Rabu, 12 September 2012

SUSAH JIKA KITA TAK MAU DINASIHAT...YANG PENTING MEREKA TETAP UNTUNG

FVGH: Kerajaan tak dengar kata, saham merudum

Rizal Tahir, 12 Sep 2012
TUMPAT: Akibat kerajaan tidak mahu mendengar pandangan orang lain termasuk pegawai Felda serta peneroka, saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) mencecah serendah RM4.57 seunit.
AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) berkata kejatuhan saham itu paling rendah sejak ianya mula merudum beberapa hari lalu sebanyak RM4.69 seunit selepas mencatat kedudukan paling tinggi sejak Julai lalu, RM5.55.

Katanya, apa yang berlaku akibat tindakan kerajaan memperdagangkan masa depan peneroka Felda melalui penyenaraian saham Felda sehingga menjadikan saham sebagai barang dagangan negara dan di peringkat antarabangsa.

Katanya, saham Felda itu kini telah menjadi milik syarikat-syarikat asing, syarikat judi yang mana semua syarikat itu motif utama mereka adalah perniagaan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada majlis Aidilfitri bersama peniaga Kedai Bebas Cukai, Pengkalan Kubur, di sini semalam sebagai mengulas saham Felda menjunam jatuh sehingga RM4.57 seunit.

Katanya lagi, apabila ekonomi tidak lagi memberikan keuntungan yang mudah kepada pemegang saham itu mereka sewenang-wenang akan menjualkannya tanpa mengira kesannya terhadap peneroka.

“Walaupun jumlah unit saham hanya 800 sahaja, tetapi dengan kerugian yang dialami, mereka terpaksa membuat pinjaman bank dan pinjaman yang lain untuk membeli sahaja-saham itu,” ujarnya lagi.

Kamaruddin seterusnya berkata, peneroka tidak pandai menjual atau membeli saham apa lagi menguruskannya, tetapi apabila disedari tiba-tiba harga menjadi rendah.

“Bila dicampur dengan kos kerugian, pinjaman dan sebagainya peneroka mengalami kerugian yang amat besar berikutan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan rakyat serta pihak lain,” ujarnya.

Katanya, Felda, hasilnya dan bumi Felda sepatutnya seratus peratus dimiliki oleh peneroka dan seterusnya generasi kedua kedua atau ketiga dan seterusnya.

Beliau tidak menafikan apa yang berlaku itu ‘permainan’ saham dan lumrah berlaku, sebaliknya risiko yang tidak sewajarnya berlaku terpaksa ditanggung oleh peneroka kerana ‘offer’ tidak bijak kerajaan untuk rakyat.

“Kerana kedegilan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan pegawai Felda, ramai antara mereka disisihkan, ditukar dan berbagai lagi dan sekarang kita tengok apa yang berlaku,” ujarnya.

Katanya, bagi membantu kerajaan menampung kerugian dalam saham itu, KWSP pula diminta membantu.

Sambungnya, jika langkah itu diambil dividen yang diperolehi pencarum juga akan menjadi kecil jumlahnya.

Katanya, kerajaan seharusnya menjadikan pengalaman Tabung Haji Plantation  yang gagal sebagai panduan sebelum saham Felda disenaraikan.

“Soalan kita, adakah ahli-ahli Tabung Haji mendapat keuntungan yang besar atau dividen yang tinggi selepas ianya disenaraikan sebagai saham.

“Hujah yang sama diberikan pada saham FGVH ini, jangankan mendapat untung yang besar, rugi pula yang terpaksa ditanggung,” ujarnya.

Kes syariah: Dari mana Jamil Khir dapat maklumat

Salmah Mat Husain, 12 Sep 2012
KOTA BHARU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, diminta menyatakan dari mana maklumat yang beliau perolehi berhubung dakwaannya yang mendakwa 24,000 kes syariah di Kelantan yang masih tertangguh di mahkamah syariah.


Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan, juga turut mempersoalkan adakah menteri berkenaan mendapat sumber yang tepat daripada pihak yang sepatutnya.

“Sedangkan apa yang dinyatakan itu jauh tersasar dari perkara sebenar berbanding  maklumat dari sumber Jabatan Kehakiman Negeri Kelantan sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jamil yang meminta kerajaan Kelantan selesaikan dahulu kes di mahkamah syariah yang tertangguh sebelum sibuk melaksanakan hukum hudud.

Katanya, sejak tahun 2002 hingga 2010, sebanyak 71,792 kes telah berjaya diselesaikan dari jumlah keseluruhan 77,101 kes.

“Ini bermakna hanya 5,339 kes sahaja yang belum diselesaikan.

“Jadi saya minta Datuk Seri Jamil nyatakan dari mana sumber yang diambil sedangkan maklumat yang diberikan jauh tersasar,” ujarnya.

Jamil berkata demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh, kelmarin.

Beliau turut mendakwa kes terbengkalai di Mahkamah Syariah Kelantan 24,000 kes berbanding di negeri lain hanya purata 3,000 kes sahaja.

'Perang' Najib-Muhyiddin jejas para pelajar

Abdul Aziz Mustafa, 12 Sep 2012
KUALA LUMPUR: 'Perang' antara Perdana Menteri dan timbalannya dibimbangi akan menjejaskan kepentingan pelajaran generasi masa hadapan negara ini, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Hubungan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan sebagai "retak menanti belah".

"Muhyiddin juga ialah Menteri Pelajaran manakala Najib juga adalah Menteri Kewangan. Kita bimbang perang antara mereka melarat kepada tindakan mengurangkan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran dalam belanjawan 2013 yang akan dibentangkan dalam masa terdekat ini.

"Jika itu berlaku, para pelajar dan institusi pelajaran rakyat yang akan jadi mangsa," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu yakin, Najib sedang memerhatikan tindak tanduk Muhyiddin yang dilaporkan menggunakan Kementerian Pelajaran untuk membina kekuatan politiknya.

"Pelbagai peruntukan dan projek di dalam Kementerian Pelajaran boleh digunakan oleh Muhyiddin untuk membina empayar politiknya di dalam Umno dan sekaligus menggerhanakan pengaruh Najib.

"Jika itu berlaku dan sukar dinafikan perkara itu berlaku, Najib mungkin akan mengambil langkah untuk menyekat tindakan teersebut dan salah satu caranya ialah dengan meminimumkan habis-habisan peruntukan untuk Kementerian Pelajaran," kata Mahfuz.

Beliau bimbang, jika perkara itu berlaku, bukan Muhyiddin tetapi rakyatlah yang akhirnya akan menjadi mangsa dan menanggung akibat.

"Guru-guru dan para pelajarlah yang akan menerima padah dari perang mereka berdua," katanya.

Mahfuz juga bimbang belanjawan akan datang akan dijadikan sebagai alat kepentingan politik Najib dalam menghadapi tekanan ke atasnya di dalam Umno.

"Para pengkaji politik menjangkakan hari-hari Najib sebagai Perdana Menteri semakin menuju ke penghujungnya.

"Penganalisis politik menjangkakan Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika perkara itu berlaku, Muhyiddin yang sebelum ini berjaya memaksa Pak Lah (Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berundur tentu akan memaksa Najib berundur yang sekaligus membuka ruang kepadanya untuk mengambil alih tempat Najib sebagai Perdana Menteri," katanya.

Mengambilkira perkara itulah, Mahfuz berkata, amat sukar untuk menolak kemungkinan Najib akan menggunakan habis-habisan belanjawan akan datang untuk kepentingan politiknya dan bukan untuk kepentingan rakyat.

Malaysiakini melaporkan, tanda-tanda keretakan semakin ketara pada keutuhan kepimpinan yang digambarkan itu dan contoh paling jelas dilihat melalui reaksi mereka yang bertentangan dan mengelirukan berhubung pindaan Akta Keterangan.

Susulan kepada bantahan Seksyen 114A Akta Keterangan oleh pengendali laman web, Najib pada 14 Ogos mengumumkan di Twitter bahawa beliau akan mengarahkan kabinet mengkaji semula peruntukan undang-undang yang menimbulkan kontroversi itu.

Sehari kemudian, Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat kabinet semasa ketiadaan Najib membuat keputusan yang bertentangan arahan perdana menteri supaya mengkaji semula pindaan tersebut.

Malaysiakini juga melaporkan, menurut sumber PKR, puak Umno yang memihak kepada Muhyiddin dipercayai bertanggungjawab membocorkan dokumen projek sambungan LRT laluan Ampang yang mengaitkan Najib dalam pemberian kontrak kontroversi itu kepada George Kent (Malaysia) Bhd.

PKR menggunakan dokumen tersebut untuk menyerang Najib dengan dakwaan bahawa perdana menteri masuk campur dalam proses tender terbuka projek tersebut supaya memihak kepada konsortium George Kent.

Pengerusi konsortium tersebut ialah Tan Sri Tan Kay Hock yang disifatkan sering bermain golf dengan Najib.

Free Malaysia Today pula melaporkan bahawa tokoh-tokoh Umno kini sedang bertungkus lumus untuk mengatasi perang antara kedua mereka.
Calon PRU: MB Kedah enggan campur tangan
ROSLINDA HASHIM
12 September 2012
Azizan Abdul Razak
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan sepenuhnya kepada Pas Pusat untuk memuktamadkan calon Pas Kedah yang layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Pusat dan pemimpin yang paling layak untuk mengulas isu berkaitan calon PRU13 adalah pemimpin Pusat.
“Tidak sesuai saya ulas berkaitan calon Pas Kedah, yang paling layak ialah pemimpin Pas Pusat,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.
Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian semalam yang menyebut bahawa Pas sudah selesai memuktamadkan calon PRU13, di mana 95 peratus daripadanya mendapat persetujuan Majlis Syura.
Menurutnya, buat masa ini, beliau lebih gemar berdiam diri sehingga keputusan rasmi dikeluarkan oleh Pas Pusat.
“Saya tidak mahu dilabel ‘campur tangan’ dalam isu Pusat. Biarlah Majlis Syura selesaikan. Lebih elok saya tumpu pada urusan pentadbiran negeri,” katanya.
Kelmarin, sumber terdekat Majlis Syura mendedahkan, hampir kesemua nama dibawa ke Majlis Syura mendapat perkenan badan tertinggi Pas itu.
Sekitar lima peratus masih di peringkat penelitian di peringkat  negeri dan kawasan masih meneliti senarai pendek buat kali terakhir. Sumber memberitahu, tidak banyak perubahan dalam senarai yang dikemukakan.
Tawar benih sawit tukar agama
ERMA YUSNIDA JUSOH & IZZATUL IZUAN TAHIR
12 September 2012
Mohd Sahfri Abdul Aziz
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz
KUANTAN  -  Masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk Islam jadi sasaran gerakan mubaligh Kristian dari luar negara yang dipercayai sudah menyusup masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesan kegiatan kumpulan itu termasuk taktik mereka yang mengumpan kumpulan sasaran dengan kebendaan.
"Setakat ini, tujuh hingga lapan kampung Orang Asli di negeri ini dikesan  sudah dimasuki kumpulan mubaligh dari negara jiran itu yang berusaha mengkristiankan saudara baru Orang Asli," katanya.
Menurutnya, kumpulan dipercayai dari Singapura, Filipina dan Indonesia itu turut menawarkan benih sawit dan getah kepada saudara baru Orang Asli.
Mohd Sahfri berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Yayasan Pahang sentiasa melakukan usaha berterusan bagi menangani kegiatan itu.
Katanya, selain menggiatkan dakwah di kampung Orang Asli, pihaknya juga menyediakan program khusus menjadikan saudara baru remaja sebagai anak angkat Yayasan Pahang melalui program Petama.
“Di samping menghantar pedakwah ke kampung Orang Asli, kita juga berusaha membawa mereka keluar dari penempatan di pedalaman. Ini kerana faktor geografi dan kemudahan asas yang masih dalam proses menyukarkan usaha dakwah dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Senator Orang Asli, Muhammad Olian Abdullah memberi amaran kepada mubaligh Kristian supaya tidak menyebar ajaran agama mereka kepada saudara baru kerana ia secara jelas telah melanggar Perlembagaan Negara ini.
Menurutnya, perbuatan menyebar dakwah agama lain kepada penganut Islam bukan saja melanggar Perlembagaan Negara malah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.
"Pihak berkuasa agama di peringkat negeri perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana mubaligh Kristian yang cuba meracuni pemikiran saudara baru terutama di kawasan penempatan Orang Asli.
“Mubaligh Kristian seharusnya faham, mereka tak boleh sebarkan agama mereka kepada saudara baru Islam kerana ia jelas telah melanggar Perlembagaan Negara dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Muhammad Olian berkata, bagi mengatasi isu penyebaran dakyah Kristian, agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu membuat langkah susulan bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.
“Dalam hal ini, pemantapan akidah saudara baru penting. Saya berharap Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri mainkan peranan pastikan penguasaan iman saudara baru dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Di Pahang misalnya, saya melihat ada tindakan yang dilakukan Muip dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah untuk mengatur pelbagai pengisian bagi tujuan pemantapan akidah,” katanya.
Selain itu, katanya, setiap penempatan saudara baru Orang Asli di Pahang juga turut mempunyai penggerak masyarakat Orang Asli dari Jakim yang berperanan memberi penekanan terhadap pendidikan keagamaan kepada golongan saudara baru.
“Bagaimanapun, usaha  dakwah ini perlu dipergiatkan lagi termasuk dari segi pemantauan, dan tindakan susulan agar usaha dakwah kepada saudara baru ini tidak hanya dibuat secara bermusim,” katanya.
Muip sebelum ini pernah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah agama lain yang cuba menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, melalui enakmen itu, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.
Menurutnya, penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah satu kesalahan dan menasihatkan pendakwah agama lain tidak menjalankan kegiatan itu di negara ini bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.
“Kegiatan penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil kepada mana-mana pendakwah agama lain kerana cuba memesongkan akidah umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas ditanya berhubung sejauh mana kuasa Muip bagi membendung penularan penyebaran dakwah agama lain di negeri ini yang dipercayai berleluasa terutama di penempatan saudara baru Orang Asli.
Wan Abdul Wahid turut mengakui usaha penyebaran agama lain kepada saudara baru Orang Asli semakin berleluasa di negeri ini dan pihaknya juga memandang serius isu itu agar ia dapat ditangani segera.
“Muip akan pastikan mereka yang sudah memeluk agama Islam terus kekal dengan ajaran Islam dan kita akui terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menggerakkan usaha-usaha penyebaran agama lain terutama kepada saudara baru,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, saudara baru diingatkan supaya terus mengamalkan ajaran Islam serta menolak dakyah mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi mereka dengan ajaran agama lain.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga boleh memantau gerakan memurtadkan saudara baru di penempatan Orang Asli bagi membendung kegiatan itu terus berleluasa pada masa depan.
“Kita minta kerjasama dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) serta pendakwah daripada Jakim memperhebatkan usaha penyebaran Islam agar tiada pihak yang cuba mempengaruhi fikiran saudara baru untuk bertukar ke agama lain,” katanya.

Machang 'ditenggelami hijau’ Khamis ini

Salmah Mat Husain , 11 Sep 2012

KOTA BHARU: Puluhan ribu rakyat Kelantan dijangka berhimpun di Machang 13 September ini bagi menyemarakkan lagi Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya.

Ketua Penerangan PAS negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program berkenaan bermula esok (Rabu) sehingga 16 September ini.

Katanya, program tertutup khas untuk muslimat bermula pagi Khamis di Dewan Majlis Daerah Machang dan sebelah petang pula diadakan Jamuan Hijau.

Jam 5 hingga 7 petang pula ekspresi Anak Muda, kemudian diikuti solat Maghrib, munajat dan solat Isyak.

“Ceramah khas pada sebelah malam akan disampaikan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu.

“Selain itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin tertinggi PKR,” katanya di sini.  Espo khas bermula esok sehingga malam 16 September.

Katanya juga, program Himpunan Hijau sepatutnya diadakan pada 15 September, namun kerana bertembung program besar lain, tarikh dipercepatkan kepada 13 September.

Oleh itu beliau berharap orang ramai hadir pada program tersebut sebagai melengkapkan agenda Hijau ke Putrajaya yang diadakan di seluruh negara.

Khamis lalu ahli dan penyokong Umno Kelantan berhimpun di Machang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Hari Raya yang diadakan di sebuah sekolah.
Rafizi: Mukhriz akui tender terbuka AP ‘untungkan negara’

11 September 2012
SHAH ALAM – Kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengesahkan anggaran permit import (AP) akan menarik bidaan setinggi RM60,000 setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka dilihat mempunyai kesan yang besar kepada kewangan negara.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan hasil sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun.
Katanya, Miti, menurut Timbalan Menterinya,  Datuk Mukhriz Tun Mahathir, kini hanya mengenakan caj RM10,000 ke atas setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.
“Bagi setiap AP, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 dan jumlah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar akibat dasar tidak telus Umno-Barisan Nasional (BN).
“Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat PKR dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat.
“Ia juga membuktikan kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, jika Umno-Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Mukhriz dipetik berkata, strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.
“Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP kereta menggunakan kaedah opsyen.
“Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut," katanya.
Tambah Rafizi, beliau mengalu-alukan maklum balas pertama Mukhriz terhadap isu penurunan harga kereta memandangkan kementeriannya adalah antara pihak yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara.
Dalam masa sama, ujar Rafizi, kenyataan Mukhriz juga menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh diguna pakai bagi menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa pandangan tauke dan pengedar kereta yang membuat untung berlebihan dari sistem AP sedia ada.
“Rungutan beliau, kononnya harga AP yang tinggi jika dilelong secara terbuka akan menyebabkan harga kereta bertambah tinggi membayangkan beliau mahu mempertahankan kadar keuntungan berlipat kali ganda yang kini dinikmati pihak-pihak berkepentingan ini.
“Menurut perkiraan beliau, bila kadar keuntungan ini dipertahankan, sebarang peningkatan kos kepada pengedar kereta akibat harga AP yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh rakyat,” ujarnya lagi.
 Sehubungan itu, PKR mengesyorkan pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan.
Jelas Rafizi lagi, apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini.
Dalam perkembangan berkaitan, PKR turut mempelawa Mukhriz hadir ke Forum #turunhargakereta yang diadakan pada hari Khamis ini untuk mengetahui mekanisme parti itu untuk menurunkan harga kereta.
Forum itu akan bermula jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor yang bakal menemukan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad, Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad iaitu Pengarah Komunikasi PKR.
Pakar: Kita kena hormati langkah Abil henti kerja jaga isteri koma
Raziatul Hanum A Rajak
12 September 2012
Abil Fikri Ahmad
Abil membacakan Sinar Harian Edisi Isnin kepada isterinya, semalam. - Foto Sarinah Mat Kasim
Abil Fikri Ahmad
Abil mencium isterinya sebagai tanda kasih yang tidak berbelah bagi. Foto Sarinah Mat Kasim
SHAH ALAM – Tindakan bekas perunding kewangan dan speaker motivasi, Abil Fikri Ahmad yang sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya, Fauziah Mohamad, yang terlantar sejak tahun lalu disifatkan terburu-buru.
Pensyarah Sekolah Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berkata, tindakan itu lebih kepada hubungan dan komitmen yang membuatkan si suami sanggup berkorban.
"Sebaiknya setiap keputusan itu dibawa berbincang dengan majikan, doktor yang merawat, keluarga dan pihak kebajikan.
"Sayang memang sayang, tetapi kena profesional kerana kita semakin hari semakin tua, duit semakin habis tetapi keperluan semakin meningkat dan perasaan pula boleh berubah.
“Jadi si suami kena bijak membuat keputusan sebagai suami dan ketua keluarga," katanya kepada Sinar Harian Online, ketika dihubungi, hari ini.
Tahun lalu, Abil membuat keputusan berhenti daripada pekerjaannya selepas berkhidmat selama 11 tahun sebaik mengetahui keadaan isterinya.
Pun begitu, katanya, keputusan yang telah dibuat oleh Abil perlu dihormati bukan dicemuh.
"Dia sudah buat keputusan dan kita kena hormati. Keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu menyusahkan orang lain.
“Jadi, kita kena sokonglah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Nabilah Yusof berpendapat, tindakan Abil itu tidak wajar dipertikaikan jika niatnya betul untuk menjaga isterinya.
"Tidak salah kalau dia yakin dengan berhenti dapat beri tumpuan pada isterinya, tetapi kalau dia berhenti sebab tahu akan ada habuan, menagih simpati, dari sudut agama tidak boleh. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air," jelasnya.
Katanya, "tindakan si suami ini juga menunjukkan dia tidak berputus asa dan sememangnya ALLAH tidak benarkan hamba-Nya berputus asa apabila ditimpa musibah."
Nabilah berkata, "kita tak boleh berputus asa dalam hidup. ALLAH tak benarkan. ALLAH kata jangan kamu putus asa dengan rahmat ALLAH. Jadi jangan putus asa kalau ditimpa musibah sama ada rumah terbakar, mendapat penyakit, hilang barang dan sebagainya kerana kita kena usaha."
Mengulas isu sama, pakar komunikasi dari Universiti Putra Malaysia, Ishak Hamid percaya cinta yang wujud antara pasangan itu merupakan cinta sejati kerana pengorbanan yang diberikan si suami mungkin tidak mampu dilakukan oleh orang lain.
"Susah nak jumpa lelaki seperti ini. Ini memang cinta sejati," katanya.
Apabila soal letih dan bosan dibangkitkan, katanya, "cinta tak kenal penat dan bosan. Kalau betul-betul wujud kasih sayang sejati antara mereka."
"Berhenti kerja itu bukan melepaskan tanggungjawab tetapi suatu pengorbanan di mana perasaan kasih sayang kepada isteri melebihi segala-galanya.
"Dia melihat kesihatan isteri lebih penting daripada pekerjaan," ujarnya.
Tambahnya, tindakan Abil berhenti kerja tentu mempunyai sebabnya yang tersendiri.
Katanya, Abil mungkin tidak sanggup melihat isterinya keseorangan, tidak percaya orang lain menjaga isterinya, tidak mahu menyusahkan orang lain ataupun inilah caranya dia mahu menunjukkan kasih sayang kepada isteri.
Menurut Pensyarah Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Rahimah Zakaria, sokongan moral daripada keluarga dilihat sebagai tunggak utama bagi memastikan emosi orang yang berdepan situasi ini stabil dan terkawal.
"Dari segi emosi, individu yang menjaga orang sakit ini juga mudah terjejas.
"Perkara ini subjektif. Kuat atau tidak seseorang berdepan dengan situasi itu memang bergantung kepada sokongan moral yang diterimanya," katanya.
Khaidzir juga menyokong pendapat itu dengan menyatakan bahawa emosi orang yang terbeban dengan situasi seperti ini perlu diringankan dengan sokongan sosial.
"Keluarga, jiran, komuniti kena sokong. Cabaran yang dihadapi mereka tinggi jadi kita sebagai masyarakat bila jumpa tanya khabar dan kalau ada aktiviti ajak dia turut serta.
"Apabila ada aktiviti lain yang mereka sertai, kuranglah sedikit beban emosi mereka. Manusia kalau tiada sebarang aktiviti memang akan tertekan," jelasnya.

Tiada ulasan: