Isnin, 24 September 2012

BILA SUMBANGAN JELAS ADA MAKSUD TERTENTU...MAKA ROSAK PAHALA IBADAHNYA

Laporan Ketua Audit 2012 dikeluar selepas Bajet

Anis Nazri, 24 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Laporan Audit Negara 2012 hanya akan dikeluarkan seminggu selepas pembentangan Bajet 2013 yang dibentangkan pada 28 Sept ini.

Ia bagi memberi peluang kepada ahli-ahli dewan membincangkan secara lebih fokus tentang bajet, tanpa mencampur-adukkan dengan laporan audit.

Demikian dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada wartawan, di lobi parlimen, hari ini.

Tahun lalu, laporan audit juga dikeluarkan selepas pembentangan Bajet 2012 yang membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Nazri melawat ruang media yang dinaiktarafkan dengan menambah bilangan kerusi, selain menambah soket tambahan.

Penambahbaikan itu dilakukan selepas pihak media mengadu menghadapi kesesakan yang menyebabkan kesukaran pihak media untuk membuat liputan pada sesi lepas.

Tolak pencabulan demokrasi kampus

Harakahdaily, 24 Sep 2012
Kami dengan ini menyatakan sokongan terhadap pendirian dan tindakan para mahasiswa di seluruh Malaysia yang menuntut proses pemilihan perwakilan pelajar atau Pilihan Raya Kampus (PRK) yang telus dan bersih sempena PRK yang bakal berlangsung di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia pada 25 September ini.
PRK adalah merupakan suatu wahana kemasyarakatan dalam konteks alam  kampus yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru, kami menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan oleh sama ada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahupun pihak universiti dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’.

Perbuatan ini seumpama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sepatutnya bersikap adil dalam mengendalikan pilihanraya dan memberi kebebasan hak kepada pengundi untuk menentukan pilihan mereka, TETAPI mereka telah merancang suatu usaha untuk memenangkan calon tertentu.

Sekiranya pihak berkenaan telah merancang untuk memenangkan calon tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan pelbagai bantuan dan pendanaan (sponsorship), maka apalah ertinya dan perlunya sebuah pilihanraya diadakan? Campurtangan seperti ini adalah merupakan suatu perbuatan yang biadap dan  terkutuk.

Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap universiti.

Malah, kami berpendapat, 'pencabul' itu juga merupakan penderhaka terhadap negara dan bangsa yang kita cintai dan adalah wajar mereka segera bertaubat dan berundur daripada terus memegang posisi penting dalam kementerian atau universiti.

Oleh yang demikian, kami menyeru kepada para mahasiswa untuk memilih calon-calon yang berkelayakan untuk dijadikan pemimpin di kampus masing-masing. Pemimpin mahasiswa adalah individu-individu yang mampu berdikari, berpegang  kepada prinsip, jujur, amanah dan berpekerti mulia. Calon-calon yang mesti dipilih adalah calon-calon yang bukan sahaja mempunyai kemampuan untuk menunaikan manifesto yang diumumkan, tetapi juga mestilah yang mampu menjadi uswah dan qudwah kepada warga universiti.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak pernah atau akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mengkhianati prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK kali ini.

Kami juga tidak bersubahat dengan sebarang perbuatan fitnah, kata-kata kesat, adu domba, ugut atau memangsakan lawan   politik mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian hidup berkomuniti dalam kampus.

Justeru, kami menyeru dan menyarankan supaya kesedaran tentang  kepentingan berlaku jujur dan berprinsip terus disuburkan dalam arena politik. Pendidikan dan pembudayaan politik yang sihat adalah sangat penting demi memastikan para mahasiswa lebih matang dan dapat memimpin negara pada masa hadapan secara berprinsip dan berintegriti.

Sekian. Terima kasih.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Ma’ruf Club UIAM (MC)
We Unite For Islam (WUFI)

Parlimen: Lajim tidak kekok sebagai ahli Bebas

Anis Nazri, 24 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Menghadiri persidangan parlimen bagi sesi ini sebagai ahli Bebas, tidak memberikan sebarang rasa kekok kepada bekas ahli kabinet BN, Datuk Seri Lajim Ukin.

Beliau masih meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat biarpun kini sudah tidak berada dalam barisan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kekecewaan apabila terdapat ahli bebas yang tidak berdisiplin ketika mengikuti persidangan.

"Saya kecewa apabila ada ahli parlimen Bebas yang tidak berdisiplin apabila mengganggu ucapan ahli parlimen lain.  Sewajarnya, sebagai ahli parlimen bebas, perlu dengar penghujahan dari pihak kerajaan ataupun pembangkang.

"Kena ada disiplinlah, kalau kerajaan cakap yang baik, kita sokong.  Begitu juga kalau pembangkang hujah yang baik, kita juga sokong," kata beliau merujuk sikap ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan itu berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di pekarangan parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana ahli dewan mengamalkan disiplin ketika bersidang bagi memastikan isu-isu penting negara dapat dibincangkan dengan lebih baik.

Selangor kekal pelaburan tertinggi

Harakahdaily, 24 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Negeri Selangor terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi dalam tempoh setengah tahun ini mengatasi negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pelaburan yang dicatat dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini sahaja mencecah hingga RM7 bilion.

“Sehingga setakat ini Selangor masih mencatat jumlah pelaburan terbesar di Malaysia.

“Terbaru pihak Thailand juga berminat untuk melabur di negeri dengan menyatakan bila berjaya dalam pelaburan ini taraf mereka akan meningkat,” katanya dipetik Selangorku.
Beliau dilapor memaklumkan perkara itu pada satu majlis di Sabak Bernam baru-baru ini.

Menurutnya, perkembangan ekonomi global yang tidak menentu tidak sedikitpun menjejaskan minat pelabur untuk terus menanam modal di negeri ini.

Beliau berkata, keyakinan pelabur itu adalah petanda baik bagi pertumbuhan ekonomi di Selangor.

Pelaburan berterusan itu juga katanya akan membuka banyak peluang perdagangan seterusnya pekerjaan di Selangor.

Katanya, rakyat negeri ini tentunya akan mendapat faedah yang banyak tanpa perlu berhijrah ke negeri lain untuk bekerja.

“Berbanding negeri lain seperti Sabah, rakyatnya perlu keluar untuk mencari kerja,” katanya.

Menjelang hujung tahun ini Kerajaan Negeri mensasarkan peningkatan pelaburan yang lebih tinggi berdasarkan kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara untuk menjalankan perniagaan di negeri ini.

Ianya termasuk pelabur dari China, Jepun dan Korea yang dijangka akan membuat pelaburan dan operasi di negeri ini tidak lama lagi.

Sebelum ini Selangor juga mencatat rekod kedudukan paling tinggi dari segi pelaburan perindustrian di Malaysia setakat Meitahun ini dengan mencapai jumlah pelaburan keseluruhan RM5.125 bilion daripada 106 projek yang diluluskan.

PAS tinjau kolam udang jejas kelip-kelip

Muhammad Faeez Azahar, 24 Sep 2012
BUKIT GANTANG: PAS yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad meninjau projek kolam udang berhampiran Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew, Bukit Gantang, kelmarin.


Rombongan terpaksa menaiki bot (kiri) ke kawasan tersebut kira-kira 15 kilometer daripada jeti melalui sungai.

Rombongan tersebut turut disertai oleh badan bukan kerajaan termasuklah Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang sudah lama memperjuangkan isu ini.

Projek seluas 8 ekar tersebut diusahakan di tanah milik sebuah koperasi yang dikaitkan dengan Umno sejak sekian lama namun ianya belum diambil tindakan oleh pihak berwajib walaupun pelbagai desakan dibuat.

Pembinaan kolam tersebut hanya beberapa meter daripada sungai.

Kolam itu telah menyebabkan bilangan kelip-kelip semakin berkurangan dan ini sangat membimbangkan penduduk tempatan kerana ianya telah menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Menurut seorang wakil penduduk di sini, permasalahan ini telah diajukan kepada pihak berwajib termasuk Exco Pelancongan Negeri, Datuk Hamidah Osman namun tiada tindakan yang diambil.

Nizar berkata, suasana itu sangat membimbangkan kerana ianya melibatkan alam sekitar dan ekosistem.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan kepada pengusaha haram itu kerana projek tersebut ternyata merosakkan alam sekitar terutamanya kelip-kelip yang semakin pupus.

Dalam perkembangan berkaitan, mantan Menteri Besar Perak itu menjelaskan, pelbagai aduan telah diajukan oleh penduduk termasuklah mendesak kolam udang itu ditutup.

Jelasnya, penduduk juga menggesa kerajaan menggazetkan rizab kelip-kelip dengan jarak 50 meter hingga 200 meter mengikut air pasang penuh demi memelihara pembiakan kelip-kelip yang menjadi kawasan perlancongan popular di sini.

Ujar Adun Pasir Panjang itu, penduduk mendesak mengembalikan tanah yang diberikan kepada kroni Umno itu kepada penduduk yang telah memohon lebih awal sebelum ini.

Kesal Nong Chik sumbang sejadah logo Umno BN

KeadilanDaily, 24 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menampal pelekat berlogo BN pada setiap sejadah di surau Pantai Dalam mengganggu penduduk ketika solat.
Difahamkan sumbangan sejumlah sejadah itu didermakan ketika Ramadan lalu yang dilekatkan dengan pelekat kekal berlogo 1Malaysia, Umno BN selain tertera nama portfolionya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebagai penderma.

Ekoran itu, jemaah surau mengadu kerana mereka tidak dapat mengerjakan solat dengan khusyuk lantaran terpandang pelekat tersebut yang dilekatkan betul-betul di penjuru depan sejadah.

Kesal dengan kejadian itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Abdullah Izhar Mohd Yusof berkata, pihaknya turut melaporkan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

“Kita kesal apa yang dibuat Nong Chik. Kalau pun mahu dapat sokongan, jangan terdesak dengan mempolitikkan jemaah dan surau.

“Kita tidak halang mereka mahu beri sumbangan, tapi jangan sehingga boleh mengganggu jemaah solat,” katanya ketika dihubungi.

Abdullah berkata, dengan melekatkan logo tersebut, tidak semestinya boleh memberikan sokongan kepada Nong Chik kerana rakyat tidak menilainya dari segi itu.

“Kita juga ada sumbang telekung kepada surau-surau sekitar Lembah Pantai, tapi tidaklah cetak logo KEADILAN untuk dilekatkan.

“Daripada apa yang saya tahu, tidak semua surau menggunakannya, tapi ada yang terpaksa guna jika jemaah ramai. Setiap surau difahamkan didermakan 10 hingga 20 sejadah,” ujarnya.

Semalam, Nong Chik menyatakan hasratnya untuk bertanding kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum ke-13, kepada pucuk pimpinan BN.

Hina Nabi: PAS kemuka usul di parlimen

Harakahdaily, 24 Sep 2012
KUALA LUMPUR: PAS telah mengemukakan usul bagi menangguhkan sidang meyuarat Dewan Rakyat bagi memberi laluan untuk membincangkan isu filem kontroversi, “Innocence of Muslims” yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia Jumaat lalu, di bawah Peraturan Mesyuarat 18.

“Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan terhadap filem kontroversi “Innocence of Muslims” berdurasi 13 minit, yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW," usul itu dipetik.

Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, sudah lebih dua minggu isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui filem itu membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, yang bukan sahaja dibantah oleh orang Islam tetapi ianya turut dibantah oleh orang bukan Islam.

Menurutnya, filem tersebut telah menyinggung perasaan dan sensitiviti agama Islam kerana menyentuh batang tubuh Nabi Muhammad SAW.

"Satu tindakan peringkat antarabangsa perlu dilakukan dengan mengambil tindakan terhadap penerbit dan pengarah filem tersebut di mana Negara yang terlibat adalah Amerika Syarikat dan kerana sehingga kini satu desakan tidak dilakukan bagi menyatakan bantahan rasmi Negara-negara Islam dan terutamanya Malaysia.

"Oleh yang demikian, saya meletakkan kesungguhan Malaysia melalui Parlimennya untuk menyuarakan bantahan rasmi seterusnya memberikan notis batahan kepada Amerika Syarikat," katanya lagi.

Jumaat lalu, lebih 5,000 umat islam mengadakan himpunan di hadapan bangunan Kedutaan Amerika di ibu negara bagi menyatakan bantahan terhadap filem itu.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu antara lain mendesak Amerika memohon maaf atas kebiadaban penerbit filem warganya itu dan menghentikan filem tersebut sekaligus mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya.

Ketua Hamas, Mishaal mahu berundur

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 24 Sep 2012

GAZA: Pemimpin Hamas yang dalam buangan, Khaled Mishaal (gambar), letih dengan  cabaran dasar dari kepimpinan Hamas dan tidak akan meminta bertanding semula dalam undi yang sedang dijalankan, menurut laporan sumber politik dan diplomatik Ahad lalu.

Sejak lima bulan lalu, Hamas, yang memerintah Semenanjung Gaza sejak 2007, telah secara senyap-senyap mengadakan undi kepimpinan dalam kalangan aktivisnya di wilayah itu, Tebing Barat, penjara Israel dan negara Arab serta negara lain.

Mishal, yang telah mengetuai Hamas sejak 1996 dari pelbagai ibukota Arab, memberitahu mesyuarat pegawai-pegawai kanan di Kaherah minggu lalu bahawa beliau tidak mempunyai keinginan untuk kekal sebagai ketua dan keputusannya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya adalah muktamad, kata sumber yang dekat dengan Hamas.

"Dia (Mishal) memberitahu mereka untuk memilih pemimpin lain," lapor sumber itu.

Mishal dan pegawai Hamas yang lain tidak membuat komen terbuka mengenai kepimpinan masa depan Hamas atau mengenai mesyuarat di Kaherah.

Awal tahun ini, Mishal mencetuskan kemarahan pimpinan Hamas dengan bersetuju bahawa saingan utamanya, Presiden Palestin dan pergerakan Fatah yang disokong Barat, Mahmoud Abbas, boleh mengetuai mana-mana kerajaan perpaduan pada masa hadapan.

Mesir telah menjadi pihak tengah dalam perjanjian damai antara Hamas dan Fatah, yang bertembung pada tahun 2007 dan mengakibatkan Gaza dalam kawalan Hamas dan Abbas menjaga Tebing Barat.

Tetapi pelaksanaan perjanjian itu, yang membayangkan perkongsian kerajaan dan pilihanraya Palestin yang baru, telah ditangguhkan kerana kegagalan kedua-dua pihak untuk mengimplementasi perjanjian terebut.

Mishal juga telah menyuarakan bahawa pada tahun 2011, 20 tahun selepas Persidangan Antarabangsa Timur Tengah 1991, rakyat Palestin bersedia untuk sekali lagi mencuba mencapai negara yang aman. Ia dilihat pengkritik dalam Hamas sebagai kelulusan untuk rundingan Abbas dengan Israel yang kini telah terhenti,.

"Mishal sudah tidak sabar dengan beberapa pegawainya di  Gaza yang cuba untuk merendahkan keputusan yang telah beliau ambil bagi Hamas," kata satu sumber diplomatik di rantau ini.

Hamas telah berulang kali menafikan sebarang perselisihan dalaman.

Mishal, sumber itu menambah, adalah lebih arif tentang politik dunia dan lebih pragmatik daripada pemimpin Hamas yang hanya tinggal di Semenanjung Gaza.

Calon: PAS Pusat yakin budi bicara negeri

Azamin Amin, 24 Sep 2012
POKOK SENA: PAS Pusat menyerahkan kepada budi bicara PAS negeri-negeri untuk menapis senarai calon layak bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata setelah senarai yang dihantar  mendapat persetujuan Pusat, negeri akan menilai semula calon berkenaan sebelum memuktamadkan keputusan.

"Calon import atau tempatan, tunggu sahaja nama calon itu diumumkan kelak,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas Majlis Konvokesyen ke-11 Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), di sini baru-baru ini.

Turut hadir sama di sidang media itu ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Speaker DUN Datuk Dr Isa dan Bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Kadir Syeikh Fadhil.

Ustaz Hadi berkata, senarai akhir menjelang PRU-13 kelak akan diputuskan atas pertimbangan PAS negeri.

"Sebelum ini PAS Kedah sudah hantar beberapa nama untuk satu-satu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Majlis Syura sudah luluskan.

"Ada tiga empat nama bagi setiap Dun, kita serah pada budi bicara PAS Kedah, mereka hantar ke pusat dan pusat buat pertimbangan... seterusnya senarai itu kembali ke negeri dan terserah pada kebijaksanaan negeri masing-masing," katanya.

Sebelum ini, Ustaz Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keutamaan tetap diberikan kepada calon tempatan, memandangkan parti itu mempunyai ramai calon berpotensi.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon luar Kedah dan mendapat persetujuan pusat, kerana keutamaan ialah untuk mendapat kemenangan bagi PAS dalam PRU-13 itu.

Apandi saman Malaysia Harini RM100,000

Aslani M, 24 Sep 2012
KOTA BHARU: Gara-gara menerbitkan berita berunsur fitnah, akhbar Malaysia Harini berdepan dengan tuntutan saman RM100,000 oleh Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad.

Akhbar terbabit pada edisi 4 bertarikh 21 Mei–3 Jun 2012 memaparkan tajuk “PAS Kelantan sangat ‘buas’ jual tanah rakyat’ dan di muka surat 9 pula ditulis “Nik Aziz hanya bela pemimpin bukan rakyat” yang dianggap sebagai fitnah dan tohmahan terhadap plaintif.

Lima defendan dinamakan iaitu wartawan yang juga Pengarang Eksekutif akhbar terbabit, Rudysham Abdul Raof; Ketua Pengarang Eksekutif, Razali Yahaya; Eksekutif Pemasaran, Izwan Mat Yasir.

Selain itu Percetakan Kembara Sdn Bhd dan Penerbit Jurnal Agrotani yang beralamat 101-2, 2nd Floor, Jalan Prima SG 3/2, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Apandi turut menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, ganti rugi punitif dan memohon injunksi menghalang defendan atau ejen-ejennya mengulangi penerbitan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Sehubungan itu Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan bagi akhbar berkenaan memfailkan pernyataan pembelaan.

Plaintif diwakili Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates, manakala akhbar tersebut diwakili peguam Bhag Singh dari Tetuan Bhag Sulaiman & Co.

Sebelum ini Mohd Apandi juga menyaman blogger mesra Umno, Wan Mohamad Shukri Wan Yusof kerana memaparkan tulisan berunsur fitnah bertajuk “YDP PAS Jeli samun tanah rakyat” yang diterbit pada 8 November 2011.

Pada prosidingnya ketika itu blogger terbabit berdepan penghakiman engkar kerana tidak hadir prosiding kes saman berkenaan.

Mahkamah Tinggi menangguhkan kes terbabit kepada 1 Oktober bagi membolehkan peguam Mohd Apandi memfailkan permohonan penghakiman engkar.

Defendan dipercayai pemilik blog http://www.kelatekito.net/ juga menulis “terbaru hasil siasatan dan maklumat dalaman, kelatekito.net mendapati Yang Dipertua Pas Jeli telah mendapat tanah seluas 362.75 ekar di mukim Kuala Pahi, Kuala Krai untuk dibahagikan dengan empat lagi sahabatnya.”

Mohd Apandi menutut gantirugi sebanyak RM1 juta terhadap defendan.

Royalti: Najib diminta nyata pendirian dalam Bajet

Anis Nazri, 24 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyatakan pendiriannya berkaitan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan pada sesi pembentangan Bajet 2013 pada 28 Sept ini. Sekiranya Najib tidak berbuat demikian, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) akan mengadakan konvoi beramai-ramai ke Putrajaya.
Konvoi yang dinamakan Konvoi R Tuntut Royalti ke Putrajaya itu akan diadakan pada 2, 3 dan 4 Oktober ini sempena berlangsungnya perbicaraan kes saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas, di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Presiden R, Nazri Deraman, berkata konvoi berkenaan bertujuan mengajak rakyat Kelantan, Sabah dan Sarawak, Terengganu untuk sama-sama bangkit menuntut bayaran royalti daripada kerajaan.
"Konvoi itu akan bermula dari Kota Bharu ke Shah Alam, dan kemudiannya konvoi ke Putrajaya bagi menuntut pembayaran royalti kepada Kelantan yang tertunggak sejak 2004 yang dianggarkan RM 7 bilion," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, pihak R juga akan menyerahkan memorandum dan referendum yang mengumpulkan 150 000 tanda tangan rakyat Kelantan dalam usaha menuntut royalti minyak Kelantan.
Sebelum itu, R menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat Kelantan, yang diwakili ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub; Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Machang).
Sementara itu, dalam respons terhadap tuntutan R, Dr. Hatta berkata tindakan kerajaan tidak membayar royalti kepada Kelantan itu satu perkara yang tidak boleh dipertahankan.
"Apa yang dituntut mereka adalah perkara yang 'valid' dan berhemah. Tiada sebarang pelanggaran uneang-undang berkaitan tuntutan mereka," tegas beliau.

Tiada ulasan: