TOL) kepada Lynas ekoran keengganannya menghantar sisa toksid kilang itu ke luar negara.

Ini kerana, berdasarkan kenyataan dari empat menteri sebelum ini, lesen TOL Lynas diberikan dengan syarat bahan sisa toksid kilang itu dibawa ke negara asal iaitu Australia.

Zulkefly Mohd Omar (gambar) yang juga Pengerusi Green Wold mewakili 80 NGO Solidariti Hijau dalam kenyataannya berkata, terbukti sekarang Lynas akan melanggar syarat yang diberikan oleh kerajaan.

"Maka sewajarnya, Lesen Sementara Operasi(TOL) itu TERBATAL dengan sendirinya dan LYNAS Malaysia seharusnya tidak dibenarkan memulakan operasi kilang LAMPnya di Gebeng Kuantan," kata beliau dalam kenyataannya.

Pengarah Urusan Lynas, Datuk Mashal Ahmad dalam kenyataannya berkata, sisa buangan dari Kilang Lynas itu tidak akan dihantar keluar dari Malaysia kerana Lynas terpaksa mematuhi Konvensyen Antarabangsa yang menghalang eksport keluar sisa buangan berbahaya itu ke luar negara.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu ucapannya mendesak kerajaan BN menghentikan operasi kilang Lynas selepas gagal mematuhi syarat yang diberikan kerajaan.

"Atau empat menteri yang membuat janji ini kena letak jawatan bagi mengambil tanggungjawab di atas kegagalan ini," kata Guan Eng.

Ekoran kegagalan itu juga, Zulkefly bersama dengan 80 NGO Solidariti Hajaunya akan menghantar satu memorandum bantahan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada hari Khamis 13 Disember jam 10 pagi di pejabat MITI Jalan Duta Kuala Lumpur.

Habibie: Zainudin dangkal, berprasangka keji

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Zainudin Maidin adalah sosok angkuh (arogan) dan rasis yang merupakan salah satu antara penyebab tercetusnya krisis bilateral membabitkan Malaysia-Indonesia.

“Saya dimaklum dan terkesan dengan serangan jelek oleh Zainudin Maidin ke atas mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie (gambar) seperti yang diterbit semalam oleh Utusan Malaysia, akhbar milik Umno,” ujar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tulisan Zainudin sememangnya diketahui dangkal (mediocre) dan beliau mewakili sosok elit Umno yang berprasangka keji terhadap negara Indonesia.

Menurutnya, ramai sedia maklum tentang latar belakang Zainudin; mantan editor akhbar Utusan Malaysia milik Umno, juga mantan menteri penerangan yang sering menuding jari dan melabel kelompok yang tidak sehaluan dengan Umno sebagai ‘pengkhianat’.

“Zainudin merupakan satu-satunya menteri kanan yang tewas dalam pilihan raya umum lalu kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat, justeru kita bisa memahami keresahan, dendam dan motif beliau dalam melancar serangan sebegini,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang.


سُوۡرَةُ البَقَرَة
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
الٓمٓ (١) ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢) ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ (٤) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَىٰ هُدً۬ى مِّن رَّبِّهِمۡ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٥) إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ سَوَآءٌ عَلَيۡهِمۡ ءَأَنذَرۡتَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تُنذِرۡهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ (٦)
Surah Al-Baqara
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Alif, Laam, Miim. (1) Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (2) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3) Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). (4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5) Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: Samada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (6)

Lynas: Adakah MB Pahang sanggup potong telinga?

Tuan Ibrahim Tuan Man, 11 Dis 2012
Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport  dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.
Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.

Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.


1. Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.

3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan Guang Ming Daily.

Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?

Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya. PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.

Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.


Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas, sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana sisa ini akan dihantar.

Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat bertegas menentang projek ini.

Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai langkah mudah?

Tiada ulasan: