MB: T-Team mungkin dibubar
3 September 2012
Tegas beliau, Butler mempunyai alasan tertentu untuk berbuat demikian dan sebagai pemain pula, Sharbinee dan kesemua pemain Skuad Peteh seharusnya berdisiplin serta berintegriti tinggi.
Malah, Ahmad memberi amaran, tidak teragak-agak untuk mencari pemain baru yang berdisiplin dan berintegriti untuk membarisi Skuad Penyu pada musim akan datang (sekiranya pemain sedia ada tidak berubah).
“Pertukaran pemain adalah perkara biasa dalam perlawanan. Mesti ada sebab tertentu ketua jurulatih (Butler) berbuat demikian (menggantikan Sharbinee dengan penjaga gol simpanan pada pertengahan babak kedua perlawanan) sebab berlaku perkara sama (terlepas bola) seperti perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 ketika Terengganu menentang Negeri Sembilan.
“Sebab itu saya sokong Butler. Dia (Butler) buat keputusan kita terima. Kalau pemain rasa hebat dan besar kepala kita (Kerajaan Negeri) tidak akan bagi bantuan lagi (kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Wanita Umno Bahagian Kemaman, dekat sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Butler yang disiarkan semalam mengenai kemungkinan Sharbinee disingkirkan, susulan persembahan kurang konsisten pada saingan Piala Malaysia ketika melayan kunjungan Kedah pada aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Bahkan, katanya, bagi pemain berintegriti tinggi dan berdisiplin, Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk menaikkan gaji jika diminta kerana ia sebagai tanda penghormatan buat pemain yang bersikap sedemikian.
Mengenai penyingkiran dua lagi pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Ashari, Ahmad menganggap Butler mempunyai sebab tersendiri dan berhak membuat keputusan itu kerana dia merupakan ketua jurulatih Skuad Penyu.
Sementara itu, ditanya berhubung prestasi hambar yang ditunjukkan adik kepada Skuad Penyu T-Team, beliau membayangkan kemungkinan pasukan T-Team akan ‘terkubur’ pada musim depan.
“T-Team 100 peratus bergantung kepada Kerajaan Negeri dan kita melabur banyak untuk T-Team sehingga kini. Kemungkinan sudah tiada lagi T-Team pada tahun depan (jika kekalahan berterusan),” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ketua jurulatih T-Team, Yunus Alif melakukan sesuatu dan mengubah corak permainan agar kemenangan dapat diraih pada perlawanan akan datang.
Setelah mengharungi empat perlawanan dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia, T-Team kini hanya berjaya mengumpul satu mata dengan mencatat keputusan seri satu perlawanan dan kalah tiga perlawanan serta menghuni tangga tercorot dalam kumpulan.
Mahfuz: ‘Kasut dibaling nyaris terkena saya’
3 September 2012
Katanya, balingan kasut itu yang disasarkan ke arah Anwar bagaimanapun, terkena jemaah yang duduk di sebelahnya.
“Kedudukan saya dengan Anwar ketika itu, hanya selang tiga orang. Saya terkejut apabila ada kasut (sandal) terkena orang di sebelah saya.
“Rupanya kasut itu dilempar melalui tingkap masjid oleh ahli kumpulan yang membantah di luar masjid,” katanya ketika dihubungi.
Mahfuz berkata, perbuatan melempar kasut ke dalam masjid adalah perbuatan biadap kerana mencemar rumah ibadat yang dihadiri jemaah untuk solat dan mendengar tazkirah.
“Mereka sanggup mencemar tempat suci dan saya anggap ianya suatu penghinaan kepada institusi masjid. Perbuatan itu tidak wajar sebab orang ramai datang untuk dengar tazkirah, bukan ceramah politik,” katanya.
Menurutnya, kumpulan yang didakwa didalangi Perkasa Kota Setar itu dianggap tidak menghormati imam masjid tersebut kerana imam terlebih dahulu mengumumkan Anwar dibenarkan mengadakan tazkirah.
“Anwar mematuhi syarat ditetapkan iaitu hanya menyentuh isu agama dan pembangunan ummah, tanpa menyelitkan isu politik. Perbuatan melampau yang memberontak hingga ke dalam masjid itu seolah mahu menggambarkan tazkirah mempolitikkan masjid, sedangkan ia tidak berlaku,” katanya.
Mahfuz berkata, tindakan Perkasa itu seolah provokasi politik pihak tertentu dan Umno tidak boleh menafikan pembabitan mereka dalam insiden itu memandangkan,Pengerusi Perkasa Kota Setar memegang jawatan dalam Umno.
“Saya kesal seorang pemimpin Umno bertaraf Datuk sanggup mengepalai gerakan mencemar rumah ibadat, dan gelaran itu wajar ditarik balik ekoran dianugerahkan oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam Kedah,” katanya.
Menurutnya, penduduk memaklumkan mereka tidak kenal peserta yang membantah kerana bukan anak kariah.
“Ini bermakna mereka orang luar yang datang membuat kacau. Perbuatan mereka itu lebih biadap berbanding memijak gambar pemimpin,” katanya.
Mahfuz berkata, sejurus 10 minit Anwar berucap, bekalan elektrik diputuskan pihak tertentu, menyebabkan jemaah terpaksa berpanas dan bergelap ketika mendengar tazkirah.
“Hanya lampu kecemasan berfungsi dalam masjid ketika itu. Bekalan elektrik kembali pulih ketika jemaah berdoa selepas menunaikan solat Isyak,” katanya.
Kelmarin, sekitar 6.20 petang, lebih 50 ahli Perkasa Kota Setar mengadakan demonstrasi menentang penggunaan masjid itu sebagai medan politik Anwar. Mereka seterusnya mengadakan bantahan di luar Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, tempat di mana Anwar menyampaikan tazkirah Maghrib.
2 pelajar Malaysia maut kemalangan jalan raya di Rusia
3 September 2012
Beliau berkata, pelajar itu dikenalpasti sebagai Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu; dan Adzreen Binyati, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dari Putrajaya.
Penuntut itu, kedua-duanya pelajar tahun lima dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan lima rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila kemalangan berlaku, kata beliau.
Beliau berkata, pelajar itu baru saja pulang dari Malaysia selepas cuti Hari Raya untuk memulakan semester baru.
Zainol Abidin berkata Hanisah mati di tempat kejadian sementara Adzreen dalam perjalanan ke hospital.
Beliau berkata van yang dinaiki pelajar itu berlanggar secara berdepan dengan sebuah van lain.
Zainal Abidin berkata lima lagi pelajar itu kini dirawat di sebuah hospital di Vladimirskaya.
Beliau mengenalpasti mereka sebagai Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza.
Ketika memberikan butir-butir kepada wartawan Malaysia yang meliputi sidang APEC 2012, Zainal Abidin berkata bantuan segera telah ditawarkan kepada pelajar berkenaan berikutan laporan daripada seorang daripada mereka mengenai kemalangan itu.
"Segala bantuan akan diberikan kepada pelajar di hospital sementara persiapan sedang dibuat segera untuk membawa pulang mayat kedua-dua pelajar itu," kata beliau.
"Ini tragedi dahsyat dan yang pertama di sini," kata beliau.
Beliau juga berkata keluarga semua pelajar berkenaan telah diberitahu mengenai kemalangan itu.
"Mereka begitu terkejut, kerana baru saja beberapa jam sebelumnya pelajar itu meninggalkan Kuala Lumpur," kata beliau. - Bernama
Pas: Sasaran kami tukar kerajaan, Jalur Gemilang kekal 'sampai kiamat'
3 September 2012
Naib Presiden, Salahuddin Ayub berkata, tidak pernah terlintas di fikiran pemimpin kanan parti untuk menukar bendera kebangsaan kerana mereka sendiri berbangga dengan Jalur Gemilang, yang selama ini melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara mempunyai pelbagai kaum yang cukup harmoni.
“Tidak pernah terlintas di fikiran kami untuk buat hal ini (tukar Jalur Gemilang),” tegasnya kepada Sinar Harian Online.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam berkata, langkah menukar bendera negara ini juga tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat PR, yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 2008.
"Menukar bendera kebangsaan tidak pernah menjadi agenda Pakatan Rakyat dan tidak pernah dibincang atau dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Rakyat.
"Itu sebabnya saya menghantar mesej menerusi Twitter (semalam) sebagai respons kepada dakwaan kononnya PR mahu tukar bendera kebangsaan," kata beliau.
Menurut Salahuddin, pihaknya tidak pernah membincangkan agenda menukar Jalur Gemilang dan Pakatan Rakyat (PR) turut tidak terlibat dalam hal ini.
“Jalur Gemilang tidak akan ditukar. Ia akan kekal digunakan selama-lamanya,” kata beliau.
Beliau menambah, Pas hanya berhasrat untuk menukar kerajaan memerintah kepada kerajaan PR saja dan agenda menukar Jalur Gemilang ini disifatkan tidak masuk akal.
“Jalur Gemilang akan terus digunakan sebagai bendera Malaysia. Perkara asas seperti Islam sebagai agama rasmi negara, kedaulatan institusi diraja dan hak istimewa orang melayu juga akan terus kekal dalam perlembagaan persekutuan negara ini,” tegasnya.
Penulis: Pihak berkuasa perlu kekang 'penerbit lari malam'
3 September 2012
Menurutnya, selepas berjaya mengekang lambakan novel lucah berpuluh tahun lalu, pihak berkuasa perlu bertindak tegas supaya tidak dibiarkan berleluasa pada masa ini seperti di barat.
“Melihat sudut umum media di luar negara khususnya barat, porno telah menjadi trend kebiasaan. Malah bahan bacaan yang tidak dimasukkan unsur sebegitu akan dipandang janggal.
“Keadaan sama di Indonesia yang perlu kita pandang. Di negara itu novel lucah juga adalah trend dan kini dibawa masuk ke dalam negara kita berikutan ramai warga Indonesia di sini. Tetapi, adakah kita mahu mengikut trend mereka?
“Dibimbangi orang ramai akan terikut-ikut dengan trend itu. Jika tidak dikawal, mungkin suatu hari nanti boleh melahirkan golongan yang akan bertindak memperjuangkan hal (berkaitan kelucahan dalam bahan bacaan) ini.
“Sangat dikhuatiri, jika munculnya puak yang menuntut supaya ia dianggap kebiasaan dan menjadikannya keperluan dalam bahan bacaan. Lebih haru apabila ia kelak, dikaitkan pula dengan hak demokrasi,” ujar Abu Hassan yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Galeri Ilmu Sdn Bhd.
Tegasnya, jika senario ini menjadi trend normal, maka kita perlu melihatnya secara menyeluruh kerana dibimbangi mungkin ia juga sebahagian propaganda oleh ejen atau musuh yang berhasrat mahu merosakkan masyarakat kita.
Justeru, perlu dikawal dan caranya sudah tentulah melalui pelaksanaan secara tegas ke atas undang-undang sedia ada yakni melalui akta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tambah sasterawan dan bekas guru itu, pendidikan moral berkaitan perkara bertentangan agama perlu ditanam dalam jiwa masyarakat sejak kanak-kanak. Ini kerana kesan jalan cerita berunsur seks dan lucah di dalam tulisan juga boleh mendorong imaginasi minda ke arah zina sebagaimana paparan filem atau drama.
Ujarnya, tidak ada perbezaan pengaruhnya antara bahan ditonton dan tulisan yang dibaca dalam novel. Dari konteks penulis pula, mereka yang berkarya mengikut trend sebegini untuk memenuhi permintaan pasaran adalah manusia yang tidak memikirkan anak bangsa kerana tidak ada istilah ‘kelucahan berseni’.
Justeru, beliau menegaskan, supaya pihak berkuasa memantau senario ini khususnya kewujudan syarikat penerbitan atau ‘penerbit lari malam’ yang tidak tetap keterampilannya.
“Setakat ini, saya percaya keadaan di Malaysia masih terkawal. Walau bagaimanapun, langkah pengawalan perlu sebelum ia jadi trend.
“Kita perlu melihat secara jauh dan menyeluruh di sebalik semua ini. Apabila kelak senario ini bertukar kebiasaan dan tidak dipantau dengan baik, dibimbangi adegan ranjang, seks dan lucah menjadi budaya yang tidak lagi terkawal,” akhiri beliau.
* Sedutan Bicara Isnin yang boleh diikuti dalam Sinar Harian edisi hari ini, Isnin 3 September
PR tekad tempuh ‘sekatan politik' BN
3 September 2012
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak menafikan usaha untuk menawan Putrajaya sukar tetapi dengan usaha yang berterusan PR yakin mampu mengubah corak politik baru di Malaysia.
“Kami tetap akan tempuh,” tegasnya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata, anggota Barisan Nasional (BN) perlu bersatu hati membentuk 'sekatan politik' demi memastikan hasrat dan langkah pembangkang merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang dapat dihalang.
Pengerusi BN itu berkata, sebab itu Umno dan parti komponen BN yang lain perlu muncul sebagai parti yang bukan sahaja boleh menang tetapi menang besar dengan cukup bergaya.
"Kalau mereka (pembangkang) ada slogan 'The Road To Putarajaya' (Laluan Ke Putrajaya), kita nak sekat mereka jangan sampai ke Putrajaya, kita tak nak buat 'roadblock' (sekatan jalan) polis tapi kita buat 'roadblock' daripada segi politik kerana mereka tidak layak duduk di Putrajaya.
Justeru Tuan Ibrahim menambah, kejayaan negeri yang diperintah oleh PR kini membuka mata rakyat untuk menempuh lembaran politik baru di negara ini.
“Misi menawan Putajaya tidak mustahil bagi kami. Media baru turut memainkan peranan penting dalam menjana maklumat terus kepada rakyat seterusnya rakyat sendiri mampu menilai dengan bijak,” katanya lagi.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, tindakan Najib mahu melancarkan sekatan politik ke atas PR lansung tidak memberi impak dalam meneruskan misi menawan Putrajaya.
Menurutnya, kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan dapat dilihat dan Umno perlu sedar parti itu tidak berdaya untuk selamatkan kedudukannya lagi di Putrajaya.
"Ini kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan, biarlah Najib dengan sekatan dan agendanya.
"Mereka (Umno) perlu sedar mereka tidak berdaya lagi untuk halang rakyat dan PR yakin akan dapat tawan Putrajaya melalui kebangkitan rakyat," katanya.
Beliau juga berkata, Umno sebenarnya makin lemah untuk menghalang rakyat, yang bersama PR, bagi membentuk kerajaan yang lebih adil.
BN P.Pinang kutuk tindakan pijak gambar pemimpin, tukar bendera
3 September 2012
Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata perbuatan itu tidak boleh diterima, walau apa juga alasan yang diguna pihak terbabit untuk mewajarkan tindakan mereka.
Sekalipun tidak suka dengan pemimpin, mereka tidak harus melepaskan rasa tidak geram dengan menghina gambar pemimpin, manakala Jalur Gemilang pula lambang identiti setiap rakyat Malaysia, katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau mengulas tindakan peserta Himpunan Janji Bersih pada malam ambang Hari Kemerdekaan di ibu kota Khamis lepas, yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Segelintir peserta perhimpunan juga dilapor bangga mengibarkan bendera yang dikatakan sebagai pengganti Jalur Gemilang.
Dalam perkembangan lain, Teng berkata pihaknya menyokong cadangan Pemuda BN negeri untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini, daripada kerajaan negeri.
Katanya pembelian itu adalah sebagai tawaran balas kepada kerajaan negeri yang mahu menjual tanah tersebut kepada syarikat swasta.
Beliau berkata bagaimanapun setakat ini kerajaan negeri masih belum mengemukakan sebarang tawaran kepada Pemuda BN.
Sebelum ini, Pemuda BN menyatakan minat untuk membeli semula tanah berkenaan daripada kerajaan negeri bagi tujuan projek perumahan kos rendah. -Bernama
Lucah bukan tarikan, pembaca lebih minat bahan murni
3 September 2012
Trend novel atau buku cerita berunsur lucah agak menular sekitar 70-an, namun ia dapat dibendung selari era kebangkitan dakwah Islam sekitar 80-an. Jika sebelumnya, novel berunsur seks boleh didapati dengan mudah dan dijual secara terbuka namun, selepas kebangkitan gerakan dakwah dan pantauan serius pihak berkuasa, aktiviti pengedaran dan penerbitan bahan bacaan novel lucah berjaya dibanteras. Rentetan dari sekatan itu, bahan bacaan ini kemudiannya hanya boleh didapati secara tersembunyi.
Bagaimanapun, penerbitan novel cinta bersalut erotik dan menceritakan babak serta dialog lucah secara terbuka kekal berada di pasaran. Kebelakangan ini, novel sebegitu kembali boleh didapati secara mudah di rak-rak kedai menjual majalah. Adakah kita terlepas pandang dengan kemunculannya atau mungkinkah masyarakat semakin terbuka dan menganggapnya biasa? Atau apa mungkin berlakunya hal ini kerana terdapat pengkarya yang beranggapan bahawa seni itu bersifat bebas dan tidak terkecuali seni dalam penulisan.
Persoalannya, mengapa perlu lucah dan pentingkah pendekatan sebegini? Apakah keperluannya adegan dalam kelambu diterjemahkan menerusi imaginasi pembacaan? Sejak bila keghairahan, mencarut dan erotis menjadi trend kebiasaan dalam hidup kita?
Rakyat Malaysia disuruh banyak membaca pelbagai jenis buku, maka tidak ada dosa membaca novel. Tetapi kalau sudah banyak yang lucah, sudah pasti ia mengundang dosa.
Di saat inilah hubung kait antara penulis, penerbit dan pembeli perlu difikirkan. Hayati senarionya jauh-jauh dan betapa ketegasan premis yang menjual novel, sangat diperlukan. Mungkin boleh dijadikan teladan terhadap kejadian awal bulan lalu. Sebuah syarikat telah menolak dua novel yang mana penerbitnya kini sedang mengumpul peminat melalui novel-novel yang diterbitkan.
Penolakan itu dengan alasan kandungan kata-kata kesat dalam novel- novel tersebut tidak elok untuk masyarakat khususnya remaja. Syarikat berkenaan begitu tegas mahukan bahan bacaan berilmiah supaya bersama-sama dapat mendidik anak bangsa. Lebih penting untuk dijadikan teladan, apabila pembeli berkenaan turut menyebut kesibukan ibu bapa diambil kira dalam dunia buku. Kerana bahan bacaan yang baik boleh membantu pembentukan akhlak anak-anak. Bukan pada novel tidak elok yang dipercayai boleh merosakkan jati diri generasi muda.
Ironinya, daripada emel itu, telah memacu Bicara Isnin untuk membicarakan hal ini.
Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali berpendapat, unsur seks dan kelucahan dalam novel bukan lagi daya penarik utama pembaca masa kini.
“Mungkin 30 atau 40 tahun dulu pembaca, termasuk saya, suka cerita lucah. Ketika itu muncul banyak novel lucah, sekarang tidak seperti dulu lagi,” katanya yang juga penulis skrip, novelis dan kolumnis.
Katanya, pembaca sekarang tidak kira remaja atau dewasa telah lebih matang dan memilih novel yang kandungan juga jalan ceritanya lebih bernas dan boleh membentuk minda.
“Pembaca sekarang lebih berpendidikan dan memiliki nilai-nilai murni keagamaan, mereka tidak lagi tertarik dengan seks dan kelucahan yang dianggap sebagai picisan. Memang mereka masih sukakan cerita-cerita cinta, tetapi menolak seks,” katanya.
Abd Jalil berpendapat perubahan trend dan cita rasa peminat novel sekarang banyak didorong oleh sikap penerbit dan penggerak utama industri perbukuan lebih prihatin dan tidak semata-mata mementingkan keuntungan.
Penerbit tersohor, termasuk Alaf 21, Buku Prima, PTS, Telaga Biru dan beberapa lagi, kini berlumba mengisi pasaran dengan bahan-bahan bermutu, dan tidak menjadikan seks dan kelucahan sebagai menu utama pembaca.
“Memang masih ada satu dua penerbit yang menjaja seks, kelucahan dan kontroversi, tetapi ternyata sebahagian besar pembaca kita sudah tidak lagi tertarik dengan bahan seperti itu.
“Kalau kita tengok mana-mana pesta buku, orang berebut membeli buku dan novel yang isinya menarik, berilmu dan mengetepikan kelucahan. Orang malu untuk membawa novel lucah,” katanya.
Bercakap berdasarkan pengalaman, Abd Jalil berkata, beliau menulis banyak novel dan buku bacaan umum, tanpa unsur seks dan lucah, tetapi masih mendapat sambutan hangat dari orang ramai.
“Dunia pembacaan kita sudah berubah, zaman menjual seks dan kelucahan sudah berakhir. Saya yakin penggiat industri perbukuan sudah menerima ini sebagai satu kenyataan dan ini satu perkembangan yang amat sihat,” katanya.
Pandangan penulis
"Pada pandangan saya, isu kelucahan dalam sesetengah novel adalah subjektif. Ia bergantung kepada cara penulisan seseorang penulis dalam menghasilkan karya ketika menggambarkan sesuatu situasi sama ada mahu ia kelihatan nyata atau tidak. Biasanya isu
kelucahan ini boleh terjadi disebabkan penulis ghairah untuk menerangkan secara menyeluruh tentang plot yang ditulis. Namun, setiap penulis mempunyai gaya penulisan tersendiri. Justeru hanya sebahagiannya yang gemar begitu.
"Saya kurang bersetuju dengan pendapat bahawa pendekatan unsur lucah adalah perkara normal untuk melahirkan perasaan. Jika tidak ditangani dengan betul, unsur ini boleh merosakkan pemikiran pembaca. Seharusnya setiap penulis mengawal cara penulisan kerana karya yang dihasilkan adalah untuk memberi pengajaran dan mendidik. Jika unsur lucah ini berterusan, ramai pembaca boleh terjerumus dalam masalah sosial memandangkan unsur kelucahan boleh mempengaruhi pemikiran pembaca ke arah perkara negatif.
"Saya mengakui kejujuran itu penting dalam seni tetapi haruslah berpada-pada. Apa-apapun, ia bergantung juga kepada kelompok pembaca yang membaca karya penulis tersebut. Bagi saya, kelompok yang membaca karya saya terdiri daripada pelbagai golongan tua dan muda. Maka, saya sedaya upaya menolak unsur lucah ini kerana mahu pembaca menghormati karya saya. Alhamdulillah, setakat ni tanpa pendekatan unsur lucah, karya saya dapat diterima," - Damya Hanna
"Isu kelucahan dalam sesetengah novel ini semakin berleluasa dan ianya perlu dibendung supaya tidak merosakkan budaya membaca terutamanya kepada golongan muda. Hakikat sebenarnya, novel sebegini memang mendapat sambutan di kalangan sesetengah penggemar novel tetapi bagi saya, isu kelucahan tidak sepatutnya menjadi subjek utama dalam menghasilkan sesebuah karya. Setiap karya sebenarnya melambangkan identiti seseorang penulis itu sendiri. Pembaca hanya membaca novel yang mereka miliki tetapi sewajarnya dari awal lagi ianya menjadi tanggungjawab penulis untuk membentuk karya tersebut. Sejak dulu lagi, isu sebegini memang ada tetapi tidak terlalu dititik beratkan kerana pasaran novel belum luas seperti sekarang. Namun, bila bahan bacaan yang mengandungi isu kelucahan mula berlambak di pasaran, ia boleh menjadi sebuah perkara yang merisaukan masyarakat.
"Ada pelbagai cara untuk menzahirkan perasaan dalam bentuk coretan ayat. Penulis boleh menggunakan bahasa yang lebih indah atau berlapik dengan susunan ayat yang lebih berisi untuk menggambarkan perasaan sesebuah watak itu. Menulis dengan menggunakan pendekatan lucah hanya menambahkan bahaya kepada pembaca terutamanya kepada golongan muda. Penulis sendiri perlu ingat, apa sebenarnya niat mereka ketika menghasilkan karya. Sejujurnya, memang objektif utama adalah sebagai mata pencarian tetapi untuk penulis yang beragama Islam, kita perlu ingat bahawa setiap ayat yang kita ciptakan itu dibaca oleh beribu-ribu orang yang lain dan lebih penting lagi, segala yang kita lakukan itu akan ditanya di akhirat kelak. Jika karya kita boleh menjadikan masyarakat lebih baik dan berilmu, itu semestinya perkara yang menggembirakan. Namun, apa pula yang akan kita jawab nanti jika karya kita dipenuhi dengan perkara yang tidak elok dan lebih teruk jika ia mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat?
"Sememangnya tempias isu kelucahan dalam novel akan terkena kepada semua yang bergelar penulis novel. Jika golongan pembaca mahukan unsur karya yang lebih berani (daring), sudah tentu ianya akan menjejaskan periuk nasi penulis lain yang lebih mementingkan kualiti karyanya. Namun begitu, ianya semua bergantung kepada rezeki penulis. Kadang-kala novel tersebut tiada langsung membabitkan isu-isu yang tidak elok tetapi kerana rezeki telah tertulis kepadanya, karya tetap mendapat sambutan memberangsangkan. Penulis yang benar-benar jujur dengan karyanya pula tidak seharusnya menjadikan isu kelucahan novel-novel lain sebagai gangguan penumpuan untuk menghasilkan karya-karya mereka seterusnya.
"Jika gejala isu kelucahan ini tidak dibendung, ianya bakal menjadi fenomena yang merisaukan dunia penulisan dan mencacatkan keindahan bahasa serta ilmu yang terkandung dalam sesebuah novel tersebut. Penulis yang mahu berkarya secara jujur untuk mengembangkan dunia seni penulisan akan lebih berhati-hati dengan setiap apa yang ditintakannya. Tidak salah untuk penulis mempelbagaikan genre ataupun corak penulisan mereka, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana cara untuk menjaga tatasusila bahasa dan budaya masyarakat Malaysia supaya tidak terkeluar dari landasan sebenar. Banyak cara untuk mengekang perkara ini daripada menjadi sebuah trend tetapi semuanya bergantung kepada kesedaran penulis novel tersebut dan pembaca di luar sana. Selain itu, pihak penerbitan juga antara yang terpenting untuk menjadi lebih tegas dalam soal ini supaya karya yang dikeluarkan adalah berkualiti. Dunia penulisan adalah sebuah dunia yang luas, boleh dicorakkan dengan pelbagai jenis ayat tetapi jika tidak kena lorekannya, dunia tersebut pasti akan menjadi cacat cela dan seluruh isi dunia itu akan terbabit sama," - Weeda Airiza
"Inti pati sebuah novel memainkan peranan sama ada naskhah karya itu akan terus dibaca, ditutup atau diulang berkali-kali sehingga lunyai. Kini, isu kelucahan begitu hangat diperkatakan kerana novel seperti ini menjadi lambakan kepada anak remaja kita di dalam pasaran yang terbuka. Golongan remaja kita menjadi teruja dan menghebahkannya kepada kawan-kawan mereka yang lainnya hingga menyebabkan novel yang bercirikan sebegini menjadi hangat dan laris di pasaran.
"Apabila penawaran wujud, permintaan semakin meningkat dan dipengaruhi pula faktor editor atau penerbit yang mementingkan keuntungan semata-mata maka isu kelucahan semakin menjadi-jadi di dalam bahan bacaan anak remaja kita. Sesuatu yang merbahaya dan menambah perisa untuk keruntuhan moral yang semakin meruncing.
"Jangan sesekali memperlekehkan kuasa bahan bacaan. Jika isu ini dibiarkan, suatu hari nanti kita juga yang akan duduk ternganga melihat anak remaja kita hancur adab dan pegangan imannya. Waktu itu siapa yang mahu disalahkan? Bagi saya, penulis mempunyai tanggungjawab. mahu tidak mahu, tanggungjawab itu digalas kerana setiap patah aksara kata yang mereka ciptakan akan membuai hati dan merasuk minda anak remaja kita yang masih hijau dalam menilai baik buruknya sesuatu perkara.
"Saya percaya pada rezeki daripada ALLAH SWT. Jika anda menulis beresepikan isu kelucahan, mendapat royalti yang banyak dan meraih populariti tetapi naluri haru biru dan akan menerima seksa dan balasan di akhirat kelak, maka saya memilih biarlah saya menjadi penulis yang biasa-biasa saja. Bagi saya, rezeki begini tidak lama. Ikhlas menulis, berlandaskan pegangan kita, Insya-Allah rezeki dari ALLAH terbentang luas untuk semua.
"Ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil peranan. Semak dan pantau bahan bacaan anak remaja anda. Janganlah setakat menghulur wang dan merasa lega apabila mereka memberitahu mahukan wang untuk membeli buku. Isi bahan bacaan perlu diambil kira. Guru-guru boleh memberikan panduan, senarai bahan bacaan yang bersesuaian untuk anak murid mereka. Buka mata, tengok novel apa yang ada di rak bacaan anak remaja kita. Jika tidak mampu membaca seluruh novel, selaklah beberapa muka. Ambil tahu. Jangan jadikan trend yang merosakkan masa depan mereka," - Lynn Dayana
"Buku lucah atau spesifiknya novel lucah memang sudah lama wujud. Malah, lambakan bahan lucah di pasaran bukan lagi isu baru. Bahan-bahan yang boleh diibaratkan hampas seni kreatif ini sudah lama dijual secara berleluasa terutama di gerai-gerai yang menjual majalah dan surat khabar-surat khabar. Target para peniaga ini ialah para pelajar sekolah. Kerana selain mereka ini mudah teruja dan ketagih, para pelajar sekarang juga dibekalkan dengan wang saku yang banyak. Cuma sejak kebelakangan ini, elemen tersebut mulai menjadi virus dalam novel-novel biasa dan keberanian segelintir penulis yang menyuntik virus ini ke dalam novel-novel mereka pada saya tidak boleh dimaafkan sama sekali.
"Perbuatan ini pada saya bukanlah sesuatu yang boleh dikira normal malah ianya menyalahi idealisme penulisan itu sendiri. Apa yang saya tahu, hasil sastera terutama sastera kreatif haruslah berfungsi sebagai mekanisme yang menjalankan tugas sebagai agen tazkiyah yang mampu membentuk jiwa murni ke dalam diri pembaca. Jangan kita sangka institusi formal seperti gedung-gedung ilmu dari yang rendah hingga setinggi-tingginya dan institusi keluarga sudah cukup lengkap dalam membentuk akhlak masyarakat di mana sebahagian besar merupakan para pembaca. Pernah beberapa orang pembaca mengulas sebuah buku saya dan mengakui mereka menjadikan buku saya sebagai dimensi buat eskapisme keadaan hidup yang mendera. Mereka merasa puas apabila membaca novel tersebut dan menjadikannya motivasi. Setiap kata-kata yang saya coretkan membekas hingga ke lubuk jiwa. Adakala pengaruh ini amat menakutkan saya. Lalu saya terfikir apa kesannya jika elemen lucah dimasukkan ke dalam novel-novel roman seperti ini? Hendak mengikut trend di Barat? Sudah cukup dengan gejala sosial yang tidak terkawal di sekeliling kita dan sudah jadi kewajiban bagi para penulis membanteras apa yang termampu menggunakan mata pena kita yang tajam. Bukan memusnahkannya dengan menjadikan krisis moral ini lebih teruk lagi. Jangan menulis bermotifkan keuntungan dan populariti semata-mata tanpa menghiraukan bahawa, tulisan dan cerita yang disajikan bercanggah dan menyimpang dari nilai-nilai keagamaan dan budaya masyarakat. Sejujurnya, tidak banyak kesan pada penulis yang berkarya secara jujur kerana mereka ini memang sudah ada kelompok penggemarnya sendiri. Kalau adapun kesannya mungkin kesan bermusim.
"Sebagai langkah untuk membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini, setiap penulisan haruslah berorientasikan syarak yang mana ia harus meliputi aspek-aspek moral, spiritual dan material. Dalam keghairahan mengejar pulangan keuntungan, usahlah sesekali alpa akan peri pentingnya peranan dan pemupukan nilai murni buat masyarakat pembaca. Moral yang baik adalah pengukur kepada kemajuan justeru itu, prinsip ini harus dijadikan agenda utama setiap penulis dan penerbit. Ia juga perlu kesepaduan usaha dari semua pihak. Terutama kerajaan dan para penerbit. Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti penerbitan harus dipantau. Hukuman haruslah lebih keras untuk penggiat sastera lucah dan harus ada satu standard dalam penapisan setiap bahan bacaan," Haiza Najwa
Muhyiddin: Kebencian dibangkit kerana ideologi politik
3 September 2012
Timbalan Perdana Menteri berkata, anasir-anasir itu akan menggugat
pembangunan sosioekonomi Malaysia yang sedang menuju ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Ini kerana sudah ada petanda yang mana kerana ideologi politik, kumpulan tertentu membangkitkan perasaan kebencian dan tidak menghormati prinsip asas hubungan baik yang telah kita jalinkan," katanya.
Muhyiddin berkata demikian semasa merasmikan program Karnival Gempak Merdeka 2012 di Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam.
Katanya, petanda itu boleh dilihat daripada kelakuan segelintir golongan muda yang tidak menghormati Jalur Gemilang sehingga ada yang mahu menukarnya dengan bendera baru, kononnya ia tidak lagi menggambarkan negara Malaysia sebenar.
Timbalan Perdana Menteri mahu golongan muda kekal memikul tanggungjawab memelihara perpaduan antara kaum supaya Malaysia terus mencapai kemajuan sehingga disegani oleh negara lain di dunia.
Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut melancarkan program 1Malaysia Youth For You (1M4U) kawasan Pagoh bagi menanam semangat kesukarelawan dalam kalangan golongan muda.
Sebelum itu, beliau menghadiri majlis mesra Aidilfitri Tenaga Nasional
Berhad di Muar dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 anak yatim. - Bernama
-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan