Jumaat, 21 September 2012

ORANG YANG TIADA HUTANG...ITU LAH ORANG YANG KAYA MENURUT SYAIDINA ALI R.A

Ribuan di Kedutaan AS, bantah filem hina nabi

Muhamad Faizal, Hazayani Zakaria, 21 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Ribuan umat Islam hari ini menyertai himpunan di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi membantah penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Himpunan yang diberi nama "Expresi Hijau Kasih Nabi" anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji sebelum berarak menuju ke bagunan kedutaan kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.

Dianggarkan hampir 5,000 menyertai himpunan ini termasuk dari kalangan muslimat, mahasiswa dan umat Islam perihatin.

Antara yang berada di barisan hadapan perarakan ini termasuklah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hassan, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

Mereka juga menggunakan lori sebagai pentas bergerak di samping beberapa pimpinan di atasnya menyampaikan ucapan.

Sepanjang perarakan mereka melaungkan slogan 'hancur Amerika, hidup Islam, kami sayang nabi' sambil membawa poster dan kain rentang mengecam tindakan biadap penerbit filem berbangsa Yahudi, Sam Bacile itu.

Perarakan ini turut dikawal pasukan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Pusat sementara lebih 200 anggota polis berkawal di hadapan bangunan kedutaan.

Salahuddin dalam ucapannya mendesak Presiden Amerika Barack Obama memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas penghinaan yang dibuat penerbit filem Amerika itu.

"Kita orang Islam hormat agama lain. Kita hormat Yahudi, Budha, Sikh dan sebagainya. Oleh itu kita minta Amerika memohon maaf kepada umat Islam.

"Jangan hina nabi kami, kelak akan mengundang padah. Kami sayangkan nabi dan agama kami. Kita rela pertahankan dalam apa juga keadaan," katanya disambut laungan hidup Islam oleh para hadirin.

Sementara itu, Tian Chua dalam ucapannya berkata, mewakili kaum Cina beliau kesal dengan tindakan penghinaan terhadap agama Islam.

Beliau juga mendakwa isu ini bukan isu agama Islam semata-mata malah juga berkait dengan isu kemanusiaan sejagat.

"Kita perlu tunjukkan semangat setiakawan. Penghinaan ini harus dihentikan dan Amerika perlu ambil tindakan segera.

"Kita tidak mahu berlaku pertembungan antara agama," ujarnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim, Nasrudin Hassan dan Tian Chua dilihat masuk bertemu dengan wakil kedutaan.

Sementara menunggu pertemuan dengan wakil kedutaan selesai, pidato di luar pagar bangunan kedutaan diteruskan.

Antara yang berucap termasuklah Timbalan Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, dan Naib Presiden PKR N Surendran.

Enggan bertemu

Nasruddin ketika bercakap kepada media selepas keluar dari bangunan itu berkata, pihaknya kesal dengan layanan wakil kedutaan yang enggan bertemu dengan pihaknya untuk menerima memorandum.

Menurutnya, tiada wakil pejabat kedutaan yang turun melainkan hanya menghantar pengawal keselamtan dan ianya sekali lagi menunjukkan sikap biadap negara itu.

"Ini adalah penghinaan berpanjangan. Dahulu Denmark telah menghina nabi dan sekarang berulang lagi.

"Mereka tidak boleh menghina agama laian walaupun mereka berkuasa. Kita tidak akan benar apa jua bentuk terhadap agama Islam ataupun agama-agama lain," katanya.

Beliau juga mengumumkan himpunan serupa akan diadakan di seluruh negara pada Jumaat akan datang beserta munajat perdana bagi menyatakan kecintaan pada nabi.

Sementara itu, sekumpulan peserta himpunan dilihat turut membakar kain rentang yang bercetak bendera amerika dan Israel sebagai tanda bantahan.

Himpunan tersebut kemudiannya bersurai kira-kira jam 3.20 petang selepas bacaan doa penutup oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.




 

 

Hina Nabi: PAS desak DUN Perlis buat sidang khas

Bashir Ishak, 21 Sep 2012
KANGAR: Ekoran bantahan umat Islam di seluruh dunia ke atas penerbitan filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad saw, PAS Perlis mendesak Dewan Undangan Negeri Perlis untuk mengadakan sidang khas berkaitan isu ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir (gambar), sidang khas DUN Perlis ini perlu diadakan untuk mengambil ketetapan mengutuk perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

"Kita minta sidang ini diadakan sebagai satu tanda bahawa ini adalah kemuncak kepada kemarahan umat Islam khususnya di negeri Perlis dan sebagai satu tanda kesatuan umat Islam di negeri ini yang menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi s.a.w mahupun terhadap Islam itu sendiri," jelasnya.

Mohd Anuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat juga menyarankan kepada PAS supaya mendesak parlimen Malaysia untuk mengadakan sidang bagi tujuan yang sama.

"Dijangkakan parlimen akan bersidang tidak lama lagi, maka perlu juga dibuat satu ketetapan atau usul yang sama di parlimen nanti," katanya.

Bantah



(Umat Islam Perlis berdemo di Masjid Putra bantah filem hina Nabi)

Sementara itu, laungan takbir dan kutukan "Laknat Nakoula", "Laknat Yahudi" bergema di perkarangan Masjid Putra dekat sini sebagai tanda protes umat Islam di negeri Perlis ke atas penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw melalui penerbitan filem Innocence of Muslims.

Himpunan aman ini yang diterajui oleh Dewan Ulama PAS Perlis ini  bermula sejurus para jemaah selesai menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.

Perhimpunan bermula dengan ucapan ringkas oleh Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman sebelum ucapan penuh bersemangat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir.

Dalam ucapannya, Mohd Anuar mengajak umat Islam di negeri Perlis bersatu hati untuk menentang sebarang penghinaan terhadap Rasul Junjungan yang dimuliakan oleh Allah.

"Banyak bentuk penghinaan terhadap Islam yang sebelum ini kita bersabat. Kita tak buat apa bila orang hina janggut Nabi, kita juga bersabar bila ada orang baling kasut dalam masjid, tapi hari ini marilah kita seluruh umat Islam bangun menentang penghinaan terhadap Nabi s.a.w melalui penerbitan filem ini.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan laknat oleh penulis dan penerbit filem ini, Nakoula Basseley Nakoula," demikian antara kata-kata yang diucapkan beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Perhimpunan ini turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan, Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob serta pimpinan KeADILan negeri Perlis.

Khalid Samad menang lagi kes ke atas Adun Umno

Harakahdaily, 21 Sep 2012
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan  Exco Kerajaan Negeri Perak dan juga ADUN Sungai Rapat, Perak, Hamidah Osman dengan kos bagi mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang diberikan pada 1 Jun yang lalu.

Dalam keputusannya hari ini Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh Hakim Datuk Ramly Haji Ali, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Anantham Kasinather memutuskan bahawa mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa bagi mendengar kes tort.

Pada 1 Jun yang lalu Hakim Datuk Haji Zainal Azman telah menolak permohonan Hamidah bagi membatalkan saman Khalid Samad ke atas beliau atas  tulisan yang mengandungi tuduhan fitnah ke atas Khalid Samad di blog Hamidah http://hamidahosman.blogspot.com pada atau sekitar Januari 2010.

Antara lain di dalam blognya, Hamidah menyiarkan gambar super imposed Khalid Samad sebagaimana sebelah.

Dan beliau juga menulis antara lain “Golongan yang menyokong pengunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian mengantikan perkataan ‘God’ kepada didalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya dengan keputusan mahkamah ini.”

Beliau juga menulis “Sekalung tahniah buat parti PAS kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat Islam di negara ini."

Atas tulisan beliau di blog tersebut Khalid telah melalui peguamnya, Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan writ saman ke atas Hamidah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kausa tindakan fitnah.

Pada pendengaran rayuan hari ini Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Hamidah diwakili oleh Datuk Hafarrizam Haron dari Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 dan 21 November 2012.

Pilihan raya Selangor mungkin berasingan juga

Subky Latif, 21 Sep 2012
Ketika PM Najib hendak mengadakan PRU segera dulu, Selangor memutuskan ia tidak akan mengadakan pilihan raya serentak selagi tidak masuk ke tahun terakhir buat penggal lima tahun yang bermula 2008.

Sekarang Najib telah melewatkannya dan bersedia untuk mengadakannya bila-bila masa tetapi Selangor pula tidak mahu membubarkan DUN jika PRU diadakan tahun ini sekalipun ia sudah berada ditahun yang terakhir. Mungkin ia akan mengadakannya pada bulan terakhir penggal itu.

Alasannya ialah SPR tetap dilihat tidak bersih dan tidak adil. Panitia Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 masih melihat bergelumang dengan kekotoran. Selangor yang ada kuasa untuk menentukan bila DUNnya akan dibubarkan tidak mahu mengadakan pilihan raya dalam suasana tidak sihat itu.

Walaupun pilihan rayanya pada bulan terakhirnya nanti tidak menjamin ia diadakan dalam suasana yang dimahunya, tetapi ia mahu mendenda SPR yang sentiasa senget itu untuk membuat kerja dua kali.

Kalau pilihan raya itu serentak SPR buat kerja sekali saja. Kerja SPR tidak selesai kerana Selangor belum pilihan raya. SPR tidak dapat tutup buku. Pengerusi dan timbalannya serta sekian  ramai petugasnya tidak dapat mengambil cuti kerana kerja masing-masing belum selesai.

Gara-gara SPR yang dilihat tidak telus, tidak adil dan tidak bersih itu menyebabkan negara terpaksa menanggung beban belanja yang sekali ganda.

Tiada siapa yang untung apabila kerajaan dan negara terpaksa menanggung beban kewangan yang lebih besar dan membazir tetapi ia adalah satu denda negara kerana membenarkan kecurangan berlaku.

Kerajaan dan pemimpin jadi curang kerana ia direlai beberapa aparat negara seperti SPR, polis, jabatan peguam negara, jabatan kehakiman dan lain-lain. Semua aparat yang sepatutnya bebas dan merdeka telah setuju dilacurkan oleh pemimpin kerajaan yang curang itu.

Dengan denda yang dilakukan oleh kerajaan Selangor itu, semua individu yang merelakan aparat di bawah tanggungjawabnya dilacurkan terpaksa menanggung beban kerugian negara itu. Keluarga dan anak cucu mereka ikut menanggung beban itu.

Selama ini orang sangka parti pembangkang dan rakyat saja yang menjadi mangsa dan hamba kerajaan dan pemimpinnya yang kejam dan zalim, jika sekalian hakim, pemimpin polis, pemuka SPR dan pembesar jabatan peguam negara terdiri orang yang merdeka dan bebas, mereka sepatutnya sedar bahawa bukan saja rakyat dan pembangkang terpaksa menjadi mangsa, tetapi mereka dan anak cucu mereka juga jadi mangsa kepada sistem negara yang menyeleweng itu.

Apabila ada antara anak cucu mereka yang sedar nanti, mereka akan mengutuk dan maki hamun datuk nenek mereka yang membenarkan institusi bebas itu dilacur.

Parti yang memerintah Selangor tetap tidak mendapat layanan yang adil oleh SPR yang sama sekalipun pilihan raya diadakan berasingan. Tetapi siapa tahu kalau PRU13 yang diadakan dulu itu dimenangi oleh Pakatan Rakyat?

Jika fathul (pembebasan) Putrajaya dapat dilakukan, maka terbuka peluang bagi membersihkan SPR. Mungkin Ambiga dan pujangga A. Samad Said boleh dijadikan pengerusi bersama SPR bagi membersihkan segala yang comot.

Maka masa itu Selangor tidak ragu lagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat. Dalam suasana yang bebas itu terserah kepada pengundi untuk menjadi Noh Omar atau Tan Sri Razali Ismail, bos Syabas untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru atau mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB.

Jika selepas itu mati Datuk Seri Anwar Ibrahim  dan Azmin Ali, nescaya pejam mata masing-masing.

Fiqh: Mati tanpa sempat bayar hutang

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 21 Sep 2012
Ustaz, mohon jawab dua persoalan di bawah ini.

1. Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yang melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dengan cara membayar pahala amalan kepada si penghutang

2. Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dengan seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu, atau orang tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dengan cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya untuk pembinaan masjid) - sebagai pelunasan semua hutang yang tidak diingat itu. Wang itu diniatkan sebagai sedekah mewakili orang yang memberi hutang atau bagi pihak orang yang memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.

Terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat hadis menegaskan;

“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).


Menurut penjelasan ulama, maksud “mengambil harta orang lain” merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezekinya sehingga dia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa daripada Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian dia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil daripada kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).
2. Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudian mencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika dia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau dia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.

Rujukan;
1.Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2.Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3.Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4.Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Muslimat sokong Presiden PAS saman Mashitah

Salmiyah Harun, 21 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Muslimat PAS menyokong tindakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah mengambil keputusan untuk menyaman Datuk Dr Mashitah Ibrahim ekoran fitnahnya dalam sebuah artikel ke atas Presiden PAS itu.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, tindakan ini wajar untuk membersihkan nama Presiden dan yang paling penting adalah sebagai satu pengajaran, ingatan dan amaran kepada Mashitah khususnya dan penulis-penulis artikel berunsur fitnah yang lain.

"Politik baru Malaysia tidak memerlukan orang seperti ini. Politik baru Malaysia mesti dibangunkan dengan akhlak mulia, saling hormat miskipun berbeda," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Tambahnya, ide membangunkan rakyat serta negara ke arah sebuah tadbir urus kehidupan yang memenuhi atau sekurang-kurangnya menghampiri 'baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur'.

Tegasnya, tindakan memfitnah yang dilakukan oleh Mashitah adalah memalukan kaum wanita dan sangat memalukan kelompok ilmuan Islam.

Katanya, Mashitah dinasihatkan agar bermuhasabah diri dan jangan menjadikan kepentingan politik dirinya membutakan hati dan minda.

"Hargailah ilmu yang telahpun dianugerahi Allah untuknya  dan segeralah kembali kepada ketakwaan yang benar," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya semua manusia melakukan kesilapan tetapi yang paling penting selepas itu dia sedar kemudian memohon maaf kepada orang yang difitnah seterusnya memohon ampun kepada Allah sebelum berdepan dengan hari pembalasan.

"Mashitah adalah orang yang baik tetapi jalan politik yang dipilihnya telah menjadikan dia menjauhi kebenaran," tambahnya.

Semalam Tuan Guru Abdul Hadi memfailkan saman terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berhubung tulisannya yang didakwa mengandungi unsur fitnah.

Saman tersebut telah difailkan Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melalui firma guaman Mazwan dan Nasar.

Abdul Hadi menamakan Mashitah sebagai defendan pertama dan akhbar Sinar Harian sebagai defendan kedua.

Sebelum ini pihaknya sudah meminta Mashitah dan Sinar Harian membuat permohonan maaf secara terbuka, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Peringatan terakhir untuk Belanjawan 2013 Najib

Dr. Dzulkefly Ahmad, 21 Sep 2012
Di ambang pilihanraya umum ke-13 ini, semua perhatian telah beraleh tumpuan kepada pembentangan Belanjawan 2013 yang bakal dibentang Perdana Menteri DS Najib Tun Razak pada 28 September. Hampir semua para analisis mendakwa bahawa inilah ‘sentuhan’ sekaligus ‘senjata’ Najib terakhir.Dakwaan itu telah terbukti tepat kerana Najib memang tidak berani membubar parlimen sebelumnya.
Kini hanya waktu pembubarannya sahaja yang masih dipolimikkan.Dalam perbalahan menentukan tarikh itu, yakinlah yang paling tertekan adalah PM dan isterinya.PRU ke-13 ini adalah ‘hidup-mati’ kerjaya atau ‘career’ politiknya.Amat tinggi ‘risiko pertarungan’ atau ‘stake’nya kali ini. Mungkin sahaja ini Belanjawaan Najib yang terakhir, ditakdirkan beliau kalah dalam PRU ke-13 ini!

Mampukah Najib menyusun sebuah ‘Bajet’ yang mesti berperanan memenangkan beliau dalam pertarungan ‘kalah-mati’ ini? Berupayakah Najib melakukan sekehendak ‘hati dan nafsu’nya yang kini akan ditentang oleh ‘fikiran waras’nya yang tahu akan hakikat ekonomi dan kedudukan kewangan Negara?

Apakah Najib akan terus-terusan mengorbankan kepentingan jangka sederhana dan jauh rakyat dan Negara ini demi memacu ‘nafsu’nya untk terus mencari ‘populariti’ dan ‘sokongan’ bagi terus berkuasa di Putrajaya?

Seandainya ‘nafsunya’ mengatasi dan menundukkan ‘aqalnya’, maka penulisan ringkas ini mengajak Najib merenung jauh memikirkan ‘risiko dan bahana’ berbelanja besar dalam Bajet 2013 ini.

‘Ekonomi Terbuka’ (Open Economy) negara seperti Malaysia, berdepan dengan cabaran global yang masih tidak reda dan tidak menentu. Bukan sahaja krisis zone Eropah dan kewangan Amerika serta kelembapan pasaran kerjanya kekal mengancam permintaan global, pertumbuhan ‘perlahan’ (slowing growth) dua ekononmi besar Asia yakni China dan India telah mula ‘menggigit’ negara seperti Malaysia yang merupakan ekonomi berorientasikan eksport atau ‘export-based economy’.

Pertumbuhan 5.4% dalam suku kedua baru-baru ini dikesani adalah dari sumbangan pelbagai projek mega infrastruktur (MRT dll) dan permintaan domestic atau perbelanjaan isi-rumah yang masih rancak.Namun kedua-dua komponen ini mempunyai risiko besar dalam ‘menjurumuskan’ Negara dalam hakikat hutang.

Perbelanjaan besar kerajaan (Factor ‘G’ dalam KDNK) telah mengakibat tanggungan hutang kerajaan Pusat ke paras maksimum yang dizinkan Akta Pinjaman Tempatan (1959)  yakni 55% KDNK dan perbelanjaan isi-rumah (Faktor ‘C’ dalam KDNK) telah melonjakkan hutang isi-rumah ke paras RM653 Bilion hampir 80% KDNK, paling teruk di Asia.

Berpandukan formula Keluaran Dalam Negara Kasar sebagai KDNK = C+ I + G + (X –M) dengan (C- Penggunaan isi-rumah, I – Investment/Pelaburan (FDI + DDI), G – perbelanjaan Kerajaan, (X-M) (yakni Ekspot tolak Impot), maka Najib tahu bahawa dia mesti bertindak ‘pruden’ dan wajar dalam memacu ‘pertumbuhan’ dan tidak rakus (reckless) dalam mengolah Bajetnya!

Untuk peringatan umum factor I (Investment-Pelaburan) juga menerima ‘kejutan’ baru-baru ini, ketika Jabatan Laporan Jabatan Statistik menunjukkan bahawa pengaliran pelaburan keluar (investment outflow) dalam suku pertama mencecah RM16.91bilion.Ini jelasnya adalah dua kali ganda pelaburan masuk (investment inflow) dalam suku pertama tahun ini sebanyak RM7.48 bilion.Ini bermakna dana pelaburan yang keluar (keluar bersih-nett outflow) dari negara pada suku pertama ini sahaja adalah sebanyak RM9.43 bilion, jumlah yangagak besar berbanding jumlah RM10.07 bilion untuk seluruh  tahun 2011.

Lebih malang lagi, sektor yang membawa dana pelaburan ini keluar bukanlah ‘pembuatan’ (manufacturing) yang didakwa pihak penguasa kerana mengambil pleuang kos buruh yang murah di Negara-negara jiran.

Hakikatnya ialah syarikat-syarikat yang dikenalpasti melabur di luar adalah kelompok dari 3 sektor utama NKEA yakni sektor minyak dan gas, kewangan dan insuran dan ‘wholesale dan peruncitan’ dan bukan dari sektor pembuatan.

‘Snapshot’ atau senario ringkas yang cubapenulis lakarkan meletakkan semua pihak yang punya pemikiran yang waras tahu bahawa kita berdepan dengan hakikat ‘masa-masa mendatang’ adalah ‘berisiko tinggi’ bagi ekonomi dan rakyat Negara ini.

Hakikat ini mesti didepani kedua-dua pihak Barisan mahu pun Pakatan yang sedang bertarung untuk mendapat mandat rakyat memerintah Negara di peringkat Persekutuan. Dalam persaingan sengit dan getir ini, kedua-dua pihak pastinya akan cuba menandingi seterunya untuk menawarkan kepada rakyat dan pengundi sebuah “Belanjawan” yang popular.

Pun begitu, penulis mengingatkan kedua-dua pihak bahawa wujud satu garisan yang sangat tipis di antara program  yang ‘popular’ dan satu yang ‘populist’.

Tegasnya, yang ‘popular’ membawa kesan baik untuk kepentingan rakyat yang berdepan dengan pelbagai kemelut ekonomi dan kewangan, sementara yang ‘populist’ memberi suntikan ‘pelali’  atau ‘penahan sakit’ yang boleh sahaja membawa keadaan lebih parah lagi kerana penyakit sebenar (seumpama kanser) tidak dirawat sehingga sampai ke peringkat ‘terminal’ atau tahap 4 (yakni maut).

Seterusnya penulis lakarkan beberapa perkara kunci penting yang mesti digarap oleh bakal pemerintah di peringkat Pusat:

i.    Mengurangkan bebanan hutang kerajaan Pusat dan deficit fiskal yang berlarutan selama 14 tahun. Cabarannya ialah bagaimana mencarinkan Belanjawan yang dapat menjana ‘Effective Spending’ atau ‘Perbelanjaan Berkesan’ dari sudut mencapai ‘Sasaran Belanjawaan’ (Outcome-Based) dan kemudian Melaksanakannya dalam satu ‘Delivery’ yang kompeten, telus, bertanggungjawab dan bebas ketirisan-rasuah. Tentunya matlamat ini memerlukan ketegasan untuk menjana ‘pendapatan baru’ dan/atau meningkatkan ‘revenue’ melalui pungutan cukai berkesan serta ‘prosedur perolehan’(procurement procedures) yang lebih telus dan berkesan.

ii.    Meningkat Pendapatan Rakyat Malaysia dengan pelbagai kaedah berkesan untuk mengurangkan ‘kos saraan hidup’ bersabitan ‘gaji minima’, peluang mendapat gaji yang lebih lumayan dengan meningkatkan ‘produktiviti’ dan peningkatan ‘ketrampilan’ (skill) warga kerja di pasaran. Penghapusan monopoli sekaligus mengurangkan kos saran hidup dalam aspek kesihatan, makanan (beras dll), telekomunikasi, tol, tariff (air, tenaga dll). Sekaligus ia mampu meningkatkan ‘pendapatan boleh berbelanja’ –‘disposable income’ rakyat.

iii.    Meningkatkan Keberkesanan Pengangkutan Awam dengan memperkenal satu ‘Dasar Pengangkutan Nasional’ yang lebih Mesra-Rakyat, bukan hanya Mesra-Kroni seperti kini yang  mengulangi kesilapan Ear Tun dalam pemberian projek bear MRT dll. Menekankan pendekatan ‘Hybrid MRT-Bus’ yang pasti jauh lebih murah dari segi kos pengankutan rakyat dan pelbagai inisiatif baru di segi memperksakan Pihak Berkuasa Tempatan dll.
iv.    Menyediakan Iklim Selamat dari Jenayah – Pelbagai Reform PDRM yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pembaikan Polis oleh Tun Dzaiddin dan menambaik ‘deployment’ pelbagai aspek kepolisian yang kini didakwa ‘herot’ dan berlaku ‘mismatch’ di segi Keperluan (Needs) dan Agihan Sumber. Jenayah tidak di cega dan kawal sementara polis sibuk menjaga ‘demonstran aman’.

v.    Perumahan Nasional untuk rakyat teramai dengan menangani sekali lagi ‘mismatc’ atau ‘kesongsangan’ keperluan dan bekalan. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mesti mengemudi ‘Dasar Perumahan’ yang menangnai keperluan rakyat teramai (Demand Side) dan bukan kehendak Pemaju dan institusi kewangan yang mahu menjana keuntungan (Supply-Side). Menangani pelbagai manipulasi pasaran yang mengakibat rakyat teramai yang sangat berhajat kepada perumahan menjadi mangsa kepda pihak ‘spekulator’; termasuk pemaju dan pembeli, yang membina-membeli hanya kerana memikirkan keuntungan dan bukan sngat keperluan.

vi.    Menjana Ekonomi yang Menggalakkan Persaingan Sihat (Fair-Free Competition) sebagai penjana-pemangkin pertumbuhan. Menggelakkan ‘Kesesakkan’ atau ‘Crowding-Out Effect’akibatsyarikat-syarikat kerajaan sendiri (GLCs) terlibat dalam hampir semua bidang-sektor yang seharusmya disertai bahkan dipacu oleh pihak swasta. Monopoli dan ‘advantage’ seperti ini ‘memuramkan’ dan ‘melembapkan’ persaingan kerana amalan kronisme dan nepotisme yang memberi lebih ‘advantage’ kepada pihak GLCs dan juga syarikat-syarikat swasta yang menjadi ‘super-kroni kepada ‘Penguasa Politik’. Cukup dengan pengalaman “LRT Ampang” dan MFT Sungai-Buloh-Kajang (SBK) untuk memburukkan lagi imej Negara sebagai destinasi yang tidak dalam radar pelabur antarabangsa. Penarikan diri pelbagai pihak pembida internasional dalam MRT dan infrastruktur mega adalah sangat memalukan dan mungkin sahaja ditanggapi sesuai dengan kejatuhan ‘daya-saing’negara senbanyak 4 anak tangga baru-baru ini ke tahap 25 dalam Global Competitive Rating (GCR) oleh World Economic Forum (WEF) dari kedudukan 21 tahun 2011.

Tentunya yang dinantikan rakyat bukanlah perkara-perkara yang ditekankan dalam penulisan di atas.Rakyat umum mahu tahu “Apa untuk aku? Atau “What’s in for me? Itu adalah tabiat lazim bagi rakyat. BN dan saya rasa juga Pakatan akan bersaing untuk ‘memberi’. Najib dikatakan tidak akan melepaskan peluang ‘menghadiah’ semua segmen rakyat dengan pelbagai ‘pemberian’ seperti BRIM Ke-2. Dalam BRIM pertama Najib berbelanja RM2.6 bilion.Najib sudah ‘ketagih’ dengan program ‘runcit-runcit’ untuk mengatasi masalah ekonomi dan bebanan ‘kos saran rakyat’ dengan pelbagai KRIM, KLIM dll.

Sementara cita-cita besar memacu Negara Maju tentunya tidak dapat di gapai oleh projek-projek runcit ini, mahupun yang besar-besar seperti NKRA, NKEA, ETP dan EPPnya ketika ia tidak dilaksanakan dengan ‘delivery yang  baik’, seperti yang telah dibahaskan oleh beberapa pihak termasuk REFSA, mampukah advokasi polisi dan penyelesaian Belanjawan Pakatan Rakyat mengangkat Negara ke satu dayas-saing, prestasi dan kompetensi yang sangat dihajati oleh rakyat dan negara?Hanya masa akan menentukan dan Allah tentunya Lebih Mengetahui!

*Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Hina Nabi: Sekadar demo tidak memadai buat Umno

Harakahdaily, 21 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sebagai parti pemerintah, sekadar berdemonstrasi sebenarnya tidak memadai buat Umno kerana mereka sewajarnya mampu untuk berbuat lebih daripada itu.

Justeru, Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Muhammad Ismi Mat Taib (gambar) berkata, Umno perlu menunjukkan kewibawaan mereka sebagai parti yang mendakwa kononnya membela umat Islam dan Melayu di Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seharusnya muhasabah diri dan menerima kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dengan jiwa besar.

“Sebagai sebuah parti Melayu yang paling utama, malah menjadi penaung kepada parti Kerajaan Barisan Nasional, kenyataan Ngeh Koo Ham sebenarnya ada kewajarannya,” katanya.

Begitupun, Koo Ham semalam menarik balik dan memohon maaf kepada orang Islam kerana tersinggung dengan kenyataan beliau di laman twitternya yang mempersoalkan tindakan diambil umat Islam membantah filem 'Innocence Of Muslims' yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad dan Islam.

“Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan pendirian terutama dalam isu sensitif yang melibatkan peribadi Nabi Muhammad SAW.

“Sebagai umat Islam kita wajib menyatakan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan dan demonstrasi yang dilakukan sebenarnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW,” kata Muhammad Ismi lagi.

Bahkan, tegasnya umat Islam bertanggungjawab membela dan mengorbankan nyawa dan harta sekiranya diperlukan untuk memastikan maruah Islam tidak diperlekehkan oleh musuh-musuh Islam.

PRU13: Biar Najib ikut Pakatan pula

Idris Ahmad, 21 Sep 2012
Umno  telah menetapkakan Persidangan Agung Umno 27 November hingga 1 Disember  2012.
Kemungkinan besar PRU mungkin tahun hadapan walau pun angin bertiup kencang tarikh PRU 13 dalam bulan November.

Datuk Seri Najib selaku  Presiden Umno terpaksa berbuat demikian apabila Selangor telah membuat keputusan tidak akan bersama dengan kerajaan Pusat.

Sekarang biar Najib pula ikut tarikh Pakatan Rakyat. TIndakan yang diambil oleh kerajaan Selangor satu tindakan yang bijak, untuk mengajar pemimpin Umno seperti Najib yang cuba hendak bermain teka teki dengan rakyat mengenai tarikh pilihanraya.

Semua rakyat tahu Najib bimbang hendak bubar Parlimen kerana tidak yakin boleh menang dan masalah dalaman Umno seperti berebut hendak jadi calon, sabotaj calon.

Ini menyebabkan tarikh pilihanraya masih tidak ditemui lagi.

Najib juga sedar bahawa Selangor adalah idaman beliau, kebetulan beliau sendiri Pengerusi Perhubungan Umno. Apa cara sekali pun Selangor mesti ditawan oleh BN di dalam PRU akan datang.

Sebab itu BN tidak berapa ambil kisah negeri-negeri PR yang lain. Memerintah Selangor sama seperti memerintah Malaysia, kerana Selangor menyumbang hampir 21 peratus kepada kerajaan pusat.

Apabila Selangor jatuh ke tangan PR, segala teori yang di uar-uarkan BN sahaja boleh mentadbir tertolak.

Selangor telah buktikan simpanan meningkat daripada RM400 juta (2008) kepada RM1900 juta walaupun banyak wang dihabiskan untuk program merakyatkan ekonomi.

Tiada ulasan: