Isu lafaz cerai tidak timbul kata Afdlin Shauki
27 September 2012
Dialog yang dilontarkan Rashidi Ishak kepada Vanidah Imran dalam filem Untuk Tiga Hari mengundang kontroversi apabila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mencadangkan pasangan itu merujuk kepada jabatan agama Islam untuk mengetahui status terkini pernikahan mereka.
Dalam filem arahan Afdlin Shauki itu, Rashidi memegang watak Zaffrin atau Afin sementara isterinya yang turut berlakon filem itu memegang watak Uji.
Afdlin turut berlakon memegang watak Armi.
Menjelaskan kekeliruan yang timbul itu, Afdlin berkata, sesiapa sahaja yang menonton filem tersebut dari awal hingga akhir pasti dapat memahami dengan jelas bahawa Rashidi tidak melafazkan cerai ke atas Vanidah.
Sebaliknya jelas Afdlin, lafaz ‘cerai’ itu ditujukan kepada pasangan beliau dalam filem berkenaan iaitu watak Juwita yang dilakonkan Ayu Raudhah.
"Pada pendapat saya mereka yang bercakap mengenai isu lafaz cerai Rashidi dan Vanidah ini belum lagi menonton keseluruhan filem. Saya harap mereka tidak cepat melatah dengan hanya melihat sedutan filem dan mendengar cakap-cakap orang.
"Lebih baik mereka tonton dan selidik sendiri, di mana babak lafaz cerai seperti yang heboh diperkatakan sekarang," jelasnya kepada Sinar Harian, semalam.
Mengulas mengenai penglibatan persatuan itu dalam industri seni, Afdlin berkata, penggiat industri sememangnya memerlukan sebuah badan yang dapat memantau dan membantu penggiat seni dalam menjelaskan perkara-perkara yang mungkin tidak boleh diletakkan dalam sesebuah filem atau drama.
"Kadangkala memang ada kekeliruan berkaitan hukum-hakam yang mungkin penggiat seni kurang jelas dan kita memang memerlukan badan seperti ini untuk membantu menjelaskan tentang sesuatu perkara yang mungkin sensitif.
"Contoh seperti ketetapan dalam al-Quran atau hadis yang mungkin kurang kita fahami dengan jelas maksudnya. Jadi saya memang menyambut baik tawaran dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia tentang perkara ini," katanya.
Untuk Tiga Hari merupakan sebuah kisah yang diadaptasi daripada salah sebuah novel terlaris tulisan Ahadiat Akashah, yang juga penulis bagi novel Lagenda Budak Setan.
Turut dibintangi Dira Abu Zahar, Zizan Nin, Ainul Aishah, Nabil Ahmad, Zizan Raja Lawak, Fauziah Ahmad Daud, Zaibo, dan Khatijah Tan, filem ini mengisahkan Afin dan Uji yang terpaksa berkahwin kerana pilihan orang tua dan memutuskan untuk bercerai selepas tiga hari mereka mendirikan rumah tangga.
Dalam tempoh tiga hari itu juga, mereka mula sedar bahawa itulah jodoh yang terbaik buat mereka seperti mana yang telah ditentukan ALLAH SWT.
Mesej utama yang cuba disampaikan pengarah adalah bermain dengan jodoh bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.
Sementara itu, Vanidah yang dihubungi berkata, beliau tidak mahu masyarakat tersalah anggap dengan kontroversi tersebut dan meminta agar menonton dahulu filem tersebut sebelum memberi sebarang kesimpulan.
“Saya minta maaf kerana tidak dapat memberi komen panjang mengenai perkara ini. Bagi mereka yang kurang jelas mengenai isu lafaz talak ini, seeloknya menonton filem ini terlebih dahulu,” katanya ringkas.
Busu bahagia miliki tiga isteri
27 September 2012
Memegang jawatan sebagai Pengerusi JKKK Pantai selama 12 tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek namun kepercayaan penduduk di kawasan berkenaan terhadap kewibawaannya mengukuhkan lagi kedudukan itu.
Busu Yaacub, 67, mempunyai 13 anak dan 24 cucu menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan baik walaupun terpaksa membahagikan masa bersama isteri pertama, Fatimah@Dayang Muda, 67, isteri kedua, Zainun Abu Bakar, 57 dan isteri ketiga, Aminah Ibrahim, 47.
“Sekiranya saya perlu ke luar negeri atas urusan kerja, ketiga-tiga isteri akan ditinggalkan di kampung supaya memudahkan pergerakan saya selain tidak mahu ada yang berkecil hati.
“Alhamdulillah mereka (isteri) memahami komitmen kerja saya dan sentiasa memberi sokongan dalam setiap tugasan yang perlu dilakukan,” katanya pada Forum Perdana Cakna Keluarga Indahnya Hidup Berkeluarga di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini kelmarin.
Forum anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bandar turut dihadiri ahli panel seperti Muhammad Ramli Nuh dan Datuk Siti Nur Bahyah Mahmood bagi mengupas isu kekeluargaan.
Menurut Busu walaupun dia mempunyai kelebihan menguruskan keluarga dan tugas denagn baik namun dia tidak menggalakkan anaknya untuk berkahwin lebih daripada seorang.
“Saya tidak pernah memberi galakan kepada anak untuk menjejak langkah saya agar berkahwin lebih daripada satu tetapi sekiranya sudah ditakdirkan, saya menerimanya dengan reda,” katanya.
Walaupun dia mengakui bahagia dengan kehidupannya kini, namun itu bukan untuk diikut tetapi sekadar menganggap ia sebagai suratan Ilahi.
“Saya senang dengan komitmen hidup berkeluarga sekarang dan dengan izin ALLAH SWT saya diberi ketenangan untuk mengharungi rumah tangga ini malah sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur.
“Isteri-isteri serta anak dan cucu juga amat rapat menyebabkan kami sering berkumpul terutamanya ketika bercuti dan menghadiri sebarang majlis atau kenduri,” katanya.
Dicekup berkhalwat bersama teman lelaki
27 September 2012
Susulan itu, satu serbuan dilakukan penguat kuasa syariah kira-kira jam 10.45 malam Ahad lalu, berjaya menahan sepasang kekasih yang berada berdua-duaan di sebuah rumah flat, dekat sini.
Ketika ditahan, gadis berusia 21 tahun yang sedang menuntut di salah sebuah kolej swasta itu difahamkan hanya berseluar pendek dan memakai baju singlet tanpa pakaian dalam.
Ketika serbuan, pasangan itu mengaku mempunyai hubungan sebagai sepupu, namun setelah disoal siasat kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim.
Gadis berasal dari Bukit Tunggal dikatakan sedang menjalani latihan amali di Pejabat Kesihatan Dungun, manakala teman lelakinya yang berasal dari Padang Nenas, Kuala Terengganu, kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing.
Pasangan yang mengaku bakal mengikat tali pertunangan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun, 29 Oktober nanti atas dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Santapan gadis ‘butterfly’
27 September 2012
Itu antara pakej ditawarkan pengusaha yang dikatakan masih ingkar dengan arahan pihak berkuasa meski baru sahaja dikenakan tindakan dua minggu lalu.
Difahamkan, pelanggan akan dikenakan caj RM50 bagi pakej ‘butterfly’ di mana wanita muda dan seksi itu akan menjadi peneman mereka berkaraoke selama beberapa minit.
Gadis ‘butterfly’ itu dikatakan akan berpindah ke bilik lain untuk melayan pelanggan yang berkunjung dan berhibur di situ secara bergilir-gilir.
Bayaran sehingga RM300 pula dikenakan kepada pelanggan si hidung belang sekiranya memilih pakej ‘booking’ yang membolehkan mereka berseronok dengan wanita warga asing terbabit dalam tempoh empat jam tanpa gangguan.
Pengarah Jabatan Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ahmad Hasan berkata, premis terbabit pernah beberapa kali diserbu sebelum ini.
Beliau berkata, kali terakhir premis diserbu pada 12 dan 14 September lalu masing-masing oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Katanya, selepas pemilik pertama menghentikan operasi sejak lapan bulan lalu, pemilik kedua dikatakan kembali mengaktifkan operasi perniagaan haram itu sekali lagi.
Menurutnya, berdasarkan aduan orang ramai, pihaknya melakukan pemantauan dan mendapati ia dibuka semula selepas dua kali diserbu.
“Ketika serbuan awal pagi tadi (semalam), seramai 12 wanita warga Vietnam dicekup dipercayai teman sosial kepada pelanggan yang mengunjungi premis hiburan terbabit.
“Mengikut aduan, terdapat aktiviti seks ringan-ringan di dalam bilik karaoke di premis itu kerana pengusaha turut menawarkan pakej seorang ‘amoi’ kepada pelanggan berminat,” katanya.
Beliau berkata, hasil intipan mendapati turut berlaku aktiviti tawar menawar di dalam bilik kecil sekiranya pengunjung mahu perkhidmatan tambahan daripada warga Vietnam yang melayan mereka.
“Semua yang ditahan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala MPSJ menyita premis dan merampas peralatan hiburan digunakan di premis terbabit,” katanya.
Jemaah haji jangan bimbang virus misteri
27 September 2012
Jurucakap kementerian, Khaled al-Mirghalani berkata, wabak itu tidak merebak sungguh pun mangsa itu kini berada di Qatar.
“Terdapat dua kes selesema serius dan kes ini adalah perkara biasa,“ katanya.
Beliau berkata, tiada perubahan syarat terhadap jemaah setakat ini, namun pihak berkuasa akan mengambil langkah waspada.
Kelmarin, Agensi Perlindungan Kesihatan Britain memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai sejenis virus sistem pernafasan yang menyerang seorang pesakit dari Qatar dan kini berada dalam keadaan serius.
Menurutnya, lelaki terbabit tenat selepas diserang koronavirus yang menyebabkan demam panas dan selesema yang mungkin berpunca daripada virus tersebut.
“Sampel diperoleh menunjukkan keadaan hampir serupa seperti dialami mangsa di Arab Saudi yang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan virus misteri tersebut, awal tahun lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu, pihaknya masih mengkaji kesan kes itu dan menasihatkan orang ramai supaya membatasi perjalanan mereka.
Sars pertama kali dikesan di wilayah Guangdong, China pada 2002 dan setahun selepas itu 8,000 mangsa dijangkiti di seluruh dunia dengan 800 dilaporkan maut. - AFP
Kedah benar khutbah politik
27 September 2012
Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya berkata, khatib dibenarkan berbuat demikian selagi ia tidak tersasar dari agama Islam.
“Kalau politik itu untuk kebaikan dan mempunyai unsur-unsur keagamaan tidak mengapa. Tetapi sekiranya ia bertujuan untuk mengata seseorang memang tidak dibenarkan kerana boleh menimbulkan kekacauan,” kata kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang khatib yang membaca khutbah Jumaat berunsur politik baru-baru ini.
“Difahamkan, khatib yang berbuat demikian adalah bukan daripada imam yang mendapat pentauliahan daripada Jaik. Sebaliknya dia hanyalah seorang imam atau khatib jemputan.
“Bagaimanapun, Jaik masih belum menerima laporan penuh berhubung perkara itu,” katanya.
Noh berkata, sekiranya imam yang dilantik Jaik membuat kesalahan atau membaca teks khutbah berunsur politik melampau, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib. Bagaimanapun, masih belum ada rekod kesalahan itu di negeri ini.
Berhubung insiden yang berlaku, Jaik akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil kepada khatib tersebut kerana masih belum mendapat laporan penuh.
“Lagi pun, belum ada mana-mana anak kariah yang datang berjumpa saya untuk melaporkan kejadian yang berlaku dalam masjid berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya, kes yang sering berlaku ini adalah kes yang terpinggir berikutan kelewatan buku khutbah dihantar.
“Walaupun begitu, khatib dibolehkan membaca teks khutbah yang lama sementara menunggu buku yang baru diterima kerana isi kandungan teks adalah lebih kurang sama.
“Lagi pun, sekarang ini adalah musim haji. Khatib boleh baca teks yang lama dahulu,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, salah seorang jemaah kesal dengan tindakan khatib jemputan yang mengaitkan isu politik sewaktu menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, baru-baru ini.
Menurut laporan itu, bekas Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, beliau khuatir disebabkan tindakan berkenaan akan menimbulkan pecah belah di kalangan jemaah masjid.
“Ada juga kalangan jemaah masjid yang hadir mengeluh, menggelengkan kepala kerana tidak menyangka khatib akan berceramah mengenai isu politik termasuk kejadian baling kasut di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, di sini, " katanya.
Kampung Muafakat 'Kampung Bunian'
27 September 2012
Begitulah kepelikan yang menerpa setiap orang yang melalui Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini yang tertanya-tanya dengan kewujudan sebuah papan tanda bertulis Kampung Muafakat, berhampiran ladang Felda Bukit Tongkat.
Ini kerana jika mereka masuk ke kawasan itu, lebih kurang empat kilometer daripada papan tanda berkenaan, tidak ada sebuah rumah pun dijumpai.
Sebaliknya kawasan yang dikatakan perkampungan ini hanya dipenuhi tanaman kelapa sawit dan kebun sayur-sayuran.
Menurut Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Abdul Malik Ismail, hasil tinjauan dan pemeriksaan pihaknya di kawasan tersebut mendapati kampung yang dimaksudkan memang tidak wujud.
“Kawasan ini diterokai secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Papan tanda Kampung Muafakat ini hanya diwujudkan bagi melindungi kegiatan pencerobohan haram di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Malik berkata, kampung itu dipercayai diwujudkan oleh seorang ketua peneroka haram di dalam kawasan tanah Hutan Simpan Kluang.
254.9 hektar kawasan 'kampung' diteroka secara haram
Menurutnya, Kampung Muafakat tidak pernah diketahui kewujudannya, malah ia tidak pernah mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah Daerah Kluang.
“Jika tiada aduan diterima daripada penduduk di kawasan Felda Bukit Tongkat, memang kami tidak menyedari akan perkara ini.
“Hasil lawatan dan pemeriksaan di kawasan yang telah dicerobohi itu kami mendapati, peneroka haram ini telah mula menanam kelapa sawit, sayur-sayuran serta turut mendirikan bangunan sarang burung walit,” katanya.
Abdul Malik berkata, hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati seluas 254.9 hektar kawasan tersebut telah diteroka secara haram.
“Memang tiada sebarang penempatan di sini. Penduduk tempatan juga tidak ada melainkan pendatang asing yang dipercayai bekerja sebagai kuli di kawasan kebun sayur tersebut.
“Selepas pihak kami membuat tinjauan, semakan terus dilakukan oleh Pejabat Tanah Kluang dan hasilnya kami mendapati status tanah kampung tersebut tidak pernah mendapat kelulusan malah tiada permohonan dilakukan sehingga sekarang.
“Jabatan Perhutanan daerah Kluang pula mengesahkan tanah yang diceroboh itu telah dibebaskan pada 1976 namun ia masih belum diwartakan sehingga sekarang dan ia masih berada di dalam penjagaan dan bidang kuasa mereka.
“Ia sekali gus membuktikan Kampung Muafakat tidak pernah wujud,” katanya.
Usaha jejaki 'ketua kampung', pemaju
Dalam pada itu, menurut Abdul Malik, pihaknya kini sedang berusaha menjejak 'ketua' dan 'pemaju' kampung tersebut yang nama mereka tertera di atas papan tanda berkenaan.
Selain itu, tegasnya, Kampung Muafakat kini berstatus tanah yang diceroboh kerana semua kerja tanaman yang dilakukan di kawasan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada mana-mana jabatan sama ada Pejabat Tanah ataupun Pejabat Perhutanan Daerah Kluang.
“Berikutan daripada apa yang berlaku, pihak kami akan mengadakan tindakan bersepadu dengan pihak polis, Rela, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Imigresen dalam masa yang terdekat ini.
“Ia harus dijalankan bagi menyekat aktiviti pencerobohan haram ini yang dianggarkan aktif lebih sepuluh tahun,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut juga akan diadakan untuk mengetahui dalang sebenar yang memberi kebenaran kepada individu terbabit untuk menceroboh tanah hutan simpan itu sehingga menjadi ladang sayur dan kelapa sawit.
Pagar gajah juga rosak
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Bukit Tongkat, Md Yasa Awi Ba berkata, 'kampung' yang dikenali sebagai Kampung Muafakat itu sudah lama wujud, malah hampir sepuluh tahun.
“Pada waktu itu, mereka yang menceroboh kawasan tersebut tidak melakukan sebarang kerosakan di kawasan ladang Bukit Tongkat. Jadi tiada aduan dibuat.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, mereka yang tidak bertanggungjawab telah melakukan kerosakan ke atas pagar gajah serta parit gajah yang menjadi sempadan antara kawasan ladang dan tanah hutan simpan Kluang yang diceroboh itu. Disebabkan itu ramai pemilik ladang mula bengang dan buat aduan kepada pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Md Yasa berkata, apabila pagar gajah sudah dirosakkan, maka pemilik ladang mengalami kerugian kerana gajah liar memasuki kawasan ladang dan memusnahkan tanaman.
Pengurus Felda Bukit Tongkat, Zainal Abidin Jilani berkata, laporan mengenai wujudnya Kampung Muafakat sudah lama diketahui malah terdapat juga individu dilihat keluar masuk ke dalam ladang berkenaan.
Beliau berkata, pada masa ini kawasan tersebut sudah menjadi ladang sayur-sayuran dan kelihatan seolah-olah sudah menjadi hak milik mereka.
“Pihak Felda setakat ini tidak pernah mengambil sebarang tindakan ke atas mereka namun, disebabkan mereka telah merosakkan pagar gajah, pihak kami perlu lakukan sesuatu.
“Bagaimanapun, saya harap masalah tersebut dapat diatasi segera. Jika tidak peneroka Felda akan mengalami kerugian dengan menanggung kos membaiki pagar serta parit gajah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan