Selasa, 11 September 2012

SAPE YANG PARTI YANG HANYA politik biadab, politik bebas, politik fitnah, politik menghukum, politik perpecahan dan politik ganas,

Ismail Sabri: 6 agensi bincang isu Suaram esok

11 September 2012
Ismail Sabri
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR - Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) bersama lima agensi lain akan mengadakan perjumpaan bersama esok bagi menentukan secara terperinci mengenai kedudukan bidang kuasa Suara Rakyat Malaysia (Suaram), kata  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lima agensi yang terlibat adalah Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"ROS hari ini telah mengesahkan bahawa SUARAM merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar.

"Jadi isu Suaram ini perlu dibincangkan bersama. Orang ramai di luar sana tidak boleh terus fokus kepada SSM seolah-olah ini salah mereka semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SSM di sini, hari ini.

Sebelum ini ROS mengeluarkan kenyataan bahawa Suaram tidak mengikuti Akta Pertubuhan 1966, di mana mereka perlu memenuhi keperluan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 yang meliputi alamat urusan, sekurang-kurangnya tujuh orang ahli (Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966), kutipan yuran ahli serta perlembagaannya.
 
Ismail Sabri berkata Akta Pertubuhan 1966 mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani isu ini.

"Bagi saya secara logiknya tentulah ada sesuatu yang boleh kita ambil tindakan kalau tidak, lebih baik tak payah kita register pertubuhan kita dengan Akta Pertubuhan 1966.

"Saya harap melalui perjumpaan dengan mereka nanti, akan ada pihak yang bertanggungjawab terhadap kes Suaram ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Airways akan mewujudkan pilihan yang baik terhadap pengguna.

"Syarikat penerbangan secara tidak langsung akan bersaing dan menawarkan harga yang terbaik serta penambahbaikkan mutu perkhidmatan kepada penumpang.

Jadi ini baik untuk pengguna untuk mempunyai pilihan.

"Malah ini dilihat sebagai suatu yang  positif dari sudut pelancongan, peluang orang Indonesia melancong ke negara kita pun lebih banyak, ini bagus untuk negara kita dan untuk pengguna," katanya.- Bernama
RoS: Suaram bukan pertubuhan berdaftar

11 September 2012
KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini mengesahkan bahawa Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu menyatakan bahawa rekod pendaftaran pertubuhan mendapati Suaram tidak berdaftar dan tidak pernah mengemukakan permohonan untuk didaftarkan.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk pendaftaran di bawah Akta Pertubuhan 1966, Suaram perlu memenuhi keperluan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 yang meliputi alamat urusan, sekurang-kurangnya tujuh orang ahli (Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966), kutipan yuran ahli serta perlembagaannya.

Sebuah pertubuhan berdaftar perlu mengadakan mesyuarat agungnya dan mengemukakan penyata kewangannya dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat tersebut, menurut kenyataan itu.

Suaram menimbulkan isu apabila dikaitkan secara langsung dengan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB), yang menerima sumbangan dana daripada pihak asing. - Bernama
134 NGO sokong Suaram

11 September 2012
SHAH ALAM - Sebanyak 134 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong Suaram yang berhadapan dengan siasatan pihak berkuasa berhubung dengan sumber kewangan, yang antara lain dikatakan menerima dana daripada institusi milik George Soros.

Menerusi laman mikro Twitter, Suaram mendakwa mereka tidak mendapat dana daripada kerajaan.

Oleh yang demikian mereka mengambil langkah untuk menerima bantuan daripada luar dan beberapa individu yang didakwa kerajaan menjadi dalang kepada kemelesetan ekonomi negara pada 1997 dan 1998.

Pada masa yang sama, Suaram mendakwa telah menerima sebanyak 120 tandatangan daripada NGO yang menyokongnya dalam hal tersebut.

Badan-badan itu menyatakan sokongan pada satu sidang media yang diadakan di ibu negara hari ini.

Sidang akhbar itu dibuat susulan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan beberapa hari lalu.

Suaram mengecam tuduhan itu.

Katanya, menteri itu mendakwa ia akan didakwa dan mendapati akaun yang ada menunjukkan keraguan, walhal kes terbabit masih lagi dalam siasatan.

Ismail berkata siasatan masih lagi di peringkat awal untuk memastikan penglibatan individu yang digelar "penyangak mata wang" ketika krisis ekonomi pada 1997 dan 1998.

Jelas Suaram, pertubuhan tersebut telah mematuhi sepenuhnya Akta Syarikat serta akuan  terbabit diaudit sepenuhnya setiap tahun.

Pada masa sama, Suaram mendakwa isu terbabit ditimbulkan atas alasan politik susulan aduan yang dibuat oleh pertubuhan terbabit terhadap mahkamah Perancis berhubung isu kerajaan Malaysia dalam pembelian kapal selam Scorpene.

Isu Suaram didakwa telah menerima dana asing yang dipercayai daripada Soros menggemparkan negara, malah beberapa pertubuhan dan individu malah kedutaan asing turut didapati menyalurkan dana terhadap pertubuhan yang lantang bersuara untuk memperjuangkan hak asasi manusia.

Beberapa media tempatan melaporkan bahawa antara penyumbang dana terhadap Suaram adalah Kedutaan Jerman.

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Georg Gruber menjelaskan bahawa ia membiayai inisiatif-inisiatif projek spesifik.

"Projek dengan Suaram adalah pada 2010 yang kami telah buat penilaian," katanya.
Nik Aziz mahu sertai PRU13 serentak

11 September 2012
Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendirian Pas Kelantan sama sekali tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berasingan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya, Mursyidul Am Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata, pembubaran Dun akan diadakan serentak dengan kerajaan pusat sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen.

"Tidak..tidak..tidak (untuk membubarkan Dun sendirian), kita buat serentak dengan Pusat," katanya ringkas kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.- Bernama
PRU13: Pakatan yakin lumpuh tiga negeri
NOOR AZLIDA ALIMIN
11 September 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
PASIR MAS – Pakatan Rakyat (PR) yakin dapat melumpuhkan kekuasaan Barisan Nasional di tiga negeri lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, pihaknya yakin rakyat di negeri Johor, Sabah dan Sarawak, sudah berani untuk menolak pemerintah sedia ada dan menukar kepada pilihan baru.

Menurutnya, PR bakal mencipta sejarah politik negara seperti mana ‘tsunami politik’ ketika PRU12.

“Kita akan menawan 30 dari 82 Parlimen di tiga negeri ini, sekali gus dapat mengurangkan majoriti BN sedia ada.

“Kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh, sehingga menjadikan BN sebagai pembangkang di negara ini,” katanya selepas Ceramah Perdana bersama penyokong Pas di Kampung Pohon Tar, Kangkong, hari ini.
Rais: 'Janji pembangkang janji politik'

11 September 2012
Rais Yatim
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim
JEMPOL - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengingatkan rakyat bahawa jika pembangkang membuat janji, semuanya itu adalah janji politik dan bukan janji yang terasas kepada kebolehan, budi dan jasa.

"Oleh kerana mereka hanya pandai menjanjikan sesuatu, tanpa kebolehan mentadbir negara, kita menyatakan rakyat harus waspada dan tidak cepat 'melenting' menyatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu, begini...jauh lagi untuk menyatakan ketidakbolehan pemimpin kita.

"Sebenarnya, rakyat Malaysia perlu melihat dari sudut anak-anak yang berada di sekolah dan generasi muda kita yang perlu terus dibimbing.

Bagaimana kestabilan negara sudah kita wujudkan, kemudian keharmonian kaum dan seterusnya kesejahteraan. Kesemua ini harus kita timbang mendalam," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Merdekaraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Lui di Dewan Budaya Air Hitam, di sini hari ini.

Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata 'menukar kuasa pentadbiran kerajaan bukan sesuatu seperti menukar pakaian' kerana ia berkaitan dengan tamadun, masa depan generasi dan janji yang harus dipaksikan kepada apa yang terbukti dengan pembangunan dan kemajuan dikecapi negara selama di bawah BN.

"Dalam hal inilah, rakyat memberi galakan dan sokongan yang sangat padu dan kita yakin kita akan beroleh kejayaan terus menerus. Namun, janji ditepati ini kita perlu senaraikan...apa yang masih terbaki dan apa yang kita telah laksanakan. Dengan itu, semua rakyat akan faham sama ada kita berkata benar atau pun tidak," katanya.

Mengenai Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept ini di Bintulu, Sarawak, Rais berkata: "Setelah kita mengecapi kemerdekaan 55 tahun dan dengan kemasukan 49 tahun Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, ia merupakan tunjang dan pelengkap kepada kemerdekaan negara ini".- Bernama
PR tidak berjanji kosong
Wartawan Sinar Harian
11 September 2012
Ibrahim Yusof
Ibrahim Yusof
SEREMBAN – Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah berjanji kosong semata-mata hanya mahu meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Penerangan PKR negeri, Ibrahim Yusof berkata, apa yang tertulis dalam manifesto PR akan ditunaikan sebaik sahaja mereka berjaya menawan Putrajaya.
Katanya, sekiranya rakyat memberi mandat kepada PR untuk memerintah negara, sudah pasti apa yang dijanjikan seperti dalam buku jingga akan ditunaikan.
“Manifesto dibuat bukan untuk meraih undi tetapi berdasarkan kebajikan rakyat yang dirasakan nasib mereka akan lebih terbela jika PR memerintah.
“Oleh sebab itulah, saya berpendapat jika mahu melihat PR tunaikan janji, berilah kita peluang untuk mentadbir negara,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi yang menyatakan PR suka menabur janji tetapi tidak tahu menunaikannya.
Ibrahim berkata, dakwaan Zahid itu hanya mahu memburuk-burukkan PR sahaja, sedangkan beliau sendiri tahu yang PR mampu melaksanakan jika diberi peluang.
Mukhriz: 'BN tidak berani buat janji kosong'

7 September 2012
Datuk Mukhriz Tun Mahathir
Datuk Mukhriz Tun Mahathir
JERLUN - Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat janji yang tidak mampu ditunaikan oleh parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
 
Beliau berkata semua yang tertulis di dalam manifesto pilihan raya BN akan dianggap sebagai janji kepada rakyat dan semua itu perlu ditepati untuk memberi kesenangan kepada rakyat.
 
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN tidak akan berani untuk membuat sebarang janji yang ia tahu tidak akan mampu dilaksanakan.
 
"Lainlah dengan pembangkang. Mereka kata manifesto yang dibuat itu bukannya janji sebaliknya hanya cadangan, sebab itu mereka tidak serius dalam menunaikan semua yang ditulis dalam manifesto pilihan raya yang lepas.
 
"Apabila mereka sendiri dah kata macam tu, apa kita nak harapkan lagi daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai di sini hari ini.

Beliau berkata janji menurunkan harga kereta yang dibuat oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang adalah bersifat populis.
 
Katanya strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.
 
"Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP (permit import) kereta menggunakan kaedah opsyen.
 
"Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut," katanya.
 
Mukhriz berkata pembangkang hanya pandai membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan tersebut termasuk dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua itu.
 
"Silap-silap kita (negara) akan menjadi muflis," katanya. - Bernama
Amalan sabotaj calon BN satu 'penyakit bunuh' parti

11 September 2012
KOTA KINABALU - Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan amalan mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum sebagai satu 'penyakit' yang boleh memudaratkan parti.
 
Beliau berkata Puteri Umno menyokong amaran Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati mensabotaj calon akan disingkir daripada parti.
 
"Pergerakan Puteri Umno menyokong penuh kenyataan ini. Bagi saya ini merupakan satu penyakit yang perlu kita pulihkan.
 
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku iaitu menikam dari belakang dan sabotaj sesama sendiri. Ini satu penyakit yang menyebabkan kita lemah dalam parti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan bersama Hospital Ratu Elizabeth 11 dan Pusat Perubatan Sabah di Damai, Luyang dekat sini hari ini.
 
Pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata bahawa amaran keras itu disuarakan terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.

"Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf. Presiden pun telah bersetuju. Kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau calon kalah, kalahlah kita," kata Muhyiddin.
 
Rosnah berkata Puteri Umno menyokong pendirian itu dan 'kita semestinya akan menyatakan perkara yang sama kepada semua anggota Puteri di seluruh negara kerana ia penting'.
 
"Pembangkang tidak kuat tetapi apabila berlaku perkara seperti ini, misalnya sabotaj...inilah yang lemahkan kita dalam parti.
 
"Kita minta supaya bukan sahaja perkara ini ditegaskan tetapi tindakan susulan terhadap mereka yang terlibat dalam gejala ini. Kita tidak boleh sangkal bahawa ini berlaku kerana mana-mana parti politik pun berlaku perkara yang sama, ini lumrah yang kita tidak harus galakkan," katanya.
 
Justeru, Rosnah berharap ia tidak sepatutnya menjadi amalan anggota Umno kerana 'padahnya kita yang terima kesan daripada perbuatan itu'.
 
"Kita harap ahli parti peringkat akar umbi faham bahawa pilihan raya umum ke-13 sangat penting kepada kita. Kita perlu menang pada pilihan raya ini dan pastikan bahawa Barisan Nasional masih memerintah di peringkat pusat dan negeri khususnya di Sabah.
 
"Jadi, kita menyeru ahli parti terutama mereka yang kecewa supaya tidak mengambil pendekatan seperti ini (sabotaj) kerana ia hanya merugikan diri sendiri dan parti secara keseluruhannya," kata beliau. - Bernama
MB Pahang: BN perlu tegas singkir ahli
NOOR AZIANTYNORMAN
11 September 2012
adnan yaakob
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob
KUANTAN – Barisan Nasional (BN) perlu lebih tegas jika menyingkirkan ahli-ahlinya yang cuba mensabotaj calon dan parti pada  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tanpa menerima sebarang rayuan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tindakan memecat ahli atau pemimpin Umno yang terlibat dalam kegiatan mensabotaj ini perlu dilaksanakan secara tegas serta mereka tidak dibenarkan melakukan sebarang rayuan berhubung perkara tersebut.
“Tindakan mensabotaj ini tidak sepatutnya berlaku dalam parti. Kalau guna api terbakar hangus, kalau guna air, rendam jadi lembut,” katanya ketika pada sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Dewan Undangan Neger (Dun) Beserah, semalam.
Katanya, sebelum ini, pernah berlaku pemecatan ahli, namun belum sampai satu penggal ahli yang terlibat sudah membuat rayuan.
“Saya harap, pucuk pimpinan pecat betul-betulserta tidak beri muka lagi kepada pengkhianat.
“Perkara ini memang biasa berlaku terutama jika sesebuah parti itu kuat. Pasti ramai ahli yang berlumba-lumba untuk menjadicalon hingga menggunakan taktik kotor,” katanya.
Dalam laporan Sinar Harian Ahad lalu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan ahli-ahlinya yang melakukan sabotaj terhadap parti dan calon pada PRU13 akan disingkirkan daripada parti.
Katanya, keputusan itu dibuat oleh pucuk pimpinan dan berharap perkara tersebut tidak berlaku hanya kerana kecewa tidak terpilihmenjadi calon.
Singkir ahli sabotaj elak kacau-bilau
Wartawan Sinar Harian
11 September 2012
Ismail Sabri
Ismail Sabri (tengah) pada sidang media di Teluk Intan, semalam.
IPOH - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong penuh tindakan keras menyingkirkan ahli Umno yang cuba bertindak untuk sabotaj calon parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata, tindakan itu penting kerana jika jentera parti sudah dalam keadaan siap sedia sekali pun, ia tidak akan menjanjikan kemenangan sekiranya masalah sabotaj tidak diselesaikan dalam masa terdekat.
“Masalah dalaman yang tidak diselesaikan tidak akan menjanjikan kemenangan kerana ia akan terbawa-bawa pada pilihan raya kelak malah kita boleh tumbang akibat perbuatan sabotaj ini,” katanya pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan, di sini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri menyatakan, ahli Umno yang melakukan sabotaj terhadap calon pada PRU13 nanti akan disingkirkan daripada parti.
Katanya, keputusan tersebut wajar kerana kesalahan yang dilakukan dianggap satu pengkhianatan dan boleh mengakibatkan kekalahan parti.
Pendapat sama turut disuarakan Ketua Umno Bahagian Batu Gajah, Datuk Yusoff Kassim pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian, semalam.
Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak BN menjadi kacau-bilau akibat perbuatan belot ahlinya sendiri.
Zambry: Selesai cara baik
Wartawan Sinar Harian
10 September 2012
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
SUNGKAI -  Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin, isu parti membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Behrang dapat diselesaikan dalam semangat setia kawan tanpa menyentuh perasaan rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain.
Beliau berkata, keyakinan itu dinyatakan berikutan wujud tanda positif hasil perbincangan bersama antara Umno dan MIC.
Menurutnya, sebelum ini, isu kerusi Dun Behrang menjadi pertikaian apabila kawasan yang dikatakan mempunyai majoriti kaum Melayu dijadikan kuota untuk MIC.
“Kita yakin isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik, kita minta ahli Umno khususnya di Bahagian Tanjung Malim memberi kepercayaan penuh kepada pimpinan negeri untuk menyelesaikan isu ini,” katanya pada perasmian
Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian Tanjung Malim, di sini.
Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Perak turut menasihatkan semua gerakan pimpinan Bahagian Tanjung Malim agar bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Tanjung Malim dan Dun Slim.
Gesaan turut diberikan dengan harapan dapat merampas semula kerusi Dun Sungkai dan Dun Behrang yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
“Tidak ada guna kita ada duit dan buat persiapan rapi, tetapi tidak ada perpaduan. Tanpa persepakatan, BN tidak mungkin boleh menang,” tegasnya.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib mengesa kepimpinan negeri menyelesaikan masalah pilihan parti komponen yang seharusnya bertanding bagi Dun Behrang. Beliau mengakui, jawatankuasa bahagiannya kecewa, apabila pada PRU12, kerusi berkenaan masih kekal pada MIC walaupun ia telah dibincangkan.
Dun Behrang wujud hasil persempadanan semula pada 2004 telah diberikan kepada MIC walaupun majoriti pengundinya Melayu dan pada PRU12 lalu, calon BN daripada MIC gagal mempertahankan kerusi apabila tewas kepada calon PKR, Jamaludin Md Radzi dengan majoriti 1,027 undi
Tun Abdullah ingatkan orang Umno jangan cepat merajuk dan 'tendang betis kawan'

9 September 2012
KEPALA BATAS - Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan anggota Umno agar jangan cepat merajuk dan "tendang betis kawan" jika mahu parti itu menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
 
Abdullah berkata dua sikap itu bukan sahaja akan merosakkan Umno malah akan merugikan Barisan Nasional (BN) kerana pembangkang akan lihat parti itu lemah.
 
Menurut beliau sikap seumpama itu bukan semangat atau penjuangan parti, sebaliknya para anggota perlu bersama-sama Umno untuk berjuang dan punya sikap pentingkan Umno demi agama, bangsa dan negara.
 
"Sikap muafakat dalam parti perlu diteruskan demi perjuangan parti kita dan saya tidak mahu dengar ada yang bergaduh sesama sendiri dalam Umno kerana itu akan menjadikan parti kita kelam kabut dan lemah," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir Ketua Pemudanya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno.

"Umno perlu bersatu walau apa jua masalah yang dihadapi kerana parti kita adalah tunjang kepada negara dan kaum lain lihat dengan apa yang parti kita buat...mereka juga mula memberi sokongan kepada BN," katanya.
 
Selain itu, katanya, semua parti komponen dalam BN juga perlu meneruskan sikap hormat menghormati dan bekerja bersama supaya nasib rakyat dapat dibela.
 
"Pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini juga perlu turun padang dan mendengar masalah rakyat, jangan sampai mereka tolak kita kerana sikap pemimpin itu sendiri yang tidak membantu mereka (pengundi)," katanya.
 
Beliau turut mengingatkan anggota Umno supaya menjaga percakapan dan tidak sombong kerana parti itu bersifat penuh kasih sayang.

Sementara itu, Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, memberi jaminan Pemuda Umno akan memastikan Parlimen Kepala Batas menjadi kubu kuat Umno.
 
Katanya, kehadiran ramai golongan muda termasuk dari pelbagai kaum pada hari ini menunjukkan sokongan mereka terhadap BN semakin meningkat dan beliau yakin Umno akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Kepala Batas.
 
"Umno tidak pernah kalah di Kepala Batas dan Tun Abdullah sendiri menjadi Anggota Parlimen sejak 1978, kami berjanji di hadapan Tun (Abdullah) yang pemuda di Kepala Batas akan memastikan Parlimen kita sebagai kubu kuat Umno sampai bila-bila," katanya. - Bernama
Singkir dari parti satu tindakan yang perlu dilaksanakan

9 September 2012
TELUK INTAN - Tindakan menyingkirkan anggota Umno dan BN yang didapati cuba mensabotaj calon serta parti dalam pilihan raya seperti yang disuarakan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu tindakan tegas yang perlu dilaksanakan.
 
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana punca kekalahan calon BN atau parti turut bergantung kepada kesepakatan anggotanya.
 
"Sekiranya anggota parti boleh bekerja bersama-sama, saya tidak nampak mengapa kita boleh kalah dalam pilihan raya umum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan di sini hari ini.
 
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata walaupun jentera pilihan raya sudah bersiap sedia dan bekerja kuat tetapi sekiranya 'sabotaj dalaman' terjadi ia boleh menyebabkan parti tewas.
 
"Tidak ada kompromi dengan sesiapa yang bertindak mensabotaj calon, dan parti lebih senang mengenali musuh di luar daripada kita hendak mengenali musuh dalam parti yang dianggap paling bahaya," katanya.

Sementara itu di BATU GAJAH, Ketua Umno bahagian Datuk Yusoff Kassim turut menyokong ketetapan oleh Muhyiddin itu kerana kejayaan dalam pilihan raya hanya mampu dicapai sekiranya setiap anggota tidak berpecah belah, sebaliknya menyokong mana-mana calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
 
"Kita menyokong ketetapan Timbalan Presiden Umno yang mahu anggota disingkir jika wujud sebarang unsur sabotaj kerana kita tidak mahu terdapat musuh dalam lipatan yang boleh mengakibatkan kekalahan parti," katanya.
 
Semalam, Muhyiddin memberi amaran bahawa mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum akan disingkir daripada parti.
 
Amaran keras itu disuarakan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon. - Bernama
Wanita Umno kecam poster cuba lagakan Najib dan Muhyiddin
AZIZAN INCHE HARUN
8 September 2012
Wanita Umno kecam poster cuba lagakan Najib dan Muhyiddin
Normala (duduk tengah) bersama barisan kepimpinan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang menyatakan sokongan kepimpinan Najin Tun Razak dan Muhyiddin Yassin.
PASIR GUDANG – Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang menyifatkan pengedaran poster Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tertera mesej agar menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sebagai cubaan melaga-lagakan pemimpin utama negara.

Ketuanya, Normala Abdul Samad berkata, tindakan berkenaan adalah satu propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab, yang menggunakan nama BN Johor sebagai penerbit poster berkenaan.

Menurutnya, Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang kagum dan selesa dengan gandingan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Muhyiddin.

“Kesungguhan dan kerjasama antara kedua pemimpin negara ini berjaya membentuk satu blok kekuatan yang sukar diruntuh oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Kita percaya ini kerja pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan kepimpinan Umno dalam situasi menghadapi PRU13 yang semakin hampir,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Normala berkata, Wanita Umno Pasir Gudang berikrar akan menggerakkan seluruh jentera seramai 7,219 dari 92 cawangan dalam Parlimen Pasir Gudang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Menurutnya, kerjasama daripada Pemuda, Puteri dan Umno Bahagian diyakini mampu mencapai sasaran lebih 80 peratus kemenangan BN di semua Pusat Daerah Mengundi dalam Parlimen Pasir Gudang.

“Kami akan tetap berdiri teguh menyokong gandingan kepimpinan PM sebagai Presiden parti dan TPM sebagai Timbalan Presiden parti tanpa sebarang kesangsian.

“Apa sahaja propaganda dan provokasi pihak tertentu mahupun pihak tidak bertanggungjawab, tidak akan sekali-kali melemahkan jentera Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang,” katanya.
Muhyiddin: Umno akan singkir ahli sabotaj calon PRU
Wartawan Sinar Harian
8 September 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
MUAR - Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.
 
Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.
 
"Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."
 
"Presiden pun telah bersetuju, kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri di sini hari ini.

Muhyiddin berkata dalam keadaan politik yang disifatkan sebagai genting pada masa kini, Umno amat menuntut kepada kesetiaan dan ketaatan anggotanya kepada parti.
 
"Dalam sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri kita pernah hilang satu kerusi sebab dua undi dan kerana itu juga kita tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan di negeri Kelantan, jadi... jangan sabotaj.
 
"Letakkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti bukan pemimpin. Kalau kita nak letak calon, kita nilai penerimaan masyarakat dan teliti satu persatu kerana kita tidak boleh main-main lagi," katanya.
 
Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di sini, beliau berkata pemecatan akan dilakukan selepas siasatan dilakukan.
 
"Pemecatan dibuat berdasarkan laporan. Kita tidak bertindak sewenang-wenang. Selepas disiasat dan sekiranya benar maka tak ada pilihan dia kena terima hukuman," katanya.

Katanya terbukti berdasarkan pengalaman lalu kekalahan Barisan Nasional (BN) di sesetengah negeri bukan kerana rakyat tidak menyokong calon tetapi kerana masalah dalaman bahagian apabila ada pihak yang tidak mahu membantu malah mensabotaj calon dan parti.
 
"Pengalaman lepas itu amat berguna kepada kita bagi mengelak perkara tersebut berulang," katanya.
 
Sehubungan itu, beliau berharap perkara sedemikian tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.
 
Ini kerana, katanya kerana semua anggota BN tahu tentang pentingnya pilihan raya umum akan datang kepada parti.
 
Muhyiddin turut meminta semua pihak akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon.

Ini kerana, katanya pemilihan calon itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti, perundingan dengan pemimpin di semua peringkat dan menjalani tapisan yang begitu rapi bagi menentukan calon yang dipilih adalah calon terbaik.
 
"Sebab itu kita harap mereka bukan hanya akan menerima sahaja keputusan itu tetapi turut bekerja membantu calon dan kawasan kita untuk mencapai kemenangan cemerlang. Bagi saya itu adalah satu perkara yang amat penting sekali," katanya.
 
Beliau berkata pemantauan akan dibuat di semua kawasan lebih-lebih lagi yang dahulunya terlepas ke tangan pembangkang dan boleh dimenangi semula, kawasan yang mempunyai masalah dalaman, kubu kuat dan kawasan yang mempunyai persaingan sengit daripada pembangkang.
 
Semua parti komponen BN telahpun menghantar senarai nama calon mereka dan kini masih dalam peringkat penilaian, katanya.
 
Kata Muhyiddin terdapat ramai tokoh yang berkelayakan untuk menjadi calon namun BN tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut dan perlu membuat proses pemilihan yang ketat bagi memastikan kemenangan parti. - Bernama
Ahmad Zahid: Anggota Umno perlu kikis sikap suka merajuk

8 September 2012
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
LABUAN - Anggota Umno perlu mengikis sikap suka merajuk kerana ia hanya akan mewujudkan kem tertentu dalam parti sekaligus melemahkan parti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata budaya merajuk hanya kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajati telah banyak memudaratkan parti seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lepas yang menyaksikan Umno kehilangan banyak kerusi.
"Ada anggota parti yang merajuk kerana tidak puas hati dengan calon tertentu yang dipilih oleh kepimpinan parti...jangan kerana guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Yang tersingkir seketika, kuatkan semangat demi maruah dan kekuatan parti serta kepercayaan pengundi.
"Kesetiaaan kepada parti adalah penting terutama dalam mengukuhkan sokongan terhadap parti di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Labuan di sini malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata dalam memastikan kemenangan dalam setiap pilihan raya umum, strategi peperangan masih relevan dengan mengenalpasti musuh serta lawan.
"Kita harus mengikut arahan jeneral.  Dalam peperangan apabila kita mendapat arahan, kita harus ikut, barulah kita boleh menang," katanya. - Bernama
MB Terengganu: Anggota Umno perlu kikis sikap suka dendam

8 September 2012
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said
JITRA - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta anggota Umno supaya mengikis sikap suka berdendam dan kembali bersatu kerana kepentingan utama sekarang adalah untuk mendapatkan sokongan semua pihak khususnya golongan atas pagar agar Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-13.
 
Oleh itu, orang Melayu umumnya perlu muhasabah diri bagi memulihkan kekuatan Umno, katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Kubang Pasu di sini, hari ini.
 
Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno juga mahu semua anggota parti itu menyokong siapa sahaja calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding.
 
Dalam ucapan perasmiannya sebelum itu, Mohamad meminta anggota Umno supaya tidak melupakan jasa parti kepada umat Melayu sehingga sanggup membelakangkan kepentingan parti semata untuk mencapai cita-cita peribadi.
 
Turut hadir Ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd Johari Baharom yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. - Bernama
Tolak enam jenis politik amalan pembangkang, kata Ahmad Maslan

9 September 2012
Ahmad Maslan
Datuk Ahmad Maslan
PELABUHAN KLANG - Orang ramai dan para pengundi diminta menolak enam jenis politik yang diamalkan pembangkang iaitu politik biadab, politik bebas, politik fitnah, politik menghukum, politik perpecahan dan politik ganas, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
 
"Di Malaysia ini kita lihat politik telah bertukar menjadi politik biadab apabila peristiwa memijak gambar pemimpin, peristiwa menukar Jalur Gemilang.
 
"Kemudian ada politik bebas yang menyokong kegiatan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam; politik memfitnah yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor difitnah macam-macam," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Klang di sini hari ini.
 
Ahmad berkata terdapat juga politik menghukum yang diamalkan pembangkang sehingga menyebabkan sembahyang dua imam dan kafir mengkafir sesama Islam selain politik pecah belah yang tidak mahu melihat perpaduan antara Melayu, Cina dan India malah perpaduan dalam kaum masing-masing.

Satu lagi ialah politik ganas yang dilakukan oleh sekumpulan perusuh semasa perhimpunan Bersih 3.0, katanya lagi.
 
Beliau berkata keenam-enam jenis politik itu perlu ditentang habis-habisan oleh Barisan Nasional (BN), parti yang tidak mengamalkan keganasan dan bebas tetapi menurut peraturan serta tidak mengamalkan politik memfitnah.
 
Ahmad berkata insiden pengawal peribadi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengacu pistol ke arah sekumpulan pemuda pro-BN di Kampung Baru Rim Jasin Melaka petang semalam merupakan satu daripada contoh politik ganas pembangkang.
 
"Perdana Menteri ada berbelas-belas bodyguard dan (sudah ada) enam Perdana Menteri... tidak pernah kita dengar bodyguard berbelas-belas mengacu pistol. Tiba-tiba dia ni jadi Ketua Pembangkang bodyguad mengacu pistol," katanya. - Bernama
Abdul Latiff: Jangan ghairah sogok rakyat
Wartawan Sinar Harian
9 September 2012
KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas Negeri mengingatkan Barisan Nasional (BN) mahupun Umno tidak terlalu ghairah menyogok rakyat Kelantan dengan janji-janji manis untuk berkuasa di Kelantan pada pilihan raya akan datang.
Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, hal ini adalah kerana ia akan menampakkan parti tersebut terlampau terdesak dengan menabur janji dalam tempoh menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) untuk merampas Kelantan daripada kepimpinan Pas.
Abdul Latiff bagaimanapun berkata, rakyat negeri ini sudah bijak dan matang untuk menilai perkara yang dijanjikan tersebut, melainkan kepimpinan parti berkenaan dapat melaksanakan janji sebelum PRU13.
“Jangan cuba sogok penduduk Kelantan dengan mainan politik mereka, kita yakin rakyat sudah matang untuk menilai politik semasa mahupun dari sudut projek besar yang dijanjikan malah yang sudah dilaksanakan di negeri ini.
“Sekarang ini kita melihat pimpinan BN dan Umno semakin agresif dengan menjanjikan perkara-perkara yang sepatutnya sebagai Kerajaan Pusat seperti permasalahan air, lebuh raya perlu diselesaikan sebelum PRU13,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian mengulas janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya di Machang Khamis lalu yang bersedia memasukkan apa sahaja kehendak rakyat Kelantan dalam manifesto parti itu pada pilihan raya nanti dan akan menunaikannya jika diberi mandat.
Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang menjelaskan Kelantan di bawah pemerintahan Pas tidak pernah menghalang Kerajaan Pusat melakukan pembangunan di negeri ini.
“Apa pun kita nampak dalam tempoh sejak tahun 1990, usaha-usaha yang dilakukan adalah seolah-olah mendera rakyat di negeri ini kerana tidak memilih Umno.
“Mereka menawarkan pembangunan kepada rakyat tetapi perlu menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang, namun kita yakin cubaan yang dilakukan tersebut tidak akan menjejaskan kelangsungan pentadbiran Pas,” katanya.

 

Tiada ulasan: