Tindakan menyingkirkan anggota Umno dan BN yang didapati cuba mensabotaj calon serta parti dalam pilihan raya seperti yang disuarakan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu tindakan tegas yang perlu dilaksanakan.
  
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana punca kekalahan calon BN atau parti turut bergantung kepada kesepakatan anggotanya.
  
"Sekiranya anggota parti boleh bekerja bersama-sama, saya tidak nampak mengapa kita boleh kalah dalam pilihan raya umum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan semalam.
  
Beliau yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan berkata walaupun jentera pilihan raya sudah bersiap sedia dan bekerja kuat tetapi sekiranya 'sabotaj dalaman' terjadi ia boleh menyebabkan parti tewas.
  
"Tidak ada kompromi dengan sesiapa yang bertindak mensabotaj calon, dan parti lebih senang mengenali musuh di luar daripada kita hendak mengenali musuh dalam parti yang dianggap paling bahaya," katanya.

Sementara itu di BATU GAJAH, Ketua Umno bahagian Datuk Yusoff Kassim turut menyokong ketetapan oleh Muhyiddin itu kerana kejayaan dalam pilihan raya hanya mampu dicapai sekiranya setiap anggota tidak berpecah belah, sebaliknya menyokong mana-mana calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
  
"Kita menyokong ketetapan timbalan presiden Umno yang mahu anggota disingkir jika wujud sebarang unsur sabotaj kerana kita tidak mahu terdapat musuh dalam lipatan yang boleh mengakibatkan kekalahan parti," katanya.
  
Semalam, Muhyiddin memberi amaran bahawa mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum akan disingkir daripada parti.
  
Amaran keras itu disuarakan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.

- Bernama