Jumaat, 21 Disember 2012

SEMUA ORANG TAHU MEMANG TERUK...SEBAB NAK MENGHIMPUN KEKAYAAN

Aksyah: Saya ‘kenal’ siapa kamu, kata Lahirul

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak Ketua Penerangan Umno Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah meletak jawatan dalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) secara terhormat bagi menjamin ketelusan pengendalian pilihan raya akan datang.

Ketuanya Lahirul Latigu berkata, biarpun Aksyah membuat pengakuan telah meletakkan jawatan dalam Pemuda Umno sebelum dilantik Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Negeri Sabah , namun beberapa persoalan berkaitan 'kecenderungan' beliau masih boleh dipersoalkan.

"Sungguhpun beliau (Aksyah) sudah menjawab kenyataan dengan memberikan gambaran sudah lama meletak jawatan dalam pemuda Umno sebelum terlibat sebagai pegawai di SPR Sabah, namun itu bukanlah satu jaminan kukuh bahawa beliau tidak terlibat sepenuhnya.

"Persoalannya, adakah benar beliau sudah meletak jawatan dalam Umno, dan dengan memegang jawatan penting dalam pemuda Umno, adakah beliau benar-benar ‘bersih’ dan tidak 'bias' terhadap parti yang diwakilinya?" soal Lahirul dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lahirul lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati Aksyah mempunyai peranan penting dalam memenangkan Umno dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu serta beberapa Pilihanraya Kecil (PRK) sama ada secara langsung mahupun tidak atau di belakang tabir.

Oleh kerana itu jelasnya, pihaknya khuatir sekiranya Aksyah masih memegang jawatan SPR, pelbagai kemungkinan yang tidak mustahil bakal berlaku.

"Justeru, kita mendesak supaya Aksyah meletak jawatan daripada memegang sebarang jawatan yang berkaitan SPR secara terhormat.

“Saya kenal siapa Aksyah," tegasnya.

Penangguhan AES, GST, cukai tel pra-bayar hanya sementara?

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Jangan seronok dengan penangguhan sistem AES (Automated Enforcement System), GST (cukai barangan dan servis), tarif elekrik, cukai telefon pra-bayar dan sebagainya kerana ini semuanya bersifat sementara saja sehingga BN berkuasa lagi.

“Kesemua ‘hadiah penangguhan’ ini hanya menanti keputusan pilihanraya umum sahaja sebelum ditarik balik.

"Kalau keputusan menyebelahi BN, maka semua yang ditangguhkan ini akan dikuatkuasa semua, dan rakyat akan terus terbeban dengan pelbagai peraturan yang menyusah dan tidak masuk akal,” Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) memberikan peringatan kepada rakyat dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut berkata bahawa disebabkan PRU13 dianggap sebagai pilihanraya umum yang paling penting dalam sejarah negara, maka banyak projek mega untuk kroni terpaksa ditangguh dahulu kerana BN khuatir ia akan menjadi peluru bagi PR.

“Rakyat mempunyai kuasa memilih, samada ingin peraturan yang membebankan mereka diterus atau dibatalkan sahaja. Mengekalkan BN bermakna penangguhan sementara akan dikuatkuasa semula, atau menumbangkan BN, maka peraturan itu akan terus dibatalkan,” tegas beliau.

Mengulas mengenai penangguhan sistem AES, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata kemelut itu bukti jelas kepada rakyat untuk melihat caca-merba yang sedang melanda Malaysia.

“Walaupun Menteri Pengangkutan serta anggota kabinet telah berulang kali menyatakan AES tetap akan dilaksanakan, namun terkini ia ditangguhkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Yang aneh menteri putus untuk laksana, manakala peguam negara boleh batal arahan menteri. Inilah caca-merba yang sedang melanda Malaysia,” kata beliau.

Beliau turut menyindir bahawa situasi ini menimbulkan kekeliruan terhadap “siapa buat polisi dan siapa pelaksana polisi” dan untuk menyelesaikan situasi ini adalah “lebih baik salah seorang letak jawatan.”

“Kalau kira patut peguam negara kerana melanggar arahan menteri, tetapi kalau difikir semula arahan peguam negara dijadikan keputusan, bukan arahan menteri, maka eloklah menteri tu letak jawatan,” kata beliau.

Sebelum ini, atas bantahan rakyat dan desakan PRU13, kerajaan BN telah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan GST, cukai telefon pra-bayar dan kenaikan tarif elektrik sehingga selesainya PRU13.

Dua hari yang lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Wang Haram: Laporan GFI bukti rasuah M’sia teruk

Harakahdaily, 20 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Laporan terbaru Global Financial Integrity (GFI) yang meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam senarai aliran keluar wang haram menggambarkan besarnya ketirisan ekonomi negara dipindahkan ke luar negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ianya juga menjadi bukti bahawa rasuah dan penyelewengan yang menjadi aspek utama mempengaruhi jumlah pengaliran wang haram, sangat kritikal.

"Dapatan kajian GFI ini memberi gambaran besarnya ketirisan ekonomi dalam negara dipindahkan ke luar negara yang akhirnya merugikan rakyat.

"Ia menjadi bukti bahawa rasuah, penyelewengan dan tiadanya disiplin tata kelola yang telus akhirnya akan meranapkan kedudukan ekonomi Malaysia yang dibina selama ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan badan pemantau GFI yang berpangkalan di Washington yang merumuskan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Laporan terbaru itu mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia - dari US$30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada tahun 2009 kepada US$64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010.

Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun - dari 2001-2010 - Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah US$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah US$2,740 bilion dan Mexico, US$476 bilion.

Menurut Anwar, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyaksikan jumlah aliran keluar wang haramnya meningkat satu kali ganda dalam tempoh setahun antara 2009 hingga 2010.

"Tempoh 2009 dan 2010 ini adalah tempoh kritikal pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menggambarkan dasar dan pendekatan ekonomi yang beliau laksanakan.

"Justeru, peningkatan satu kali ganda aliran keluar wang haram di dalam tempoh ini membuktikan bahawa dasar dan pendekatan ekonomi beliau gagal membanteras rasuah, gagal menyekat aktiviti jenayah yang menjadi dalang ekonomi haram dan gagal memperkuatkan institusi negara untuk membudayakan tata kelola yang baik," katanya.

Anjur wacana

Menurut Anwar lagi, ekoran kegagalan itulah beliau tidak putus-putus melontar cabaran debat kepada Najib namun perdana menteri itu mengelak dan tidak menyambutnya.

"Setakat ini, rekod pengurusan ekonomi beliau (Najib) tidak memberangsangkan. Selepas empat tahun menjadi Menteri Kewangan, beliau masih belum menyelesaikan masalah pokok ekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, perumahan rakyat yang tidak mencukupi, gaji yang tidak meningkat dan rasuah yang berleluasa.

"Pada peringkat pengurusan ekonomi makro pula, beliau masih gagal menyelesaikan masalah hutang negara, defisit belanjawan yang berpanjangan dan terkini, aliran keluar wang haram yang meningkat satu kali ganda di bawah pentadbiran beliau," katanya yang juga Ketua Umum PKR.

Sehubungan itu katanya, Pakatan Rakyat akan mengambil inisiatif untuk membawa pihak-pihak terbabit ke meja rundingan untuk mendalami masalah ini dan memuktamadkan pelan tindakan membanteras aliran keluar wang haram.

"Hari ini, saya akan menulis kepada Tan Sri Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara, GFI dan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat untuk menjemput mereka menganggotai wacana membanteras aliran keluar wang haram yang dijangka diadakan dalam bulan Januari 2013.

"Saya percaya negara memerlukan pendekatan membina untuk menyelesaikan masalah ini. Langkah segera perlu diambil dengan memuktamadkan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan, bukannya dengan mengelak dari menjawab isu seperti mana gelagat Dato’ Seri Najib Tun Razak setakat ini," katanya.

Larian Sihat Titiwangsa Ahad ini

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Yayasan Prihatin Titiwangsa (YPT) dengan kerjasama Nisa’ Wilayah Persekutuan (NISA WP) akan menganjurkan Larian Sihat Titiwangsa 2012 (LARIS 12) 23 Disember ini.

Ia akan jam 7.30 pagi bermula dari Taman Tasik Hiliran Ampang, Kuala Lumpur bakal merentas kawasan sekitar Desa Pahlawan, Desa Pandan, Taman Maluri, Kampung Pandan dan kembali ke Taman Tasik Hiliran Ampang semula.

Menurut pengarah projek ini, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz, larian ini diadakan dengan tujuan menyahut seruan agar menggalakkan masyarakat hidup dalam budaya yang sihat sejahtera.

Program ini dianjurkan menyedari bahawa kadar kesihatan rakyat Malaysia semakin menurun dengan pelbagai penyakit menyerang masyarakat khususnya terhadap generasi muda, dan kebanyakannya berpunca dari amalan kesihatan yang tidak dijaga seperti pemakanan tidak seimbang serta kurangnya senaman.

LARIS 12 juga diadakan bagi memupuk semangat persaudaraan dalam masyarakat serta kehidupan positif.

"Apa yang diharapkan, LARIS 12 dapat membina masyarakat yang prihatin, harmonis, toleransi serta saling membantu bagi menangkis budaya kehidupan liar dan tidak sihat seperti dadah, jenayah dan zina," kata Suhaimi (gambar) dalam satu kenyataannya.

Antara tetamu yang bakal hadir adalah saudara Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, Penasihat Undang-Undang Yayasan Prihatin Titiwangsa (YPT) yang akan merasmikan LARIS 12, Dr Rosni Adam dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz (PKWR), Mej (B) Ustaz Abdullah Abdul Wahab (YDP Titiwangsa), Puan Khairi Syutina Mahmood, Ketua Nisa WP dan lain-lain lagi.

Pelbagai aktiviti sampingan disajikan bagi menarik kehadiran tetamu ke LARIS 12.

Antaranya aktiviti kanak-kanak dengan pertandingan mewarna dan origami, sukaneka kanak-kanak, cabutan bertuah untuk peserta LARIS 12 serta gerai jualan.

Semua peserta LARIS 12 juga akan diberikan T Shirt percuma dengan yuran penyertaan hanya RM 10 (dewasa dan veteran) manakala RM 5  untuk remaja. Malah, maskot PASTI Hadi dan Huda turut menceriakan suasana program tersebut.

Dianggarkan seramai 500 peserta akan menyertai larian ini dengan pelbagai kategori disediakan seperti veteran lelaki dan perempuan (45-60 tahun), dewasa (18-44 tahun) bagi lelaki dan perempuan serta remaja (13-18 tahun) untuk lelaki dan perempuan.

Hadiah utama untuk 10 pemenang utama setiap kategori disediakan dengan nilai RM2,000 jumlah keseluruhannya.

Bagi mereka yang ingin menyertai LARIS 12, boleh menghubungi Sdri Aminah di talian: 019 3694720 atau Sdr Hilman Muslim di talian : 013 3006125.

Lynas: Rakyat jadi tikus makmal

Zulkefly Mohamad Omar, 20 Dis 2012
Saya ingin memetik kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom(AELB) Raja Abdul Aziz Raja Adnan (dari Malaysiakini -http://www.malaysiakini.com/news/217019) bahawa proses rawatan sisa buangan dari Kilang Lynas masih belum diuji dan kerana itu, AELB masih tidak dapat mengesahkan bahawa proses itu selamat dan boleh mengurangkan residu radioaktif kepada bahan yang rendah tahap radiasinya serta selamat untuk dihantar ke luar negara sebagai produk komersial.

Sesuatu yang janggal apabila ramai pihak mengakui bahawa proses kosultansi rakyat atau ‘public engagement’ dari peringkat awal projek Lynas ini dengan penduduk terdekat sangat lemah, Lesen Sementara Operasi (TOL) tetap diluluskan.

Terbukti bahawa TOL itu diluluskan dalam keadaan proses rawatan sisa buangan masih belum diuji selamat dan rakyat sekali lagi tidak dibawa berbincang mengenainya.

Ini lah yang saya katakan sebelum ini, penduduk terdekat khususnya di sekitar Balok yang majoritinya terdiri dari kalangan kaum Melayu termasuklah dari kalangan anggota tentera laut dan penguatkuasa APMM di sekitar 20 ribu orang seolah-olah ‘DITIKUS MAKMALKAN’ untuk menguji dan mengesahkan tahap keselamatan kilang Lynas itu.

Adakah jaminan pengawasan ketat dari AELB terhadap operasi Kilang itu memadai untuk menjamin tahap keselamatan dan kesihatan rakyat?.

Di manakah Pelan Tindakan Kecemasan(ERP) yang harus melibatkan tindakan bersama penduduk terdekat dan agensi penguatkuasa lain seperti BOMBA dan PDRM jika berlaku kemalangan atau kebocoran yang tidak terkawal dari Kilang itu?

Adakah konsep ‘TIKUS MAKMAL’ ini satu-satunya cara untuk mengesahkan tahap keselamatan Kilang itu? Jika Lynas mempunyai pengalaman yang luas dalam Industri Nadir Bumi ini, kenapa seluruh proses yang terlibat tidak diuji terlebih dahulu di negara asal mereka (Australia) sebelum TOL diluluskan?

Seharusnya, satu organisasi yang mengakui ‘berpengalaman luas’ dalam Industri Nadir Bumi telahpun mempunyai rekod prestasi yang tidak perlu dibuktikan tahap keselamatannya.

Kenapa ia masih perlu diuji? Kenapa kilang itu dijadikan MAKMAL UJIAN pula apabila jelas terdapat ramai penduduk di sekitarnya?

Dimanakah rasionalnya pendekatan yang berisiko tinggi ini?

Adakah pendekatan ini dibawa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk terdekat khususnya? Lebih-lebih lagi berkenaan langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh LYNAS dan AELB serta persediaan yang perlu oleh penduduk terdekat?

Inilah yang saya katakan tidak ada kesungguhan untuk mendahulukan rakyat dalam soal ini. Momokan bahawa rakyat didahulukan hanya retorik murahan pihak tertentu.

Jelas, LYNAS DIDAHULUKAN, RAKYAT DIRADIOAKTIFKAN.

TOL harus dibatalkan!



(Penulis adalah Pengerusi NGO Green Clean World(GCW) dan Gabungan 80 NGO Solidariti Hijau)

Palestin ancam bawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Terjemahan Mohamad Yahya , 20 Dis 2012
Perunding kanan Palestin Rabu lalu berkata aktiviti penempatan baru telah mempercepatkan pelan Palestin untuk mengemukakan kes terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Aktiviti penempatan yang semakin pesat dan semua tindakan Israel, dari pembunuhan sehingga ke tangkapan, semakin mendesak kami untuk mempercepatkan usaha kami ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)." Mohammed Shtayyeh memberitahu agensi berita AFP.

Dengan status baru mereka di PBB, Palestin berpotensi untuk mempunyai akses kepada ICC di The Hague, Belanda, mencetuskan kebimbangan tenang kemungkinan mereka menyaman pegawai kerajaan Israel kerana jenayah perang - terutamanya kerana membina penempatan haram.

Shtayyeh berkata insiden terkini mengenai memberi kebenaran untuk membina penempatan baru sebenarnya tiada kaitan dengan usaha Palestin di PBB, tetapi sebahagian daripada "kempen pilihanraya untuk kerajaan haluan kanan" Netanyahu menjelang pilihan raya umum pada 22 Januari.

"(Keputusan) Ini adalah pengumuman berakhirnya penyelesaian dua negara," katanya.

Minggu lepas, Shtayyeh berkata satu pasukan undang-undang Palestin sedang mencari badan-badan antarabangsa untuk mengemukakan kes, termasuk ICC dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dan memberi amaran bahawa tindakan Israel telah "mendesak" mereka ke arah yang lebih cepat daripada yang mereka mahukan.

Dr Ariffin lapor polis ekoran didakwa fitnah

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Ekoran dakwaan difitnah oleh sebuah portal berita, Naib Pengerusi DAP,  Dr Ariffin SM Omar akan membuat laporan polis hari ini.

Beliau akan membuat laporan polis itu di Balai Polis Jalan Stadium dekat sini tengahari ini.

Sebelum ini laman web pro-Umno, Antarapos.com telah melaporkan kononnya Ariffin mendakwa monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam punca rasuah.

Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin mendakwa, Ariffin menuduh orang Melayu sebagai paling korup.

"Apabila kita kata perkauman, DAP tak mengaku tetapi kenyataan dia menuduh orang Melayu sebagai paling korup menunjukkan ternyata benar mereka bersikap demikian," kata Muhyidin sebagaimana dilaporkan laman web yang dipimpin bekas kakitangan  CCSB, organ penerangan kerajaan negeri Selangor yang menamatkan perkhidmatan mereka.

Laman AntaraPos penuh dengan berita negatif tentang kerajaan negeri Selangor, bekas majikan mereka sebelum ini.


(Kandungan AntaraPos..penuh dengan laporan negatif hal Selangor)


Senator Dr Ariffin SM Omar menafikan tuduhan beliau mengatakan monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam punca berlakunya rasuah dan salahguna kuasa seperti didakwa Muhyiddin.

Dr Ariffin sebaliknya berkata beliau hanya mencadangkan supaya kerajaan menambah bilangan penjawat awam daripada pelbagai kaum serta menuduh laman portal pro Umno, Antara Pos memutar-belitkan kenyataannya.

Berikut adalah transkrip yang disiarkan oleh AntaraPos hari ini yang menunjukkan kata-kata Ariffin yang mencadangkan masyarakat berbilang kaum menyertai pejawat awam.

AntaraPos: Boleh YB jelaskan semula apa mesej yang YB cuba sampaikan dalam usul tadi bersabit penjawat awam dan PDRM?

Ariffin : Masyarakat yang berbilang kaum daripada dimonopoli oleh satu kaum saja. Ini untuk menentukan bahawa negara ini aman dan stabil dan juga yang paling penting dan kalau kita perkenalkan penjawat awam ini daripada berbilang kaum, maka kita juga boleh cegah rasuah tau."

Ini satu cara untuk mencegah rasuah, terdiri daripada satu kaum saja atau satu bangsa, amalan rasuah akan bertapak dan ini satu perkara paling dahsyat.

AntaraPos: Maknanya YB mahu penjawat awam ini dimonopoli oleh semua kaum secara sama rata lah kan?

Ariffin: Maknanya di sini (penjawat awam) perlu terdiri daripada berbilang kaum, lebih elok itu yang saya rasa.

Jenazah Fikrie selamat dikebumi di Pontian

Ahmad Danial, 20 Dis 2012
PONTIAN: Jenazah rakyat Malaysia yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina, 14 Disember lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Abdul Rahman, Benut, di sini selepas solat Subuh pagi tadi.

Terdahulu jenazah Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, tiba dengan van jenazah polis kira-kira jam 5.00 pagi tadi telah disembahyangkan di Masjid Jamek Temenggong Daeng Abdul Rahman, Benut.

Jenazah sebelum itu diterbangkan dari Davao, Filipina pada 9 malam tadi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 1 pagi.

Kira-kira 80 orang termasuk ahli keluarga dan kenalan terdekat turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang berusia antara enam dan lapan tahun.

Bagaimana pun isterinya yang dipercayai rakyat Filipina masih ditahan pasukan keselamatan negara berkenaan untuk disiasat.

Beliau sebelum ini disyaki terlibat dengan Jemaah Islamiah (JI) dan ditembak mati pasukan keselamatan Filipina dalam satu kejadian di sebuah hotel di negara itu Jumaat lalu.

S’gor sedia disiasat isu kelulusan rumah mampu milik

Harakahdaily, 20 Dis 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang mahu menyiasat atau mengaudit proses kelulusan dan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) menggantikan rumah kos rendah di negeri itu.

Exco Perumahan, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, ia selari dengan dasar Pakatan Rakyat negeri itu yang mengamalkan ketelusan dalam perntadbiran.

Menurutnya, keputusan untuk meluluskan projek RMM dibuat Mesyuarat Exco secara bersama dengan meneliti segala aspek.

Ianya juga akan diteliti oleh Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Selangor (JPBP), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

“Setiap permohonan akan disiasat JPBD, PBT dan LPHS yang akan mengemukakan ulasan teknikal kepada Mesyuarat Exco.

“Berdasarkan ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan sesuatu permohonan," katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, permohonan untuk membina RMM  hanya boleh diluluskan jika permintaan untuk rumah kos rendah di sesuatu kawasan terlalu sedikit atau terdapat yang masih tidak terjual.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.

“Jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS, badan yang terlibat secara langsung menguatkuasakan dasar perumahan negeri, namun ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco,” kata Iskandar.

Oleh itu kata Iskandar, beliau mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang mahu menyiasat atau mengaudit proses kelulusan dan pembinaan RMM di Selangor.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut mengambil kira bentuk pembangunan, kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar projek RMM itu.

Di sebalik amanat Presiden PAS seorang berilmu

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 19 Dis 2012


“Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujaadalah 58 ayat 11)



Menerusi facebook saya semalam (4 Safar 1434/18 Disember 1434), saya memberi respons berikut:

“Saya membaca kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS menarik balik apa yang didakwa sebagai ‘Amanat Haji Hadi’. Saya kira, ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS tidak lebih rendah dari ilmu yang dimiliki oleh para mufti. Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang. Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum-hakam. Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti. Jangan jual harga mufti dengan murah.”

Respons ini telah menerima lebih daripada 1,200 komentar pembaca (setakat pagi tadi). Malah beberapa media cetak dan berita di internet turut mengulasnya. Ia suatu luahan pandangan yang mengandungi pelbagai nilai kefahaman.



Semoga semua nilai kefahaman itu akan menemui suatu jalan kebenaran di sebalik isu yang dianggap amanat Presiden PAS, seorang ulama dan ilmuan yang disegani.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Wallahu’alam.

Tiada ulasan: