Jumaat, 14 September 2012

HINA NABI MUNGKIN SATU PROVOKASI...TAPI KESANNYA DAPAT MENYATUKAN UMAT ISLAM...MENYATUKAN DOA UMAT ISLAM KEPADA MUSUH2NYA...ORANG NON MUSLIM AKAN MENGKAJI AKAN ISLAM...MENGAPA ISLAM SANGAT DIMUSUHI...ADAKAH SEBAB KEBATILANNYA ATAU SEBAB ISLAM ITU ADALAH AGAMA YANG BENAR...DAN AGAMA ISLAM SATU2NYA ALLAH TERIMA

Timbulkan kebencian Islam tidak untungkan sesiapa

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 13 Sep 2012
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak pihak pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat untuk mengambil langkah serius di atas provokasi kebencian beragama yang ditimbulkan melalui penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh pengarah dan penerbit filem keturunan Israel Amerika dari Amerika Syarikat.
PAS pada asasnya menghormati perlunya kebebasan bersuara dan berkarya, tetapi kebebasan ini hendaklah berteraskan rasa kebertanggungjawaban sehingga tidak menyebabkan keharmonian hidup beragama dan kesucian yang difahami oleh umat Islam atau mana-mana kelompok agama dipermainkan.

Mewujudkan perasaan kebencian yang cuba ditaburkan oleh kelompok tertentu ekstrimis ini adalah tindakan mundur ke belakang dan tentunya tidak akan menyumbang kepada suasana dunia yang lebih tenteram. Ianya hanya akan menyebabkan berlakunya kesan negatif berangkai yang tidak menguntungkan sesiapa pun.

PAS juga turut merasa terkilan, sedih, dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga kakitangan diplomatik dan keselamatan Kedutaan Amerika di Libya yang telah terbunuh dalam protes yang bertindak di luar kawalan itu.

PAS juga ingin menggesa pihak kerajaan umat Islam di seluruh dunia umumnya, dan Kerajaan Malaysia khasnya untuk melindungi serta memastikan keselamatan para diplomat dan kakitangan diplomatik yang bertugas di negara ini.

Ingin saya tegaskan bahawa Islam memberi pengiktirafan tinggi terhadap kehadiran mereka dan kerajaan umat Islam wajib menjaga keselamatan para kakitangan diplomatik ini yang menjadi sebahagian tanggungjawab pihak kerajaan tuan rumah.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Mansuh: Ada pihak cuba justifikasi ISA penting

Anis Nazri, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa terdapat pihak yang cuba menjustifikasikan kepentingan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), walaupun ia dimansuhkan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata perkara itu dapat dilihat dari laporan New Straits Times (NST) yang memetik kenyataan pegawai kem yang mengatakan tahanan ISA masih terbabit dengan jenayah walaupun berada dalam tahanan.

Tegas beliau, NST yang bertarikh 10 dan 11 September itu juga melaporkan dalam salah satu laporannya bertajuk Making Millions From Behind Bars, tahanan yang terlibat dengan pemerdagangan orang itu dikatakan masih berhubung dengan sindiket dan dapat dikesan melalui panggilan telefon antara tahanan dan individu terlibat.

Pegawai terbabit juga menjelaskan jenayah seperti ini sukar untuk dibawa ke mahkamah kerana bukti yang diperolehi hanya sekadar dari pintasan panggilan telefon dan perisik yang melakukan risikan ke atas aktiviti terbabit yang berkemungkinan tidak boleh diterima sebagai bahan bukti di mahkamah.

"GMI percaya hal ini sengaja dibangkitkan dengan tujuan untuk menunjukkan betapa ISA penting bagi mengekang perilaku jenayah tegar, sedangkan ISA sudah dimansuhkan," tegas beliau pada sidang media badan anti-ISA itu, di Dewan Himpunan Cina, pagi tadi.

Tambah beliau, kenyataan yang menyatakan tahanan masih meneruskan jenayah dari dalam tahanan juga boleh diragui kerana setiap panggilan yang dibuat akan dikawal rapi.

Sekiranya panggilan yang dibuat disyaki boleh mendatangkan risiko, tegas Syed Ibrahim maka panggilan tersebut akan ditamatkan.

"Bahkan, surat-surat yang dikirim juga akan ditapis oleh pihak kem. Jika benar seperti mana yang didakwa pegawai terbabit, ia membuktikan segala mekanisme yang terpaksa tahanan lalui seperti kurungan sendiri (solitary confinement) penyeksaan fizikal, penderaan mental dan program rehabilitasi seolah-olah gagal menangani risiko jenayah," tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, GMI menolak kenyataan ini dengan berpendirian pihak polis bertanggungjawab mencari bukti kesalahan dan seterusnya membawa tertuduh ke mahkamah.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim juga berkata tahanan ISA yang ditahan atas dakwaan pemerdagangan manusia juga wajar dibebaskan atau dibicarakan ke mahkamah selaras dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Bakri, dalam kenyataannya yang dipetik Malaysiakini pada 12 Sept lalu sebagai berkata, polis yakin undang-undang sedia ada khususnya Akta Pemerdagangan Orang 2007 sudah memadai untuk mengekang pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

"Sehubungan itu, untuk kesekian kalinya, GMI mendesak kerajaan, khususnya Kementerin Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan ISA dan menyiasat segala penyeksaan yang berlaku terhdap tahanan ISA," ujarnya.

Pandangan awal terhadap Pembangunan Pendidikan

KPRU, 13 Sep 2012
Pendahuluan
Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut beliau,[2] PPP bersifatkan futuristik, berani, telus, menyeluruh dan demokratik dan ianya dirangka untuk membantu setiap pelajar sekolah di Malaysia merealisasikan bakat yang telah dikurniakan kepadanya. Beliau juga menyatakan bahawa hasil daripada PPP ini akan memenuhi impian dan asiprasi rakyat negara.

Akan tetapi, sejauh mana kekukuhan pendapat beliau adalah terbuka untuk dibahaskan. Di antara persoalan berkenaan kenyataan Najib ialah kewujudan lompong dalam kebenaran pelaksanaan kuasa autonomi oleh pejabat daerah dan sekolah daripada apa-apa keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran. Kebebasan melaksanakan kuasa desentralisasi langsung tidak dibincangkan dalam laporan awal PPP ini. Sepertimana pembaharuan yang diimpikan oleh Najib, suatu pembaharuan terhadap cara sekolah mengendalikan pelaksanaan keputusan yang berbeza dari keputusan pusat Kementerian seharusnya ditangani atau sekurang-kurangnya dirujuk untuk laporan PPP yang sepenuhnya.

Pada masa yang sama, laporan awal PPP ini juga tidak menyentuh secara menyeluruh mengenai para guru yang gagal mencapai prestasi cemerlang. Persoalan yang timbul adalah sama ada memindahkan guru berprestasi rendah ke fungsi lain akan menyelesaikan masalah sistem pendidikan dalam negara? Adakah tindakan ini bersifat proaktif terhadap cita-cita seseorang untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi akan tetapi gagal mencapai standard yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran? Adakah tindakan ini adil kepada guru-guru yang berdedikasi, guru yang disayangi oleh para pelajarnya tetapi gagal mencapai “standard” yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran? Ketentuan mengenai standard Kementerian Pelajaran adalah samar-samar lantas, berpotensi menjadi sebuah alat penyelewengan. Persoalan ini timbul ekoran pengamatan berkenaan standard kementerian dalam beberapa aspek penting khususnya keputusan pelajar. Keputusan murid sekolah saban tahun sering dilaporkan sebagai cemerlang dari segi bilangan murid yang mendapat A, tetapi anehnya, pelajar Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding pelajar negara lain meskipun jumlah A begitu merangsangkan? Apakah “Taburan Normal” yang pernah didakwa sebagai panduan dalam penilaian standard murid, kalau wujud, akan dijadikan rujukan dalam penilaian standard guru?

Kelompangan laporan awal PPP ini tidak terhenti di situ. Penerbitan laporan ini juga melihatkan terdapatnya kekurangan penekanan oleh Kementerian Pelajaran dalam pembangunan modal insan negara ini berbanding dengan negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura. Pembangunaan modal insan yang signifikan untuk pembangunan negara, untuk memastikan para pelajar kita membesar menjadi individu yang lengkap bukan sahaja kemahiran menghafal, tetapi lengkap dengan kemahiran-kemahiran lain yang membenarkan para pelajar kita bersaing dengan para pelajar dari negara-negara maju seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.

Angka Tidak Tepat

Selepas Najib mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, beliau telah melaksanakan beberapa pelan peralihan yang menurut beliau berpotensi untuk mentransformasi negara kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Namun prestasi sistem pendidikan negara yang gagal untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan pentas antarabangsa telah menjadi satu halangan dalam perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara maju mahupun sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Menurut laporan awal PPP ini, Malaysia menduduki tempat ketiga terbawah dalam Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009 bagi ujian Matematik, Sains dan membaca. Dalam penilaian yang terkini, hampir 60% pelajar sekolah Malaysia gagal mencapai paras minimum dalam penilian subjek Matematik. Begitu juga peratusan rendah yang dicapai oleh para pelajar Malaysia dalam kemahiran membaca dan subjek Sains iaitu sebanyak 44% dan 43%.

Jadual 1: Perbandingan Kedudukan Pisa 2009+ Malaysia dengan Negara Lain

Sumber: Laporan awal PPP

Merujuk kepada Jadual 1, Malaysia berada di tangga 55, 54 dan 52 bagi Bacaan, Matematik dan Sains, masing-masing berada di belakang negara Thailand. Walaupun Malaysia berada di tangga hadapan Indonesia, akan tetapi, pada masa yang sama Malaysia berada di tangga yang lagi rendah berbanding negara Croatia, Republik Slovak juga Ireland. Ini menandakan kegagalan pelajar Malaysia dalam menandingi kebolehan menguasai kemahiran mengira, membaca dan menganalisis sesuatu perkara. Ianya juga menandakan kekurangan dalam budaya membaca yang membawa kepada minat belajar dalam dan luar kelas.

Korea Selatan yang pada satu ketika mempunyai ekonomi yang lebih lemah daripada Malaysia, kini menguasai dan mendahului Malaysia dalam ketiga-tiga bidang; Matemaik, Sains dan membaca. Persoalan yang tidak dijawab oleh laporan awal PPP ini mahupun oleh Najib ialah di mana silap kita sebagai ekonomi yang dikenali sebagai “salah satu tiger economy of South East Asia”? Persoalan yang timbul ialah di mana silap kita dalam merancang sistem pendidikan Malaysia? Malah negara jiran kita yang kecil, Singapura telah mendahului kita dari pencapaian Matemaik, Sains dan membaca.

Najib berkata bahawa tiada keaiban dalam berasa malu mengakui bahawa Malaysia menduduki tempat ketiga terbawah dalam PISA 2009 dalam ujian matematik, membaca dan sains. Beliau menyifatkan tindakan ini oleh kerajaan Malaysia sebagai suatu tindakan berani dalam menghadapi realiti dan ini menunjukkan keupayaan Malaysia untuk mengubah situasi tersebut.

Namun persoalan yang bebas untuk dibahaskan adalah sama ada ini mencukupi untuk mengatakan bahawa kerajaan persekutuan ikhlas dalam menangani masalah sistem pendidikan negara ini setelah 55 tahun memegang pentadbiran negara pasca laporan PPP? Kerajaan persekutuan menunjukkan bahawa purata jumlah perbelanjaan bagi pendidikan negara ini adalah sebanyak 16 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan Belanjawan Negara dari tahun 2008 hingga tahun 2012. Jumlah ini merupakan jumlah yang tinggi berbanding dengan negara lain. Jadual kedua yang dipetik daripada Laporan awal PPP telah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Thailand berkenaan perbelanjaan pendidikan asas jika berbanding dengan Korea, Hong Kong dan Jepun atau negara-negara lain.

Jadual 2: Perbelanjaan Pendidikan Asas Sebagai Peratus Jumlah Perbelanjaan Kerajaan bagi Malaysia dan Negara setara

Sumber: Laporan Awal PPP

Namun begitu, selepas diteliti oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), ianya didapati bahawa angka yang diterbitkan oleh laporan awal PPP dalam Jadual 2 ini adalah kurang tepat berbanding angka yang dikeluarkan oleh Laporan UNESCO mengenai perbelanjaan Korea ke atas pendidikan negara mereka.[3] Menurut laporan tersebut,  perbelanjaan kerajaan Korea dalam pendidikan asas adalah sebanyak 20 peratus daripada perbelanjaan nasional dan jika ianya digabung dengan pendidikan tinggi, peratus tersebut mencapai sebanyak 24 peratus dan bukan 11 peratus yang ditunjuk oleh laporan PPP. Lantas, ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang mengelirukan dan menimbulkan pertanyaan. Seharusnya, laporan-laporan penting seperti laporan awal PPP yang bertanggungjawab mengenai perancangan pendidikan negara adalah tepat dan bebas daripada fakta-fakta yang mengelirukan rakyat.

Jadual 3: Anggaran Perbelanjaan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 – 2012
Tahun
2008
2009
2010
2011
2012
Mengurus
27,268,030,471
28,822,699,753
28,253,024,345
29,360,378,000
32,698,787,200
Pembangunan
4,681,213,992
5,136,579,263
4,971,703,030
6,402,584,700
4,581,995,900
Jumlah
31,949,244,463
33,959,279,016
33,224,727,375
35,762,962,700
37,280,783,100
Jumlah besar Belanjawan
202,640,721,366
208,154,659,798
191,498,805,000
213,987,217,000
232,832,900,000
Peratus daripada Keseluruhan Belanjawan (%)
15.8
16.3
17.3
16.7
16.0










Sumber: Laporan Belanjawan Persekutuan

Jadual 3 yang dikemaskini oleh KPRU menunjukkan bahawa selama 5 tahun peruntukan kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dikekalkan pada 16-17 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan Negara. Penemuan ini membuktikan kekurangan kajian terperinci oleh kerajaan persekutuan dalam penentuan keadaan sebenar sistem pendidikan negara, terutamanya dalam menentukan penyelesaian kepada kos mentadbir yang semakin meningkat, jumlah pelajar yang semakin meningkat dan penyelesaian kepada bilangan guru yang tidak mencukupi dalam sekolah-sekolah.
Manakala, walaupun Kementerian Pelajaran mendapat peruntukan sebanyak RM36 bilion pada tahun 2011. Namun (Sila lihat Jadual 4) didapati 61 peratus daripada peruntukan tersebut digunakan untuk operasi pendidikan, 18 peratus digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, hanya 3 peratus diperuntukkan untuk pembangunan profesionalisme keguruan, dan sebanyak 11 peratus diperuntukkan untuk pembayaran berbentuk “ONE-OFF”.

Jadual 4: Pecahan Peruntukan Belanjawan 2011 di Kementerian Pelajaran

Sumber: Laporan Belanjawan Persekutuan

Jadual 4 menjelaskan pecahan penggunaan peruntukan kerajaan BN dalam perkara sistem pendidikan negara. Sebahagian besar (60 peratus) daripada peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran digunakan untuk operasi pendidikan; iaitu pentadbiran di sekolah-sekolah. Manakala hanya 1 peratus diperuntukan untuk melaksanakan dasar dan pembangunan pendidikan Kementerian Pelajaran dalam sekolah-sekolah berbanding dengan peratusan sebanyak 18 peratus yang digunakan untuk perbelanjaan pembangunan di bawah Kementerian Pelajaran. Manakala 11 peratus peruntukan digunakan untuk membayar program-program “One-Off” seperti Program Susu 1Malaysia dan penyelenggaraan sekolah dan asrama.
Ketidaksamaan pengagihan peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran ini menunjukkan bahawa hanya peratusan yang kecil iaitu 1 peratus yang digunakan untuk penambahbaikan pelajar menurut dasar-dasar pendidikan yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran. Ini juga menunjukkan ketirisan di pihak Kementerian kerana sebahagian besar peruntukan digunapakai untuk kegunaan pejabat-pejabat berbanding kegunaan ke atas penambahbaikan pembelajaran para pelajar di sekolah-sekolah. Persoalan yang timbul adalah di bawah pentadbiran kerajaan BN, adakah peruntukan untuk kegunaan pejabat-pejabat lebih penting daripada memastikan para pelajar dapat belajar dalam keadaan kondusif dan efektif berteraskan dasar-dasar pendidikan?

Jadual 5: Sasaran Program Untuk Semakan Semula pada 2015

Sumber: Laporan Awal PPP

Jadual 6: Sasaran Program Untuk Semakan Semula pada 2015 (Bahasa Inggeris)

Sumber: Laporan Awal PPP

Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 5 dan 6 di atas, Ekshibit 6-10 bagi penerbitan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu merupakan dua perkara yang berbeza lantas mengelirukan para pembaca mengenai apa yang ingin dicapaikan oleh kementerian dalam pembentangan laporan awal PPP ini. Ekshibit 6-10 penerbitan laporan awal PPP dalam bahasa Melayu menyatakan program-program yang disasarkan oleh kementerian untuk mengalami pemotongan peruntukan dan di antara program-program sekolah yang disasarkan ialah program Bantuan Makanan Asrama, program Skim Pinjaman Buku Teks (SBPT) dan program Susu 1Malaysia. Manakala bagi Ekshibit yang sama dalam penerbitan bahasa Inggeris pula, pemotongan peruntukan disasarkan kepada beberapa kategori. Di antara kategori yang akan mengalami pemotongan peruntukan ialah peruntukan untuk elaun perjalanan dan penginapan, menambahkan jumlah sekolah bagi satu kontrak untuk perkhidmatan profesional, layanan mesra (hospitality) dan mengurangkan peruntukan bagi pembekalan bahan.
Persoalan yang timbul ialah mengapa kementerian menerbitkan dua ekshibit yang berbeza bagi perkara pengurangan peruntukan program-program? Jumlah penjimatan yang disasarkan juga mempunyai perbezaan. Dalam penerbitan bahasa Melayu, jumlah yang disasarkan adalah sebanyak RM579-813 juta manakala dalam penerbitan bahasa Inggeris pula jumlah yang disasarkan adalah sebanyak RM190 juta.  Kalau perbezaan ini bukan masalah teknikal, maka Pperbezaan dalam pembentangan maklumat memberikan gambaran ketirisan kewangan yang serius berlaku dan penerbitan maklumat yang berbeza ini juga mencerminkan kekurangan ketelusan kementerian dalam memperbaharuai sistem pendidikan melalui pembaharuan pentadbiran kementerian.

Keperluan Desentralisasi Kuasa Pentadbiran dalam Pembaharuan

Ini membuka kepada persoalan kekurangan ketelusan Kementerian dalam melaksanakan desentralisasi yang akan memberi kuasa autonomi kepada pejabat daerah dan para pengetua untuk menentukan program kurikulum dan ko-kurikulum yang sesuai untuk sekolah dalam daerah yang ditadbir. Najib mahupun laporan ini gagal untuk menjelaskan sama ada desentralisasi atau pemusatan kuasa autonomi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha pembaharuan sistem pendidikan pasca laporan awal PPP ini.

Gambar Rajah 1: Cadangan Laluan Bagi Guru yang Secara Konsisten Berprestasi Rendah

Sumber: Laporan Awal PPP

Laporan awal PPP ini juga gagal untuk menyiarkan cara kementerian menentukan minat dan kekuatan para pelatih guru sebelum mereka ditugaskan. Sebagaimana juga laporan ini juga gagal untuk menyiarkan bagaimana guru-guru yang didapati yang tidak dapat ditugaskan mengikut kekuatan mahupun minatnya akan ditugaskan di sekolah berbeza. Laporan awal PPP ini gagal untuk menyatakan kaedah yang digunakan untuk tentukan faktor yang menentukan sekolah mana yang akan ditugaskan kepada guru yang mana.

Sepertimana Gambar Rajah 1 di atas, guru yang berprestasi tinggi akan dikembalikan kepada laluan normal manakala guru yang mencapai hasil yang dipindahkan ke fungsi lain. Di samping kekaburan penjelasan mengenai sistem sokongan yang akan diberikan kepada para guru yang berprestasi rendah, gambar rajah di atas gagal menjelaskan cara dan tempoh masa guru tersebut akan dinilai. Tiada ukuran mengenai apa yang dimaksudkan dengan ukuran prestasi berdasarkan kompetensi. Terdapat kekaburan mengenai apa yang dimaksudkan dengan kompetensi. Juga terdapat kekaburan mengenai apa yang dimaksudkan dengan ‘hasil yang mungkin dicapai’. Laporan ini gagal untuk menyatakan mengenai kayu ukur yang digunakan untuk menentukan apa yang dimaksudkan dengan ‘hasil yang mungkin dicapai’.

Keengganan kerajaan untuk menerbitkan empat laporan[4] oleh UNESCO, World Bank, laporan panel yang diketuai oleh bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Dzulkiflee Abdul Razaq dan sebuah lagi laporan sebuah panel yang diketuai oleh Tan Sri Wan Zahid Wan Noordin hanya akan menyebabkan spekulasi orang awam mengenai ketelusan kerajaan untuk membawa sebarang perubahan bermakna kepada sistem pendidikan dalam negara.

Pegawai Cekap Digalakkan, Ketidakcekapan Dibiarkan?


Gambar Rajah 2: Cadangan Transformasi Struktur Kementerian

Sumber: Laporan Awal PPP

Sama seperti keengganan kerajaan untuk menerbitkan empat laporan ini, begitu juga keengganan kementerian untuk membersihkan senarai pegawai yang tidak cekap. Ianya akan membawa kepada bubble yang akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merevolusikan sistem pendidikan dalam negara. Memindahkan pegawai yang tidak cekap ke bahagian atau tempat lain tidak akan membantu usaha pembaharuan kerajaan ini. Lambat laun, bubble ini akan pecah dan dalam konteks usaha pembaharuan sistem pendidikan ini, pecahnya bubble ini akan memberi kesan negtaif kepada aliran ke bawah sistem pendidkan negara. Mana-mana pegawai atau staf atau para guru dan pengetua yang tidak cekap akan menjejaskan prestasi dan keupayaan para pelajar untuk memajukan diri mereka lantas, mengalahkan tujuan pembaharuan sistem pendidikan negara ini melalui kenderaan PPP.
Gambar Rajah 2 menggambarkan harapan kementerian untuk menyelesaikan masalah pentadbiran bertindih di antara pihak sekolah, daerah dan kementerian. Akan tetapi, seperti yang sudah dijelaskan dalam perenggan di atas, dengan hanya memindahkan pegawai yang tidak cekap, masalah kaedah pelaksanaan dasar oleh pentadbiran kementerian dan sekolah tidak akan selesai. Lambat-laun, susunan organisasi pentadbiran yang berbentuk piramid ini akan mengembang dan ianya akan kembali pada bentuk asal. Untuk menjayakan kaedah piramid ini, seharusnya kementerian pelajaran menguruskan jumlah staf yang kembung iaitu sebanyak 32,200 orang kepada bilangan yang lebih strategik untuk menjayakan susunan organisasi piramid tersebut.


Masalah Teknikal atau Ketirisan?

Dalam usaha memperbaharui infrastruktur, kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM20 bilion untuk perkara ini sahaja. Namun, keadaannya masih kekal di mana infrastruktur elektrikal bagi 57 peratus sekolah menengah iaitu 1,293 daripada 2,285 buah sekolah berada dalam keadaan yang teruk manakala 30 peratus daripada sekolah menengah mengalami situasi infrastruktur fizikal berada dalam keadaan getir.

Gambar Rajah 3: Mengenal Pasti Jurang Infrastruktur di Sekolah-Sekolah

Sumber: Laporan Awal PPP

Gambar Rajah 3 menunjukkan bahawa walaupun dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion dari tahun 2006 hingga 2010, kerajaan masih tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu sekolah-sekolah di Malaysia. Rancangan Malaysia Ke-9 membelanjakan sebanyak 80 peratus daripada peruntukan RM19,771 juta pada penambahbaikan insfrastruktur fizikal, namun, 27 peratus sekoah masih tidak mempunyai makmal komputer untuk kegunaan para pelajar dan guru sekolah. Begitu juga bagi makmal sains di mana 20 peratus sekolah masih tidak mempunyai makmal sains bagi pembelajaran para pelajarnya.


Penutup Kata

Laporan yang telah dibanggakan sebgai laporan awal revolusi dalam pembaharuan dalam sistem pendidikan ini merupakan suatu kesamaran yang menyeluruh. Ianya merupakan suatu aksi publisiti pra-pilihan raya umum yang akan datang. Walaupun ianya hanya merupakan sebuah laporan awal, akan tetapi, suatu laporan yang kononnya bakal membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan di Malaysia seharusnya lengkap dan tidak mengelirukan rakyat Malaysia. Seharusnya kerajaan bersikap telus dengan menerbitkan sekali empat laporan bersama-sama dengan pelancaran laporan awal PPP ini bagi menampilkan keikhlasan kerajaan dalam memperbaharui sistem pendidikan negara.
Pembaharuan yang efektif dan proaktif tidak memerlukan perbelanjaan berbilion-bilion ataupun jutaan. Ia memerlukan sekumpulan individu yang bersemangat untuk membantu memajukan pembelajaran para pelajar supaya mereka dapat membesar menjadi seorang warga yang proaktif dalam masyarakat. Sumbangan kumpulan individu tersebut secara profesional sewajarnya dipandangan berat tanpa campur tangan politik dan kesemua laporan yang menyokong dan tidak menyokong laporan PPP didedahkan untuk tatapan dan penilaian. Perubahan kosmetik tidak akan memberi manfaat kepada para pelajar. Tidak menerbitkan laporan-laporan lain berkenaan serentak dengan pelancaran awal laporan awal PPP ini juga tidak membantu keadaan.
Dengan itu, ia dapat disimpulkan pada peringkat awal bahawa pelancaran awal laporan awal PPP ini hanyalah sebuah retorik Najib untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap “keikhlasan” kerajaan BN dalam menerajui pembaharuan dalam negara.

[1] http://kpru2010.wordpress.com/
[2] New Straits Time, New Education BluePrine Goes Beyond Politics, 11 September 2012, http://www.nst.com.my/latest/new-education-blueprint-goes-beyond-politics-1.142169#
[3] UNESDOC, The Impact Of Economic Crisis On Higher Education, 2012
http://unesdoc.unesco.org/images/0021/002171/217144e.pdf
[4] The Malaysian Insider, IDEAS: New Education Plan Lacks Crucial Reports, Transparency, 12 September 2012, http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/ideas-new-education-plan-lacks-crucial-reports-transparency/

Mengapa 4 tahanan ISA enggan jumpa peguam?

Anis Nazri, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Keengganan empat tahanan ISA menemui para peguam, semalam menimbulkan satu teka-teki apakah punca mereka bersikap demikian.

Sedangkan, dua daripada mereka sebelum ini selalu berkongsi keadaan mereka dan tahanan lain ketika siri lawatan para peguam ke Kem Tahanan Kamunting.

Peguam Sivamalar Genapathy, berkata keengganan keempat-empat tahanan itu bertemu peguam bagaikan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam sana.  Kebiasaannya, mereka selalu menemui kami. Tapi kali ini, kami dimaklumkan pihak kem, keengganan mereka itu adalah dari mereka sendiri.  Namun, kami syak ada sesuatu di sebaliknya, tetapi tidak tahu apa sebabnya," tegas beliau pada sidang media Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), di Dewan Himpunan Cina, pagi tadi.

Tambah beliau, hasil lawatan LFL semalam, pihaknya berjaya menemui tujuh orang tahanan bagi mendapatkan perkembangan terkini tentang keadaan mereka.

Salah seorang tahanan, Shamsudin Ali sepatutnya dibebaskan pada 17 Ogos lalu, namun ditarik balik kerana dikatakan terlibat dengan mogok lapar, sebelum ini.

Manakala, seorang lagi tahanan, Razali Kasan yang telah berusia dan menghidap penyakit batu karang, masih ditahan di kem berkenaan tanpa penjagaan rapi seperti yang dikehendaki pihak hospital.

"Beliau pernah dipukul oleh seorang pegawai kem, dan kemudiannya dibawa ke hospital. Pegawai terbabit dikatakan memohon maf kerana mengasari beliau, di samping beliau dinasihatkan untuk menjaga pemakanan.  Malangnya pihak kem tidak melakukannya, malah tahanan terpaksa membeli makanan sendiri di kantin," kata seorang lagi peguam, Farida Mohammad.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan gerakan massa terus dilakukan bagi memastikan semua tahanan ISA yang masih dikurung di Kemta dibebaskan serta-merta.
 

Kartunis protes depan kedutaan Malaysia di Washington

Harakahdaily, 13 Sep 2012

(Zunar dan rakan-rakan antarabangsanya berdemo depan kedutaan Malaysia di Washington)

WASHINGTON: Kartunis Zunar bersama dengan beberapa kartunis antarabangsa telah mengambil bahagian dalam protes "Bebaskan Kartunis" di Kedutaan Malaysia di Washington DC semalam (12 Sept 2012).

Protes "solidariti-untuk Zunar" itu anjuran Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa dan Amnesty International.

Tujuan protes ini adalah untuk menggesa kerajaan Malaysia menghenti menggunakan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menekan beliau sebagai kartunis.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ulhaque dalam kenyataannya berkata, kerajaan selama ini menggunakan undang-undang tersebut bagi menghalang beliau dari menghasilkan karya yang mengkritik pemerintah dan mendedahkan amalan korupsi mereka.

"Tujuh buku kartun saya diharamkan, saya telah ditahan di bawah Akta Hasutan, pejabat saya sering diserbu, kilang pencetak dan penjual buku-buku saya juga sering diserbu dan diberi amaran agar tidak mencetak dan menjual buku-buku saya," kata Zunar dalam kenyataannya.

Hadir dalam protes tersebut termasuk Pengarah Eksekutif Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa Dr Robert Russell dan timbalannya Andrew Rougier Chapman, koordinator Amnesty International Becky Farrar dan pasukannya.

Selain beliau, kartunis yang turut mengambil bahagian ialah pemenang Pulitzer Prize untuk Editorial Kartun 2012 Matt Wuerker, kartunis Iran dalam pelarian juga pemenang anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial Nik Kowser dan kartunis terkenal Amerika Jeff Parker.

Protes berlangsung selama 45 minit.

Mereka menyanyi dan berteriak mengkritik kerajaan Malaysia dengan kata seperti, "Siapa punya hak untuk melukis? Zunar!", "Siapa takut kepada kartun? Kerajaan Malaysia!".

Pada penghujung program itu, Zunar mengambil pembesar suara dan memanggil pegawai-pegawai kedutaan supaya keluar bertemu mereka.

Dua daripada mereka keluar kemudiannya tetapi enggan mendedahkan nama dan jawatan mereka.

"Saya memperkenalkan para demonstran kepada mereka dan memaklumkan tujuan kami berdemonstrasi. Mereka juga enggan memberi sebarang komen," beritahu Zunar kepada media.

Zunar akan berada di Washington DC dan New York sehingga 18 September untuk mengambil bahagian dalam Konferen Kartunis Editorial Amerika sebagai tetamu dan untuk bertemu aktivis Malaysia di sini.

Zunar adalah kartunis politik yang pernah memenangi anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011 oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa.


Talam: Tolak wakil MB debat, Tee Yong takut

Harakahdaily, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong yang tidak mengizinkan wakil Menteri Besar Selangor berdebat dalam isu Talam malam tadi disifatkan sebagai tindakan seorang penakut.

Malah, menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad, penganjuran debat malam tadi betul-betul berniat jahat dan semata-mata mahu mencari publisiti murahan untuk kepentingan politik bukan mahu mencari kebenaran disebalik isu kontroversi itu.

"Dari awal kita sudah maklumkan kepada penganjur bahawa Menteri Besar sedang berada di luar negara bagi menghadiri satu persidangan ekonomi dan telah mewakilkan empat orang antara kami untuk berdebat dalam isu itu.

"Pada awalnya mereka setuju kita datang, namun bila disana dia tidak berani untuk berdebat dengan salah seorang dari kami," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam di dewan International Youth Centre sepatutnya berlangsung debat antara Tee Yong dengan wakil Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu hutang Talam.

Selain Dzulkifly, Menteri Besar turut diwakili oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan setiausahanya Faekah Husin.

Namun debat itu tidak berlaku apabila penganjur tidak mahu membenarkan wakil Menteri Besar mengambil tempat untuk berdebat.

Malah turut berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong sebuah parti politik menghalang laluan wakil-wakil Menteri Besar itu yang mahu meninggalkan majlis tersebut.

Kekecohan itu telah memaksa polis campur tangan dan empat pemuda dilaporkan ditahan polis ketika melakukan provokasi.

"Kita bukan datang kosong, Tony Pua sendiri bawa laporan lengkap daripada firma audit bebas, Transaction and Restructuring Sdn Bhd (KPMG) untuk dibentangkan dalam debat itu.

Menurut Dzulkefli lagi, jika Tee Yong ikhlas mahu membongkar isu tersebut, sepatutnya malam tadi adalah peluang keemasan baginya menerangkan di hadapan penyokong beliau sendiri dan penyokong Pakatan Rakyat.

" Dia takut kita sangkal tuduhan billout yang dia dakwa dengan laporan KPMG ini. Malam tadi itu dia kononnya mahu bercakap satu hala sahaja," katanya.

Perlis tahu perpecahan Umno dari isu NFC

Zulkifli Sulong, 13 Sep 2012


(Kompleks PAS Perlis bernilai RM1.8 juta yang terletak di Kangar)

KANGAR: "Rakyat Perlis lebih tahu tentang perpecahan antara Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Menteri Besar mereka, Datuk Seri Mohamad Isa Sabu dari isu NFC misalnya."

Perkara ini dinyatakan Ketua Pusat Kajian Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Dr Ridhuan Othman dalam beberapa majlis.

Ternyata apa yang disebutkan oleh Dr Ridhuan itu benar. Dalam pertemuan Harakahdaily dengan pimpinan PAS dan rakyat Perlis baru-baru ini, penyataan itu disahkan benar oleh mereka.

"Dalam Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, Shahidan secara terbuka mengaku perkara itu.

"Dalam ucapannya dalam sidang DUN, dia serang MB Perlis . Saya bangun mencelah, Umno ni berpecah dualah.

"Dia (shahidan) jawab, bukan dua tetapi tiga dan boleh jadi empat," cerita Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustas Hashim Jasin kepada Harakahdaily dalam pertemuan dengan beliau di pejabatnya.

Ustaz Hashim (gambar) adalah ahli Majlis Syura PAS. Beliau juga adalah Adun Sanglang. Kini sudah tiga penggal beliau menjadi Adun di situ.

Ustaz Hashim menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis sejak 1991 lagi iaitu 21 tahun yang lalu. Sebelum itu beliau menjadi Setiausaha Perhubungan dan Timbalan Pesuruhjaya.

Harakahdaily menemui Ustaz Hashim dan Dewan Harian PAS Perlis di Kompleks PAS Perlis yang tersergam indah di pinggir bandar Kangar yang tenang itu.

Bangunan bernilai RM1.8 juta yang binaannya ala masjid itu menempatkan 16 kakitangan sepenuh masa dengan PAS Perlis. Kebanyakan mereka adalah pegawai kebajikan dan penerangan.

Ia siap dibina Mei 2011 lalu dan dilancarkan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Bagi Ustaz Hashim, sememangnya Umno Perlis berpecah sejak dahulu tetapi kini ia semakin ketara.

Empat kumpulan yang dimaksudkan Shahidan adalah kumpulan beliau sendiri dan MB, di samping dua lagi kumpulan iaitu penyokong Datuk Seri Azmi Khalid dan kumpulan yang menyokong adinda Raja Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail (Adun Pauh).

"Secara kasarnya ada dua kumpulan Umno di Perlis ini dari atas (calon MB) hingga ke Jawatankuasa Kampung (JKKK)," beritahu Hashim.

(Ustaz Hashim mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Perlis yang bersidang setiap minggu)

Masing-masing kini bekerja kuat untuk dicalonkan dalam pilihan raya ini.

Namun, kata Hashim, PAS tidak mengambil peduli sangat mereka ini kerana 'biasanya' Umno akan bersatu balik menjelang pilihan raya nanti.

"Yang lebih menarik dalam pilihan raya kali ini adalah sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat," beritahu beliau.

Beliau meletakkan 70 - 80 peratus pengundi Cina di Perlis kali ini akan menyokong Pakatan.

"Di kawasan saya, Sanglang misalnya ada kira-kira 800 pengundi Cina.

"Dalam pilihan raya lalu, saya hanya mendapat 30 undi sahaja dari mereka tetapi saya rasa kali ini Umno yang akan mendapat sejumlah undi itu (30 undi), selebihnya akan mengundi calon PAS," kata beliau.

PAS sokong 'orang Umno' jual tanah disiasat SPRM

Khairil Abdul Rahim, 13 Sep 2012
JERANTUT: Pendedahan berlakunya penjualan tanah di kawasan bandar ini yang didakwa melibatkan pemimpin Umno sendiri dianggap amat mengejutkan.


Lebih memeranjatkan, perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul  Razak kepada sebuah akhbar harian semalam.

Serentak dengan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Jerantut Yohanis Ahmad (gambar) menyokong tindakan Wan Amizan yang mahu melaporkan skandal tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan.

“Saya pada mulanya terkejut dengan pendedahan Ketua Pemuda Umno Jerantut yang menyerang rakan sesama Umnonya sendiri dan mungkin ini biasa pada ketika mesyuarat Umno Bahagian dan menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

“Namun apabila ia mungkin membabitkan penyelewengan apa lagi melibatkan tanah rizab Melayu, maka tindakan mangadukannya kepada SPRM kami (DPP) sokong,” katanya.

Yohanis berkata demikian mengulas laporan akhbar bertajuk “Orang parti jual tanah, dakwa Pemuda Umno” semalam.

Beliau berharap perkara ini bukan sandiwara dan mahu SPRM menyiasat sesiapa saja yang terlibat dan jika terdapat bukti janganlah didiamkan.

Wan Amizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, dalam laporan tersebut meminta SPRM menyiasat penjualan tanah di kawasan bandar Jerantut yang didakwa berlaku penyelewengan membabitkan penjawat awam dan ahli  Umno sendiri.

Menurutnya, Pemuda Umno berasa terpanggil membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat perkara itu bukan sahaja untuk membersihkan imej parti, malah bagi mengekang segala manipulasi projek dalam kawasan bandar oleh pihak tertentu.

Laporan SPRM akan dikemukakan dalam minggu ini supaya siasatan segera boleh dilakukan bagi membuktikan sama ada pihak tertentu memainkan peranan sehingga menyebabkan tanah di bandar ini beralih kepada syarikat bukan Melayu.

Katanya, siasatan perlu dijalankan berikutan perkara ini kerap dibangkitkan ahli Umno di sini, malah Pemuda Umno turut menerima aduan daripada orang ramai supaya  kes ini disiasat mengikut undang-undang dalang dalam kalangan orang kuat Umno itu sendiri telah menyebabkan banyak tanah di bandar Jerantut  bertukar milik kepada pihak lain.

Tambahnyanya, sebilangan tanah di Bandar Baru yang menempatkan tapak rekreasi, stesen teksi dan bas contohnya, sudah terlepas kepada syarikat tertentu akibat tindakan pihak terbabit.

“Pemuda Umno juga mahu SPRM membuat siasatan mengenai manipulasi ‘projek silang’ dalam kawasan bandar yang dilihat dimonopoli syarikat tertentu.

“Kita khuatir wujud unsur korupsi, penyalahgunaan kuasa dan gejala lain bagi kepentingan satu pihak, sedangkan rakyat seperti peniaga, pemandu teksi dan pengusaha kecil ditindas,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno sedia mengemukakan bukti supaya mereka yang terlibat disiasat mengikut undang-undang dan perlu dibuktikan untuk pengetahuan rakyat sesuai dengan perjuangan Umno yang lebih telus bagi melakarkan perubahan di samping perlu mempunyai pemimpin yang berintegriti dan amanah.

Sementara itu satu sumber memberitahu, masalah tanah di bandar bersejarah ini sememangnya sering menjadi isu dan membuatkan rakyat tidak puas hati.

Menurut sumber tersebut, contohnya tanah yang diusahakan dengan tanaman oleh penduduk seperti di Durian Hijau, Bukit Nikmat dan kampung-kampung lain tiba-tiba dimiliki oleh pemimpin Umno tertentu.

Sebelum ini media pernah mendedahkan penebangan balak secara berleluasa hutan di Padang Piol hingga ke Taman Negara.

“Semua itu rakyat mahukan siasatan, rakyat harap ini bukan sandiwara atau gimik menjelang PRU13,” kata Yohanis.

Beliau turut mengucap tahniah di atas keberanian Wan Amizan kerana jika parti dalam Pakatan yang mendedahkan skandal tersebut lazimnya akan dipandang sepi.
Iklan Teks

Lokasi himpunan bantah filem hina Nabi esok

Harakahdaily, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan himpunan munajat dan bantahan di seluruh negara esok berhubung penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Rasulullah SAW.

Himpunan tersebut akan diadakan sejurus solat Jumaat di setiap negeri di seluruh Malaysia.

Berikut adalah senarai lokasi himpunan setiap negeri yang telah disahkan:

a] Pahang - Masjid Sultan Ahmad Shah Kuantan

b] Selangor dan Wilayah - Masjid Amaniah, Batu Caves

c] Perak - Masjid Negeri Ipoh

d] Sabah - Masjid TM Sepanggar Kota Kinabalu

e] Penang - Masjid Permatang Janggus

f] Sarawak - Masjid Bintulu

g] Terengganu - Masjid Rusila

h] Melaka, Kedah, N9, Johor sedang menentukan lokasi utk himpunan tersebut .

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Pusat menjemput semua umat Islam yang perihatin untuk menyertai himpunantersebut esok.

PAS kecam filem terbaru hina Nabi

Harakahdaily, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang pengarah filem berketurunan Israel Amerika, yang menghina Nabi Muhammad SAW melalui filem terbarunya.

Filem berjudul Innocence of Muslims, ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dan trailer filem tersebut juga telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu.

Menurut Bacile dia mendapat suntikan dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi.

Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata isi kandungan yang dipaparkan di dalam video yang berdurasi 14 minit ini hanya mendatangkan kemarahan di dalam diri umat Islam.

Video tersebut ujarnya  telah menghina Baginda Nabi SAW dengan mewatakkan baginda sebagai seorang lelaki yang ‘gila perempuan’.

Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan para sahabat.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah paparan video seperti ini yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Bagi Pemuda PAS Malaysia, sebagai umat Islam kita wajib cakna dan rasa marah dengan isu yang dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu ini," katanya pada sidang media di KUIZM, Taman Melewar petang semalam. (Gambar)

“Times of Israel” melaporkan filem ini merupakan kempen daripada pelampau anti-Muslim Egyptian Christian di United States.

Filem yang melabel Nabi Muhammad SAW ‘fraud, a womanizer and a madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara timur tengah seperti Mesir dan Libya.

Menurut mereka, seorang rakyat Amerika telah ditembak mati sebagai tanda tidak puas hati mereka. Penunjuk perasaan juga bertindak membakar Konsulat AS di Beghazi dan Cairo.

Bukan itu sahaja, penunjuk perasaan turut memanjat dinding-dinding kedutaan US dan menggantikan bendera AS dan bendera-bendera Islam.

Filem ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dengan paparan Islam sebagai agama kebencian.

Semalam, rakyat Mesir dilaporkan telah mengadakan perarakan beramai-ramai ke kedutaan US di Kaherah dengan laungan “Say it don’t fear. Their ambassador must leave”.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mendesak kerajaan Malaysia yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk segera mengambil tindakan agar pihak kerajaan Amerika Syarikat dapat menyelesaikan isu filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam sedunia.

"Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Pemuda PAS di peringkat negeri-negeri untuk mengadakan satu himpunan aman di peringkat negeri masing-masing untuk menyatakan secara terang-terang bahawa umat Islam di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan video seperti ini. Pemuda PAS setiap negeri diminta untuk mengadakan himpunan aman tersebut pada Jumaat ini," katanya.

Menurut Faizi lagi, pemuda PAS juga akan menganjurkan bantahan besar-besaran di hadapan Kedutaan AS pada 21 Sept ini jika tiada sebarang respon positif dari kerajaan AS untuk bertindak terhadap pembuat filem tersebut.

'Innocence of Muslims' berniat jahat, provokasi

Harakahdaily, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) mengutuk keras sebarang usaha untuk menjejaskan kesucian Islam yang sengaja dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi sebuah filem berjudul  Innocence of Muslims.


Presidennya, Dr Aminurrasyid Yatiban berkata, menurut satu sumber, filem yang diarahkan oleh Bacile (seorang Yahudi Israel) itu menelan belanja sebanyak USD5 juta dibiayai oleh 100 Yahudi.

Katanya, kandungan filem yang jelas berniat jahat itu sengaja menimbulkan provokasi seperti menyebutkan Islam is a cancer, period dan sebagainya.

”Perkara ini jelas mencemarkan kesucian Islam dan dakwaan yang sangat tidak betul serta menimbulkan provokasi melampau terhadap umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Ilmam menyeru semua umat Islam agar mempunyai sensitiviti yang tinggi dengan mengambil berat sebarang usaha yang boleh menyelewengkan ajaran Islam yang suci dan murni.

Hina Nabi: PAS desak Amerika ambil langkah serius

Harakahdaily, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: PAS mendesak pihak pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat untuk mengambil langkah serius di atas provokasi kebencian beragama yang ditimbulkan melalui penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh pengarah dan penerbit filem keturunan Israel Amerika dari Amerika Syarikat.

“PAS pada asasnya menghormati perlunya kebebasan bersuara dan berkarya, tetapi kebebasan ini hendaklah berteraskan rasa kebertanggungjawaban sehingga tidak menyebabkan keharmonian hidup beragama dan kesucian yang difahami oleh umat Islam atau mana-mana kelompok agama dipermainkan,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan

Menurutnya, mewujudkan perasaan kebencian yang cuba ditaburkan oleh kelompok tertentu ekstrimis ini adalah tindakan mundur ke belakang dan tentunya tidak akan menyumbang kepada suasana dunia yang lebih tenteram.

Beliau menegaskan, ianya hanya akan menyebabkan berlakunya kesan negatif berangkai yang tidak menguntungkan sesiapa pun.

PAS juga, kata beliau turut merasa terkilan, sedih, dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga kakitangan diplomatik dan keselamatan Kedutaan Amerika di Libya yang telah terbunuh dalam protes yang bertindak di luar kawalan itu.

Justeru, beliau menambah PAS juga ingin menggesa pihak kerajaan umat Islam di seluruh dunia umumnya, dan Kerajaan Malaysia khasnya untuk melindungi serta memastikan keselamatan para diplomat dan kakitangan diplomatik yang bertugas di negara ini.

“Ingin saya tegaskan bahawa Islam memberi pengiktirafan tinggi terhadap kehadiran mereka dan kerajaan umat Islam wajib menjaga keselamatan para kakitangan diplomatik ini yang menjadi sebahagian tanggungjawab pihak kerajaan tuan rumah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Cederakan petugas media sangat hina - polis

Hazayani Zakaria, 13 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis mengaku di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa tindakan mencederakan orang awam termasuk petugas media dalam sesuatu perhimpunan merupakan tindakan yang sangat hina.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa (gambar) berkata, polis sepatutnya hanya menangkap peserta yang didapati melanggar arahan, bukan mencederakan mereka.

Katanya, tangkapan di lobi hotel ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu juga tidak sepatutnya berlaku.

"Saya setuju sepatutnya tak ada tangkapan dilakukan dalam hotel.

"Polis hanya boleh menangkap peserta yang didapati ingkar arahan polis tapi tak boleh mencederakan dan kalau ianya berlaku, ini satu tindakan yang sangat hinalah," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana anggota bawahannya boleh mengasari petugas media sedangkan sudah dinyatakan dalam taklimat bahawa polis mesti menghormati petugas media yang menjalankan kerja mereka.

"Sampai hari ini saya masih berfikir kenapa anggota saya bertindak kasar terhadap media sebab dalam taklimat ditekankan mengenai hak dan kebebasan media untuk menjalankan tugas.

"Saya katakan pada mereka, tindakan terhadap wartawan akan mencemarkan imej polis. Tapi perkara ini tetap berlaku," katanya.

Beliau bagaimanapun mempertahankan tindakan polis simpanan persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata dan air kimia kerana menyifatkan ia sesuai dilakukan untuk menyuraikan peserta perhimpunan.

"Kita lepaskan gas dan air kimia berdasarkan situasi ketika itu.

"Kalau (melepaskan gas dan air kimia) menyebabkan kecederaan (orang awam) pun, ia masih dianggap tindakan sesuai untuk mengelakkan perhimpunan lebih besar," katanya.

Beliau turut beranggapan peserta Bersih 3.0 ingin melakukan rusuhan seperti yang berlaku di Thailand dan Mesir.

"Kita mahu mempertahankan Kuala Lumpur. Kita tengok mereka ini seolah-olah nak jadi macam di Thailand, di Mesir," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: