Jumaat, 28 September 2012

ORANG SEMUA TAK BETUL...LAGI SALAH...MACAM DIA BETUL AJE...TAK DE YANG SALAH...RAKYAT TAHU SAPE DIA PENYAMUN TARBUS DAN PENYANGGAK...ALLAH...LAGI LAH TAHU...MEREKA TU TUNGGU SAJA HUKUMAN DARI ALLAH...INSYAALLAH

Isu air: Muhyiddin sedia jumpa Selangor

27 September 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan kerajaan negeri Selangor berhubung isu air.
 
"Jika perlu kita akan duduk berbincang, tidak ada masalah, yang pentingnya nak menyelesaikan isu itu (isu air)," katanya mengulas laporan mengenai keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor baru-baru ini, yang mahu menjemput beliau membincangkan isu itu.
 
Bercakap kepada pemberita selepas menutup Festival Bahasa dan Sastera 2012 di sini hari ini, Muhyiddin berkata surat yang dikatakan akan dihantar kepada beliau berhubung perkara itu belum diterima dan beliau hanya mengetahuinya melalui media.
 
Katanya sebelum ini beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa sekiranya beliau berhajat untuk berbincang, sudah ada jawatankuasa di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan negeri yang telah ditubuhkan.
 
"Beliau boleh proceed dengan itu, dan mereka boleh laporkan kepada saya, pendirian kerajaan Pusat telah jelas," katanya.

Muhyiddin berkata yang penting ialah isu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat atau Langat 2, yang jika projek itu tidak diteruskan dalam tempoh sekarang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi krisis bekalan air yang teruk.
 
Katanya kerajaan Pusat tidak menyekat cadangan pihak kerajaan negeri untuk mengambialih semua syarikat konsesi atas pendekatan yang dikatakan holistik.
 
Bagaimanapun, katanya, projek Langat 2 tidak boleh diketepikan dan perkara itu telah disampaikan oleh beliau kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
 
"Saya kata kepada beliau, dia adalah Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, patut dia memberikan nasihat yang betul dan saya meminta kerajaan Negeri Selangor bertindak secara positif iaitu projek itu hendaklah diteruskan, kebenaran dari segi pembangunan iaitu 'development order' mesti dikeluarkan, supaya kerjanya dapat dilaksanakan.
 
"Saya sebutkan ini bukan soal politik tetapi soal kepentingan rakyat  dan jika kita tak buat perkara itu, rakyat akan marah...yang penting kita selesaikan masalah itu," katanya.
 
Ditanya mengenai maklum balas Anwar berhubung perkara itu, Muhyiddin berkata penasihat PKR itu memberitahu akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Selangor. - Bernama
Pahang serius batal perjanjian air Selangor

27 September 2012
 Datuk Seri Adnan Yaakob
$entry.content.caption.value
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri itu serius dalam mengkaji dari segi peruntukan undang-undang membatalkan perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah ke Selangor.
 
Adnan berkata langkah itu diambil berikutan tindakan kerajaan Selangor kini yang dilihat tidak menghormati perjanjian ditandatangani antara kedua-dua kerajaan negeri itu pada 2007, kerana masih berdegil dan tidak membenarkan projek Loji Air Langat 2 diteruskan.
 
"Penasihat Undang-undang negeri sedang meneliti terma terkandung dalam memorandum perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua kerajaan negeri pada 22 November 2007.
 
"Kita sudah teliti terma itu dan memang ada peruntukan kerajaan negeri boleh membatalkan projek berkenaan jika dipersetujui kedua-dua pihak. Saya sudah minta pejabat Penasihat Undang-undang negeri meneliti kandungan MoU itu... dalam tempoh seminggu kita boleh buat keputusan," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan MoU antara Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Maahad Tahfiz negeri Yayasan Pahang, di sini.

Adnan diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar pada Isnin lepas yang mencabar kerajaan Pahang supaya mengeluarkan surat rasmi mengenai pembatalan perjanjian itu dan bukan mengeluarkan kenyataan menerusi media semata-mata.
 
Dr Xavier sebelum itu mengulas kenyataan Adnan pada Ahad lepas bahawa kerajaan Pahang mungkin membatalkan perjanjian penyaluran 1.6 juta meter padu sehari bekalan air mentah ke negeri itu jika kerajaan Selangor tidak membenarkan pembinaan projek Loji Air Langat 2.
 
Adnan berkata, langkah itu akan dilaksanakan jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus berdegil menghalang pembinaan loji tersebut sebagai alternatif menghadapi krisis bekalan air bersih yang dijangka melanda negeri ini pada 2015.

Adnan, bagaimanapun berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan dirujuk kepada kerajaan Persekutuan.
 
"Keputusan muktamad kena dapatkan pandangan kerajaan Pusat sebab ini membabitkan kepentingan ramai. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku dan kerajaan Selangor perlu lebih bertanggungjawab, tidak perlu politikkan semua benda," katanya.
 
Pada 22 November 2007, Pahang dan kerajaan Selangor yang ketika itu di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional menandatangani perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah pada harga 10 sen bagi setiap meter padu.
 
Kerja pembinaan terowong bagi menyalurkan air mentah ke Selangor dari Pahang dijangka selesai pada 2015. - Bernama
BN Pulau Pinang gesa Mansor cakap benar

27 September 2012
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman
GEORGETOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menggesa Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman membuktikan beliau berani kerana benar berhubung kenyataannya yang mengkritik Ketua Menteri Lim Guan Eng baru-baru ini.
 
Pengerusi BN Negeri Teng Chang Yeow berkata tindakan Mansor berdolak-dalik dalam memberi kenyataan kepada media menunjukkan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu seorang pemimpin yang tidak berani.
 
"BN tidak pernah nak campur urusan dalaman parti mereka tetapi kalau beliau dah buat dan cakap sebegitu, mengapa mesti takut untuk  mengaku, tindakan beliau berdolak-dalik menunjukkan Timbalan Ketua  Menteri I itu tidak matang dalam politik.
 
"Kami (BN) cabar beliau tunjukkan kejantanannya dan bercakap benar kerana ia melambangkan kepimpinan beliau sendiri. Sebagai seorang  pemimpin beliau tidak boleh cakap cincai-cincai, iaitu hari ini cakap lain esok cakap lain," katanya pada sidang  akhbar selepas menghadiri mesyuarat BN negeri di sini hari ini.
 
Mansor baru-baru ini didakwa telah mengkritik Lim dengan menyifatkan ketua menteri itu sebagai angkuh dan sombong dalam mesyuarat parti berkenaan April lepas.
 
Bagaimanapun pada sidang medianya, Mansor menafikan dakwaan laporan sebuah blog itu dan berkata beliau tidak mengeluarkan perkataan sombong dan angkuh, seperti yang dilaporkan tetapi mengakui ada mengeluarkan perkataan merujuk Guan Eng sebagai 'tokong'.
 
Sementara itu, Teng berkata BN negeri telah merangka draf manifesto pilihan raya umum ke-13 dan dijangka siap pada penghujung bulan depan.
 
"Draf kerja dasar BN Pulau Pinang untuk tahun 2012 hingga 2020 dan PRU-13 telah siap dan kita akan mengadakan mesyuarat khas dengan parti komponen BN yang lain bagi memperhalusi dan memuktamadkannya untuk manifesto BN," katanya. - Bernama
Ku Chin Wah: Empat gadis mangsa perogol bersiri

27 September 2012
KUALA LUMPUR - Empat gadis dikenal pasti menjadi mangsa seorang lelaki, dipercayai perogol bersiri, yang ditahan polis semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah di sini hari ini.
 
Beliau berkata gadis berumur antara 17 dan 22 tahun itu dipercayai terpedaya dengan taktik lelaki itu yang menawarkan pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web.
 
"Modus operandi lelaki itu adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web sebelum memujuk dan memperdaya mereka agar menghadiri 'temu duga' di bilik hotel bajet di ibu negara," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) malam ini.
 
Beliau berkata mangsa akan dihubungi suspek kononnya telah disenarai pendek untuk menjalani sesi temu duga dan menetapkan temu janji di hotel-hotel sekitar ibu kota sebelum meminta mangsa mendaftar masuk atas nama mereka sendiri.
 
Ku menasihat pencari kerja melalui laman web khususnya wanita supaya lebih berhati-hati agar tidak terpedaya dengan individu yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan.

Semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang diklasifikasikan sebagai perogol bersiri dan amat dikehendaki polis sejak 2010, di sebuah rumah di Seksyen 27, Shah Alam, pada 2 pagi.
 
Suspek kini direman bagi membantu kes membabitkan samun dan rogol mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan, katanya.  - Bernama
Majalah Sepanyol pula terbit karikatur hina Nabi Muhammad
Wartawan Sinar Harian
27 September 2012
MADRID - Lebih seminggu selepas tindakan sebuah majalah Perancis, majalah satira Sepanyol pula menerbitkan karikatur menggambarkan wajah Nabi Muhammad SAW pada muka depan, langkah yang dijangka mencetuskan lagi kemarahan umat Islam.

Majalah Perancis, Charlie Hebdo menerbitkan karikaturnya selepas tercetusnya protes sedunia ekoran filem kemunculan filem Innocence of Muslims.

Edisi terbaru El Jueves muncul di pasaran semalam dengan karikatur muka depan menggambarkan beberapa Muslim berbaris dengan nombor tahanan polis masing-masing manakala kapsyennya pula menyebut "adakah sesiapa tahu rupa Nabi Muhammad."

Laporan Reuters menyebut isu terbaru ini turut mencetuskan debat di Barat mengenai soal tapisan kandungan dan kebebasan berucap.

Reuters menambah, majalah itu enggan mengulas motif karikatur itu.

Kedutaan Sepanyol semalam mengeluarkan nasihat kepada warganegaranya di Mesir agar berhati-hati jika tercetus protes dan tindak balas ekoran penerbitan karikatur itu.

Bagaimanapun ia tidak menyebut sama ada langkah keselamatan dipertingkatkan di negara-negara Arab yang lain.

"Kami masih menganalisis apakah langkah yang hendak diambil," kata sumber Kementerian Luar.
2 anggota polis ditembak semasa ronda stabil

27 September 2012
R. Subramaniam
R. Subramaniam, 52, yang cedera ditembak sekumpulan penjenayah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini - Foto Bernama
Nor Azlan Abu Bakar
Nor Azlan Abu Bakar, 41, yang cedera ditembak sekumpulan penjenayah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini - Foto Bernama
PETALING JAYA - Dua anggota polis unit peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang dilaporkan parah ditembak sekumpulan penjenayah semalam berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dua anggota berpangkat Koperal itu yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersemangat untuk kembali bertugas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kedua-dua anggota polis itu di PPUM di sini hari ini.
Khalid yang diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat mangsa yang ditempatkan di Tingkat 6 dan 7 pusat perubatan itu.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang semalam itu, dua anggota berkenaan ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.
Tembakan tersebut menyebabkan Koperal R. Subramaniam, 52, cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera di leher.
Khalid berkata, dua anggotanya turut melepaskan tembakan ke arah suspek sebagai mempertahankan diri namun tidak dapat dipastikan sama ada mengenai sasaran dengan penjenayah berjaya melarikan diri.
Sementara itu, Ku berkata tiga das tembakan telah dilepaskan anggota berkenaan ke arah suspek dan dipercayai telah terkena tangki minyak kereta Proton Saga yang dinaiki penjenayah.
Tembakan itu menyebabkan berlaku kebocoran pada tangki petrol dan telah memaksa mereka meninggalkan kereta yang dinaiki kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki, katanya.
Beliau berkata, polis belum dapat mengenal pasti identiti empat penjenayah terbabit, manakala siasatan mendapati kereta yang digunakan bukan kereta yang dicuri sebaliknya telah dijual oleh pemilik asal kepada orang lain.
"Setakat ini lima saksi yang berada di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuchai Lama menuju ke Lebuhraya Maju telah diambil keterangan dan usaha mengesan dan memburu suspek giat dijalankan," katanya.
Bagi Subramaniam, kejadian itu merupakan pengalaman pahit pertama yang dilaluinya sejak menyertai pasukan polis 31 tahun lepas.
"Semasa saya dan Azlan menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba saya lihat seorang daripada empat suspek di dalam kereta mengeluarkan pistol dan menembak ke arah kami.
"Kejadian berlaku sangat cepat. Kami sempat membalas tembakan sebelum rebah di tempat kejadian," katanya yang mempunyai seorang isteri dan dua anak berumur 23 dan 28 tahun. – Bernama
Rayuan bekas pengikut Ayah Pin ditolak, hukuman penjara kekal
RUBIAH OMAR
27 September 2012
Kamariah Ali
Kamariah Ali (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Rayuan Syariah, Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU - Seorang pengikut ajaran sesat ‘Kerajaan Langit Ayah Pin’, Kamariah Ali, 61, terpaksa akur selepas Mahkamah Rayuan Syariah di sini, hari ini menolak permohonan rayuannya dan mengekalkan hukuman dua tahun penjara yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah terhadapnya, empat tahun lalu.

Sebelum ini, pada 3 Mac 2008, bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar itu, telah didapati bersalah mendakwa dirinya bukan Islam bagi mengelak daripada diambil tindakan dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamad Abdullah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya.

Kamariah telah didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana mengaku bukan Islam sebagai jalan mengelak diambil tindakan di atas kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen sama kerana melanggar fatwa.

Bagaimanapun, semalam, tiga panel Hakim Syarie diketuai Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Datuk Md Yusup Che Teh dan Datuk Husin Harun memutuskan, hukuman dua tahun penjara yang dikenakan sebelum ini dikekalkan dan mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa semalam di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ibrahim ketika membacakan penghakiman itu berkata, selepas panel hakim meneliti semua alasan dan rayuan perayu (Kamariah) serta bukti, hujah dan dokumen dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang diputuskan pada 3 Mac 2008.

“Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan fakta dalam kes itu dan Kamariah didapati melakukan kesalahan berat dan serius serta mengancam kelangsungan hidup beragama,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kasmizan Abdullah manakala Kamariah diwakili peguam, Saadiah Din.

Sebelum ini, pada 20 Julai 2005, Kamariah antara yang ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu dengan bantuan polis di Kampung Ayah Pin di Batu 13, Besut.

Kemudian, Kamariah dituduh mengeluarkan kenyataan keluar dari Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari, 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Dia mengaku bukan Islam bagi mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana melanggar fatwa yang mengisytiharkan ajaran Ayah Pin atau Ariffin Mohamad sebagai sesat.

Bagaimanapun, dia bersama 40 pengikut lain yang turut didakwa atas kesalahan sama dibebas tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah daripada pertuduhan itu, namun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 7 Enakmen sama, kerana mengaku bukan Islam.

Sepanjang prosiding kesnya pada 2008, Kamariah mencuri perhatian mahkamah apabila berdolak dalik ketika Mohamad memintanya mengucap dua kalimah syahadah untuk merungkai keraguan status agamanya.
Isu jet: Tanya pihak berkuasa, kata Tian Chua
JAMILAH HAMZAH
27 September 2012
Tian Chua
Tian Chua
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Tian Chua mencabar kerajaan menyemak status jet peribadi dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) semasa lawatan ke Sabah baru-baru ini untuk pengesahan kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk nyatakan perkara itu.

Menurutnya, kerajaan dan orang ramai yang ingin mengetahui status jet tersebut perlu menyemaknya dengan pihak yang sepatutnya.

Katanya,"kita cabar kerajaan untuk semak daripada pihak berkuasa, tanya Menteri Pengangkutan, pergi DCA kalau nak tahu, siapa yang sewa, dan siapa yang uruskan.”

Sehubungan itu Ahli Parlimen Batu ini berkata: “Saya  tak menyesal memuat naik gambar-gambar jet yang dinaiki Anwar kerana kita telus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam laporan media tempatan hari ini, Tian Chua dibidas kerana mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Anwar berhubung isu beberapa pemimpin pembangkang menaiki sebuah jet eksekutif ke Sabah baru-baru ini.

Teguran itu dibuatoleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang memberitahu wakil rakyat itu sepatutnya memastikan maklumat yang tepat berhubung jet berkenaan sama ada disewa atau ditaja sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskannya dan membuat kenyataan mengenai perkara ini. Jadi kita ikut kenyataan itu,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau mengetahui siapa pemilikjet tersebut, Tian Chua berkata: “Saya tahu tapi saya tak ada kuasa untuk  nyatakannya...pergi tanya pihak yang lebih berkuasalah.”
Brazil tahan Presiden Google enggan buang video fitnah

27 September 2012
Brazil tahan Presiden Google enggan buang video fitnah
Fabio Jose Silva Coelho
RIO DE JANEIRO - Pihak berkuasa menahan Presiden Google di Brazil, Fabio Jose Silva Coelho semalam atas dakwaan melanggar undang-undang pilihan raya negara Amerika Selatan itu.
Coelho didakwa tidak mengeluarkan video atas talian yang didakwa memfitnah seorang calon jawatan Datuk Bandar.
Tindakan itu muncul ketika beberapa negara mendesak YouTube dan Google mengeluarkan klip filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Mato Grosso do Sul, negeri di barat daya, menuduh  Coelho enggan mematuhi permintaan agar video berkenaan dikeluarkan dari YouTube.
Polis persekutuan menahan Coelho semalam. Penahanannya diumumkan di Sao Paulo.
Bagaimanapun menurut polis, tindakan Coelho hanya jenayah kecil dan akan dibebaskan sebaik dia menandatangani dokumen bahawa dia akan hadir di mahkamah.
Di bawah undang-undang Brazil, tindakan melanggar arahan hakim boleh membawa hukuman penjara setahun.
Awal bulan ini, seorang eksekutif syarikat lain berhadapan dengan dakwaan yang sama di negeri utara Brazil, Paraiba kerana didakwa memfitnah calon Datuk Bandar di wilayah itu.
Gerakan harap tiada sabotaj dalam Umno
Wartawan Sinar Harian
27 September 2012
Datuk Yap Kea Ping
Datuk Yap Kea Ping
KUALA TERENGGANU – Parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini mengharapkan isu sabotaj dalam Umno tidak berlaku menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengerusi Gerakan Terengganu, Datuk Yap Kea Ping berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya memikirkan kepentingan peribadi di saat negara menghadapi pilihan raya.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu saling sokong menyokong antara satu sama lain bagi menambahkan kekuatan parti dan mengekalkan kerajaan BN sedia ada di negeri ini.

“Perdana Menteri juga sudah menunjukkan usaha yang baik dan sepatutnya kita sebagai akar umbi dan pimpinan di peringkat bawah patut meningkatkan usaha selari dengan Pusat.

“Itu paling penting. Kalau sabotaj sini, sabotaj sana akan membuatkan BN jatuh, lagilah malang bukan hanya kepada Umno tetapi kepada semua komponen serta kedudukan BN di peringkat Pusat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengakui tiada maklumat terhadap kejadian seumpama itu di negeri ini namun mengharapkan tidak berlaku unsur sabotaj, lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu ramai pihak berminat menjadi calon.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta masalah dalaman yang timbul diselesaikan dengan cara bijak bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini termasuk perebutan kuasa.

Paling penting katanya, mana-mana pemimpin atau individu dalam BN tidak seharusnya memikirkan kepentingan peribadi sebaliknya bersama-sama memastikan perancangan dan pelaksanaan kerajaan dapat diteruskan dalam negara pada masa akan datang.

Dalam masa sama, beliau mengharapkan semua pihak yang berhasrat menjadi calon tetapi tidak terpilih supaya menerima keputusan kepimpinan dengan terbuka.

“Kalau seseorang itu merasakan mereka bekerja kuat untuk menjadi calon, sebenarnya masih ramai lagi yang bekerja kuat di Parlimen dan Dun tersebut. Jika mereka tidak terpilih, perlu terimalah.

“Kita perlu sokong satu sama lain kerana kalau kita menjadi calon, orang sokong kita tetapi kalau orang lain jadi calon, kita pula sokong orang, mesti sokong menyokong,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kekuatan BN bukan hanya bergantung pada satu parti sebaliknya memerlukan usaha berterusan daripada semua parti komponen dalam memastikan BN terus kukuh dalam politik negara.
Umno Pulau Pinang dakwa Speaker Dun ada ekuiti dalam Taman Tema

27 September 2012
GEORGETOWN - Umno Pulau Pinang hari ini mendakwa kononnya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Abdul Halim Hussain mempunyai kepentingan dalam projek taman tema "Escape" di Teluk Bahang.
 
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata sehubungan itu, pihaknya mahu kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung perkara itu agar rakyat Pulau Pinang tahu perkara sebenar.
 
"Saya nak tanya dan mahu penjelasan daripada kerajaan negeri dan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tentang adakah benar projek (taman tema) yang dibangunkan di tanah milik syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Teluk Bahang itu mempunyai kaitan dengan Speaker DUN," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Musa mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara berkenaan dan akan mendedahkannya jika kerajaan negeri tidak mahu memberi penjelasan berhubung isu terbabit dalam minggu ini. - Bernama
Perkasa anggap pembangkang tidak layak guna istilah Pakatan Rakyat
Wartawan Sinar Harian
27 September 2012
KUALA TERENGGANU – Pembangkang tidak layak dipanggil Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak mampu berpakat dengan baik dalam pelbagai perkara termasuk isu pembubaran Dun.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, keempat-empat negeri di bawah pakatan pembangkang menunjukkan sikap tidak konsisten antara satu sama lain apabila berbeza pendirian sama ada membubarkan Dun serentak dengan Parlimen atau sebaliknya.

Menurutnya, sikap tersebut sekali lagi menjelaskan sikap ketiga-tiga parti itu yang tidak mampu mencapai kesepakatan yang jelas.

“Kelantan mahu serentak dengan Parlimen tetapi Selangor sebaliknya. Ini menunjukkan dalam pakatan itu tidak berpakat dan mereka tidak layak dipanggil Pakatan Rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas laporan bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendirian mahu membubarkan Dun serentak pembubaran Parlimen, manakala Ketua Umum PR, Datuk Seri

Anwar Ibrahim mengumumkan Selangor akan mengadakan pilihan raya secara berasingan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula masih belum menetapkan pendirian sama ada mahu bubarkan Dun serentak atau berasingan dengan pembubaran Parlimen.

Fakhrul Azman turut memberitahu bahawa apa yang ingin dilakukan Selangor kelak bakal memberi kesan negatif terutama dari sudut keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi dalam negara.

Beliau berkata, selain persepsi kurang baik dari sudut politik, kesannya juga akan turut dirasai dari aspek ekonomi.

Sementara itu, Fakhrul Azman turut mencadangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihati ‘rakannya’ itu sambil mempersoalkan tujuan Anwar membuat keputusan sedemikian walaupun hakikatnya beliau bukanlah ketua tadbir di Selangor.

Beliau turut menjelaskan bahawa Selangor kelak mungkin akan menjadi tumpuan ramai sekiranya ia dilakukan secara tidak serentak dengan pembubaran Parlimen dan memberitahu bahawa Anwar tidak sepatutnya menyalahkan mana-mana pihak sekiranya berlaku kemungkinan Selangor tidak lagi kekal kepada PR.

“Kalau boleh Datuk Seri Abdul Hadi menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau percayakan demokrasi sebagaimana yang dikatakannya kepada saya ketika beberapa exco Pemuda Keadilan berkunjung ke rumahnya pada hari raya selepas kemenangan Pas di Terengganu bahawa beliau percaya kepada demokrasi dan bukan demonstrasi,” katanya.
Lokman: Anwar cakap tidak serupa bikin
Wartawan Sinar Harian
27 September 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam berkata, beliau tidak mahu pertikai tindakan Anwar sama ada ditaja, sewa atau beli jet peribadi tersebut, tetapi pokoknya ia bercanggah dengan kenyataan Anwar sebelum ini.

Beliau berkata, perbelanjaan Anwar turut dipersoalkan ketika membeli banglo bernilai RM6 juta di Segambut Dalam dan kereta pertama, MG Rover 3500cc bernilai ratusan ribu ringgit setelah dilepaskan dari penjara.

“Selepas enam tahun dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Anwar hidup dalam kemewahan, walhal tidak bekerja sepanjang tempoh tersebut.

“Saya menyeru agar rakyat membuat pilihan yang tepat dan guna akal memilih pemimpin negara. Jangan ikut hawa nafsu dan emosi,” katanya.

Pada sidang media di Parlimen, Isnin lalu, Anwar menjelaskan, pesawat peribadi itu bukan miliknya, tetapi ditaja oleh seorang kenalan.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, menjelaskan jet itu berpangkalan di Kuala Lumpur dan berdaftar dengan Jabatan Penerbangan Awam dengan nombor pendaftaran N990BB.

Tiada ulasan: