Selasa, 11 September 2012

MANUSIA HINAKAN KITA SATU BAB...LAGI TERUK KALAU ALLAH HINAKAN...ALLAH TUTUP TAUFIK DAN HIDAYAH...NI BERLAKU KERANA KEZALIMAN YANG KITA BUAT SENDIRI....

Sang pemberani yang mahu menyanggah Mahathir

Ahmad Lutfi Othman, 11 Sep 2012
Rakyat Malaysia tidak mudah lagi digertak atau ditakut-takutkan, walaupun oleh pemerintah. Malah, usaha meremehkan atau memperbodohkan pemikiran mereka sehingga rasional diketepikan bakal berdepan reaksi yang mungkin tidak terduga oleh sang penguasa.

Pendek kata, sesiapa sahaja yang masih bebal menggunakan strategi lapuk dan usang bagi mempermainkan emosi dan sentimen rakyat, akan menempah nasib malang. Pendekatan lama yang berhasil "menjinakkan" golongan massa tidak lagi berkesan, apatah lagi yang mempermain-mainkan  logika.

Mereka juga jauh lebih bijaksana, berpandangan jauh dan -- yang lebih penting -- berani atau bersedia melakukan perubahan. Proses pendemokrasian, peningkatan kualiti pendidikan dan juga urbanisasi mematangkan lagi rakyat berdepan pelbagai "silat mata" elit penguasa. Sukar untuk ditipu hanya dengan gula-gula politik murahan.

Masyarakat terbanyak juga kian berani untuk mempersoalkan sesuatu yang cuba disogok secara paksa, meskipun ia datang daripada pihak berkuasa. Jawatan tinggi dalam kerajaan tidak bermakna segala arahan daripadanya akan dipatuhi, malah semakin disyakki.

Kedudukan dan posisi tidak lagi melambangkan kebenaran. Cakap-cakap atau hujah pemimpin tidak mudah ditelan bulat-bulat. Ada keupayaan yang tinggi dari kalangan rakyat untuk menyaring, mencerakin dan menimbang secara rasional. Yang salah dan palsu akan disanggah secara terang-terangan.

Era reformasi 1998 merupakan detik peralihan yang jelas, apabila dalih Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi memecat timbalannya, Anwar Ibrahim, ditolak secara terbuka. Cakap pemimpin atasan tidak semestinya benar.

Mahathir sendiri dibaling botol plastik oleh ahli-ahli Umno sendiri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi yang memecat Anwar. ISA digunakan untuk menutup mulut pengkritik, namun ia hanya menggemakan lagi riuh-rendah penentangan dan memarakkan api kemarahan.

Sebahagiannya bingkas bangun menunjukkan aksi protes di jalan-jalan raya, dan bersedia menerima risiko ditangkap, dibalun belantan, ditembak gas pemedih mata, dihumban ke lokap, seterusnya ada yang dibuang kerja dan menerima keperitan dalam hidup.

"Hantu-hantu" yang diperalatkan untuk menyemai rasa takut, bimbang dan curiga rakyat, seperti ISA dan akta-akta drakonian lain perlahan-lahan hilang bisanya. Ungkapan "polis" yang dahulunya sering digunakan ibu bapa untuk menakutkan anak-anak kecil sudah tidak lagi relevan. (Kasihan nasib polis apabila tuan-tuan besarnya sedia diperbudakkan taukeh-taukeh politik).

Lagak anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menyuraikan perhimpunan aman bagai tidak dipedulikan. Kanister gas pemedih mata yang ditembak ke atas penunjuk perasaan disepak atau dibalingkan semula. Keputusan mahkamah yang ditampal di merata pokok untuk memaklumkan larangan menyertai demonstrasi pun dipandang sepi.

Rakyat semakin arif hak mereka sebagai warga merdeka dalam sebuah negara demokrasi. Dapat dihafal apa yang perlu dilakukan jika mereka ditahan; bukan sekadar membawa sapu tangan, air mineral dan sedikit garam!

Mungkin masih ada sebahagian rakyat yang terkurung dan terkepung mindanya. Usia 55 tahun kemerdekaan negara tidak berjaya memecahkan kepompong yang sengaja dibina pemerintah itu. Mentaliti untuk pasrah dan mengaminkan apa saja titah penguasa tetap menebal. Namun, saya yakin, bilangannya semakin mengecil dan kumpulan yang sedikit ini tidak membeku statik. Mereka juga sedang melalui proses perubahan yang dinamik.

Sedikit demi sedikit jumlah sang pemberani bertambah ramai dan menjadi dominan. Jiwa hamba mereka mulai luluh berderai. Ikatan dan belenggu rasa takut, gementar, mudah merasa bersalah serta -- dan paling penting -- curiga dan bimbang untuk melakukan perubahan dapat dipecahkan.

Masa yang sama, "fahaman songsang-tahyul" yang ditanam selama ini dalam pemikiran orang Melayu bahawa hanya Umno mampu dan pandai memerintah dikuburkan apabila satu demi satu kerajaan negeri Umno-BN tumbang. Sebaliknya skandal dan penyelewengan pemimpin BN yang didedahkan, dengan rantaian panjang senarai penyalahgunaan kuasa membaham wang rakyat.

Rakyat Kelantan, lebih 20 tahun lalu, misalnya menjadi saksi mata pertukaran kepemimpinan teraju kerajaan negeri langsung tidak mengheret kepada situasi huru-hara, apatah lagi diserkup krisis ekonomi sehingga mencetuskan kebuluran seperti ditohmah juak-juak Umno.

Pilihan Raya Umum 1999 memang tidak mengubah status-quo kecuali di Terengganu, namun minda politik Melayu menghadapi anjakan perubahan yang luar biasa. Mereka sudah berani mencabar dan berkata "tidak" kepada Umno. Ya, politik Melayu -- walaupun turut dikejutkan dengan kemenangan terbesar BN pada 2004 -- "kini sudah cukup berbeda".

Senario politik negara tidak lagi akan surut ke belakang selepas keputusan PRU12, Mac 2008, yang  mengejutkan itu. Ratib Umno bahawa "oposisi hanya pandai membangkang dan mengkritik" menjadi bahan ketawa. Lima negeri yang dikuasai "pembangkang" mempamerkan perubahan yang menyenangkan.

Rakyat Malaysia tidak menoleh ke belakang lagi; mereka semakin serius untuk melakukan perubahan. Malah Umno pula dibayangkan akan menjadi pembangkang yang bakal meracau.

Saya menekankan hal ini bagi memberi reaksi kepada aksi gelabah Dr Mahathir dan Najib Razak yang semakin kerap meremehkan keazaman tinggi pengundi untuk membuat perubahan dalam PRU13 -- menukar kerajaan persekutuan. Rakyat sedar perubahan di peringkat kerajaan negeri banyak limitasinya. Putrajaya memerlukan teraju baru untuk menyempurnakan perubahan.

Pelbagai andaian buruk dilemparkan kepada Pakatan Rakyat jika diizinkan menguasai Putrajaya. Amaran Mahathir dan anak didiknya, Najib: "Jangan sama sekali terpengaruh dengan janji Pakatan untuk membawa perubahan. Lima tahun yang diberikan, walaupun sebagai percubaan, hanya mengundang padah dan bahaya kepada negara. Banyak perkara akan musnah dalam tempoh itu."

Mahathir memang "sudah terlepas keretapi" dan amat bimbang berlaku perubahan di Putrajaya, apatah lagi kalau Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Dan di zamannya, rakyat sering digertak dan diperbodohkan. Rakan-rakannya dalam kabinet juga terpaksa mengikut segala rentak dan kemahuannya. Hobinya boleh sahaja menjadi projek negara. Zaman berubah pantas tetapi Mahathir tetap dengan perangainya -- bebal untuk turut sama berubah.

Najib berada di era berbeda, dan benarlah kata-kata pengakuannya sendiri, zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir.

Penipuan, skandal, salahguna kuasa, korupsi dan pembolotan kekayaan negara hanya mudah dilakukan oleh regim yang lama memerintah, apatah lagi secara tidak demokratik dan mengetepikan peranan "semak dan imbang" institusi strategik seperti media, Parlimen, SPRM dan seumpamanya.

Selama 55 tahun di bawah regim BN, segala kebobrokan itu hampir "sempurna" dan "sukar dikesan".  Pemimpinnya yang mempunyai banyak pengalaman itu  ada "kemahiran" tersendiri untuk menyembunyikan seribu satu kejahatan, malah menampilkan imej "penyelamat" yang mengelirukan.

Apa pun, dalam PRU13 ini, majoriti rakyat hampir sepakat bertekad untuk melakukan perubahan menyeluruh -- dan boleh saja sifatkan  ia  satu percubaan  paling berani -- untuk mencari kelainan yang benar-benar berbeda, dengan memberikan amanah mentadbir kepada regu dan pasukan yang baru.

Cukuplah dengan "syaitan" yang begitu lama dikenali, yang ternyata hanya membawa petaka dan padah. Ya, bukankah itu perangai dan sifat semulajadi "syaitan"?

Saya yakin, sekumpulan sang pemberani ini, yang jumlahnya semakin ramai dan menjadi golongan majoriti, tidak akan mundur ke belakang lagi. Sekurang-kurangnya mereka mahu mencuba, 'kan? Pedulikan amaran Mahathir dan Najib itu. Biarkan mereka meracau ...


Pemuda PAS Kedah lapor polis pemimpin PR dihina

Anis Nazri, 10 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kedah bertindak membuat laporan polis berhubung gambar pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat dihina pihak tidak bertanggungjawab.

Laporan polis tersebut dibuat berikutan kenyataan polis sebelum ini yang hanya akan menyiasat sesuatu kes sekiranya terdapat laporan polis dibuat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nasir Zakaria, berkata dengan laporan polis tersebut, pihaknya berharap satu siasatan segera diadakan bagi memastikan pihk polis tidak membuat pendakwan terpilih.

Beliau yang turut diiringi Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Yahya menegaskan polis tidak lagi boleh memberikan alasan untuk tidak menyiasat perkara tersebut.

Sebelum ini, pihak polis mengambil langkah proaktif terhadap mahasiswa yang dikatakan menghina gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dn isteri, ketika sambutan ambang merdeka, 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, ramai pihak melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis tersebut yang disifatkan membuat siasatan terpilih, sedangkan gambar pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat turut dihina pihak tidak bertanggungjawab.

"Polis dalam kenyataannya sebelum ini, berkata mereka bukan buat siasatan terpilih, tetapi tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu (hina pemimpin PAS).  Justeru, hari ini kita membuat laporan dan berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menghina pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Alor Setar, petang tadi.

Sebelum ini, beberapa gambar pemimpin Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dikencing pihak tertentu.

Manakala, gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng turut menjdi sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memijak dan membakar gambar mereka.

Perkasa cemas gara-gara lempar kasut

Subky Latif, 10 Sep 2012
BAGAIMANA Perkasa, sebuah NGO politik yang berimej samseng boleh cemas dengan dakwaan ia yang melempar kasut dalam masjid di Kedah yang disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkasa tidak mengaku ia  angkaranya dan menggesa ia disiasat dan buktikan ia angkaranya.

Orang Alor Setar kenal suku sakat Perkasa di situ dan di antara orang kuat Perkasa itu adalah orang UMNO. Dengan kejadian samseng di masjid itu, penyokong-penyokong Anwar yang memenuhi masjid itu tidak payah untuk mengecam  anasir-anasir  Perkasa yang ada di tengah mereka. Penyokong Ketua Pembangkang – PKR dan PAS – yang ada di masjid tidak teragak-agak menuduh ia gara-gara angkara Perkasa.

Perkasa ditubuhkan oleh Ibrahim Ali, MP Pasir Mas yang memang dikenali samseng sejak di zaman pelajarnya lagi. Ditubuhkannya Perkasa adalah membela UMNO yang tidak dapat mendakwa sebagai pembela Melayu kerana parti itu adalah penjual bangsa Melayu. Apa yang UMNO dan pemimpinnya cakap tentang Melayu tidak dipercayai orang.

Perkasa muncul bagi menggantikan UMNO untuk bercakap tentang orang Melayu. Ia mengaku NGO sebenarnya bekerja untuk UMNO dan kerajaan pimpinan Najib.

Bahasa orang politik pendekatannya adalah radikal. Pada orang  Melayu radikal itu adalah samseng.

Anwar dalam jelajah Merdeka Rakyatnya singgah bertazkirah di sebuah masjid di Kedah. Lalu samseng tadi mensabotaj lampu dan pembesar suara hingga bergelap dan suara tazkirah tadi tidak didengar. Antara yang menjolok mata, anasir itu melempar kasuk yang disasarkan kepada Anwar tetapi mengenai orang lain.

Tidaklah banyak kejinya  antara melempar kasut di masjid dengan memijak dan menungging punggung pada gambar Najib di Dataran Merdeka yang heboh sekarang.

Orang melondeh seluar dan memijak gambar PM itu sudah dikenal pasti kerana polis memang memerhatikan  semua yang berlaku dalam Himpnan Janji Merdeka itu.

Walaupun Anwar itu Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri menunggu, polis tidak terasa ia ada tanggungjawab melindungi majlis yang dihadirinya dari  diganggu samseng. Tidak seperti polis di negara-negara yang mengiktiraf sisstem ketua pembangkang, menjaga keselamtan Ketua Pembangkang sama dengan menjadi keselamatan Perdana Menteri.

Bukan Perkasa saja pertubuhan  samseng di dunia. Biasanya pertubuhan samseng itu membuat kacau  terhadap seterunya di mana-mana saja. Kadang-kadang mereka  meletupkan bom dan menembak orang.

Dalam setiap kejadian mereka nantinya mengaku bahawa kejadian itu mereka yang melakukannya. Mereka tidak sekadar tembak curi atau pukul lari. Mereka kemudian menghantar mesej kepada polis atau kepada media mengaku mereka yang punya angkara.

Semseng itu ada keberanian dan seoleh-oleh ada benda yang diperjuangkannya. Ia dibuat begitu kerana mereka mahu orang tahu akan kewujudannya dan kegiatannya. Tentulah pengakutan itu ada risiko tindakan ke atasnya.

Mereka sanggup menghadapi risiko itu.

Akan tetapi Perkasa tidak ada keberanian itu. Orang ramai di tempat kejadian tahu anasir Perkasa ada di situ dan mereka amat yakin ia angkara  Perkasa. Sama ada dakwaan orang itu betul atau  tidak, orang luar yang mengikuti kegiatan Perkasa percaya Perkasa boleh melakukannya.

Mungkin Perkasa tidak terlibat. Tetapi memandangkan Perkasa itu memang samseng, orang boleh percaya  ia yang buat.

Sangkaan orang itu adalah satu pengiktirafan kepada Perkasa. Perkasa patutnya seronok dan berbangga bila orang akui ia garang, berani  dan samseng.

Tetapi apabila Perkasa dituduh melempar kasut ia seorang tergamam. Tidak berkata beberapa ketika. Lama kemudian baru ia bersuara tidak mengaku dan menyuruh supaya disiasat.

Tidakkah itu cemas namanya?

Masalah air di Mentakab, mana rakyat didahulukan

Khairil Abdul Rahim, 10 Sep 2012
TEMERLOH: Laungan “mana rakyat didahulukan”, “mana janji ditepati” bergema dalam perhimpunan aman melibatkan beberapa orang penduduk di bandar Mentakab di sini hari ini berikutan telah lima hari terputus bekalan air paip.
Penduduk mendakwa, gangguan beklaan air tanpa notis itu disebabkan kerja mengorek tanah di pinggir jalan utama oleh kontraktor yang menyebabkan saluran paip pecah tetapi dibiarkan sejak Khamis lalu.

(Gambar: Penduduk berkumpul sambil membawa bekas air di hadapan projek menggali kabel yang didakwa menyebabkan bekalan air paip terputus selama lima hari.)

Akibatnya lebih 10,000 penduduk bandar ini terutama melibatkan taman-taman perumahan terpaksa menghadapi kesukaran menjalani hidup tanpa air.

Antara kawasan yang terbabit ialah Taman Zabidin, Taman Mentakab, Taman Orked, Taman Taha, Taman Damai, Taman KSM, Taman Pasir Rawa, Taman Setia, Taman Sagumpas, sekitar bandar Mentakab dan Jalan Temerloh.

Penduduk dari Taman Zabidin N. Sakuntala, 57, kesal pihak berkuasa terlalu lambat menyelesaikan masalah bekalan air paip sedangkan ia keperluan nombor satu untuk makan minum, membersihkan pakaian dan diri.

“Saya terpaksa pergi ke rumah kakak di Taman Saga (5 kilometer dari rumah) untuk memunggah air siang malam dan ini sangat memenatkan dan membuang masa.

“Air ini keperluan utama untuk hidup sekeluarga jadi bila terputus jadi satu gangguan, ada keluarga yang anak-anak tak boleh sekolah kerana baju tak basuh kerana kami terpaksa menghentikan semua kerja lain kerana kena mencari air untuk dipunggah ke rumah,” katanya.

Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang telah diswastakan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada Februari tahun ini. Namun ramai yang merungut meskipun telah bertukar pengurusan taraf perkhidmatannya tetap tidak berubah kerana air sering terputus, saluran paip bawah tanah selalu pecah atau bocor dan pembaikan terlalu lembab.

Siew Yui Seng (kanan) dari Taman Taha yang turut berhimpun berkata, beliau diberitahu masalah disebabkan kerja-kerja menanam kabel baru tetapi kesilapan mengorek tanah berlaku sehingga terkena batang paip lalu pecah.

Beliau telah menemui kontraktor meminta penjelasan, tetapi kontraktor memberi alasan barang gantian kerosakan masih tidak ada.

“Yang hairannya kenapa Paip tak bantu selesaikan sebab air bagi kami betul-betul penting. Kami juga kesal sikap Paip kerana setiap kali dihubungi mereka tak layan atau berdolak-dalik. Sedangkan ini bukan kali pertama berlaku, dah kerap sangat,” ujarnya.

Pengusaha Restoran Kari Kepala Ikan Raub yang turut terjejas, Mahendran, 53, (kiri) berkata gangguan air ini tidak ada notis jadi beliau menghadapi kesulitan sehingga terpaksa menyewa lori dan tong besar bagi membeli air paip di tempat cuci kereta.

“Bagi saya yang berniaga kedai makan ini memang susah sangatlah sebab nyawa kedai dan perniagaan saya betul-betul pada air paip. Sejak beberapa hari ini memang pendapatan perniagaan saya terjejas kerana ada masanya terpaksa tutup.

“Yang peliknya dulu-dulu masa belum swasta tidaklah teruk sangat macam sekarang, sekarang ini selalu sangat kerosakan dan terputus bekalan air berlaku,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk Ramasamy Letchmanan pula kesal dengan wakil rakyat kawasan berkenaan yang tidak mahu turun melihat masalah penduduk walaupun beberapa kali diberitahu.

“Masa mengundi pilihan raya bukan main lagi wakil rakyat cari kami seorang seorang untuk dapat undi. Sekarang apabila tiba masalah seperti ini menimpa penduduk, wakil rakyat langsung tak turun tengok jangankan nak selesai masalah.

“Kalau macam ini bagaimana slogan kerajaan boleh janji ditepati dan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?,” soalnya.

Tambahnya, turut terlibat ialah sekolah rendah Tamil Mentakab juga tiada air, sedangkan besok (Selasa) pelajar akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagaimana kalau ada yang sakit perut sedangkan air tandas kering?,” soalnya.

Antara yang paling teruk menerima kesan ialah rumah pangsa empat tingkat Taman Taha di Mentakab.

Ketua Blok B perumahan berkenaan Masri Samah, 40, (kanan) yang juga turut hadir berkata, ketiadaan air membawa masalah besar kepada yang mempunyai anak-anak kecil dan orang tua.

“Bayangkan anak-anak sekolah baju tak berbasuh dan pakaian bayi yang berlambak-lambak. Pulak tu kerap sangat berlaku masalah air di sini sehingga kadang-kadang makan masa seminggu.

“Bila bil air tak bayar surat merah sampai, cepat-cepat bekalan air dipotong dan bila nak sambung kena bayar RM120. Tapi sekarang apabila bekalan air paip terputus berlarutan lima hari tidak ada pegawai atau orang besar yang nak tengok kami.

“Bila kami telefon pejabat minta hantar lori tangki air mereka kata lori tak cukup,” keluhnya.

Menurutnya dalam tempoh terputus bekalan air kali ini ada beliau mendengar lori tangki menghantar air sekali tetapi pada waktu tengah malam dan kebanyakan penduduk sedang tidur.

Dr Halimah ucap selamat berjaya kepada calon UPSR

Harakahdaily, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: “Saya mengharapkan pelajar kita belajar untuk berjaya dalam kehidupan kita dengan melalui peperiksaan yang hanya mengukur kejayaan mereka menguasai elemen ilmu, pengetahuan dan kemahiran penting dalam mengurus hidup diri, keluarga dan masyarakat melalui penggunaan bijak lambakan sumber-sumber yang dikurniakan Ilahi,” kata Dr Halimah Ali.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor itu menyatakan demikian di dalam blognya sempena peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Justeru, beliau yang juga Adun Selat Klang itu mendoakan semua calon-calon peperiksaan awam akan berjaya memperolehi keputusan peperiksaan yang terbaik.

Berikut kenyataan penuh beliau.
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) BERMULA 11/9/12. Demam peperiksaan ini bukan sahaja melanda pelajar yang menjadi calon setiap tahun tetapi juga ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu.

Naluri ibu bapa mahu melihat anak berjaya dalam merangkul semaksima mungkin A dalam ujian ini. Bolehlah dikongsi bersama keputusan anaknya dengan keluarga, sahabat handai, jiran tetangga bahkan ibu bapa rakan-rakan sekolah anaknya.

Bagi ibu bapa yang di kalangan yang bergelar terpelajar, sudah tentu tekanan ini jauh lebih tinggi daripada ibu bapa yang berpendidikan sederhana kerana mereka akan diselubungi malu berlipat kali ganda kerana dilihat seolah gagal mendidik anak.

Ibu bapa yang miskin tetapi mempunyai daya mahu berubah akan memberi segala-galanya untuk mempastikan anak mereka mencapai yang terbaik. Mereka bersungguh mahukan anak mereka mendapat pendidikan yang secukupnya untuk mempastikan kualiti hidup mereka lebih baik daripada diri mereka. Keringat diperah, tulang empat kerat ligat melorong anaknya ke lorong kejayaan. Diakhiri dengan kedua tangan diangkat untuk berdoa, bermunajat.

Tulus ikhitiar ibu dan bapa untuk buah hati yang bertempur di atas kertas, namanya ujian atau peperiksaan.

Bermula dengan UPSR, PSRA, PMR, SMA,SPM, STAM,STPM......hingga ke menara gading. Ibu bapa terus berkorban wang ringgit, air peluh dan air mata bagi mempastikan si anak berjaya membawa pulang kertas yang tercetak markah terbaik, keputusan cemerlang, mumtaz....

Walaupun keputusan ujian atau peperiksaan ini bukan segala-galanya tetapi ia telah memukau ramai ibu bapa, anak-anak hingga ke pemutus dasar untuk riuh gempita tentang isu yang dianggap amat besar ini. Fenomena tahunan.....tiada yang baru.

Namun natijah daripada keputusan yang buruk akan menjadi petanda awal tentang kesukaran masa depan pelajar ini. Di kira kurang cerah. Akan payah mendapat pekerjaan atau sumber pendapatan yang mencukupi dan kualiti hidup merudum dan kurang dihormati masyarakat.

Justeru, persiapan rapi sepatutnya dilakukan oleh semua pihak untuk mempastikan kejayaan pelajar menghadapi peperiksaan. Sindrom demam peperiksaan disebabkan stress memuncak di ambang peperiksaan boleh menjadi wabak yang lazim sekiranya fenomena belajar intensif di saat akhir dibiarkan bercambah dan berakar umbi sebagai norma di kalangan pelajar.

Saya mengharapkan pelajar kita belajar untuk berjaya dalam kehidupan kita dengan melalui peperiksaan yang hanya mengukur kejayaan mereka menguasai elemen ilmu, pengetahuan dan kemahiran penting dalam mengurus hidup diri, keluarga dan masyarakat melalui penggunaan bijak lambakan sumber-sumber yang dikurniakan Ilahi.

Saya mendoakan semua calon-calon peperiksaan awam akan berjaya memperolehi keputusan peperiksaan yang terbaik.

Usaha, usaha, usaha
Berdoa
Bertawakkal

Mudah-mudahan berjaya.

'Syaitan yang dikenali' menangis

Tuan Ibrahim Tuan Man, 11 Sep 2012
Janganlah kemarahan kamu kepada sahabatmu menyamai kemarahanmu pada musuhmu, kerana kemarahan kepada sahabat kerana kecintaan kamu kepadanya, sedangkan kemarahan kamu kepada musuhmu adalah kerana kemurkaan Allah kepadanya.
Lantaran itu, menghadapi kesilapan sahabat tentulah tidak  sama kardahnya menghadapi musuh. Perasaan kita turut berubah dan seluruh citarasa akan berbeza.

Lantaran itu juga, janganlah kita bergembira di atas dukacita sahabat, dan jangan pula bersedih di atas kegembiraan musuh.

Pelbagai isu yang sengaja diperbesar dan dibentuk pemikiran rakyat oleh media perdana untuk memerangkap ahli dan pimpinan berhubung pelbagai isu samada dalaman PAS atau Pakatan Rakyat.

Mereka gila mengimpikan Pakatan Rakyat berpecah atau dalaman parti bergolak. Bagi sesebuah parti di ambang ajal, tiada yang lebih menyeronokkan baginya melainkan musuh mereka berpecah.

Dengan objektif sedemikian, mereka memasang pelbagai perangkap bagi memerangkap ahli dan pimpinan agar memasuki jerat yang mereka sengaja pasangkan.


Alhamdulillah, PAS dengan pengalaman lama dalam politik negara berjaya mengenali mana perangkap yang dipasang itu.

Kebijaksanaan dalam mengurus perangkap yang dipasang oleh musuh, menyebabkan keputusan yang diambil oleh kepimpinan  benar-benar mengecewakan musuh.

Tindakan ini menyebabkan ‘syaitan yang dikenali' menangis, manakala 'para malaikat yang tidak dikenali' insya Allah akan gembira.

Masa yang ada pada kita sedikit berbanding apa yang perlu kita lakukan.

Kerana itu, jangan habis masa, tenaga dan wang ringgit dalam menghadapi isu yang sengaja dilontar oleh musuh, kerana mereka sangat tidak senang dengan perkembangan dan sokongan rakyat kepada kita kini.

Mereka memang dilatih untuk kerja jahat ini, dan janganlah keikhlasan kita menyebabkan kita gagal mengenali mana sahabat dan mana musuh.

Biasa kita dinasihati jangan bersangka buruk pada orang lain.

Akan tetapi diingatkan juga agar jangan melakukan perkara yang menimbulkan buruk sangka orang lain terhadap diri sendiri.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
10 September 2012


JAUHILAH TAGHUT

Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

Photo of the day

http://mimpi-senja.blogspot.com, 11 Sep 2012

Tiada ulasan: