Kecewa tweet Ngeh, Pemuda Umno desak Pas keluar Pakatan
21 September 2012
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Pas gagal mendapat sokongan daripada sekutunya walaupun hanya dalam perkara asas iaitu agama.
"Saya amat amat kesal. Di mana pada satu keadaan agama kita dikecam, Nabi Muhammad dihina tetapi mereka (Pas) tidak mendapat sokongan daripada parti yang katanya rakan seperjuangan.
"Apa lagi nak tunggu? Bagi saya, itu adalah isyarat yang cukup jelas bahawa mereka (Pas) perlu tinggalkan parti pembangkang," tegas Khairy yang ditemui pemberita selepas selesai mengetuai perhimpunan aman yang mengecam filem dan karikatur yang menghina Islam di Kampung Baru, petang ini.
Menurutnya, jika perkara asas seperti agama ini parti DAP tidak menunjukkan rasa saling menghormati,sudah tiba masa bagi Pas untuk keluar dari PR.
"Ini perkara asas, bukan soal hudud atau soal yang sukar. Jadi, kalau DAP tidak dapat memahami atau menghormati tujuan kita berhimpun, saya rasa inilah masanya Pas keluar dari PR," katanya.
Tambahnya, "kita nak berhimpun bukan untuk ganggu orang, juga bukan untuk bertindak ganas."
"Ia untuk nyatakan bantahan terhadap penghinaan agama kita. Tetapi nampaknya DAP tak faham," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menggemparkan negara dengan kenyataan yang dikeluarkan di laman Twitter miliknya yang dikatakan tidak menghormati agama Islam.
Paparan yang dibuat pada 17 September jam 1.43 tengah hari itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang terutama Pas yang menyifatkan Koo Ham tidak sensitif terhadap perasaan orang Islam.
Di Ipoh sendiri, sehingga jam 3 petang tadi, empat laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 18 september lalu.
Semalam, Koo Ham meminta maaf kepada umat Islam berhubung kenyataannya itu.
Himpunan Aman Umno mahu DAP pecat Ngeh
21 September 2012
Koo Kam kini merupakan Pengerusi DAP Perak. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri Setiawan.
Pengerusi Kelab 1Malaysia, Datuk Azeez Rahman mengutuk keras tindakan Khoo Ham, yang didakwa menghina perhimpunan diadakan oleh umat Islam.
Menurutnya, kenyataan Koo Ham awal minggu ini menerusi Twitter perlu dikenakan tindakan tegas dan dikeluarkan dari DAP.
"Kita kecam tindakan Koo Ham itu yang menghina tindakan umat Islam untuk mengadakan bantahan berhubung isu penghinaan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
"Kita bagi tempoh tujuh hari untuk DAP lucutkan jawatan Koo Ham itu, kalau tak dilucutkan kita anggap DAP sokong perbuatan hina agama lain," katanya ketika berucap pada demonstrasi bantahan filem Innocence of Muslims di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini selepas selesai solat Jumaat.
Sebelum ini, Twitter yang dikeluarkan oleh Koo Ham menjadi perhatian ramai pihak dan Khairy telah menyoalkan pendirian Pemuda Pas berhubung rancangan bantahan yang akan dibuat oleh umat Islam pada hari ini.
DAP dijangka membincangkan isu itu pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusatnya minggu hadapan.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin berkata, Koo Ham perlu diambil tindakan tegas oleh DAP.
Katanya, musuh orang Islam bukan rakyat Amerika Syarikat (AS) tetapi orang yang menghina agama lain dan tidak menghormati agama seperti yang dilakukan pemimpin DAP itu.
"Kalau Koo Ham kata jangan buang masa, tapi lebih baik kita buang mereka.
"Kita berhimpun bukan untuk bermusuh dengan orang bukan Islam atau rakyat AS tapi untuk menentang kebiadapan orang yang menghina agama termasuk Koo Ham dan DAP perlu ambil tindakan terhadapnya," katanya.
Sehubungan itu, Khairy juga menyatakan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan politik yang bersama bersolidariti pada hari ini.
Seramai 3,000 orang hadir termasuk 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam himpunan aman bantahan filem kontroversi dan karikatur yang dikeluarkan oleh Perancis beberapa hari lalu.
Himpunan berakhir kira-kira pukul 2.30 petang tanpa sebarang provokasi.
Rakyat bersatu protes filem, kartun hina Nabi
21 September 2012
Pergerakan Pemuda Umno, pergerakan Pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini sejurus selepas solat Jumaat, bagi mengecam penerbitan filem itu.
Ia dimulakan dengan ucapan oleh wakil NGO, yang kesemuanya mengutuk keras penyiaran filem antiIslam arahan pengarah dari California Sam Bacile dan karikatur yang diterbitkan di dalam majalah Perancis, Charlie Hebdo.
Kira-kira pada waktu yang sama, Dewan Pemuda Pas pula berhimpun bagi mengecam penerbitan filem antiIslam itu di Masjid Tabung Haji sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat, juga berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa
sebarang insiden yang tidak diingini.
Selain Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, antara pemimpin NGO lain yang mengambil bahagian dalam perhimpunan hampir sejam di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru itu ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
(Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip, Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
"Jika mereka tidak berbuat demikian, kita harus anggap itu sebagai penghinaan langsung terhadap Islam," katanya.
Perhimpunan yang turut disertai Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan beberapa wakil parti-parti komponen Barisan Nasional itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Dr Hasan serta selawat beramai-ramai.
Sementara itu, ribuan lagi berkumpul di hadapan Masjid Tabung Haji dan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat tidak jauh dari situ selepas solat Jumaat diketuai oleh Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub dengan diikuti oleh beberapa pemimpin pakatan pembangkang serta wakil-wakil NGO.
Turut hadir Naib PKR (PKR) merangkap Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ketua
Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda Pas Nasrudin Hassan dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Namun, Salahuddin ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kecewa kerana hasrat untuk menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Duta Besar Amerika ke Malaysia, Paul W. Jones tidak dapat dilakukan kerana pihak kedutaan hanya
menghantar ketua keselamatannya untuk menerima memorandum berkenaan.
"Walaupun kita tahu Amerika kononnya sebuah negara demokrasi yang bebas membenarkan kita bersuara, tetapi pada hari ini kita hanya diterima oleh ketua keselamatannya di pintu masuk dan tidak berjaya ke dalam bangunan kedutaan," katanya.
"Walau bagaimanapun, kami mengharapkan memorandum yang dihantar itu akan sampai kepada pihak berkenaan dan desakan kami supaya mengambil tindakan tegas kepada pengarah dan penerbit filem itu dapat diambil," katanya.
Salahuddin berharap perbuatan mempersenda umat Islam merupakan kali yang terakhir bagi umat Islam di seluruh dunia.
"Jangan persenda umat Islam, jangan persenda Nabi Muhammad SAW kerana perbuatan itu akan mewujudkan satu provokasi yang akan mencetuskan kekeruhan dan kacau-bilau di seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah mengharapkan melalui protes besar-besaran ini, ia dapat mempertahan hak umat Islam untuk terus dihormati, sama juga seperti mana agama lain yang mahukan penghormatan sebaik mungkin.
"Hari ini adalah bukti bahawa kita datang dengan baik untuk menyatakan kecaman kita terhadap apa yang dilakukan oleh penerbit filem tersebut. Kerajaan Amerika Syarikat perlu jelas untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana kita tidak mahu isu ini melarat dan membawa kepada kancah seterusnya," katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh ketika ditemui selepas itu berkata perhimpunan berjalan dalam keadaan terkawal dengan peserta mengikut arahan yang dikeluarkan polis.
"Mereka mengikut arahan yang diberikan seperti hanya menggunakan satu jalan sahaja (jalan menghala ke Cheras), malah peserta juga bersurai dengan aman selepas memberikan beberapa ucapan kira-kira pukul 3.20 petang," katanya kepada pemberita di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
Berhubung kesesakan yang berlaku di Jalan Tun Razak, beliau berkata keadaan tersebut berlaku disebabkan penutupan jalan berkenaan bermula 1.45 tengah hari, namun penempatan anggota polis yang mencukupi memastikan trafik terkawal sepanjang perhimpunan.
Ditanya mengenai terdapat segelintir peserta yang membakar bendera dipercayai bendera Amerika Syarikat, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu. - Bernama
Jawatankuasa OIC: Filem dijadikan senjata anti Islam
21 September 2012
“Sebenarnya, ia merupakan sebahagian daripada kempen anti umat Islam secara berterusan, yang bukan saja bertujuan melukakan hati orang Islam di seluruh dunia, tetapi juga memesongkan imej sebenar agama Islam hingga mengakibatkan lahirnya perasaan jijik, negatif, tidak bertolak ansur, penuh kebencian dan perlakuan ganas secara meluas.
“Memandangkan agama adalah antara unsur penting dalam konsep kehidupan dan identiti seseorang manusia, maka perbuatan menghina agama yang mereka anuti samalah seperti menyerang diri mereka," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.
IPHRC berkata sekiranya kempen ini dibiar berterusan, ia akan meningkatkan sikap tidak menghormati umat Islam dan mendorong pelaksanaan undang-udang serta langkah pentadbiran bersifat menindas terhadap hak mereka untuk mengamalkan ajaran agama mereka di sebahagian besar dunia.
Sambil mengutuk sekeras-kerasnya penyiaran filem 'bersifat permusuhan' itu, suruhanjaya berkenaan menegaskan bahawa tindakan itu merupakan perbuatan menyalahguna hak melahirkan pendapat dan provokasi serta penindasan seperti ini tidak boleh dihalalkan, tidak kiralah sama ada ia dilakukan terhadap Islam atau umatnya atau mana-mana agama lain dan pengikutnya.
“Keadaan yang lahir daripada tindakan jahat ini menuntut semua negara menunaikan tanggungjawab masing-masing mengikut Undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang menghalang sebarang perbuatan meniup api kebencian terhadap negara, bangsa atau agama, termasuk menghasut agar dilakukan penindasan, tindakan permusuhan atau keganasan," kata kenyataan itu.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa perbuatan mencetuskan perasaan takut melalui perbuatan melampau, tindakan berasaskan agama atau sebagainya, boleh mewujudkan stigma terhadap sesuatu kumpulan dan manusia yang menganuti sesuatu agama serta merupakan suatu perbuatan jelas ke arah menimbulkan kebencian.
Katanya perbuatan yang amat dikesali itu mengingatkan tentang pentingnya usaha antarabangsa disegerakan ke arah memupuk persefahaman bersama di seluruh dunia bagi menyekat cubaan puak pelampau 'menyemai bibit kebencian dan perasaan curiga.'
Suruhanjaya itu berkata perkembangan terbaharu itu menunjukkan perlunya usaha baharu dilakukan untuk mewujudkan tatalaku bagi media biasa dan media sosial untuk menyekat penyebaran bahan bersifat menghasut, yang melanggar Perjanjian Antarabangsa Mengenai Penghapusan Penindasan Kaum.
Suruhanjaya itu berkata ia juga menolak semua bentuk reaksi ganas, terutama pembunuhan orang yang tidak bersalah kerana setiap manusia berhak untuk hidup dan tiada siapa patut dinafikan haknya.
IPHRC seterusnya berkata mengikut ajaran Islam, "membunuh seorang manusia samalah dengan membunuh seluruh manusia dan Islam memandang mulia nyawa manusia."
Filem yang diterbitkan di Amerika itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia menghina Nabi Muhammad SAW dan menggambarkan orang Islam sebagai golongan tidak bermoral dan ganas.
Duta Amerika ke Libya Chris Stevens dan tiga pegawai negara itu terbunuh dalam bantahan terhadap filem berkenaan di Benghazi minggu lepas.
Menurut laporan, hingga kini, kira-kira 17 nyawa melayang akibat keganasan yang tercetus dalam tunjuk perasaan yang diadakan bagi membantah penyiaran filem itu.- Bernama
Pas kesal layanan buruk Kedutaan AS
21 September 2012
Menurut Nasrudin, tiada seorangpun wakil kedutaan yang mahu menerima memorandum, yang diserahkan oleh wakil dari Pas, PKR dan wakil badan bukan kerajaan.
"Kami kesal kerana kedutaan hanya menghantar ketua pengawal keselamatan untuk menerima memorandum.
"Kita berharap memorandum itu akan sampai kepada wakil kedutaan," kata Nasrudin ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum kira-kira jam 2.45 petang.
Katanya, kerajaan AS yang mengamalkan demokrasi sepatutnya mendengar luahan dan perasaan rakyat Malaysia hari ini.
Nasrudin berkata, umat Islam negara ini kecewa dengan tindakan yang jelas membuktikan sikap kerajaan AS yang menghina Nabi Muhammad SAW dalam filem anti-Islam Innocence of Muslims.
"Ini merupakan satu provokasi yang melampau mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia," katanya.
Katanya, umat Islam tidak pernah menghina dan memperlekehkan agama lain yang sedia maklum jika dilakukan akan mengundang huru-hara di dalam negara.
"Kami umat Islam sendiri tidak pernah menghina agama lain," katanya lagi.
Beliau berkata, tindakan yang tidak menghormati isu sensitiviti agama lain boleh mengundang kekacauan di seluruh negara.
Antara lima wakil lain yang bersama-sama dalam penyerahan memorandum ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua dan Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (Teras) Azmi Abdul Hamid.
Peserta mula bersurai pada pukul 3.20 petang.
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
21 September 2012
Himpunan yang berlangsung kira-kira sejam, di Masjid Kampung Baru dan pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Demonstrasi protes juga diadakan di beberapa bandar utama di seluruh negara.
Di KAMPUNG BARU, seramai 3,000 orang peserta himpunan aman termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam himpunan aman anjuran Pemuda Umno di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.
Penganjurnya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua umat Islam dan bukan Islam yang turut serta dalam bantahan aman untuk mengecam tindakan pihak yang menghina agama sekaligus melanggar prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan.
Menurutnya, perhimpunan tesebut bukan untuk mengecam rakyat Amerika Syarikat (AS) tetapi masyarakat yang tidak menghormati agama lain termasuk Islam, Hindu, Buddha dan juga Kristian.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir untuk bersoladariti mengecam perbuatan biadap ini tanpa kira agama dan fahaman politik termasuk Pemuda Pas yang turut membuat himpunan hari ini.
"Kita berhimpun hari ini bukan nak bermusuh dengan orang bukan Islam dan rakyat AS tapi untuk mengutuk orang yang menghina agama sekaligus melanggar hak kebebasan bersuara.
Sementara itu, Lokman dan beberapa NGO lain termasuk Kelab Putera 1Malaysia,Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Mursyidul Am Tibai Zahid Md Arip, dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali juga dalam ucapannya mengecam tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menghina usaha umat Islam bagi membantah filem kontroversi tersebut.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata penyatuan umat Islam dan masyarakat Malaysia hari ini membentuk perpaduan ummah dan tidak takut untuk membantah serta mengecam tindakan jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab mempersendakan agama.
"Kita hari ini berkumpul bukan dalam kumpulan kecil tapi kumpulan-kumpulan yang membentuk ummah bagi menentang musuh Islam dan orang yang menghina agama.
"Kita tak takut untuk bertindak dengan penghinaan itu," katanya yang juga Presiden Jati.
Perhimpunan aman itu turut dihadiri 13 NGO lain dan berkahir pada pukul 2.30 petang tanpa sebarang provokasi.
Pada pukul 1 tengh hari, ketibaan petubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di pekarangan masjid bagi menurunkan tandatangan pada kain rentang yang bertulis "Kami membantah filem Innocence of Muslims" yang digantung pada pagar masjid.
Pada pukul 1.15 tengah hari, peserta mula mengambil tempat untuk mengerjakan solat Jumaat yang ternyata jemaah lebih ramai berbanding hari-hari biasa.
Selepas itu pada pukul 1.40 petang wakil bagi setiap NGO mula mengambil tempat di atas kenderaan bergerak yang digunakan sebagai pentas.
Ucapan permulaan dimulai oleh Exco Pemuda Umno, Lokman Adam yang juga jurucakap pada himpunan tersebut.
Beliau banyak menyentuh isu tujuan perhimpunan diadakanan.
Katanya,"jangan jadikan rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh, kita perlu hormati setiap agama tak kira Islam, Buddha, Kristian atau Hindu.
"Hari ini kita kecam Google dan YouTube yang keluarkan video klip filem tersebut,".
Sementara itu, pada pukul 1.50 petang Mursyidul Am Tibai, Zahid Md Arip turut menyatakan kecaman terhadap penghinaan yang dilakukan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang dikatakan menghina usaha umat Islam untuk mengadakan bantahan terhadap penghinaan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Dalam pada masa sama, poster yang bertulis "The United States Government has the responsibility to punish the markers of Innocence of Muslims" diedarkan kepada peserta himpunan aman.
Selepas itu, pada pukul 2 petang, Ibrahim menyatakan kebiadapan yang dilakukan oleh pemimpin DAP Perak tidak boleh dimaafkan.
Katanya, di Malaysia juga terdapat ejen-ejen yang mahu merosakkan agama Islam dan perkara itu perlu dibanteras segera.
Di himpunan bantahan aman, Khairy mengambil tempat bagi bersama menyatakan pendiriannya.
Pada pukul 2.40 petang peserta yang bersama NGO seramai 3000 orang bergerak meninggalkan perkarangan masjid sambil melaungkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dengan keadaan aman tanpa sebarang provokasi berlaku.
Kawasan mulai lengang dan keadaan lalu lintas di kawasan masjid mula bergerak seperti biasa pada pukul 3 petang.
Di JALAN TUN RAZAK, Perhimpunan Ekspresi Hijau Kasih Nabi, yang dianggarkan disertai seramai 5,000 peserta berlangsung dengan aman bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap filem yang telah dihasilkan oleh penerbit filem kelahiran Mesir-Amerika Syarikat, Nakoula Basseley Nakoula.
Peserta yang telah berhimpun seawal jam 12 tengah hari di pekarangan masjid Tabung Haji itu telah mula berarak sehingga Kedutaan AS.
Bagaimanapun, kawalan ketat polis sejak dari awal lagi telah menyekat penyokong daripada menghampiri lebih dekat kedutaan AS.
Sebaik sahaja peserta perhimpunan yang telah berarak kira-kira 1 kilometer dari masjid, mereka telah melaungkan takbir serta selawat ke atas Nabi bagi menunjukkan kemarahan.
Sambil itu, peserta juga telah membawa sepanduk dan kain rentang bagi menentang dan mengutuk tindakan penerbit filem Innocence of Muslim dan karikatur dalam majalah satira Perancis Charlie Hebdo yang menghina Nabi dengan lukisan Nabi Muhammad serta dua karikatur yang menunjukkan baginda berbogel.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, pihaknya menganggarkan hanya kira-kira 3,000 peserta yang hadir pada himpunan tersebut.
Beliau yang mengetuai operasi itu memberitahu bahawa pihaknya berpuas hati dengan himpunan dianjurkan Pemuda Pas hari ini kerana peserta dikawal dengan baik oleh parti itu dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh polis.
"Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.
Malah beliau menyangkal dakwaan bahawa keadaan trafik di Jalan Tun Razak sesak akibat penutupan beberapa jalan susulan daripada demonstrasi terbabit.
"'Kita dah melencongkan laluan kenderaan kepada beberapa jalan, malah keadaan trafik masih terkawal," ujarnya lagi.
Di KANGAR, Pas Perlis menuntut Kerajaan Negeri mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk mengeluarkan resolusi mengutuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui filem Innocence of Muslims.
Timbalan Persuruhjayanya, Mohd Anuar Tahir turut memohon Kerajaan Malaysia menunjukkan prihatin dengan memanggil sidang tergempar di Parlimen untuk menunjukkan bantahan terhadap isu berkenaan.
Menurutnya, penghinaan itu tidak sepatutnya berlaku bukan sahaja terhadap Islam malah agama lain kerana ia adalah isu sensitif bagi semua penganut agama di seluruh dunia.
Turut hadir Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Idris Yaacob.
Di JOHOR BAHRU, lebih 500 umat Islam berhimpun secara aman bagi membantah filem ‘Innocence of Muslims’ di hadapan Masjid Jamek Taman Perling, hari ini.
Perhimpunan selepas solat Jumaat itu juga membantah tindakan sebuah majalah Perancis, ‘Charlie Hebdo’ yang menerbitkan kartun memaparkan Nabi Muhammad SAW.
Turut serta dalam perhimpunan itu adalah barisan kepimpinan dan ahli Pas negeri ini, Dewan Himpunan Penyokong Pas Johor, PKR, DAP Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera.
Timbalan Pengerusi DAP negeri, Norman Fernandez berkata, penyertaannya bersama ahli DAP lain yang bukan beragama Islam jelas membuktikan parti itu bukan anti-Islam seperti didakwa sesetengah pihak.
“Hari ini, kita bersama orang Muslim membantah dan mengecam penghinaan ke atas Islam dan kita perlu bersama tanpa mengira perbezaan agama mahupun politik.
“Saya seorang Kristian dan saya malu dengan tindakan pengarah filem, Sam Bacile ini. Kebebasan menganut agama tidak seharusnya disalah guna untuk menghina agama lain,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan itu.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya berbangga dengan penyertaan umat Islam dan bukan Islam yang turut sama mengecam filem terbabit.
“Kita semua tidak dapat terima apa yang sudah dilakukan oleh pengarah filem ini. Jadi hari ini saya berbangga dengan kehadiran umat Islam berhimpun menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap apa yang sedang berlaku.
“Umat Islam tidak pernah menghina agama lain. Selaku umat Nabi Muhammad SAW, kita sendiri tidak pernah mencaci Nabi-Nabi lain. Saya mengucapkan syabas kerana kehadiran umat Islam ke perhimpunan ini,” katanya.
Sementara itu, bagi wakil Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera, Mohd Nazari Mokhtar berkata, penyertaannya dalam bantahan itu bertujuan menyuarakan kekesalan mereka apabila masyarakat Barat tidak prihatin terhadap sensitiviti umat Islam.
“Kami terpanggil untuk bersama dalam perhimpunan ini kerana mereka tidak menghormati agama lain. Kita mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat agar perkara ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.
Perhimpunan yang bermula seawal jam 2 petang itu berakhir sejam kemudian dengan tindakan membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel simbolik terhadap bantahan dibuat.
Di PULAU PINANG, ratusan umat Islam berkumpul di tiga masjid bagi memprotes filem dan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.
Kira-kira 100 umat Islam dari pelbagai badan bukan kerajaan dan parti politik termasuk Pas dan Umno berhimpun di perkarangan Masjid Sheikh Eussof,Jalan Datuk Keramat bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kebiadapan Koo Ham, penerbit filem dan sebuah majalah menghina Nabi Muhammad SAW.
Di Masjid Kapitan Keling, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Liga Muslim Pulau Pinang terus menggesa Kerajaan AS dan Perancis mengambil tindakan terhadap kumpulan yang terlibat menghina agama Islam.
Difahamkan, satu lagi perhimpunan aman juga dilakukan di Masjid Jamek Jelutong yang turut disertai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Di IPOH, lebih 300 warga bandar raya mengaminkan bacaan doa setelah setelah selesai menunaikan solat hajat di dewan solat utama, Masjid Negeri Sultan Idris Shah II di Ipoh.
Solat hajat yang dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat itu difahamkan bertujuan untuk memohon perlindungan serta bantuan daripada ALLAH SWT untuk terus memelihara kesucian Islam daripada terus dihina serta diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.
Selain itu solat hajat berkenaan juga dibuat demi untuk memohon keselamatan serta kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia seperti di Kashmir, Palestin, Myanmar, Selatan Thailand, Afghanistan dan lain-lain.
Di KOTA BHARU, seramai 2,000 hadir pada demonstrasi membantah tindakan menghina Nabi Muhammmad SAW diadakan di Dataran Ilmu pada jam 10.30 pagi tadi anjuran Pemuda Pas Negeri manakala Pas Kok Lanas turut menganjurkannya di Masjid Kok Lanas jam 2 petang tadi.
Di MELAKA, gambar dan patung Koo Ham turut dibakar di pekarangan Masjid Al Azim selepas solat Jumaat ketika kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan membantah filem Innocence Of Muslims.
Perhimpunan disertai pemimpin Umno negeri, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Perkasa, Persatuan Sidang-Sidang serta NGO dari negeri ini.
Di NEGERI SEMBILAN, ahli Masjid Kariah Seberang Batu Hampar, Rembau turut tidak ketinggalan mengadakan himpunan aman dan bantahan filem Innocence of Muslims, selepas solat Jumaat. Malam tadi, ahli kariah turut mengadakan bacaan Yasin bagi memohon kesejahteraan umat Islam seluruh dunia berikutan kewujudan filem propaganda menghina Nabi Muhammad SAW.
DAP hanya berhajat besar
19 September 2012
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, hajat besar DAP itu hanya satu mimpi dan propaganda pembangkang untuk meraih keyakinan pengundi.
“Rakyat (pengundi) perlu bersama dan berpihak pada pemenang dan bukan orang yang kalah.
“Kita yakin dan tidak bermasalah untuk memenangi semua kerusi DUN dan 14 kerusi parlimen pada PRU-13 ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (Kad S1M) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, semalam.
Adnan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Negeri, Leong Ngah Ngah sebelum ini yang pernah menyuarakan keyakinan untuk bertanding sekali gus memenangi tujuh kerusi DUN.
Sementara itu ketika ditanya mengenai pertemuan beliau bersama pemimpin Umno dan BN negeri, Adnan menegaskan ia sekadar perjumpaan biasa dan membincangkan situasi politik terkini berikutan lanjutan dari perbincangannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
“Bukan ada-ada pun, sekadar bertemu dan berbincang, setakat ini senarai terakhir calon untuk PRU-13 masih belum ditetapkan.
“Namun apa-apa pun, kita yakin akan menyapu bersih untuk mendapatkan 120 kerusi parlimen pada PRU nanti sekali gus mendapat 2/3 majoriti,” katanya.
MB Perak: Ngeh terus kritik Umno, BN walaupun minta maaf
21 September 2012
Zambry berkata, Ngeh menerusi laman twitternya semalam juga telah mengkritik beliau dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan menuduh mereka memanipulasikan kenyataanya sebelum ini.
"Saya lihat kenyataannya menerusi laman twitter terbarunya itu terlalu peribadi dan tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pencegahan Jenayah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ngeh dalam laman twitter terbarunya semalam, yang berbunyi "No hope for Umno. Their best brains Zambry & Khairy so low std (standard).
People who read my tweet will have only disdain for them.
(Tiada harapan untuk Umno. Cerdik pandai mereka Zambry & Khairy begitu rendah standard. Mereka yang membaca laman twitter saya hanya mempunyai perasaan hina terhadap mereka)
Zambry menganggap Ngeh terlalu marah terhadapnya sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Apa yang saya katakan itu bukan soal manipulasi tetapi adalah bersuara untuk mempertahankan agama. Dia sendiri yang telah bawa martabatnya terlalu rendah dengan mengeluarkan kenyataan itu," katanya.
Beliau berkata Ngeh perlu ingat bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai isu filem 'Innocence of Muslims' menerusi laman twitternya boleh dilihat oleh semua orang.
Dua hari lepas, Ngeh menerusi laman twitternya didakwa mengeluarkan soalan bantahan itu sebagai provokasi terhadap reaksi kepada hasrat Khairy bergabung dengan Dewan Pemuda PAS mengadakan protes terhadap filem arahan Sam Bacile itu yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW.- Bernama
Awek hamil ditinggal kekasih, diusir keluarga
21 September 2012
Lebih mengecewakan, kekasihnya berusia 17 tahun yang sebelum ini berjanji akan menikahinya bersikap lepas tangan dan menuduh anak dalam kandungannya itu milik orang lain.
Dia, yang hanya ingin dikenali sebagai Mimi berkata, kejadian berlaku di rumah teman lelakinya apabila kedua-dua mereka bertindak ponteng sekolah.
Katanya, memandangkan tidak ada wang dan tempat untuk pergi, teman lelakinya mempelawa balik ke rumahnya untuk berehat sehingga tamat waktu sekolah.
“Pada mulanya saya memang takut untuk melakukan hubungan seks dengan kekasih saya itu. Saya bimbang sekiranya mengandung, namun termakan dengan pujuk rayunya, saya bersetuju untuk melakukan perbuatan sumbang itu bersamanya.
“Sebagai pelajar sekolah, saya masih tidak tahu apa-apa tentang hamil, walaupun saya sudah tidak datang haid selama empat bulan. Sehinggalah pada bulan kelima, saya rasa seperti ada sesuatu bergerak dalam perut.
“Saya kemudiannya pergi ke klinik untuk menjalani ujian air kencing dan doktor mengesahkan saya hamil. Saya cuba hubungi kekasih saya itu tetapi dia sudah menukar nombor telefon,” katanya.
Memandangkan keadaan perutnya yang semakin membesar, Mimi kemudiannya memaklumkan kejadian yang berlaku kepada keluarganya.
Malangnya, keluarga mengusirnya keluar dari rumah kerana rasa terhina dengan perlakuannya. Mimi kemudiannya pergi berjumpa seorang rakan dan menceritakan masalah dialaminya. Kerana simpati, rakannya itu membenarkan Mimi tinggal di rumah sewanya sehinggalah dia bersalin.
“Ketika dalam pantang, saya didatangi sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Mereka meminta kebenaran untuk menjaga anak saya. Saya tidak ada pilihan lain selain menyerahkan bayi perempuan saya kepada mereka.
“Saya tidak berniat untuk menjualnya, tetapi kerana ketiadaan wang, saya terpaksa meminta RM1,500 daripada pasangan itu,” katanya.
Katanya, kerana cinta dia hilang keluarga, anak dan sekolah dan berharap golongan remaja lain menjadikan apa yang berlaku kepadanya sebagai iktibar.
“Kerana terlalu sayang seorang lelaki yang masih mentah dan terlalu taksub pada cinta, akhirnya saya tinggal berseorangan. Ingatlah usia muda hanya datang sekali dan jangan kita sia-siakannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan