Rabu, 12 September 2012

PARASIT NI MANA2 ADA...KAKI TUMPANG...TERASA HEBAT KEBOLEHAN YANG ADA PADA DIRI@SYOK SENDIRI TAPI ALLAH LA YANG TAHU SAPE PARASIT2 NI....PARASIT2 MAKSUDNYA ORANG TAK BERGUNA...KAKI KACAU DAUN...MEMENTINGKAN DIRI...JANGAN KACAU AGAMA LAIN...MEREKA ADA PENGANUTNYA TERSENDIRI...SARANG TEBUAN JANGAN DIJOLOK...BAGAIMANA KALAU AGAMA KITA ORANG HINA...TENTU MARAH...HIDUPLAH DENGAN BERSOPAN SANTUN SERTA SALING HORMAT ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN...DUNIA NI KAN MILIK ALLAH SWT

Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya maut
Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Christopher Stevens
Christopher Stevens
Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya antara 4 maut
Protes yang diadakan di pejabat konsul Amerika Syarikat semalam.
[DIKEMAS KINI] WASHINGTON - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens disahkan terbunuh dalam serangan roket ke atas pejabat konsul di Benghazi semalam, demikian menurut oleh Presiden Barack Obama hari ini.
"Saya dengan keras mengutuk serangan melampau ke atas kemudahan diplomatik di Benghazi, yang meragut empat nyawa rakyat Amerika termasuk Duta Chris (Christopher) Stevens," kata Obama dalam satu kenyataan.
Tiga yang lain merupakan kakitangan keselamatan AS, kata seorang pekerja kontraktor di misi tersebut, lapor CNN.
Serangan ke atas pejabat konsul itu diadakan sebagai protes berhubung filem keluaran negara, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS hanya mengesahkan kematian seorang pegawai tetapi tidak mengeluarkan nama lagi.
Selain di Libya, protes juga diadakan di Kedutaan AS di Kaherah.
Dalam serangan di Benghazi, seorang lelaki memasuki kawasan pejabat konsul dan melepaskan tembakan, selain membaling bom.

[BERITA BERKAITAN -  Pengarah filem anti-Islam 'hilangkan diri']

Laporan terdahulu memetik seorang pegawai Libya berkata, Stevens meninggal dunia disebabkan sesak nafas ekoran serangan itu.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengesahkan kematian seorang pegawai negara itu premis tersebut.
Tindakan seorang lelaki AS berbangsa Yahudi menghasilkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan orang Islam di Libya dan Mesir.
Kumpulan penunjuk perasaan yang berang itu bertindak menggempur Kedutaan AS di Kaherah dan Benghazi pada hari sama sambutan ulang tahun ke-11 memperingati serangan 11 September diadakan, semalam.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, protes di bandar timur Libya tersebut bertukar ganas selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam pejabat konsul dan membakar premis itu.
"Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama tiga kakitangan dilaporkan turut terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan roket yang disasarkan ke bangunan tersebut," kata Wanis al-Sharef.
Beberapa jam sebelum insiden itu, ratusan penunjuk perasaan ultrakonservatif berarak menuju ke Kedutaan AS di Kaherah dan berhimpun di luar bangunan tersebut sambil melaungkan slogan mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghasilkan filem terbabit.
Bagaimanapun, demontrasi itu juga bertukar menjadi ganas selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak luar kawalan dengan memanjat tembok di luar bangunan kedutaan tersebut dan menurunkan bendera kebangsaan AS.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa memaklumkan tiada tangkapan dibuat kerana protes tersebut dilakukan secara aman dan kumpulan itu dilaporkan bersurai menjelang tengah malam tadi.
Difahamkan, treler filem selama 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile, 52, menerima kecaman banyak pihak terutamanya orang Islam selepas ia dimuat naik ke dalam laman Youtube.
Wall Street Journal melaporkan Bacile turut menerima bantuan berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) daripada kira-kira 100 bangsa Yahudi untuk membuat filem yang sengaja memburuk-burukkan sifat Nabi Muhammad SAW.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam.
Pengarah filem anti-Islam 'hilangkan diri'
Zai
12 September 2012
Protes ke atash filem terbitan Sam Bacile di Kaherah, Mesir.
Protes ke atash filem terbitan Sam Bacile di Kaherah, Mesir.
PENGARAH filem berketurunan Israel Amerika, yang menetap di California, mula menyembunyikan diri selepas filem terbarunya, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, menerima protes daripada umat Islam seluruh dunia.

Bercakap kepada pemberita di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan, penulis dan pengarah, Sam Bacile terus berdegil dengan mengatakan agama Islam seperti satu barah dan menyatakan filemnya itu ialah sebagai satu sentimen provokatif politik dengan tujuan mengutuk ajaran agama Islam.

Berikutan penerbitan filem itu, Duta Amerika ke Libya, Christopher Stevens terbunuh dalam protes berhubung filem keluaran negara itu, semalam.

“Filem ini ialah sebuah filem politik,” kata Bacile.

“Amerika mempunyai banyak duit dan banyak orang berperang di Iraq dan Afghanistan tetapi saya berperang dengan idea,” tambah Bacile.

Bacile yang merupakan seorang ejen hartanah percaya filemnya itu akan dapat menerangkan kepada rakan-rakan seagamanya tentang kekurangan agama Islam kepada mereka.

Menurut Bacile, 56, filem yang memakan masa selama dua jam itu, yang berjudul Innocence of Muslims, melibatkan kos pembikinan sebanyak A$5 juta (RM15.3 juta) serta memperolehi dana daripada 100 bangsa Yahudi.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam.

Walaupun Bacile berasa kesal dengan insiden pembunuhan itu, dia menyalahkan pihak kedutaan di Libya yang tidak mengetatkan kawalan keselamatan sehingga perkara seperti itu boleh berlaku.

“Saya merasakan sistem keselamatan di sana tidak cukup ketat dan kita patut berbuat sesuatu untuk mengubahnya,” kata Bacile.

Menurut konsultan kepada filem itu, Steve Klein, Bacile berasa risau dengan keselamatan ahli keluarganya yang menetap di Mesir walaupun Bacile enggan mengakuinya.

Menurutnya lagi, Klein berjanji untuk membantu Bacile menerbitkan filem itu tetapi sudah memberi amaran kepadanya dengan berkata, “awak bakal menjadi Theo van Gogh yang seterusnya.”

Van Gogh merupakan seorang pengarah Belanda yang dibunuh ekstremis Islam pada 2004 selepas menerbitkan sebuah filem yang mencemarkan kesucian agama Islam.
“Saya memang sudah jangkakan perkara seperti ini akan berlaku,” kata Klein.

Filem itu dihasilkan dalam tiga bulan pada musim panas tahun lepas, melibatkan seramai 59 pelakon dan 45 krew produksi.
PRU asing: SPR tidak akan halang Selangor
NURUL AINI MOHAMED ALI
12 September 2012
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
PETALING JAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada halangan jika Pakatan Rakyat (PR) mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) negeri berasingan jika Barisan Nasional (BN) membubarkan Parlimen tahun ini atas alasan badan pengendali pilihan raya itu masih belum membersihkan daftar pemilih.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR tidak boleh menghalang kerana ia dibenarkan dan tertakluk dalam undang-undang.

"Undang-undang dalam pilihan raya sendiri benarkan buat PRU secara berasingan, tetapi jika mahu teruskan mereka hanya boleh buat dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) saja," kata beliau kepada Sinar Harian Online, sebentar tadi.
Perikatan itu memutuskan demikian atas alasan SPR masih enggan membersihkan daftar pengundi yang menurutnya meragukan.

"PR telah berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kami bersetuju Selangor tidak akan mengadakan PRU13 bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Aziz menambah, SPR hanya mahu memberi peringatan kepada PR berhubung kos perbelanjaan, yang akan meningkat sebanyak RM50 juta jika mereka mahu mengadakan pilihan raya secara berasingan.

Menurutnya lagi, SPR tidak akan menghalang kerajaan negeri Selangor kerana ia melibatkan Dun saja, tetapi tarikh rasmi PRU13 tetap berada di tangan SPR untuk menentukan.
Ibrahim Ali: Pakatan 'angan-angan Mat Jenin'
Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali
SHAH ALAM - Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub semalam bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan menguasai tiga negeri baru - Johor, Sabah dan Sarawak serta bakal memenangi 30 daripada 82 kerusi Parlimen ketiga-tiga negeri itu satu kenyataan perang saraf politik yang melucukan.
Katanya, kenyataan itu sama dengan cerita "dogeng angan-angan Mat Jenin."
"Ia kenyataan sekadar nak memberi harapan pada ahli-ahli Pas yang dalam kegelisahan dan panas punggung ekoran Pas jadi kuda tungangan DAP atau lebih sedap di sebut, menjadi barua DAP," kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan.
Ibrahim berkata, mengikut analisis laporan kajian yang dibuat oleh beliau sendiri, memang pengundi Cina ada masalah dengan Barisan Nasional (BN), tetapi sejak akhir-akhir ini ada perubahan di mana masyarakat dagang Cina mula kembali semula menyokong perikatan tersebut.
"Masyarakat Cina mahu kestabilan dan keamanan untuk kelangsungan dunia perniagaan mereka.
"Kaum Cina di Selangor sudah mula jemu dengan berbagai karenah di Selangor kecuali yang mendapat sesuatu keistimewaan atas kepentingan majoriti rakyat," kata beliau.
Ibrahim yang bertanding pada pilihan raya umum 2008 atas tiket Pas berkata, memang di Sarawak, khususnya ada tiga atau empat kerusi yang ramai pengundi kaum Cina dan dua kawasan di Sabah dan satu tempat milik Datuk Seri Lajim Okin.
"Ini pun BN tidak semestinya kalah dengan banyak perubahan berlaku. Di Semenanjung, pengundi Melayu (termasuk orang Umno) yang mengundi pembangkang pada PRU12, telah kembali menyokong Umno.
"Ini kerana kesan PRU12, Islam, Melayu, Raja dihina, digugat dan dicabar akibat Melayu dan Bumiputera berpecah, maka keinsafan akan membawa kepada majoriti umat Melayu Islam atau Bumiputera akan kembali menyokong BN demi kepentingan Nasional iaitu keamanan serta kelangsungan menuju negara maju 2020," katanya lagi.
Ibrahim berkata, dalam PR, perbedaan antara DAP dan Pas, terutama penolakan Negara Islam dan hudud yang jelas mengguris hati umat Islam memyebabkan Pas akan dihukum oleh umat Melayu Islam atas sebab politik retorik sepanjang zaman dan gagal membela Islam dari terus dipijak dan dihina.
"Maka Pas bakal kalah teruk dari 22 kerusi, paling kuat tinggal lapan hingga 10 kerusi seperti sebelum PRU12.
"Begitu juga PKR kerana politik (Datuk Seri) Anwar Ibrhaim sudah benar-benar membosankan rakyat," kata beliau.
Beliau yakin bahawa dengan izin ALLAH dan kesedaran rakyat BN akan kembali mendapat dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat dan negeri pembangkang akan tumbang kepada BN.
Hasan Ali: 'Jati bukan rasis, bukan eksklusif'
Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Jati bukan rasis, eksklusif
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali adalah pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga (Jati) yang kini bergiat aktif dalam usaha memerangi gerakan memurtadkan orang Islam.

Bersama Sinar Harian, beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor meluangkan masa mengupas pelbagai isu berbangkit berkaitan NGO diterajuinya dan Pas. Ikuti temubual tersebut.

Sejak penubuhan Jati dan siri jelajahnya, sejauh mana sokongan umat Islam terhadap pertubuhan ini?

HASAN: Saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT.  Walaupun Jati masih berada di alam bayi dari sudut usia, nama Jati telah mula menjadi sebutan dalam kalangan anggota masyarakat negara ini. Jati yang memperjuangkan IMR (Islam, Melayu dan Raja) walaupun sebelum ini menerima banyak sindiran dan kritikan namun sindiran dan kritikan itu dengan kehendak Allah menjadikan Jati semakin popular walaupun baru muncul enam bulan lalu.
Tidak dapat dinafikan peranan media termasuk Sinar Harian yang telah memainkan peranan begitu penting bukan disebabkan atas namanya Jati tetapi lebih kepada asas perjuangan yang begitu relevan pada saat dan ketikanya. Jati memberanikan diri mengorak langkah membelah badai persepsi dan pandangan negatif terhadap IMR yang bagi Jati merupakan tonggak utama kepada proses 'nation building'.
Sokongan NGO-NGO besar yang Jati menganggap sebagai abang-abang dan kakak-kakak memudahkan lagi laluan. Jati memainkan peranan aktif dalam menyatukan NGO-NGO supaya kesemuanya lebih fokus kepada kerja-kerja mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja. Jati berterima kasih kerana sehingga ini Jati telah tersenarai sebagai salah satu pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendapat jemputan menghadiri acara-acara dan majlis-majlis yang berkait langsung dengan asas-asas pembinaan negara yang kami perjuangkan.

Apakah mesej yang biasa dibawa Datuk dan rakan-rakan dalam siri Jelajah Jati?

HASAN: Pimpinan Jati yang terlibat dalam 'roadshow' sejak dari awal penubuhannya hingga kini cuba menyalurkan pemikiran rakyat untuk sama-sama merenungkan wajah Malaysia pada dekad-dekad yang akan datang. Apa akan jadi kepada Islam? Apa akan jadi kepada bangsa Melayu dan apa yang akan terjadi kepada institusi Raja yang diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai benteng terakhir menyelamatkan Islam dan Melayu di negara ini. Rakyat juga diajak untuk melihat di sekeliling mereka pelbagai tindakan yang diambil oleh sekumpulan anggota masyarakat untuk menidakkan ketiga-tiga tonggak kekuatan dan keutuhan negara tersebut.
Perselisihan dan perpecahan yang sebahagiannya bertitik tolak daripada perbezaan ideologi politik telah memecah belahkan masyarakat Islam-Melayu menjadikannya berpuak-puak dan terpaksa meneruskan kehidupan dalam situasi dan persekitaran bermusuh-musuhan.
Meletakkan senario ini di hadapan mereka yang hadir dalam program-program jelajah anjuran Jati sehingga ini kami mendapati maudhu’ ini diterima baik oleh sebahagian besar anggota masyarakat tanpa mengira peringkat umur, jantina dan kedudukan sosio-ekonomi mereka. Ribuan menghadiri program-program Jati dan ada tempat-tempat yang jumlah kehadirannya mencecah 20,000 orang.

Tapi, Datuk dan rakan-rakan dilihat banyak menghentam Pas dalam siri ceramah Jati.

HASAN: Saya tidak setuju kalau dikatakan saya dan rakan-rakan banyak menghentam Pas. Saya sendiri sering diminta untuk memberikan kronologi pemecatan saya dan pengguguran sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor di awal tahun ini. Saya tidak pernah menghentam ulama Pas bahkan menyanjung mereka. Saya juga tidak menghentam Pemuda Pas bahkan dalam banyak hal menyokong posisi yang mereka ambil mengenai sesuatu isu yang hangat diperkatakan.
Mungkin saya di lihat membuat kritikan tajam dan menghentam parasit-parasit dalam Pas dan dasar politik akomodatif mereka yang tidak ingin lagi memperjuangkan penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan syariat di negara ini semata-mata untuk mencapai impian mereka menuju Putrajaya. Bagi saya merekalah yang bertanggungjawab menggelincirkan Pas dari landasan asal perjuangannya. Parasit-parasit yang dikatakan berkait dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan metode kawalan jauh untuk campur tangan menentukan susunan hierarki kepimpinan dalam Pas. Apa yang saya sering sebutkan dalam hal parasit ini secara kebetulannya selari dengan ulasan yang dibuat oleh pihak-pihak lain seperti NGO - TIBAI dan beberapa penceramah sama ada yang dulunya pernah bersama Pas atau memang dari asalnya adalah orang-orang kanan Anwar.

Sejauh mana golongan parasit Pas telah mencorakkan aliran pemikiran yang dikatakan tidak selari dengan perjuangan asal Pas?

HASAN: Saya dan pihak-pihak lain juga memang sependapat bahawa Pas kini telah bertukar wajah. Pertama, kumpulan parasit kini menguasai pimpinan parti. Dalam pimpinan Pas Pusat, 70 peratus daripada anggota saf kepimpinan terdiri daripada pimpinan parasit. Kedua, anggota parasit yang mula menyerap di dalam struktur pimpinan Pas terutamanya 10 tahun yang akhir ini dengan cara penuh berstrategi dan bertaktik secara disedari atau tidak disedari telah merubah arah tuju parti.
Kalau dulu boleh dikatakan tidak sah mana-mana ucapan pemimpin besar parti hinggalah kepada pimpinan yang paling bawah di peringkat akar umbi akan memperkatakan soal menegakkan Negara Islam berdasarkan al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sambil mengulas ayat-ayat jihad dalam al-Quran dan Hadis. Tetapi, sekarang pimpinan Pas berceramah senada, seirama dan sebahasa dengan inti ceramah pimpinan PKR dan DAP.  Daripada Negara Islam kini mereka ghairah mengalihkan maudhu’ kepada hak asasi manusia, faham liberalisme, prinsip kesamarataan, tadbir urus yang baik dan sebagainya.
Atas akur kepada semangat kesetiakawanan dalam Pakatan Rakyat, Pas sanggup menggugurkan Negara Islam dan menggantikan kepada Negara Berkebajikan. Atas semangat yang sama, pimpinan parasit dalam Pas terus membisu seolah-olah mengiakan kecaman dan penghinaan Karpal Singh terhadap hudud dan negara Islam.

Ada cadangan pemimpin kanan Jati menyertai politik dan bertanding sebagai menterjemahkan perjuangan IMR. Apakah komen Datuk?

HASAN: Sebagai sebuah NGO, Jati tidak terlibat dalam politik. Walaupun begitu Jati tidak menghalang mana-mana pimpinan dan anggotanya menyertai politik secara aktif termasuk bertanding dalam pilihan raya. Mereka yang berbuat demikian semestinya bijak membuat persempadanan antara garis pemisah di antara aktif dalam NGO dan kegiatan dalam arena politik.
Secara peribadi, saya mengambil sikap yang terbuka dalam hal ini. Kepada pimpinan Jati yang bercadang untuk terjun ke dunia politik dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), saya dengan lapang dada akur dengan keputusan mereka. Hanya ingin saya ingatkan, dalam aliran apa dan mekanisme mana pun yang dipilih, perjuangan kita tetap fokus iaitu mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu serta terus menerus mendaulatkan institusi Raja.
Untuk saya sendiri, saya belum membuat apa-apa keputusan kerana bagi saya untuk IMR saya ada Jati. Saya juga ada opsyen-opsyen saluran politik yang boleh digunakan walaupun tidak lagi bersama dengan Pas. Apa pun, sama ada di atas landasan politik atau di landasan NGO, saya tetap bersama dengan teman-teman dan seluruh rakyat negara ini yang ingin melihat negara ini aman, makmur serta stabil. Ramuan utama ke arah mencapai matlamat ini ialah IMR.

Benarkah dakwaan Jati adalah pertubuhan rasis, eksklusif dan anti bukan Melayu dan bukan Islam?

HASAN: Biar saya jelaskan bahawa Jati bergerak dan bertindak untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja. Sekali imbas memang kelihatan seolah-olah Jati rasis, anti bukan Melayu dan anti bukan Islam. Tapi, pada hakikatnya apa yang diperjuangkan oleh Jati sama dengan apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang diwakili oleh pimpinan daripada berbagai suku kaum. Jati memperjuangkan beberapa asas pokok dalam perlembagaan yang telah dipersetujui bersama. Tidak ada satu pun yang diperjuangkan oleh Jati terkeluar dari asas-asas pokok tersebut.
Sebagai organisasi yang berlandaskan Islam, Jati tidak diizinkan membelakangkan mana-mana kaum atau mana-mana agama atau mana-mana aliran politik. Sebaliknya, Jati dikehendaki pada saban masa dan ketika menghormati semua bangsa, semua agama dan semua ideologi yang tidak secara terbuka menentang dan menghalang pelaksanaan Islam.
Sebagai Presiden Jati juga, saya berharap masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam faham. Tidak ada perkara yang harus dicurigakan. Kami bergerak dengan penuh ketelusan dan perimbangan. Kami memacu ke hadapan untuk menentukan generasi pengganti tidak kira Melayu atau bukan Melayu dan Islam dan bukan Islam hidup dalam kedamaian dan kesejahteraan seperti yang pernah berlaku di beberapa negeri di zaman kegemilangan Islam.
Kebangkitan Nasha tidak disenangi

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa lantang meminta Pas keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan mengecam Karpal Singh atas kebiadabannya menyuarakan penentangannya terhadap hudud dan Negara Islam. Bagaimana Datuk melihat isu ini?

HASAN: Bagi saya, kenyataan dan tindakan Nasharudin itu harus dipuji kerana keberanian beliau menyatakan dan mempertahankan yang haq terhadap mereka yang cuba mempermainkan prinsip perjuangan Pas walaupun mungkin tidak disukai  oleh rakan politik mereka.
Saya kurang faham mengapa dalam kalangan pimpinan parasit Pas terutamanya, begitu bersemangat menghentam dan menuntut supaya Nasharudin disingkirkan, padahal gesaan sedemikian meminta Pas melihat semula keanggotaannya dalam PR pernah ditimbulkan oleh pucuk pimpinan parti seperti Ketua Dewan Ulama.

Bacaan saya, kecaman terhadap Nasharudin mungkin disebabkan pemimpin yang masih muda ini mempunyai kekuatan tersendiri dan dengan kebangkitan dan sokongan golongan ulama dan pemuda di dalam isu yang dibangkitkan oleh Nasharudin ini sebenarnya mampu mengetepikan kumpulan parasit dalam Pas. Banyak pihak berpendapat Anwar sendiri tidak selesa dengan kebangkitan Nasharudin kerana ini boleh menggagalkan agenda besarnya untuk menguasai Putrajaya. Seperti yang didakwa Pas seolah-olah merelakan dirinya dijadikan alat untuk Anwar mencapai matlamat itu dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Majlis Syura Pas yang bersidang Ahad lalu telah dilaporkan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Nasharudin berhubung dengan tindakan dan kenyataan beliau. Saya menyambut baik sikap dan pendirian Majlis Syura Pas itu sifatkan sebagai bijak dan kena pada tempatnya dalam usaha untuk mengembalikan semula kewibawaan kepimpinan ulama dalam Pas.
Pendirian tersebut telah menggambarkan bahawa tindakan dan kenyataan Nasharudin yang menjurus ke arah politik perdamaian sesama Islam dan keras terhadap orang kafir yang cuba mengongkong perjuangan Pas itu bukanlah satu kesalahan bagi kaca mata Majlis Syura sebagai badan tertinggi parti.
Itulah hikmahnya apabila ulama bersidang. Saya percaya keputusan yang berlainan akan berlaku ke atas Nasharudin sekiranya kes beliau dibincangkan di peringkat Lujnah Politik ataupun AJK Pas Pusat seperti yang telah berlaku ke atas diri saya.

Justeru, saya berharap agar usaha baik yang telah dirintis oleh Nasharudin itu dapat diteruskan dan dikembangkan lagi oleh beliau. Semoga peristiwa ini akan menjadi satu permulaan yang baik untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan golongan ulama dan pemuda di dalam Pas untuk membersihkan parti daripada penguasaan golongan parasit di samping mengagungkan semula perjuangan untuk menegakkan Negara Islam dan melaksanakan syariah Islam yang syumul di Negara kita.
Saya mengharapkan tindakan yang berwibawa yang dibuat oleh Majlis Syura akan mendapat sokongan dan dokongan penuh daripada ahli dan penyokong Pas. Ahli dan penyokong Pas sepatutnya mengambil kesempatan daripada ruang yang dibuka oleh Majlis Syura untuk menyatukan seluruh kekuatan bagi menentukan satu konfigurasi baru akan muncul dalam Parti Islam itu.

Difahamkan Datuk kini sibuk menguruskan IMR TV dan IMR Radio. Boleh Datuk terangkan sedikit penglibatan dalam inisiatif baru Jati ini?

HASAN: Ya. Saya kini terlibat secara langsung menguruskan penubuhan IMR TV dan IMR Radio. Kedua-dua saluran tv dan radio ini berbentuk 'online' dan 'real time' dipancar 24 jam yang dapat diakses oleh pelayar-pelayar Internet di seluruh dunia. Berbeza dengan saluran-saluran yang lain IMR TV dan IMR Radio mengkhususkan contents (pengisian) rancangan kepada isu-isu yang berkaitan IMR (Islam, Melayu dan Raja).
Program-program 'talkshow' yang melibatkan tenaga pemikir, pakar-pakar karyawan dan golongan ikhtisas akan membincangkan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan 'nation building'. Namun, program-program kemasyarakatan, kekeluargaan, motivasi diri, sukan dan hiburan juga menjadi sebahagian daripada inti rancangan IMR TV dan IMR Radio. Secara rasminya IMR TV dan IMR Radio akan mula bersiaran pada 1 Oktober 2012 di sebuah bangunan di Alam Avenue, Shah Alam.

Umat Islam dalam negara bergelut menegakkan syiar Islam menerusi kepartian. Umno dengan perjuangannya, Pas dengan prinsipnya. Apakah formula Jati untuk menjernihkan keadaan?

HASAN: Bagi saya sebagai seorang Islam sama ada secara individu atau berjemaah mereka semestinya menyempurnakan tanggungjawab dan amanah sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Memahami, menghayati dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Khalifah Allah bukan sahaja mesti diterapkan kepada diri dan keluarga tetapi mesti didakwahkan kepada masyarakat yang lebih luas termasuk negara dan umat.
Kedua-dua Pas dan Umno mahukan Islam. Kedua-duanya mahu melihat syiar Islam terpancar di bumi Malaysia ini. Mungkin caranya berbeza dan langkah yang diambil pun berbeza. Bagi saya kedua-dua parti dalam kesempatan dan peluang yang ada tidak seharusnya mencari-cari dan mengemukakan alasan mengapa itu dan ini tidak dapat dilaksanakan.
Pada hemat saya, peluang dan ruang terbuka luas di Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi. Dibandingkan di negara-negara Islam yang lain ruang dan peluang yang terbuka luas di negara ini hanya menunggu untuk kita sebagai umat Islam menggunakan sepenuhnya. Pintu berdakwah dalam berbagai bentuk terbuka lapang. Lapangan kerja-kerja amal jariah terbentang luas. Ruang untuk mengemukakan pandangan dan pendapat setakat yang diizinkan juga begitu banyak. Akhirnya, dengan status Islam sebagai agama Persekutuan, ada pihak yang mengatakan bahawa Islam yang syumul boleh dilaksanakan tanpa perlu meminda Perlembagaan yang menjadi asas kenegaraan kita.

Jati tidak minat menuding jari kepada mana-mana kumpulan. Jati juga tidak berminat untuk menuduh individu itu atau individu ini tetapi, Jati berminat untuk menyatukan seluruh tenaga kekuatan umat Islam di Malaysia bagi menjunjung titah perintah ALLAH SWT untuk melaksanakan Islam sebagai addeen merangkumi segala liku kehidupan seseorang Muslim.
Dengan izin Allah dan berkat kerjasama semua pihak termasuk parti-parti politik, Jati mengharap dan sering mendoakan agar masanya akan tiba bila umat Islam di Malaysia merasakan nikmatnya hidup di bawah payung keredhaan ALLAH SWT.
Kuarters Kastam Johor terbakar, timbalan pengarah meninggal dunia
MOHD FIRDAUS YON
12 September 2012
Keadaan kuarters Kastam Diraja Malaysia Johor selepas api berjaya dipadamkan.
Keadaan kuarters Kastam Diraja Malaysia Johor selepas api berjaya dipadamkan.
JOHOR BAHRU - Kediaman dua tingkat kuarters dua tingkat berkembar Kastam Diraja Malaysia Johor di Jalan Biru 2, Taman Pelangi di sini, musnah sebahagian dalam kejadian kebakaran, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Timbalan Pengarah Kastam Negeri Bahagian Pematuhan, Ahmad Hassan, Ahmad Hassan yang tinggal di kuarters bersebelahan meninggal dunia di luar kediaman dipercayai kerana mati mengejut, ketika cuba menyelamatkan diri.

Dalam kejadian jam kira-kira 4 pagi itu, bahagian depan rumah terbakar manakala sebuah kereta milik pegawai penguasa jabatan rosak teruk dijilat api dipercayai akibat perbuatan khianat.

Menurut sumber, kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat kumpulan sindiket yang didakwa melontarkan bom petrol di hadapan pintu kediaman terbabit selepas gagal membuat rundingan bersama pegawai penguasa.

Akibat daripada kebakaran itu, sebuah kereta musnah manakala bahagian depan rumah dijilat api, diikuti asap tebal memasuki kediaman sehingga menyukarkan dua pegawai menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, kehadiran bomba membolehkan salah seorang daripada dua pegawai terbabit menyelamatkan diri dan seorang lagi berjaya diselamatkan ketika usaha memadamkan api dilakukan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor Bahru, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.11 pagi sebelum sebuah jentera berserta tujuh anggota bersama pegawai tiba di lokasi sepuluh minit kemudian.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.35 pagi dan bomba menamatkan operasi sekitar jam 5 pagi. Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari kereta, kemudian marak ke bahagian depan kediaman dengan membakar struktur kayu pada rumah ini diikuti asap tebal mula memenuhi ruang dalaman.

"Ketika kejadian, ada dua pegawai di dalam rumah. Seorang daripadanya bertindak menyelamatkan diri sebaik sahaja kami tiba, manakala seorang lagi terperangkap tetapi berjaya diselamatkan. Keseluruhan bomba berjaya memadamkan api daripada terus marak," katanya.

Vijayan berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan oleh pihaknya, namun terdapat maklumat memberitahu kejadian disebabkan tindakan khianat.

"Tentang perbuatan khianat ini, bomba belum dapat pastikan dan ia cuma maklumat hasil daripada siasatan awal sahaja," katanya.
Kereta Zed Zaidi hilang lagi
Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Zed Zaidi Presiden Seniman
Zed Zaidi
PERNAH kehilangan kereta Toyota pada tahun 2007, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 32, berdepan perkara sama sekali lagi.

Zed yang dihubungi Zass mengakui, kereta kedua kesayangan itu dipercayai dicuri di kediamannya, Kondominium Perdana View, Damansara Perdana,  petang, 4 September lalu.

Jelas Zed, dia menyedari perkara itu selepas pulang dari membeli-belah bersama isteri, Natalia Mustafa Kamil, 29, dan anak mereka Ryan Ziqry yang baru berusia dua bulan.

"Isteri saya yang pakai kereta itu dan kami baru pakai dua tahun.

"Saya tak perasan bila lagi kereta itu hilang, sehinggalah semalam (Selasa).

Enggan mendedahkan jenis keretanya yang hilang itu, Zed bagaimanapun meluahkan rasa kecewa kerana alat pengesan yang dipasang pada kereta buatan tempatan itu gagal berfungsi.
"Mungkin penjenayah itu mempunyai kepakaran mencuri kenderaan.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati agar kejadian seperti ini tidak berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, isterinya telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.
Lagi laporan hina pemimpin PR
ROSLINDA HASHIM
12 September 2012
Mohd Nasir Zakaria
Mohd Nasir (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat.
KUALA NERANG - Pemuda Pas Padang Terap membuat satu laporan polis berhubung sekeping gambar yang disebarkan di Internet, mempamerkan aksi dua pemuda sedang melalukan perbuatan tidak senonoh pada gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicetak pada kain rentang.
Laporan polis itu dibuat Ah;i Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Pusat, Azman Shafawi Abdul Rani di Balai Polis Kuala Nerang, pagi semalam.
Mohd Nasir berkata, laporan polis itu dibuat ekoran tindakan melampau yang juga suatu penghinaan terhadap pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat (PR).
“Saya kesal terhadap insiden yang berlaku, perlakuan tidak senonoh pada gambar pemimpin adalah satu perbuatan yang keji,” katanya.
Menurutnya, perbuatan tidak bermoral itu bukan ajaran Islam dan pihak berkuasa perlu bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat.
“Saya harap polis akan bertindak secara profesional dengan tidak membuat siasatan secara terpilih untuk kes-kes tertentu sahaja,” katanya.
Azman Shafawi berkata, walaupun berlainan ideologi politik adalah biadab dan kurang ajar.
“Kami menuntut pihak polis mengotakan janji bahawa polis akan bertindak sekiranya ada laporan. Sebelum ini polis menyatakan tindakan diambil terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terdapat laporan,” katanya.
MB Terengganu: Tiada peluang buat parasit parti
Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Ahmad
Ahmad (dua, kanan) beramah mesra dengan kakitangan TNB pada majlis Mesra Aidilfitri TNB.
KUALA TERENGGANU - “Tiada peluang kedua untuk ‘anai-anai’ dan parasit dalam parti,” tegas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad yang menganggap ahli Umno yang sabotaj parti sebagai anai-anai dan parasit berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud ahli yang sengaja menjatuhkan parti, demi kepentingan peribadi.
“Kadang kala setiap kali pilihan raya, memang ada yang sabotaj parti tapi jarang diambil tindakan, jadi saya harap kali ini, tindakan tegas dibuat kerana kita tidak mahu orang yang bertindak mengikut kepentingan diri sendiri.
“Di Terengganu, kita ada jumpa yang ambil tindakan sama tapi tiada tindakan tegas dibuat, jadi saya harap kali ini kita singkirkan sebagaimana saranan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB peringkat negeri di Jalan Bukit Kecil, di sini.
Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mana-mana ahli yang melakukan sabotaj terhadap calon parti pada PRU13, akan disingkirkan.
Muhyiddin menegaskan, keputusan itu wajar kerana kesalahan itu terlalu besar dan merupakan pengkhianatan kerana ia boleh mengakibatkan parti kalah.
Dalam konteks Terengganu, kata Ahmad, beliau yakin kekuatan Umno dan tidak takut kepada parti lawan memandangkan Umno Terengganu kukuh dan kuat, berbanding pembangkang.
Namun katanya, mana-mana ahli yang sabotaj parti kerana kepentingan tertentu sehingga menghalang Barisan Nasional menang besar, perlu diberikan pengajaran sewajarnya kerana ia boleh merosakkan parti.
“Kita tahu kekuatan BN di negeri ini, berapa menang dan sebagainya. Sebab itu saya katakan, kalau kalah, (maknanya) ada orang kita yang tikam dari belakang.
“Sebab itu saya beri amaran yang sama dan kita tegas. Jika ada, tidak perlu diberi peluang kedua kerana saya tidak mahu perosak-perosak ini berada dalam parti dan terus merosakkannya,” katanya.

Tiada ulasan: