Selasa, 11 September 2012

ALLAH TAHU SAPE KAKI BAHAM DAN JANJI KOSONG...CAKAP TAK SERUPA BIKIN...DAN YANG ' politik biadab, politik bebas, politik fitnah, politik menghukum, politik perpecahan dan politik ganas, '

Teguran Sultan Johor, Zahid perlu bertanggungjawab

Harakahdaily, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: PAS memandang serius teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka dengan pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, teguran itu perlu diambil tanggungjawab oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan negara ini.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab, jangan pula pegawai yang dimangsakan pula di dalam kes ini.

"Teguran ini datang daripada seorang Sultan. Selama ini pihak pembangkang sudah kerap kali membuat teguran. Semua kritikan itu dibangkul sampahkan sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Ismail Ibrahim yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Baginda turut mengingatkan pihak tertentu agar tidak membekalkan peralatan kurang bermutu tetapi meletakkan harga berlipat kali ganda.

Sultan Ibrahim Ismail juga bertitah, lebih baik jika baginda sendiri mengambil alih kontrak berkenaan sekiranya perkara itu berterusan.

Difahamkan perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.

Mengulas lanjut Ustaz Idris berkata, tabiat buruk kerajaan BN bukan perkara baru, ia sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran.

Menurutnya, jika kita mengimbau kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir 1 bilion) walaupun tanpa baucer.

"Ini satu misteri, sedangkan pegawai kerajaan yang mahu buat tuntutan perjalanan yang berharga RM100.00 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi.

Malah pelik tapi benar, negara pernah hilang enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Jika enjin sebesar itu boleh hilang dijual ke luar negara bukan dijual di kedai besi buruk Sentul, maka sudah tentu wang negara yang lebih kecil senang hilang," tegasnya.

Gerak Khas: Ambil serius teguran Sultan Johor

Harakahdaily , 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan memandang serius teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, teguran itu perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan wajar disiasat adakah benar wujudnya amalan rasuah dan ketirisan dalam pembekalan kelengkapan tentera kepada pasukan elit itu.

"Sepatutnya kerajaan merasa malu dengan keluhan hati Sultan Johor sehingga baginda terpaka membangkitkan perkara ini di ruang media secara terbuka. Sebagai ketua bagi pasukan tersebut, baginda wajar membangkitkan rasa tidak puas hati mewakili seluruh ahli pasukan baginda sendiri.

"Apa yang dizahirkan oleh Sultan Johor adalah suatu kebimbangan terhadap amalan rasuah dan ketirisan yang mungkin berlaku dan menyerap masuk dalam dalam projek membekalkan kelengkapan peralatan tentera sehingga anggota pasukan elit itu menjadi mangsanya," katanya.

Menurut beliau lagi, DPPM merasa kesal kerana kerajaan seakan-akan memandang lekeh pasukan elit tentera negara seolah-olah mereka tidak mempunyai nilai dalam angkatan tentera.

Walhal ujarnya, mereka adalah pasukan penting yang bertanggungjawab dalam misi-misi khas yang ditugaskan dan seharusnya kerajaan memenuhi keperluan pasukan ini bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik.

DPPM tambahnya lagi, bersetuju dengan teguran baginda supaya Kementerian Pertahanan harus memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

Kerajaan juga perlu beri perhatian terhadap teguran baginda supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden.

Justeru, DPPM tegasnya mendesak kerajaan supaya mengkaji balik pemberian kontrak pembekalan kelengkapan tentera.

Amalan pemberian kontrak kepada kroni dan suku sakat perlu dihapuskan kerana ia boleh menjerumuskan negara ke kancah rasuah dan nepotisme, katnya lagi.

"Kontrak pembekalan kelengkapan tentera pula perlu dibuat secara tender terbuka dan menyerahkannya kepada mereka yang benar-benar berhak dan layak," katanya.

Selain itu, hanya kelengkapan yang memenuhi kualiti yang ditetapkan sahaja boleh diluluskan dengan melihat kepada teknologi semasa bagi menunjukkan kekuatan keselamatan negara serta menakutkan kepada musuh-musuh negara.

"Jangan nanti negara lain mentertawakan tahap keselamatan negara kerana masih menggunakan peralatan yang usang, lupus tarikh dan ketinggalan zaman bagi menghadapi pertempuran," ujarnya.


Teguran Sultan Johor dihargai



MODEL Rapid Intervention Vehicle yang terdapat di pasaran.



KUALA LUMPUR - Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) atau kenderaan intervensi pantas untuk kegunaan tentera yang diutarakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan baginda yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas.
"Kementerian Pertahanan mengambil maklum terhadap komen baginda dengan cara positif di mana saya sendiri akan lakukan penyiasatan terhadap perbezaan di antara harga RIV yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.
"Mungkin terdapat spesifikasi yang berbeda yang akan saya teliti," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai titah Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor Sabtu lepas.

Mukhriz sahkan negara hilang RM3.5 bilion setahun

Rafizi Ramli, 11 Sep 2012
Saya mengalu-alukan maklumbalas pertama Datuk Mukhriz Mahathir terhadap isu penurunan harga kereta memandangkan beliau adalah antara orang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara, atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Saya sertakan laporan BERNAMA bertarikh 7 September 2012 mengenai kenyataan yang dibuat beliau semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Jerlun:

Mukhriz: 'BN tidak berani buat janji kosong'

7 September 2012

JERLUN - Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat janji yang tidak mampu ditunaikan oleh parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata semua yang tertulis di dalam manifesto pilihan raya BN akan dianggap sebagai janji kepada rakyat dan semua itu perlu ditepati untuk memberi kesenangan kepada rakyat.


Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN tidak akan berani untuk membuat sebarang janji yang ia tahu tidak akan mampu dilaksanakan.


"Lainlah dengan pembangkang. Mereka kata manifesto yang dibuat itu bukannya janji sebaliknya hanya cadangan, sebab itu mereka tidak serius dalam menunaikan semua yang ditulis dalam manifesto pilihan raya yang lepas.


"Apabila mereka sendiri dah kata macam tu, apa kita nak harapkan lagi daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai di sini hari ini.


Beliau berkata janji menurunkan harga kereta yang dibuat oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang adalah bersifat populis.


Katanya strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.


"Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP (permit import) kereta menggunakan kaedah opsyen.


"Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut," katanya.


Mukhriz berkata pembangkang hanya pandai membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan tersebut termasuk dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua itu.


"Silap-silap kita (negara) akan menjadi muflis," katanya.



Kenyataan Datuk Mukhriz yang mengesahkan anggaran kementerian beliau bahawa permit import (AP) akan menarik bidaan setinggi RM60,000 setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka mempunyai kesan yang besar kepada kewangan negara.

Jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan hasil sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana kementerian yang turut diketuai Datuk Mukhriz kini hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.

Bagi setiap AP, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 dan jumlah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar akibat dasar tidak telus Umno/Barisan Nasional.

Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat KEADILAN dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat. Ia juga membuktikan kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, jika Umno/Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat.

Kenyataan Datuk Mukhriz juga menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh digunapakai untuk menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa dengan pandangan yang berpihak kepada tauke kaya dan pengedar kereta yang membuat untung berlebihan dari sistem AP sedia ada.

Rungutan beliau, kononnya harga AP yang tinggi jika dilelong secara terbuka akan menyebabkan harga kereta bertambah tinggi membayangkan beliau mahu mempertahankan kadar keuntungan berlipat kali ganda yang kini dinikmati pihak-pihak berkepentingan ini. Menurut perkiraan beliau, bila kadar keuntungan ini dipertahankan, sebarang peningkatan kos kepada pengedar kereta akibat harga AP yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh rakyat.

KEADILAN mengesyorkan supaya pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan. Apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini.

Demi menerangkan lagi mekanisme ini kepada Datuk Mukhriz, KEADILAN ingin menjemput Datuk Mukhriz untuk turut sama hadir ke Forum #turunhargakereta yang diadakan pada hari Khamis ini (13 September 2012) jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor yang bakal menemukan YB Tony Pua, YB Dr Dzulkifly Ahmad, Saudara Wan Saiful Wan Jan, Saudara Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jika beliau benar-benar berjiwa besar demi kepentingan rakyat, kami yakin Datuk Mukhriz akan sudi singgah bersama-sama dengan rakyat berbincang kaedah terbaik untuk menurunkan harga kereta, terutamanya apabila beliau sendiri sudah mengesahkan bahawa kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakannnya.

*Rafizi Ramli adalah Pengarah Strategi PKR

Rahsia Umno dalam tangan Dr Mahathir

Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 11 Sep 2012
Dr Mahathir kata kalau PR memerintah, dia orang akan perintah selamanya. Mengikut Mahathir dia tahu beberapa rahsia. Rahsia yang Dr Mahathir maksudkan itu mesti yang buruk dan yang tidak baik. Kerana apabila PR memerintah, orang akan tahu rahsia buruk UMNO - rasuah, rompakan, lanun, manipulasi jentera kerajaan, komisyen kepada menteri, KSU yang korup, pegawai kerajaan yang korup, rasuah dalam syarikat milik kerajaan, skandal pembinaan lebuh raya, pelabuhan, jambatan bengkok, skandal IPP. Semua rahsia ini menyebabkan rakyat tidak mahu lagi memilih UMNO.
UMNO akan jadi 4 huruf yang melambangkan segala yang mungkar kepada orang Melayu yang beragama Islam. Sebagai orang Islam, semua orang Melayu tahu bertaqwa bererti jangan buat mungkar dan menyeru kepada makruf. UMNO mewakili kuasa yang mungkar dan kerana itu, orang Melayu akan menolaknya. Prinsip ini amat mudah difahami.

PR akan berkuasa lama selagi ia menjalankan dasar dan pemerintahan yang makruf. Apa yang sukarnya mengenai rahsia ini? PR bukan kerana Anwar Ibrahim. PR adalah kerana mereka mewakili suara rakyat yang mahukan kerajaan yang lebih baik.

Apa yang UMNO dakwa, semua orang lain boleh buat. Perjuangkan orang Melayu? Semua orang Melayu dalam PAS, PKR, bahkan DAP pun boleh berjuang untuk orang Melayu. NGO dan pertubuhan2 bukan kerajaan pun boleh bersuara untuk orang Melayu. UMNO tidak memiliki monopoli berjuang untuk orang Melayu. Zaman UMNO memonopoli semua sudah berakhir. Berjuang untuk Islam? Dengan sumber yang ada, semua orang boleh buat. Memelihara institusi istana? Selagi orang Melayu hendakkan institusi itu dan ada perlindungan undang2, ia tetap kekal. Tidak ada masalah.

Pendeknya, apa yang UMNO kata mereka boleh buat, orang lain boleh buat dengan baik. Membangunkan negara? Sedangkan UMNO dengan half six leaders nya boleh buat, mustahil orang dalam PR tak boleh buat. Faktanya, kepimpinan dalam PR lebih berkualiti dari yang masih ada dalam UMNO.

Bukan Dr Mahathir seorang sahaja yang tahu rahsia. Ramai lagi tahu bagaimana UMNO terutama bila Dr Mahathir jadi PM dan presiden UMNO mengekang minda orang Melayu. Kita tahu rahsia UMNO kekal berkuasa.

UMNO kekalkan kuasa dengan menakutkan orang Melayu. UMNO kekal sebab orang Melayu diperbodohkan. UMNO kekal kerana orang Melayu dijadikan bangsa meminta-minta dan bergantung kepada UMNO. Ini sangat berlawanan dengan semangat yang hendak dibawa oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Orang Melayu jadi punah bila Dr Mahathir ambil alih memimpin orang Melayu.

Orang Melayu diperbodohkan dengan menanam dalam minda mereka bahawa jika UMNO tidak ada, maka masa depan orang Melayu gelap. Kenapa, walaupun setiap keududukan kuasa dikuasai oleh orang Melayu, kedudukan orang Melayu ketinggalan juga? Ini membuktikan bahawa di sebalik laungan UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air,  kepentingan yang mereka perjuangkan ialah kepentingan segelintir yang terpilih. Pendapatan orang Melayu selepas merdeka, selepas UMNO berkuasa RM100 berbanding dengan Cina (1500) dan India (1200). Kenapa ini terjadi?

Suatu petang sebelum pertandingan ketua pemuda UMNO Malaysia berlangsung, saya berada di rumah Datuk Najib di Jalan Duta. Antara topik yang dibualkan ialah mengenai penglibatan Dr Mahathir dalam pertandingan UMNO. Terutama kerana ketika itu, anak Dr Mahathir pun bertanding untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda. Saya menyatakan apa hal Dr Mahathir ini - tidak ada yang kena bila orang lain jadi PM selain dari dia dan tidak ada yang baik jadi Ketua Pemuda selain anak dia. Najib telah menjawab - Dr Mahathir ni nak sibuk mengenai orang lain. Dedah keburukan orang lain. Kalau kita dedahkan hal dia – pelabuhan lah, leburaya lah, TOL lah, IPP lah..banyak lagi lah.

Inilah UMNO. Jaga rahsia sama sendiri.

Kita tahu bahawa DR Mahathir tidak akan bertanding lagi.  Tapi oleh kerana dia sekarang sudah menjadi jurucakap kepada UMNO, maka kita attack dia. Lagi dia bising, kita suka sebab ia menjadi alasan dan semangat kepada kita untuk mendedahkan keburukan UMNO. Objektif kita ialah menjatuhkan UMNO.

UMNO bukanlah pilihan mutlak untuk orang Melayu. Orang Melayu sekarang ada banyak pilihan. Tidak ada UMNO, orang Melayu dan Malaysia tetap akan membangun dan maju. Tidak ada UMNO, kepentingan orang Melayu tetap dijaga. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana majoriti penduduk negara ini adalah Melayu. Dari 18 juta orang Melayu, ahli UMNO hanya 3 juta. Dari 6 orang Melayu, hanya seorang ahli UMNO. Jika seorang ahli UMNO mati, ada 5 lagi orang Melayu. Jika 3 juta ahli UMNO tidak ada, ada 15 juta lagi orang Melayu. Jadi tidaklah benar, jika UMNO tidak ada, maka orang Melayu akan terbiar.

Orang Melayu tak sedar, bahawa bila Dr Mahathir ambil alih sebagai PM lah, maka sedikit demikit sedikit, DEB dihapuskan. DEB ertnya, orang Melayu membangun secara organik - diberi sumber ekonomi, membagunkan diri mereka, memperolehi pengalaman dan kemahiran dan bersaing. Semangat DEB ialah memberi orang Melayu joran atau pancing supaya mereka boleh memancing hari hari dan makan ikan hari.

Mahathir tidak percaya dengan pendekatan ini. Dia kata cara ini lambat. Cara yang lebih baik ialah jumpstart ekonomi orang Melayu. Caranya ialah dengan memilih golongan tertentu supaya melajukan ekonomi orang Melayu. Ekonomi yang laju ialah ekonomi mereka yang Dr Mahathir pilih dan Dr Mahathir pilih Cina dan India sama.

Majoriti orang Melayu ketinggalan. Itulah sebabnya mengapa perbezaan pendapatan di kalangan orang Melayu sendiri adalah perbezaan yang terbesar. Pengagihan kekayaan antara Cina sama Cina, India sesama India lebih adil. Sesama Melayu kurang adil, sebab UMNO pilih bulu. Ini rahsia Mahathir. - http://sakmongkol.blogspot.com
Tolak enam jenis politik amalan pembangkang, kata Ahmad Maslan

9 September 2012
Ahmad Maslan
Datuk Ahmad Maslan
PELABUHAN KLANG - Orang ramai dan para pengundi diminta menolak enam jenis politik yang diamalkan pembangkang iaitu politik biadab, politik bebas, politik fitnah, politik menghukum, politik perpecahan dan politik ganas, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
  
"Di Malaysia ini kita lihat politik telah bertukar menjadi politik biadab apabila peristiwa memijak gambar pemimpin, peristiwa menukar Jalur Gemilang.
  
"Kemudian ada politik bebas yang menyokong kegiatan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam; politik memfitnah yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor difitnah macam-macam," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Klang di sini hari ini.
  
Ahmad berkata terdapat juga politik menghukum yang diamalkan pembangkang sehingga menyebabkan sembahyang dua imam dan kafir mengkafir sesama Islam selain politik pecah belah yang tidak mahu melihat perpaduan antara Melayu, Cina dan India malah perpaduan dalam kaum masing-masing.

Satu lagi ialah politik ganas yang dilakukan oleh sekumpulan perusuh semasa perhimpunan Bersih 3.0, katanya lagi.
  
Beliau berkata keenam-enam jenis politik itu perlu ditentang habis-habisan oleh Barisan Nasional (BN), parti yang tidak mengamalkan keganasan dan bebas tetapi menurut peraturan serta tidak mengamalkan politik memfitnah.
  
Ahmad berkata insiden pengawal peribadi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengacu pistol ke arah sekumpulan pemuda pro-BN di Kampung Baru Rim Jasin Melaka petang semalam merupakan satu daripada contoh politik ganas pembangkang.
  
"Perdana Menteri ada berbelas-belas bodyguard dan (sudah ada) enam Perdana Menteri... tidak pernah kita dengar bodyguard berbelas-belas mengacu pistol. Tiba-tiba dia ni jadi Ketua Pembangkang bodyguad mengacu pistol," katanya. - Bernama

MPK serbu 26 premis turun iklan bahasa asing

Harakahdaily, 11 Sep 2012
KLANG: Sebanyak 26 premis diserbu dalam operasi bersepadu menurunkan iklan bahasa asing sekitar kawasan ini dalam usaha memastikan tiada peniaga yang ingkar dengan arahan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, tindakan itu di bawah Undang-Undang Kecil MPK Periklanan 2007 kerana melanggar syarat dan tidak mempunyai lesen iklan daripada majlis.

Menurutnya, selain menurunkan iklan berkenaan, pihaknya juga bertindak mengecat iklan yang dicat secara haram di dinding-dinding premis terlibat.

“Operasi yang diadakan ini adalah hasil pemantauan dan aduan awam yang peka terhadap keadaan sekeliling terutama kebanjiran premis warga asing sekitar kawasan ini.

“Perkara ini berlaku kerana pemilik premis bertindak menyewakan kedai milik mereka kepada warga asing yang tidak faham prosedur berkaitan iklan perniagaan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, tindakan pemilik yang menyewakan premis mereka kepada warga asing memburukkan lagi keadaan dan perkara itu sentiasa diberi perhatian serius oleh MPK.

Ehsan berkata, operasi itu melibatkan Jabatan Pelesenan, Kejuruteraan, Penguatkuasa dan Perkhidmatan Persekitaran serta turut mendapat kerjasama daripada pihak polis.

Nasib Kg Baru dalam bahaya jika BN menang

Harakahdaily, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Isu Kampung Baru membuktikan bahawa Umno telah gagal dalam membela hak rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, isu ini juga menjadi tanda aras kezaliman kerajaan Umno terhadap rakyat.

Menurutnya, penduduk Kampung Baru dinafikan hak terhadap tanah mereka sendiri semata-mata kerana memberi laluan kepada pembangunan.

Sebaliknya, pemaju dimanjakan dengan pelbagai kemudahan manakala pemilik dan pewaris dibiarkan mereka tanpa sebarang pembelaan sewajarnya.

"Ternyata slogan Rakyat Didahulukan serta Janji Ditepati hanyalah kata-kata manis yang indah diucapkan di lidah pemimpin mereka, hakikatnya ia adalah suatu yang pahit untuk ditelan apabila menghadapi kenyataan," katanya.

Keperihatinan PR

Dalam pada itu beliau bekata pihaknya menyokong penuh kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat yang akan membatalkan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 serta merta jika diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan.

"DPPKT merakamkan penghargaan setingginya atas keprihatinan pemimpin Pakatan Rakyat yang berusaha memberi jaminan Akta PPKB 2011 akan dibatalkan dan seterusnya akan dikembalikan kepada pemilik dan pewaris Kampung Bharu.

"Dalam keadaan isu ini didiamkan dari pengetahuan rakyat, pemimpin PR terus memainkan isu ini sebagai agenda penting PR bagi memastikan ianya terus bermain di bibir rakyat," ujarnya.

Kenyataan itu sebelum ini dilontarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan untuk membatalkan akta ini jika Pakatan Rakyat mendapat mandat memerintah Malaysia dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"DPPKT merasakan kenyataan inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya pemilik Kampung Baru," katanya.

DPPKT juga katanya akan menjadikan kenyataan pemimpin PR sebagai informasi penting untuk disampaikan kepada rakyat khususnya warga Parlimen Titiwangsa supaya mereka jelas dalam menentukan hala tuju politik negara.

Menurutnya lagi memilih BN di negara ini bererti mengekalkan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 dan sekaligus mematikan hasrat penduduk untuk memiliki tanah tersebut.

"Lima tahun mendatang terlalu panjang masanya buat mereka menuntut hak mereka kembali kerana terlalu banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

"Sebaliknya memilih PR akan memastikan tanah Kampung Bharu tidak terusik bahkan ianya akan kembali ke pangkuan rakyat sebagaimana asal," katanya.

Hab petrokimia Pengerang: 33 keluarga Melayu diusir

Roketkini.com, 11 Sep 2012
PENGERANG: Rakyat di Pengerang digesa bangkit menjatuhkan UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang demi memastikan masa depan mereka tidak terus tergadai.

Pelbagai masalah kini sedang membimbangkan para pemilik hampir 22,500 ekar  tanah di Pengerang untuk tujuan pembanguna, jelas Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida (gambar).
Dalam satu wawancara ketika di Pengerang baru-baru ini, Anis berkata bahawa jika rakyat memilih untuk berdiam diri dengan ugutan yang diberikan, beliau khuatir kerajaan UMNO Barisan Nasional akan terus bertindak tanpa memikirkan kebajikan rakyat Pengerang.
Menurut Anis lagi, kerajaan UMNO Barisan Nasional bertindak semakin tidak rasional. Mereka hanya memikirkan keuntungan untuk kroni-kroni sahaja sehingga menyebabkan tanah pusaka rakyat tergadai bagi tujuan Projek Pembangunan Bersepadu dan Petrokimia RAPID.
“Mereka bukan sahaja ingin mengambil tanah pusaka rakyat Pengerang malah tapak perkuburan juga menjadi mangsa,” jelas beliau lagi.
“Rakyat sebenarnya tidak menghalang pembangunan, tetapi rakyat mula tidak berpuas hati kerana kerajaan UMNO Barisan Nasional bukan sahaja menggunakan Pejabat Tanah Kota Tinggi untuk merampas tanah mereka tetapi tiada perbincangan dua hala antara RAPID dan penduduk, akhirnya penduduk mendapat notis untuk mengosongkan rumah mereka,” kata Anis lagi.
Jelas Anis sebanyak 33 keluarga Melayu dan 2 keluarga Cina Kampung Sungai Kapal telah diarahkan mengosongkan rumah tiga hari oleh satu rombongan yang diketuai oleh ketua kampung dan pegawai dari Pejabat Tanah Kota Tinggi sebelum Syawal baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, beberapa keluarga yang diusir ada yang tidak menerima sebarang notis awal, mereka cuma menyedari hal ini selepas sehelai notis berwarna merah ditampalkan diluar rumah.
Beliau yang mewakili seluruh penduduk Pengerang mendesak kerajaan UMNO-BN supaya menilai semula pembangunan yang telah diaturkan agar penduduk di Pengerang tidak ditindas dan akhirnya tanah pusaka mereka tergadai.

Kelantan akan bina lebih banyak rumah kos rendah

Rizal Tahir, 11 Sep 2012
(Gambar: Penyelia dun Kok Lanas, Nik Mahadi menyampaikan dirham kepada salah seorang pembeli pertama rumah Wadi Iman sebagai cenderahati)
KETEREH: Kerajaan Negeri Kelantan melalui anak syarikatnya akan memperbanyakkan pembinaan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) tahun hadapan.

Usaha itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai kempen penggalakan memiliki rumah sendiri oleh rakyatnya.

Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Mustapha Salleh berkata, tahun hadapan pihaknya akan membina sebanyak 60 unit RAKR di Kota Bharu.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis penyerahan anak kunci kepada pembeli kediaman di Wadi Iman, Kok Lanas dekat sini pagi tadi.

Tanpa mengira keuntungan, katanya sebagai syarikat penuh milik kerajaan negeri, pihaknya merancang untuk pembinaan rumah tersebut.

“Tidak ada perkara yang membahagiakan melainkan apabila kita memiliki kediaman sendiri,”ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau memberitahu pada tahun 2010 pihaknya berjaya menyiapkan 64 unit rumah di tempat yang sama.

“53 unit pula baru siap tahun ini dan dalam pembinaan sebanyak 32 unit lagi,”ujarnya.

FGVH: KWSP wajar jelaskan strategi pelaburan

Syahir Sulaiman, 11 Sep 2012
Merujuk kepada pengumuman oleh pihak Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia bertarikh 10 September 2012, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan terus meningkatkan pegangan saham di dalam FGVH secara berperingkat dengan pembelian saham FGVH yang kini diniagakan di paras terendah sejak ia mula diapungkan di Bursa Malaysia.
Pihak KWSP perlu tampil menjelaskan kepada semua pencarum dan rakyat Malaysia berkenaan strategi pelaburan KWSP di dalam FGVH, tatkala harga saham FGVH terus tergelincir daripada harga terbitan awal (initial public offering) di paras RM5.39 kepada RM4.68 pada 10 September, malah dijangka terus berlegar di paras lantai RM4.55 harga pelabur institusi (institutional price) dan paras lantai RM4.45 harga runcit (retail price) sebelum meningkat ke paras lebih selesa. (Nota: Harga saham FGVH pada 11 September, jam 12.30 tengahari adalah RM4.61).

Pihak KWSP pastinya mempunyai panel pelaburan yang profesional, dinasihati oleh penganalis dan penasihat pelaburan ternama, mengikut garis panduan pelaburan yang ketat. Sewajarnya, strategi ‘buy low, sell high’ yang dilihat digunapakai oleh pihak KWSP, dengan peningkatan pegangan saham di dalam FGVH daripada 5.01% pada 12 Julai kepada 6.62% pada 3 September dan kini 6.98% pegangan kepentingan, perlu selaras dengan garis panduan dan strategi pelaburan jangka pendek dan jangka panjang yang menguntungkan pencarum.

Pihak KWSP diseru mengambil inisiatif dan tanggungjawab untuk menjelaskan kepada pihak awam berkenaan rasional dan strategi pelaburan (strategic rationale) di sebalik pembelian saham FGVH ini, sama ada ianya bersifat mengambil peluang ‘buah yang rendah’ (low hanging fruit) demi mencapai objektif pelaburan jangka panjang, tanpa melibatkan pertimbangan lain yang memberi risiko tinggi kepada pencarum dan rakyat Malaysia. Penilaian risiko (risk assessment) dalaman dan luaran, analisa situasi (situational analysis) sektoral domestik dan antarabangsa, serta unjuran keuntungan dan jangkaan aliran tunai (projected cashflow) adalah antara elemen utama yang perlu dipertimbangkan dalam setiap keputusan pelaburan demi menjamin kepentingan dan pulangan dividen kepada pelabur dan pencarum.

Pastinya, graf harga saham FGVH yang berterusan menurun ini ibarat turun-naik ‘roller-coaster’ yang mendebarkan semua pihak, khususnya ratusan ribu peneroka Felda yang berada di dalamnya. Adakah ini petanda awal ‘tsunami politik’ bakal melanda seluruh pelosok Felda? Semua pihak bertanggungjawab dalam mempertahankan khazanah Felda yang diwarisi daripada generasi ulung ini, kekal terpelihara untuk diwariskan kepada generasi mendatang.

Selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Zambry dicabar bentang audit YBUDR di sidang Dun

Harakahdaily, 11 Sep 2012
IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendesak agar Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membentangkan laporan audit kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan datang.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS Perak, Salman Saleh berkata, pembentangan itu penting bagi membuktikan ketelusan pentadbiran menteri besar itu selama ini.

"Kami merasakan perkara ini penting kerana ianya melibatkan wang rakyat yang besar disalurkan setiap tahun kepada YBUDR," katanya.

Menurut Salman, pihaknya menerima banyak rungutan daripada rakyat yang menerima bantuan dari yayasan ini yang tidak menepati seperti yang sepatutnya.

Sebagai contoh katanya, skim baikpulih rumah yang ibarat ‘melepaskan batuk ditanggga’ sahaja di mana rumah yang dibaikpulih masih tidak sempurna walaupun peruntukan sudah habis digunakan.

"Malah polisi peruntukan baikpulih rumah yang sepatutnya tidak melebihi RM15,000 sebuah rumah tetapi kami menerima laporan ada yang mendapat dua kali peruntukan yang mencecah pembinaan rumah baru iaitu sebanyak RM30,000 sebuah rumah. Adakah ini benar," soalnya.

Justeru, pihaknya akan terus mendesak agar menteri besar membuktikan ketelusannya sehingga kewangan YBUDR diaudit dan dinilai setiap rakyat dalam pelbagai kaedah.

Selain mendesak ianya dibentang pada persidangan Dun akan datang, mereka juga mencadangkan ianya dipaparkan di dalam laman web rasmi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) dan dibukukan bagi penilaian rakyat terhadap kewangan yayasan itu.

"Kami sekali lagi mencabar ketelusan dan integriti kepimpinan Datuk Seri Zambry dalam keikhlasannya membantu rakyat selama ini," katanya.

Wanita PR lancar Agenda Wanita Malaysia 13 Sept

Hazayani Zakaria, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Rakyat akan melancarkan Agenda Wanita Malaysia (WM) pada 13 September ini di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam.

AWM merangkumi dasar bersama wanita dari PAS, PKR dan DAP mencakupi aspek perundangan, kelangsungan hidup yang berkualiti, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial dan agenda wanita muda.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof AWM terhasil daripada gabungan idea kerjasama wanita ketiga-tiga parti tanpa melanggar prinsip dan kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

"Untuk menghasilkan Agenda Wanita Malaysia ini, kita bukan berbincang lebih kurang tapi mengadakan mesyuarat berbulan-bulan untuk memerah idea bagi merealisasikan agenda yang selaras dengan kandungan buku jingga," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, buku AWM akan turut diedarkan kepada tetamu yang hadir dan akan diperturunkan kepada pimpinan wanita di peringkat negeri dan kawasan.

"Buku agenda ini akan dibawa ke setiap negeri supaya semua wanita Pakatan Rakyat faham dan boleh menyebarkannya kepada orang ramai," katanya.

Majlis yang akan bermula jam 8 malam itu akan dihadiri Presiden ketiga-tiga parti iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Lim Kit Siang (DAP).

Sayap muda wanita Pakatan iaitu Ameerah Dewan Muslimat PAS, Srikandi PKR dan wanita muda DAP akan turut bersama dalam majlis pelancaran itu.

Tiada ulasan: