Selasa, 11 September 2012

DR RANI YANG KU KENAL...SEBELUM MASUK PAS BELIAU DAH BERI ZAKAT PERNIAGAAN PADA KERAJAAN KELANTAN...APA KATANYA...TOK GURU HANTAR KAD RAYA PADA AKU LAH...SEKARANG LAMA TAK JUMPA...FAHAM.. BELIAU SIBUK SAKAN TU

Berkongsi impian bersama Dr Rani Osman

Ahmad Lutfi Othman, 11 Sep 2012
Malam Jumaat lalu, saya bersama dua wartawan Harakah Selangor, Saidah Haidan dan Muhd Arif  Ismail menghadiri perbincangan santai dengan pimpinan PAS Negeri, khususnya yang mewakili kawasan Dun (Pusat Khidmat Masyarakat) yang bakal ditandingi dalam pilihan raya akan datang. Selangor sememangnya merupakan negeri paling mendapat tumpuan selepas tsunami politik 2008.

Ia atas inisiatif Setiausaha Perhubungan Negeri, Mohd Khairuddin Othman, yang mula ditimbulkannya semasa kunjungan ke kediaman saya, Ramadan lalu, bersama Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman, Ketua Muslimat Negeri, Wan Hasrina Wan Hassan dan Ketua Penerangan, Saari Sungib.  Sebagai organ parti, Harakah seharusnya lebih memahami, peka dan sensitif dengan tuntutan akar umbi dan isu-isu setempat.

Keuzuran saya memaksa pertemuan itu dipindahkan dari Pejabat Perhubungan Negeri ke premis berdekatan, pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, bagi mengelak saya memanjat tangga (walhal itulah yang diminta doktor, agar saya dapat bersenam ringkas!).

Turut serta dalam majlis itu, Khalid sendiri, Izham Hashim (Bendahari PAS Negeri) dan Cikgu Jaafar Shamsuddin (Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor). Ramai wakil mengutarakan pandangan, teguran dan cadangan; sesuatu yang amat bermakna buat Harakah mengenal pasti prioriti sebelum "menjelajah lebih jauh dalam belantara politik" negeri termaju, yang bakal menjadi medan tempur paling sengit dalam PRU13 nanti.

Seminggu sebelum itu, saya menjenguk Dr Rani ke pejabatnya, di Meru, Klang. Beliau baru bergegas balik dari sebuah sekolah Tamil berdekatan, menyampaikan sumbangan  kerajaan negeri dan melawat bilik makmal komputer. Wajahnya tetap ceria dan bersemangat walaupun mempunyai aturcara harian yang padat. Sesekali pembantunya keluar masuk  bilik merujuk sesuatu.

Memang agak sukar merakamkan sesi wawancara dengan Dr Rani. Gayanya bersahaja dan lebih suka berbicara secara tidak formal.  Terselit banyak cerita dan komentar isu-isu, sekali gus nasihat keagamaan. Riak mukanya membayangkan butiran kata-kata beliau lahir dari   lubuk hatinya yang paling dalam. Beliau sering menyandarkan pandangannya kepada pimpinan utama parti, Presiden dan Mursyidul Am.

Saya cuba menarik perhatiannya dengan cabaran besar yang terpaksa dipikul apabila dilantik mengetuai PAS Selangor. Ya, bukan mudah baginya menangani masalah dan mengatur langkah, terutama ketika bekas Pesuruhjaya Negeri terdahulu, Dr Hasan Ali meninggalkan gugatan dan "kekecohan" tersendiri. Apa pun, tekad dan keazamannya untuk meletakkan PAS sebagai rakan dalam Pakatan yang berperanan besar di Selangor, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Sesekali saya seperti cuba membandingkan gaya Dr Hasan (yang sempat saya temubual beberapa kali dahulu) dengan Dr Rani. Apa yang jelas, lulusan perubatan Universiti Tanta, Mesir, yang berusia 54 tahun ini, mempunyai pendekatan berbeda yang lebih menyenangkan. Jawapan Dr Rani juga simple.

"Selepas saya dipilih sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, saya merenung ke langit dan terbayang wajah ibu saya. Saya mengatakan bahawa dalam keadaan saya mungkin banyak dosa dengan Allah, dosa dengan ibu bapa dan saya ingin menyampaikan pahala kepada arwah ibu dan bapa saya.

"Emak saya ketika saya pergi Mesir tujuh kali pengsan sebab kenangkan saya. Terus terang saya kata, saya menyusu emak saya sampai darjah satu. Saya memang manja. Saya merasakan bahawa inilah peluang, yang sedikit sebanyak moga-moga kalau ada pahala, bagilah kepada ibu dan ayah saya," tuturnya perlahan tetapi jelas. Saya turut terkedu. Saya terkesan dengan keikhlasannya.

"Memang dari dulu lagi cita-cita saya hendak menjadi seorang doktor, Alhamdulillah tercapai cita-cita itu. Sekarang cita-cita saya hendak mati syahid. Saya tidak takut dengan siapa dan apa pun cabaran. Dengan ini saya harap saya dapat ganjaran di sisi Allah," sambungnya, sambil menghuraikan lebih lanjut perancangan beliau untuk mengangkat kedudukan PAS ke tahap lebih berwibawa dan dihormati, termasuk di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

"Orang PAS setiap hari kena lakukan solat hajat. Jika tidak buat di markas, kena buat di rumah. Hanya Allah saja yang boleh ubah hati manusia. Selain kita buat kerja penerangan dan berkempen dari rumah ke rumah, juga meningkatkan khidmat masyarakat dan membela rakyat, kita kena berserah kepada Allah," ujar Dr Rani lagi, yang memang dikenali sebagai tokoh yang sering turun padang, dalam dan luar negara, membantu masyarakat yang dilanda bencana dan petaka.

Daripada temubual itu, saya (dan Harakah) terdorong untuk turut sama menggerakkan usaha lebih tersusun bagi membantu PAS Selangor menjayakan misi dan impian. Justeru, sesi perbincangan untuk mendekati debar dan getar kecenderungan pengundi, dengan segala kompleksitinya, begitu penting buat wartawan. Saya risau kami sebagai perakam, atau turut sama membentuk, sejarah, tidak dapat membaca realiti sebenar akar umbi, dan kemudiannya membuat analisis atau telahan yang tersasar.

Semasa menjamah juadah (nasi kari kambing) sebelum program bermula, Cikgu Jaafar merapati saya. Melihat kelibatnya segera saya teringat isu-isu besar dan kritikal dalam senarai daftar pemilih. Pertambahan lebih setengah juta pengundi baru di Selangor sering dilihat dengan penuh tanda tanya dan kecurigaan. Tidak syak lagi BN telah menyiapkan pakej penipuan dan manipulasi yang cukup terancang bagi merampas kembali negeri paling strategik dan kritikal itu. Kepada Najib Razak, yang juga Pengerusi Umno dan BN Selangor, Shah Alam sama penting dengan Putrajaya.

"Daftar pemilih Selangor amat kotor. Dan sasaran kita bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terutama berkaitan pengeluaran Mykad," kata Cikgu Jaafar. Saya yakin beliau mempunyai banyak dokumen dan fakta yang menyokongnya. Dan Harakah juga perlu membangkitkan kembali komplot jahat ini.

Machang 'ditenggelami hijau’ Khamis ini

Salmah Mat Husain , 11 Sep 2012

KOTA BHARU: Puluhan ribu rakyat Kelantan dijangka berhimpun di Machang 13 September ini bagi menyemarakkan lagi Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya.

Ketua Penerangan PAS negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program berkenaan bermula esok (Rabu) sehingga 16 September ini.

Katanya, program tertutup khas untuk muslimat bermula pagi Khamis di Dewan Majlis Daerah Machang dan sebelah petang pula diadakan Jamuan Hijau.

Jam 5 hingga 7 petang pula ekspresi Anak Muda, kemudian diikuti solat Maghrib, munajat dan solat Isyak.

“Ceramah khas pada sebelah malam akan disampaikan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu.

“Selain itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin tertinggi PKR,” katanya di sini.  Espo khas bermula esok sehingga malam 16 September.

Katanya juga, program Himpunan Hijau sepatutnya diadakan pada 15 September, namun kerana bertembung program besar lain, tarikh dipercepatkan kepada 13 September.

Oleh itu beliau berharap orang ramai hadir pada program tersebut sebagai melengkapkan agenda Hijau ke Putrajaya yang diadakan di seluruh negara.

Khamis lalu ahli dan penyokong Umno Kelantan berhimpun di Machang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Hari Raya yang diadakan di sebuah sekolah.

Petani diusir pemaju, mengadu ke Suhakam

Anis Nazri, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sekumpulan petani Kampung Sungai Buloh, Sungai Siput (U), Perak yang terlibat dengan pengusiran oleh pihak pemaju, hari ini memohon campur tangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi membantu masalah mereka.

Mereka yang diwakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak, meminta agar badan hak asasi itu dapat membuat lawatan ke kawasan mereka bagi melihat sendiri masalah mereka, di samping berbincang dengan pihak berkuasa.

Menurut jurucakap mereka, Khaw Seng Hean,  kebanyakan mereka merupakan petani yang sudah mengusahakan tanah tersebut sejak 20 tahun lalu.

Kata Khaw, selama ini petani tersebut bercucuk-tanam dan menternak tanpa sebarang gangguan, namun mula terganggu sejak Jun lalu.

"Lebih malang lagi, apabila tiada sebarang perbincangan dan rundingan dibuat di antara pihak pemaju dengan para petani.  Lapan daripada mereka hanya menerima notis untuk keluar dari tanah tersebut sebelum 15 Sept ini," tegas beliau di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Detta Samen, di pejabat Suhakam.

Sementara itu, Detta dalam responsnya berkata pihaknya akan segera membawa perkara tersebut ke Jawatankuasa Aduan bagi tindakan susulan.

Bagaimanapun, beliau mengakui berlaku pelanggaran hak asasi apabila tiada sebarang rundingan dilakukan sebelum tanah tersebut diambil.

Ahli parlimen Sungai Siput, Dr. S. Jeyakumar, berkata kerajaan negeri boleh membuat keputusan yang lebih baik memandangkan tanah tersebut dimiliki pihak kerajaan negeri.

Namun, sehingga hari ini, tiada sebarang respons dari kerajaan negeri biarpun mengetahui permasalahan petani terbabit.

Seluas 121 ekar tanah telah diberikan milik kepada Harta Perak Corporation Sdn Bhd (kemudian ditukar kepada Maju Perak Holding Bhd).

Para petani dan penduduk memohon untuk berbincang dan mendapatkan tanah gantian, namun tidak dipertimbangkan sehingga hari ini.

Langat 2: Pusat berlagak ‘pembuli dan samseng’

Harakahdaily, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam sikap kerajaan Persekutuan kerana cuba berlagak sebagai ‘pembuli dan samseng’ apabila ingin meneruskan agenda projek Loji Rawatan Air Langat 2 walaupun tidak mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri.


“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup kecewa dengan tindakan kerajaan persekutuan yang telah membelakangkan kerajaan negeri Selangor,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pusat tanpa rasa malu telah mengeluarkan iklan tender bagi projek bernilai berbillion ringgit itu di laman sesawang Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) - sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan  tarikh tutup tawaran tender itu ialah pada 20 November 2012.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup yakin dan percaya bahawa Umno dan Barisan Nasional yang mendalangi pengkhianatan di dalam isu pembinaan Langat 2 ini sudah semakin terdesak untuk mendapatkan ‘duit mudah’ bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 dan bukan semata-mata membina loji ini untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.

Hasbullah berkata, pihaknya turut kesal terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet berkenaan isu itu yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menunjukkan sikap dan akhlak seorang pemimpin yang tidak menghormati konsep federalisme dan bersikap khianat terhadap kepimpinan Sultan Selangor selaku pemerintah negeri yang berdaulat.

Oleh itu, tegasnya Pemuda PAS negeri menggesa kerajaan persekutuan menarik semula tender Langat 2 yang sudah diiklankan itu serta memanggil kerajaan negeri di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut itu.

Beliau menambah, pihaknya juga meminta kerajaan negeri supaya mengambil sebarang langkah yang perlu bagi membalas pengkhianatan yang dilakukan itu sekiranya Pusat masih berdegil.

Pakatan akan pisahkan kuasa PM-Menteri Kewangan

Muhammad Faizal, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan memastikan jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri tidak dipegang oleh individu sama jika diberi mandat memerintah negara kelak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pengasingan kuasa itu bagi memastikan kedua-dua pihak masing-masing boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas khususnya dalam menangani krisis ekonomi global yang sedang berlaku.

"Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya masalah tumpuan kepada kerja dan tanggungjawab, yang mana Menteri Kewangan terpaksa menumpukan tugas untuk menyelamatkan parti dari urusan kewangan negara.

"Tindakan pengasingan kuasa ini akan kita laksanakan apabila Pakatan mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya nanti, ini bukan cadangan tapi akan dilaksanakan," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Amalan Perdana Menteri memegang portfolia kewangan serentak katanya telah bermula sejak zaman mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2008 yang ketika itu memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Menurutnya lagi, Barisan Nasional dialu-alukan jika ingin melaksanakan cadangan pengasingan kuasa itu.

"Pakatan menyeru agar Perdana Menteri melepaskan portfolio kewangan kerana ia merupakan sebahagian yang penting dalam sistem 'Westminster' untuk mempunyai seorang CEO dan jawatan CFO yang dipegang oleh orang lain bagi bertindak sebagai 'check and balance'," katanya lagi.

Mustafa turut menyatakan pengasingan jawatan akan dapat memastikan akauntabiliti dalam pengendalian dana negara.

Dalam pada itu beliau turut berpendapat kejatuhan saham Felda Global Vanture Holding (FGVH) hari ini pada aras RM4.58 merupakan petanda yang tidak baik dan bakal memberi kesan kepada seluruh peneroka di negara ini.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Pakatan rancang konvensyen mega di Bukit Jalil

Muhammad Faizal, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dalam perancangan akan menganjurkan Mega Konvensyen Pakatan Rakyat di Stadium Bukit Jalil pada 3 November nanti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini memberitahu perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat esok.

"Mesyuarat hari ini telah memutuskan agar satu himpunan Mega Konvesyen Pakatan Rakyat diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 3 November nanti.

"Dan kita berharap pihak kerajaan mahupun perbadanaan stadium dapat memberi keizinan kepada kita untuk mengadakan himpunan tersebut," jelasnya.

Kata beliau lagi, selaras dengan janji yang dikeluarkan oleh kerajaan yang mana Pakatan boleh mengadakan perhimpunan di mana-mana stadium.

Namum, jika kerajaan gagal mengotakan janji tersebut mereka maka janji ditepati perlu ditukar kepada janji dimungkari, jelas beliau.

"Kita lihat adakah keizinan diberikan atau tidak untuk kita mengadakan perhimpunan di Stadium Bukit Jalil nanti," sambung beliau selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat.

Kes syariah tertangguh: Angka Jamil dipertikai

Ahmad Fadhli Shaari, 11 Sep 2012
Saya merujuk kepada kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri Jamil Khir Baharom seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian Ahad 9 September 2012. Isunya ialah mengenai kes syariah yang masih tertangguh di mana Jamil mendakwa bahawa sebanyak 24,000 kes di mahkamah syariah di negeri Kelantan masih tertangguh. Menurut Jamil, kerajaan Kelantan sewajarnya menyelesaikan kes ini sebelum sibuk membicarakan soal hukum hudud.
Suka untuk saya memberikan respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamil ini yang turut mendapat liputan meluas di dalam media massa yang lain. Antaranya ialah:

1.       Fakta bahawa terdapat 24,000 kes tertangguh di negeri Kelantan tersebut ialah satu fakta yang tidak benar sama sekali. Menurut sumber daripada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan di dalam satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 10 September 2012,  hanya terdapat 5339 kes yang tertunggak daripada tahun 2002 sehingga tahun 2010. Jumlah ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kes Mal dan Jenayah yang didaftarkan iaitu sebanyak 77101 kes di mana 68576 kes daripadanya telah berjaya diselesaikan. Manakala kes-kes yang didaftarkan pada tahun 2011 dan 2012 tidak boleh diistilahkan sebagai kes tertunggak kerana ia masih di dalam prosiding mahkamah. Secara terperinci, ia boleh dilihat melalui jadual berikut:

Kes-kes yang telah didaftarkan dan jumlah tertunggak di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dari tahun 2002 sehingga 2010

Bil
Mahkamah
Kes Didaftarkan
Selesai
Kes Tertunggak
1
Mahkamah Tinggi Syariah
21761
20131
1630
2
Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Kota Bharu
17307
15582
1725
3
MRS Pasir Mas
5487
4843
644
4
MRS Pasir Puteh
4967
4656
311
5
MRS Tanah Merah
3836
3628
208
6
MRS Kuala Krai
4843
4580
263
7
MRS Machang
3800
3603
197
8
MRS Bachok
4989
4974
15
9
MRS Jeli
1355
1266
89
10
MRS Tumpat
5570
5313
257
11
MRS Gua Musang
3186
0
0
JUM
LAH KESELURUHAN
77101
68576
5339

Berasaskan kepada jadual di atas, saya menyifatkan angka yang disebutkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharoom tersebut sangat tidak munasabah dan tidak berpijak di bumi nyata. Dari mana sebenarnya Jamil memperolehi angka ini?

2.       Jika Jamil menganggap bahawa kes di peringkat perbicaraan sebagai kes tertangguh, suka saya merujuk kepada jawapan beliau sendiri di Dewan Negara pada 3 Mei 2012 yang lepas sewaktu menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Senator Dato Dr Johari bin Mat berhubung isu kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah. Di dalam jawapan Jamil, beliau menyenaraikan jumlah kes yang masih di peringkat perbicaraan di mana Johor mencatat jumlah kes 8,306, Selangor (8,259) dan Sabah (5,721). Adakah angka-angka yang disebut sendiri oleh Jamil ini merupakan angka yang rendah? Untuk rujukan, soalan yang diajukan oleh YB Senator Dato Dr Johari bin Mat merupakan soalan lisan bernombor 41 (PN-1251-L14730).

Amatlah tidak tepat sebenarnya jika Jamil mengaitkan jumlah kes-kes dalam perbicaraan sebagai tanda kegagalan kerajaan negeri Kelantan dan menjadikan ia sebagai satu justifikasi untuk menghalang hudud. Perlu diingatkan bahawa Kelantan bukan sahaja antara negeri yang mencatatkan bilangan kes syariah yang tertinggi tetapi juga antara negeri yang mencatatkan jumlah pernikahan dan poligami yang tertinggi. Secara logiknya, bukan suatu perkara yang menghairakan apabila kes pernikahan dan poligami tinggi, kes perceraian dan perbicaraan di mahkamah juga tinggi.

Walau apapun, saya mempertikaikan fakta yang dibawa Jamil. Pada saya, adalah satu angka yang mengarut dan barangkali disebut kerana terlampau terkejut melihat pimpinan UMNO Bahagian Ketereh di hadapannya pada hari itu berjubah dan berserban! Harapan saya agar beliau selaku seorang Menteri lebih berhati-hati di dalam menyatakan fakta dan angka di masa-masa akan datang.

Sekian, wassalam.

Bertarikh: 11 September 2012

Penulis ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Kelantan.

Himpunan lebih besar jika saham FGVH cecah RM4

Muhammad Faizal, 11 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bertegas akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika saham Felda Global Venture Holding (FGVH) terus menjunam sehingga paras RM4.00 seunit.

Presidennya, Mazlan Aliman yang dihubungi memberitahu apa yang berlaku hari ini menunjukkan saham FGVH tidak menentu seperti menunjukkan analisis yang dibuat sebelum penyenaraian adalah tepat.

Malah menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sudah mengetahui bahawa pasaran saham akan mengalami kejatuhan namum mereka masih bertegas untuk meneruskan penyenaraian tersebut.

"Kita sentiasa memantau pergerakan saham FGVH dan jika mendapati kedudukan saham berada pada paras RM4.00 seunit. Maka tidak ada pilihan lain satu himpunan besar-besaran akan diadakan bagi mendesak Perdana Menteri serta pengerusinya bertanggungjawab atas kerugian yang dihadapi oleh Felda dan peneroka," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, selain itu juga Anak akan turut menghantar surat kepada Yang Dipertuan Agong dan juga Majlis Raja-Raja agar turut campur tangan dalam isu saham FGVH ini demi kepentingan peneroka dan juga kedudukan Felda pada masa akan datang.

Beliau turut menjangkakan Najib akan arahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KWAP, Lembaga Tabung Haji dan syarikat-syarikat kerajaan membuat pembelian besar-besaran bagi menyelamatkan FGVH dari terus merudum.

"Perlu diingat jika pembelian gagal melonjak semula saham FGVH, syarikat-syarikat milik kerajaan ini akan menanggung kerugian.

"Ini bukan harta Najib mahupun menteri-menteri kabinet yang lain, ini adalah milik rakyat dan dana rakyat, kesan bukan sahaja kepada peneroka tetapi juga seluruh rakyat negara ini," sambung beliau lagi.

Tiada ulasan: