Isnin, 24 Disember 2012

PELIK...LUCU PUN ADA...KATA AIR TAK CUKUP ATAU KURANG...LORI PUN ANGKAT AIR...AGIH2KAN AIR...TAPI AMBIK AIR DARI KOLAM AIR DISELANGOR...BUKAN KOLAM TAKUNGAN NEGERI LAIN...TAK CUKUP AGIHAN...TU TAK CUKUP LORI LAH...LEMAHLAH CARA PENGAGIHAN BUKAN AIR YANG TAK DE

Sumber air mentah Selangor hingga 2030

Harakahdaily, 24 Dis 2012
SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yakin, sekiranya usaha dilakukan untuk menyimpan sebanyak 40% sahaja daripada jumlah air larian permukaan di negeri ini, sumber air mentah di Negeri Selangor boleh dimanfaatkan sehingga tahun 2030.

Menurut kenyataan Haji Md. Khairi Bin Selamat, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor.

Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), jumlah air larian permukaan di Negeri Selangor adalah sebanyak 17,000 JLH setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

Manakala jumlah air yang diabstrak untuk bekalan air kepada penduduk adalah sebanyak 4501JLH.

Kenyataan beliau ini menjawab kenyataan yang dibuat oleh bekas Presiden MCA yang juga anggota Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Justeru, katanya, kenyataan oleh Anggota Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat di Bernama berkenaan penyusutan bekalan dan ketiadaan sumber baru air mentah di Negeri Selangor adalah tidak tepat memandangkan usaha-usaha sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, melalui pemantauan LUAS, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100%.

Limpahan air juga berlaku bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Langat serta Empangan Semenyih.

Manakala kapasiti air bagi Empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33%.

Bagi Empangan Sungai Selangor pula, katanya, sehingga 20 Disember 2012, kapasiti air empangan tersebut telah meningkat kepada tahap 90.17% iaitu sebanyak 207.40 juta meter padu pada ketinggian 216.65 meter.

Peningkatan ini adalah berbanding dengan kapasiti air empangan tersebut pada 11 Oktober 2012 iaitu sebanyak 52.02% dengan jumlah 119.65 juta meter padu pada ketinggian 199.3 meter.

Selain itu, baki aliran (residual flow) di Baraj Bestari Jaya pada 20 Disember 2012 adalah sebanyak 4611 juta liter sehari (JLH).

Jumlah aliran air sungai mampu untuk membekalkan keperluan air mentah bagi lima loji pembersihan air (LPA) di Rasa, Rantau Panjang dan Bestari Jaya.

Bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

Manakala pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor telah dikurangkan sehingga 91.34 JLH pada 20 Disember 2012.

Pengurangan pelepasan air ini adalah berbanding 521.3 JLH pada 11 Oktober 2012. Corak dan purata paras air Empangan Sungai Selangor dari bulan Januari sehingga November 2012 ditunjukkan di graf di bawah.


Menurut Haji Md. Khairi lagi, kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi ini dijangkakan akan terus meningkat hasil daripada kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut daripada bulan November sehingga Mac.

"Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013," katanya.


Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS, katanya,  telah mengambil langkah untuk meningkatkan lagi kebolehdapatan sumber air di kawasan lembangan sungai selain daripada empangan sedia ada.

LUAS telah mengenalpasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti Kolam Projek Tebatan Banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga Kolam Bestari Jaya di Lembangan Selangor yang akan bertindak secara dwifungsi dimana ianya akan berfungsi sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir/flood flow.

Kolam penstoran air ini juga akan digunakan jika berlakunya aliran rendah/low flow.

LUAS telah mengenalpasti sebanyak dua puluh (20) kolam takungan samada kolam takungan banjir atau kolam bekas lombong yang juga berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Kolam-kolam berkenaan adalah merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan tertakluk kepada kualiti airnya. Jumlah anggaran kapasiti kolam-kolam tersebut ialah 325 juta meter padu.

Selain itu, beberapa lokasi lain yang mempunyai potensi yang sama sebagai sumber air tambahan dikenal pasti oleh LUAS, seperti kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat.

Kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan.

Kriteria yang perlu dilihat untuk kolam-kolam ini digunakan sebagai sumber air tambahan adalah keluasannya yang perlu melebihi 10 hektar, kualiti airnya yang perlu mencapai piawaian air minuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lokasinya yang berhampiran dengan sungai dan muka sauk/LPA, serta ianya adalah tanah milik kerajaan dan anak syarikat kerajaan.


(Paras air di empangan Sunfai Tinggi pada Oktober 2012)




Di dalam masa yang sama juga, kata Haji Md. Khairi, LUAS sedang di dalam proses pelaksanaan aplikasi River Bank Filteration (RBF) dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15%) yang dijangkakan mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Negeri Selangor.

"Sekiranya segala inisiatif ini mendapat kerjasama daripada semua pihak, bekalan air mentah di Negeri Selangor adalah mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan air," kata Pengarah LUAS itu penuh keyakinan.

Bila Umno mengaku rakyat sudah hukum mereka

Aspan Alias, 24 Dis 2012
Penyelaras BN Selangor Mohamad Zain Mohamad telah meminta supaya DAP tidak mengungkit isu-isu lama terhadap BN Selangor kerana BN telah pun di hukum oleh rakyat SELANGOR pada pilihanraya 2008 yang lalu. Zain berkata “rakyat telah pun menghukum kami dan tidak usahlah mengungkit-ngungkit perkara lama”

Umno begitu ‘defensive’ dalam banyak isu. Malahan isu-isu yang di wujudkan oleh Umno lah yang menjadi penyebab keadaan negara jadi begini. Umno yang memerintah sejak merdeka maka segala isu terhadap kerajaan adalah isu terhadap Umno dan komponennya. Bukan begitu?

DAP tidak mengungkit cerita lama. Cerita Umno ini tidak pernah menjadi tua kerana isunya sama sahaja dari dulu. Isunya ialah isu kegagalan parti itu menjadi parti yang memerintah secara adil dan saksama, parti yang telah menggunakan kuasa yang keterlaluan dan parti yang menjadi penyebab rasuah berlarutan sehingga tidak dapat di kawal lagi.

Umno yang menyebut berulangkali yang DAP itu parti rasis dan Umno tidak rasis. Tetapi hakikatnya Umno lah yang memainkan isu rasis yang tidak ada batasannya sehinggakan menuduh bangsa lain sebagai pendatang dan bermacam-macam lagi.

Umno jugalah yang menjadi parti yang sentiasa menanamkan perasaan takut terhadap bangsa lain dan telah menjadikan orang Melayu itu lesu dan sentiasa mengharap kepada Umno khususnya kepada kepimpinan mereka. Umno lah yang tidak mahu Melayu itu bebas berfikir dan membangunkan kejatian pemikiran mereka kerana Umno mengharapkan ahli-ahlinya menjadi bangsa yang sentiasa mengharap kepada kerajaan dan tidak dari yang lain.

Apa yang lebih menyedihkan lagi Umno lah yang membantutkan matlamat penyatuan dan hidup bersama secara aman denhgan bangsa-bangsa lain. Sebab Umno berbuat demikian ialah kerana UMNO mempunyai kepimpinan yang lemah. Seorang pemimpin yang lemah selalunya akan melakukan perpecahan sesama rakyat yang berbilang kaum agar kaumnya, iaitu Melayu akan sentiasa mengharapkan perlindungan dari partinya, sedangkan mereka tidak ada sebab kenapa mereka mesti takutkan. Akhirnya Melayu menjadi parti yang menyebabkan Melayu itu menjadi bangsa yang penakut dan tidak berani bersaing dalam kehidupan.

Apa yang diperkatakan oleh Mohamad Zain itu adalah perkara yang sudah lama kerana itulah dia isunya dari dulu sehingga sekarang. Isu yang di sebutkan tadi adalah isu yang tidak akan menjadi isu lama kerana semuanya itu masih berlaku sekarang ini. Jika isu 24 bidang tanah yang di beli oleh pimpinan Umno Selangor dan menjualnya kepada agensi kerajaan Selangor sendiri dengan harga yang tinggi itu tidak di keluarkan oleh DAP, siapa pula yang akan menjadikannya isu lagi.

Kita tidak boleh mengharapkan sesiapa di dalam Umno untuk memberitahu rakyat. Sebagai parti yang bertanggungjawab maka tentulah DAP akan memberitahu rakyat supaya ia tidak berulang lagi dilakukan oleh BN. Bukan sahaja DAP, sesiapa juga mesti keluar dan memberi tahu rakyat tentang apa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dahulu kerana mereka (Umno) tidak boleh lagi kembali berkuasa di Selangor. Jika mereka kembali berkuasa maka budaya itu pasti akan wujud kembali.

Jika Umno kembali di berikan mandat ia akan tetap di ketuai oleh pemimpin-pemimpin  yang dahulu juga, iaitu yang melakukan kerja-kerja tidak baik itu. Umno Selangor bukan ada pun pimpinan gantian kerana yang pandai sudah tidak ada lagi dalam Umnokerana mereka telah disisihkan dari dulu lagi. Mereka kini berada dalam PAS, DAP dan PKR. Umno Selangor hanya mempunyai pemimpin seperti Noh Omar sahaja. Noh sendiri sedang menghadapi berbagai-bagai isu termasuk isu pembekalan benih padi yang berkaitan dengan salah guna kuasa melibatkan puluhan juta ringgit.

Dalam keadaan Umno menghadapi isu-isu berat pemimpin seperti Noh ini masih menggunakan kuasa di Kementeriannya untuk melakukan perkara yang menipu rakyat tani ini. Itu sebabnya saya selalu berkata yang Umno dan pimpinan mereka sedang menghadapi krisis ketagihan rasuah yang merupakan ketagihan yang lebih merbahaya dari ketagihan dadah. Ketagihan ini menghinggapi keseluruhan kepimpinan Umno di setiap peringkat.

Siapa lagi yang ada di kalangan Umno yang menjadi pimpinan gantian bagi menerajui kerajaan Selangor itu? Kalau ada pun tentu lah nama yang baru yang belum tentu baiknya. Ramai juga mereka yang baik-baik dalam Umno yang pernah diberikan tempat oleh parti duduk di dalam kerajaan.

Tetapi yang baik ini pun akan menjadi tidak baik kerana jika mereka mengekalkan sikap baik mereka, pemimpin seperti ini tidak akan kekal dalam kedudukan mereka. Itu sebabnya ramai yang bersetuju jika kita bersedia untuk bersekongkol dengan mereka yang berbudayakan rasuah itu mereka akan kekal dalam jawatan mereka. Bukan kah ini sudah menjadi ‘attribute’ Umno yang tegar?

Oleh itu Dato’ Seri Mohamad Zain mesti faham DAP atau parti-parti lain dalam PR, mereka bukannya mengungkit perkara lama tetapi perkara itu masih manjadi isu yang sentiasa baru. Dato Seri Zain mesti terima kenyataan yang Umno begitu susah untuk kembali berkuasa di Selangor sekarang ini.

Jika Zain sendiri mengaku yang Umno pernah buat salah dan telah menerima hukumannya kenapa pula bersungut-sungut. Jika mengikut etika dan moral demokrasi sebenarnya Umno tidak sepatutnya menyertai pilihanraya kali ini.

Bukan taraf Muhyiddin cakap begitu – TG Nik Aziz

Rizal Tahir, 24 Dis 2012
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai mulut celupar seperti kenyataan daripada anak-anak muda di jalanan dan bukan tindakan seorang pemimpin negara.


Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat tidak wajar memandangkan beliau orang kedua pemimpin parti dan negara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada mulanya enggan mengulas, kerana tidak mahu melayan kenyataan seperti orang tidak cerdik itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya lagi dia terus menjawab ringkas: “bukan taraf orang nombor dua untuk bercakap begitu”.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di pejabatnya petang semalam selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat berhubung Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia.

Katanya, kalau anak-anak muda di jalanan munasabah untuk keluar kenyataan sedemikian.

“Tapi kalau orang nombor dua parti atau nombor dua pemimpin negara memang bukan taraf dia,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Kelmarin, pemimpin kedua parti Umno itu berkata Tuan Guru Nik Aziz sebagai mulut celupar apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno adalah mungkar.

Peneroka lapor polis dihalang dengar ceramah PAS

Khairil Abdul Rahim, 24 Dis 2012

Isa dan Syafie bersama pemimpin PAS dan penyokong selepas membuat laporan polis.

TEMERLOH: Peneroka Jengka 11 membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Temerloh berikutan tindakan pengurusan tanah rancangan berkenaan yang didakwa menutup jalan dengan palang besi bagi menghalang orang keluar masuk mendengar ceramah anjuran PAS.

Isa @ Zaharudin Noh, 42, dalam laporannya semalam mendakwa kumpulan polis bantuan Felda dan kumpulan belia upahan Umno turut bertindak menghadang jalan dengan sekatan mengakibatkan penduduk menghadapi kesukaran untuk berurusan keluar.

Dalam laporan itu, Isa yang juga ahli PAS, mendakwa akibat sekatan secara samseng itu juga menyebabkan ceramah anjuran PAS cawangan gagal diadakan di markas PAS walaupun polis telah mengeluarkan permit.

Tambahnya, keganasan tersebut secara jelas mengakibatkan pencabulan hak mengawal keselamatan yang sepatutnya di bawah urusan pihak polis serta mencabul demokrasi.

Sementara itu, Muhammad Syafie Md Esa dari Jengka 23, turut membuat laporan polis di tempat yang sama berikutan sekatan rombongan Jelajah Oren daripada memasuki tanah rancangan berkenaan, sedangkan telah mendapat kebenaran pihak IPD Maran.

Dalam laporannya, Syafie menjelaskan rombongan mereka sepatutnya berkumpul dan melaksanakan program di markas PAS Jengka 23, tetapi mendakwa dihalang pasukan Rela, pengurusan Felda Jengka, JKKR dan penyokong Umno.

Tegas Syafie, pihaknya memandang serius budaya samseng seperti itu kerana mengambil alih tugas polis, mencabul hak berhimpun secara aman, menyuburkan budaya samseng dan melanggar undang-undang.

Turut berada di balai polis Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka PAS Pahang Md Jusoh Darus, Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Anak Pahang Yohanis Ahmad, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Mohamad, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang Abdul Majid Hasan serta para peneroka.

Kelmarin, Jelajah Oren Selamatkan Felda berkonvoi dengan kira-kira 50 buah kereta dan 50 buah motosikal melibatkan kawasan Felda di Parlimen Bera, Maran, Kuala Krau dan Jerantut.

Program jelajah mendapat sambutan baik oleh penduduk tempatan apabila bermula kira-kira pukul 9 pagi di Felda Bukit Kepayang, Bera dengan aktiviti ceramah dan mengedar risalah.

Rombongan yang kemudiannya bergerak ke Felda Kampung Awah, Maran selepas itu juga mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk di situ apabila dibenarkan masuk berceramah, makan tengah hari dan sembahyang Zohor di masjid di situ.

Bagaimanapun apabila konvoi bergerak ke Parlimen Kuala Krau dan cuba memasuki Jengka 23, kira-kira 100 orang dipercayai penyokong Umno menghalang laluan sambil memaki hamun dan menghambur kata-kata lucah kepada rombongan Jelajah Oren yang jumlahnya dua kali ganda daripada mereka.

Penyokong-penyokong Umno yang turut mempergunakan wanita dan kanak-kanak, meletakkan tong-tong milik Rela di atas jalan masuk.

Konvoi Jelajah Oren sekali lagi dimaki hamun dan diusir apabila tiba di simpang Jengka 21 meskipun mereka hanya singgah dan tidak berhasrat untuk masuk ke situ.

Namun begitu mereka tidak dihalang apabila memasuki Jengka 12 dalam Parlimen Kuala Krau, sehingga tidak diganggu untuk menunaikan sembahyang Asar, minum petang dan ceramah ringkas.

Aktiviti mengedar risalah diteruskan di pasar malam Bandar Tun Razak Jengka.

Ceramah pada sebelah malam yang sepatutnya diadakan di markas PAS Jengka 11, terpaksa diadakan di hadapan kedai dengan kehadiran ribuan pendengar.

400 pelajar Dun Permatang Pasir terima bantuan beg

Mohd Sabri Said, 24 Dis 2012
PERMATANG PAUH: Seramai 400 pelajar sekolah rendah sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Permatang Pauh dihadiahkan beg sekolah menjelang tahun baru 2013 yang bakal tiba beberapa hari lagi.

Beg berkenaan disampaikan oleh Adun Permatang Pasir, Datuk Saleh Man dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang berharap pemberian itu akan menceriakan pelajar apabila menempuh sesi persekolahan 2013 nanti.

"Saya dan ZPP berharap pelajar dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan anggaplah pemberian itu menyuntik semangat baru di kalangan pelajar di samping meringankan tanggungan ibu bapa di penghujung tahun," ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian yang diadakan di halaman Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir semalam.

Seorang pelajar dari Sekolah Rendah Permatang Pauh, Nur Hasinah Salrizal, 11 menyifatkan pemberian beg sekolah sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha pada masa depan.


Imran Rozali, 7, pula berkata, mudah-mudahan pemberian beg dan peralatan sekolah seperti kasut dan stokin bernilai RM120 itu menyemai keberaniannya untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh mencapai matlamat menjadi orang berguna," ujarnya yang bakal memasuki Sekolah RKebangsaan Bukit Indera Muda.

Mohd Faiz Hisyam, 11, pula gembira dengan sumbangan yang diberikan dan berterima kasih kepada semua yang terlibat.

PRU13: 80% pengundi sudah ada pilihan

Aslani M, 23 Dis 2012
KOTA BHARU: Kira-kira 80 peratus pengundi di negara ini dianggap sudah mempunyai pilihan masing-masing bagi menentukan sama ada berlaku perubahan di Putrajaya atau sebaliknya.

Cuma sekarang Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional perlu merebut bakinya sebanyak 20 peratus lagi, di mana mereka belum membuat sebarang pilihan dan bergantung kepada situasi saat-saat akhir.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, berdasar kepada banyak kajian rata-rata rakyat tidak senang dengan kerajaan yang ada sekarang.

“Suhu kebencian rakyat terhadap pemerintah yang ada hari ini kadang-kadang melebihi penyokong Pakatan Rakyat,” katanya pada perasmian penutup pelancaran Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia peringkat negeri Kelantan di Putik hari ini.

Program berkenaan dihadiri ketua-ketua wanita Pakatan Rakyat di mana PAS diwakili Siti Zailah Mohd Yusoff, Zuraida Kamaruddin (PKR) dan Chong Eng (DAP).

Pemimpin dan penyokong ketiga-tiga parti bergabung pada satu program bagi memperincikan Agenda Wanita Malaysia yang dilancarkan di peringkat pusat beberapa bulan lalu.

Husam berkata, memandangkan kira-kira 80 peratus pengundi sudah mempunyai pilihan, jentera wanita Pakatan perlu mendekati 20 peratus lagi.

“Bagi membolehkan Agenda Wanita Malaysia yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia menjadi kenyataan, Pakatan perlu mempunyai kuasa di peringkat pusat.

“Dan bagi membolehkan Pakatan menang maka kita perlu bekerja mendekati 20 peratus lagi pengundi yang belum membuat sebarang pilihan,” ujarnya.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, berdasar pandangan bekas-bekas pegawai tinggi tentera, kemungkinan besar tidak berlaku huru hara sekiranya berlaku perubahan di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurutnya pasukan tentera tidak mungkin campur tangan sekiranya berlaku perubahan kerajaan, tak mengulangi apa yang berlaku di Timur Tengah.

Kata beliau kuasa rakyat lebih besar berbanding kuasa tentera berdasar kepada banyak sejarah yang berlaku sebelum ini.

Beliau juga berharap jentera kempen wanita Pakatan mendekati isteri-isteri anggota tentera memandangkan bilangan pengundi pos sekarang terdapat seramai 200,000.

“Misalnya kawasan parlimen yang ditandingi PAS mempunyai bilangan pengundi pos ramai sekarang ada 18 kerusi.

“Pada pilihan raya umum lalu kita menang di 7 kerusi parlimen dan tewas di 11 lagi kerusi yang mempunyai bilangan pengundi pos begitu ramai.

“Ini termasuk di Jeli. Berdasar kepada pengundi awam PAS sudah menang, namun apabila dicampur undi pos PAS ketinggalan di belakang,” ujarnya.

Oleh itu katanya, tawaran tujuh perkara yang terkandung dalam Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia perlu didedahkan kepada isteri-isteri anggota tentera dan rakyat di bawah.

Antaranya Caruman Wanita Malaysia bagi surirumah berpendapatan isirumah kurang RM1,500 sebulan akan dicarum RM600 setahun daripada kerajaan dan caruman khas suami RM120.

Selain itu ditawarkan perlindungan kesihatan dan ekonomi, tabung bantuan musibah dan tabung simpanan hari tua.

Pada majlis itu juga 50 wanita muda membaca ikrar dengan diketuai Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Mohd Nawi.

Tiada ulasan: