Sabtu, 29 September 2012

SEBENAR SAPE YANG UNTUNG

Bajet bukan sekadar angka tapi manfaat untuk rakyat

Harakahdaily, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata apa yang lebih penting dari pengumuman insentif dalam bajet adalah mekanisma penyampaiannya kepada rakyat.

Menurut beliau, tidak guna jika pengumuman dengan angka dan jumlah berbilion ringgit tetapi manfaatnya tidak sampai dan tidak dirasai rakyat.

Malah lebih menyedihkan, tambah Ahli Parlimen Marang itu, perlaksanaannya selama ini hanya lebih menguntungkan kroni berbanding rakyat kebanyakan.

"Bajet bukan sekadar angka-angka dan duit berbillion untuk melaksanakan projek semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana membetulkan prinsip dan pelaksanaannya serta kesannya selama ini telah tidak sampai kepada manfaat rakyat terbanyak.

"Projek-projek berskala besar pula dipergunakan untuk mendapat laba keuntungan berlipat ganda menerusi naungan dan kroni politik Umno-putra," katanya kepada Harakahdaily.

Kenyataan itu sebagai ulasan ringkas terhadap Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan hari ini mengumumkan bajet dengan jangkaan hasil kerajaan pada 2013 sebanyak RM208.6 bilion berbanding RM207 bilion pada 2012.

Beberapa isentif bersifat "one-off" juga diumumkan termasuk bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah dan baucar buku RM250 kepada pelajar universiti.

Selain itu beliau turut mengumumkan  Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M) RM250 kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 serta pemberian bonus sebulan setengah kepada penjawat awam.

Biarpun menyambut baik pengumuman insentif itu, namun apa yang harus dibimbangi adalah mekanisme penyampaiannya.

"Selama puluhan tahun dibentang dan dijanjikan, rakyat perlu sedar tentang ketirisan berbillion duit khazanah negara yg telah hilang entah ke mana," kata Tuan Guru Abdul Hadi.

Bajet 2013 pinggir rakyat Sabah, Sarawak

Muhammad Faizal, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin melahirkan rasa kekecewaan apabila kerajaan Umno BN terus meminggirkan rakyat Sabah dan Sarawak pada Bajet 2013 yang dibentangkan hari ini. Bajet 2013 bertemakan Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 4 petang tadi.

Lajim yang ditemui sejurus selepas perbelanjaan bajet tersebut memberitahu tiada peruntukan khusus diberikan kepada Sabah mahupun Sarawak.

"Tumpuan kepada Sabah dan Sarawak terus dipinggirkan, tidak ada langsung disebutkan melainkan hanya mewujudkan jelapang padi di Kota Belud dan Batang Lupar sedangkan kita tahu Sabah merupakan 'fixed deposit' kepada Barisan Nasional, tiada satu pun projek yang dikhususkan khas untuk rakyat Sabah," jelasnya.

Beliau turut menyatakan bajet kali ini juga tidak menunjukkan satu penyelesaian yang kuat akan dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2013.

"Ia seperti bantuan di kalangan belia yang belum berkahwin diberi RM250 apakah itu satu penyelesaian jangka panjang, apa yang disediakan itu hanya untuk jangka pendek sahaja.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan perlu meletak penyelesaian untuk tempoh jangka panjang supaya rakyat Malaysia terutamanya golongan muda lebih terjamin masa depan mereka," sambung beliau lagi.

Beliau yakin bajet yang dibentangkan kali ini merupakan satu bajet politik untuk Barisan Nasional menghadapi pilihanraya umum.

Bajet 2013 diperuntukan sejumlah RM251.6 bilion dengan meletakkan RM201.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Pakatan Rakyat sebelum ini membentangkan belanjawan Pakatan Rakyat 2013 telah meletakkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM233 bilion.

Kerajaan gagal sekat belanja berlebihan

Mohd Azmi Abdul Hamid, 28 Sep 2012
Belanjawan yang dibentang sebentar tadi jelas menunjukkan kerajaan gagal mengendali perbelanjaan negara pada tahap yang meyakinkan.

Dengan hutang negara melonjak naik dan berada pada tahap tertinggi dalam tempoh BN memerintah ternyata ia meletakkan Malaysia pada risiko seperti ekonomi Eropah bila perbelanjaan berhemah tidak menjadi panduan dalam mengendalikan ekonomi negara.

Tanda kerajaan gagal mengurus wang dengan bijak jelas bila ia terlalu lumayan dan mewah memberi pelbagai insentif di luar kemampuan kewangan negara. Kini isyarat untuk kos hidup meningkat akan menjadi masalah yang akan sukar ditangani.

Belanjawan yang dikemukakan jelas menyentuh insentif untuk semua lapisan tetapi lupa bahawa natijah kantung negara akan kekeringan wang akan berlaku yang akan menyebabkan perkara utama untuk memelihara kehidupan yang mapan tidak akan tercapai.

Apa yang diunjurkan oleh kerajaan melalui belanjawan ini ialah seolah wang negara boleh dicetak semahunya untuk memancing hati pengundi dan bila keadaan menjadi runcing rakyat akan tanggung sendiri akibat keborosan kerajaan.

Jelas belanjawan ini adalah untuk menyenangkan hati rakyat tetapi tidak mengajar rakyat untuk memahami realiti sebenar mengenai kedudukan kewangan negara.

Disebalik semua insentif yang diumumkan yang jelas, ia adalah tawaran habis-habisan seluruh khazanah negara tanpa mengambil kira bahawa ekonomi Malaysia betapa stabil sekalipun tetap akan tertakluk kepada persekitaraan ekonomi yang tidak menentu di seluruh dunia.

Kami tidak melihat unsur kemapanan belanjawan ini kerana inflasi yang masih dapat dikawal tidak boleh bertahan bila pertumbuhan ekonomi dunia muram akibat pelbagai perkembangan dunia yang berlaku iaitu krisis peperangan dan kempen Israel-AS mengenai ancaman perang ke atas Iran, peningkatan perbelanjaan persenjataan oleh kebanyakan negara, perubahan cuaca, keruntuhan institusi perbankan di Eropah dan pertumbuhan negatif ekonomi Amerika.

Dalam iklim ekonomi seperti ini untuk memacu perbelanjaan melebihi dari kemampuan adalah risiko yang besar.

Apatah lagi bila belanjawan ini meningkatkan subsidi yang tidak bijak kerana kewangan yang dibelanja untuk subsidi tidak mampu mengawal kos hidup pada keseluruhannya. Subsidi yang melonjak 4 kali ganda kepada RM42 bilion menunjukkan belanjawan ini sesungguhnya adalah untuk memancing undi bukan untuk mencermati dengan berhemah masa depan kewangan negara.

Dalam hal ini isu subsidi tidak ditangani dengan berhati-hati sehingga kesan yang sepatutnya membantu mereka  yang berpendapatan rendah tidak berlaku. Pada hakikatnya apa yang berlaku ialah kerana kos kehidupan keseluruhannya masih tinggi dalam aspek kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.
Kami amat kesal belanjawan kali ini juga tidak meningkatkan cukai arak dan rokok. Ternyata kerajaan mengenepikan realiti betapa kos kesihatan, sosial, budaya dan alam sekitar tidak diambil kira, akibat lobi kuat industri arak dan rokok. Jelas dari segi ini kerajaan gagal memberi perhatian serius kepada industri yang memberi kesan kerosakan yang tinggi bernilai berbilion ringgit bukan sahaja kepada generasi kini malah kepada generasi mendatang. Belanjawan ini memberi isyarat bahawa  negara ini adalah syurga arak dan rokok.

Penulis ialah Presiden Teras.

 

 

 

Dana PRU13: Tuan Guru Nik Aziz lelong tongkat

Rizal Tahir, 28 Sep 2012
KOTA BHARU: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan akan melelong tongkat yang sering digunakan walau ke mana sahaja bagi membantu dana Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Tongkat yang berwarna gelap yang digunakan sejak sekian lama itu diharap dapat membantu menjana tabung PRU13.

Pengumuman mengejut itu dibuat pagi tadi selepas beliau menyampaikan kuliah mingguan sesi kedua di Dataran Ilmu di sini.


Selepas pengumuman itu, Tuan Guru Nik Aziz menyerahkan tongkat yang menjadi penemannya itu kepada seorang wakil untuk menyempurnakan hasrat murninya itu kepada PAS Pusat.


Tuan Guru seterusnya berkata, sebelum ini wakil PAS Pusat memaklumkan kepadanya mahu mengumpul dana bagi tabung menjelang PRU13 dan meminta beliau melelong barangan tertentu.


“Bagi tujuan itu hari ini saya mengisytiharkan akan melelong tongkat saya ini untuk membantu mengumpulkan dana yang dimaksudkan,” katanya.


Tindakan Tuan Guru yang mengumumkan perkara itu, membuatkan orang ramai yang hadir untuk mendengar kuliah bangun untuk melihat secara dekat peristiwa bersejarah itu.

Peniaga di tanah KTM tuntut pampasan

Anis Nazri, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sekumpulan peniaga di Simpang Renggam, Johor menuntut sejumlah pampasan seperti yang diterima penduduk di Tanah KTM, Layang-Layang, Simpang Renggam.

Tuntutan itu dibuat berikutan pembahagian pampasan atau ex-gratia yang tidak diberikan secara standard kepada penduduk dan peniaga di tanah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik dan Penyewa Kedai Tanah KTM, Layang-layang, Samin Mohamed, berkata beliau dan para peniaga telah tinggal dan berniaga di situ lebih 30 tahun.
Malah, kedai yang mereka dirikan juga menjadi tempat tinggal, yang kini pihak KTM meminta mereka keluar dri kawasan tersebut bagi tujuan pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor.
"Kami diarahkan keluar dari kedai ini sehingga 31 Mac 2012. Namun kami tidak diberi sebarang pampasan atas alasan bahawa kami adalah pekedai, bukannya pemilik rumah dan alasan itu tidak boleh dierima," kata beliau pada satu sidang media, di parlimen, hari ini.
Beliau menambah, penduduk menerima pampasan sebanyak RM8,200, di mana RM1,000 untuk wang perpindahan, RM7,200 untuk wang sewa bagi tempoh tiga tahun (RM200 sebulan).
Malah, katanya pada 1 Ogos lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah memaklumkan penduduk bahawa mereka akan mendapat bayaran ex-gratia sebanyak RM42,000.
"Persoalannya, mengapa kami yang juga tinggal di kawasan ini dinafikan hak untuk mendapat pampasan yang setimpal dengan kami?" soal beliau lagi.
Samin turut mengecam alasan pihak KTM yang mengatakan peniaga tidak layak mendapat pampasan kerana mereka sudah mendapat keuntungan dari kedai di atas tanah KTM.
Alasan tersebut, kecam beliau tidak munasabah kerana dalam perniagaan terdapat masa untung dan rugi.
"Ada masanya kami untung, dan ada masanya kami rugi. Sedangkan penduduk sentiasa untung kerana tinggal secara percuma di atas tanah KTM. Dalam hal ini, kami rugi sebanyak tiga kali - rugi dalam perniagaan, rugi tiada pampasan dan rugi tidak dapat wang perpindahan," tegas beliau.
Pada sidang media tersebut, para peniaga tersebut bertindak menyerahkan memorandum tuntutan mereka untuk dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab.
Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena dan Kuala Krai, Datuk Mahfuz Omar dan Dr. Hatta Md. Ramli serta Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.

NC didesak batalkan kemenangan ‘calon tua’

Syis Abdul Kadir, 28 Sep 2012
Pendahuluan

Keputusan pilihanraya kampus (PRK) Universiti Malaya yang diumumkan tempoh hari menyaksikan pertembungan yang sengit di antara Pro-Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa. Namun sayangnya empat orang calon yang tidak menepati syarat penyertaan yang telah ditetapkan. Pro-Mahasiswa tegas dan nekad membantah "calon tua" dari Penggerak Mahasiswa dan mendesak kemenangan mereka dibatalkan.

Justifikasi dan Pendirian

Pendirian tegas kami ini bersandarkan beberapa justifikasi yang berasaskan lunas-lunas peraturan yang jelas;

1- Menurut Perlembagaan Universiti Malaya (P.U. (A) 107/97) seksyen 52(4) menyatakan bahawa;

The members of the Undergraduates Reptesentatives Council and its office bearers shall be elected for one year.

Peruntukan ini mewajibkan calon-calon yang terpilih sebagai ahli MPMUM menjawat jawatan tersebut selama setahun. Calon-calon yang kini dalam tahap akhir pengajian bagi kursus masing-masing adalah tidak layak untuk bertanding dalam pilihanraya MPMUM sesi 2012/13. Ini adalah kerana mereka akan menamatkan pengajian sebaik sahaja tamat peperiksaan akhir semester II sesi 2012/13 yang akan berlangsung pada Jun 2013. Ini secara langsung memberikan implikasi bahawa mereka tidak dapat memenuhi tempoh wajib perkhidmatan dalam MPMUM selama setahun.

2- Berdasarkan perlembagaan Universiti Malaya, seorang pemegang jawatan dalam MPMUM mestilah merupakan pelajar berdaftar Universiti Malaya. Ini disokong oleh seksyen 52(1) yang menyatakan bahawa;

The registered students of University, other than external students, shall together constitute a body to be known as the Undergraduates union of the University of Malaya ("the Union")

Selanjutnya kami ingin menarik perhatian pihak tuan kepada peruntukan dengan jelasnya definisi 'Pelajar Berdaftar' iaitu. Merujuk kepada seksyen 52(18) yang menyebut;

For the of this section, "registered student" means a student who is following a course of study in the University for a degree or a diploma, not being a post-graduate diploma and includes a student who is a holder of s diploma and is following a course of study of a degree:
Provided that a student shall cease to be a registered student within the meaning of this subsection-
(a) upon the publication of the result of the final examination for such course of study, if he passes such examination;

Oleh yang demikian,seseorang pelajar akan terhenti menjadi pelajar berdaftar secara automatik sebaik sahaja keputusan peperiksaan akhir disiarkan.Sekiranya pelajar  tahap akhir yang dibenarkan bertanding itu menang daam pilihanraya, ini akan menimbulkan situasi yang mana terdapat ahli MPMUM yang statusnya bukan lagi pelajar berdaftar tetapi memegang jawatan dalam MPMUM. Keadaan ini bercanggah dengan dengan peranan MPMUM yang bertanggungjawab mewakili para mahasiswa Universiti Malaya kerana pelajar yang tidak berdaftar tidak lagi mempunyai kapasiti sebagai seorang ahli MPMUM. Oleh yang demikian,secara jelasnya seseorang yang bukan lagi pelajar berdaftar tidak mungkin layak mewakili para pelajar Universiti Malaya.

3- Selain itu,bantahan ini juga ingin dikemukakan berdasarkan peruntukan Peraturan dan Panduan Pemilihan Majlis Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya sesi 2012/2013 dalam peraturan  13 (1)(d) yang menyatakan bahawa;

Pelajar berdaftar yang mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya setahun atau dua semester berdasarkan tempoh pengajian minimum bagi program pengajian yang diikuti;

Maksud ‘’baki’’ dalam peruntukan ini semestinya adalah tertakluk kepada tempoh pengajian yang dinyatakan dalam surat tawaran universiti, setiap peruntukan mestilah mempunyai kepastian (certainty).Hanya melalui tafsiran sebegini,kepastian undang–undang tersebut akan tercapai.

​Segala kenyataan yang telah dihujahkan adalah berdasarkan hierarki undang –undang yang dinyatakan dalam seksyen 35 Perlembagaan Universiti Malaya seperti berikut:-

In the event of –
a) Any Statute being inconsistent with the provisions of this constitution
b) Any rules being inconsistent with the provisions of this constitution or any statute or
c) Any regulations being inconsistent with the provisons of this constitution or any statute or rules
Then the provisions of this constitution.statute or rules asa the case maybe,shall prevail in that order or priority,and such statute rules or regulations, as the case may be, shall to the extent of the inconsistency be void.

Senarai calon yang tidak menepati syarat;

BIL
KAWASAN
NAMA
NO MATRIK
1
Umum
Yock II Yang
LEB090103
2
Kejuruteraan
Cher Rey Huat
KEM09007
3
Kejuruteraan
Lock Li Ping
KES090009
4
Pendidikan
Malik Syam Mohamed
PET090015
5
Pendidikan
Zulaikha Bin Zulkifli
PET090035

Tuntutan dan Penegasan:

1- Menggesa pihak Tan Sri Naib Canselor menarik balik kemenangan calon yang tidak cukup syarat dan melanggar peraturan yang sedia ada.

2- Mengisytiharkan pengguguran kemenangan calon-calon tersebut semasa pengumuman keputusan rasmi pilihanraya kampus 2012/13 jam 5 petang esok (28 september 2012).

3- Menuntut semua ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Uni. Malaya (MPMUM) untuk bersidang dengan segera dan menyatakan pendirian terhadap isu ini.

4- Pro-Mahasiswa bersedia untuk mengheret kes ini ke mahkamah sekiranya tidak mendapat respon yang positif dari pihak tertinggi universiti.

Penulis ialah Pemangku Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya.

AES: 3,344 imej kesalahan dirakam dalam masa 2 hari

Muhammad Faizal, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengesahkan sebanyak 3,344 imej kesalahan telah dirakam melalui Automated Enforcement System (AES) sepanjang dua hari operasi pada 23 dan 24 September.

Malah, Kementerian Pengangkutan turut menyatakan imej yang telah dirakam itu sedang melalui proses pengesahan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan.

Demikian jawapan bertulis kementerian itu semalam kepada soalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan jumlah saman yang telah dikeluarkan setelah AES dilaksanakan di seluruh negara serta jumlah kompaun yang dikeluarkan dengan jumlah kompaun yang paling maksimun pada musim perayaan yang lepas.

Kementerian itu memberitahu tiada pengeluaran saman yang dibuat melalui AES pada musin perayaan yang lepas memandangkan pada tempoh tersebut perlaksanaannya masih dalam peringkat Pilot Stage di mana melibatkan pengujian sistem.

Sistem AES mula beroperasi secara terus untuk fasa pertama 'Roll-Out' pada 23 Sepember yang lalu dan perlaksanaan bagi peringkat ini melibatkan 14 lokasi serta pengoperasian 10 kamera tetap dan 4 buah kamere mudah alih.

Pada 13 Julai yang lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri menyatakan AES sedang melalui fasa ujian dan akan dilaksana sepenuhnya pada 12 Ogos sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengesan kesalahan memandu melebihi had laju dam melanggar isyarat lalulintas

Menurut laman web JPJ, jumlah kamera tersebut adalah sebanyak 1,081 di mana 566 kamera untuk mengesan had laju, 256 kamera untuk lampu isyarat manakala 250 ialah kamera mudah alih.

Selain itu juga pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang telah diluluskan telah menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2,000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

Mahkamah tolak saman ke atas Harakah dan PAS

Harakahdaily, 28 Sep 2012
PULAU PINANG: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak dengan kos saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Aminah Abdullah ke atas PAS, Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Mohd Sabri Said.

Dalam keputusan yang dibacanya hampir dua jam dari pukul 3 petang di Mahkamah terbuka petang semalam,  Hakim Varugesh memutuskan tuntutan Aminah ke atas PAS adalah bercanggah dengan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 kerana PAS tidak boleh disaman atas nama parti politik.

Tuntutan ke atas Ahmad Lutfi pula ditolak kerana Plaintif gagal membuktikan bahawa Lutfi adalah Ketua Pengarang Harakah pada masa berita bertajuk 'kenyataan Aminah bertentangan syariat' diterbitkan.

Di samping itu Mahkamah juga memutuskan bahawa laporan berita di akhbar Harakah yang ditulis oleh Sabri adalah dilindungi oleh pembelaan perlindungan bersyarat (qualified priviliged) kerana berita itu adalah berkepentingan awam dan Harakah hanya melaporkan kenyataan para pemimpin PKR yang memberi respon ke atas kenyataan Aminah yang disiarkan sebelum itu di akhbar Sinar Harian.

Mahkamah menyatakan Sabri hanya melaporkan berita tersebut dan keterangan Sabri disokong melalui keterangan kontemporari seperti buku catatan wartawan yang dikemukakan sebagai keterangan.

Dengan penolakkan saman tersebut, Mahkamah juga mengarahkan Aminah membayar kos sebanyak RM15 ribu kepada defendan bertiga tersebut.

Semasa perbicaraan tersebut, Aminah telah di 'grill' oleh Hanipa dalam pemeriksaan balas yang panjang sehingga beliau nampak agak kelam kabut dan letih disoal  bertalu-talu oleh Hanipa.

Mahkamah bagaimanpun membenarkan tuntutan Aminah ke atas tiga orang pemimpin PKR Pulau Pinang dalam kes yang sama.

PAS, Ahmad Lutfi dan Sabri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin.

Morsi kepada PBB: Syria adalah tragedi era ini

Guardian terjemahan Mohamad Yahya, 28 Sep 2012


(Mohamed Morsi berkata dalam ucapan sulungnya di PBB bahawa rakyat Timur Tengah tidak lagi akan bertolak ansur dengan pemerintahan diktator)


NEW YORK: Mohamed Morsi, berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, menyifatkan perang Syria sebagai "tragedi era ini" di mana seluruh dunia bertanggungjawab ke atasnya - dan menuduh rejim Assad "membunuh rakyat siang dan malam".

Presiden Morsi mengajak dunia untuk menggantikan rejim dengan kerajaan demokratik yang mewakili semua etnik dan agama, tetapi perlu dilakukan tanpa campur tangan tentera luar.

Sebaliknya, beliau menegaskan inisiatif diplomatik baru yang dimulakan oleh Mesir, Turki dan Iran, dan menyeru negara-negara lain untuk menyertainya.

Sebelum membincangkan konflik Syria, Morsi berkata PBB perlu membuat keutamaan menangani nasib rakyat Palestin, mengatakan bahawa ia adalah "memalukan" untuk resolusi PBB yang berturut-turut mengenai penjajahan Israel di wilayah Palestin tidak pernah dikuatkuasakan.

"Buah-buah maruah dan kebebasan mesti dikekalkan hampir dengan rakyat Palestin," katanya.

Dalam ucapan sulungnya di perhimpunan agung PBB, Morsi berkata rakyat Timur Tengah tidak akan lagi bertolak ansur dengan pemerintahan diktator, mereka juga tidak akan bertolak ansur dengan negara-negara yang tidak menandatangani perjanjian pengawalan senjata nuklear (NPT), secara jelas merujuk kepada Israel, yang dengan senjata nuklearnya memberikan mereka kuasa monopoli di rantau itu.

Beliau menyuarakan sokongan kepada persidangan yang dianjurkan oleh PBB yang berakhir hujung tahun ini untuk menjadikan Timur Tengah sebagai rantau yang bebas daripada senjata pemusnah besar-besaran. Israel telah menolak gesaan itu.

Morsi juga menegur Iran, mengatakan bahawa semua negara perlu menunjukkan sifat aman oleh program nuklear mereka untuk memuaskan hati jiran-jiran mereka. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata bahawa Iran tidak bekerjasama dalam siasatan mereka.
Penilaian Morsi berkenaan masalah di rantau ini berbeza dengan apa yang disampaikan oleh presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, yang memberi fokus kepada tema agama dan tidak menyebut berkenaan program nuklear Iran, yang merupakan tumpuan ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu - dan juga dalam masyarakat antarabangsa yang lebih luas.

Setiausaha Luar Britain, William Hague, baru-baru ini menggesa Kesatuan Eropah untuk mengetatkan lagi sekatan yang sudah sedia ketat ke atas Iran, kerana keengganan Iran untuk tunduk kepada tuntutan majlis keselamatan PBB supaya menghentikan pengayaan uranium.

Ucapan Ahmadinejad adalah tidak mudah difahami seperti kebiasaannya untuk satu sesi PBB dan hanya sekali merujuk kepada Israel, apabila beliau mengecam apa yang beliau panggil sebagai "hegemoni keangkuhan" kuasa-kuasa dominan di dunia, dan berkata “ancaman berterusan dari Zionis yang tidak bertamadun yang akan mengambil tindakan tentera terhadap bangsa kami adalah satu contoh yang jelas realiti pahit ini ".

Tiada diplomat Amerika di persidangan ketika ucapan Ahmadinejad kerana Washington melihat ucapan pemimpin Iran mengenai Israel awal minggu ini sebagai menyakitkan hati.

Britiain dan kebanyakan negara Eropah yang lain telah menghantar wakil junior, yang tidak berjalan keluar memboikot seperti yang telah dilakukan mereka sebelum ini.

Dalam ucapannya, Morsi berkata Mesir akan "berdiri teguh" menentang keganasan anti-Amerika yang telah melanda dunia Islam dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang telah dicetuskan oleh kemunculan video menghina Nabi, yang telah diterbit oleh Nakoula Basseley, warga Amerika- Mesir beragama Kristian Koptik.

Tetapi Morsi juga mendakwa bahawa penyebaran video itu adalah sebahagian daripada "kempen tersusun" yang didorong oleh Islamofobia. Dalam kenyataan yang nampak seperti menikam balas ucapan Barack Obama berkenaan kebebasan bersuara, Morsi berkata bahawa kebebasan bersuara tidak sepatutnya merangkumi hak untuk menghina agama berjuta-juta manusia.

Bajet 2013: Ringan beban rakyat atau bajet p'raya

Harakahdaily, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini bakal dinilai oleh rakyat sama ada benar-benar mahu meringankan beban rakyat untuk jangka masa panjang atau sekadar bajet pilihan raya.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, rakyat sedang menanti dengan harapan bahawa bajet kali ini memberi tumpuan khusus kepada perkara-perkara yang membebani mereka khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara pengumuman yang ditunggu-tunggu rakyat katanya termasuk penghapusan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) penghapusan cukai aksais kenderaan dan tidak melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Bajet 2013 kali ini harus menekankan perkara yang dirasai oleh rakyat.

"Pemansuhan tol, penurunan harga petrol, itu semua memberi kesan berantai kepada penurunan kos hidup rakyat di negara ini dan itulah yang sedang dirunggu-tunggu," katanya kepada Harakahdaily.

Bajet 2013 akan dibentangkan Perdana Menteri di parlimen jam 4 petang ini dan akan disiar secara langsung melalui steten televisyen perdana.

Biarpun difahamkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk kali kedua akan diumumkan dalam bajet itu hari ini, namun harapan rakyat tetap kepada penyelesaian masalah pokok seperti bebanan tol, harga minyak dan cukai aksais kenderaan.

Berhubung perlaksanaan GST pula, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ianya boleh dielak jika kerajaan BN menghentikan budaya rasuah, penyelewengan, ketirisan dan salah guna kuasa.

"Selagi masalah-masalah itu membelengu pentadbiran kerajaan BN, selagi itu hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi akan terbantut," katanya.

Sebab itu katanya, Pakatan Rakyat menampilkan belanjawan alternatif dengan tema Ekonomi Rakyat Negara Berkat, mencerminkan fokus penyelesaian utama adalah kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat.

Ianya termasuk penghapusan tol, menurunkan harga minyak, menurunkan harga kenderaan dan juga memperkenal undang-undang anti monopoli supaya kegiatan ekonomi tidak hanya dikuasai syarikat kroni.

Mahkamah benar kes Mohamad Sabu digantung

Harakahdaily, 28 Sep 2012
PULAU PINANG: Mahkamah Sesyen Pulau Pinang membenarkan permohonan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu agar kes pendakwaan ke atasnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Ini ekoran bantahan yang dibuat oleh beliau melalui peguamnya  berikutan tindakan Pendakwaraya yang hanya mendakwa beliau tetapi tidak mendakwa akhbar Utusan Malaysia yang juga membuat kesalahan yang sama.

Mohamad Sabu didakwa ekoran ceramahnya mengenai kes Bukit Kepong.

Perbicaraan sebelum ini mendedahkan, saksi utama pendakwa iaitu orang yang membuat laporan polis terhadap Mohamad Sabu mengaku dia tidak mendengar ceramah Mohamad Sabu.

Dia mengaku membuat laporan polis berdasarkan laporan Utusan.

Ekoran itu, beliau meminta mahkamah menggugurkan dakwaan ke atas Mohamad.

Peguam Mohamad Hanipa Maidin hari ini memohon Mahkamah Sesyen menggantung perbicaraan hari ini kerana pihaknya ingin memohon kepada Mahkamah Tinggi agar mempertimbangkan persolan kenapa Utusan tidak didakwa dalam kes ini.

Ini kerana menurut Seksyen 501 Kanun Keseksaan, mana-mana akhbar yang menerbitkan berita fitnah boleh didakwa.

Jelas hanya Mohamad Sabu didakwa tetapi akhbar Umno itu tidak didakwa.

Hanipa memohon agar Mahkamah Sesyen membenarkan perkara ini dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana hanya mahkamah itu yang berkuasa untuk menilai hal ini di bawah Seksyen 30 (1) Akta Mahkamah Kehakiman.

Ekoran itu, Hakim Ikmal Hishan setuju dengan permohonan dan tarikh 16 Oktober ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Selain Hanipa, Mohamad Sabu diwakili oleh Aminudin Zulkifli dan Nashar Khan.

Pendakwaraya pula dibuat oleh Tuan Yusaini Amir dan Tuan Suhaimi.

Takziah kepada keluarga Abdul Ghani Minhat

Harakahdaily, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah di atas kematian lagenda bola sepak Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Minhat (gambar) pada pagi ini.
“Bagi DPPM, pemergian Tan Sri Ghani ditangisi kerana negara kehilangan sebutir lagi bintang berharga dan kehilangan beliau sukar dicari ganti,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Sesungguhnya, kata beliau sumbangan besar dan jasa beliau dalam dunia sukan khususnya bolasepak amat besar sehingga berjaya mengharumkan nama negara.

Di zaman keemasan beliau, ujar Riduan negara banyak menempa kejayaan yang membanggakan di pentas antarabangsa.

Malah, tambahnya jarang ada insan hebat mampu mencapai tahap kehebatan seperti mana yang pernah beliau kecapi.

“Nama almarhum Tan Sri Abdul Ghani Minhat terpahat dalam sejarah sukan bolasepak negara antara pemain yang begitu cemerlang dan terhebat sepanjang zaman di negara ini setanding dengan pemain antarabangsa lainnya.

“Bahkan, sumbangan beliau selepas era persaraannya juga besar sehingga berjaya membantu negara dalam mengharungi pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa. Sewajarnya pemain generasi muda negara ini mewarisi kehebatan beliau serta mencontohi langkah kejayaan seperti mana yang beliau lalui,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau berkata di atas jasa-jasanya yang begitu tinggi ini, DPPM merasakan almarhum Tan Sri Abdul Ghani Minhat wajar diberi penghormatan tertinggi.

Tambahnya, DPPM mendoakan semoga roh Almarhum ditempatkan di kalangan insan yang soleh dan diredahi di sisi-Nya.

DPPM, ujarnya turut mendoakan semoga keluarga almarhum tabah menghadapi ujian yang berat ini. Alfatihah

Beli IPP: Umno BN sangat berbahaya kepada negara

Abdul Aziz Mustafa, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bertanggungjawan kerana menyifatkan perbelanjaan besar membeli penjana kuasa bebas (IPP) buruk sebagai perkara tidak penting, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Baru-baru ini, melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan membeli dua IPP buruk dari dua syarikat kroninya, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd dengan harga masing-masing RM8.5 bilion dan RM2.55 bilion.

Apabila perkara itu dibangkitkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui, beliau menyifatkan perkara itu tidak penting kepadanya.

"Sangat tidak bertanggungjawab dan jenis apa ini? Berbilion ringgit wang rakyat digasak untuk membeli IPP buruk itu, tiba-tiba menteri itu kata 'not really our great concern' atau tidak begitu penting bagi mereka," katanya.

Salahuddin menyifatkan sikap itu sekali lagi membuktikan bahawa Umno dan BN sangat berbahaya kepada negara ini.

"Berbilion ringgit duit rakyat dihabiskan untuk membeli barang buruk yang mengalami susut nilai yang teruk dan menanti masa untuk digantikan, itu tidak penting bagi kerajaan BN.

"Nampak benar kerajaan BN adalah 'no concern government' yang tidak mempedulikan kepentingan rakyat," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Bagi Salahuddin, penyelenggaraan barang buruk itu meningkatkan lagi kos dan kemungkinan yang paling besar ialah kenauikan tarif elektrik.

"Kita tidak mahu tarif elektrik dinaikkan apabila TNB dipaksa membeli bekalan mahal dari penjana-penjana buruk itu," katanya.

Beliau yakin, selepas 15 tahun, penjana-penjana buruk itu tidak lagi ekonomik dan kerajaan sengaja menganiaya rakyat dengan membeli barangan buruk itu.

"Selepas 15 tahun, pemilik asal sudah membuat untung menggunung tinggi. Maklumlah, TNB dipaksa membeli dalam perjanjian yang berat sebelah.

"Sekarang, jual kepada 1MDB pula, untung lagi Yang pasti akan menanggung kerugian ialah rakyat yang menjadi pengguna dan penanggung beban apabila wang mereka dibelanjakan untuk perkara tersebut," katanya.

Salahuddin juga menjangkakan, 1MDB mungkin terpaksa menggantikan dengan yang baru selepas mengambil alih.

"Akhirnya, 1MDB hanya membeli status penyenaraian semata-mata dengan harga berbilion ringgit wang rakyat," katanya.

Beliau juga hairan mengapa 1MDB tidak memohon lesen IPP baru,.

"Kalau 1MDB mohon lesen IPP baru, 100 peratus milik kerajaan. Beli penjanakuasa baru dengan teknologi terkini dan lepas itu senaraikanlah," katanya.

Salahuddin juga menyifatkan kroni-kroni Umno BN yang memiliki IPP sebagai beban kepada rakyat.

"Ini semua antara beban kepada rakyat seperti projek kereta nasional yang merupakan industri yang menyusahkan rakyat," katanya.

AES: 2 hari kerajaan pungut RM885,600?

Harakahdaily, 28 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan minggu lepas adalah satu cara kerajaan hendak mencekik rakyat secara tidak langsung.

“Cuba bayangkan dalam masa dua hari, sebanyak 2,952 keping imej pesalah lalu lintas telah dirakamkan di 14 ‘lokasi maut’.

“Jika semua imej ini didapati bersalah kerajaan telah memungut wang secara mudah RM885,600, jika diandai setiap kesalahan sebanyak RM300,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Katanya, jika hampir RM1 juta dipungut dalam masa dua hari, ertinya kerajaan dapat memungut hampir RM15 juta sebulan.

Ini, ujarnya baru 14 tempat, kalau dipasang 817 lokasi maut berapa banyak kerajaan dapat wang dengan mudah tanpa perlu bersusah payah.

“Apakah tujuan AES dipasang? Untuk keselamatan atau pendapatan?

“Di negara lain kalau dipasang alat itu, diberitahu kamera beroperasi. Kawasan ini pula memang kawasan maut.

“Betulkah AES ini di pasang di kawasan maut?” tanya beliau.

Justeru, ujarnya tidak masuk akal AES dipasang di kawasan 60 kilometer sejam di jalan yang lurus, bukan kawasan merbahaya.

Sehubungan itu, beliau bertanya adakah menteri, pegawai JPJ, polis yang naik kereta 60 km sejam di jalan lurus.

Kalau begitu, katanya haramkan sahaja kenderaan berkuasa besar, biar kereta Kancil  berkuasa 650 sahaja.

“Pelik undang-undang negara ini, kereta berkuasa besar dibenarkan  apabila naik lebih 60 km akan disaman. Seolah-olah dadah dibenarkan, kemudian ditangkap kepada siapa yang menghisapnya,” katanya.

Menurutnya, rakyat boleh menerima jika dipasang di kawasan 110 kilimeter, di lampu isyarat, selekoh merbahaya.

Katanya, kemalangan di negara ini berlaku berpunca daripada kenderaan besar yang tidak beretika.

“Kita boleh lihat bagaimana bas dan lori yang hendak memotong tanpa mengambil kisah kenderaan yang lain.

“Apakah tindakan kerajaan bertindak terhadap kenderaan bas ekspress, terutama waktu malam yang memandu amat menakutkan,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak kerajaan melalui JPJ dan polis akan memantau setelah berlaku kemalangan ngeri yang membabitklan kenderaan awam.

“Selepas isu ini sejuk, tidak ada lagi penguatkuasa, sehinggalah kemalangan ngeri lain pula berlaku.

“Pakatan Rakyat sudah memberi komitmen jika diberi mandat selepas PRU13 kita akan kaji cara yang dianggap menindas rakyat,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: