Antara Qada’, Qadar dan harga minyak
Mohd Azmir bin Maideen, | 11 Sep 2013 |
Beriman dengan Qada’ dan Qadar termasuk salah satu daripada kewajiban Rukun Iman, meyakini bahawa seluruh penciptaan alam semesta mengikut ilmu Allah dan kebijaksanaan-Nya, sesungguhnya Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu dan berkuasa melakukan perkara yang dikehendaki-Nya.
“Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan).” (Surah al-Qamar : ayat 49)
Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Sesungguhnya yang pertama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’. Allah berfirman kepadanya; ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata; ‘Ya Tuhan, apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman; ‘Tulislah akan qadar (ketetapan) dan segala apa yang terjadi sehingga menjelang Kiamat.” (Riwayat Abi Daud)
Firman Allah yang bermaksud:
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid : ayat 22)
Para salaf as-soleh meyakini dengan sepenuh keimanan bahawa Allah Taala mencipta tiap-tiap sesuatu, mentadbir dan memilikinya. Allah telah menentukan perkara yang akan terjadi sebelum menjadikannya. Dia telah menentukan ajal, rezeki dan kerja yang mereka lakukan. Dia telah menulis kesudahan mereka sama ada menjadi bertuah atau ditimpa celaka. Semuanya telah ditulis dalam catatan yang jelas dan nyata.
Setiap perkara yang Allah kehendaki akan berlaku dan setiap perkara yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku. Allah mengetahui perkara yang telah lepas, sedang berlaku, akan datang, waktu dan cara ia berlaku. Allah berkuasa ke atas setiap sesuatu, memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan orang-orang yang dikehendaki.
Setiap hamba memiliki kehendak dan kuasa untuk melakukan semua perkara yang ditentukan oleh Allah ke atas mereka dengan keyakinan bahawa setiap hamba tidak mampu melakukan sesuatu kecuali dengan kehendak Allah. Kefahaman inilah yang dapat mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan bila ia sedar bahawa Allah sentiasa mengawasinya serta meminta pertanggungjawaban.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir.” (Surah al-Kahfi : ayat 29)
Sesungguhnya Allah mencipta hamba-hamba-Nya serta perbuatan mereka dan mereka sendiri pula yang melakukan semua perbuatan yang mereka lakukan tanpa paksaan. Maka tidak ada hujjah bagi seorang hamba ke atas Allah sekiranya dia mahu meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan perkara yang haram (bahawa ini adalah ketentuan Allah), bahkan Allah mempunyai hujjah yang kuat ke atas hamba-hamba-Nya.
Seorang hamba Allah yang beriman dengan ajaran Rasul-Nya, wajiblah menolak taqdir buruk dengan taqdir baik. Di mana kufur itu dihilangkan dengan iman, kezaliman dengan keadilan, peperangan dengan perdamaian, maksiat dengan ketaatan, penyakit dengan ubat, kebodohan dengan pengetahuan, kekalahan dengan jihad, kemiskinan dengan bekerja dan begitulah seterusnya.
Keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah memerlukan seseorang melaksanakan tiga perkara;
Pertama: Hendaklah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan baginya untuk mendapat kesenangan dan menjauhkannya daripada kesusahan dan segala larangan-Nya di samping bertawakkal kepada Allah dan meminta perlindungan daripada-Nya, maka jadilah ia sentiasa bergantung dengan Allah untuk mendapatkan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan.
Firman Allah, maksudnya:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (surah al-Baqarah : ayat 186)
Kedua: Hendaklah berusaha mencapai tujuan akhirat sebagaimana usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan dunia. Adalah sangat menghairankan jika dalam urusan akhirat segala amal usaha ditinggalkan sementara dalam urusan dunia masing-masing sedar bahawa hanya beristirehat tanpa usaha dan perancangan adalah salah satu bentuk amalan menuju pengangguran dan kemiskinan.
Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Hendaklah kamu melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, dan mintalah pertolongan kepada Allah, jangan kamu mudah berasa lemah (malas). Sekiranya musibah menimpa kamu maka janganlah kamu berkata; ‘Kalaulah dulu aku lakukan begitu tentu ia akan jadi begini’, tetapi katakanlah, ‘Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya’. Lantaran kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka peluang kepada syaitan.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW membimbing umatnya untuk bersemangat menempuh usaha yang bermanfaat dalam urusan dunia dan juga akhirat. Perintah Rasulullah SAW kepada umatnya untuk berusaha itu, baginda gabungkan dengan iman kepada taqdir, ini menunjukkan bahawa beriman kepada taqdir tidak menafikan keperluan strategi dan usaha untuk mencapai sesuatu hajat.
Ketiga: Hendaklah bersabar di atas perkara yang telah ditentukan ke atasnya dan tidak meratap atau menyesal, setelah dia mengetahui bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah maka dia redha dan berserah diri. Dia seharusnya mengetahui bahawa dia tidak mungkin terlepas daripada perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad); Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah Taubah : ayat 51)
Ketika kekhalifahan Umar al-Khattab RA, beliau telah bermusafir bersama beberapa orang sahabat dari Madinah ke tanah Syam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 Hijrah, iaitu perjalanan Umar adalah untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenurnya. Setelah beberapa hari menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah dilanda wabak ta’un ‘Amwas. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para sahabat di dalam jemaah rombongan itu dan masing-masing sepakat memutuskan untuk kembali ke Madinah.
Abu Ubaidah RA yang ketika itu menjadi gabenur di Syam berkata mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab RA, “Wahai Amiral Mukminin, mengapa kamu lari daripada takdir Tuhan?”
Umar RA lantas menjawab, “Ya, aku lari daripada takdir Allah kepada takdir yang lain. Apa pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan takdir Allah? Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus, bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?”
Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata, maksudnya;
“Sesungguhnya dalam masalah ini aku memiliki ilmunya, aku telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda; ((Jika engkau mendengar wabak taun di sebuah negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan seandainya wabak taun terjadi di negeri yang engkau tinggal di dalamnya janganlah engkau meninggalkan negerimu kerana lari daripada taun).” (Riwayat Muslim)
Menurut sejarah, taun ‘Amwas yang berlaku pada zaman kekhalifahan Umar telah mengorbankan sekitar 25’000 – 30,000 kaum Muslimin. Di antara mereka yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah Abu Ubaidah ‘Amir bin Al-Jarrah RA, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang mendapat jaminan syurga Allah Taala.
Takdir mengikut pandangan ulama’Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah;
Taqdir Mubram: Iaitu takdir yang muktamad dan ia tertulis di Lauh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada takdir ini. Ia adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. Contohnya: Kehidupan dan Kematian.
Taqdir Mu’allaq: Iaitu takdir yang tertulis yang boleh tetap dan boleh berubah dengan kehendak Allah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia. Mu'allaq bererti tergantung. Ia adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain, seperti dalam sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Tidak boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)
Menurut ulama Ahl as-Sunnah, doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat kepada Allah. Akan tetapi perubahan yang kita pohon itupun sudah ditetapkan melalui doa. Janganlah kita menyangka apabila berdoa, bererti meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa kita telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga telah tertulis.
Begitu juga penyakit yang merupakan taqdir Allah boleh disembuhkan melalui rawatan dan pegharapan yang bersungguh-sungguh kepada-Nya, ia juga termasuk dalam Taqdir Mu’allaq. Rasulullah SAW pernah ditanya;
“Ya Rasulallah, bagaimana pandanganmu terhadap ruqyah-ruqyah yang kami gunakan untuk jampi, ubat-ubatan yang kami gunakan untuk menyembuh penyakit, perlindungan-perlindungan yang kami gunakan untuk menghindari daripada sesuatu, apakah itu semua boleh menolak taqdir Allah? Jawab Rasulullah SAW; ‘Semua itu adalah (juga) taqdir Allah.” (Riwayat Tirmizi)
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’du : ayat 11)
Maka, apa yang tercatat dalam Taqdir Mu’allaq boleh diubah oleh Allah atas sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia dengan kehendak Allah. Namun perubahan itu tidak terkeluar daripada apa yang Allah sedia ketahui dan tulis dalam Taqdir Mubram. Dalil untuk dua jenis taqdir ini ialah firman Allah Taala, maksudnya:
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki, dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab.” (Surah ar-Ra'd : ayat 39)
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki),” ia merujuk kepada Taqdir Mu'allaq.
“Dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab,” merujuk kepada Taqdir Mubram.
Ibnu Kathir r.hm menafsirkan “Umm al-Kitab” tersebut adalah perkara yang halal dan yang haram. (Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir)
Allah Taala telah menjadikan kepada ketentuan ini beberapa sebab yang boleh menolak dan mengangkatnya seperti berdoa, sedekah jariah, pengetahuan, perubatan, dan sebagainya. Kerana makna beriman terhadap Qada' dan Qadar sama sekali tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.
Allah pemilik Zat Yang Maha Adil, tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya, barang siapa yang jujur dalam melaksanakan amal soleh pasti akan dimudahkan jalan menuju Syurga.
“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Lail : ayat 5-7)
Firman Allah lagi, maksudnya:
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (kerana memenuhi kehendak agama Kami), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut : ayat 69)
Dengarkan pula firman Allah tentang penduduk neraka yang mereka kekal di dalamnya mengharapkan kembali ke alam dunia, Allah Maha Mengetahui apa yang akan mereka lakukan seandainya dikembalikan ke dunia di dalam surah al-An’am ayat 27 hingga 28, maksudnya;
“Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata; ‘Kiranya kalau kami dikembalikan (ke dunia) dan tentulah kami tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman (tentulah kamu melihat suatu peristiwa yang mengharukan).”
“Bahkan (sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu selalu menyembunyikannya. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka.”
Demikianlah ilmu Allah, tidak ada sedikitpun yang terluput daripada pengetahuan-Nya. Berdasarkan ilmu Yang Maha Sempurna itu Allah menulis segala sesuatu yang akan terjadi, yang belum terjadi dan yang sudah terjadi di Lauh Mahfuzh, 50,000 tahun sebelum Allah ciptakan langit dan bumi. Rasulullah SAW bersabda;
“Allah telah mencatatkan taqdir-taqdir sekalian makhluk-Nya 50,000 tahun sebelum diciptakan langit-langit dan bumi.” (Riwayat Muslim)
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu.” (Surah ar-Ra'd : ayat 11)
Apa-apa yang telah tercatat dalam Lauh Mahfuzh berlaku menurut kehendak Allah dengan penuh perincian melangkaui akal manusia, satu-persatu, tiada satupun yang terlepas daripada ilmu, kehendak dan penciptaan Allah Taala. Tiada sesuatu di alam ciptaan-Nya ini yang terjadi berlawanan dengan kehendak-Nya. Kerana Maha Luasnya pengetahuan Allah, maka tiada siapapun mampu menghitungnya secara tuntas sehingga hal ini diperhatikan oleh Imam Ja’afar as-Sodiq r.hm, sebagaimana katanya;
“Orang yang terlalu memikirkan masalah Qadar ibaratnya seperti orang memandang terik mentari, semakin kuat ia melihat semakin bertambah ia merasa hairan.” (Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih, Ibn ‘Abd al-Barr)
Oleh sebab manusia tidak mengetahui Qada’ dan Qadar-nya, maka manusia perlu kepada usaha dan doa tanpa berputus asa. Ambillah pengajaran tentang kesilapan masa lalu, agar kita tidak mengulanginya pada masa kini. Usah menyalahkan taqdir kerana semuanya itu mengandungi rahsia Allah yang tiada siapapun mampu merungkainya. Batasan tersebut diingatkan Rasulullah SAW kepada umatnya: “Jika ada yang menyebut perkara takdir, maka hentikanlah mereka (membahas takdir).” (Riwayat at-Tabarani)
Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan inayah-Nya kepada kita.
http://www.tarbawi.my
Altantuya: Kenyataan KPN malukan Najib
Muhammad Faizal, | 11 Sep 2013 |
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat kenyataan tersebut juga boleh menjatuhkan imej negara kerana boleh dilihat tidak serius dalam soal menegakkan keadilan.
"Saya melihat kenyataan KPN itu hanya bertujuan untuk memalukan Najib tidak ada sebab lain dan kalau ada sebab lain kenapa beliau tidak mahu meneruskan siasatan baru.
"Ini merupakan perbuatan jenayah yang cukup berat, KPN tidak boleh buat tidak kisah tentang perbuatan tersebut dan kita perlu ingat ia akan melibatkan imej negara ini," jelas beliau kepada Harakahdaily.
Katanya, adalah tidak mungkin berlaku sesuatu pembunuhan tetapi kita tidak mengetahui siapa pembunuhnya, dan pihak berkuasa pula mengambil sikap tidak mahu meneruskan siasatan sehingga tertangkapnya pembunuh sebenar.
Beliau juga melahirkan kebimbangan kes ini menjadi satu lagi episod jenaka kepada sistem keadilan negara.
"Kalau polis tak nak siasat, kita yang perlu siasat polis apa penyebab utama mereka tidak mahu meneruskan siasatan.
"Ini memperlihatkan seolah-oleh negara kita ini tidak mempunyai undang-undang. Tapi dalam kes membabitkan Pakatan Rakyat, polis nampaknya berebut-rebut mahu siasat," katanya yang juga seorang peguam.
Bagi beliau, penyelesaian terbaik dalam isu ini adalah dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan di Raja, yang mempunyai kuasa untuk menyiasat keseluruhan termasuk dalam jabatan polis itu sendiri.
'Bukan saya sebut tak perlu pilih bukan ulama'
Mursyidul
Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menjelaskan bahawa beliau
tidak bermaksud untuk menyeru agar timbalan presiden parti itu dipilih
daripada kalangan ulama.Bekas menteri besar Kelantan itu hari ini berkata, laporan media berhubung dakwaan tersebut adalah tidak benar.
“Akhbar tulis itu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.
“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama (golongan ulama dan profesional), sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Nik Aziz seperti dilaporkan Harakahdaily hari ini.
Beliau turut menyalahkan pihak tertentu yang menurutnya cuba menimbulkan pergeseran antara golongan ulama dan profesional dalam PAS.
Sedangkan, golongan ulama menurutnya boleh "bercakap dengan dalil al-Quran dan Hadis biarpun bertali leher atau memakai songkok".
Laporan media pada Sabtu lalu menyebut beliau meminta agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai presiden, dan berharap agar jawatan timbalan tersebut diisi oleh golongan ulama.
Kenyataan tersebut kemudiannya dibaca oleh pemerhati PAS sebagai arahan dan mungkin juga isyarat kepada para perwakilan untuk memilih pemimpin dari golongan ulama.
Penjelasan itu juga muncul ketika media giat menimbulkan spekulasi berhubung kedudukan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang dikatakan dalam kedudukan genting susulan laporan tersebut.
'Rakaman audio buktikan HM tak minta maaf'
Rakaman
audio pertemuan antara guru besar SK Seri Pristana dan ibu bapa murid,
mendedahkan bahawa tiada permohonan maaf dibuat, kata seorang kakitangan
sekolah tersebut.Semua akhbar silap, kata kakitangan tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan. "Rakaman itu boleh membuktikan bahawa guru besar tidak meminta maaf."
Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Hussein Mohd Ariff, yang turut hadir dalam pertemuan pada hari Isnin itu.
"Setakat yang saya ingat, guru besar tidak meminta maaf... mungkin ibu bapa salah faham," Hussein kepada Malaysiakini.
Semalam, setiausaha Malaysian Tamilan Today, K Gunasekaran mendakwa beliau telah diberitahu oleh ibu bapa bahwa guru besar, Mohd Nasir Mohd Nooh, telah meminta maaf kepada mereka kerana murid makan dalam bilik persalinan semasa waktu rehat pada bulan Ramadan.
Sekolah rendah di Sungai Buloh itu mendapat perhatian selepas gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan muncul di Facebook.
Apabila perkara itu mendapat bantahan awam, ibu bapa yang mendedahkan kejadian itu mengadu bahawa anak-anak mereka telah menjadi sasaran para guru.
Ulama Umno selar 'lebai ekonomi'
Pengerusi
sekretariat Ulama Muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya berkata pihak yang
mengkritik tulisannya bertajuk 'Harga barang ketetapan Allah' memahami
perkara itu dengan makna tersurat.Fathul Bari dalam satu rakaman video menjelaskan, tulisannya yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada hari Ahad lalu menyentuh rukun iman keenam, iaitu percaya kepada qada dan qadar.
Katanya, golongan yang mengkritik pandangannya itu bersikap seperti "lebai ekonomi keyboard" kerana cuba kelihatan lebih pandai dari Nabi Muhammad.
Tambahnya, pandangannya itu adalah berdasarkans atu hadis nabi yang menyebut bahawa baginda tidak dapat mengawal harga barangan yang naik pada masa itu.
Hanya Allah yang dapat mengawal perkara seperti itu, katanya.
Katanya, golongan yang mengkritik tulisannya itu tidak memberi kritikan membina tetapi mengikut emosi.
Karpal terkejut dengan permintaan Zam
Peguam
kanan Karpal Singh berkata beliau terkejut dengan permintaan bekas
menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang mahu menggunakan
khidmatnya sebagai peguam dalam satu kes saman oleh Lim Kit Siang.Firmanya
tidak pernah menghantar sebarang surat tuntutan kepada Zainuddin, kata
Karpal yang menambah, beliau hanya mengutus surat tuntutan kepada Utusan
Malaysia dan MP Batu Pahat, Puad Zarkashi.Karpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor meminta Zainuddin menjelaskan alasan untuk beliau mempertahankan bekas menteri penerangan itu.
“Saya sungguh terkejut dengan permintaannya itu. Tiada surat tuntutan yang dihantar kepadanya,” katanya yang menambah, Lim telah meminta saya untuk mewakilinya menentang Utusan Malaysia dan Puad Zarkashi.
Karpal berkata beliau tidak akan mewakili Zainuddin kerana bekas menteri terserbut tidak menghantar surat demikian kepadanya.
Katanya, beliau juga tidak mungkin akan akan mewakili Zainuddin jika Lim meminta beliau menjadi peguam untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas bekas menteri itu.
Tambahnya, beliau bertindak dengan tidak beretika sekiranya mewakili Zainuddin dalam situasi seperti itu.
Zainuddin dalam tulisan di blog zamkata.bogspot.com menyebut, beliau merayu demikian tindakan saman Lim ke atasnya merupakan usaha untuk mengugut dan menutup mulutnya.
Katanya, beliau juga memohon bantuan Karpal kerana tokoh DAP tersebut seorang yang berpegang pada prinsip demokrasi.
Tanda Putera terkeluar dari senarai filem paling laris
Walau dengan publisiti meluas, filem 'Tanda Putera' masih gagal menarik penonton ke pawagam.Senarai terkini dari 5 September hingga 11 September yang diterbitkan cinemaonline.com.my semalam menunjukkan bahawa 'Tanda Putera' terkeluar terus daripada senarai sepuluh filem paling laris.
Filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu sebelum ini hanya berjaya merangkul tempat keenam dalam senarai 10 filem paling laris sepanjang minggu pertama tayangannya.
Filem biopik dua pemimpin negara yang turut memaparkan tragedi berdarah 13 Mei 1969 itu akhirnya ditayangkan pada 29 Ogos lalu selepas tertangguh selama lebih setahun.
Satu lagi filem tempatan yang mempertaruhkan bintang komedi Zizan Raja Lawak bagaimanapun terus memikat hati rakyat Malaysia apabila kini berada pada kedudukan ketiga, mengikut senarai .
Dua pemain bolasepak Pahang ditahan berkhalwat
Pegawai
penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan dua pemain bola
sepak Pahang kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Kuantan
semalam.
Menurut sumber, dua pemain skuad Tok Gajah berusia 20-an itu ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira pukul 4.30 pagi.
Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Jaip hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.
Kesemua mereka katanya dibawa ke Pejabat Jaip untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
- Bernama
Menurut sumber, dua pemain skuad Tok Gajah berusia 20-an itu ditahan bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira pukul 4.30 pagi.
Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Jaip hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.
Kesemua mereka katanya dibawa ke Pejabat Jaip untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan